Rabu, 29 Disember 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Piala AFF Suzuki - Malaysia mengatasi Indonesia dengan agregat gol 4-2

Posted: 29 Dec 2010 04:21 PM PST





Oleh Mohd Sani Ali

GOL Mohd Safee Mohd Sali dan kejayaan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat, menyelamatkan tendangan penalti menjadi kunci kejayaan Malaysia yang muncul sebagai juara baru Piala Suzuki.

Biarpun kalah 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta, keputusan tersebut tetap menyebelahi anak buah jurulatih K. Rajagobal yang ditabalkan mahkota Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas membenam Indonesia dengan agregat 4-2.

Hasrat Indonesia untuk menebus kegagalan menjulang mahkota Piala AFF selepas gagal tiga kali dalam final berderai apabila sekadar ketinggalan 1-0, sebelum menyumbat dua gol sagu hati, termasuk bola tandukan pertahanan Malaysia ke gawang sendiri dalam perlawanan akhir kedua.

Kehadiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bersama ribuan penyokong Indonesia gagal menyemarakkan semangat para pejuang Garuda yang ketinggalan tiga gol dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.

Sebaliknya, gol hasil serangan kilat Mohd Safee, gol kelimanya dalam kejohanan ini, pada awal permainan separuh masa kedua seakan-akan menutup semua peluang tuan rumah untuk bangkit di depan para penyokongnya.

Kegagalan kapten pasukan Indonesia, Firman Utina, memanfaatkan jaringan gol menerusi tendangan penalti pada minit ke-17, yang diselamatkan oleh Khairul, merupakan kunci kejatuhan tuan rumah.

Kecemerlangan Khairul bertindak kemas menyelamatkan kubunya daripada ditembusi percubaan demi percubaan para penyerang Indonesia sekali gus meningkatkan keyakinan anak buah Rajagobal bukan sahaja untuk bertahan, malah melancar serangan balas.

Oleh itu sebaik saja penjaga gawang Indonesia, Markus Harison, diuji oleh rembatan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-20, Malaysia sedar kubu pertahanan lawannya juga goyah.

Indonesia, yang perlu mencatat empat gol, berusaha keras dengan melancarkan serangan bertali arus.

Gol jaringan Muhammad Nasuha pada minit ke-72 dan rembatan Muhd Ridwan pada minit-minit akhir perlawanan yang terkena pemain Malaysia dan masuk ke gawang sendiri, menjadi gol penawar kepada para penyokong Indonesia.

Tiada ulasan: