Kelab Greenboc |
- Remaja Lelaki Ajak Sepupu Bermain "Kahwin-kahwin" Sebelum Merogolnya
- Penangan Wikileaks: Sivarasa & Azmin Diarah Keluar Dewan
- Tragedi Petronas Meletup: 6 Cedera Dibaham Bebola Api
- Pembebasan Pengasas Wikileaks Tertunda, Kini Kekal Di Penjara London
- Banglo Seorang Datuk jadi Pusat Pengedaran Dadah
- Apabila RPK Dicaci-maki Oleh Pendewa Anwar
- Juruterbang Maut Helikopter Terhempas Di Malim Nawar
- Isu Hangat: Kerajaan Nafi Dakwaan Kiamat 2012 Akibat Perlanggaran Planet Nibiru Dengan Bumi
- Ada Buaya Tembaga Di Pantai Teluk Cempedak
- Tak Bayar Royalti: Pelantar Petronas Carigali Terengganu Terbakar, 6 Cedera
- Seorang Polis Trafik Dipenjara 3 Tahun, Denda RM50,000 Kerana Rasuah
- Hakim Mahkamah Syariah Dipenjara 10 Tahun
- Syarikat Induk SYABAS, Puncak Niaga Pecat 17 Kakitangannya
- Speaker Parlimen Yang Sepatutnya Di"rehat"kan
Remaja Lelaki Ajak Sepupu Bermain "Kahwin-kahwin" Sebelum Merogolnya Posted: 15 Dec 2010 12:46 AM PST Taktik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Kampung Felda Mata Ayer, dekat sini, mengajak sepupu perempuannya yang berusia 11 tahun bermain 'kahwin-kahwin' terbongkar apabila dia didakwa atas kesalahan merogol kanak-kanak itu bulan lalu. Remaja terbabit yang tidak bersekolah sejak dua tahun lalu mengaku bersalah setelah dihadapkan ke Mahkamah Juvana, semalam. Berdasarkan keterangan kes, remaja terbabit didakwa merogol mangsa pada hari kejadian di rumah datuk kanak-kanak perempuan itu di Felda Mata Ayer kira-kira jam 4 petang pada 1 November lalu ketika mengajaknya bermain kahwin-kahwin. Selepas selesai bermain masak-masak dengan rakannya, mangsa yang ketika itu sedang mengemas bilik di bahagian atas rumah diajak remaja terbabit bermain kahwin-kahwin ketika memasuki bilik berkenaan. Remaja itu kemudian menyuruh mangsa membuka seluar dan berbaring di atas katil sebelum dia memasukkan kemaluannya ke dalam alat sulit mangsa. Ketika kejadian, datuk mangsa yang turut tinggal bersamanya dikatakan sedang tidur diruang tamu rumah. Menurut keterangan mangsa, selepas kejadian terbabit, remaja itu beberapa kali cuba mengajaknya bermain kahwin-kahwin seperti sebelum ini, namun ditolak mangsa. Perbuatan terkutuk remaja itu terbongkar selepas ibu kanak-kanak perempuan itu mengesan seluar dalam anaknya mempunyai warna keputihan dipercayai air mani. Dia kemudian membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan Klinik Kesihatan Kangar dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan sesuatu di dalam kemaluan anak perempuan itu. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai di hadapan Hakim Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Kangar. Tertuduh yang hadir bersama ahli keluarganya tidak diwakili peguam dan pihak pendakwa memohon remaja itu dikenakan wang jaminan RM5,000. Bagaimanapun, Nik Mohd Fadli mengurangkan wang jaminan kepada RM3,000 dan menetapkan 2 Februari tahun depan bagi keputusan hukuman yang akan dibuat di Mahkamah Juvana. -SH |
Penangan Wikileaks: Sivarasa & Azmin Diarah Keluar Dewan Posted: 14 Dec 2010 11:10 PM PST Ahli parlimen Pakatan Rakyat R Sivarasa (PKR-Subang) diarahkan keluar Dewan Rakyat sehingga esok kerana didakwa mengengkari arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Sivarasa, yang bangkit pada akhir sesi soalan mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul yang dikemukakannya semalam meminta perbahasan diadakan bagi membincangkan pendedahan oleh WikiLeaks berhubung dakwaan diplomat Singapura yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razah dengan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan juga memalit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 'perangkap seks'. Menurut Pandikar, kebimbangan yang ditimbulkan oleh Sivarasa adalah tidak berasas dan mengarahkannya untuk duduk. Namun apabila ahli parlimen itu terus berhujah dan enggan duduk, Pandikar mengarahkan beliau digantung sehingga esok. Anwar (PKR-Permatang Pauh), kemudian bangkit dan mempertahankan Sivarasa bersama Azmin Ali (PKR-Gombak). Ini menimbulkan pertikaman lidah yang hangat antara speaker dan juga ahli parlimen Pakatan Rakyat yang juga mula campur tangan. Pandikar kemudian mengarahkan Azmin pula supaya keluar dewan sehingga jam 2.30 petang ini. Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, kemudiannya, Anwar berkata keputusan menggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat tanpa notis melambangkan parlimen tidak menuruti sebarang peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat. Justeru beliau menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti. "Saya lihat prosedur parlimen dipermainkan hanya semata-mata kerana kuasa majoriti. Kita berhujah panjang bagaimanpun, diketepikan begitu. Keangkuhan Barisan Nasional "Jadi sebab itu kita menyatakan kekesalan dan membantah keras persetujuan Speaker membenarkan hujah. Memang kita tahu keangkuhan Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka tetapi menggunakan saluran Speaker yang mempertahankan dengan peraturan padahal prinsip membela diri tidak berlaku," katanya. Menurut Anwar, Pandikar tidak mampu mengawal dewan di kala berlakunya pertikaman lidah antara beliau dan pemimpin BN. "Kalau Speaker tidak dapat mengawal, sepatutnya beliau berundur dan beri laluan kepada timbalan beliau," katanya. Pada sidang media yang sama, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke mendakwa wujudnya pakatan di antara Speaker Dewan Rakyat dan pemimpin BN untuk mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat bagi memberi laluan mudah kerajaan untuk mengubal sebarang usul yang diperuntukkan dalam parlimen. Loke berkata sekiranya parlimen meneruskan usaha menggantung lebih ramai ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat, maka persidangan parlimen akan datang akan memberi kuasa mutlak kepada mereka melakukan sebarang usul tanpa mendapat tentangan daripada pihak pembangkang. "Seolah-olah ada agenda tersendiri kerana speaker membiarkan Barisan Nasional membuat keputusan ke atas ahli parlimen Pakatan Rakyat. Kedudukan Pakatan Rakyat akan kurang daripada dua pertiga kerana ramai ahli parlimen digantung. Peluang ini akan digunakan sepenuhnya oleh Umno-BN," kata Loke. Taktik dapatkan majoriti 2/3 Sementara itu, Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga berkata kerajaan cuba mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen dengan menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat. "Dengan menggantung empat MP Pakatan, BN akan mendapat sokongan daripada lima MP Bebas bagi mendapat majoriti dua pertiga, katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang. Menurut Nizar, BN dijangka menggunakan jalan pintu belakang itu bagi meluluskan persempadan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan ia memihak kepada mereka. "Mereka boleh buat persempadanan semula, (dan) tambah beberapa kerusi baru untuk Sabah dan Sarawak." -mk |
Tragedi Petronas Meletup: 6 Cedera Dibaham Bebola Api Posted: 14 Dec 2010 10:00 PM PST KUALA TERENGGANU: "Saya nampak satu bebola api menuju ke arah kami ketika saya dan rakan dalam proses menamatkan syif di pelantar minyak Bekok C. "Saya dan lima rakan lain terkena bebola itu menyebabkan kami mengalami lecur di beberapa anggota badan termasuk di muka," kata Alias Abdullah, 52, seorang daripada enam pekerja yang terbabit dalam kebakaran pelantar minyak milik Petronas, kira-kira 200 kilometer dari perairan Terengganu. Dia yang mengalami lecur kecil di muka menceritakan kejadian itu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam. Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam kelmarin, seramai 108 pekerja berada di pelantar itu, tetapi hanya enam pekerja mengalami kecederaan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada paip gas yang bocor. Menurut Alias, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia bersama rakan tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat bebola itu meluru laju ke arah mereka. "Kami diberikan rawatan awal di pelantar minyak sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke hospital ini untuk rawatan lanjut. "Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami tidak begitu parah dan hanya mengalami lecur akibat disambar api pada muka," katanya. Selain Alias, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Rishauddin Ismail, 37, Mohd Hamzah Abdullah, 32, Mohd Fauzi Ibrahim, 37, Mohd Arif Farimi, 28, dan Zamri Wagiman, 32. Mohd Hamzah ketika menceritakan kejadian itu kepada Ahmad Said pula berkata, api menyambar mereka pada hujung waktu bertugas di pelantar itu. "Ketika itu kami sibuk menyiapkan tugasan dan saya tidak tahu bagaimana kebakaran itu boleh berlaku," katanya. Sementara itu, Petronas Carigali Sdn Bhd dalam kenyataan akhbar berkata, kejadian berlaku di pelantar Bekok C yang berkedudukan 200 kilometer dari pantai Semenanjung Malaysia sejurus selepas tengah malam dan api berjaya dikawal pasukan tindakan kecemasan pelantar terbabit. "Terdapat 108 pekerja di pelantar itu ketika kejadian dan enam daripadanya mengalami kecederaan dan dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan. Baki 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran," katanya. Menurut kenyataan itu, aktiviti di Bekok C dihentikan sementara dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. Ahmad Said yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau bersyukur kerana kemalangan itu tidak mengorbankan nyawa. "Mujur pelantar tidak meletup akibat kejadian itu kerana bilangan pekerja ketika kejadian ramai," katanya. -hm Ulasan GB GB sudah mengulas tragedi berkenaan di Tak Bayar Royalti: Pelantar Petronas Carigali Terengganu Terbakar, 6 Cedera |
Pembebasan Pengasas Wikileaks Tertunda, Kini Kekal Di Penjara London Posted: 14 Dec 2010 08:55 PM PST Pengasas WikiLeaks kekal di penjara London LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange terpaksa bermalam sehari lagi di penjara Britain meskipun memperoleh ikat jamin selepas pihak pendakwaan kes jenayah seksual terhadapnya memfailkan rayuan keputusan pembebasannya itu. Assange, yang menafikan dakwaan terhadapnya di Sweden itu awalnya dibebaskan dengan ikat jamin selepas seminggu ditahan di London berikutan permohonan pihak berkuasa Sweden. Namun beberapa jam kemudian, peguam dipanggil semula memasuki mahkamah untuk mendengar permohonan Gemma Lindfield, wakil pendakwa raya Sweden yang mahu merayu keputusan awal hakim itu. Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh baru pendengaran kes dalam tempoh 48 jam lagi dan ini bermakna warga Australia berusia 39 tahun itu terpaksa bermalam sehari lagi di Penjara Wandsworth di London. "Kes ini sudah menjadi satu perbicaraan 'tayangan'," kata peguam Assange, Mark Stephens memberitahu pemberita selepas keputusan mahkamah berkenaan. Hakim Daerah, Howard Riddle pada awalnya mengenakan ikat jamin 240,000 pound (AS$378,000) kepada Assange. - AFP |
Banglo Seorang Datuk jadi Pusat Pengedaran Dadah Posted: 14 Dec 2010 07:00 PM PST Banglo datuk pusat dadah ROSLAN menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah mempunyai perniagaan chalet di Cherating, Pahang, ia tidak dapat menampung gaya hidup mewah seorang lelaki bergelar datuk dari Pahang berusia 46 tahun dan isterinya warga Britain di Taman Muhibah, Chukai, hingga menjadikan banglo mereka sebagai pusat pengedaran dadah di daerah Kemaman dan Cherating. Bagaimanapun, kemewahan mereka tidak kekal lama apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 dan menyita harta bernilai RM246,000 merangkumi wang tunai, kereta Mercedes-Benz, Proton Gen2 dan Honda Civic serta barang kemas. Dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, polis turut menahan wanita berusia 18 tahun yang juga anak angkat pasangan berkenaan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan itu membolehkan polis merekodkan rampasan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun di kawasan Terengganu Selatan. Katanya, ketika diserbu hanya isteri suspek berada di rumah bersama anak angkat mereka dan pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik, manakala lima batang pokok ganja ditanam dalam beg plastik hitam dan diletakkan di balkoni rumah itu. Roslan berkata, tidak lama kemudian, lelaki itu pulang ke rumah dan pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah lagi dadah yang disimpan di dalam biliknya. "Siasatan awal mendapati pasangan ini penagih tegar sejak 15 tahun lalu dan membelanjakan RM10,000 sebulan untuk membeli dadah. "Polis percaya kos menagih mereka tidak dapat dipenuhi daripada hasil perniagaan chalet itu. Mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu di kawasan Kemaman dan Cherating, Pahang. "Tiga suspek itu direman sehingga 19 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; 39 A(2) 12(2); 6, 6(b), 15(1)(a)," katanya. |
Apabila RPK Dicaci-maki Oleh Pendewa Anwar Posted: 14 Dec 2010 06:16 PM PST Raja Petra Serang PKR: Pembangkang Tak Layak Perintah Negara PETALING JAYA: Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang tidak sebulu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus `menyerang' parti pembangkang itu dengan menyatakannya tidak layak memerintah negara ini. Raja Petra berkata, ketika dia menegur parti itu mereka amat kecoh mendakwanya disogok oleh Umno atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Sheesh, macam ini nak memerintah negarakah?," tulis Raja Petra dalam ruangannya, No Holds Barred, Isnin. Para pemimpin PKR mengecam Raja Petra dengan hebat malah melabelkannya sebagai 'kuda Trojan' serta mendakwanya telah dibeli oleh sesetengah pihak. Raja Petra menulis, dia dianggap sebagai musuh Pakatan Rakyat. "Bagaimanapun, sekiranya saya bodek Pakatan Rakyat dan menghentam Barisan Nasional, saya akan menjadi anak sejati Malaysia, seorang patriot. "Inilah cara minda pembangkang berfungsi dan kita ingin mereka memerintah negara ini," soalnya. Dia menambah, apabila Malaysia Today membocorkan rahsia dan kertas-kertas sulit yang memudaratkan kerajaan, mereka tidak melatah. "Apabila WikiLeaks membocorkan rahsia-rahsia negatif kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya, PKR bertepuk tangan, bersorak serta berkata, WikiLeaks ialah satu anugerah Tuhan. "Sekarang bila keadaan sebaliknya berlaku, anda melatah dan mendakwa berlaku konspirasi dan sub judice. Berhenti menangis seperti bayi," ujar Raja Petra. Katanya, ramai kecewa dengan laporan WikiLeaks mengenai pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, mereka berasa ia adalah tidak adil dan beretika bagi WikiLeaks untuk menerbitkan satu laporan berhubung dengan isu tersebut ketika prosiding mahkamah masih berlangsung. "Sudah pasti, saya bersetuju, perbicaraan itu sedang berlangsung. Jadi kita tidak sepatutnya memberikan komen tentang sesuatu perbicaraan yang sedang berlangsung. "Namun, sejak bila parti pembangkang menghormati peraturan ini? "Semasa perbicaraan Liwat 1, kita mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) kaw kaw (secara hebat) dan berkata apa-apa sahaja mengenai isu tersebut bagaimana beliau mengenakan Anwar. "Sekarang di perbicaraan Liwat 2, kita menghentam Najib dan mendakwa beliau turut mengenakan Anwar," tulisnya. Raja Petra menambah, Malaysia Today bukan sahaja lantang bersuara dalam kes perbicaraan Anwar bahkan beberapa kes besar termasuk kepincangan kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semasa ia masih dibicarakan di mahkamah. Dia memberitahu, mereka yang suka mencari pasal perlu bersedia untuk menerima kritikan. -mstar
Ulasan GB Begitulah keadaannya. GB juga dihentam habis-habisan oleh golongan pendewa-pendewa Anwar apabila GB mengkritik Anwar malah ada yang sampai ke tahap memaki hamun GB kononnya GB sudah mendapat upah dan bayaran dari UMNO. Dahulu semasa waktu pemilihan golongan yang menuduh GB mendapat bayaran dari Datuk Zaid Ibrahim. Golongan inilah sebenarnya perosak kepada Pakatan Rakyat. Mereka suka menghentam orang lain tetapi mereka sendiri tidak boleh menerima kritikan. Jika demikian keadaannya, memang Pakatan Rakyat akan musnah, bukan disebabkan RPK atau GB yang sering menyatakan kebenaran dan keadilan, tetapi oleh para pendokong dan penyokong totok yang berjuang dengan nafsu tetapi bukan dengan ilmu. Malah ada yang ahli PAS juga yang entah dari mana tarbiah yang diperolehi siap menuliskan ayat Al-Quran untuk menguatkan hujjah "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Al Hujuraat:6] Bukankah ayat di atas terang-terang menyatakan suruh periksa dengan teliti terhadap sesuatu berita yang datang dari orang fasik? Ayat itu tidak suruh menerima dan tidak suruh menafikan. GB pun di dalam tulisan GB mengenai Wikileaks tidak menerima dan tidak menafikan, sekadar memaparkan berita berkenaan supaya kita sama-sama memeriksanya samada benar atau pun tidak. Malah Anwar sendiri di dalam ceramahnya malam tadi tatkala mengulas isu Wikileaks itu tidak secara khusus dan tegas menafikan samada beliau meliwat atau pun tidak, tetapi sebaliknya menumpukan serangannya untuk mengaitkan Najib dengan Altantuya. "Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah," Kan boleh diketawakan orang satu dunia... Wikileaks yang disuruhnya datang ke mahkamah bawa Lee Kuan Yew. Wikileaks bukan bernyawa macam manusia, ia hanya sebuah portal. Pengasasnya pula memang pun kini sudah tahan oleh Amerika dan konco-konconya. Nampaknya fenomena Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi akan berulang di dalam pilihanraya akan datang. Bersorak-sorai semasa berceramah dan berkempen tetapi PR kecundang juga. Pun tak mahu ambil iktibar darinya. GB setakat ini hanya mampu berkata: hasbiyallah kerana GB yakin dan pasti, GB mendapat pahala percuma apabila orang mencaci-maki kita dan orang yang mencaci maki itu pula akan mendapat balasan yang sekeras-kerasnya dari Dia. GB teramat ingin PR menang tetapi memerhatikan sikap pemimpinnya dan para penyokongnya, GB berkata, PR akan kalah di dalam PRU akan datang. |
Juruterbang Maut Helikopter Terhempas Di Malim Nawar Posted: 14 Dec 2010 05:01 PM PST Pegawai Polis Terbunuh Dalam Nahas Helikopter Di Malim Nawar Gambar: Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof meninjau keadaan bangkai pesawat helikopter Robinson 44 empat tempat duduk yang terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di Kampar, Selasa. Juruterbang, Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, yang bertugas di bahagian latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang sedang menjalani latihan memandu solo terbunuh KAMPAR: Seorang pegawai polis terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini, Selasa. Kejadian berlaku pada pukul 3 petang tadi ketika mangsa Inspektor Mohd Shukri Othman, 31 yang bertugas di Bahagian Latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh. Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata Insp Mohd Shukri yang mengendalikan helikopter R-44, dengan empat tempat duduk itu, dipercayai hilang kawalan ketika berada di ruang udara lalu terhempas dan terbakar. Mangsa yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mengalami kecederaan dengan kesan kebakaran di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,katanya kepada pemberita di sini hari ini. Aziz berkata mayat mangsa di hantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Shukri yang telah beristeri dan mempunyai seorang anak dikatakan menjalani latihan memandu helikopter sejak pertengahan tahun ini. Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untukmembantu memadamkan kebakaran. - BERNAMA |
Isu Hangat: Kerajaan Nafi Dakwaan Kiamat 2012 Akibat Perlanggaran Planet Nibiru Dengan Bumi Posted: 14 Dec 2010 03:35 PM PST Kerajaan nafi dakwaan Planet Nibiru akan langgar Bumi pada 2012 KUALA LUMPUR -- Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Planet X atau Planet Nibiru akan melanggar Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi menjalankan pemantauan berhubung dakwaan tersebut. "Pihak NASA telah mengatakan bahawa tiada bukti sahih tentang kewujudan Planet Nibiru dalam pencerapannya. Setakat ini tiada satu pun objek dalam angkasa lepas yang dikenal pasti memberi ancaman kepada Bumi secara langsung. "Sekiranya kewujudan planet itu sahih, ia akan dapat dilihat dengan mata kasar dan pastinya ahli astronomi akan buat pemantauan objek tersebut kerana semakin menghampiri bumi seperti yang dikatakan," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara di Parlimen, di sini. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsudin Mehat tentang pendirian kerajaan berhubung dakwaan tersebut. Dakwaan berhubung Planet Nibiru akan melanggar Bumi mula dibangkitkan pada tahun 1995 namun semakin hangat dibincangkan oleh orang ramai terutamanya di internet sejak tahun lepas. -- BERNAMA
|
Ada Buaya Tembaga Di Pantai Teluk Cempedak Posted: 14 Dec 2010 07:07 AM PST Buaya tembaga dijumpai di pantai Teluk Chempedak KUANTAN - Pengunjung pantai peranginan Teluk Chempedak di sini malam tadi digemparkan dengan penemuan seekor buaya tembaga seberat kira- kira 200 kilogram. Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan Mohamad Irwanis Seni berkata, seramai lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuantan bergegas ke pantai itu sebaik menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan buaya berkenaan pada 8 malam. Beliau berkata, pihaknya terus menangkap buaya berkenaan yang terdampar berhampiran kawasan batu-batu di pantai itu. "Buaya sepanjang tiga meter itu tidak terlalu agresif ketika ditangkap," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Katanya reptilia berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang lewat malam tadi. Pengarah Perhilitan Pahang Khairiah Mohd Shariff berkata, reptilia itu telah dilepaskan ke habitat semulajadinya pagi ini. "Pengunjung Pantai Teluk Chempedak tidak perlu risau dengan penemuan buaya berkenaan kerana pantai berkenaan bukan tempat haiwan itu bermain," katanya. Khairiah berkata, buaya itu mungkin tersasar keluar dari habitat asalnya ketika air pasang di muara Sungai Kuantan. -Bernama |
Tak Bayar Royalti: Pelantar Petronas Carigali Terengganu Terbakar, 6 Cedera Posted: 14 Dec 2010 06:02 AM PST Enam Pekerja Carigali Petronas Cedera Dalam Kebakaran Pelantar KUALA LUMPUR: Enam orang cedera dalam kebakaran pagi ini di pelantar Bekok C, 200 km di luar pantai Terengganu yang dikendali oleh Petronas Carigali Sdn Bhd. Gambar fail Kebakaran bermula sejurus selepas tengah malam dan dapat dikawal oleh Pasukan Respons Darurat pelantar tersebut sejurus selepas itu. "Terdapat sejumlah 108 personel di pelantar itu ketika kejadian. Enam cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Nur Zahirah. "102 personel yang lain dipindahkan ke pelantar berdekatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini pada Selasa. Syarikat itu berkata Bekok C sedang menjalani proses penutupan berjadual untuk aktiviti penyenggaraan ketika berlaku insiden itu. Petronas Carigali telah memberitahu pihak-pihak berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kejadian itu. Sementara itu, laporan dari Kuala Terengganu menyatakan mereka yang cedera ialah Alias Abdullah, Hamzah Abdullah, Fauzi Ibrahim, Rishaudin Ismail, Ariff Farimi, dan Zamri Wagiman. Mereka tiba di hospital itu kira-kira jam 9 pagi dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, seorang di Unit Kecemasan manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar. Bagaimanapun kira-kira pukul 12 tengah hari kesemua mereka dilaporkan stabil, dan ditempatkan di Unit Kebakaran HSNZ. Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa melawat mangsa sebaik saja Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berhenti rehat tengah hari. - BERNAMA Ulasan GB Pada awal tahun ini GB telah menyatakan bahawa ramalan GB menjadi kenyataan apabila satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML), memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan. Sebelumnya GB menyatakan GB dapat merasakan bahawa berita "buruk" untuk Petronas akan terus terhidang di dada media selagi Petronas gagal menunaikan kewajipannya membayar royalti kepada pihak yang sepatutnya menerimanya. Dan seperti perkataan GB dimakbulkan lagi hari ini apabila berita Carigali Petronas terbakar kali ini mencederakan 6 orang pekerja Petronas. Dulu lagi GB dah katakan: Ada lagi yang bakal meletup jika royalti Kelantan masih tidak mahu diindahkan. Tak mahu sedar dan tak mahu bayar jugak royalti? Mungkin Petronas nak tunggu sampai ada yang mati! Berita Terkait: Ramalan GB Tepat Lagi - Petronas Methanol Labuan Pula Meletup |
Seorang Polis Trafik Dipenjara 3 Tahun, Denda RM50,000 Kerana Rasuah Posted: 14 Dec 2010 05:10 AM PST Anggota polis trafik dipenjara 3 tahun, denda RM50,000 kerana rasuah KUANTAN - Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dihukum penjara 36 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik lori pasir, tahun lepas. Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Mahir Epandi Ahmad, 48, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan itu. Mahir Epandi didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap lori-lori angkut pasir milik Teoh yang dikatakan melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di kafe Hotel Seri Malaysia pada pukul 5.16 petang pada 10 Julai tahun lepas. Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang juga didakwa menerima amaun, untuk tujuan dan di tempat yang sama daripada Teoh pada 6 Ogos tahun lepas pada pukul 11.20 pagi. Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan. Sebelum itu, peguam yang mewakili tertuduh, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan kepada tertuduh memandangkan dia menunjukkan rekod perkhidmatan yang baik dengan Polis Diraja Malaysia sejak tahun 1979. Selain itu, katanya, tertuduh akan kehilangan kerjanya dan akan dikenakan tindakan oleh jabatannya menyebabkan isteri dan anaknya seramai empat orang akan kehilangan tempat bergantung. Bagaimanapun, Noradidah berkata kes itu merupakan kes yang serius kerana melibatkan penjawat awam dan kepentingan awam. Beliau bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syed Termizi Syed Musa.-Bernama Ulasan GB Inilah satu contoh tipikal dimana ikan bilis yang sering ditangkap dan dihukum, manakala ikan-ikan jerung masih lepas bebas. |
Hakim Mahkamah Syariah Dipenjara 10 Tahun Posted: 14 Dec 2010 03:57 AM PST Bekas hakim syariah kena 10 tahun penjara atas 7 kesalahan rasuah IPOH: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hasan Basri Shapie, 56, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah. Hakim Mahkmah Sesyen, Tan Hooi Leng mendapati pendakwan oleh Ppengarah Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. Hasan diwakili peguam bela T Shan. Antara tujuh tuduhan rasuah yang dilakukan Hasan ialah mendapatkan semula wang ikat jamin bagi melepaskan lima pelayan pelanggan (GRO) serta mempercepat tarikh perbicaraan kes poligami. -BH Ulasan GB Dah kerap GB ulas mengenai institusi kehakiman negara yang bobrok akibat daripada hakim-hakim sundal ini. Diantaranya: Ada Hakim Yang Gemarkan Syurga Dunia Berbanding Akhirat Sistem Kehakiman Negara Yang Bobrok Runtuhkan Istana Keadilan Institusi Kehakiman Negara? ... Teringat Tikus Dalam Kuah Roti Canai.. Badan Kehakiman, Apakah Masih Ada Kebenaran Dan Keadilan Di Sana? Hari Ini, Satu Dunia Menilai Sistem Kehakiman Negara |
Syarikat Induk SYABAS, Puncak Niaga Pecat 17 Kakitangannya Posted: 14 Dec 2010 02:46 AM PST Pekerja Puncak Niaga Yang Dipecat Berhimpun Tuntut Keadilan Bekas kakitangan PNSB yang dipecat 30 Oktober lalu mengadakan perhimpunan secara aman di bangunan PNSB, Shah Alam. Mereka mendakwa tindakan memecat tersebut sebagai tidak adil dan tidak telus. SHAH ALAM: Seramai 12 bekas pekerja Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) telah mengadakan perhimpunan aman berhampiran Ibu Pejabat Puncak Niaga di sini bagi membantah pemecatan mereka yang didakwa dibuat secara tidak adil dan telus. Mereka yang berhimpun selama kira-kira satu jam itu mendakwa tindakan PNSB memecat 17 kakitangannya secara serta-merta tanpa alasan yang kukuh adalah satu bentuk penganiayaan dan meminta supaya nama mereka dibersihkan kembali. "Perhimpunan hari ini diadakan bagi menuntut keadilan. Kami mahu nama kami dibersihkan dan kami diterima bekerja semula," kata bekas Pengurus Kanan Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan PNSB, Kaharuddin Mohd Ali yang merupakan salah seorang daripada 17 kakitangan syarikat konsesi air Selangor itu yang dipecat. Menurut Kaharuddin, semua kakitangan PNSB yang dipecat datangnya dari pelbagai jabatan. Mereka yang terdiri daripada kakitangan eksekutif, bukan eksekutif dan pengurusan telah diberikan notis pemberhentian kerja 24 jam bertarikh 19 Oktober 2010. Walau bagaimanapun, notis tersebut hanya diserahkan kepada mereka pada 30 Oktober berserta arahan meninggalkan syarikat serta-merta. "Sebelum dipecat kami tidak pernah terima surat tunjuk sebab, surat amaran atau apa-apa tindakan disiplin mahu pun siasatan dalaman," katanya. Dalam perhimpunan yang diadakan berhampiran bangunan PNSB yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam itu, 12 bekas pekerja terbabit membawa sepanduk dan poster yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli lembaga pengarah PNSB. Antara yang dilaungkan menerusi sepanduk termasuklah 'Exco Puncak Niaga Kejam! Pecat Kakitangan Melayu Sesuka Hati', 'Kami Dianiaya Maruah Kami Tercemar' dan sebagainya. Tiga adik-beradik pula membawa poster berbunyi 'Ayahku Teraniaya Dibuang Kerja'. Tiga kanak-kanak ini turut memperjuangkan keadilan untuk bapa mereka. Kaharuddin yang ditemui selepas perhimpunan itu berasa kesal kerana 15 daripada mereka yang dipecat terdiri daripada kakitangan berdisiplin, jujur dan komited dalam memberikan perkhidmatan. "Kami dipecat secara tidak adil dan tidak diberi peluang untuk membela diri walaupun ada di antara kami yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun dengan syarikat ini," katanya yang telah berkhidmat dengan syarikat tersebut selama hampir 15 tahun. Pada 8 Julai 2010, mStar Online telah menyiarkan berita awal berhubung pemecatan ini bertajuk 'Puncak Niaga Pecat Pekerja?'. Laporan tersebut bagaimanapun telah ditarik balik pada 16 Julai 2010 setelah PNSB memberi kenyataan menafikan laporan tersebut. "Pemecatan secara serta-merta pada 30 Oktober lalu telah membuktikan berita awal yang disiarkan mStar Online adalah benar dan sahih," kata Kaharuddin lagi. Kaharuddin bersama rakan-rakan lain yang bernasib sama turut mendakwa pemecatan dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak telus. Empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan dikatakan sebagai helah Exco PNSB bagi mengaburi pihak berkuasa untuk 'menghalalkan' tindakan mereka. "Sesi kaunseling tersebut hanyalah berbentuk temubual. Kami juga dipaksa menandatangani Borang Penilaian Kaunseling yang tidak diketahui apa ulasannya tanpa diberikan walau satu salinan," katanya. Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah Setiausaha Pejabat ADUN Kota Damansara, Sivaran Arumugam. Pada 21 Disember ini, satu pertemuan akan diadakan di antara kakitangan PNSB yang dipecat itu dengan pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor bagi menuntut keadilan berhubung perkara ini. Sementara itu, pihak media cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak PNSB berhubung perkara ini tetapi gagal. Pihak petugas dan polis bantuan kelihatan mengawal pintu masuk bangunan tersebut dan tidak membenarkan wartawan dan jurugambar memasuki perkarangan bangunan PNSB selepas perhimpunan berlangsung. -mstar |
Speaker Parlimen Yang Sepatutnya Di"rehat"kan Posted: 14 Dec 2010 02:10 AM PST Bahas salahlaku ketua hakim: Karpal diarah keluar Ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh hari ini diarahkan 'berehat' sehingga sidang Dewan Rakyat selesai makan tengahari hingga jam 2.30 petang ini kerana ingin memulakan usul membincangkan aduan salahlaku Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi. Speaker membuat arahan keluar dewan itu mengikut Peraturan 18(1). Karpal sebelum itu, mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) bagi membincangkan salahlaku rasuah Ketua Hakim Negara. Dakwanya, Zaki dalam ucapannya mengakui di satu majlis perkhidmatan cemerlang di Mahkamah Persekutuan 11 Jun tahun ini, memberi rasuah pada 7 November 2008 di Kuching. "Ketua Hakim Negara gagal membalas aduan saya, dan juga surat peringatan bertarikh 1 Disember 2010, di mana beliau enggan menjawapnya," kata Karpal. "Perkara ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum perlu disegerakan, saya memohon usul saya dibincangkan," tegasnya. Namun, Pandikar enggan membenarkan Karpal membincangkan perkara itu dan berkata Peraturan 36 (a) menghalang mereka daripada membincangkan kelakuan seseorang hakim semasa menjalankan tanggungjawabnya. Apabila Karpal berulang-kali cuba berhujah bahawa beliau bukan mempersoalkan kelakuan Zaki sebagai hakim tetapi sebagai tokoh awam, Pandikar mula hilang sabar dan mengarahkan pemimpin veteran DAP itu 'direhatkan'. -mk Ulasan GB Sepatutnya Speaker Dewan yang direhatkan. Telah terlalu banyak kali Sepaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia bertindak mengikut emosi dan tindakan-tindakannya hanya dikenakan ke atas wakil rakyat pembangkang, tetapi tidak kepada ahli parlimen kerajaan. Sikap berpihak, diskriminasi dan pilih kasih yang diamalkan oleh Pandikar Amin sepatutnya menjadi perhatian kepada semua wakil rakyat pembangkang dan usul supaya Speaker itu dilucutkan jawatannya hendaklah disegerakan. |
You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan