Rabu, 1 Disember 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


'Ketuanan Islam' lebih penting - TGNA

Posted: 01 Dec 2010 09:19 PM PST

PASIR MAS: 'Ketuanan Islam' lebih penting dan perlu diutamakan berbanding ketuanan-ketuanan lain, termasuk Ketuanan Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ada pihak menggunakan 'Ketuanan Melayu' sebagai sumber perjuangan mereka, sudah tentu akan ada pihak lain mahukan bangsa mereka (Cina dan India) diangkat seperti mana bangsa Melayu.

Beliau menegaskan perkara ini kepada media ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa OKU yang rentung dalam kebakaran di Kampung Ubi Keling Nibong, dekat sini semalam.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, menggunakan nama Islam lebih benar dan diterima oleh bangsa lain serta tidak menimbulkan sebarang masalah dan kontroversi.

"Bangsa lain boleh menerima agama (Islam) ini berbanding 'Ketuanan Melayu' yang hanya menunjukkan kepada satu bangsa (Melayu) sahaja apabila mereka menerima Islam kelak," ujar beliau.

Mengulas mengenai kesediaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuang slogan 'Ketuanan Melayu' dalam kongres parti, Nik Aziz berkata, dengan menggunakan 'Ketuanan Islam', tidak akan timbul sikap dengki dari bangsa lain sebaliknya ia diterima baik oleh mereka.

Hanya Islam perlu didaulatkan

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib menegaskan isu 'Ketuanan' mempunyai ikatan akidah kerana ia melibatkan soal kedaulatan.

Beliau memberitahu Harakah dalam sesi wawancara khas di Gombak, 30 November lalu, penggunaan istilah 'Ketuanan Islam' lebih tepat dan mendasari ajaran Islam kerana hanya Islam sahaja perlu didaulatkan bukannya bangsa.

"Jika bangsa didaulatkan, menjadi 'tuan' sudah tentulah ia mengundang kemarahan bangsa lain yang juga mahu menjadi 'tuan'.

"Oleh itu Islam datang untuk meleraikannya dan mengesyorkan keadilan terhadap semua bangsa di dunia ini termasuklah di Malaysia. Islam bukan milik Melayu, bukan milik India dan bukan milik Cina. Malah bukan milik mana-mana bangsa pun di dunia ini.

Katanya, selain dari 'Ketuanan Islam', tiada ketuanan lain yang lebih mulia dan dihormati. Sebaliknya, ketuanan-ketuanan lain itu akan menimbulkan pelbagai konflik kerana ia menentang fitrah sunatullah. - FMT

Dua pelajar IPTA bersekedudukan cuba buang bayi

Posted: 01 Dec 2010 03:51 PM PST

KANGAR: Cubaan sepasang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini untuk membuang bayi hasil hubungan sulit mereka di sebuah masjid di sini, gagal apabila rakan mereka yang diminta membantu rancangan itu enggan berbuat demikian, semalam.

Dalam kejadian awal pagi itu, pasangan berusia 22 tahun yang bersekedudukan dengan menyewa sebuah rumah kedai di bandar ini, mulanya dikatakan terkejut dengan kelahiran bayi lelaki berkenaan pada usia tujuh bulan kandungan sebelum meminta seorang rakan membuang bayi berkenaan di sebuah masjid.

Bagaimanapun, rakan pasangan pelajar terbabit dikatakan tidak tergamak berbuat seperti diarahkan, sebaliknya membawa bayi yang masih bertali pusat itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan, pasangan pelajar terbabit menyewa sebuah rumah kedai di Jalan Jublee Emas di sini, dan sering berulang-alik bersama mengikuti pengajian di IPTA berkenaan di Arau.

Ibu bayi malang yang masih belajar itu dikatakan cuba menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan keluarga yang menetap di sekitar Kangar.

Sumber polis berkata, bayi itu dilahirkan cukup sifat ketika usia kandungan tujuh bulan itu berjaya diselamatkan daripada risiko maut berikutan tindakan bijak rakan kepada bapa bayi berkenaan apabila membawanya ke HTF, bukan dibuang di masjid seperti diarahkan.

Katanya, bayi lelaki itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak HTF dan dilaporkan sihat selepas dilahirkan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

"Pasangan pelajar lelaki dan perempuan itu dikatakan panik apabila mendapati bayi mereka dilahirkan awal daripada dijangkakan. "Mereka berdua dikatakan menguruskan sendiri proses kelahiran bayi itu di rumah kedai yang disewa dan sejurus dilahirkan, bapa bayi berkenaan menghubungi rakannya untuk membantu membuang bayi berkenaan," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, berikutan aduan diterima daripada rakan pasangan terbabit, polis menahan pasangan itu untuk siasatan lanjut sebelum merujuk kes itu kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

"Ibu bayi malang itu turut menerima rawatan di HTF dan keadaannya dilaporkan masih lemah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jaips, Abdul Malik Hussin, ketika ditemui di pejabatnya mengesahkan menerima laporan berhubung kelahiran bayi luar nikah membabitkan pasangan pelajar berkenaan.

Pihaknya memandang serius kes itu dan sudah mengambil keterangan pelajar lelaki dipercayai bapa kepada bayi berkenaan tengah hari semalam manakala ibu bayi itu masih dirawat di HTF.

"Pelajar perempuan yang melahirkan bayi luar nikah dan pasangannya yang bersubahat melakukan perbuatan terkutuk itu akan diambil tindakan mahkamah mengikut Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991," katanya.

Menurutnya, ibu bayi berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) manakala teman lelakinya pula didakwa mengikut Seksyen 46 enakmen sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali - myMetro

Mai tengok sebab apa umno tangguh pemilihan MT

Posted: 01 Dec 2010 05:43 AM PST

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Keputusan Umno menangguhkan pemilihan Majlis Tertinggi (MT) selama 18 bulan sehingga tahun 2012 mungkin memberi petanda parti itu mahu menyembunyikan kelemahan krisis dalamannya sementara menghadapi pilihan raya Sarawak dan umum (PRU) dalam masa terdekat.

Pengajaran daripada proses 'ketelusan' pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akhirnya hanya menampakkan kelemahan sendiri,

Umno dilihat mengambil langkah selamat untuk menunda pemilihan yang sepatutnya berakhir pada tahun depan bagi memberi laluan kepada pimpinan baru meneraju parti sepanjang penggal 2011/2014.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr P Sivamurugan berkata, penangguhan itu menguatkan lagi spekulasi tentang tarikh pilihan raya Sarawak yang dijangka berlaku seawal Mac tahun depan manakala PRU 13 pula diramalkan pada suku terakhir tahun yang sama.

Menyifatkannya sebagai satu percaturan yang baik bagi mengelak Umno kehilangan sokongan rakyat serta pengaruh antara parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya nanti, Sivamurugan bagaimanapun berkata keputusan itu umpama 'ubat penahan sakit' yang hanya bersifat sementara.

"Saya percaya keputusan Umno itu mungkin hendak mengelak permusuhan dalaman parti yang boleh mengganggu peluang BN memenangi pilihan raya.

"Untuk memenangi sesuatu pilihan raya tak semestinya perlu bergantung kepada kelemahan parti lawan.

"Kalau Umno tak bertindak sebegini mungkin mereka berhadapan krisis dalaman yang serius sebab kalau parti sendiri tak kuat bagaimana nak lawan pihak musuh (dalam pilihan raya)," katanya kepada FMT hari ini.

Umno enggan amal budaya politik terbuka

Pendapat sama turut disokong Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang secara terbuka mengkritik Umno kerana masih enggan mengamalkan budaya keterbukaan politik untuk setiap ahlinya.

Membandingkannya dengan PKR yang mengamalkan sistem pemilihan demokrasi satu ahli satu undi, kedegilan Umno mengekalkan 'status quo' katanya hanya menampakkan lagi tanda-tanda wujudnya pergelutan antara 'kem Najib' dan 'kem Muhyiddin' dalam parti itu.

Aziz juga berkata, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin bimbang kedudukannya akan terancam jika pemilihan MT Umno akan diteruskan kerana sukar meletakkan calon pilihan semasa pilihan raya nanti sekaligus menghalangnya daripada terus mengekalkan kuasa dalam parti.

Ini kerana katanya 'pertarungan' dalam pemilihan MT Umno itu nanti bakal menjadi tiket penting bagi pemenang dan barisan pilihannya menerajui parti itu sekaligus menjadi kuasa penentu dengan parti komponen lain dalam BN.

"Jika mereka meneruskan pemilihan MT Umno, individu yang memenanginya ada kuasa besar untuk mengukuhkan pengaruh dan menentukan individu yang berada dalam badan kuasa perundangan (Parlimen) dan eksekutif (Kabinet).

Masalah budaya politik naungan

"Umno sejak dari dulu lagi terkenal dengan masalah budaya politik naungan dan cantas-mencantas sesama ahlinya.

"Hala tuju politik mereka tidak akan kemana-mana jika sistem pemilihan 'autokrasi' mereka masih tetap tidak berubah," katanya.

Hal ini ditambah dengan pandangan Dr Sivamurugan yang berpendapat parti 'Ketuanan Melayu' itu masih belum bersedia menghadapi pilihan raya yang sama.

Ini kerana katanya berdasarkan keputusan mesyuarat tertinggi Umno semalam yang mahu mengadakan rombakan dalam badan perhubungan negeri, kursus cawangan kepada ahlinya serta merancang mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk berkempen tentang pencapaian yang dilakukan BN sejak tahun 2008.

"Mereka perlukan masa…begitu juga dengan MIC yang mahu melihat sama ada presiden barunya Datuk G Palanivel mampu menerajui parti dengan baik dan mengembalikan semula kepercayaan pengundi masyarakat India dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Namun beliau percaya MIC mungkin 'terselamat' daripada tekanan krisis pemilihan yang boleh menggugat imej BN untuk menghadapi PRU 13 memandangkan parti itu akan mengadakan pemilihannya pada tahun 2012.

Dr Aziz bagaimanapun menolak pendapat penangguhan pemilihan MT Umno itu adalah satu langkah yang baik untuk parti itu terus kekal relevan sebagai parti yang mempertahankan kedudukan kaumnya dalam Perlembagaan.

"Tidak semestinya langkah (penangguhan) itu baik jika politik dalaman Umno masih ditahap lama malah ia akan terus menjadi barah dan membusung sehingga tidak mampu diselamatkan lagi," katanya.

Isu nasional

Pendapat Dr Aziz itu disokong dengan kenyataan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia Tan Sri Ramon Navaratnam bahawa penangguhan pemilihan MT Umno itu tidak akan memberi impak yang besar kepada keputusan pilihan raya Sarawak dan PRU 13 sekiranya isu nasional masih tidak dapat diselesaikan.

Beliau merujuk isu nasional kepada masalah kestabilan ekonomi negara, isu Sabah dan Sarawak, keberkesanan Program Transformasi Ekonomi (ETP), ketelusan kerajaan BN memerangi rasuah serta beberapa isu lain yang membelenggu negara sejak tahun 2008.

Tokoh ekonomi itu berkata, apa yang penting adalah prestasi yang dibuktikan serta manifesto yang sudah dilaksanakan barisan kepimpinan Najib sejak PRU 12 yang lalu.

"Rakyat bukannya mahu melihat politik perkauman terus dimainkan untuk memenangi sesebuah pilihan raya kerana mereka tahu politik sempit itu hanya akan menimbulkan ketidakharmonian pemerintahan demokrasi negara.

"Sebaliknya rakyat sekarang sudah celik dan bijak menilai apa yang kerajaan BN janjikan selama ini untuk membela rakyat dan memajukan ekonomi negara," katanya. - FMT

PRU 13 Mac depan - DSAI

Posted: 01 Dec 2010 12:57 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum tergempar sekitar Mac depan ekoran keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Sehubungan itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini (gambar) berkata, beliau sebenarnya telah menjangkakan pilihan raya umum lebih awal ekoran perkembangan sejak kebelakangan ini.

Pilihan raya umum terakhi diadakan Mac 2008 dan mandat ini hanya akan berakhir Mei 2013.

"Saya telah meramalkan pilihan raya umum awal. Tetapi penangguhan menunjukkan Umno hanya bagus untuk menyerang PKR," kata Anwar kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar juga mendakwa Umno tidak pernah berani mengadakan pemilihan parti kerana tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan perwakilan mereka.

Umno sepatutnya mengadakan pemilihan pertama tahun depan selepas pindaan perlembagaan tahun lalu.

Ketua Pembangkang itu juga menggesa Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) patut menyatakan tarikh awal mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen.

"Beliau mesti beri kita tarikh awal, Mac atau April, dan kita serahkan kepada rakyart untuk buat keputusan... saya letakkan persoalan ini dan cabar perdana menteri kerana sudah ada petanda bahawa beliau mahukan pilihan raya umum lebih awal," katanya.

Dengan merujuk kepada kecaman Umno-BN mengenai kekecohan dan kelemahan mengadakan pemilihan secara langsung yang pertama baru-baru ini, Anwar menambah, Umno hanya pandai mengkritik PKR tetapi tidak berani mengadakan pemilihannya kerana parti itu tidak cukup kuat untuk berdepan dengan perwakilannya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, Najib mesti mengadakan pilihan raya awal untuk menunjukkan beliau mempunyai mandat dari rakyat.

Malam tadi, Najib berkata Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan semua peringkat – pusat, bahagian dan cawangan pada tahun depan bagi mengelakkan 2011 berubah menjadi tahun "medan pergelutan politik".

Perdana Menteri berkata Umno juga tidak mahu menjadikan tahun depan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam Umno walaupun parti yakin perkara itu dapat dibendung.

"Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti," katan Presiden Umno ini.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk menangguhkan pemilihan 2011 yang dijadualkan diadakan bermula awal tahun depan selama 18 bulan bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13. - TMI

Tiada ulasan: