Isnin, 13 Disember 2010

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?

Posted: 13 Dec 2010 08:15 PM PST

Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?

Shaharul Shafie

Hari ini kita digemparkan apabila secara rasminya blogger yang penuh kontroversi, Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK mengumumkan buat pertama kalinya nama seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar sebagai antara calon 'beliau' yang bakal mewakili pihak Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya umum akan datang. Bukan itu sahaja, RPK yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat (PR) selama ini dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menukar pendirian.

Malah PRK sendiri dilihat mengemudi pembentukan Kuasa Ketiga dari dalam buangan sukarelanya di London melalui penubuhan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM). RPK dikatakan kecewa dengan keadaan dalaman PKR hari ini apabila Datuk Zaid Ibrahim yang juga rakan baiknya telah dilihat beliau sebagai 'mangsa keadaan' kepada percaturan politik Anwar. Mungkin ramai di antara kita tertanya-tanya apakah itu Kuasa Ketiga atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai "Third Force" di dalam arus politik nasional hari ini.

Apakah itu politik 'Kuasa Ketiga'?

Kuasa Ketiga adalah satu kumpulan politik berbentuk kepartian dan kesepakatan yang ditubuhkan bagi mewakili satu kumpulan yang besar lagi berpengaruh yang berkongsi arah tuju perjuangan politik di peringkat nasional. Perjuangannya adalah berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh dua kuasa politik yang pertama itu. Kuasa Ketiga mampu merubah lanskap politik dengan menjadi kuasa penentu kepada pembentukan sesuatu kerajaan selepas pilihanraya. Dalam konteks Malaysia, dua kuasa pertama yang dimaksudkan ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Kuasa Ketiga yang digembar-gemburkan wujud di Malaysia ini adalah satu kumpulan politik beraspirasi baru yang bakal memberi tekanan kepada kedua-dua kuasa yang sedia ada terutamanya dari segi merebut undi di dalam satu-satu pilihanraya sama ada ia pilihanraya umum ataupun kecil. Lazimnya, pemimpin kumpulan Kuasa Ketiga ini adalah meliputi mereka yang pernah berada dalam dua kumpulan sebelum ini tetapi kerana kecewa dan perjuangan politik yang berbeza menyebabkan mereka membentuk pakatan baru.

Selain itu, Kuasa Ketiga juga semakin menempa tempat di hati para pengundi di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada dan United Kingdom (UK), pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan atau NGO adalah kebanyakannya akan terjun menjadi pemimpin Kuasa Ketiga di negara masing-masing. Kuasa Ketiga yang boleh dikategorikan sebagai sangat berjaya adalah yang wujud di UK. Kita akan berbicara tentang Kuasa Ketiga di luar Malaysia nanti.

Kenapa wujud Kuasa Ketiga di Malaysia?

Kewujudan Kuasa Ketiga di Malaysia disebabkan oleh faktor kelemahan oleh BN dan PR. Ramai yang berada di dalam Kuasa Ketiga ini berasa kecewa atau tidak berpuashati dengan cara pengurusan perjuangan dan idealisma politik oleh parti masing-masing yang memaksa mereka meninggalkan parti. Sebagai contohnya, kelemahan dan ketelusan di dalam PKR telah menyebabkan ungkapan Kuasa Ketiga hari ini semakin menonjol.

Ramai yang melaporkan tidak dapat menerima apa yang dikatakan berlakunya 'dinasti Anwar' di dalam PKR yang sepatutnya menjadi satu wadah perjuangan rakyat marhaen apabila anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar terpilih menjadi Naib Presiden pada usia yang muda. Ada juga yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini dan ada juga melihat kelemahan PKR di dalam pentadbiran sebagai kerajaan terutamanya di negeri Selangor.

Sebenarnya, kemunculan Kuasa Ketiga di dalam negara banyak disebabkan oleh kepincangan di dalam PKR dan kurang disebabkan oleh masalah-masalah dalaman parti-parti komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP. Tetapi tidak dinafikan bibit-bibit permulaan Kuasa Ketiga ini sebenarnya sudah lama bermula dan ia berasal dari kelemahan UMNO dan parti-parti komponennya yang lain di dalam BN seperti MIC.

Perkasa Kuasa Ketiga?

Bercakap mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), kita boleh katakan Perkasa mempunyai kriteria untuk dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga tetapi tidak sepenuhnya. Ini adalah kerana penubuhan Perkasa hanya dibuat sebagai NGO dan mengelak membentuk kuasa kepartian. Membentuk parti adalah syarat utama bagi dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga. Ramai yang berpendapat bahawa Perkasa dilihat mampu membentuk Kuasa Ketiga tetapi hanya jika UMNO sendiri menjadi lemah.

Saya boleh mengagak bahawa Perkasa sebenarnya mempunyai cita-cita menjadi parti politik Melayu. Lebih-lebih lagi apabila dipimpin oleh ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali dan mendapat sokongan kuat daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seperti mana yang kita sedia maklum, penubuhan Perkasa dibuat semasa UMNO dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dan semua maklum bagaimana buruknya hubungan Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir. Sokongan Tun Mahathir kepada Perkasa adalah sebagai memberi tekanan kepada Pak Lah.

Maka, Perkasa dibentuk terlebih dahulu menjadi NGO bagi memberi peluang kepada UMNO untuk mengukuhkan dirinya semula. Kini apabila tampuk UMNO dipegang oleh Datuk Seri Najib Razak dan perpaduan di dalam UMNO dapat diperbaiki maka Perkasa dijangka tidak akan meneruskan cita-citanya di dalam menceburi politik secara rasmi. Namun begitu, daripada maklumat yang boleh dipercayai, walaupun Tun Mahathir mulai senang dengan kedudukan UMNO sekarang di bawah Najib, beliau didakwa masih mengaturkan kemungkinan tetap adanya calon Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya akan datang yang disokong oleh Perkasa secara lembut. Beliau dikatakan berbuat demikian sekadar untuk mengukur sejauh mana kekuatan UMNO selepas era-Pak Lah. Wallahualam.

Satu lagi contoh jelas Kuasa Ketiga yang muncul dalam tiga tahun lepas ialah Hindraf dan Human Rights Party (HRP) yang disebabkan dakwaan kegagalan MIC sebagai wakil masyarakat India di dalam kerajaan BN di dalam memperbaiki mutu kehidupan masyarakat itu sejak merdeka. Malah, Hindraf juga tidak percaya kepada kemampuan PR bagi memperjuangkan mereka dan keadaan ini amat sesuai untuk kita takrifkan sebagai satu contoh kewujudan 'komponen' terawal Kuasa Ketiga di negara kita. Oleh kerana masyarakat India adalah kecil maka kewujudannya tidak dapat dirasai sebagai cabaran atau tekanan kepada BN dan PR sebagai kuasa yang mampu mengurangkan majoriti mereka di dalam satu-satu pilihanraya.

Meskipun pengundi Cina menolak parti MCA dan Gerakan semasa pilihanraya yang lepas, mereka bersepakat menyokong DAP yang secara tidak langsungnya memberi kekuatan kepada PR keseluruhannya. Faktor kekuatan DAP yang masih dilihat sebagai alternatif parti kaum Cina menyebabkan Kuasa Ketiga tidak wujud secara jelas di dalam masyarakat Cina. Jika adapun, segelintir pemimpin kurang penting dari Gerakan dan parti-parti berteras kaum Tionghua di Sarawak yang membentuk sebuah parti baru yang dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada tahun lepas. Kekuatan PCM tidak signifikan untuk membentuk Kuasa Ketiga.

Sepertimana pentingnya kuasa politik Melayu menentukan kerajaan di negara ini kepada BN dan PR, ia juga amat penting kepada Kuasa Ketiga. Dengan adanya Hindraf/HRP dan PCM yang mewakili India dan Cina masih tidak mampu mengukuhkan Kuasa Ketiga. Episod terkini dalam politik tanah air di dalam PR yang menyebabkan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti dan berjanji membentuk parti baru pastinya kesempatan yang dilihat bagus bagi mengukuhkan Kuasa Ketiga.

Kuasa Ketiga tidak semestinya parti serpihan

Mungkin ada antara kita yang berpendapat Kuasa Ketiga ini adalah kumpulan serpihan daripada BN dan PR. Mungkin ada kebenarannya hakikat itu tetapi perlu dijelaskan sekali lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Kuasa Ketiga juga merupakan mereka yang tidak pernah pun menyertai BN dan PR tetapi terlibat di dalam NGO-NGO dan berpandangan yang tidak sehaluan sama ada dengan perjuangan BN dan PR. Sepertimana Zaid yang kini dilaporkan sudah menyertai sebuah parti dorman iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan dijangka menjadi Presiden terbaru AKIM tidak lama lagi, kita tidak boleh menyebut AKIM sebagai parti serpihan kerana parti itu telah wujud sejak tahun 1995.

Jika Zaid membuka parti baru mungkin parti berkenaan boleh disebut sebagai serpihan. Namun begitu, untuk mendefinisikan Kuasa Ketiga, isu parti serpihan tidak timbul sama sekali. Untuk Kuasa Ketiga sama ada sebagai sebuah parti (tidak kira batul-betul baru atau serpihan) atau sebuah lagi gabungan parti-parti, mereka perlukan sekurang-kurangnya 20 peratus sokongan daripada undi rakyat Malaysia. Oleh itu, untuk mengatakan wujudnya Kuasa Ketiga secara sepenuhnya di Malaysia hari ini masih terlalu awal. Ini kerana kita belum lagi melalui satu proses pilihanraya umum untuk mengukur sejauh mana mereka yang mendakwa menjadi Kuasa Ketiga ini mampu mengaut 20 peratus undi popular bagi melayakkan mereka menggunakan istilah tersebut.

Sejarah Kuasa Ketiga di dunia Barat

Di negara-negara maju di Barat dan mengamalkan demokrasi, kewujudan Kuasa Ketiga sudah mula wujud selepas era Perang Dingin. Seperti yang penulis sebut awal-awal mengenai kelemahan sistem dua parti yang membuatkan rakyat jelik dan kecewa dengan dasar-dasar kedua-dua parti utama inilah menyebabkan kewujudan Kuasa Ketiga. Selain itu, antara pelopor Kuasa Ketiga di rantau sebelah sana yang mulai mendapat tempat telah dimulakan sebagai parti pencinta alam sekitar.

Mungkin anda pernah mendengar nama parti 'Green'. Parti-parti berhaluan alam sekitar banyak ditubuhkan di beberapa negara di dunia Barat. Namun begitu, di Amerika Syarikat, parti Green masih dilihat sebagai 'pilihan' ketiga kepada pengundi tetapi masih belum layak disebut sebagai Kuasa Ketiga. Ini kerana kemampuannya mengutip sebilangan peratusan undi popular masih di peringkat yang rendah. Parti-parti seperti Republikan dan Demokrat masih lagi dianggap teguh dan dipercayai di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem dua parti yang kukuh itu.

Contoh yang terbaik adalah di United Kingdom (UK). Semasa pilihanraya umum UK pada pertengahan tahun ini, tiada satu parti pun yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru. Sepertimana yang anda sedia maklum, gergasi politik atau Kuasa Pertama dan Kuasa Kedua di UK adalah parti Buruh dan parti Konservatif. Dewan Rakyatnya yang dikenali dengan nama House of Commons mempunyai 650 kerusi dan parti yang boleh membentuk kerajaan memerlukan 326 kerusi sebagai majoriti mudah.

Di dalam pilihanraya tersebut, kedua-dua parti itu gagal memperolehi jumlah mudah tersebut. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron (kini Perdana Menteri) memperolehi 306 kerusi manakala parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Gordon Brown pula mendapat 258 kerusi. Untuk membentuk kerajaan di dalam keadaan yang diistilahkan sebagai 'Parlimen Tergantung', mereka perlu mencari mana-mana parti lain atau Bebas yang memenangi kerusi untuk bergabung dan membentuk kerajaan. Akhirnya, sebuah lagi parti yang layak ditakrifkan sebagai Kuasa Ketiga iaitu parti Liberal Demokrat dengan 57 kerusi akhirnya bersetuju bekerjasama dengan parti Konservatif bagi membentuk kerajaan.

Dalam lain perkataan, dengan keperluan yang teramat sangat ke atas Liberal Demokrat oleh Konservatif dan Buruh menunjukkan kepada kita betapa kuatnya pengaruhnya sebagai satu kuasa. Selain itu, Liberal Demokrat yang memperolehi hampir 23% undi popular semasa pilihanraya tersebut dan ini turut melayakkan partinya dianggap sebagai Kuasa Ketiga yang menggugat kemampuan parti Konservatif dan Liberal di dalam membentuk kerajaan bersendirian. Ini adalah satu kes yang jelas bagi menggambarkan keadaan sebenar politik tentang Kuasa Ketiga.

Konsensus Bebas di Parlimen bukan Kuasa Ketiga

Di Malaysia, kita ada sekumpulan ahli Parlimen yang berstatus Bebas dan kesemua mereka ini adalah bekas ahli Parlimen PKR yang keluar dari parti tersebut kecuali Ibrahim Ali. Mereka menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'Konsensus Bebas' dan mendakwa mereka adalah Kuasa Ketiga. Bagi penulis, bagi memperolehi status Kuasa Ketiga tidak semudah itu kerana mereka tidak membentuk satu ikatan yang formal yang membolehkan mereka menjadi sebuah parti politik. Malah sebagai 'Bebas' dengan sendirinya meletakkan mereka 'di atas pagar' politik.

Dalam pilihanraya UK yang lalu juga, mereka yang tidak menyertai Liberal Demokrat dan menang atas tiket parti lain seperti parti Green, parti-parti wilayah seperti Plaid Cymru di Wales dan Parti Kebangsaan Scotland untuk Scotland serta parti Bebas. Mereka ini seramai 37 ahli parlimen yang tidak berstatus Kuasa Ketiga.

Jika mereka (Konsensus Bebas di Malaysia) mempunyai ideologi yang sama secara sahsiahnya mereka bukan lagi berstatus 'Bebas'. Untuk menjadi ahli parlimen Bebas, setiap daripada mereka tidak boleh nampak bersama dan berkaitan antara satu sama lain di dalam tindakan dan wadah perjuangan mereka. Oleh itu, dengan mengatakan Konsensus Bebas sebagai Kuasa Ketiga adalah salah dan berangan-angan menjadi Kuasa Ketiga sebagai pakatan bersama-sama mereka juga sudah menyalahi etika sebagai mereka yang ditakrifkan sebagai ahli parlimen yang benar-benar 'Bebas'.

Sejauh mana kemampuan 'Kuasa Ketiga' dalam PRU-13?

Sepertimana yang saya ada ulas awal tadi bahawa mereka yang mendakwa mereka sebagai Kuasa Ketiga masih belum lagi sah atau layak memiliki pengiktirafan berkenaan. Mereka perlu melalui perjalanan pilihanraya untuk melihat sama ada mereka berjaya menawan lebih 20 peratus undi popular sebagai syaratnya.

Namun begitu, saya jangkakan pilihanraya umum ke-13 nanti akan memberi satu perbezaan jika dibandingkan dengan pilihanraya umum ke-12 terutamanya kewujudan calon-calon yang akan bertanding menentang calon-calon BN dan PR di dalam sebahagian besar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri nanti.

Mungkin terlalu awal untuk menyangka akan kemampuan mereka untuk bertanding dalam tiga penjuru di kesemua kerusi Parlimen dan DUN di negara ini. Mungkin mereka akan memilih lokasi yang sesuai yang tepat dengan jangkaan jumlah pengundi yang menyokong perjuangan mereka. Kawasan yang terbaik untuk mereka menentang BN dan PR adalah di kawasan-kawasan Melayu bandar (terutamanya di Lembah Kelang) dan juga kawasan tumpuan utama pemimpin PR dan BN seperti Permatang Pauh, Lembah Pantai dan Gombak.

Saya berasa yakin tiada calon 'Kuasa Ketiga' di kawasan penempatan calon Cina. Ini adalah kerana berdasarkan senario politik hari ini, DAP masih mampu menguasai sentimen dan undi-undi pengundi Cina. Selain itu juga, kawasan-kawasan luar bandar juga tidak sesuai untuk mereka ini mencuba nasib kerana sentimen Melayu di kawasan ini adalah masih selesa dengan perjuangan UMNO dan PAS.

Dalam kata lain, calon-calon Kuasa Ketiga ini patut lebih selesa meletakkan calon di kawasan yang kini diduduki oleh ahli Parlimen PKR. Ini adalah kerana penonjolan Kuasa Ketiga hari ini adalah hasil daripada konflik dalaman yang melanda PKR sejak pemilihan parti yang baru lepas. Dijangkakan juga beberapa ahli Parlimen PKR sendiri yang dilihat rapat dengan Zaid yang ada sekarang mungkin membuat kejutan meninggalkan parti itu dan bertanding sebagai calon 'Kuasa Ketiga'.

PRU-13 boleh menjadi gelanggang pertama golongan yang mendakwa 'Kuasa Ketiga' yang pertama di Malaysia ini mencuba nasib dan mencari pengalaman berpilihanraya. Namun begitu, amat sukar bagi mereka untuk mencapai kedudukan seperti parti Liberal Demokrat di UK yang dipimpin oleh Nick Clegg yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri UK hasil rundingan perkongsian kuasa dengan Konservatif yang memperolehi lebih 20 peratus undi popular di seluruh UK. Mungkin pada awalnya, Kuasa Ketiga di Malaysia ini akan hanya dianggap pengacau undi tetapi dengan manifesto perjuangan yang mantap, telus dan usaha bersungguh-sungguh mampu membolehkan mereka mencapai tahap seperti Liberal Demokrat di UK.

PRK Batu Sapi permulaan Kuasa Ketiga?

Pilihanraya kecil di Batu Sapi boleh diambil contoh sebagai permulaan kepada episod Kuasa Ketiga itu. Di dalam PRK tersebut, tiga parti yang bertanding ialah PBS(BN), PKR(PR) dan SAPP. SAPP boleh diibaratkan sebagai Kuasa Ketiga dalam konteks kecil negeri Sabah. Namun begitu, keputusan yang memihak kepada BN dengan jelas sekali menang besar walaupun jumlah undi PKR dan SAPP dicampur masih belum dapat menandingi BN. Tetapi ini adalah satu permulaan kepada sesuatu yang lebih menjuruskan kepada kepentingan Kuasa Ketiga di masa hadapan sekiranya mereka memperolehi undi besar yang menakutkan calon BN dan PR.

Nasib Kuasa Ketiga hari ini tidak dapat ditentukan lagi. Keadaan mereka ini adalah bergantung kepada kemampuan PKR di dalam menjelaskan perkara sebenar dan mengaku kesalahan yang dilakukan agar nampak telus di mata penyokongnya dan rakyat yang menyokongnya supaya terus menyokongnya. Perlu diingatkan PKR dan PR tidak boleh menolak hakikat bahawa kemenangan mereka dahulu juga disebabkan oleh pengundi atas pagar dan juga ahli-ahli UMNO dan komponen BN yang lain yang mengundi protes. Jika BN sudah bersedia dan mantap kali ini, pastinya undi protes itu akan kembali semula kepada mereka. Senario politik negara kita masih sukar diramal tetapi PR terutamanya PKR masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memenangi hati rakyat semula.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

HA..HA ADA YANG AKAN DI BONGKAR :Jangan ambil kisah dakwaan WikiLeaks, kata Najib

Posted: 13 Dec 2010 07:44 PM PST

The Malaysian Insider

Tiba -tiba PM berkata jangan ambil kisah pendedahan wikilinks...akan tetapi media umno telah memburukkan anwar dengan memberikan persepsi sebaliknya.


Apakah ini ditakuti akan berlakunya banyak pendedahan lain selain apa yang didedahkan oleh akhbar utusan Malaysia?



Jangan ambil kisah dakwaan WikiLeaks, kata Najib

December 13, 2010
Najib meminta rakyat Malaysia agar membuktikan mereka boleh mencapai kejayaan. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Datuk Seri Najib Razak, dalam komen pertama mengenai laporan pendedahan WikiLeaks, meminta rakyat Malaysia tidak menghiraukan cakap-cakap yang menyentuh hubungan negara jiran serantau, sebaliknya mahu memfokus usaha mencapai matlamat negara.

Laporan akhbar Australia, The Sun-Herald menyiarkan kandungan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh WikiLeaks.

Kabel itu, catatan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat.

"Kita boleh membuktikan kepada jiran-jiran kita, meskipun kadangkala mereka membuat kenyataan memperlekehkan tentang kita, bahawa rakyat Malaysia boleh mencapai (kejayaan)," kata Najib ketika berucap pada majlis kutipan derma Yayasan Perubatan 1 MCA di sini malam ini.

"Pencapaian terbesar ialah apabila kita menjadi negara maju menjelang 2020," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sebahagian daripada sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

WikiLeaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyifatkan tindakan WikiLeaks sebagai sesuatu yang "amat dikesali" ketika beliau berbual dengan rakan-rakan sejawatannya menerusi telefon, yang turut bersetuju pendedahan itu tidak harus menjejaskan hubungan dengan Washington.

Diplomat Amerika Syarikat di Kuala Lumpur juga melahirkan sentimen yang sama kepada Wisma Putra meskipun mereka memandang berat tuduhan liwat kedua yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turtu disebutkan oleh laporan The Sun-Herald.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa "Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten."

Singapura dan Malaysia berpisah pada 1965, hanya dua tahun selepas membentuk Malaysia. Kini mempunyai hubungan kuat tetapi tidak membenarkan akhbar masing-masing diedarkan di negara mereka.

Terdahulu Bernama melaporkan, Singapura menyatakan bahawa laporan terkini WikiLeaks yang membabitkan pemimpin dan pegawainya mengenai kenyataan yang memudaratkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat, tidak akan menjejaskan hubungan republik ini dengan negara berkenaan.

"Hubungan ini telah dibina atas landasan yang kukuh dengan berkongsi kepentingan dan kerjasama untuk manfaat bersama dalam banyak bidang," kata seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar hari ini.

"Singapura mempunyai hubungan, gigih dan positif sekian lama dengan semua negara di rantau ini," kata jurucakap itu sambil menambah negara-negara berdasarkan hubungan mengenai kepentingan mereka sendiri dan "bukan cakap-cakap atau mengumpat".

Menurut salah satu kabel yang didedahkan WikiLeaks, Bilahari Kausikan yang kini merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, didakwa memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat David Sedney bahawa "ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia" yang akan menyebabkan orang Cina meninggalkan Malaysia dan "menyusahkan" Singapura.

Mengenai kepimpinan BN pula, kata beliau, "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa."

Ini kerana Najib perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa, secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan Presiden Umno itu terancam disebabkan kes pembunuhan tersebut.

Seorang lagi pegawai diplomatik bernama Peter Ho pula dikatakan mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana "membaling batu" kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dia juga mendakwa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan ditikam dalam Umno kerana tiada orang yang menyukainya kerana beliau naik dalam politik akibat pertalian keluarga.

Ho juga didakwa mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya dan menyifatkan Najib seorang yang suka mengambil kesempatan.

GERAKAN MENYEKAT CERAMAH MULA BERJALAN

Posted: 13 Dec 2010 05:50 PM PST

Sepeti biasanya gerakan menghalang ceramah telah di lakukan dimana ceramah-ceramahakan di batalkan permit atau tidak mendapat permit.Inilah yang dilakukan kerajaan dan dalam masa yang sama juga berita dan akhbar terus meracuni rakyat agar membenci ikon anwar ibrahim, kerana yang sedang mereka berperang ialah anwar ibrahim dan bukannya PKR,DAP atau PAS.
Bagi Bn/Umno, hancurnya Anwar bermakna akan hancurnnya pakatan Rakyat, maka kerana itu anwar mesti di hancurkan terlebih dahulu.

Kaedah pertamanya ialah dengan menghalang ceramah Anwar di seluruh negara,kerana Anwar dalam rangka lawatan ceramah di seluruh negara buat masa kini.Maka dengan cara tersebut,ianya di lihat sebagai satu keadah atau taktik bagi menghalang penyampaian maklumat kepada orang ramai.

Halangan berikut ialah dengan menyekat pengaruh media.Media akhbar tidak di beri lesen atau di bberi permit, maka kerana itu ianya di lihat sebagai satu langkah yang amat berkesan.

Anwar jelajah Malaysia jelas isu Wikileaks




Polis: Jangan hadiri ceramah PKR esok


Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menghadiri ceramah umum PKR di tapak pasar malam Taman Melati, Wangsa Maju, di ibunegara esok.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata penganjur tidak mempunyai permit untuk mengadakan ceramah umum itu.

Polis tidak meluluskan permohonan penganjur kerana ia boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan keselamatan, katanya kepada Bernama melalui SMS hari ini.

Katanya pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur meneruskan majlis tersebut.

Ceramah umum PKR, anjuran cabang Wangsa Maju, dijadualkan bermula jam 9 malam.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berucap di ceramah tersebut.

SIAPA YANG WARAS DAN TAHU KENA PERANGKAP MASUK PERANGKAP

Posted: 13 Dec 2010 04:40 AM PST

"Siapakah yang berfikiran waras, akan dengan sengaja memasuki perangkap jika dia sudah tahu mengenainya?

Soalan itu diajukan oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan dalam Wikileaks yang tuduhan liwat terhadapnya adalah satu perangkap.

Pihak berkuasa Singapura dipetik sebagai mendakwa Anwar mungkin mengetahuinya "tapi tetap masuk ke dalamnya (perangkap)".

sankara nair bukit aman teresea kok isa arrest pc 170908 02"Ini sama sekali tidak logik dan benar-benar tak masuk akal," kata
Sankaran Nair dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mendakwa akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia mengamalkan 'kewartawanan yang tidak bertanggungjawab' dalam melaporkan pendedahan tersebut.

Sankara Nair berkata, media tempatan telah memilih untuk bergantung kepada laporan untuk menerbitkan perkara yang tidak terbukti dan hanya berdasarkan kepada desas-desus dan telahan.

"Sampai saat ini, semakan kami dengan rakan sejawatan serta pelbagai sumber menunjukkan tiada rujukan seperti itu dibuat oleh Wikileaks berdasarkan tuduhan khusus seperti yang dilaporkan dalam Herald Sun (Sydney Morning Herald)," katanya.

Sankaran mendakwa akhbar berkenaan sengaja mengherotkan laporan tentang Anwar dan memfokus terhadapnya sahaja dan meninggalkan semua tuduhan serius terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan yang lain-lain.

Jelas, kata Sankara, kedua-dua khabar tersebut mempunyai "motif jahat dan telah mengamalkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab".

'Subjudis untuk dilaporkan'

Sankara juga menyifatkan laporan mengenai dakwaan tersebut sebagai "jelas subjudis" dan ia mungkin merupakan satu penghinaan mahkamah, kerana perbicaraan sedang berlangsung.

Katanya, penerbitan kenyataan yang berkaitan dengan dakwaan kesalahan itu adalah dilarang.

Katanya, tindakan itu menceroboh integriti perbicaraan dan hakim berkewajiban untuk melindungi kesucian perbicaraan, terutama daripada mereka yang bukan dalam sistem kehakiman jenayah, dan dalam hal ini, pihak media.

Menurutnya, laporan media telah mensasarkan tepat pada perbicaraan dan "kami amat memandang berat terhadapnya".

Sambil menegaskan bahawa hakim juga manusia, Sankaran berkata, fokus media itu boleh mempengaruhi persepsi umum terhadap Anwar.

SIASAT DULU BARU DAKWA

Posted: 13 Dec 2010 03:59 AM PST

PAS ramal BN adakan rampasan kuasa jika tewas PRU13

Posted: 13 Dec 2010 02:46 AM PST

PAS ramal BN adakan rampasan kuasa jika tewas PRU13

December 13, 2010
Mahfuz menyifatkan kenyataan oleh Najib itu sebagai berbahaya. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Pemimpin PAS menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan rampasan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihan raya umum ke-13 tergempar, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan rakyat tidak mengundi parti lain selain BN menunjukkan perdana menteri sangat terdesak untuk kekal memegang kuasa.

"Pada Sabtu lalu, perdana menteri mengatakan jika BN tidak boleh menang, tiada pihak lain yang boleh atau harus menang. Ini satu kenyataan bahaya... apa yang akan berlaku jika BN kalah dalam pilihan raya umum akan dating?" katanya lagi.

"Adakah ini bermakna akan ada rampasan kuasa? Satu ugutan telah pun dibuat oleh perdana menteri, sebahagian daripada persediaan ke arah pilihan raya, seolah-olah Najib sendiri tidak yakin dengan peluang partinya untuk menang," kata Mahfuz kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

MENYUSUL LAGI

Politik WikiLeaks, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat

Posted: 13 Dec 2010 02:43 AM PST

Politik WikiLeaks, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat
Haris Zalkapli

Pendedahan WikiLeaks tentang komunikasi perisikan Singapura dengan Australia yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tuduhan liwat sekali pandang tidak menjelaskan apa-apa yang konkrit.

Maklumat yang didedahkan itu menunjukkan bahawa pihak tertentu di Singapura dan Australia percaya dengan tuduhan terhadap Anwar, berdasarkan risikan mereka.

Kenyataan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa maklumat WikiLeaks tentang Anwar disensasikan tidaklah keterlaluan, disebabkan nilai berita itu kepada pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Pihak peguam Anwar pula menganggap pendedahan maklumat itu sebagai subjudice memberi amaran supaya media tidak menerbitkannya.

Tetapi kesan maklumat itu menyumbang kepada permainan persepsi yang sedang berlangsung di media, menjelaskan mengapa sebuah akhbar propemerintah meletakkan berita itu di muka hadapan, walaupun tidak melaporkan dengan lebih lanjut isu itu (ini walau bagaimanapun tidak akan menghentikan pemain-pemain media baharu pro-Umno daripada memperpanjangkan isu ini untuk membina dan mengukukan persepsi negatif).

Ini kerana WikiLeaks ditakuti oleh semua pemain politik, sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sekiranya satu pendedahan maklumat yang negatif bagi pihak lawan disambut sebagai fakta sahih akan memerangkap diri sekiranya pendedahan memanfaatkan lawan pula berlaku.

Sekiranya diperhatikan, kedua-dua pihak tidak segera mengambil kesempatan daripada pendedahan WikiLeaks, walaupun boleh memberikan mileage yang besar.

Pendedahan melibatkan syarikat Malaysia yang dikaitkan dengan Iran dan komunikasi pegawai Amerika Syarikat dengan pegawai Malaysia berhubung sebuah bank Iran tidak disambut seperti biasa oleh pembangkang.

Pada masa sama, pihak pemerintah juga tidak kelihatan seperti memperakui maklumat pendedahan itu, mungkin sebagai satu langkah untuk tidak memberi kredibiliti kepada WikiLeaks.

Dilaporkan masih banyak kawat melibatkan Malaysia diperolehi WikiLeaks. Kemungkinan untuk maklumat itu nanti mendedahkan keburukan pemimpin – atau mana-mana ahli politik Malaysia – tidak dapat ditolak.

Disebabkan pertimbangan inilah kedua-dua pihak kerajaan dan Malaysia tidak mahu memberikan WikiLeaks kredibiliti seperti yang biasa dilakukan terhadap laporan dari Barat yang menguntungkan, kerana potensinya untuk menjejaskan sesiapa sahaja.

Berhubung perang persepsi yang sedang berlangsung pada masa ini, pendedahan itu tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan bukan hanya Anwar dan PKR.

Menjelang konvensyen Pakatan yang bakal diadakan tidak lama lagi, perkembangan ini menuntut satu penilaian kritikal di pihak Pakatan disebabkan kesan manipulasi maklumat itu kepada gabungan ini.

Konvensyen itu nanti perlu fokus pada apa yang ingin dicapai dan dikemukakan kepada rakyat, dan tidak menjadi medan menangani maklumat WikiLeaks itu dan tertumpu kepada isu Anwar semata-mata.

Tindakan menyalahkan pihak lain semata-mata tanpa menjelaskan bagaimana menanggapi maklumat daripada pihak ketiga itu hanya akan mencetuskan satu imej negatif bagi pihak PKR.

Mengabaikan terus pendedahan itu dengan harapan isu tersebut akan berlalu begitu sahaja juga bukan sesuatu yang tepat, kerana maklumat itu akan tetap memberikan kesan.

Maklumat ini mungkin bukan yang terakhir didedahkan WikiLeaks yang mampu menjejaskan Pakatan.

Dalam hal ini, Pakatan tidak boleh kelihatan seperti ketakutan atau terdesak mempertahankan diri dengan cara yang tidak berwibawa seperti mengemukakan teori konspirasi yang berlebihan.

Pakatan perlu memberi tumpuan pada rakyat dan bukan individu-individu dalam aliansi ini.

Tabung Buluh Untuk PAS

Posted: 13 Dec 2010 01:06 AM PST

INI JUGA PATUT DILAKUKAN OLEH SEMUA PARTI DALAM PAKATAN RAKYAT.IANYA BUKAN SAHAJ MEMBANTU CALON DALAM PILIHANRAYA ,MALAH INYA JUGA AKAN DAPAT MENILAI SEJAUH MANA SOKONGAN DARI RAKYAT DI KAWAAN YANG BERTANDING


jIKA INI DAPAT KITA LAKUKAN ,KITA PERCAYA CALON YANG BERTANDING MAMPU MELAKUKAN GERKERJA DI KAWASAN MASING-MASING DAN DAPAT MELAKUKAN LAWATN KEKAWASAN YANG LUAS SEPERTI DI PAHANG DAN JUGA PERAK.



Tabung Buluh Untuk PAS
Harakahdaily

TEMERLOH, 13 Dis: Semua peminpin dan ahli PAS di seluruh negara di cadangkan agar membuka 'Tabung Buluh Untuk PAS' bagi mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan itu bertujuan untuk membolehkan PAS benar-benar bersedia dari segi kewangan di samping mempersiapkan calon PAS yang hendak bertanding agar setia dengan jamaah.

Beliau mencadangkan, tabung itu nanti hendaklah diserahkan sendiri oleh ahli PAS berkenaan kepada calon PAS yang hendak bertanding dan disertakan dengan amanat agar calon itu sedar bahawa mereka menjadi wakil rakyat nanti atas keringat semua ahli.

Secara simboliknya, beliau mencadang, tabung itu akan diserahkan kepada calon berkenaan ketika beliau diumumkan sebagai calon PAS nanti.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau mendapat idea itu berdasarkan kunjungan beliau ke satu majlis di Johor baru-baru ini yang menyaksikan satu majlis penyerahan tabung buluh dari ahli PAS untuk Unit Peti Undi (UPU) kawasan berkenaan.

"Saya ingin ubah sedikit. Dari kita serahkan kepada UPU, apa kata kita serahkan terus kepada calon yang hendak bertanding nanti dan kita tuliskan amanat kepada beliau di tabung itu nanti," kata Tuan Ibrahim.

"Apabila kita semua menyumbangkan wang untuk calon kita dan dengan amanat itu, kita yakin tidak akan ada mana-mana calon kita akan khianat kerana mereka sedar mereka menang adalah atas usaha semua ahli dan penyokong.

"Jadi secara spiritualnya, kita akan menghalang dari wakil rakyat kita lompat parti, khianat dan sebagainya," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yakin, semua orang mempunyai wang syiling yang berlebihan ketika pulang ke rumah atau sampai ke pejabat.

(Gambar: Memecahkan tabung buluh di Padang Luas, Besut..Foto blog Pemuda Besut)

"Dari memberatkan poket, baik kita masukkan ke dalam tabung buluh ini dan kita dapat pahala yang besar," kata beliau.


Padang Luas

Sementara itu, amalan mengumpulkan dana untuk parti melalui tabung buluh sudah diamalkan oleh PAS Padang Luas, Besut, Terengganu.

Pada 4 Disember lepas, mereka mengadakan majlis pecah tabung yang telah mereka edarkan kepada ahli-ahli mereka sejak Jun lalu.

Di majlis itu, berpuluh-puluh tabung buluh dipecahkan untuk mengeluarkan wang syiling dan kertas yang dikumpulkan oleh ahli-ahli mereka.

Menurut Abdullah Mamat, Ketua UPU Padang Luas, program menabung ini akan diteruskan lagi selepas ini.

Beliau juga menyeru para dermawan supaya turut tampil membantu menyumbang dana dalam usaha mengembalikan kemenangan DUN Jerteh, khususnya UPU Padang Luas dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Bandar Tasik Puteri


Di Selayang, PAS cawangan Bandar Tasik Puteri telah menggunakan pendekatan yang sama untuk mengumpulkan dana sejak setahun yang lalu.

(Gambar: Membilang hasil tabungan di Padang Luas, Besut...Foto blog Pemuda Besut)

Memandangkan buluh sukar diperolehi di kawasan mereka, AJK cawangan telah membeli tabung-tabung besi yang dijual di kedai-kedai dan diedarkan kepada AJK dan ahli-ahli mereka.

Dengan kos tabung RM5 setiap satu, mereka boleh mengumpulkan antara RM15 ke RM30 setiap tabung pada setiap bulan dari tabung itu.

"Pada setiap kali mesyuarat, semua AJK akan membawa tabung masing-masing. Sebelum memulakan mesyuarat kita buka tabung itu dan kira isinya. Kami akan perolehi kira-kira RM200 hingga RM300 setiap bulan dari tabung-tabung ini," kata Bendahari PAS cawangan itu, Saudara Anuar.

Wang dari tabung inilah, kata Anuar, membiayai banyak aktiviti PAS di cawangan itu.

Anak muda dijangka protes Pakatan Rakyat?

Posted: 12 Dec 2010 09:35 PM PST

Anak muda dijangka protes Pakatan Rakyat?
Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik. Penyertaan proaktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatian saya. Tanpa kehadiran mereka, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk.

Tidak gentar dengan ugutan dan gertakan, ternyata anak-anak muda ini sedia "bertempur", meredah tembakan gas pemedih mata dan basah dihujani pancutan water cannon. Idealisme mengungguli kebenaran terpasak kukuh dalam jiwa dan minda.

Dan inilah warisan mahasiswa zaman berzaman yang cukup membanggakan; tradisi mencabar dan sedia turun ke gelanggang mempraktikkan ilmu yang dikutip dari bilik kuliah, interaksi meluas dan pembacaan mendalam.


BUKAN SEKADAR SATU PESTA

Berlarian di jalan-jalan raya dikejar FRU bukannya sekadar satu pesta yang menyeronokkan. Ia memerlukan komitmen dan kesedaran. Isu yang mahu diperjuangkan perlu dihadam dan diperhalusi.

Dimensinya pelbagai dan merangkumi pelbagai aspek. Daripada tuntutan proses pilihan raya adil dan bebas, menjangkau desakan pemansuhan akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara, bantahan kenaikan harga minyak, juga tanpa melupakan problem dalam kampus seperti isu PTPTN, kemudahan asrama, akta universiti, sudut pidato, partisipasi politik. Sesekali melepaskan amarah di hadapan kedutaan Amerika Syarikat menentang sikap neo-imperialisme kuasa besar itu.

Kali ini bukan sekadar menentang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada tahun 2009, diikuti 25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10 peratus (2018) dan 5 peratus (2021), yang pastinya membebankan rakyat, malah secara umumnya mahu mengembalikan hak air air kepada rakyat, selain membetulkan kesalahan dalam penswastaan industri perkhidmatan air. Desakan turut dibuat agar sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu. Amalan kronisme yang menjadi budaya politik Umno-BN juga ditentang habis-habisan.

Berbanding siri perhimpunan raksasa sebelum ini, juga di lokasi sama, iaitu perkarangan Masjid Negara (juga Dataran Merdeka dan kompleks Sogo) menuju Istana Negara, pembabitan orang muda pada 5 Disember lalu jelas mendominasi suasana.

Biarpun diterajui pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun anak-anak muda ini saya yakin bukannya hanya mengikut melulu. Ia didorong atas sikap tanggungjawab yang penuh makna, demi mencapai kebaikan dan manfaat umum. Mereka mendahulukan kepentingan bersama meskipun terpaksa berdepan ancaman dan penguatkuasaan Auku yang mengongkong.


Lebih menarik apabila lima hari kemudiannya, pada Jumaat, 10 Disember, mereka sekali lagi berkumpul atas solidariti semangat kemahasiswaan di hadapan Masjid Putrajaya, menuju Jabatan Perdana Menteri. Medan kali ini lebih "terkepung" dan berisiko. Bagaimanapun ia bukan kali pertama mahasiswa memilih gelanggang Putrajaya.

Sudah beberapa kali anak muda terpelajar ini memprotes secara lantang di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, antara lain, menuntut sistem pilihan raya kampus yang adil, telus, tidak memihak dan benar-benar bebas daripada pengaruh dan campur tangan Urusetia Hal Ehwal Pelajar.


MENGANGKAT SUARA MASYARAKAT TERTINDAS


Mesejnya tetap sama, mengangkat suara masyarakat tertindas untuk didengari secara lebih jelas oleh elit penguasa. Mahasiswa mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib Razak kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, yang diumumkan secara tiba-tiba. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Mahasiswa pasca Auku juga tidak kurang hebatnya mempamerkan daya juang yang kental, menyelongkar kezaliman, membongkar penganiayaan, membela golongan miskin dan tertindas. Perobohan kawasan setinggan tanpa belas-kasihan, seperti di Kg Berembang, Ampang beberapa tahun lalu menjadi saksi.

Ia mengingatkan beberapa batu tanda sejarah kegemilangan gerakan pelajar terdahulu, misalnya peristiwa Telok Gong dan Tasek Utara. Penglibatan mahasiswa sebagai pemangkin gelombang reformasi 1998 juga tidak boleh dilupakan sehingga ada yang dipecat daripada universiti. Mereka bagai pembawa obor kesedaran, yang tiada berkepentingan.

Saya tetap yakin, jika ruang dan kesempatan diberikan, golongan mahasiswa hari ini tetap akan membawa panji-panji yang sama seperti generasi 1960-an dan awal 1970-an dahulu. Namun, sesuatu yang pasti, penguasa yang korup sentiasa menganggap masyarakat terpelajar sebagai seteru yang perlu dijinakkan. Peraturan makin diperketat, lingkungan disempitkan dan ruang perdebatan dikecilkan. Pemimpin universiti pula dipilih daripada kalangan pengampu dan kaki bodek. Masing-masing berlumba dan bersaing untuk memuaskan kehendak menteri.

Persoalan yang timbul, apakah minat dan kecenderungan positif mendekati gelodak rasa masyarakat ini benar-benar melebar di kalangan warga kampus, atau golongan yang sensitif dan prihatin ini tersudut dalam kelompok minoriti di menara gading? Mungkinkah sebahagian besar yang lain masih leka dengan rutin harian yang mementingkan diri sendiri semata-mata, atau langsung tidak terdorong untuk memahami pergolakan dan keresahan komuniti sekitar?


MELUNTURKAN KOMITMEN

Ada juga yang bimbang dengan suasana persekitaran yang turut melunturkan komitmen dan kesedaran anak muda sebagai agen perubahan, terutama selepas keluar daripada alam kampus. Memang diakui fenomena ini sentiasa berputar dalam lingkaran yang sudah diduga. Generasi yang begitu aktif dengan gerakan pelajar zaman 60-an dan 70-an pun dijangkiti wabak sama. Realiti dunia sebenar hanya menghakis daya juang yang dibekalkan di institut pengajian tinggi. Asakan kehidupan yang cukup rencam itu sering mengelirukan dan ramai idealis kampus kecundang.

Jika direnung perangkaan yang menunjukkan kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008. Manakala di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Senarai punca dan alasan belia Melayu bersikap tidak peduli mungkin panjang, seperti himpitan Auku, budaya hedonisme dan pengaruh materialisme. Minat mereka untuk turut serta dalam agenda politik, termasuk dalam kegiatan paling minimum seperti pendaftaran sebagai pengundi, berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Saya tidak pasti apakah anak-anak muda yang kelihatan prihatin dengan persoalan politik dan bersedia untuk berdemonstrasi memperjuangkan isu-isu rakyat sudah mendaftar sebagai pengundi.

Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih terbuka dan berpemikiran kritis. Ya, zaman penguasa menakrifkan segalanya buat rakyat sudah berakhir. Media "arus perdana" hilang sengat dan bisanya. Anak muda tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton YouTube dari bilik tidur atau membaca berita-analisis terbaru yang segar daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari dengan mudah dan cepat.

Soalnya, mengapa dalam situasi yang begitu selesa dan secocok dengan amalan demokrasi yang matang (tanpa mengetepikan halangan dan sekatan masih berterusan, namun kita sudah ada jalan keluar), tiba-tiba kita dihadapkan dengan fenomena golongan muda (terutama orang Melayu) yang dikatakan tidak berminat dengan politik? Walhal, bagi penganalisis politik, perubahan di peringkat persekutuan hanya dapat dilakukan dalam pilihan raya akan datang jika kesedaran datang secara serentak daripada semua kaum, khususnya masyarakat Melayu. Sederap langkah diperlukan, bukannya satu kaum menolak BN sementara kaum yang lain masih mempertahankannya, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya 1999 dan 2008.


TREND POLITIK MAHASISWA CINA


Secara lahiriah, kelihatan generasi muda bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, seperti tidak mengambil hirau politik kepartaian. Mereka lebih prihatin dengan kegiatan ekonomi. Mahasiswa Melayu lebih berminat berpolitik khususnya dalam mengidentifikasikan diri dengan parti siasah tertentu.

Justeru, di mana silapnya sehingga masyarakat Melayu dikatakan yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi? Walhal parti-parti politik Melayu lebih banyak menjalankan aktiviti - dan ia tidak bermusim sifatnya - berbanding parti-parti lain. Begitu juga dengan kegiatan di kampus, yang dikuasai mahasiswa Melayu. Atau, mungkin keadaan sebenarnya tidak seperti yang dijangkakan itu? Pelajar Cina mungkin lebih selektif beraktiviti tetapi "kesedaran politiknya" jauh lebih matang?

Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat, daripada semua parti komponen, harus meneliti secara mendalam kecenderungan dan budaya politik anak-anak muda ini. Kesetiaan mereka terhadap parti tidak sepekat generasi lebih dewasa. Golongan ini lebih mudah beralih arah jika dasar atau sikap sesebuah parti (atau pemimpinnya) dilihat tidak serasi lagi dengan mereka.

Jika mereka berasa dikesampingkan atau tidak diambil peduli, usaha rendahkan keupayaan mereka untuk melakukan "undi protes". Sokongan pada musim pilihan raya terdahulu sama sekali tidak mengikat mereka untuk terus mengundi parti atau calon yang sama untuk pilihan raya akan datang.

Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik. Selain merumuskan deraf manifesto awal pilihan raya umum ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.

Pendedahan bahawa laman-laman sesawang atau blog pro-BN semakin popular mungkin satu petanda bahawa masyarakat kini lebih dahagakan maklumat atau perkembangan baru, meskipun ia disalurkan oleh "media lawan". Keghairahan ingin tahu itu cuba dimanfaatkan oleh strategis Umno. Ia bukanlahlah sesuatu yang patut digeruni.

Pakatan tidak perlu gentar dengan maklumat walaupun ia mendedahkan kelemahan kerajaan negeri yang dikuasainya ataupun membongkar karenah dalaman parti yang cuba diselindung. Kelemahan harus segera diatasi dan ditangani. Anak muda yang diasuh dengan keterbukaan, integriti dan ketelusan tidak mahu daya intelektual mereka diperbodohkan. Zaman untuk mengangguk dan menerima tanpa bahas sudah berlalu.

Bookmark and Share

Tiada ulasan: