Selasa, 14 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pulau Pinang: Guru KAFA Terima Bayaran Khas Maal Hijrah

Posted: 14 Dec 2010 01:01 AM PST

Guan Eng: Guru KAFA Pulau Pinang diberi bayaran khas Maal Hijrah

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu, yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah.

Bayaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Lim juga menjelaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat.

"Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM6.25 juta, yang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu," kata beliau lagi.

Menurut Lim, penerimaan RM800 oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

"Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

"Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam.

"Dan, saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi," kata Lim lagi.

Lim menambah, penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda kerajaan negeri.

Sumbangan yang diberikan itu melibatkan 20 jabatan negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated.

"Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

"Sekiranya kita mengambil kira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan agensi negeri, ia melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta.

"Bantuan khas ini diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama atau Gred Khas.

"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

"Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini," katanya.

Kes Video Ariel: Cut Tari Akui Hubungan Seks, Video Ditayangkan Di Mahkamah

Posted: 14 Dec 2010 12:00 AM PST

Cut Tari mengaku seks dengan Ariel

BANDUNG - Pengacara popular, Cut Tari, 33, mengaku di sebuah mahkamah di sini semalam bahawa dia merupakan wanita yang disiarkan di dalam klip video seks penyanyi band Peterpan, Ariel.

"Dia mengaku bahawa dalam video itu adalah dirinya dengan Ariel. Benar dia melakukannya (hubungan seks) bersama Ariel," kata pendakwa raya, Rusmanto kepada pemberita selepas perbicaraan kes Ariel mengedarkan video lucah di sebuah mahkamah di Bandung.

Menurut Rusmanto, Cut Tari bagaimanapun tidak pasti mengenai tempat dan waktu dia melakukan perbuatan itu tetapi memberitahu bahawa ia berlaku sekitar 2005-2006.

Cut Tari yang mengaku masih menonton klip video itu juga memberitahu bahawa dia melakukan seks bersama Ariel di bawah katil sebanyak tiga kali, kata Rusmanto.

Setelah selesai perbicaraan, Cut Tari keluar dari kamar perbicaraan dan berkata kepada para pemberita: "Saya tetap konsisten dengan pendirian saya bahawa yang ada dalam video tersebut adalah saya. Tetapi, Ariel tetap mengaku bahawa yang ada dalam video tersebut bukan dirinya," kata Cut Tari.

Dia turut menjelaskan kenapa matanya kelihatan berair dengan berkata: "Di dalam sidang (perbicaraan) tadi, dia (peguam Ariel) mengorek-ngorek luka lama saya."

Dia yang ditemani suaminya, Johannes Joesoef Soebrata, meninggalkan pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam.

Dalam perkembangan sama, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham masih tidak mengaku bahawa dia terlibat di dalam video lucah itu.

Itukan pendapat orang lain," kata Ariel ringkas kepada pemberita bagi mengulas pengakuan Cut Tari itu.

Peguam Ariel, Alfian Bonjol juga menyatakan bahawa Ariel menafikan bahawa dia adalah individu dalam klip video seks berkenaan.

"Anak guam saya menafikan dia adalah lelaki dalam klip video itu," kata Alfian kepada para pemberita.

Bagaimanapun, kekasih Ariel, Luna Maya, 27, yang juga seorang pengacara tidak hadir pada perbicaraan semalam dan pihak pendakwaan berusaha bagi memastikan kehadirannya pada perbicaraan pada minggu hadapan.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup.

Jika didapati bersalah mengedarkan klip video lucah, Ariel berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda hingga AS$672,000 (RM2.1 juta) kerana beberapa kesalahan termasuk menyebarkan pornografi di Internet.

Pemberita-pemberita tidak dibenarkan untuk berada di dalam bilik mahkamah.

Namun, mereka dibenarkan melihat sesi perbicaraan tersebut dari luar tingkap bilik mahkamah.

Pemberita-pemberita itu dapat melihat Cut Tari menonton salah satu klip video tersebut menerusi komputer riba.

Ariel yang ditahan di sebuah penjara di sini dituduh mengedarkan klip video lucah yang menampilkan seorang lelaki miripnya melakukan hubungan seks dengan Cut Tari dan kekasihnya, Luna Maya. - Agensi


Mahkamah tayang klip video seks Ariel, Cut Tari

BANDUNG, 14 Dis — Di sebalik demonstrasi kumpulan konservatif Islam di luar mahkamah, adegan seks bintang rok Nazril "Ariel" Irham dan selebriti Cut Tari (gambar) dipertontonkan ketika perbicaraan membabitkan penyanyi kumpulan Peterpan itu, semalam.

Cut Tari yang kemudian keluar dari mahkamah dengan linangan air mata memberitahu pemberita, dia rasa sedih apabila menonton kilp video sekali lagi.

Kali pertama ia ditunjukkan bahan itu bersama Ariel ialah Ogos lalu ketika disoal siasat oleh polis.

"Ia hanya membuka semula segala luka (yang telah dialami)," kata Cut Tari sebelum meninggalkan mahkamah dengan menaiki sebuah kereta bersama suaminya Yusuf Subrata dan peguam dia Hotman Paris Hutapea.

Malah ketika menghampiri keretanya, Cut Tari juga berhadapan dengan jeritan kumpulan yang mengadakan demonstrasi dengan memanggilnya "syaitan."

Cut Tari merupakan salah seorang daripada enam saksi yang memberi keterangan semalam, lapor Jakarta Globe.

Lima yang lain termasuklah tiga anggota Hajar, kumpulan bukan kerajaan yang membuat aduan mengenai kes itu dan dua ahli kumpulan Peterpan — Andika dan Indra.

"Kesemua saksi mengatakan bahawa mereka (dalam video) itu menunjukkan Ariel, Luna Maya (seorang bekas penyampai program TV), sekarang teman wanita Ariel dan Cut Tari," kata ketua pendakwa Rusmanto.

"Cut Tari mengaku dialah orangnya dalam video bersama Ariel dan memang melakukan (perkara itu) bersama dia.

"Ariel terus menafikan yang lelaki (dalam video) adalah dia dan Cut Tari," kata beliau.

"Cut Tari mengakui (perkara itu)," kata beliau sambil menambah, Cut Tari juga mengaku pernah mengadakan pertemuan seumpama itu dengan Ariel tiga kali antara 2005 dan 2006, tetapi tidak dapat ingat lokasinya.

Rusmanto berkata, Luna Maya tidak dapat hadir di mahkamah semalam tetapi akan dipanggil minggu depan.

"Luna Maya minta kebenaran mahkamah untuk pergi ke Singapura," katanya lagi.

Ariel yang ditahan sejak Jun lalu didakwa menghasilkan klip video itu, menunjukkan hubungan seks dengan Luna Maya dan Cut Tari pada dua masa yang berlainan.

Ketika bercakap kepada pemberita sebelum meninggalkan mahkamah, Ariel berkata, oleh kerana perbicaraannya berkaitan dengan soal pengedaran bukannya penghasilan klip video, maka dia memberi fokus mengenai aspek itu.

"Tiada apa-apa yang janggal, semua berjalan macam biasa," kata Ariel yang dikenakan tuduhan di bawah Undang-undang Anti Pornografi 2008, Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik 2008 dan Kanun Jenayah kerana "mengambil bahagian dalam satu perbuatan jenayah."

Pada pertengahan Ogos lalu, Ariel menafikan yang dia terlibat dalam dua klip video pornografi apabila dipertontonkan bersama Cut Tari.

Ketika itu, pihak polis telah menayangkan salah satu rakaman itu di hadapan Cut Tari dan Ariel di bilik yang sama di ibu pejabat polis kebangsaan di Jakarta.

Menurut Hotman, pihak polis menggunakan pendekatan itu untuk mengenal pasti pelakon dalam video itu, yang mana salah seorangnya ialah Ariel.

Satu lagi video melibatkan Luna Maya, yang juga artis berprofil tinggi di Indonesia.

Klip video yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon, panjangnnya antara lima dan tujuh minit disebarkan menerusi internet sejak awal Jun lalu. -TMI


Gerakan Baiki Malaysia Bakal Curi Undi Pakatan Rakyat?

Posted: 13 Dec 2010 10:44 PM PST

RPK tubuh gerakan 'perbaiki' Malaysia

Penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) hari ini mengumumkan bahawa "kuasa ketiganya" - dikenali sebagai Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) - tidak akan mencuri undi dari Pakatan, tetapi sebaliknya bermatlamat untuk "memperbaiki" apa yang rosak di Malaysia.

"Apakah MCLM ini? Nah, jawapan saya ialah KISS: Keep it simple, stupid. Kami adalah sekumpulan tukang-baiki. Dan anda mengatakan ada beberapa perkara yang rosak di Malaysia, seperti parlimen. Kami akan memperbaikinya," katanya semasa siaran langsung webcast dari London malam ini.

Beliau bercakap di satu forum yang kelihatan berlangsung di sebuah hotel di London, anjuran MCLM untuk menjelaskan mengenai gerakan itu dan misinya.

Menurut RPK, MCLM merupakan satu kumpulan yang dikumpul olehnya dan orang lain yang berpusat di Malaysia, seperti peguam yang juga penulis blog, Harris Ibrahim.

RPK mengetuai gerakan itu, dengan Yolanda Augustines sebagai setiausaha manakala Farouk A Peru mengetuai inisiatif maklumatnya. Haris dan yang lainnya menganggotai jawatan MCLM.

Menurut MCLM, ia akan memulakan satu kempen untuk mendidik rakyat
Malaysia mengenai kebebasan awam mereka, yang juga akan merangkumi penerbitan sebuah akhbar rasmi yang akan diedarkan kepada masyarakat.

RPK menjelaskan bahawa MCLM tidak akan 'mencuri undi' sepertimana yang dibimbangi oleh sesetengah parti politik, tetapi sebaliknya ia akan membantu parti-parti politik untuk mengetengahkan calon-calon terbaik dengan mencadangkan mereka yang mampu berkhidmat dan mendidik masyarakat.

"Mereka mengeluh yang mereka tidak dapat mencari calon yang tepat. Nah, kita memberi mereka calon yang tepat," katanya.

Dengan cara ini, beliau percaya ia akan "memperbaiki" situasi di Malaysia di mana calon-calon yang berkhidmat di Parlimen, menurutnya, kini berkualiti rendah.

"Tujuan kami bukanlah untuk memenangi pilihan raya. Tujuan kami adalah membawa pembaharuan kepada sistem politik," tegasnya. -mk



Raja Petra namakan peguam Malik calon sulung PRU13 'Third force'

Raja Petra Kamarudin mengumumkan pemilihan Malik Imtiaz Sarwar sebagai bakal calon sulung gerakan 'third force' untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Editor kontroversial Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang baru-baru ini membantu mewujudkan barisan 'third force' menjelang pilihan raya umum ke-13 untuk membetulkan sistem politik, yang menurutnya "sudah rosak", semalam mengumumkan bakal 'calon' sulungnya.

Raja Petra yang berada di luar negara, dalam apa yang dikatakan sebagai keputusan pembuangan negara kendiri, malam tadi menamakan aktivis hak asasi manusia terkenal Malik Imtiaz Sarwar sebagai calon pertama Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Beliau mengumumkan pemilihan Malik menerusi siaran Internet yang dibawa dari London.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Malik juga mengesahkan perkara itu.

"Ya, saya dipilih. Saya terima. (Saya) akan menjelaskan dalam satu dua hari ini," kata beliau menerusi respons SMS kepada The Malaysian Insider sejurus selepas pengumuman oleh Raja Petra.

Malik terkenal dalam kes Lina Joy, yang memutuskan untuk keluar Islam dan kembali sebagai penganut Kristian.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) ini juga mewakili Raja Petra yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun lalu.

Kes itu membawa Malik memenangi anugerah Bindmans Law Award bagi tahun 2009, yang diberikan oleh majalah hak asasi manusia berpejabat di Britain.

Malik juga bergiat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan untuk mendesak agar ISA dikaji balik dan undang-undang itu dimansuhkan lalu digantikan dengan undang-undang yang lebih baik.

Beliau juga bertindak bagi pihak kerajaan negeri Selangor dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

Isu barisan 'third force' juga menjadi perhatian ketika Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.

PKR merupakan salah satu komponen gabungan Pakatan Rakyat yang dibentuk April 2008.

Raja Petra juga berkata, calon-calon susulan MCLM akan diumumkan di Kuala Lumpur pada 19 Disember ini.

Pakatan Rakyat juga akan mengadakan konvensyen mereka yang kedua di Pulau Pinang pada tarikh tersebut.

Dalam program dua jam yang menarik 180 pengunjung atas talian, Raja Petra yang lazimnya melahirkan pendirian tegas dan lantang terhadap parti pemerintah berkata, gerakan 'third force' bukan satu inisiatif untuk bersaing dengan parti-parti politik yang ada sekarang, tetapi mahu menyediakan mereka calon-calon yang profesional dan beretika untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau percaya bahawa langkah itu akan membantu memperbaharui proses penggubalan undang-undang kelak.

"Matlamat kami bukan untuk memenangi pilihan raya semata-mata, tetapi melakukan pembaharuan ke atas sistem politik," kata beliau yang turut melahirkan kekecewaannya ke atas anggota perundangan semasa yang telah lupa peranan mereka sebagai wakil rakyat, sebaliknya lebih fokus untuk terlibat dalam permainan politik.

"Agenda kami ialah mahu melihat kemunculan sistem dua parti, di mana kedua-dua parti boleh bersaing (berpadan) antara satu sama lain," katanya lagi.

Raja Petra juga mendakwa bekas menteri kerajaan pusat Tan Sri Sanusi Junid juga ada memberitahunya bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai idea yang sama untuk meletakkan calon-calon Bebas daripada kalangan profesional badan-badan masyarakat madani.

Raja Petra juga mendedahkan rancangan MCLM mahu mengeluarkan akhbar bahasa Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif calon Bebas untuk mendampingi pengundi-pengundi kawasan luar bandar.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butirannya.

Beliau juga membidas akhbar Harakah, Rocket dan Suara Keadilan hanya bertindak sebagai risalah parti politik.

Sehubungan itu katanya, di beberapa kawasan di Selangor, sesetengah orang masih beranggapan bahawa Datuk Seri Dr Khir Toyo menyandang jawatan Menteri Besar walaupun negeri itu sudah diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada 2008.

MCLM ditubuhkan Oktober lalu oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang tinggal di London.

Raja Petra merupakan pengerusinya manakala peguam dan juga blogger, Haris Ibrahim pula presidennya yang mengendalikan operasi dari sebelah Malaysia.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan akses laman web http://mclm.org.uk. -TMI


Lelaki Turut Kena Gangguan Seksual

Posted: 13 Dec 2010 09:23 PM PST

Lelaki pun kena gangguan seksual

SERDANG – Lazimnya golongan wanita sering dikaitkan sebagai mangsa gangguan seksual kaum lelaki di tempat kerja.

Bagaimanapun, satu kajian membuktikan sebaliknya apabila kini golongan lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kepada tingkah laku bersifat seksual yang dilakukan oleh kaum hawa.

Menurut Ketua Laboratari Perubahan Sosial, Ekonomi dan Keamanan, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jamilah Othman (gambar), meskipun fenomena itu agak janggal tetapi ia kerap terjadi di tempat-tempat kerja sejak kebelakangan ini.

Kajian kualitatif yang bertajuk Penyelesaian Konflik Gangguan Seksual di Agensi-Agensi Kerajaan di Semenanjung Malaysia yang menemu bual sekumpulan responden pihak atasan mendedahkan fenomena itu memang berlaku.

"Saya telah menemu bual lelaki yang bertaraf bos dan mereka sendiri memaklumkan sindrom berkenaan. Kebanyakan pekerja bawahan wanita didapati suka mengganggu mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jamilah memberitahu, perlakuan itu berlaku ekoran sikap wanita kini yang lebih terbuka, berani dan tujuan mereka sememangnya bermotif jahat.

"Wanita-wanita dalam kumpulan ini sanggup berbuat begitu kerana rakus untuk segera dinaikkan pangkat tanpa perlu bekerja keras," ujarnya. -kosmo

Anak Muda Tuntut Jawapan Daripada Saifuddin

Posted: 13 Dec 2010 07:15 PM PST

Che'Gu Bard Respon Kenyataan S/U Agung PKR

Merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin — bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak bukan - bukan.

Laporan yang di siarkan pada 10 Disember 2010, di link ini adalah respon kepada kenyataan media che'GuBard yang disiarkan di sini.

Pertama sekali saya tidak pasti apa maksud YB Setiausaha Agong dengan minta che'GuBard jangan buat yang bukan - bukan? Saya mohon YB Setiausaha agong jelaskan.

Kedua saya berasa hairan, bila kita tampil bertanya kepada JPP atau menghantar persoalan kepada JPP, yang tampil ke depan menjawab ialah YB Setiausaha Agong, tetapi bila tak boleh menjawab bila ditanya butiran lengkap YB Setiausaha Agong akan jawab tak apa kita serah pada JPP..... apakah ini?

Ketiga undang - undang keadilan apakah ini? Yang diadukan antaranya ialah kepincangan JPP dan JPP diserahkan untuk menyiasat?

Keempat beban membuktikan tergalas 100% ke bahu pengadu dan seolah pengadu sendiri perlu menyiasat dan membuktikan.... kita bayangkan aduan dibuat kepada SPRM kerana rasuah orang tertentu dan SPRM pula minta kita siasat untuk buktikan? Aduan seharusnya diambil bagi memulakan kes dan siasatan harus dibuat termasuk memanggil pengadu.

Kelima ingin saya jelaskan saya selaku Penyelaras Kempen che'GuBard dan rakan - rakannya dalam Pemilihan KEADILAN 2010 dalam pengetahuan saya telah lebih dari satu surat dihantar kepada pihak pusat sama ada JPP, Presiden mahupun Setiausaha Agong sendiri, namun sehingga kini satu pun tidak berjawab. Surat aduan yang terakhir menyenaraikan beberapa aduan kes 'spesifik' yang harus dijawab.

Keenam, ramai sudah mula menyatakan memang ada kelemahan dan ada unsur tidak sempurna. Namun sebenarnya ia melibatkan penipuan bukan kelemahan. Kami mahu tindakan siasatan oleh badan bebas dan jika terdapat kesalahan tentu ada yang harus dihukum.

Saya menyokong tindakan che'GuBard dengan menolak semua perlantikan jawatan kerana jika menerima lantikan maka ia dilihat bersekongkol dengan kabinet yang dibentuk secara penyelewengan demokrasi. Tindakan ini seharusnya dilihat dengan aspek positif kerana dalam KEADILAN ada suara anak muda berani menegakkan keadilan demi menjamin proses demokrasi telus. Jauh dari itu ini bukan persoalan jawatan tetapi persoalan ketelusan.

Saya dan teman-teman juga sayang parti ini, kerana sayanglah kami tegas dalam membaiki dan menangani sebarang penyelewengan demokrasi dalam parti.

Kiriman:
Zulkifli Ibrahim
bekas Exco AMK
Penyelaras Kempen Anak Muda
Penerus Perjuangan Reformasi

Pengawal Keselamatan Curi Wang ATM RM1 juta

Posted: 13 Dec 2010 06:30 PM PST

Pengawal curi wang ATM

HAMZA (kiri) dan Soh meneliti barang kes yang dirampas daripada 13 along di IPK Sabah di Kepayan, semalam. RM844,850 diambil sedikit demi sedikit dalam tempoh 2 tahun

KOTA KINABALU: Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi – dua pegawai syarikat keselamatan yang diamanah memasukkan wang ke dalam mesin juruwang automatik (ATM) ditahan kerana disyaki mencuri RM844,850 dengan mengambil sedikit demi sedikit daripada keseluruhan wang dimasukkan itu.

Suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dipercayai mengambil antara RM3,000 hingga RM10,000 setiap kali memasukkan wang ke dalam ATM di empat stesen minyak di Lahad Datu sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan mereka akhirnya terbongkar apabila audit dalaman bank itu berjaya mengesan kehilangan wang berkenaan dan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan mereka.

Kedua-dua mereka ditahan pada 19 November lalu berikutan laporan polis dibuat pegawai bank berkenaan sehari sebelum itu dan didakwa Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata suspek dipercayai mengambil wang itu secara berdikit-dikit ketika memasukkannya ke dalam ATM bagi mengelakkan kehilangannya disedari pihak pengurusan bank.

"Audit dalaman bank mengesan kehilangan wang berkenaan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 18 November. Keesokannya, polis menahan tujuh pegawai syarikat itu. Bagaimanapun, lima daripada mereka dibebaskan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Shariff Abdul Wahid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Superintendan Soh Hock Seng.

Terdahulu beliau menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kepayan dekat sini.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah, Rabu lalu tetapi mengaku tidak bersalah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dalam dua operasi berasingan di Sepanggar dan Penampang, masing-masing pada 8 dan 10 Disember lalu.

Hamza juga berkata, JSJK IPK Sabah menahan 13 lelaki dipercayai along dalam operasi di bandar raya ini, Kunak, Tawau dan Papar bulan lalu.

Katanya, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka kerana kesalahan memberi pinjaman tanpa lesen. -BH


Rasuah Bermaharajalela Kerana UMNO BN Terlalu Lama Berkuasa

Posted: 13 Dec 2010 05:50 PM PST

Rasuah ancaman sebenar negara: Kos pertahanan terlampau tinggi, Ronald McCoy

Untuk beberapa dekad kebelakangan, Malaysia (atau Malaya) hanya berdepan dengan dua ancaman luar, iaitu Perang Pasifik dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, tidak cukup untuk menjustifikasikan kos pertahanan atau kelengkapan ketenteraan yang terlampau tinggi, kata Ronald McCoy. Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa ancaman negara kita yang sebenar adalah pertentangan antara kaum dan berleluasanya gejala rasuah.

Ronald McCoy (gambar kanan) ialah seorang doktor yang menentang senjata neuklear, menyandang jawatan Presiden Malaysian Physicians for Social Responsibility. Beliau berkata, ancaman dalaman yang berlaku termasuklah Darurat, tragedi berdarah 13 Mei dan sebagainya. Oleh sebab ancaman sebenar adalah dari dalaman, terutamanya pertentangan kaum, maka adalah tidak wajar seandainya kita perlu membelanjakan kos yang terlampau tinggi untuk kelengkapan ketenteraan.

53 tahun yang lalu menyaksikan negara kita yang berpecah-belah dengan politik perkauman yang bermaharajalela, dan didominasi kaum Melayu. Ronald McCoy menganggap bahawa kita tidak seharusnya menumpu kepada "perpaduan Melayu", "perpaduan Cina" atau "perpaduan India", kerana ini akan membuat kita untuk menumpu kepada "perpecahan Malaysia".

Dalam pada itu, usaha untuk memulihkan semangat keadilan dalam kehakiman, pentadbiran yang baik, sistem pendidikan yang sempurna adalah mustahak, katanya.

Terlalu lama UMNO-BN berkuasa

Ronald McCoy menjelaskan, banyak institusi kerajaan telah dikuasai UMNO-BN, sehingga menjadi kerajaan autokrasi yang terlalu lama berkuasa. Mereka boleh mengekalkan kuasa dengan akta yang diluluskan, untuk menjayakan agenda mereka. Misalnya, sistem perkhidmatan awam yang seharusnya bersikap neutral dijadikan alat UMNO-BN, sehingga negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berdepan dengan sabotaj daripada mereka.

Juga, isu kematian dalam tahanan yang semakin ketara, namun komuniti doktor di Malaysia tidak cukup kuat (strong) untuk mendedahkan bagaimana tahanan dibelasah sehingga mati oleh polis. Jadi, Ronald McCoy tidak melihat apa-apa peluang untuk memperbetulkan keadaan yang sedia ada, selain menukar kerajaan.

Beliau sedar bahawa ini bukan sesuatu tugas yang enteng, tetapi rakyat harus cuba untuk melakukannya.

Ronald McCoy berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Ke arah Dasar Pertahanan Alternatif dalam Budaya Aman" (Towards Alternative Defence Policy in Culture of Peace), diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Sabtu yang lalu.

Forum ini diadakan sempena pelancaran buku baru Pengarah SUARAM, Kua Kia Soong, "Questioning Arms Spending in Malaysia". Ahli panel yang lain termasuklah Kua Kia Soong, ahli parlimen Subang R.Sivarasa, dan anggota Food Not Bomb, Yuuhan. Pengacara untuk forum yang yang menarik kehadiran kira-kira 50 orang ini ialah Susanna George. -MR

Khir Toyo Digantung Dari Semua Jawatan Parti

Posted: 13 Dec 2010 04:56 PM PST

Khir Toyo digantung dari semua jawatan parti

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri, Dr Mohd Khir Toyo telah digantung dari semua jawatan parti yang dipegangnya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah minggu lalu.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan tersebut tidak ada hubungannya dengan pertimbangan kepentingan politik BN, tetapi ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Akhbar Sinar Harian melaporkan beliau berkata, sesiapa sahaja yang didakwa atau menunggu kes mahkamah, akan digantung jawatannya dalam parti, seperti yang dilakukan sebelumnya.

Menurut Tengku Adnan, yang juga ahli parlimen Putrajaya, tindakan serupa telah diambil terhadap ahli Umno yang lain pada 2009, dan walaupun mereka kemudian didapati tidak bersalah, kedudukan mereka tidak dikembalikan.

Menurut Sinar Harian lagi, Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, menerima surat dari ibupejabat Umno berhubung penggantungannya itu pada 8 Disember - dua hari selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah berhubung penjualan tanah yang menjadi tapak rumah mewahnya.

Sambil menyifatkan keputusan parti itu sebagai "prosedur biasa", Khir berkata, beliau akan mematuhi keputusan penggantungan tersebut, tetapi akan terus memberi bekerjasama, sumbangan dan menawarkan perkhidmatan untuk bahagiannya yang kini dipangku oleh timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Katanya, penduduk Sungai Panjang tidak perlu bimbang kerana beliau akan memenuhi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Yang penting, katanya, usaha BN untuk merampas semula kerusi DUN Sekincan diteruskan.

Khir yakin Ramli akan dapat meneruskan aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Ramli, 63, sebelum ini merupakan bendahari Umno bahagian Sungai Besar (2004-2009) sebelum menang jawatan timbalan ketua bahagian.

Semalam, sekumpulan kira-kira 200 pemuda dilapor menubuhkan Gagasan Bertindak DUN Sungai Panjang (GABUS) sebagai tanda sokongan kepada Khir dan Umno bahagian Sungai Panjang.

Diketua oleh Mohd Safar Abdullah, mereka menyerahkan memorandum sokongan kepada Khir yang dikatakan telah ditandatangani oleh lebih 300 "pengundi musa".

Safar berkata, GABUS mengutuk tindakan pihak-pihak tertentu untuk mengganggu keharmonian dan perpaduan umno bahagian Sungai Panjang. -mk

Ulasan GB

Konspirasi Dunia, Obelisk di Putrajaya?

Posted: 13 Dec 2010 03:47 PM PST

Konspirasi Dunia, Obelisk di Putrajaya?

Pernahkan anda mendengar tentang Obelisk? Saya pasti ramai daripada anda pernah terlihat binaan ini.

Tetapi apa sebenarnya Obelisk ini? Kenapa ia berada di serata dunia, termasuklah di negara kita, Malaysia sendiri? Tidak percaya? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui kebenaran yang tersirat.

Obelisk ini sebenarnya berasal dari Tamadun Mesir Purba dibina untuk melambangkan Tuhan Matahari mereka (Ra) dan mereka percaya Ra wujud bersama Obelisk ini. Mereka telah membina lebih kurang 29 buah obelisk untuk Tuhan Ra mereka. Obelisk juga dikenali dengan nama ‘Cleopatra Needle’ dan diasaskan dari ‘Sun Pillar’.


Sun Pillar


Tahukah anda kenapa umat Islam wajib melontar batu di Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah? Ini adalah kerana tiang tersebut merupakan sebuah “obelisk” hasil dari tiang yang menjadi simbol pemerintahan Firaun pada zaman dahulu.

Dajjal dan tenteranya mengguna dan memanipulasi tenaga piramid (piramid pada hujung obelisk) dengan kaedah sains untuk tujuan yang jahat. Sebab itulah umat Islam wajib membaling batu di Jamratul sebagai tanda protes kepada manipulasi ini dan juga benci dengan iblis serta kejahatannya. Tidak ramai umat Islam yang memahami maksud simbolik kenapa perlunya membaling batu di Jamratul.

Semasa menunaikan Haji, umat Islam akan membaling batu sebanyak 7 kali dengan 7 biji batu dimulai dengan tertib di ketiga-tiga Jamratul bermula dari Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah dengan niat:
Bismillah, Allahuakbar Rajman Lisyaitani wahizbih (Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Besar, aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya)

Melontar


Obelisk pada zaman dahulu kala dibuat dari seketul batu yang diukir (monolith).

Perkataan 'obelisk' berasal dari ketamadunan Greek. Obelisk yang berasal dari Egypt (semasa zaman Firaun) dan merupakan yang tertinggi sekali terletak di hadapan bangunan Basilica of St. John Lateran, Rome, Italy. Semasa zaman kegemilangan Constantinople, maharajanya iaitu Theodosius I bagi bahagian timur Turki, telah meletakkan sebuah obelisk di Hippodrome of Constantinople, Turki. Tidakkah kamu sedar wahai penganut Kristian, agama kamu telah diubah menjadi agama Pagan? Ajaran asal Nabi Isa a.s tidak mengajar kamu mengagungkan binaan syaitan ini!

Terdapat 28 lokasi yang terletaknya obelisk asal dari zaman Firaun iaitu di:

Mesir (8 buah)
Pharaoh Tuthmosis I, Karnak Temple, Luxor
Pharaoh Ramses II, Luxor Temple
Pharaoh Hatshepsut, Karnak Temple, Luxor
Pharaoh Senusret I, Heliopolis, Cairo
Pharaoh Ramses III, Luxor Museum
Pharaoh Ramses II, Gezira Island, Cairo, 20.4 m
Pharaoh Ramses II, Cairo International Airport, 16.97 m
Pharaoh Seti II, Karnak Temple, Luxor, 7 m

Perancis (1 buah)
Pharaoh Ramses II, di Place de la Concorde, Paris

Israel (1 buah)
Caesarea obelisk

Italy (11 buah termasuk 1 di Vatican City)
8 di Rome
Piazza del Duomo, Catania (Sicily)
Boboli Gardens (Florence)
Urbino

Poland (1 buah)
Ramses II, Poznan Archaeological Museum, Poznan (pinjaman dari Ägyptisches Museum und Papyrussammlung, Berlin)

Turki (1 buah)
Pharaoh Tuthmosis III, in Square of Horses, Istanbul

United Kingdom (4 buah)
Pharaoh Tuthmosis III, “Cleopatra's Needle”, di Victoria Embankment, London
Pharaoh Amenhotep II, in the Oriental Museum, University of Durham
Pharaoh Ptolemy IX, Philae Obelisk, at Kingston Lacy, near Wimborne Minster, Dorset
Pharaoh Nectanebo II, British Museum, London

Amerika Syarikat (1 buah)
Pharaoh Tuthmosis III, “Cleopatra's Needle”, di Central Park, New York

Adakah Obelisk ini wujud di Malaysia? Pasti ramai antara kita yang tidak tahu dan perasan sebenarnya di Malaysia tidak terlepas dari binaan dajal ini. Obelisk di Malaysia terletak di Precint 2, Putrajaya. Berikut adalah petikan dari laman web Malaysia Travel Guide:

This is the city’s own version of the Washington Monument in Washington, DC. Considered to be the national monument of Putrajaya, the Millennium Monument is a metal obelisk that stands 68 meters tall and is located within a 25-hectare park situated in Precinct 2. The etchings adorning the monument depict key moments and events of Malaysia’s history.


Sabda Rasullulah: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka (iaitu kaum berkenaan). – Hadis Riwayat Abu Daud


National Millennium Monument, Precint 2 Putrajaya

Berikut adalah gambar-gambar obelisk di serata dunia.

St. Peter Square, Vatican.

Luxor Obelisk, Paris

Central Park, New York

Buenos Aires, Argentina

Pheonix Park, Dublin

Sao Paolo. Brazil

Istanbul, Turki

London, England


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". – Luqman 13

-feryco/GB

Atikel Berkaitan:

Senibina Putrajaya Berkonsepkan freemason


Wanita Pecah Kepala Digilis Lori Pasir

Posted: 13 Dec 2010 06:44 AM PST

Wanita pecah kepala digilis lori pasir

Gambar: Tiga anggota polis mengangkat mayat seorang warga emas Junaidah @ Jayakodi Abdullah, 62, yang maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori pasir di Jalan Taman Permai dekat sini, pagi tadi.

SEREMBAN: Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah lori pasir tanpa muatan di persimpangan lampu isyarat Taman Permai, di sini hari ini.

Junaidah@Jayakodi Abdullah, 62, yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, motosikal yang ditunggang wanita itu digesel lori yang cuba memotong motosikal berkenaan menyebabkan Junaidah terjatuh dan kepalanya digilis lori itu.

"Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya," katanya di sini, hari ini.

Di Ipoh, polis meminta pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan sepasang suami isteri terbunuh di KM 3 Jalan Sitiawan-Teluk Intan semalam, supaya tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Trafik Negeri, Superintendan Wan Abdullah Wan Ishak, berkata dalam kejadian pada jam 4.30 pagi semalam Law Choon Ming, 64, dan isteri Goh Chew King, 63, terbunuh apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cina, Sitiawan.

Beliau juga meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6899222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

[Bergambar] Awas, Kicap Kipas Udang Tiruan Di Pasaran

Posted: 13 Dec 2010 05:42 AM PST

3 360 Botol Kicap Manis Cap Tiruan Dirampas

Gambar: KICAP TIRUAN... Gambar menunjukkan perbezaan antara Kicap Kipas Udang yang tiruan dan asli yang mana kicap asli (kanan) mempunyai penutup lubang plastik berbentuk bulat manakala kicap tiruan (kiri) penutup lubangnya berlubang. Itu adalah salah satu perbezaan antara kicap asli jenama Kipas Udang dan kicap tiruan yang dirampas oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

SEREMBAN: Sebanyak 3,360 botol kicap manis tiruan yang menggunakan jenama 'Kipas Udang' bernilai hampir RM10,000 dirampas dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, Isnin.

Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Tuanku Antah di sini, kata Ketua Pengerusi PPDNKK Mohd Nor Musa.

"Kami mendapat aduan dari orang ramai menyebabkan kita membuat pemeriksaan di setor syarikat pemborong terbabit. Pemilik syarikat itu yang berusia 50-an bagaimanapun tidak mengetahui kicap itu adalah tiruan," katanya ketika ditemuidi tempat kejadian.

Beliau berkata sampel daripada kicap tiruan itu akan dihantar ke makmal untuk melihat sama ada ia menggunakan bahan merbahaya atau tidak.

Terdapat perbezaan yang agak ketara di antara kicap tiruan itu dengan yang asli iaitu tulisan tamat tempoh penggunaan kicap tiruan itu tidak dicetak dengan laser sebaliknya menggunakan pencetak komputer biasa, katanya.

Beliau berkata pihaknya kini mengesan pembekal kicap itu dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000. - BERNAMA





Media Negara Amalkan Demokrasi Terpilih - Mohd Sabu

Posted: 13 Dec 2010 04:02 AM PST

Mohd. Sabu: Media negara amalkan demokrasi terpilih

Tindakan media arus perdana dalam negara ini yang tidak telus dalam melaporkan perkara sebenar menyebabkan mereka berada pada tangga ke-166 dalam senarai kebebasan dunia.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah penerangan beliau di Dewan JKKK, Pajak Song, Kepala Batas, Seberang Perai Utara semalam.

Menurut beliau lagi, sikap "double standard" yang diamalkan oleh media perdana menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara fakta, kebenaran dan kebatilan.

"Apabila mereka tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah kebenaran. Yang lebih parah lagi apabila wujudnya ketidaktelusan dalam menyampaikan maklumat."

"Malah demokrasi yang diamalkan oleh pihak media yang condong kepada pemerintah, hanya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai sesuatu yang benar. Manakala parti lain yang berada dalam negara ini, walaupun sah dari segi perundangan akan dianggap sebagai tidak sah kepada mereka," ujarnya lagi.

Mohamad Sabu juga menyelar sikap kerajaan yang menjadikan demokrasi sebagai momokan sedangkan pada konsep sebenar ia tidak dilaksanakan.

Tambahnya lagi, demokrasi yang diamalkan oleh media luar negara seperti Indonesia, Filipina dan kebanyakan negara luar adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sistem amalan yang dilaksanakan dalam negara oleh kerajaan sedia ada.

"Sebagai bukti kita dapat lihat bagaimana peranan berat sebelah yang dimainkan oleh media milik kerajaan. Semasa pilihan raya diadakan mereka akan menggunakan media untuk menghentam parti lawan seperti PAS, PKR dan DAP."

"Sedangkan kita tidak diberi ruang dan peluang untuk membela diri. Mereka boleh membelasah kita tanpa henti. Sekelumit masa pun tidak mereka berikan untuk menyatakan visi dan misi kita untuk memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat."

"Sekiranya keadilan mahu dilihat terbentuk dan dilaksanakan dalam negara, maka rakyat harus segera membuat reformasi dalam pilihan raya umum yang akan datang. Hanya melalui mandat rakyat sahaja kita mampu merubah ketidakadilan yang ada dalam negara,
" katanya lagi.

Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah dengan menyekat maklumat parti lawan seperti Pakatan Rakyat (PR) bukan satu perkara baru yang diamalkan dalam negara ini. Walau bagaimanapun dengan perkembangan siber terkini, maklumat kepada rakyat dapat dirobos melalui sistem yang ada tanpa perlu menaruh harapan yang tinggi kepada BN sebagai parti pemerintah untuk melebar-luaskan penyiaran maklumat bagi pihak PR.

Katanya lagi, Perhimpunan Agung UMNO yang seringkali diberikan liputan meluas oleh TV3 adalah bukti ketara bagaimana berlakunya diskriminasi media terhadap PR maupun parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

"Namun begitu, PR tidak akan mengamalkan ketidakadilan yang menjadi amalan mereka menyelinap masuk seandainya tampuk pemerintahan berada dalam kekuasaan kita menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

"PR akan tetap mempraktikkan keadilan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira kedudukan entiti, ras dan agama yang mereka anuti bagi memberi keadilan dan pembelaan yang sewajarnya," tegasnya lagi.

Majlis anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor itu turut di hadiri oleh kepimpinan PAS, PKR dan DAP. -MR

Pemilihan DAP Pulau Pinang, Phee Bersama 4 ADUN Lain Tewas

Posted: 13 Dec 2010 03:07 AM PST

Phee, empat Adun tewas pemilihan DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 12 Dis − Pemimpin veteran negeri Phee Boon Poh dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tewas mengejut pada pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang hari ini.

Kekalahan Phee, yang juga exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.

Pada pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak di sini, Phee, yang juga Adun Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Empat lagi Adun yang tewas ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan (Sungai Pinang) dan A. Tanahsekharan (Bagan Dalam).

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan lebih gigih demi parti.

"Saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu perwakilan tidak mengundi saya," katanya.

Pada pemilihan itu, Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348 undi.

Keputusan rasmi pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang:

1. Jagdeep Singh Deo − 348 undi
2. Law Heng Kiang − 321
3. Chow Kon Yeow − 312
4. Chong Eng − 261
5. Lim Hock Seng − 257
6. Ng Wei Aik − 256
7. Wong Hon Wai − 250
8. Koay Teng Hai - 245
9. Lim Hui Ying - 241
10. Prof Dr P. Ramasamy - 240
11. Teh Yee Cheu - 219
12. D Harvinder Singh - 215
13. R.S.N Rayer - 190
14. Lay Hock Peng - 185
15. Gooi Seong Kin - 179

Pengerusi DAP Pulau Pinang: Chow Kon Yeow
Timbalan Pengerusi: Prof Dr P. Ramasamy
Naib Pengerusi: Jagdeep Singh Deo/Lim Hock Seng
Setiausaha: Ng Wei Aik
Penolong Setiausaha: Lim Hui Ying
Bendahari: Wong Hon Wai − Bernama


Pertama kali doa dibaca di konvensyen DAP

Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman.

Bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.

Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

Puluhan ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini.

DAP sering dituduh cauvinis kaum kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini.

Konvensyen kali ini turut menyaksikan lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon yang bertanding untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah.

Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik calon tunggal Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012.

Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther. -mk


Tiada ulasan: