D'Perbatasan |
- Mike Bidas Fitnah Rasis Gobala
- Baju ketat: Keluarkan senarai 'Ok tak OK'
- Rogol amah: Najib, Pak Lah tolong jawab
- WikiLeaks: Akhbar, pemimpin berperangai macam Yahudi
- Syatan Sudah Memenuhi Diri Manusia
- Apabila Karpal puji PAS parti paling berdisiplin
- Mahfuz, Anwar puji corak permainan Harimau Malaya
- Kenapa Bertindak Begini Wahai Sahabat?
| Mike Bidas Fitnah Rasis Gobala Posted: 30 Dec 2010 05:06 AM PST Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) semakin "liar" hari ini apabila mengadakan sidang akhbar bersama pemimpin MIC dan penyokong Barisan Nasional(BN) untuk melontar fitnah berbentuk rasis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.Gobala memperhebatkan serangannya terhadap Ketua Umum PKR itu setelah beliau tidak dilantik menjadi naib presiden PKR susulan pemilihan parti bulan lalu. Ahli Parlimen itu mengecam keputusan PKR melantik peguam dan aktivis masyarakat N.Surendran dan sebagai naib presiden PKR. Beliau mendakwa Surendran dilantik walaupun beliau bukan ahli PKR, malah membuat tuduhan sebelum ini bahawa peguam muda itu tidak berjasa kepada kaum India. Hari ini Gobala sekali lagi mensasarkan Anwar pada sidang akhbar yang dihadiri bersama oleh wakil Pemuda MIC S. Subramaniam dan wakil Gerakan Anti Samy Vellu K.P. Samy di sebuah restoran di Petaling Jaya. Kehadiran Gobala bersama penyokong-penyokong Barisan Nasional itu dilihat petanda jelas beliau mencabar PKR untuk mengenakan tindakan displin terhadap beliau. Beliau diuar-uarkan akan menyertai parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim pada bulan depan. Pada sidang akhbar pagi tadi, Gobala sekali lagi menuduh Anwar sebagai anti-Hindu dan mendakwa Ketua Pembangkang itu kononnya menutup sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya pada tahun 2008. Dalam membuat tuduhan itu, Gobala tidak menjawab kenapa beliau membuat tuduhan itu hanya sekarang, setelah gagal dilantik menjadi Naib Presiden PKR. Hakikat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya membekukan kerja-kerja mengubah suai kuil itu setelah tapak berkenaan di landa masalah hakisan tanah dan tanah runtuh. Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam menolak tuduhan-tuduhan Gobala dan menegaskan tidak ada sebarang campurtangan politik bersabit kuil Sivan di Petaling Jaya. "Tidak pernah Anwar tutup mana-mana kuil. Ini tidak benar dan fitnah. Bagi saya Anwar tidak pernah tutup kuil. Kuil Bukit Gasing memang ada masalah tanah runtuh. Kita khuatir jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, mereka semua akan salahkan kerajaan Pakatan Rakyat," beliau memberitahu Tv Selangor. Manikavasagam berkata orang ramai masih dibenar menunaikan ibadat di kuil itu cuma kerja-kerja pengubahsuaian dibekukan sehingga MBPJ mengemukakan hasil siasatanya. "Jadi kita mahu tunggu laporan daripada Majlis, kalau tiada masalah kita buka. Kalau satu kuil ditutup, saya orang pertama yang akan bising. Tapi dalam isu ini saya tahu kenapa kuil ini ditutup kerana takut kejadian tanah runtuh. Kita selalu fikir pasal keselamatan. Dalam isu ini, Anwar tidak tutup kuil," tambah beliau. Manikavasagam berkata Gobala tidak berpegang kepada kebenaran apabila menuduh anwar anti-Hindu. "Siapa cakap Anwar anti-Hindu? Saya diberi bertanding di Kapar, kalau Anwar anti Hindu tidak akan beliau namakan saya calon untuk pilihanraya 2008. Sivarasa (Rasiah) bertanding juga. Kalau dia anti India, tidak ada seorang pun yang akan bertanding. Gobala pun tidak akan bertanding. Saya rasa tidak benar. Saya pun tidak tahu apa YB Gobala fikir,"kata beliau. Manikavasagam menggesa Gobala supaya menerima keputusan parti melantik Surendran sebagai naib presiden dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti. "Saya pun kecewa tapi ini keputusan parti, Presiden dan Ketua Umum. Kecewa memang ada, saya setuju Gobala, Xavier, Sivarasa dan Suresh kecewa, kami semua bertanding. Tapi ini keputusan daripada parti, kita kena akur dan terima. Saya terima," kata beliau Hakikat ialah Surendran layak untuk memegang jawatan itu kerana rekodnya sebagai seorang aktivis dan peguam yang banyak membantu masyarakat terpinggir. "Surendren memang seorang yang rajin, selalu perihatin isu masyarakat. Dia layak. Saya yang bawa dia masuk dalam parti," tegas Manikavasagam. |
| Baju ketat: Keluarkan senarai 'Ok tak OK' Posted: 30 Dec 2010 04:59 AM PST Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu. Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru."Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?" soalnya bertalu-talu. "Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai 'OK Tak OK' untuk semua warga bukan Muslim negara ini?" tegasnya. Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid. Memetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina. Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah. Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan "memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya." "Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?" katanya.Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti. "Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?" "Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?" soalnya. Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama. "Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam," kata anggota parlimen muda itu. |
| Rogol amah: Najib, Pak Lah tolong jawab Posted: 30 Dec 2010 04:51 AM PST Pendedahan WikiLeaks berhubung seorang menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya terus mengundang perdebatan hangat di dunia maya khusunya di kalangan penulis blog politik.Sejak tiga siri laporan berhubung isu itu disiarkan Harakahdaily, beberapa bloger dilihat cuba menjadi 'WikiLeaks Malaysia' apabila tampil dengan beberapa perincian lanjut terhadap pendedahan awal itu. Tersebarnya dokumen salinan bertajuk 'Laporan Investigasi Robengah (BMI) yang mengalami perkosaan oleh majikannya' telah menjadi rujukan utama para bloger dalam mencari nama menteri tersebut. Dengan klu yang dilemparkan, beberapa nama menteri sebelum ini kini tertumpu hanya kepada satu nama sahaja. Biarpun dokumen tersebut menghitamkan nama menteri yang didakwa terlibat, namun dengan pelbagai usaha mereka kini mendakwa sudah mendapat jawapan berhubung misteri siapa disebalik status jawatan menteri itu. "Mantan PM Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kenapa terus zzzzz? Bangun la hari dah senja. Ini kes berat libatkan menteri, maruah negara bangsa dan agama. "...tak kan nanti sampai orang kata kenapa simpan perogol dalam jamaah menteri Malaysia," ulas bloger Misaimerah dalam blognya. Keghairahan dan kesungguhan mencari siapa menteri yang dimaksudkan itu terus mendapat perhatian mereka apatah lagi dalam keadaan negara dalam mood perang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang Januari ini. Semua kelompok bloger ini yakin isu tersebut mampu menjadi senjata ampuh khususnya kepada Pakatan Rakyat bukan sahaja berdepan PRK Tenang, malah juga untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang disebut-sebut akan berlangsung Mac atau April tahun hadapan."Dari segi politik, memang dokumen ini amat berguna sebagai senjata oleh Pakatan Rakyat dalam PRK Dun Tenang. "Sesiapa saja yang dituduh mesti dibawa ke muka pengadilan...apatah lagi yang didakwa ini adalah seorang pemimpin yang mendapat mandat dari rakyat," tulis bloger Anak Sungai Derhaka. Biarpun kredibiliti WikiLeaks itu dipertikai, namun tindakan Umno BN yang mengajak rakyat mempercayai pendedahan berhubung isu liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memakan diri apabila rakyat juga 'terpaksa' percaya bahawa benar seorang menteri BN telah merogol amahnya. Jika sekalipun WikiLeaks tidak boleh dipercayai, namun pendedahan sokongan oleh pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan, NGO Tenaganita, Migrant Care dan bloger Tukar Tiub, sudah cukup untuk rakyat mempercayaai bahawa ianya memang wujud. Namun yang lebih wajar dipercayai adalah pendedahan sepucuk surat aduan daripada adik mangsa yang menceritakan secara jelas apa yang berlaku yang juga didedahkan dalam laporan Harakahdaily sebelum ini.Sehingga kini juga, belum ada mana-mana pihak khususnya dari pimpinan Umno BN yang berani mengulas isu tersebut. Penjelasan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sangat ditunggu-tunggu semua pihak. "Tunggu dan tunggu, kita tunggu apa yang akan berlaku. "Siapa akan kena saman?," tulis bloger Tukar Tiub merujuk laporan Harakahdaily yang turut disiar di blognya. |
| WikiLeaks: Akhbar, pemimpin berperangai macam Yahudi Posted: 29 Dec 2010 08:17 PM PST Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim) SELEPAS Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dilondehkan semahu-mahunya oleh sejumlah media akhbar arus perdana berhubung isu WikiLeaks, ada pemimpin Umno berlagak bertanya; "apa reaksi PAS, sahabat Anwar berhubung pendedahan ini?" Tentunya mereka mengharapkan PAS akan mengutuk Anwar berhubung 'salah laku' berkenaan.Namun, tindakan jahat media dan pemimpin ini memakan diri, mereka menghebohkan apa didakwa salah laku Anwar, bagaimana dengan diri mereka pula? Ada kata WikiLeaks tentang pemimpin Malaysia (tidak berkebolehan), salah laku PM Najib Razak (kes Altantuya?) dan bekas PM Dr Mahathir Mohamad? Pandai pula Najib cepat-cepat berkata pemimpin Malaysia cekap-cekap belaka tetapi membisu pula dalam isu Altantuya. Menyembunyi sebahagian perkara dan mendedahkan sebahagian perkara adalah perangai orang Yahudi. Orang Yahudi dikenali menyembunyikan sebahagian kandungan kitab Taurat dan mendedahkan sebahagian yang lain. Mereka memberitahu perkara yang menguntungkan diri sendiri tetapi menggelapkan perkara yang mereka akan rugi. Apakah pihak ini mendapat ilmu itu daripada perunding APCO? Bagi orang Islam dalam menghadapi ledakan berita, mereka hendaklah mengambil iktibar daripada Ayat 6, Surah Al-Hujurat yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." Apakah petugas media massa yang 'all out' mahu melondehkan Anwar tidak pernah membaca atau cuba memahami ayat ini? Kini kecelakaan bukan menimpa kepada orang yang difitnah tetapi kembali kepada orang yang memfitnah. Semakin banyak pihak tidak percaya kepada media massa dan pemimpin pembohong dan pendusta ini, harga diri jatuh teruk ke dalam longkang, diri diklasifikasikan sebagai hipokrit atau munafik, hidup bermuka-muka demi sedikit habuan dunia. Berhubung hal munafik ini, bukan saja orang Islam saja memperkatakannya. Tidak lama dulu, penulis Noel F D'Oliveiro menulis dalam akhbar 'The Sun': "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat kita. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama." Bagi menghadapi pendedahan WikiLeaks ini, sesetengah pemimpin bermuka-muka. Kononnya merekalah orang baik, pesaing mereka tersangat jahat. Mereka cuba memberitahu rakyat pemimpin ini jahat, kononnya hanya merekalah yang baik 'dulu, kini dan selamanya'. Segala kebobrokan diri masing-masing disimpan kemas dalam peti besi, namun mayat dalam peti akan mengeluarkan bau, lambat-laun rakyat akan tahu juga. Media massa terutama akhbar pekat asabiyah, juga berperangai macam Yahudi. Ingatkan Yahudi cukup samseng, menganiaya orang Palestin, rupakan akhbar asabiyah ini lebih samseng lagi, kalau seseorang itu dianggap musuh, dia tetap musuh 'dulu, kini dan selamanya' dan mahu dimusnahkan dengan apa cara sekalipun. Di sebaliknya, orang yang mahu dibodeknya, diperkatakan akan 'kesucian'nya dan hal ini akan dipertahankan; segala 'dosa'nya disembunyikan, yang ada pada dirinya hanya mutiara kebaikan saja. Sehubungan itu apa saja yang didedahkan melalui WikiLeaks akan 'manusia suci' ini, tidak sepatah ayat pun keluar, rakyat mahu dikunci mati hati mereka, biarlah mereka mati tenggelam dalam kejahilan; asalkan mereka dapat makan sudah cukup, sedangkan pemimpin bersenang lenang, kerap bercakap mengenai projek berbilion-bilion ringgit. Dunia sudah berubah; namun media massa jenis ini dan pemimpin yang didukungnya mahu terus menjajah minda rakyat dengan slogan 'dulu, kini dan selamanya'. Jika minda rakyat dikongkong, selama itulah mereka berupaya berkuasa, melanjutkan legasi penjajahan ke atas kumpulan yang lemah. Namun kali ini bukanlah penjajahan berbentuk lama seperti orang Eropah menjarah bumi Asia tetapi penjajahan sesama bangsa. Inilah penjajahan paling bahaya, sejarah telah membuktikannya. Sebagai contoh, Nabi Muhammad s.a.w. bukan mahu membebaskan kota Makkah daripada penjajah Rom atau Parsi tetapi membebaskannya daripada cengkaman dan kejahatan orang sesama bangsa. Baginda menukarkan kuasa daripada orang Arab Jahiliah kepada orang Arab yang hanya tunduk kepada Yang Maha Esa! Oleh Lanh Sr |
| Syatan Sudah Memenuhi Diri Manusia Posted: 29 Dec 2010 08:10 PM PST SEPOTONG ayat dalam surah al-Baqarah berbunyi; "di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit ke atas mereka." Untuk mengetahui ayat itu lebih jelas dan panjang buka Quran dan belek tafsirannya. Saya ringkaskan apa yang dimaksudkan oleh ayat itu bahawa dalam hati orang jahat (fasik, munafik, kafir dsbnya), sudah sedia ada penyakit. Penyakit itu sudah berkarat di dalam hatinya dan sukar untuk dihapuskan.Ada kebencian, ada prejudis, ada keegoaan dan ada rasa bijak dan rasa pandai melangit. Orang seperti ini lebih banyak menyusahkan daripada menguntungkan. Kalau dalam sebuah jemaah atau pertubuhan mereka perlu dinyahkan. Pemikiran mereka juga sempit dan matanya memandang orang lain semua tidak betul. Mereka sebegini juga selalu merasakan mereka bijak, hebat dan pandai. Konon akulah pejuang nombor wahid. Akulah pembela yang benar. Dan aku... bukan orang yang mencari makan dalam kocek seluar dan baju tembus para pemimpin. Kononnya aku bukan pengemis, walahl mereka lebih hina daripada pasangan buta yang mengemis di kedai-kedai mamak pada waktu malam. Orang ini ada di mana-mana. Tidak kira dalam wadah dan medan perjuangan apa saja. Mereka seperti pelesit yang bersumpah dengan Tuhan untuk menganggu anak cucu Adam sampai ke akhir zaman. Awas dengan orang seperti ini. Mereka tidak mudah ditunduk, sebab dalam jiwa mereka ada elemen syaitan yang tidak lut dijilat api. Mereka ini juga pandai mengambil kesempatan. Mereka akan menceduk dan mengulas mengikut kehendak mereka apa juga maklumat. Mereka tidak peduli apakah yang mereka perkata itu benar atau sebaliknya. Janji ia boleh digunakan jadi peluru menembak orang lain. Selepas tembak trima upah boleh pergi cari kedai Arab untuk makan nasi mendi dengan kambing panggang. Sesungguhnya orang-orang begini sangat kejam, lebih kejam daripada syaitan. Mereka meletakkan kuasa untuk gonggong nafsu di atas kepala mereka. Lupa kepada soal pahala dan dosa. Mereka tidak sedar dalam aktiviti mereka untuk membela perjuangan, membela kelompok mereka, mereka ditakhtai dengan dosa melimpah. Saya rasa mereka yang melakukan ini sedar akan apa yang saya maksud ini. Orang bijak masakan tidak sedar bahasa kiasan atau pun perumpamaan. Terkilas ikan di atas sudah dapat tahu jantan atau betina. Benih dalam telor juga diketahui apakah jantan atau betina. Saya percaya mereka sedar. Tidaklah saya berharap kalau mereka sedar mereka akan insaf dan berhenti dari melumuri tangan mereka dengan darah walaupun mereka harus keringkan darah jahat yang mengalir di hujung jari mereka. Tetapi saya tidak berifkir begitu sebab dalam fuad mereka sendak dengan dendam kesumat. Sudah jadi lumrah manusia suka melakukan kerja syaitan. Terbiah syaitan mudah melekat di sanubari mereka daripada tarbiah Rasullulah yang menyuruh bersangka baik dan menjauh fitnah memfitnah di antara satu sama lain. Dan sesungguhnya syaitan itu amatlah kejam. Kakdang saya bertanya sendiri untuk apa mereka mengaku sebagai manusia muslim? -Mohd Sayuti Omar |
| Apabila Karpal puji PAS parti paling berdisiplin Posted: 29 Dec 2010 08:02 PM PST Konvensyen Pakatan Rakyat minggu lalu pasti meninggalkan kenangan manis - dan lebih penting pendorong semangat, sekali gus menyuntik kelegaan - buat petugas ketiga-tiga parti komponen. Selain merumuskan beberapa tindakan perlu dan pengumuman program 100 hari sebagai permulaan reformasi menyeluruh sekiranya mendapat rakyat, perhimpunan itu dilihat dapat memantapkan lagi persefahaman dan persepakatan ketika suhu politik negara makin menggelegak.Ramai pemerhati merasakan tempoh persidangan terlalu singkat dan perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, sepertimana muktamar tahunan PAS dan kongres KeADILan. Pakatan tidak harus terikut-ikut dengan Konvensyen BN yang juga dilangsungkan dalam masa sehari, malah lebih teruk, hanya 15 tahun sekali! Banyak persoalan yang perlu diperincikan dan dibahaskan oleh lebih ramai perwakilan. Dengan itu, ucapan ketua-ketua parti misalnya, dapat diteliti dan diambil manfaat secara lebih menyeluruh. Suara pimpinan di pelbagai peringkat perlu didengar kerana merekalah yang bakal berdepan masalah dan kesulitan jika rumusan yang diambil tidak menepati kehendak rakyat. Bukankah selepas pilihan raya umum ke-12 suara rakyat menjadi begitu dominan berbanding kenyataan pemimpin atasan. Lebih penting lagi, konvensyen tersebut bukan saja menjadi medan perbincangan untuk meluluskan ketetapan yang sudahpun diputuskan lebih awal, namun apa yang berlaku di luar jadual rasmi -- bukannya di pentas pidato -- yang membolehkan interaksi lebih intim di antara aktivis parti, dapat memantapkan lagi jentera di peringkat akar umbi. Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita mengakui bahawa masih ada salahfaham yang mungkin menyelinap di kalangan pendukung parti yang berbeza. Tidak mudah meresapkan elemen kemesraan dan saling fahami-memahami jika mereka masih dipetak-petakkan. ("Saya tidak begitu bimbang dengan hubungan akar umbi. Mereka nampak lebih ikhlas mahu memacu perubahan bagi menyelamatkan Malaysia. Yang saya runsing, kalau masih terbuku rasa tak puas hati dan tidak percaya antara satu sama lain di peringkat pimpinan lebih tinggi," keluhan seorang perwakilan yang mahukan sebarang kecurigaan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan wajib ditangani secara ikhlas dan terbuka). Dan ia memerlukan ruang lebih selesa, mungkin secara santai dan tidak formal, untuk merongkai segala kecelaruan dan "salahsangka". Ada juga yang mengingatkan bahawa jika disebut "salahfaham", usah mengaitkannya hanya kepada hubungan PAS dan DAP - yang dahulunya dilihat umpama "dua kutub berbeda yang begitu sukar disatukan" - tetapi juga meliputi semua parti dalam Pakatan. Malah, di ambang kejayaan sebagai "kerajaan menanti" ini, jangan diremehkan sekiranya timbulnya "pertembungan" di antara KeADILan dan DAP, disebabkan kedua-duanya mungkin tertumpu kepada konstituensi yang bertindan. Bukankah politik itu, antara lain bermakna, pengagihan nilai yang terhad sedangkan permintaan dan tuntutannya begitu tinggi? Pilihan raya umum ke-13, walaupun dijangka begitu getir dan paling sengit untuk BN dan Pakatan beradu kekuatan, ia turut berupaya menyumbang kepada ketegangan dalaman parti, berpunca daya tarikan yang begitu memikat. Pemilihan calon mungkin bukan isu besar dalam PRU12 kerana tiada yang berani menduga BN akan berdepan pukulan yang begitu hebat. Masing-masing parti juga lebih bersedia bertolak-ansur menyerahkan kerusi kepada "rakan-rakan komponen" (yang belum pun terbentuk ketika itu). Suasana itu dijangka berbeda dalam pilihan raya akan datang. Saya tetap bersikap kritis dengan sebarang kemelut dalaman Pakatan, biarpun nampak kecil dan terpinggir. Pengundi kali ini bukan lagi berhasrat untuk memilih barisan pembangkang yang kuat bagi memecahkan hegemoni BN; justeru apa jua yang menganggu kosentrasi mereka semasa pengundian mesti diambil berat. Paparan media, yang dikawal mutlak BN, bagi menonjolkan jurang dan pertelingkahan di antara ketiga-tiga parti, selain hal-hal yang kelihatan remeh-temeh, jangan dipandang mudah, tetapi tidaklah sampai ke tahap merencatkan agenda utama yang telah disusun. Selain itu, pengiktirafan terbuka Karpal Singh, Pengerusi DAP, bahawa "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti" turut mendapat perhatian ramai dalam pertemuan bersejarah di Kepala Batas itu. "Saya lihat hanya dua isu besar dalam konvensyen," ujar seorang penerbit berita TV, "iaitu sikap berubah Karpal terhadap isu Negara Islam yang diperjuangkan PAS dan tawaran Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari Pakatan Rakyat jika memerintah." Beliau mencadangkan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu berkenaan dengan memberikan perincian dan penjelasan lebih lanjut. Apa pun, saya lebih tersentuh dengan pujian Karpal, yang menyifatkan PAS parti sebagai parti yang paling berdisiplin. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengakui kelemahan partinya sendiri. "DAP pernah ada seorang di Perak, KeADILan pun ada ramai (keluar parti)," tambahnya di hadapan ribuan peserta konvensyen. "Dalam pilihan raya akan datang letaklah calon-calon yang boleh dipercayai serta beritegriti. Jangan ulangi kesilapan lalu lagi kerana ia akan merugikan kita," tegas Karpal sambil mengaitkannya dengan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak. Pengerusi DAP itu juga menegur Anwar Ibrahim. Walaupun sebagai pemimpin utama dalam Pakatan, tapi kadangkala Anwar juga silap dalam membuat keputusan. Teguran dan saling mengingatkan ini wajar dijadikan tradisi dalam Pakatan. Amalan menyapu sampah ke bawah karpet hanya memarakkan lagi "api dalam sekam". Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mendapat pujian apabila sedia melakukan koreksi: "Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu." Manakala kesediaan Anwar memohon maaf di atas "kesilapannya" tambah memaniskan lagi majlis penutup konvensyen yang penuh bermakna itu. -Ahmad Lutfi Othman |
| Mahfuz, Anwar puji corak permainan Harimau Malaya Posted: 29 Dec 2010 07:47 PM PST Para pemimpin Pakatan Rakyat turut mengambil peluang mengucapkan tahniah dan syabas buat pasukan bola sepak negara yang akhirnya mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.Malaysia, walaupun tewas 2-1 di gelanggang lawan semalam namun berjaya merangkul kejuaraan selepas mengatasi Skuad Garuda Indonesia dengan agregat 4-2. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar kiri) yang teruja dengan kemenangan itu terus menghadiahkan sebuah 'pantun' beliau kepada skuad bola sepak negara semasa dihubungi Harakahdaily. "Kita kalah bermaruah, menang tanpa rasuah… sehinggakan keputusan tidak dapat dicatur penjudi-penjudi bola," katanya sambil menambah bahawa kehebatan skuad negara terbukti apabila pihak lawan Indonesia gagal menjaringkan gol di Bukit Jalil, akan tetapi mereka dapat menjaringkan gol di tempat lawan.Pada perlawanan malam tadi, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54 saingan separuh masa kedua, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil rembatan Mohammad Nasuha (m-72) dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad (m-88). Paling menarik, sepakan penalti Firman Utina berjaya dinafikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat. Terdahulu pada aksi peringkat pertama perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia menang 3-0. Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kanan) pula, beliau yang kini di luar negara berkata beliau hanya mampu mengikuti perkembangan perlawanan akhir AFF di Twitter, yang dikatakannya sungguh meriah. "Di sebalik acara padat, saya sebolehnya cuba ikuti juga perkembangan perlawanan lewat Twitter yang nyata meriah sekali. Tahniah atas sokongan padu rakyat Malaysia yang tak putus-putus memberi semangat.Ternyata K. Rajagobal telah meletakkan prestasi pasukan Harimau Malaya ke satu tahap yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Semoga ianya membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011," ujarnya selepas mendapat berita kemenangan skuad negara. |
| Kenapa Bertindak Begini Wahai Sahabat? Posted: 29 Dec 2010 07:25 PM PST Pada malam terakhir EXPOMUDA anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan juga Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Samsul Iskandar telah turut hadir. Hadir bagi menunjukkan sokongan moral terhadap program yang dilaksanakan oleh AMK Negeri Pulau Pinang itu sebagai Ketua AMK Pusat. Pada malam tersebut juga beberapa orang individu yang mempunyai kaitan dengan AMK Pulau Pinang telah menerima SMS.. kandungan SMS itu disalin semula dibawah.. PERLETAKAN RASMI JAWATAN SETIAUSAHA AMKPP Salam perjuangan adalah dengan ini, saya Syed Mikael Rizal Aidid berkuatkuasa dari hari ini, Ahad 26 Disember 2010 akan meletakkan jawatan saya sebagai Setiausaha AMKPP dengan serta-merta. Surat akan saya serahkan kepada Ketua AMKPP pd esok hari. Ini berikutan keputusan yg telah dibuatoleh pihak j'kuasa program EXPOMUDA yg tetap mahu menjemput Sdr. Shamsul Iskandar 'Ketua AMK Pusat' untuk berucap di program tersebut pada mlm ini. Ini bukan perkara 'halai-balai'. Tapi ini soal PRINSIP! Selagi keputusan siasatan oleh pihak JPP terhadap 'kemenangan luar biasa' Sam di Sabah belum selesai, secara realitinya, Shamsul Iskandar BELUM BOLEH DIIKTIRAF sebagai Ketua AMK Pusat yang sah! Akhir kata, saya ucapkan kepada semua penyokong2 tegar Sam,'Selamat Maju Jaya' & enjoy your EXPO! Dan pada hari Selasa 28 Disember 2010, Berita Harian edisi cetak pula telah menyiarkan 'Ketua AMK Tasek Gelugor letak jawatan' di mukasurat empat. Butterworth: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tasek Gelugor, Syed Mikael Rizal Aidid meletak jawatan sebagai Setiausaha AMK Pulau Pinang bersama dua lagi ahli jawatankuasa negeri itu. Tindakan itu kerana kecewa dengan Timbalan AMK Permatang Pauh, Afzal Khan menjemput Ketua AMK , Shamsul Iskandar Mohd Akim memberi ceramah di Expo Anak Muda di Padang Awam Taman Sembilang, Seberang Jaya di sini, kelmarin. Khabar angin mengenai perletakan jawatan Syed Mikael bermula menerusi penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang turut diterima oleh Berita Harian. Syed Mikael ketika ditunjukkan SMS itu oleh Berita Harian mengesahkannya. EXPOMUDA yang dimaksudkan oleh Syed Mikael itu sebenarnya bukanlah satu program yang mahu menjana keuntungan semata-mata, pada dasarnya ia diadakan dengan tujuan untuk mengumpulkan seluruh Ketua-Ketua AMK dari setiap Cabang di Pulau Pinang yang baru memenangi jawatan tersebut dalam Pemilihan 2010 yang lalu. Mengumpulkan dengan tujuan mengeratkan atau merapatkan saf diantara AMK-AMK seluruh Pulau Pinang. Juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan diantara Ketua-ketua AMK itu dengan pimpinan parti. Selain itu ianya juga untuk merapatkan hubungan antara mereka dengan Penjaja-penjaja yang melibatkan diri dalam program tersebut. Program tersebut cuba menampilkan sesuatu yang berbeza, berbagai aktiviti telah disusun untuk menarik minat anak muda.. EXPOMUDA ini adalah anjuran bersama diantara AMK Negeri Pulau Pinang dan juga Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Namun begitu segala perbelanjaan bagi menjayakannya datang dari AMK Pulau Pinang. Kesemua program telah diatur setelah perbincangan diadakan antara AJK-AJK yang terbabit.. Berbalik kepada SMS perletakan jawatan Syed Mikael diatas, beliau berkata berikutan keputusan yg telah dibuat oleh pihak j'kuasa program EXPOMUDA yg tetap mahu menjemput Sdr. Shamsul Iskandar 'Ketua AMK Pusat' untuk berucap di program tersebut pada mlm ini. Manakala Berita Harian pula melaporkan beliau meletakkan jawatan kerana kecewa dengan Timbalan AMK Permatang Pauh, Afzal Khan menjemput Ketua AMK , Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi ceramah di Expo Anak Muda. Biarpun terdapat percangahan diantara SMS yang dihantar oleh Syed MIkael itu dengan apa yang dilaporkan oleh Berita Harian, persepsi yang timbul dari sini ialah satu persepsi yang negative terhadap Angkatan Muda Keadilan. Ianya memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa memang wujud atau berlaku perpecahan dalam AMK , perpecahan yang berlaku kerana Pemilihan yang lalu yang telah menjadikan AMK terbahagi kepada dua kumpulan, satu kumpulan menyokong Sam manakala satu lagi menyokong Chegu Bard. Perpecahan yang perlu disimpan sesama ahli dan bukannya didedahkan kepada umum.. Selain itu ianya juga adalah bercanggah sama sekali dengan tujuan EKSPOMUDA itu diadakan , iaitu untuk mengeratkan hubungan diantara Ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Pulau Pinang itu dengan Pimpinan Parti. Mengenai perletakkan jawatan Setiausaha AMK Pulau Pinang pula, sebagai Bekas atau Mantan Setiausaha Syed Mikael seharusnya tahu bahawa apa sahaja jawatan yang melibatkan perlantikan adalah terbatal atau terhenti setelah Pemilihan bermula, dan samada lantikan itu disambung atau tidak ianya adalah terletak diatas budi bicara Ketua AMK Negeri yang baru. Jadi dalam perkara ini Syed Mikael hanya memangku jawatan Setiausaha AMK Pulau Pinang sehingga dilantik semula oleh sesiapa sahaja yang diperkenankan oleh AMK Pusat sebagai Ketua AMK Pulau Pinang, oleh itu tiada sebarang Jawatan yang diletakkan oleh Syed Mikael sebenarnya. Agak aneh bila Syed Mikael berkata beliau meletakkan jawatan kerana protes akan kehadiran Sam, sedangkan kehadiran Sam itu telah dibincangkan sesama AJK.. yang beliau sendiri adalah sebahagian dari AJK. Pada mesyuarat yang pertama nama Sam telah dicadangkan untuk menutup secara rasmi program tersebut, namun Sam memberikan jawapan agak lewat bagi membolehkan AJK-AJK menyusun semula program, jadi nama Sam telah tidak tersenarai dalam sebarang aktiviti program. Jika benar kerana protes akan kehadiran Shamsul Iskandar, Syed Mikael meletakkan jawatan sewajarnya ia dilakukan sebelum EKSPO bermula, iaitu selepas perbincangan bagi menyusun agenda selesai bukan pada malam terakhir Shamsul Iskandar akan hadir. Sepatutnya sebagai seorang ahli PKR, dalam mempertahankan Prinsip sendiri tidak salah rasanya kita menunjukkan sedikit rasa hormat kepada Shamsul Iskandar yang pernah memimpin AMK jka kita tidak boleh atau mahu mengiktiraf beliau sebagai Ketua AMK Pusat. Tunjukkanlah rasa hormat itu biarpun sedikit sebagaimana yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong tegar Sam dalam menyambut dan meraikan kehadiran Chegu Bard bersama SAMM dari Negeri Sembilan itu. Prinsip memang perlu dipertahankan, namun dalam mempertahankan Prinsip itu, kita sewajarnya melihat dalam kerangka politik yang lebih besar , kita juga sewajarnya menoleh kebelakang mengingat kembali apakah tujuan kita bersama PKR. Melihat juga kepentingan pihak manakah yang kita perjuangkan selama ini, kepentingan diri sendiri atau kepentingan rakyat yang mengharapkan perubahan. Aku juga menyokong Chegu Bard dalam pemilihan yang lalu, aku juga terkilan melihat dan membaca cerita-cerita tentang penipuan yang berlaku. Kecewa juga kerana menunggu hasil siasatan JPP yang masih tak kunjung tiba.. Kecewa juga bila melihat penafian membabi buta oleh SUA PKR.. Namum begitu bagi aku.. siapalah aku jika dibandingkan dengan hampir separuh dari rakyat Malaysia yang mengharapkan akan perubahan terlaksana dalam Negara ini….. -Anak Sungai Derhaka |
| You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |












Tiada ulasan:
Catat Ulasan