SharpShooter |
- Pengkhianatan atas nama "Ketuanan Melayu"
- Perkasa gulong tikar
- Anwar cabar Najib minta Singapura dedah kes Altantuya
Pengkhianatan atas nama "Ketuanan Melayu" Posted: 14 Dec 2010 07:53 PM PST Gambar ini diambil ketika saya membuat liputan di Kampung Chubadak, Sentul pada tahun Disember 2006. Peneroka bandar (atau penduduk setinggan dari kaca mata arus perdana) diarahkan untuk mengeluarkan apa-apa yang berharga sebelum rumah kayunya diranapkan jentolak. Tiada lagi ruang untuk harapan agar jangka rundingan dilanjutkan. Pembangkang, NGO dan media hanya menunggu masa perobohan berlaku. Pada saat-saat akhir budak Melayu ini sempat terserempak dengan sebilah keris kayu dalam rumahnya. Maka dengan gembira dia mengeluarkannya dan menunjuk-tunjuk kepada kawan. Malah, budak-budak ini meniru gerak-geri pemimpin politik - berlagak menjulang keris kayu-nya di depan jentolak untuk "mempertahankan rumahnya" daripada dirobohkan. Orang dewasa yang terpinga-pinga dengan nasib masa depan mereka di situ, hanya tersenyum pahit dengan gelagat mereka... Dua minggu sebelum budak ini menjulang keris kayu-nya, laungan "Ketuanan Melayu" melantun-lantun dalam bangunan PWTC. Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Hishammuddin Hussein menghunus dan menjulang keris Panca Warisan untuk mempertahankan "Ketuanan Melayu". Bahangnya bertambah hangat, apabila sesetengah perwakilan mencurah minyak dengan ikrarnya "sanggup bermandi darah untuk mempertahankan Ketuanan Melayu"... Untuk menamatkan kisah di Kampung Chubadak, keris kayu si budak gagal menghalang kemaraan jentolak berbadan besi. Malah tiada seorang pun perwakilan UMNO yang turun ke situ, bermandi darah untuk mempertahankan Kampung Chubadak. Saya tidak tahu ke mana budak dan keluarganya pergi selepas rumah mereka dirobohkan. Cuma saya agak pasti bahawa Kampung Chubadak warisan Minangkabao yang bersejarah ini akan hilang sebahagiannya, kalau bukan semua dari peta Kuala Lumpur. Siapa TUAN di Kampung Berembang? Pengalaman membuat liputan di tempat kejadian perobohan "setinggan" membuatkan saya agak geli ketika mendengar istilah "Ketuanan Melayu". Saya saksikan dengan mata sendiri bagaimana wanita Melayu berdiri di bawah pencakar jentolak untuk menghalang perobohan; bagaimana pelajar yang menduduki peperiksaan SPM terpaksa membuat persiapan terakhir di dalam khemah ketika hujan selepas Kampung Berembang diranapkan. Malah saya tidak lupa kata-kata penduduk Kampung Berembang, Abdullah bin Ismail, 61, yang menjumpai cenderamata tertera "1968-1998", sebagai penghargaan terhadap sumbangannya selama 30 tahun dalam institusi kerajaan. Beliau berkongsi "kemegahannya" dengan saya yang berada di situ, sambil menoleh dan menuding jarinya ke arah serpihan rumah di belakangnya, "Sumbangan 30 tahun, dan ini dia balasannya." Sambil menahan sebak Abdullah Ismail berkata, "Saya percayalah, kalau komunis pun, dia akan bagi masa, bukan robohkan rumah awak serta-merta." Sama ada Melayu mahupun bukan Melayu tidak akan merasai "Ketuanan Melayu" di Kampung Berembang pada tahun 2006. Dalam nada yang dibasahi kekecewaan, Ketua Wanita UMNO pertama di Kampung Berembang, Wan Kamariah binti Che Man (gambar kanan) berkata, "Orang India, Cina, Melayu kan sama saja? Tengok, siapa yang robohkan rumah kita sekarang? Bukan orang lain, orang Melayu!" Siapakah Tuan yang diperlakukan sebegitu? Ketika saya membuat liputan di Kampung Chubadak Tambahan pada tahun 2006, seorang pakcik berumur 69 tahun menceritakan pengalaman dirinya. Mereka menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak pada tahun 1968, berpindah ke Kuala Lumpur dari kampung untuk meningkatkan nisbah populasi Melayu dalam bandar. Realitinya, semakin pesat ibu kota ini dibangunkan, semakin mahal tanah yang dipijak. Akhirnya, peneroka bandar ini diberi nama baru sebagai penceroboh tanah, oleh pemaju dan kontraktor. Kuota peluru untuk Aminulrasyid Seandainya seseorang wartawan jujur dalam kerjanya di Malaysia, maka buku catatannya akan sarat dengan sejarah pengkhianatan demi pengkhianatan atas nama "Ketuanan Melayu". Saya gagal membayangkan betapa seramnya ketika berada dalam mahkamah untuk mendengar dengan telinga sendiri bagaimana puluhan butir peluru ditembak ke arah Aminulrasyid (gambar bawah), sehingga meninggalkan 30 lubang dan lekukan peluru pada kereta Proton Iswara yang dipandunya. Hanya satu persoalan yang ingin saya ajukan kepada mereka yang menumbuk udara memperjuangkan "Ketuanan Melayu": Apakah ini kuota peluru untuk seorang budak bumiputera berumur 14 tahun? Atas nama pembangunan, peneroka bandar diusir. Atas nama keselamatan, seorang budak 14 tahun ditembak bertalu-talu. Namun, apabila sardin, timun, tomato dan salad dirampas dari sandwich pelajar sekolah melalui Rancangan Makanan Tambahan, itu atas nama apa? Bukankah ia sesuatu yang meluat apabila orang-orang ini tanpa segan-silu membicarakan Ketuanan Melayu, sedangkan anak kepada Tuan disumbat dengan sandwich kosong? Demi bangsa, agama dan negara Untuk beberapa dekad kita dikerah untuk memperjuangkan retorik yang "gah" dengan titik peluh sendiri. Makcik-makcik yang menderma barang kemas untuk perjuangan "kemerdekaan" pada tahun 1950-an semestinya tidak terbayang bahawa "kemerdekaan" selepas 53 tahun bermakna anak cucunya perlu disembur meriam air dan gas pemedih apabila menuntut hak air di jalan raya. Anggota komunis yang bertempur dalam hutan semestinya tidak rela seandainya kemerdekaan yang diperjuangkan dengan titisan darahnya itu digunakan untuk menahan Mat Sah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri selama tujuh tahun tanpa perbicaraan. Dan kini Melayu digembleng pula untuk mempertahankan "Ketuanan Melayu" - dengan titisan air mata Ummi Halfida di Utusan Malaysia. Saya tidak tertarik untuk membandingkan sama ada air matanya lebih bersinar daripada cincinnya. Saya juga tidak berminat apakah lebih bermakna untuk membincangkan hubungan yang berlegar antara Anwar, Azmin dan Shamsidar Taharin, berbanding dengan kekayaan yang berlegar antara Vincent Tan, Ananda Krishnan, Mirzan Mahathir dan Nazir Razak. Persoalannya, apakah titisan air mata Ummi Hafilda mampu menjamin keselamatan seorang budak 14 tahun apabila pulang dari warung mamak selepas menonton bola pada lewat malam? Apakah air matanya mampu meredakan kesakitan mereka yang disembur air meriam dan gas pemedih mata, ketika menuntut hak air di jalan raya? Betul, Ummi Halfida menitiskan air matanya untuk retorik yang gah berbunyi "Ketuanan Melayu". Namun, di sebalik retorik yang "gah" ini - siapa pula yang menitiskan air mata? Demi "ketenteraman awam", isteri dan anak tahanan ISA perlu menitiskan air matanya kerana perpisahan. Di sebalik "keselamatan negara", seorang kartunis bernama Zunar dipindahkan lima balai polis dalam masa sembilan jam - siasatan terhadap bahan ketawa berakhir dengan bahan ketawa sendiri... Saya enggan bersikap sinis untuk mempersendakan Ketuanan Melayu. Namun, untuk saya, Melayu hanya jadi Tuan, apabila setiap tuduhan terhadapnya dibicarakan secara terbuka di mahkamah; Melayu hanya jadi Tuan, apabila tidak perlu takut untuk berkumpul dan bersuara di jalan raya - tanpa disembuh meriam air dan gas pemedih; Melayu hanya jadi Tuan, apabila bebas ketawa tanpa perlu memohon lesen; Melayu hanya jadi Tuan, apabila ibu bapa tidak perlu gelisah jikalau anaknya pulang dari warung mamak selepas menonton bola; Melayu hanya jadi Tuan, apabila sandwich anaknya dilengkapi sardin, timun, tomato dan salad... Saya tidak terlupa apabila jiran Aminulrasyid menyifatkan bunyi tembakan pada malam itu bagaikan bunyi mercun. Dan bunyi itu menghantui saya sehingga hari, setiap kali letupan bunyi bunga api kedengaran. Saya semakin teragak-agak, apakah itu bunga api untuk meraih Ketuanan Melayu, ataupun seorang lagi Aminulrasyid yang sedang dikejar dalam ketakutan? *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. * KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT * Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai... Amizudin Ahmat (Din Binjai) http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ |
Posted: 14 Dec 2010 07:37 PM PST Akhbar tabloid milik Perkasa, Suara Perkasa akan menghentikan penerbitannya mulai pertengahan Januari tahun depan. Seorang kakitangan editorial berkata, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali telah memberitahu kakitangan mengenai perkara itu. "Kakitangan diberi tempoh bekerja hingga 10 Januari tahun depan sebelum perkhidmatan mereka berakhir.
"Syed Hassan, bagaimanapun, memberitahu penerbitan Suara Perkasa akan disambung semula jika mempunyai dana. "Ini bermakna, Suara Perkasa hanya sempat diterbitkan sebanyak 11 edisi sahaja di mana edisi terakhir bulan November lalu," katanya. Suara Perkasa mempunyai enam kakitangan dan beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur. Menurut kakitangan tersebut, alasan utama kepada pemberhentian penerbitan tersebut ialah tidak mampu menampung kos operasi. Katanya, Suara Perkasa dicetak sebanyak 25,000 naskhah setiap keluaran tetapi jumlah jualan tidak mencapai 50 peratus. "Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali telah mengeluarkan lebih RM400,000 untuk tujuan penerbitan Suara Perkasa," katanya. Suara Perkasa ditebitkan setiap dua minggu – pada awal dan pertengahan bulan – yang banyak memfokuskan mengenai isu-isu orang Melayu. Ia mula diterbitkan pada 1 Julai 2010 dijual dengan harga RM2 senaskhah di Semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak. Edisi sulung Suara Perkasa yang bertajuk "Tahan Ka Siong di Bawah ISA" menimbulkan rasa tidak senang hati Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong. Konflik antara Presiden perkasa dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam. Malah pemimpin-pemimpin Umno juga tidak mahu mendekati Perkasa yang mereka dakwa sebagai sebuah pertubuhan berunsur perkauman. * KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT * Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai... Amizudin Ahmat (Din Binjai) http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ |
Anwar cabar Najib minta Singapura dedah kes Altantuya Posted: 14 Dec 2010 07:01 PM PST Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri supaya meminta kerajaan Singapura mendedahkan bukti pembabitannya dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sekiranya Datuk Seri Najib Razak yakin beliau tidak berkait langsung dengan jenayah tersebut. "Bukan saya yang cakap Datuk Najib terlibat dalam pembunuhan tapi kerajaan Singapura yang berkata. Jadi kalau Najib kata dia tidak terbabit langsung saya cabar dia minta kerajaan Singapura dedahkan maklumat yang mereka ada mengenai pembunuhan Altantuya. "Tapi saya juga nak beritahu kepada Singapura supaya jangan masuk camour hal ehwal kita. Jaga urusan kamu jangan nak tunjuk angkuh dan song dengan kita. Hal kita dengan Najib, biar kita sahaja yang lawan, jangan pulak nak masuk campur urusan dalaman Malaysia," Anwar memberi amaran. Bercakap kepada lebih 3,000 penyokong Pakatan Rakyat di Ceramah Isu Semasa di Tapak Pasar Malam, Taman Melati malam tadi juga menyelar Umno-Barisan Nasional yang bersungguh-sungguh menghentam beliau dalam media milik mereka berhubung pendedahan laman web Wikileaks mengenai dakwaan kononnya beliau "masuk perangkap" yang dirancang oleh kerajaan dalam pertuduhan fitnah kali kedua. "Dia (Umno-BN) kita bodoh ka? Dia ingat satu hari Musa Aman (bekas Ketua Polis Negara) kata hari ini pukul 3.00 petang kita nak perangkap Anwar, bawa seorang 'budak jambu' dalam bilik lepas tu lakukan apa yang mereka dakwa. Kalau betul-betul perangkap dan saya masuk perangkap mana buktinya? Sekurang-kurang mesti ada video macam kes VK Lingam tu, baru boleh panggil sebagai 'entrapment' (perangkap) ataupun nota perubatan. "Ini tidak bila kita mina laporan perubatan, mereka kata ada tapi bila minta tak mahu beri. Jadi dia ingat ni bodoh macam dia," sindir Anwar. Anwar menjelaskan sekiranya apa yang didakwa oleh Singapura terhadapnya adalah benar beliau bersedia menemui bekas Perdana Menteri negara itu Lee Kuan Yew di mahkamah. "Jangan pakai cakap sahaja. Kalau ada bukti sila bawa ke mahkamah, saya akan pertahankan diri saya cara begini. "Umno-BN pun boleh bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah bagi pihak Najib kalau mahu," cabar beliau. Beliau yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat membidas media milik Umno-BN yang tidak berhenti menaburkan fitnah dan tohmahan terhadap beliau dan Pakatan Rakyat. "Media dan jentera kerajaan digunakan sepenuhnya untuk mengekalkan kekuasaan Umno-BN. Selama 12 tahun mereka mengatakan Anwar bersalah, saya rasa sekurang-kurangnya 221 kali (ketawa) bukan sekarang. Jadi apa nak hairan sangat kalau hari ini dok ulang yang Anwar salah, dah 12 tahun mereka lakukan ini. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata kenyataan Najib yang mahu mempertahankan Putrajaya ke titisan darah terakhir menunjukkan beliau berada dalam keadaan amat takut. "Najib takut didakwa kemudian hari sebab itu di takut kehilangan Putrajaya. Pemimpin Umno-BN semuanya takut kalau Anwar jadi Perdana Menteri semua rahsia rasuah dan bagaimana mereka bolot kekayaan secara haram akan saya bongkarkan. Saya tahu banyak rahsia mereka jadi saya beri amaran jangan cabar saya (mendedahkannya)," tegas Anwar lagi. Anwar seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka boleh menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang. "Kita mesti ada keyakinan dan semangat yang kuat bahawa dengan kerjasama erat Keadilan, PAS dan DAP kita akan sama-sama tumbangkan BN. Yang penting setiap daripada kita harus memainkan peranan kita dengan menyebarkan maklumat yang ada kepada kaum keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling baru kita boleh timbulkan kesedaran mengenai perubahan yang ingin kita bawa. "Percayalah Pakatan Rakyat akan membawa agenda Malaysia baru, Malayisa yang jauh lebih adil berdasarkan negara hukum, menegakkan keadilan serta melindungi hak rakyat dan menghancurkan segala kebobrokan Umno-BN," kata Anwar yang terpaksa mengakhiri ucapannya lebih awal atas arahan pihak polis. * KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT * Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai... Amizudin Ahmat (Din Binjai) http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ |
You are subscribed to email updates from SharpShooter To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan