Khamis, 30 Disember 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


JUARA PIALA AFF SUZUKI - ADA PIHAK CUBA `MENJUAL' SKUAD KEBANGSAAN DEMI POLITIK?

Posted: 30 Dec 2010 11:00 PM PST


Oleh: WFAUZDIN NS

CUKUPLAH bolasepak dipolitikkan di PRK Dun Galas dulu. Kita masih ingat betapa calon Umno menaiki kenderaan bersama Dato Anuar Musa orang kuat Kelantan FA, berarak bersama Piala Malaysia sewaktu kempen PRK di situ. Cukuplah, jijik kita melihatnya.

Ada cadangan pula untuk mengadakan sambutan ke atas Pasukan Kebangsaan yang telah berjaya menjadi johan Piala AFF Suzuki baru-baru ini ingin diadakan di Dun Tenang, Johor. Semua tahu di Dun Tenang, satu PRK akan diadakan dan Umno tidak mahu terlepas kerusi Dun di situ. Tetapi, mengapa pemain kebangsaan pula yang mahu `dijual' oleh mereka?

Apa komen Jurulatih Kebangsaan di dalam hal ini? Baca berita ini:

Jakarta, 30 Dis – Jurulatih Malaysia, Rajagopal membantah arahan pihak-pihak tertentu yang ingin mengadakan sambutan kejayaan Piala AFF Suzuki di Tenang, Johor. Beliau juga mengancam tidak akan teragak-agak untuk meletakkan jawatan seandainya anak-anak buahnya dipolitikkan.

"Saya membentuk mereka dengan air mata, air peluh dan air darah. Tolong jangan musnahkan apa yang telah dibentuk dengan politik sempit. Pemain ada hak kefahaman politik peribadi sendiri. Penyokong yang bangun jatuh bersama saya juga adalah dari semua lapisan idealogi politik.

Tolong, jangan pecah-pecahkan kami. Jangan jadikan kami bahan kempen. Kejayaan kami adalah kejayaan untuk semua lapisan masyarakat Malaysia. Kami bukan mewakili satu jenis golongan sahaja." (Petikan dari Tranungkite)

Jelas, Jurulatih Kebangsaan itu tidak berminat untuk mempolitikkan kariernya dan `menjual' maruah Pasukan Kebangsaan yang dibimbingnya. Sekiranya masih ada yang berminat, mereka itu adalah perosak mutu bolasepak negara yang sebenarnya. Cukuplah kenyataan Nazri Aziz sebelum perlawanan Akhir Pertama di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Bukit Jalil yang lalu di mana beliau menyeru sesiapa yang menyanjung konsep 1 Malaysia agar hadir beramai-ramai ke stadium. Maka, beliau perasan atau syok sendiri bahawa yang hadir lebih kurang 90 ribu ke stadium malam itu kesemuanya menyanjung konsep 1 Malaysia. Biarkan beliau perasan sedemikian, janji Pasukan Malaysia cemerlang malam tersebut.

Syabas, Pasukan Kebangsaan Malaysia, Tahniah Rajagopal dan semua pemain./wfauzdin.blogspot.com

GOBALA... OH.. GOBALA....GO..GO..GO..

Posted: 30 Dec 2010 08:00 PM PST

Gobala 'berniat jahat' tuduh Anwar tutup kuil Sivan

Regina Lee
Dis 30, 10

Pemimpin masyarakat India PKR hari ini tampil menyatakan sokongan mereka terhadap ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kecaman berhubung penutupan satu kuil Hindu di Petaling Jaya.

Antara penjelasan yang dikemukakan, keputusan untuk menutup kuil tersebut dibuat oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Anwar tidak terlibat dalam tindakan berkenaan.

NONEPenjelasan itu dikemukakan salah seorang naib presiden baru parti itu N Surendran dalam satu sidang media bersama dua lagi pemimpin masyarakat India PKR -- exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab dakwaan yang ditimbulkan ahli parlimen PKR Padang Serai N Gobalakrishnan kelmarin bahawa Anwar bertanggungjawab menutup kuil Sivan berkenaan dengan alasan kuil tersebut "tidak mempunyai ciri-ciri India."

Surendran berkata dakwaan itu "tidak munasabah" memandangkan Anwar merupakan seorang pemimpin nasional dan tidak terlibat dalam keputusan kerajaan tempatan.

Tambahnya, dakwaan yang disuarakan Gobalakrishnan yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merupakan satu tuduhan "berniat jahat."

Kuil Sivan yang terletak di puncak Bukit Gasing di Petaling Jaya itu menjadi tumpuan utama Gobalakrishnan dalam menyuarakan rungutannya kepada pemimpin tertinggi parti itu, malah menyebabkan beliau melabelkan Anwar sebagai "anti-Hindu" dengan menutup kuil berkenan.

NONEManikavasagam turut menyatakan kekesalannya atas tindakan Gobalakrishnan menghamburkan tuduhan seperti itu.

"Jika Anwar benar-benar telah menutup kuil berkenaan, saya akan mula buat bising. Anda tahulah saya seorang pembuat bising.

"Tapi orang yang buat dakwaan ini juga perlu tahu cerita sepenuhnya mengenai kuil berkenaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Xavier yang merupakan exco bertanggungjawab dalam hal ehwal bukan Islam di Selangor dalam pada itu itu pula menjelaskan, kuil itu bukan ditutup sepenuhnya.

"Ya, ia ditutup kepada orang ramai hanya sebab kerja-kerja pembinaan fizikal masih berjalan," kata Xavier yang juga bekas naib presiden parti.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian ke atas kuil berkenaan bermula sejak tahun 2006 lagi.

Kerja-kerja berkenaan dijalankan memandangkan anggota pemegang amanah kuil berkenaan mahu memperbesarkan kuil kecil berkenaan menjadi kuil Sivan terbesar di negara ini sehingga boleh memuatkan 100,000 orang penganut Hindu, kata Xavier lagi.

Ahli pemegang amanah kuil berkenaan termasuklah isteri kepada bekas presiden MIC Datin Seri Idrani Samy Vellu./Malaysiakini

Teo Nie Ching: Utusan Malaysia buat hal lagi...

Posted: 30 Dec 2010 05:00 PM PST

Dec 30, 2010

Hampir 30 tahun saya tinggal di Negara ini, tetapi saya semakin keliru. Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah? Sama ada orang bukan Muslim boleh ucap "assalamualaikum"? Sama ada orang Muslim tidak sepatutnya menghadiri majlis perayaan agama yang lain? Sama ada apabila orang Muslim menghadiri majlis perayaan agama Kristian, salib harus disembunyikan?

Sekiranya Najib Razak (gambar kiri) dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, Gerakan ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai "OK Tak OK" untuk semua warga bukan Muslim negara ini?

Semasa berucap merasmikan Konvensyen Ke-43 Institut Akhbar-Akhbar Bahasa Cina Sedunia pada 20hb Disember yang lalu, Najib Razak telah memberikan tiga peranan kepada media.

Pertama, media sebagai penggalak kesederhanaan (promoter of moderation); kedua, media sebagai menara tinjau untuk perubahan (watch tower for change); dan ketiga, media sebagai pendorong pembangunan (Catalyst for Development). 【Ucapan penuh Najib Razak

Dalam ucapan beliau, beliau mahu akhbar-akhbar berbahasa Cina menjadi perintis.

Tetapi pada masa yang sama, beliau mengizinkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang dimiliki UMNO, memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya. Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme (promoter of extremism ), tetapi adakah Perdana Menteri ataupun Menteri Dalam Negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?

Semasa Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN-AS, Najib dalam ucapan pencelahan beliau telah menghulur bantuan kepada Presiden Amerika Syarikat untuk menghapuskan fenomena Islamophobia. Mempertingkatkan kefahaman mengenai Islam perlu dilakukan, kata Perdana Menteri.

Biarlah kita semua akui, fenomena Islamophobia bukan sahaja wujud di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, tetapi juga berakar umbi di Malaysia. Apakah pendekatan Najib untuk menangani masalah ini di negara kita?

Hasrat saya (Teo Nie Ching, gambar kanan) sebagai wakil rakyat adalah berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat, tak kira bangsa, tak kira kaum, tak kira agama. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jujur saja, dalam pengalaman saya menjadi Ahli Parlimen, banyak surau dan masjid telah menganjurkan majlis-majlis ataupun jamuan-jamuan di perkarangan mereka. Pada kebanyakan masa, sebagai usaha untuk merapatkan hubungan antara komuniti, pihak berkenaan juga akan menjemput penghuni-penghuni sekitar untuk menghadiri program tersebut. Sudah banyak kali saya lihat orang-orang bukan Islam menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri di perkarangan Masjid.

Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput? Apakah kesalahan saya untuk bersenam di tempat letak kereta Masjid bersama dengan hadirin yang lain? Kenapa usaha saya untuk merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi, usaha untuk mempertingkatkan kefahaman, kesemua ini dianggap salah oleh Utusan Malaysia/UMNO? Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?

Betul sekali Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha-Agung DAP Lim Guan Eng dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua pada 19 Disember 2010 yang lalu.

Utusan Malaysia hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama. Utusan Malaysia hanya tahu mendiskriminasikan, menganiayai dan merendahkan orang lain bukanlah rakyat Malaysia sebenar.

Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun UMNO kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak berlayak untuk memberi ajaran agama Islam. Sudah banyak kali saya dimaklumkan oleh penyokong-penyokong ataupun warga Malaysia melalui Facebook ataupun blog bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi.

Gambar-gambar lain yang sedia ada di Blog dan Facebook saya tetapi tidak diterbitkan di Utusan Malaysia telah menunjukkan bahawa kehadiran saya di perkarangan Masjid Cheras Jaya tidak pernah menjadi isu kontroversi pada hari tersebut dan sebaliknya telah diterima baik oleh para hadirin. Saya akan terus perjuangan saya untuk mewujudkan sebuah Malaysia untuk semua anak Malaysia, iaitu Malaysian Malaysia.

*Tulisan ini dipetik daripada blog Teo Nie Ching, ahli parlimen Serdang-DAP.

Sumber: MerdekaReview

SUK N. SELANGOR - DARI SUDUT UNDANG-UNDANG

Posted: 30 Dec 2010 07:56 AM PST

Oleh Suara Keadilan

SS19Merujuk kepada kenyataan yang dibuat kepada media oleh Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Mohamad Munir Bani berkenaan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (seperti laporan Berita Harian, 29 Disember 2010, m/s 2).

Saya sebagai Ahli Dewan Negeri yang terlibat secara lansung dalam sebarang bentuk pindaan undang undang digamit untuk menyatakan bahawa, apa yang berlaku dan bagaimana isu tersebut dimainkan di media seolah-olah ada agenda jahat untuk melaga-lagakan Kerajaan Negeri dengan pihak Istana Selangor. Sebagai rakyat DYMM Sultan Selangor yang setia, saya memperakui bahawa kuasa eksekutif boleh dijalankan oleh DYMM Sultan Selangor atau Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMKN) atau mana-mana ahli MMKN yang diberikuasa oleh MMKN sebagaimana dinyatakan dalam Fasal 50, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Di bawah Fasal 55 (1), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, baginda DYMM Sultan Selangor hendaklah menjalankan fungsi baginda mengikut nasihat MMKN atau mana-mana ahli MMKN yang bertindak di bawah kuasa am MMKN, kecuali diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Ini adalah selaras dengan kedudukan baginda sebagai Raja Berperlembagaan.

Kuasa budi bicara baginda adalah sepertimana yang dinyatakan dalam Fasal 55 (2) (a) – (g) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, dan mana-mana lain peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara kepada baginda oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Setelah menyemak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dapati pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 52 (1), hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Tetapi berdasarkan laporan Berita Harian tersebut, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor telah menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor perlu disembahmaklum dan mendapat perkenan baginda oleh kerana baginda adalah kuasa eksekutif di Negeri Selangor (sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 50).

Ini jelas sekali bahawa kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan yang dinyatakan dalam Fasal 52 (1) telah dibaca sekali dengan Fasal 50 yang memberikan kuasa eksekutif kepada baginda.

Persoalannya, mengapa Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor tersebut tidak membaca Fasal 50 dan 52 (1) tersebut bersekali dengan Fasal 55 (1) yang mengkehendaki baginda DYMM Sultan Selangor bertindak mengikut nasihat MMKN dalam menjalankan mana-mana fungsi baginda?

Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh hendaklah bukan sahaja dibaca secara tersurat (literal) tetapi juga hendaklah mengikut konvensyen (adat dan adab perlembagaan). Konvensyen adalah sesuatu yang tidak bertulis tetapi menjadi amalan dan ianya dianggap "daging yang membaluti kerangka perlembagaan" (the flesh that covers the bare bones of the constitution).

Ia adalah satu kiasan yang mengibaratkan perlembagaan sebagai satu rangka bernyawa yang hanya lengkap dan berfungsi dengan sempurna sekiranya ianya dibaluti oleh tubuh. Bolehkah satu benda bernyawa berfungsi dengan rangka sahaja tanpa daging tubuhnya?

Oleh itu, saya selaku salah seorang Ahli Dewan Negeri Selangor menegaskan bahawa:

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor dan/atau mantan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor bukanlah pihak berkuasa (authority) yang selayaknya menafsir Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor mengikut tafsiran sendiri;

baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan Fasal 55 (1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959;

pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan hendaklah bukan sahaja menyembahmaklum dan mendapat perkenan baginda DYMM Sultan Selangor tetapi juga mengambilkira bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan yang hendaklah bertindak mengikut nasihat MMKN yang lazimnya diwakili oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor; dan

pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor bukanlah termasuk dalam kuasa budi bicara baginda DYMM Sultan Selangor yang dinyatakan oleh Fasal 55 (2) yang membolehkan baginda bertindak tanpa merujuk dahulu kepada dan mendapat nasihat dari MMKN yang sekian lamanya diwakili oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor.

Sekiranya perkara ini telah dijalankan mengikut peruntukan dan konvensyen (adat dan adab) perlembagaan dengan melibatkan DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Negeri, YAB Dato' Menteri Besar Selangor selaku Ketua Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan membuat pelantikan, saya percaya maka sudah tentu tidak timbul isu berkenaan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Demi menjaga keharmonian dan keberlansungan pentadbiran Negeri Selangor yang tercinta ini, harapan saya janganlah mana-mana institusi yang sewajarnya, dibelakangi dalam perkara berkaitan pelantikan jawatan utama Kerajaan Negeri Selangor. Apakah boleh pula sekiranya jawatan Ketua Setiausaha Negara dilantik oleh SPB Yang di-Pertuan Agong tanpa merujuk dahulu kepada YAB Perdana Menteri?

Jika ada pihak yang hanya melihat peruntukan perlembagaan atau undang-undang tubuh secara tersurat sahaja tanpa mengambilkira konvensyen, pastinya SPB Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytihar darurat tanpa perlu mendapat nasihat dari Jemaah Menteri yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri. Ini peruntukan yang tersurat dalam Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

Namun hakikatnya, dan mahkamah juga telah menyatakan bahawa, mengikut konvensyen, SPB Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengisytihar darurat tanpa dinasihati oleh YAB Perdana Menteri yang mewakili Jemaah Menteri.

Mengapa diperingkat persekutuan SPB Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat YAB Perdana Menteri dalam perkara yang secara tersurat tidak pula menyebut baginda perlu mendapat nasihat YAB Perdana Menteri tetapi di Negeri Selangor, seolah-olah DYMM Sultan Selangor boleh bertindak tanpa mendapat nasihat YAB Dato' Menteri Besar hanya dengan alasan bahawa peruntukan undang-undang tubuh tidak menyatakan secara jelas baginda perlu merujuk kepada YAB Dato' Menteri Besar? Adakah SPB Yang DiPertuan Agong sahaja Raja Berperlembagaan di dalam Negara ini?

Ini adalah jelas satu tindakan yang berpilih dan tidak sama-rata. Gambaran yang terpampang kepada rakyat adalah dua layanan yang berbeza; satu untuk Pakatan Rakyat dan satu untuk Barisan Nasional.

Saya mengajak semua pihak untuk mengingati episod memalukan di Negeri Perak, berkenaan tindakan menggantung ADUN Bebas pro-BN oleh Speaker Perak telah dicabar di mahkamah, tetapi dalam kes penggantungan ahli parlimen dari Pakatan Rakyat seperti Dato' Sri Anwar Ibrahim, menteri berhujah bahawa kuasa Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah.

Begitu juga dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lain. Mengikut amalan dan konvensyen, ianya akan dirujuk dan dibincangkan antara Ketua Negeri dan Ketua Kerajaan. Tetapi, apabila Negeri Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat, amalan dan konvensyen ini tidak dibuat. Saya yakin dan percaya rakyat Selangor mahu YAB Dato' Menteri Besarnya dihormati oleh semua pihak termasuk pihak istana. Rakyat akan menolak sebarang tindakan "beraja di mata, bersultan di hati" oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja.

Janganlah kerana hendak menegakkan benang yang basah, institusi negeri yang dihormati rakyat dijadikan perkakas oleh mana-mana pihak berkepentingan. Saya meneliti juga kenyataan Setiausaha Sulit tersebut yang menyatakan baginda DYMM Sultan Selangor seorang sultan yang tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang telah dibuat. Bagaimana sekiranya keputusan yang dibuat atau cara keputusan itu dibuat adalah salah? Adakah baginda masih tidak akan berganjak? Harapan saya supaya ketegasan tidak dikelirukan dengan ego.

Dalam sejah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang Raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlansung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor.


Shuhaimi Shafiei
ADUN Sri Muda

PERTEMUAN PAS - UMNO, TIDAK SALAH DAN TIDAK JANGGAL ASALKAN.....

Posted: 29 Dec 2010 11:57 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

MASIH lagi mahu mengulas tentang dakwaan berlakunya pertemuan PAS-Umno seperti yang dihebohkan sekarang. Apabila membaca tulisan rakan saya di sini, saya amat bersetuju dengan soalannya iaitu `Apa salahnya PAS berjumpa dan berbincang dengan Umno?'.

Memang tiada salahnya mana-mana pemimpin dari PR untuk berjumpa dengan mana-mana pemimpin dari Bn, apatah lagi dengan pemimpin negara. Bukan kita tidak pernah dengar bahawa banyak kali pemimpin dari PR termasuk dari Ketua Pembangkang DS Anwar berhajat untuk berjumpa dan berbincang dengan pemimpin kerajaan berkaitan banyak isu negara. Malangnya, keinginan untuk berjumpa dan berbincang sering tidak mendapat layanan dari pemimpin kerajaan.

Berbalik kepada pertemuan atau perbincangan PAS dengan Umno itu, kita cuma sekadar mahu bertanya pertemuan dan perbincangan yang didakwa berlaku itu untuk apa? Apa matlamat pertemuan dan perbincangan tersebut? Sekiranya perbincangan untuk menyatu padukan orang-orang Melayu, tentu lebih lojik parti sekutu dari PR juga dipanggil berbincang kerana parti ini juga mempunyai lebih separuh ahlinya dari kaum Melayu. Malahan, di dalam DAP pun ramai kaum Melayu menjadi ahli dan pemimpinnya.

Sekiranya berbincang atas nama perpaduan Islam, tentulah lebih baik dan inilah yang dituntut oleh agama Islam. Namun, tidak boleh juga dielakkan untuk membabitkan rakan sekutu di dalam PR kerana ramai ahli dari parti ini yang berugama Islam. PKR juga diterajui oleh pimpinan yang berugama Islam. Jadi, kesemuanya tertakluk di atas tujuan apa pertemuan tersebut boleh diadakan.

Saya tidak mahu mengandaikan pertemuan itu, jika benar berlaku adalah kerana untuk membincangkan UG (Kerajaan Perpaduan). Saya percaya isu UG telah lama ditutup buku oleh PAS, dan PAS komited untuk terus bersama dengan PR. Ini adalah keputusan Muktamar PAS sebelum ini.

Rumusannya, pertemuan PAS - Umno bukanlah sesuatu yang janggal demi kebaikan rakyat dan negara, tetapi akan dilihat janggal jika pertemuan itu dirahsiakan dari rakan sekutu dari PR./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: