D'Perbatasan |
- Umno Retak Dan Sukar Cari Pemimpin Baru (Video)
- Jangan Benarkan Khusrin Masuk Pejabat Sebagai Tanda Protes
- Apa erti ketuanan Melayu jika bahasanya ke kubur?
- Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf
- 1Malaysia Gagal
- Pelabur Kurang Najib Sibuk Pertahan Kuasa
- Mengapa Melayu Berpolitik Mengikut Sentimen?
- Lawatan Yb Salleh Man ke Permatang Tengah
- Patutlah usaha perangi rasuah gagal
| Umno Retak Dan Sukar Cari Pemimpin Baru (Video) Posted: 28 Dec 2010 05:42 AM PST Senarai baru ketua badan perhubungan Umno negeri yang diumumkan semalam mencerminkan kegagalan Umno untuk mencari pemimpin pelapis dan sebaliknya menonjolkan perpecahan dalam parti itu.Keengganan Perdana Menteri Najib Razak memberi laluan kepada pimpinan Umno Selangor menerajui badan perhubungan negeri menunjukkan beliau tidak mempercayai kebolehan Menteri Asas Tani dan Industri Noh Omar. Di Perlis, keputusan untuk mengekalkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa sebagai pengerusi Umno negeri di kritik oleh Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Mantan Menteri Besar Perlis itu menyifatkan Md Isa sebagai duri dalam daging dan berkata beliau belum membuat keputusan sama ada untuk menerima perlantikan itu. Naib Presiden PAS Mahfuz Omar berkata secara keseluruhan senarai kepimpinan baru Umno mencerminkan sebuah parti yang masih bergolak dengan politik dalaman. " Sepatutnya rakan-rakan pimpinan Umno di negeri Perlis harus akur bahawa dengan meletakkan Shahidan sebagai Timbalan, bahawa Datuk Najib memang tidak berhasrat untuk melihat Umno negeri Perlis itu aman," katanya. Shahidan menyifatkan Md Isa sebagai pemimpin lemah yang gagal menyatupadukan ahli-ahli Umno di Perlis. Malah Shahidan membidas Najib kerana tunduk kepada tekanan luar untuk mengekalkan Md Isa sebagai pengerusi Umno di Perlis, akhbar The Star melaporkan. Di Selangor, Mahfuz berkata najib mengambil keputusan untuk kekal sebagai pengerusi badan perhubungan kerana mahu memastikan negeri itu dirampas balik oleh pemerintah. " Saya melihat bahawa dengan Datuk Najib terus memegang kerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, ada satu perancangan dengan unsur-unsur jahat dan tidak demokratik untuk dilakukan ke atas negeri Selangor, " kata Mahfuz. |
| Jangan Benarkan Khusrin Masuk Pejabat Sebagai Tanda Protes Posted: 28 Dec 2010 05:33 AM PST Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyarankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan Datuk Khusrin Munawi masuk ke dalam pejabat setiausaha kerajaan negeri selama sebulan sebagai tanda protes.Cadangan ini diajukan oleh Nizar berikutan perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam tanpa merujuk kepada kerajaan negeri yang dianggap bertujuan untuk mencapai kepentingan politik pihak-pihak tertentu. "Jadi saya cadangkan supaya Tan Sri Khalid menggunakan kuasa dia untuk mengunci dan anggota keselamatan jangan membenarkan Khusrin masuk selama satu bulan ke pejabat dia. "selepas kunci bilik tu dia kena keluarkan, Tan Sri Khalid keluarkan satu nota kepada Datuk Khusrin supaya tidak masuk ke pejabat SS dan hanya duduk di rumah, dan kerja dia hendaklah dipangku oleh orang lain," katanya yang dihubungi TV Selangor hari ini. Nizar mengemukakan cadangan ini kerana khuatir apa yang berlaku di Perak akan berulang lagi di Selangor dan cadangan tindakan ini dilakukan bagi menyelamatkan tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Sebelum ini, UMNO-BN telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara dua ADUN PKR (Behrang & Changkat Jering) dan satu ADUN DAP (Jelapang) telah bertindak keluar parti dan menjadi Bebas, kelayakan ketiga-tiga ADUN ini dipertikai kerana kerusi DUN yang berkenaan telah diumumkan kosong oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar. Nizar juga menolak tindakan perlantikan Khusrin ini dan menganggap ia sebagai membelakangkan Menteri Besar Selangor kerana keputusan dibuat tanpa meminta pandangan Menteri Besar itu. "Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat sebab dia sebagai menteri besar, mestilah diberikan keputusan ataupun ruang untuk memilih orang yang dia boleh berkerja sebagai SS walaupun dia ada perlantikan daripada Putrajaya tapi pandangan dia mesti dihormati oleh Putrajaya ataupun SPA, jadi ini menunjukkan membelakangkan Tan Sri Khalid dengan hanya menggunakan Tuanku Sultan," katanya. Nizar turut memberitahu jika perlantikan Khusrin ini diteruskan, mungkin akan terdapat campurtangan dari kerajaan Pusat dalam membuat keputusan mesyuarat Exco. "Apa saja keputusan-keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat exco, kita sepatutnya SS akan keluarkan arahan dan laksanakan yang diputuskan dalam mesyuarat exco dia lengahkan, dia tak buat. "kemudian apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan dari mesyuarat exco," ujar Nizar. Mohd Khusrin, 54 tahun, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang bersara pada hujung minggu ini, dilihat sebagai pegawai kanan yang kontroversi ketika menerajui JAIS. Di bawah terajunya JAIS menahan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas alasan mengajar tanpa tauliah. Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat turut dilarang memberi ceramah di masjid-masjid Selangor. JAIS sedang menguruskan kes kontroversi melibatkan tangkapan besar-besaran pengamal Syiah minggu lalu. |
| Apa erti ketuanan Melayu jika bahasanya ke kubur? Posted: 28 Dec 2010 05:23 AM PST Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu dan bapamu." (Surah an-Nisak, ayat 36) SEORANG wartawan muda bertanyakan saya bagaimana mahu menulis berita mengenai ketuanan Melayu. Saya katakan, tidak perlulah menulis subjek itu secara am kerana ia amat luas tetapi fokuskan kepada bidang tertentu, tentunya akan terdedahlah temberang dan tembelang pihak terbabit – siapa yang makan cili dialah terasa pedasnya. Pada artikel kali ini saya fokuskan kepada bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi tetapi malang sekali selepas negara merdeka lebih separuh abad, pihak berkuasa baru-baru ini terpaksa melancarkan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Bayangkan sebuah negara berdaulat lebih 50 tahun lalu, terpaksa melancarkan kempen bahasa di kalangan rakyat sedangkan perkara itu sewajarnya sudah lama beres.Kempen adalah bertujuan mempromosi sesuatu yang baru, tetapi apabila bahasa Melayu terpaksa dikempenkan, ertinya bahasa ini tidak 'dituankan' atau didaulatkan di negara ini. Demikianlah bahasa Melayu diperlakukan sedemikian rupa sehingga merempat di negara sendiri. Oleh itu, apa erti dilaung-laungkan ketuanan Melayu jika bahasanya sendiri beransur-ansur dikuburkan? Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di di institusi pengajian mulai tahun 2003 oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berkuasa dulu adalah bukti jelas tiada ada keyakinan kepada bahasa kebangsaan. Tindakan Dr Mahathir disokong oleh juak-juaknya dan ini menggambarkan betapa tidak pedulinya pemimpin Melayu terhadap salah satu aset ketuanan Melayu yang mereka laung-laungkan iaitu bahasa Melayu. Siapa pengkhianat kepada bahasa dan bangsa Melayu? Jika bahasa Melayu tidak dimajukan sebagai bahasa ilmu, bagaimana orang Melayu mahu diperkasakan? Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang menjadi maju sedangkan bahasanya mundur, tidak digunakan di persada dunia keilmuan. Jika diimbau tamadun dunia, orang Arab pada zaman keemasan Islam maju kerana bahasanya maju sehingga begitu banyak perkataannya menjadi pinjaman tamadun lain, orang Inggeris maju seiring dengan bahasanya, demikian juga pada masa kini, orang Jepun dengan bahasanya, orang Korea dan orang Jerman dengan bahasa masing-masing. Oleh itu adalah luar biasa jika orang Melayu dapat menjadi maju dengan bahasa Inggeris. Penulis yakin orang Melayu golongan atasanlah yang dapat mengaut faedah dengan dasar ini dengan merujuk negara sedang membangun yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang kehidupan seperti India dan Filipina, sebagai contoh. Benar, India maju dalam sebahagian hal, tetapi siapa sebenar yang mendapat manfaat? Sebahagian kecil rakyat India berjaya hebat dalam bidang teknologi tetapi majoriti penduduk negara demokrasi terbesar dunia ini, terus kekal miskin dan merempat. Demikian halnya di Filipina, sejumlah kecil berjaya sedangkan yang lain terus menderita dihimpit kemiskinan. Apakah pemimpin Melayu mahu sebahagian kecil Melayu maju dan kaya raya sedangkan majoriti rakyat terus hidup miskin dan merana? Selain bahasa, identiti kebangsaan negara semakin lama semakin terhakis. Hampir keseluruhan cara hidup, identiti kebangsaan menuju kepunahan. Mungkin ada yang meletakkan kesalahan kepada perkembangan global atau dunia tanpa sempadan, tetapi benarkah demikian 100 peratus? Kalau dulu kedengaran juga suara memperjuangkan bahasa kebangsaan dan pelbagai isu berkaitan identiti kebangsaan, nampaknya suara-suara itu sudah tenggelam 'bersama tenggelamnya' penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika adanya suara-suara yang menyatakan rasa tidak senang dengan bahasa iklan dan iklan yang mengambil model 'Pan Asia', hari ini suara-suara itu 'semakin tenggelam' dan dirasakan tidak relevan lagi. Malah iklan menonjolkan budaya terlalu asing (seperti ketika zaman Roman) menguasai siaran TV. Sekalipun hari ini bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah 'menongkat langit' tetapi bahasa Melayu sudah menuju saat 'ke kuburan', gara-gara sikap gelojoh sesetengah pemimpin negara menidakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika ada pemimpin negara bercakap besar mengenai bahasa Melayu yang bersifat global, yang mungkin akan diterima di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Asean, di institusi pengajian tinggi di Rusia atau China, mereka sebenarnya tidak menyedari bahasa itu bukan bahasa Melayu Malaysia tetapi bahasa Melayu Indonesia. Universiti-universiti utama dunia termasuk di China, Korea, Belanda dan Amerika juga menawarkan pengajian bahasa Melayu (Indonesia) manakala diplomat asing di Kuala Lumpur dan Jakarta (terutama dari Amerika dan Rusia), fasih berbahasa Melayu Indonesia. Bahasa Melayu akan hilang kepentingannya sama seperti hilangnya penggunaan tulisan jawi dari bumi yang pernah menggunakan nama 'Tanah Melayu' ini. Kata-kata hikmah Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia' mungkin boleh diletakkan di 'Keretapi Tanah Melayu' saja. Maaf, penulis kelihatan terlalu kasar dalam membicarakan isu ini. Sekalipun hilang pengaruhnya di 'Tanah Melayu', bahasa Melayu dipercayai akan terus berkembang pesat di bahagian dunia lain. Ini kerana bahasa Melayu tergolong dalam kumpulan 12 bahasa utama dunia yang mempunyai lebih 100 juta penutur. Daripada 6,000 bahasa di dunia, bahasa Melayu berada di tangga kesembilan dengan lebih 150 juta penutur. Ini termasuk lebih 50 juta orang yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda mereka. Sebagai bahasa utama dunia, pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai landasan kukuh untuk mempertingkatkan bahasa ini sehingga ia boleh diterima sebagai bahasa rasmi pertubuhan serantau seperti Asean sehingga ke peringkat antarabangsa seperti PBB. Malangnya bahasa Melayu/Malaysia dipersempitkan penggunaannya di bekas bumi bernama 'Tanah Melayu'. Pemimpinnya yang bergegak gempita dengan ketuanan Melayu, tidak yakin bahasa Melayu/Malaysia dapat dijadikan bahasa ilmu atau lingua franca. Jika dalam isu bahasa saja, pemimpin Melayu ini sudah 'fail' (gagal), apalah diharapkan untuk mereka berjuang dalam bidang lain? Mereka hanya melayukan orang Melayu kebanyakan sebaliknya menggemukkan tembolok sendiri, kononnya memperjuangkan ketuanan Melayu! Apa makna ketuanan Melayu sedangkan bahasa Melayu sendiri sudah hampir ke kubur? Dari Lanh Sr. |
| Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf Posted: 28 Dec 2010 05:10 AM PST Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya."Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10,di sini, hari ini. Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang. Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik. Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa. -BERNAMA |
| Posted: 27 Dec 2010 08:47 PM PST 1Malaysia walaupun niatnya baik tapi bagi kesemua rakyat Malaysia merasakan ianya projek yang gagal sama sekali. Jutaan telah dilaburkan, namun hasilnya tetap busuk. Walaupun pelbagai iklan telah dikeluarkan, namun rakyat Malaysia tetap tidak menerima konsep ini yang tidak jelas hala tujunya.Rakyat Malaysia sekarang mentaliti mereka bukan seperti mentaliti kuno Perkasa dan rakan - rakannya. Mereka boleh menerima sahabat - sahabat mereka yang terdiri daripada bangsa bukan Melayu. Tapi mereka menolak 1Malaysia bukan kerana semata - mata isu politik. Semuanya kerana kebebalan Najib yang menaikkan harga barang secara mendadak. Mereka atau kita semakin tersepit semuanya kerana kenaikan harga barang. RM10.00 tidak bermakna pada hari ini. Gaji tidak naikkan. Semuanya menyesakkan otak kita. 1Malaysia tidak bermakna jika kita yang dipaksa menerima kesan kenaikkan harga minyak, barang, dan keperluan lain. Pak - pak menteri, Perdana Menteri, Rosmah dan lain - lain yang mendapat subsidi tidak akan dan mustahil untuk merasai kesusahan rakyat. Mereka cukup pandai berbicara Rakyat Didahulukan. Tapi sekarang rakyat berkata dalam diri mereka sendiri, apakah yang didahulukan. Poket kitakah? Kita sekarang ditipu bulat - bulat. Najib dan Rosmah membodohkan kita. Apakah kita mahu menjadi bodoh? Kita tidak bodoh. Kita pasti akan menghumban BN. Semuanya kerana idea 1Malaysia yang telah gagal sama sekali. Dari ugutan otak kuno PERKASA hinggalah pemuda Umno yang kuno, semuanya telah menggagalkan 1Malaysia. Ugutan yang berbaur perkauman. Ugutan dengan menggunakan agama suci Islam (namun segala tindak - tanduk mereka tidak mewakili Islam). Apakah ini bererti 1Malaysia itu berjaya? Tidak.1Malaysia sekarang sudah dipandang sinis. 1Malaysia terpaksa dibebankan dengan kenaikan harga barang demi memuaskan nafsu Rosmah. Demi memuaskan nafsu serakah pemimpin Umno yang membolot projek sebanyak mungkin dengan harga yang tidak masuk akal. Apabila keborosan nafsu syaitan oleh Rosmah dan pemimpin Umno, maka ini melenyapkan terus nilai positif 1Malaysia. 1Malaysia gagal dan busuk di mata rakyat. Dalam dunia ini jika menyusahkan rakyat, pasti akan mendatangkan penentangan. Penentangan ini semakin membara. 1Malaysia semakin dibenci oleh rakyat. 1Malaysia semakin dianggap menyusahkan rakyat. 1Malaysia semakin dianggap oleh rakyat sebagai alat untuk menyusahkan rakyat. Alat untuk menaikkan harga barang, alat untuk menaikkan harga minyak.Tahun 2011 merupakan tahun yang bakal menimbulkan aksi penentangan yang ketara. Semuanya kerana rakyat pasti harga pasti akan melambung naik. Dari peralatan sekolah hinggalah soal makan minum di rumah. Semuanya naik sedangkan gaji tidak naik - naik. Gaji naik RM10.00, harga barang naik 2 kali ganda. Tertekan. Apa tanggungjawap kita? Mahu jadi bodoh atau cerdik? Ubah sebelum parah... TOLAK BN!! Dari dragsuperstar |
| Pelabur Kurang Najib Sibuk Pertahan Kuasa Posted: 27 Dec 2010 08:38 PM PST Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar."Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara. "Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan," kata beliau. Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat. "Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat. "Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu. Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang. "1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai. "Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula? "Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu," katanya. Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi "kempen cara Ahmad Farid" termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas. |
| Mengapa Melayu Berpolitik Mengikut Sentimen? Posted: 27 Dec 2010 08:30 PM PST Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi..Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen? Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu. Ada pengundi Saluran 1 berkata, "Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi." Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan 'Baru'nya. Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka. Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu? Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri? Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak. Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan. Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, " Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya". Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan 'agama saya' tidak 'agama Islam'. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, " Apa agamamu?" Pemuda itu menjawab, "Islamlah." Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata," habis, kau seorang saja Islam?" Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, "Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama." Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu. Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali. |
| Lawatan Yb Salleh Man ke Permatang Tengah Posted: 27 Dec 2010 08:20 PM PST 26 Disember 2010 Permatang Tengah: Yb Salleh Man telah meluangkan masa beliau bersama penduduk Kampung Permatang Tengah untuk memberikan bantuan kepada Warga Emas kampung tersebut dan juga membantu meringankan beban Encik Azmee bin Din yang mana anaknya yang berusia 3 bulan menghidap Jantung Berlubang. Lebih mememilukan lagi isteri kepada encik Azmee ini telah 3 bulan terlantar di Wad ICU Hospital Seberang Jaya kerana masalah jangkitan kuman pada bahagian saraf akibat semasa proses bersalin. Encik Azmee memohon bantuan kepada orang ramai yang ingin memberi bantuan kepada beliau bolehlah menghubungi beliau di 012-4435570 atau terus ke akaun 07016020351385 ( Bank Islam). |
| Patutlah usaha perangi rasuah gagal Posted: 27 Dec 2010 08:17 PM PST Perlantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda menggambarkan watak sebenar Datuk Seri Najib Razak dalam memerangi rasuah."Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris ahmad. Beliau berkata, pemilihan itu seolah-olah Najib tidak nampak di kalangan ahli Umno seramai 3.5 juta orang, melainkan hanya nampak insan yang bernama Isa Samad sahaja. "Apa rahsianya beliau dipilih, hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. PAS, ujarnya menyifatkan perlantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diuar-uarkan oleh yang dilancarkan pada 20 Januari 2010. Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. "PAS merasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail," katanya lagi. Isa telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi. Perbuatan rasuah itu telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap setiausaha politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun 2004. Idris berkata, Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu, ujarnya membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata. "Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah," ujarnya. Katanya, Walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). |
| You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |










Tiada ulasan:
Catat Ulasan