Sabtu, 1 Januari 2011

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Bertudung tetapi BOGEL

Posted: 31 Dec 2010 09:54 PM PST

Menoleh sekitar 20 tahun yang lalu, perihal wanita mendedahkan rambut bukan suatu pemandangan luar biasa. Malahan pada ketika itu jarang kelihatan wanita menutup kepala, kecuali untuk majlis dan upacara tertentu.

Ketika itu wanita yang bertudung, kebanyakkannya adalah golongan tua, itu pun rambut yang ditutup tidak 'rapus'. Pendek kata wanita yang bertudung, apatah lagi jika terdiri daripada golongan muda akan dianggap janggal.

Senario tersebut sudah berlalu dan keadaan sekarang sudah berubah. Sama ada di pejabat, apatah lagi di institusi pengajian, dan di majlis-majlis, rata-rata wanita Melayu akan memakai tudung. Mereka akan berasa janggal dan terasing jika tidak bertudung.

Di kedai, pusat membeli belah, di lapangan terbang dan di mana sahaja, kebanyakkan wanita Islam telah menutup kepala mereka.

Tidak kira tua, muda, anak dara atau janda, pekerja biasa, pegawai tinggi, suri rumah tangga, rata-rata sudah menutup kepala kerana masing-masing terasa tidak selesa untuk menayangkan rambut.

Zaman berlalu, masa berganti, dan sistem nilai pun sudah berubah. Dulu yang bertudung dianggap janggal, kini yang menayangkan rambut pula akan dianggap janggal, apatah lagi bila berada di majlis-majlis tertentu. (Tidak tahulah kalau masih ada yang tidak berasa janggal).

Bagi setengah pendapat, kecenderungan memakai tudung ada kaitan dengan kesedaran beragama. Rambut adalah sebahagian daripada aurat wanita. Ini bererti kepala wajib ditutup dan tidak didedahkan untuk tontonan umum.

Kalaulah kecenderungan itu disebabkan kesedaran beragama, syukur Alhamdulillah. Tetapi mungkin juga ada sebahagiannya disebabkan yang lain. Umpamanya takut terasa janggal, terikut-ikut dengan trend berpakaian, hanya sebagai fesyen dan sebagainya.

Cuba perhatikan, ada yang bertudung sehingga tidak nampak walau sehelai rambut, tetapi dalam waktu yang sama memakai kain belah, yang setiap kali melangkah akan menampakkan betis dan pangkal paha yang putih melepak. Ada pula yang bertudung lengkap tetapi mendedahkan sebelah atas dada, dan memakai skirt. Kalau boleh disamakan, ada lelaki yang bertopi haji tetapi memakai seluar pendek. Ini sesuatu yang agak ganjil, atas ditutup, bawah didedah.

Bagi setengah wanita, memakai tudung bukan kerana tuntutan agama. Mungkin ada yang cuma ingin mengambil hati, mungkin ia kerana suatu peraturan dan mungkin ada yang ikut-ikutan. Waktu ke pejabat semua memakai tudung, ke sekolah pun begitu juga, tetapi bila berjalan-jalan membeli belah tudung entah kemana.

Pada hal Islam telah menggariskan pakaian yang wajib dipakai oleh setiap muslimah. sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam, iaitu:

i). Hendaklah menutup seluruh anggota badan, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga dua pergelangan tangan.

ii). Pakaian itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

iii). Pakaian itu luas, tidak sempit, dan tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badan.

iv). Pakaian itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki

v). Pakaian itu tidak berbau harum atau wangi kerana ia boleh menarik perhatian orang.

Kewajipan menutup aurat itu berdasarkan kepada dalil al-Qur'an dan Hadis. Di antaranya firman Allah:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya." (Surah Al-Ahzab : 59)

Oleh yang demikian, sebagai menyahut titah perintah Allah, isu bertudung khususnya menutup aurat janganlah ia dipandang sebagai perkara remeh. Ia adalah perkara wajib. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun ia dipandang remah oleh sebahagian manusia.

PAS turun segala jentera untuk menang

Posted: 31 Dec 2010 09:53 PM PST

PAS perlu mempertahankan majoriti Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang telah berjaya diperolehi dalam pilihan raya umum yang lalu. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika berucap dalam ceramah anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar Sungei Dua, kelmarin.

Menurut beliau, walaupun Dun Tenang adalah kubu kuat Umno, ia tidak menjadi satu permasalahan besar kerana berdasarkan kepada senario politik terkini, rakyat inginkan perubahan dari takuk lama.

"Walaupun mereka telah memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 2004 dan 2008 yang lalu, tetapi majoriti yang Umno perolehi telah berjaya dikurangkan pada kedua-dua pilihan raya umum tersebut.

"Majoriti yang diperolehi ini juga mempengaruhi sokongan yang diterima oleh parti yang bertanding. Oleh kerana itu maka PAS akan berusaha untuk memenangi kerusi tersebut dengan menurunkan segala jentera yang ada bagi memastikan tiada jalan mudah bagi Umno BN dalam PRK kali ini," ujarnya lagi.

Dalam PRU 2004 yang lalu calon BN, Datuk Sulaiman Taha berjaya memperolehi kemenangan apabila mengalahkan calon PAS, Mohd Sain Siran dengan majoriti sebanyak 5,517 undi. Namun begitu dalam PRU 2008 pula menyaksikan jumlah majoriti yang diperolehi oleh BN telah berkurangan kepada 2,492 undi sahaja.

"Ini membuktikan PAS mampu untuk membuat perubahan seterusnya dalam PRK yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang, " tegasnya lagi.

~harakah~

PAS bersiap untuk menang

Posted: 31 Dec 2010 09:52 PM PST

Boleh ke Pakatan Rakyat melalui PAS menang dalam pilihan raya kecil Tenang? Inilah rata-rata soalan yang dikemukakan apabila diberitahu, "saya baru balik dari Tenang."

Agak sukar tetapi persiapan yang dibuat oleh jentera PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini nampaknya untuk menang. Walaupun pilihan raya kecil itu sebulan lagi, namun PAS sudah mempersiapkan semua keperluan asas yang diperlukan.

Bilik operasi utama, bilik penerangan, bilik operasi dewan-dewan dalam PAS hatta bilik media juga sudah dipersiapkan dengan keperluan asas untuk wartawan bekerja sudah dipersiapkan oleh PAS.

"Memang agak sukar untuk menang, tetapi kita yakin jika kena caranya, kita boleh menang," kata Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat yang Timbalan Pengarah I jentera pilihan raya kecil ini.

Dalam pilihan raya ini, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Johor, Dzulkefli Ahmad telah diberikan amanah untuk memimpin jentera PAS iaitu selaku pengarah operasi pilihan raya ini.

Dengan mempunyai enam cawangan, PAS bergerak agak pantas dalam pilihan raya kecil ini. Mungkin semangat petugasnya tinggi memandangkan ini adalah pilihan raya kecil yang pertama di Johor selepas pilihan raya umum 2008 lalu.

Dalam pilihan raya ini, kata Mazlan, PAS akan mengambil pendekatan lembut dan tidak provokatif dalam kempennya.

"Kita akan pastikan semua pemilih yang layak mengundi keluar mengundi dengan selamat dalam pilihanraya ini. Kita akan elakkan tekanan atau kekecohan namun yang kita bimbang adalah provokasi dari lawan kita," kata Mazlan.

(Gambar: Penduduk Felda Tenang mendapat jalan baru apabila pilihan raya kecil hendak diadakan di kawasan mereka)

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini. SPR telah menetapkan 30 Januari hari mengundi manakala 22 Januari hari penamaan calon.

Tenang adalah DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen Labis, dan akan ditandingi oleh calon PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat. Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang di kawasan Cina iaitu mendapat undi antara 50% hingga 67% undi.

Misalnya, pengundi Bandar Labis Tengah yang terdiri 96% Cina, PAS memperolehi 66.8% undi. Untuk kerusi parlimen pula, DAP memperolehi 73.8% undi. Di Bandar Labis Timor yang mempunyai 63.5% pengundi Cina, PAS memperolehi 52.5% undi, sementara DAP pula mendapat 57% undi. Di Labis yang mempunyai 58.3% Cina dan 32.4% India, PAS mendapat 50.6% dan DAP mendapat 60.4%.

Statistik menunjukkan bahawa pengundi Cina telah menyokong pembangkang (PAS dan DAP) pada PRU tahun 2008, memandangkan undi pembangkang mendahului BN di kawasan yang majoritinya Cina.

Tenang yang mempunyai 13 unit peti undi keseluruhannya, adalah kawasan campuran, desa-bandar, dan merupakan kubu tradisional BN. Menurut perangkaan PRU tahun 2008, nisbah populasi pengundi adalah 48 % Melayu, 39 % Cina, 12 % India dan selebihnya lain-lain bangsa.

Pengundi Cina terletak di sekitar pekan Labis manakala pengundi Melayu terletak di tiga buah Felda iaitu Chempera, Chempera Barat dan Tenang. Pengundi Melayu juga terletak di kampung tradisi Melayu di sekeling Labis itu.

"PAS akan memberikan tumpuan kepada tiga buah Felda dan kampung tradisi Melayu dan kita harap DAP dan PKR boleh memberikan tumpuan kepada pengundi Cina dan India di kawasan pekan," kata Mazlan yang juga mengendalikan unit penerangan kempen ini.

(Gambar: Batu tanda jalan masuk ke Felda Tenang yang bakal tidak tenang menjelang 30 Januari nanti)

Ketiga-tiga Felda yang ada di Dun Tenang ini kelihatan mundur berbanding dengan kawasan Felda yang lain hatta jika dibandingkan dengan kawasan Felda di Johor sendiri. Rumah-rumah yang diberikan oleh Felda kepada peneroka hampir 50 tahun dahulu ketika kawasan ini dibuka masih teguh berdiri.

Ketika kunjungan di buat ke Felda Tenang yang terletak kira-kira 10 km dari pekan Labis, kerja-kerja menurap jalan masuk ke kawasan perumahan Felda ini giat dijalankan. Kalau dalam pilihanraya sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pernah memberikan jaminan tidak akan ada projek mee segera menjelang pilihan raya kecil berkenaan, penduduk Felda Tenang sudah menikmati projek mee segera ini hampir sebulan sebelum hari pilihan raya.

Mungkin projek ini adalah sumbangan awal BN untuk pengundi kawasan Felda ini. Tidak dapat disahkan apakah Felda Chempera dan Chempera Barat juga mendapat jalan baru sebagaimana rakan-rakan mereka di Tenang.

Jentera PAS mensasarkan kenaikan undi sehingga 10 peratus untuk kawasan Felda jika mereka mahu menang dalam pilihan raya kecil ini.

Bagaimana ia hendak dicapai tidak diketahui. Yang pasti, hampir semua rumah ada tv dan setengahnya Astro tetapi nampaknya jarang rumah-rumah kawasan Felda ini ada internet. Yang ada hanya pusat cyber komuniti yang dibina oleh Felda dan juga cyber cafe yang dibina oleh ahli-ahli perniagaan.

Memandangkan Felda ini sudah lama dibuka (awal tahun 1960an), para penerokanya sudah lanjut usia iaitu lebih dari 70 tahun umur mereka. Jenerasi kedua Felda ini berumur lebih 50 tahun. Ini bermakna, di sini sudah ada jenerasi ketiga atau ke empat.

Sebab itu, apabila harga komoditi iaitu kelapa sawit dan getah naik, tidak semua warga Felda menerimanya. Yang menerima secara langsung adalah peneroka itu sendiri namun untuk jenerasi kedua dan ketiga, mereka tidak semestinya turut menikmati hasil itu.

"Tumpuan kami adalah jenerasi kedua dan ketiga Felda ini," kata Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Salah satu strategi PAS dalam pilihan raya ini adalah menyerahkan tugasan menjaga kawasan Felda kepada petugas pilihan raya dari negeri-negeri yang agak maju dari segi politiknya.

PAS Terengganu diamanahkan menjaga Felda Chempela, Pahang (Felda Tenang) dan Perak (Felda Chempelak Barat) manakala PAS Kelantan di serahkan menjaga kampung tradisi Melayu.

(Gambar: Mengejutkan, selepas hampir 50 tahun dibuka, ada lagi peserta Felda yang mempunyai rumah semacam ini)

Berdasarkan berita angin yang ada, PAS mempunyai lima calon yang berpotensi untuk bertanding dalam pilihan raya ini iaitu Mazlan sendiri, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfoz Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat serta seorang calon wanita.

Di pihak BN pula, Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis adalah calon paling popular disamping mendapat sokongan penuh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Calon-calon lain adalah Naib Ketua Umno Bahagian dan Ketua Wanita Umno Bahagian.

~harakah~

KSN sengaja belakangi proses pemilihan

Posted: 31 Dec 2010 09:51 PM PST

Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru, Datuk Khusrin Munawi.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata dalam dalam pemilihan tersebut, KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut nota amalan perkhidmatan awam.

Menurut Khalid, nota amalan tersebut menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan menteri besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," tegasnya.

Khalid berkata, kerajaan Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.

Malaysiakini melaporkan sebelum ini bahawa Khusrin berada di kedudukan terakhir antara calon yang ditemuduga oleh jawatankuasa tersebut.

"Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin Munawi, KSN bukan saja membelakangkan menteri besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman," tegas menteri besar lagi.

"Perlu dinyatakan di sini, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu bukan sahaja melanggar perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Lebih merunsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acapkali dikritik sebagai tidak efisyen," tegas Khalid.

Walaupun pelantikan Khusrin tidak dipersetujui kerajaan negeri, Istana Selangor telah menggeluarkan jemputan untuk majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis ini.

~MK~

Lantikan Khusrin Sah Tapi Bermotif Politik

Posted: 31 Dec 2010 09:49 PM PST

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu diragui oleh kerajaan negeri itu kerana penjawat awam sentiasa dituntut supaya berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tugas mereka, menurut seorang penganalisis politik tempatan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin berkata dakwaan kerajaan Selangor kononnya pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat atas kepentingan politik Barisan Nasional (BN) hanyalah intepretasi yang tidak boleh dijadikan asas.

"Dakwaan tersebut kurang berasas kerana Mohd Khusrin belum memulakan tugas, malah lantikan tersebut juga hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini. Tentunya andaian seperti itu tidak boleh digunakan," katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, beliau berkata rasa tidak puas hati kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung perkara itu tidak berasas.

Katanya, kerajaan PKR Selangor sebenarnya berasa tercabar kerana lantikan itu dibuat di luar pengetahuan mereka.

Kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelantikan Mohd Khusrin, yang mendapat perkenan Sultan Selangor, tidak muktamad kerana tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Nizamuddin berkata Abdul Khalid perlu sedar keadaan sebegini biasa berlaku apabila negeri dikuasai parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, pelantikan itu tidak akan membawa masalah kerana kerajaan Persekutuan semestinya telah terlebih dahulu memikirkan kesan baik dan buruk tindakan tersebut.

Beliau percaya sebagai penjawat awam yang berintegriti, Mohd Khusrin akan mengutamakan amalan profesional ketika menjalankan tugas.

"Jika berpegang kepada elemen profesional, bebas dan amalan pengasingan kuasa, sepatutnya pelantikan ini tidak menimbulkan masalah," katanya.

Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berkata lantikan tersebut tidak boleh dihalang oleh kerajaan negeri, sekiranya ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sekiranya kerajaan PKR Selangor tidak berpuas hati dengan calon lantikan kerajaan pusat, mereka harus sedar perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

Sementara itu, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia berkata selepas 53 tahun kemerdekaan, penjawat awam begitu berkemampuan dalam soal pentadbiran sehingga menjadi contoh kepada negara membangun lain.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata walau apapun keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008, penjawat awam terus memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, sedangkan pada masa sama, kebanyakan ahli politik resah dengan apa yang bakal berlaku apabila pentadbiran empat daripada 13 negeri bertukar tangan.

"Ketika pergolakan dan perebutan kuasa politik di Perak, penjawat awam tidak kisah dan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

"Tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya penjawat awam menyokong permainan politik mana-mana parti dan menyertai usaha merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata ahli politik silih berganti, sebaliknya penjawat awam mengekalkan taat setia mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Sehubungan itu, Wan Mahmood berharap penjawat awam tidak akan terpengaruh dengan 'umpan politik' mana-mana parti dan ahli politik juga perlu sedar bahawa adalah penting budaya perkhidmatan awam sedia ada tidak diganggu.

~Bernama~

Masyarakat India Marah 'Interlok' Jadi Buku Teks

Posted: 31 Dec 2010 09:48 PM PST

Sebuah pertubuhan India mengancam untuk mematahkan rancangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung satu novel untuk pelajar SPM yang dipertikai.

Buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu didakwa memberikan gambaran yang salah ke atas masyarakat Indian, terutama ke atas sistem kasta dan penggunaan istilah "pariah".

Tidak puas hati dengan perkembangan itu, kumpulan berkenaan merancang untuk melancarkan satu protes di Putrajaya dan di Johor Bahru. Ia juga bercadang untuk meletakkan calon bebas dalam pilihan raya kecil DUN Tenang yang akan diadakan pada akhir bulan depan.

Ketua penerangan Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) AP Raja Retinam berkata buku tersebut menentang semangat 1Malaysia dan perlu ditarik balik dari pasaran.

Letak calon bebas di Tenang

"Kerajaan dan Kementerian Pelajaran nampaknya tegas dalam mengekalkan buku itu sebagai sebahagian daripada buku teks sastera untuk Sijil Pelajaran Malaysia.

"(PRIMA) kesa kerana buku itu memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'pariah' yang digunakan

"Kita telah mengemukakan perkara ini dengan MIC di mana menteri (sumber manusia Datuk S Subramaniam berjanji untuk membangkitkan perkara ini di kabinet.

"Bagaimanapun, jika kabinet dan menteri pelajara Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas untuk tidak menilai semula isu buku Interlok ini, kita akan turun ke jalan bulan depan.

"Kita juga akan letak calon bebas di Tenang," katanya lagi.

Retinam bersama presiden baru pertubuhan itu Dr V Suppiah tiba di pejabat Malaysiakini semalam untuk menyuarakan keresahan masyarakat India berhubung penggunaan buku itu sebagai teks pelajaran.

Suppiah berkata, gambaran terhadap masyarakat India dalam buku itu tidak relevan dan BN tidak harus terlalu angkuh sehingga menenggelamkan suara komuniti itu.

~MK~

Melayu pun kena tutup aurat

Posted: 31 Dec 2010 09:47 PM PST

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu juga mesti menutup aurat di dalam kawasan surau atau masjid. Beliau menyatakan demikian ekoran isu yang ditimbulkan media mutakhir ini berhubung senamrobik yang dilakukan masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan.

"Usahkan di dalam kawasan masjid, di dalam masjid pun tidak apa, termasuklah juga pembelajaran dan persoalan perlantikan ketua negara dan ketua perang serta urusan sakit demam. Semuanya dilaksanakan dalam masjid seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

"Namun dari segi aurat, mestilah dijaga. Usahkan orang Cina, orang Melayu sendiri mesti menutup aurat. Tinggal lagi hendaklah ditegur orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna itu," katanya kepada media pada kuliah mingguan di sini, hari ini.

Mengulas komitmen sesetengah masyarakat Cina terhadap rumah ibadah, beliau berkata walau pun kaum Cina, Orang Asli atau warga Afrika yang hitam, namun apabila mereka itu muslim dan muttaqin, maka adalah layak dilantik menjadi imam sembahyang.

"Ini kerana hina atau tidaknya manusia itu bukan terletak kepada tubuhnya tetapi adalah terletak kepada taqwanya.

"Walau pun dia hamba, tetapi apabila dia diangkat menjadi ketua (termasuk imam sembahyang) maka mesti diikuti.

"Oleh demikian, di Kelantan sendiri, saya sudah membina masjid di Rantau Panjang. Saya meminta orang Cina menjadi imam sembahyang dan saya menjadi makmum pada bulan Ramadhan yang lalu," katanya.

~harakah~

Nik Aziz pertahan Teo senamrobik di masjid

Posted: 31 Dec 2010 09:46 PM PST

Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

"Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadah orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu, yang disifatkan tidak menghormati rumah suci itu, yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia semalam.

Menurut Nik Abdul Aziz, soal anggota Parlimen itu berpakaian tidak sopan atau tidak menutup aurat, adalah perkara kedua yang perlu diperbetulkan.

"Yang pasti kita kena beritahu mereka perkara-perkara yang ditegah agama ketika berada dalam masjid...kena beritahu kaedah dan pantang larang dari segi Islam sebelum seseorang itu memasuki masjid," katanya.

Nie Ching sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan "ceramah" di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada Ogos lalu.

~Bernama~

PDRM Perlu Adil Jangan Jadi Barua UMNgOk

Posted: 31 Dec 2010 09:44 PM PST

PAS bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang akan memantau laporan media baru yang tidak tepat.

"Cuma PAS mengharapkan supaya pihak polis bertindak sama rata dan sama adil kepada semua yang terlibat, jika melaporkan berita fitnah," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Tambahnya, jangan media baru yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat sahaja diambil tindakan. Menurutnya, ada satu laporan fitnah oleh blogger Umno terhadap Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang mengatakan beliau ada skandal dengan perempuan.

Jelasnya, Salahudin telah bersemuka dengan pemfitnah itu di parlimen baru-baru ini ketika beliau menghadiri perjumpaan blogger Umno di parlimen.

"Pemfitnah ini terus mengaku memang beliau yang memfitnah dan memohon maaf.

"Inilah rupa manusia yang sanggup fitnah untuk mencari sesuap nasi walaupun dibayar dengan api neraka," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya PAS mengharapkan polis mesti bertindak secara profesional untuk memurnikan demokrasi. Katanya, kepentingan negara mesti didahulukan daripada kepentingan Umno BN.

"Muliakan martabat polis yang sudah tercalar akibat terlalu ikut telunjuk pemimpin BN sebelum institusi ini dipandang hina," katanya.

~harakah~

Laman web dedah gambar mangsa rogol menteri

Posted: 31 Dec 2010 09:43 PM PST

Kisah tentang menteri yang didakwa merogol pembantu rumahnya tidak boleh disembunyikan lagi apabila sebuah laman web menyiarkan gambar mangsa rogol tersebut semalam. Laman web itu, Sabahkini.net, juga turut menyiarkan kenyataan seorang pemimpin PKR Sabah agar menteri berkenaan meletakkan jawatan.

Laman itu juga menyiarkan nama menteri berkenaan serta laporan bertulis yang dibuat oleh sebuah NGO yang menjaga kepentingan pekerja Indonesia, Migrant Care yang menyiasat kes ini sejak Julai 2007 lalu.

Blogger Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahiruddin Atan pula membandingkan negara Yahudi Israel pernah memenjarakan menterinya yang didapati bersalah merogol pembantunya. Namun, tulis Rocky, laporan yang dibuat pada tahun 2007 itu dipercayai diperap sahaja oleh Perdana Menteri ketika itu.

"Tak boleh biar orang tuduh pemimpin kita melakukan jenayah terkutuk tanpa siasatan. Tapi pasal kita dah tak siasat dan kes tu dah terpendam, sekarang ni tampak macam kita telah cuba mengabui mata rakyat," tulis Ahiruddin dalam blognya.

Sebelum ini, Ahirudin pernah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SCMM) ekoran tindakannya mendedahkan dalam blognya anak seorang menteri mendapat projek dari kementerian yang dijaga oleh menteri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal mahu menteri yang merogol pembantu rumahnya itu diambil tindakan. Tun Faisal yang menjawab pertanyaan seorang rakan twitter berkata, "ambik tindakan, apa masalah." apabila ditanya "@tunfaisal mcm mana dgn menteri rogol.apa cer?"

Harakahdaily sebelum ini sudah empat kali menyiarkan cerita ini termasuk tiga pendedahan mengenainya.

Ini kerana, selepas didedahkan oleh WikiLeaks dan laporan oleh Ahiruddin Atan melalui blog Rocky Bru nya, Harakahdaily menebual sendiri Country Coordinator Migrant Care, Alex Ong mengenai penyiasatan Migrant Care.

Alex mengesahkan laporan itu dan mengesahkan Migrant Care telah membuat siasatan terperinci mengenainya pada bulan Julai 2007. Pada 1 Ogos 2007, Alex bersama dua lagi pemimpin Migrant Care telah menandatangani satu kenyataan media mengenai kes mangsa rogol yang bernama Robengah ini.

Kenyataan ini kemudiannya didedahkan semula oleh NGO Tenaganita pada 27 Disember lepas apabila kes ini timbul semula ekoran pendedahan WikiLeaks.

~MK~

Raja diminta bersih kabinet dari menteri perogol

Posted: 31 Dec 2010 09:41 PM PST

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Raja-Raja Melayu bertindak membersihkan nama negara apabila dua orang pemimpin negara ini dikaitkan dengan kezaliman terhadap rakyat asing.

"Perdana Menteri sampai hari ini tidak pernah dilihat bersih ekoran pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu dan ketika Perdana Menteri dilihat begitu gagal membersihkan namanya, tiba-tiba sejak beberapa hari lalu berulang lagi kehebohan tentang seorang menteri kabinet dituduh merogol warga Indonesia yang menjadi orang gajinya.

"Pelbagai peristiwa selepas pembunuhan Altantuya menyebabkan Perdana Menteri semakin dilihat tidak bersih ekoran pembunuhan wanita Mongolia itu manakala dokumen yang mengaitkan menteri berkenaan dengan perbuatan merogol orang gajinya semakin tersebar.

"Kesemua itu membusukkan nama negara dan menyebabkan negara ini dipandang hina," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Karnival Jubli Perak PAS Tasek Gelugor.

Sebelum ini, Harakahdaily dan lain-lain media telah menyiarkan laporan WikiLeaks serta temubual dengan pihak-pihak terbabit tentang menteri kebinet yang dipercayai terlibat memperkosa pembantu rumah warga Indonesianya tiga tahun lalu.

Mahfuz yakin Raja-Raja Melayu tidak sanggup membiarkan nama baik negara terus buruk dan warga negara ini dipandang hina akibat perkara tersebut.

"Sokongan Raja-Raja Melayu amat diperlukan untuk membolehkan rakyat menuntut supaya diadakan suruhanjaya siasatan terhadap perkara itu bagi membersihkan nama baik negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Ketika para pelabur telah pun diingatkan oleh Bank 0f America Merrill Lynch supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, beliau bimbang keadaan ekonomi negara akan bertambah buruk jika Raja-Raja Melayu tidak bertindak tegas dengan segera untuk membersihkan nama baik negara ini.

Sebelum itu, dalam ucapannya di karnival itu, Mahfuz mengecam keras tindakan Umno yang semakin jelas memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa.

Beliau menyeru Raja-Raja Melayu supaya tidak membiarkan diri mereka diperalat dan menjadi "balang oksigen" yang menyambung nafas Umno yang penuh dengan sejarah kerakusan mengkhianati orang-orang Melayu.

Sebelum ini, Mahfuz mengingatkan bahawa pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.

~harakah~

Tiada ulasan: