| Saifuddin: Chegubard Di Minta 'Sabar Menunggu' Hasil Siastan JPP Terhadap Semua Aduan Yang Di Terima Sepanjang Pemilihan PKR Baru-Baru Ini !! Posted: 10 Dec 2010 03:35 PM PST  KUALA LUMPUR, 11 Dis - Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin (foto) bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak tergopoh-gopoh. Sehubungan itu, Saifuddin meminta Badrul Hisham, yang kelmarin menegaskan tidak mengiktiraf keputusan pemilihan yang baru lalu, supaya bersabar menanti penemuan ke atas aduan-aduan aduan yang dibuat berhubung pemilihan pucuk kepimpinan pusat. Tambah Saifuddin, JPP masih menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan. Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan. "Aduan sekarang di atas meja JPP, jadi kita serah kepada JPP untuk menyiasat setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan berlangsung. "Semua aduan yang dikemukakan masih belum selesai, JPP masih menyiasat setiap aduan. "JPP tahu tanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan itu, kita biarkan proses siasatan ini berjalan," kata Saifuddin. Beliau juga mahu semua pihak memberikan ruang kepada JPP untuk menyiasat dengan teliti setiap aduan yang dikemukakan. "Lagipun kita baru habis kongres, sudah tentu siasatan terhadap aduan ini masih lagi berjalan. Jadi saya harap kita beri masa kepada JPP untuk menyiasatnya. "Bukan semua aduan akan selesai cepat, ada aduan yang kita kena panggil pengadu jadi kena sabarlah. "Kita juga perlu hormati proses siasatan ini, kepada mereka yang kemukakan aduan kita harap bersabar. Serah kepada JPP untuk siasat," katanya. Ketika ditanya sama ada tindakan Badrul Hisham atau lebih dikenali "Chegubard" akan menjejaskan PKR, Saifuddin bagaimanapun berkata, tumpuan sekarang adalah pilihan raya umum ke-13. "Kita serahkan kepada JPP untuk siasat, isu kita sekarang adalah menghadapi pilihan raya umum. Fokus kita adalah memperkuatkan parti dan juga Pakatan Rakyat," kata Saifuddin.
[Terkadang, dalam keterbukaan semangat mengatasi segalanya. Justeru itu, Chegubard sebagai bekas calon bagi jawatan Ketua AMK perlulah akur dengan keputusan yang diterima. Senario ini, samalah juga dengan akurnya rakyat dan pemimpin pembangkang terhadap mana-mana keputusan pilihanraya yang berlaku biarpun mereka tahu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersikap "double standard" dalam mengendalikannya. Agenda yang lebih besar sekarang ialah untuk membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang. Justeru itu, jika isu ketiadakadilan dan ketelusan dalam pemilihan ini terus diperdebatkan oleh "team Chegubard" maka kita khuatir lama kelamaan anak muda itu akan dituduh pengkhianat dan penderhaka kepada parti pula. Adalah lebih elok beliau duduk semeja dan memikirkan agenda seterusnya daripada terus berkokok untuk mempertahankan haknya yang telah dinodai oleh pihak lain. Agenda perjuangan rakyat itu yang lebih utama daripada agenda peribadi. Kalah atau menang, perjuangan membela rakyat wajar diteruskan jua akhirnya !].
|
| Demi Keadilan, Setiausaha Agung Tidak Wajar Di Jadikan "Kambing Hitam" Demi Untuk Menafikan Segala Kepincangan Yang Memang Nyata Berlaku Posted: 10 Dec 2010 03:06 PM PST  Parti akan rosak jika ada "musuh dalam selimut" dan parti juga akan rosak jika ada "kuda trojan" menyelinap masuk. Itulah yang sering didedahkan kepada kita sebenarnya. Namun, pernahkah kita terfikir yang parti juga akan rosak apabila keadilan yang sepatutnya ditegakkan terus dipinggirkan?. Inilah yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang ini. Biar pun ia dinafikan, namun "jika tiada angin masakan pokok bergoyang". Keadilan dan ketelusan yang sepatutnya berlaku dalam Pemilihan PKR 2010 baru-baru ini, ternyata dicemari dengan berbagai unsur penipuan, penyelewengan dan ketidakadilan. Soalnya sekarang, apakah parti mahu benar-benar berubah atau telah berubah dulu sebelum agenda perubahan itu sendiri terlaksana. Keadilan haruslah ditegakkan untuk semua pihak, baik yang menang atau pun yang kalah. Alasan demi alasan yang diberikan untuk menutup kelemahan adalah tidak wajar sebenarnya. Inilah yang berlaku sekarang, apabila Setiausaha Agung PKR, Saiffuddin Nasution (foto), masih terus memberi alasan dangkal untuk mempertahankan kononnya pemilihan yang berlaku baru-baru ini adalah bebas daripada unsur-unsur yang dinyatakan itu. Malah, katanya memang ada aduan yang masih belum diselesaikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kerana ia memerlukan masa yang lama untuk memanggil saksi dan sebagainya. Masalahnya, apakah JPP ikhlas mahu menyiasat aduan tersebut?. Sedangkan daripada maklumat yang diterima, ternyata mereka langsung tidak memanggil saksi-saksi yang berkenaan sebaliknya mengatakan siasatan telah dibuat?. Malah ada aduan yang disertakan dengan bukti yang cukup kukuh, namun tetap tidak mendapat perhatian. Alasan kononnya JPP perlu masa yang lama untuk menyiasat adalah "tidak masuk dek akal" sebenarnya. Ini kerana, mereka boleh melakukannya jika benar-benar jujur dan ikhlas. Bak kata pepatah Melayu "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Ahli-ahli parti hanya dimomokkkan agar menerima segala kenyataan yang sudah tersurat. Akhirnya, mereka akan umumkan bahawa hasil siasatan mendapati semuanya berjalan dengan telus dan adil. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya dan wajar diselesaikan dengan telus dan adil.
[Orang boleh menerima kekalahan andainya ia berlaku dengan adil dan saksama. Namun, orang tidak patut menerima kekalahan andainya terdapat bukti-bukti yang nyata berlakunya penipuan dan penyelewengan. Mahu akui atau tidak itulah yang menjadi kemuyskilan sekarang. Soalnya, jika benar JPP masih menyiasat, kenapa dibenarkan keputusan yang telah berlaku. Kenapa cabang-cabang terbabit tidak digantung pemilihan atau keputusannnya?. Kenapa diteruskan juga apa yang belum diketahui statusnya. Bayangkan, jika benar terdapat unsur negatif dalam pemilihan di cabang berkenaan maka apakah JPP rela untuk membatalkan keputusan yang telah dibuat?. Atau, apakah mereka sanggup menangguhkan keputusan yang berlaku itu. Inilah yang sepatutnya dilakukan tapi tidak berlaku. Akhirnya, yang kalah dipaksa akur menerima keputusan itu dengan berat. Apakah ini keadilan namanya dan yang paling penting parti tidak boleh jadikan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution sbagai "kambing hitam" untuk menafikan segala kelemahan yang memang berlaku semasa pemilihan parti itu berlangsung sebenarnya].
|
| Pemilihan PKR: Biar Pun Sudah Berakhir, Namun Ramai Pihak Kini Masih Sangsi Dengan Ketelusan Hasil Penyiasatan Jawatankuasa Pemilihan Pusat Posted: 10 Dec 2010 02:28 PM PST KUALA LUMPUR, 11 Dis - Walau pun keputusan sudah pun diketahui, namun keraguan dan kemusykilan itu masih belum terungkai sebenarnya. Soalnya sekarang, apakah semua ahli PKR dipaksa menerima segala kenyataan dengan "takdir" serta "hati terbuka tanpa bantahan" biarpun memang terdapat kepincangan dalam pemilihan yang berlaku sebelum ini?. Beberapa kali sudah kami katakan bahawa "yang menang itu tidak semestinya benar dan yang kalah itu tidak semestinya salah". Maknanya, kemenangan yang dimiliki oleh pihak yang menang dalam pemilihan itu masih tidak wajar diperakui sebenarnya. Ini kerana banyak kelemahan yang masih belum ditangani dengan sebaik mungkin oleh pucuk pimpinan parti. Apa yang diperjelaskan, hanya satu alasan "dangkal" agar ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut menerimanya "biar pun pahit untuk ditelan". Inilah yang berlaku sebenarnya. Jika selama ini, kita sering mempertikaikan ketelusan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini. Bahkan , hingga ada yang menghantar petisyen mahkamah untuk mempertikaikan keputuan yang berlaku. Maka kini, apakah ahli-ahli PKR terpaksa melakukan perkara yang sama terhadap parti sendiri. Paling penting, apakah mereka yang masih mempertikaikan keputusan itu boleh dianggap sebagai "pengkhianat dan penderhaka" kepada parti?. Terbaru, Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kalah pada pemilihan parti bulan lalu, Mustaffa Kamil Ayub (foto), mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menyelesaikan segera aduan yang diterima sepanjang 21 hari pemilihan berlangsung bagi menjamin integriti jawatankuasa itu, sekali gus mengembalikan keyakinan ahli dan penyokong parti. Pengerusi PKR Perak itu berkata, seperti dijanjikan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Kongres Nasional Keadilan 2010, akhir bulan lalu, semua aduan perlu disiasat JPP demi memastikan keadilan dapat ditegakkan. "Saya akur dengan keputusan pemilihan dan saya serahkan kepada JPP untuk buat tindakan susulan menangani rungutan dan perkara berbangkit. Mereka harus menyelesaikan perkara itu dengan segera," katanya.
[Nampaknya, bagai ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam PKR sekarang ini. Soalnya kenapa ada pihak yang masih cuba untuk menyembunyikan kenyataan?. Paling menyedihkan, pucuk pimpinan tertinggi parti pula sengaja mahu mencari jalan mudah dengan mahu menjernihkan kembali hubungan yang panas bagai "biduk berlalu, kiambang bertaut". Namun, dalam masa yang sama mereka ternyata gagal menyelesaikan masalah yang melanda. Apa yang diwar-warkan hanyalah alasan demi alasan kononnya tidak berlaku sebarang penipuan, penyelewengan dan keraguan sepanjang proses pemilihan PKR itu berlaku. Itulah yang sering dimomokkan kepada ahli agar mereka tetap menerima segalanya dengan hati terbuka. Namun, demi keadilan yang diperjuangkan parti sepatutnya mengumumkan hasil siasatan yang dilakukan oleh JPP dengan telus dan terbuka. Apa guna sekadar "melepaskan batuk ditangga" sedangkan hakikatnya jauh berbeza. PKR perlu lakukan perubahan dan beri keadilan kepada ahli sendiri sebelum meneruskan agenda perubahan yang lebih besar untuk seluruh rakyat itu sebenarnya].
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan