Sabtu, 4 Disember 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


YAB Lim Guan Eng di CubPrix PETRONAS P. Pinang

Posted: 04 Dec 2010 10:32 PM PST

Guan Eng bertanyakan sesuatu kepada Sam Hogg diperhatikan oleh Ketua Polis Pulau Pinang


Guan Eng bersama Sam Hogg, pengajur perlumbaan

Baru sebentar tadi sekitar jam 2.15 petang Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng telah bersama-sama rakyat ke padang kota (Esplanade) untuk sama-sama menyaksikan pusingan 10, PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix Championship 2010.

PETRONAS Cub Prix yang telah bermula di Kedah pada 19 dan 20 Mac lalu akan melabuhkan tirainya di Pulau Pinang ini setelah menghabiskan 10 pusingan perlumbaannya.

Pulau Pinang boleh di katakan bertuah kerana telah menganjurkan 2 pusingan cub prix, Pusingan ke 3 telah di adakan di Stadium Batu Kawan pada 8 dan 9 May lalu.

Majlis makan malam dan upacara penyampaian hadiah bagi tahun 2010 ini akan diadakan di Dewan Sri Pinang jam 8 malam ini.

Mahasiswa diseru sertai himpunan 'air rakyat'

Posted: 04 Dec 2010 08:46 AM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Seluruh mahasiswa khususnya dari Lembah Klang dan Selangor diseru bergabung dengan Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (Permasis) dalam Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" esok.

Menurut Setiausaha Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridzuan Othman, penyertaan mahasiswa dalam serahan memorandum ke Istana Negara esok akan memberikan mesej jelas kepada kerajaan bahawa mahasiswa akan mempertahankan hak-hak rakyat dan mengutuk keras tindakan mana-mana pihak yang berterusan membebankan rakyat.

"Saya menggesa dan menyeru mahasiswa Selangor terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan hak rakyat untuk menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

"Di peringkat mahasiswa, saya mengharapkan seluruh mahasiswa bergabung bersama dengan Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMASIS) yang diketuai oleh Saudara Izzudin Hilmi dan beberapa gerakan mahasiswa yang lain," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Mereka dijangka akan berkumpul bersama-sama kumpulan baju merah di Masjid Negara tengahari esok bagi menentang kenaikan harga air sebanyak 37 peratus di negeri itu.

Ianya sebagai sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yangakan menyerahkan sendiri memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan itu, seluruh mahasiswa katanya akan memberikan komitmen untuk mempertahankan hak-hak dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

"Langkah Kerajaan Selangor dalam memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri Selangor adalah salah satu usaha murni yang sewajarnya diikuti oleh semua kerajaan negeri yang lain," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan harga barang dan minyak yang semakin meningkat dari sehari ke sehari, kos keperluan rakyat semakin meningkat dan langkah memberikan air percuma sedikit sebanyak dapat meringankan beban tanggungan mereka.

"Amat malang apabila Syabas seboleh mungkin terus-terusan ingin menaikkan kadar tarif air yang sekaligus membebankan rakyat Selangor. Syabas adalah syarikat kerajaan negeri tetapi tidak menjalankan dasar-dasar kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) telah diberi lampu hijau oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Rosti Saruwono untuk menyertai perhimpunan esok

PAS arah pemimpin tutup mulut isu 'ketuanan melayu' tunggu 12 Disember

Posted: 04 Dec 2010 07:36 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Dis – PAS meminta semua pemimpinnya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan polemik – khususnya mengenai isu-isu semasa dipercayai soal "Ketuanan Melayu", negara Islam dan jawatan timbalan perdana sehingga parti itu mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat 12 Disember ini.

"Saya meminta semua pemimpin tertinggi parti tidak membuat sebarang kenyataan yang dimainkan oleh media sekarang ini sehingga menimbulkan terus polemik kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kita 12 Disember ini," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dipetik Harakah Daily hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika ramai meramalkan Umno-BN akan meningkatkan serangan ke atas Pakatan Rakyat yang kini memerintah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut isu-isu semasa yang dimaksudkan.

Dalam kenyataan dua perenggan kepada Harakah Daily itu, Mustafa berkata, beliau bimbang kalau-kalau ia terus menyusahkan PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia memang menjadi tujuan pihak dan media-media berkenaan untuk melagakan mereka.

Tindakan berhati-hati itu diambil memandangkan wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 dikatakan semakin dekat.

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvesyen keduanya 19 Disember ini.

Laman web itu melaporkan ada di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat bimbang kalau-kalau konvensyen kali ini akan menjadi medan serang-menyerang antara mereka, bukannya membuat persiapan ke arah pilihan raya umum.

Sejak kebelakangan ini, media-media tertentu mula memainkan kembali isu sensitif yang melibatkan hubungan antara PAS dan komponen Pakatan Rakyat.

Sesetengah pihak pula melihat, ia berlaku kerana sikap sesetengah pemimpin PAS yang terus melayan isu berkenaan apabila dipancing oleh media.

Antara isu panas sejak akhir-akhir ini adalah isu timbalan perdana menteri, ungkapan Ketuanan Melayu dan negara Islam.

Berdasarkan kenyataan Mustafa itu, PAS akan membincangkannya dalam mesyuarat mereka 12 Disember ini.

Mustafa berharap sehingga ia diputuskan minggu depan, tidak ada mana-mana pemimpinnya memberikan pendapat kepada mana-mana media.

"Tunggulah sehingga kita mesyuarat dan bincangkan isu ini terlebih dahulu," katanya. - TMI

Subsidi IPP - Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas

Posted: 04 Dec 2010 05:39 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mempersoal tindakan kerajaan tidak menyusun semula subsidi dinikmati pengeluar tenaga bebas (IPP), yang dipercayai RM19 bilion, sedangkan hanya menyelaras subsidi bahan api dan gula buat kali kedua, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusinya Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata demikian ekoran pentadbiran Najib berpendapat bahawa langkah itu perlu untuk mengurangkan perbelanjaan negara.

"Persoalannya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 bilion tidak dipotong... kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

"Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas," ujar Ahmad Syazwan kepada The Malaysian Insider.

Ahmad Syazwan turut mempersoal rancangan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan projek menara 100 tingkat Warisan Merdeka yang menelan belanja RM5 bilion serta penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang didakwa menelan belanja RM66 juta.

"Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencecah RM5 bilion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan," kata beliau.

Sehubungan itu, Ahmad Syazwan melihat langkah kerajaan itu bukan sahaja tidak rasional, malah membebankan golongan mahasiswa sendiri.

"Mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsidi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

"Sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan tarik hak rakyat marhaen.

"Kenaikan harga komoditi ini tidak serentak dengan kenaikan pendapatan rakyat akan menyebabkan kos sara hidup dan beban rakyat akan bertambah.

"Kesan ini juga akan mengena kepada mahasiswa yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN yang sedikit ditambah beban yang mahal," ujarnya lagi.

Oleh itu katanya, Gamis mahu Najib menilai semula cara kerajaan mengurus tadbir belanjawan negara.

Harga petrol RON95 mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) mulai hari - kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib.

Turut mengalami kenaikan ialah diesel, naik lima sen kepada RM1.80 seliter.

Ekoran pelarasan itu, RON95 akan dijual RM1.90 seliter.

Pelarasan itu juga membawa kepada kenaikan gas petroleum cecair kepada RM1.90kg iaitu naik lima sen berbanding sekarang.

Kedua-dua bahan api petrol dan diesel serta LPG dan gula mengalami kenaikan pada Julai lalu apabila dasar pelarasan diperkenalkan dalam usaha kerajaan mahu mengurangkan subsidi.

Petrol RON97 yang tidak disubsidi telah mengalami kenaikan pada 1 November dan 1 Disember lalu, tetapi kerajaan tidak membuat pengumuman atas alasan ia perubahan kerana pengapungan harga.

RON97 tidak mengalami kenaikan kali ini.

Dengan pelarasan kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM621.9 juta dari produk petrol RON95, RM213.2 juta (diesel), RM63.5 juta (LPG) dan RM283.5 juta (gula) setiap tahun ataupun RM1.18 bilion.

Pada Julai lalu, kerajaan menjangkakan harga tidak akan naik sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala berkata, pelarasan subsidi diperlukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

"Kami melakukan yang ini (pelarasan subsidi) untuk memastikan defisit kita dapat dikurangkan. Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

"Kami akan memastikan kita hidup dalam lingkungan keupayaan (kita)," kata beliau pada majlis taklimat pengumuman pelarasan subsidi di pejabatnya petang tadi.

Kata beliau, walaupun ada kenaikan lima sen, harga jualan RON95 dan juga LPG serta diesel dan gula masih rendah berbanding di Indonesia.

"Lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand," katanya. - TMI

Tiada ulasan: