D'Perbatasan |
- Pemimpin Umno panas pendedahan PR
- Nik Aziz Bukan Pluralisme
- Black Democracy
- Demokrasi Hitam 2.0: Dua ditahan polis
- Najib Hancurkan Sistem Parlimen Negara
- Perkara 44: 'Gantung' semua MP Pakatan
- Khir Toyo belum bersalah
- Dewan kecoh, MP Pakatan berdemo (Klip Video)
- Pakatan Rakyat mantap di bawah, rapuh di atas?
| Pemimpin Umno panas pendedahan PR Posted: 16 Dec 2010 06:42 PM PST Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan menggantung beliau dan beberapa orang lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menyelamatkan pemimpin Umno yang terlibat dengan penyelewengan, salah laku dan rasuah."Pemimpin BN khasnya Umno takut kerana pendedahan demi pendedahan telah dibuat pada sidang parlimen menyebabkan mereka tidak senang duduk dan kepanasan. "Sebagai contoh kita telah dedahkan terdapatkan seorang yang rapat dengan bekas Menteri Pertahanan yang mendapat kontrak dari kementerian tersebut berjumlah berbilion ringgit, kita ada nama orang itu, nama syarikat, berapa jumlah kontrak secara lengkap, perkara seperti inilah yang amat digeruni oleh pemimpin BN," katanya. Tambahnya, bagi mengelakkan pendedahan itu, beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen iaitu Azmin Ali, Karpal Singh dan R.Sivarasa digantung enam bulan. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Pejabat PAS Paya Dalam, Kawasan Bukit Katil malam tadi. Hampir 10,000 rakyat negeri Melaka hadir pada program tersebut yang turut menampilkan Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Menyentuh isu WikiLeaks, Anwar berkata, isu itu sengaja dibesarkan bagi menutup isu-isu lain sedangkan laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya tidak disiarkan. "Mana dia laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya, mengapa media menutup cerita ini? "Mengapa mereka takut untuk mendedahkan isu pembunuhan Altantuya, ini semua tidak lain adalah untuk menyelamatkan Najib?" soalnya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan berani untuk berhadapan dengan semua isu berkenaan dan akan menyaman beberapa akhbar arus perdana serta Dr Mahathir kerana kenyataan mereka yang mengelirukan serta bersifat fitnah merujuk kepada pendedahan oleh WikiLeaks baru-baru ini. |
| Posted: 16 Dec 2010 05:56 AM PST Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya amat kecewa apabila tokoh agama yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha."Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod Tuan Guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam," katanya dalam satu kenyataan, sambli menegaskan beliau bukan ahli PAS dan mana-mana parti politik. Dr Juanda mengulas laporan media online yang memetik kenyataan beberapa pembentang kertas kerja di satu seminar semalam berkaitan isu pluralisme, termasuk mengingatkan pemimpin Islam termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menghadiri perayaan agama lain. Salah seorang pembentang kertas kerja itu - bekas presiden ABIM, Dr Yusri Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara terbuka menyokong pluralisme dalam syarahannya di London School of Economic Mac lalu. Dr Yusri dilaporkan mendakwa badan pemikir Anwar - Institut Kajian Dasar (IKD) yang diketuai oleh bekas setiausaha akhbarnya, Khalid Jaafar, juga telah menerbitkan buku-buku yang 'merbahaya' yang mempromosi persamaan agama. Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga turut mengkritik Nik Aziz kerana beliau menghadiri majlis penganut agama Buddha di Kelantan. Seorang lagi pembentang kertas kerja, felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, juga senada dengan Dr Yusri apabila menggesa umat Islam menentang mereka yang mempromosikan persamaan agama. Mengulas lanjut, Dr Juanda berkata: "Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa mengecop beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia. "Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati," tambahnya. "Kita perlulah membezakan di antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui oleh Islam dengan hakikat maksud pluralisme," tegasnya. Tidak sepatutnya, tambah beliau, mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan di antara dua perkara ini. "Dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka, manakala Surah al-Mumtahanah menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam. "Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme," katanya. Dr Juanda (kiri) bertanya bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam masjid Nabawi?"Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu. "Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya? "Bukankah Omar bin al-Khattab RA sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity? "Apakah Nabi SAW dan Omar RA ini juga penganut pluralisme? Sudah tentu tidak! Dan dengan itu formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat," katanya. Dr Juanda berkata, beliau bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak dari kalangan ahli akademik dan agamawan menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik. "(Mereka) juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka," katanya. Hal ini, tegas beliau lagi, akan menjurus kepada pegangan yang amat melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia. "Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka," tegasnya. Juga, kata Dr Juanda, formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni kerajaan Persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia. "Apakah polisi kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk para pemimpin yang terbabit?" soalnya. Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam, terutama ahli akademik, agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutamanya dalam soal hubungan dengan agama lain. "Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik," tambahnya. Dr Juanda berkata rujuklah kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam mengeluarkan pandangan Islam. "Bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam. "Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini," tegasnya. |
| Posted: 16 Dec 2010 05:53 AM PST |
| Demokrasi Hitam 2.0: Dua ditahan polis Posted: 16 Dec 2010 02:01 AM PST ![]() Kira-kira 15 orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Demokrasi Hitam 2.0 berhimpun di hadapan bangunan parlimen sejak pagi tadi sebagai tanda bantahan terhadap penggantungan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat. Mereka yang sepatutnya berarak bagi menghantar memorandum aduan kepada Suhakam dari bangunan Parlimen ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut sejurus tengahari ini, bagaimanapun dihalang oleh polis. Akibatnya, berlaku kejadian tolak-menolak antara mereka dengan kira-kira 50 anggota polis yang sejak pagi tadi mengawal kawasan sekitar parlimen itu.Akibatnya dua orang penyokong Demokrasi Hitam 2.0 ditahan polis dan Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) sedang berbincang dengan polis. Mereka yang ditangkap polis itu dikenali sebagaiLee Khai Loon (atas, berbaju merah), anggota exco AMK dan G Pravin (bawah, berbaju hitam), ketua penerangan PKR, Padang Serai, yang juga anak kepada ahli parlimen Padang Serai, G Gobalakrishnan. Kedua-dua pemimpin AMK itu kemudiannya dibawa ke ibupejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2 petang tadi. Perhimpunan hari ini adalah bagi membantah tindakan Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan, pagi tadi. Sejak awal pagi tadi, kira-kira 40 anggota polis mula berkawal di sekitar perkarangan bangunan Parlimen. Jumlah itu kemudian meningkat kepada kira-kira 50 orang apabila keputusan menggantung Anwar dibuat. Reformasi dan Takbir Anwar selepas digantung kelihatan keluar dan bersalaman dengan penyokongnya itu. Laungan 'Reformasi' dan 'Takbir' bergema sekitar kawasan parlimen seketika.Turut bersama Annwar adalah R Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin. Selepas perbincangan, polis membenarkan hanya tiga orang, termasuk Shamsul dan Yusmadi untuk meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum kepada Suhakam. Kira-kira jam 1.55 petang keadaan menjadi tenang setelah penyokong beredar perlahan-lahan dan polis pun bersurai.Di Suhakam, Yusmadi yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat tiga aduan lisan kepada pesuruhjaya Suhakam James Nayagam. Antaranya, beliau mendakwa "pelanggaran hak kebebasan bersuara" ke atas Anwar sehingga menyebabkan ketua umum PKR itu digantung enam bulan. "Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hak untuk mempertahankan dirinya dari segi hak asasi dan undang-undang. Tetapi beliau dinafikan hak (iaitu) tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dalam jawatankuasa (Hak dan Kebebasan) itu. 'Kenapa beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan... Ini adalah kesalahan serius dalam sistem demokrasi di Malaysia," katanya dalam aduan lisan.Turut bersama mengiringi beliau ke pejabat Suhakam ialah Shamsul Iskandar, timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ahli MPP Fariz Musa dan beberapa orang exco AMK Pusat. Ditolak dan diserang Dalam aduan itu juga, Yusmadi turut meminta Suhakam menyiasat dakwaan beliau "ditolak dan diserang" oleh polis sewaktu "berjalan secara aman" ke pejabat Suhakam."Kami nak berjalan secara aman ke Suhakam , sudah kena tahan, kena serang... Itu hak kami. Saya memohon Suhakam untuk meyiasat perkara ini. "Kita akan menyambut tahun baru, kami tidak mahu bermula tahun baru dengan black democracy," katanya sambil menambah agar Suhakam menyiasat berhubung penahanan dua rakannya itu. James sewaktu memberi reaksi selepas mendengar aduan tersebut memberi jaminan untuk menyiasat berhubung ketiga-tiga aduan yang dibangkitkan oleh Yusmadi. "Kami menerima komplen dan akan menyiasat dan membuat pendengaran yang adil," kata James kepada pemberita.Shamsul pula dalam pertemuan setengah jam itu, berkata tindakan polis melanggar hak asasi manusia dengan mengenakan tindakan kekasaran fizikal kepada orang awam. "Tahan itu tidak mengapa. Tapi mereka digari, dipijak dan dipukul. Itu pada saya satu pendekatan yang tidak boleh diterima akal. Ada saksi mereka dipukul dan dipijak oleh pihak polis di hadapan parlimen," katanya. |
| Najib Hancurkan Sistem Parlimen Negara Posted: 16 Dec 2010 01:59 AM PST Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak harus dipertanggungjawabkan kerana menghancurkan sistem Parlimen Negara. ![]() Bekas Menteri Kesihatan, Dr Chua Jui Meng mengatakan beliau tidak pernah melihat tonggak legislatif negara dilacurkan seperti yang disaksikannya hari ini. " Sistem Parlimen di bawah Speakar telah gagal. Parlimen yang gagal. Sistem legislatif yang gagal,"kata Jui Meng, mengulas situasi yang berlaku dalam Dewan Rakyat hari ini. Menurut Jui Meng, beliau tidak pernah melihat keadaan seteruk ini apabila prinsip demokrasi dicabul dengan sewenang-wenangnya. " Dua puluh dua tahun di dalam Dewan Rakyat, saya tak pernah nampak peristiwa yang begitu hodoh dan bodoh. " Hodoh kerana telah mencemarkan prinsip demokrasi dan keadilan, di mana sesiapa yang dituduh harus diberi peluang untuk pertahankan diri," kata Jui Meng, ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini. Pemimpin veteran politik tanahair itu juga menambah, rakyat adalah sebaik-baik hakim apabila sistem negara tidak lagi memihak kepada mereka yang menuntut kepada keadilan. " Sekarang kita tahu kalau pergi mahkamah tiada harapan. Kalau pergi Parlimen lebih teruk dari kehakiman. Mana lagi? Kepada rakyat," kata Jui Meng. Hari ini menyaksikan ahli parlimen Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat apabila Speaker Pandikar Amin Mulia enggan berganjak dari pendiriannya untuk tidak membenarkan Anwar membela dirinya dari hukuman gantung selama enam bulan. Wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat bingkas bangun menuntut penjelasan, namun permintaan mereka tidak dilayan. Placard(sepanduk) dibawa masuk ke dalam Dewan, menuntut proses keadilan dipulihkan. |
| Perkara 44: 'Gantung' semua MP Pakatan Posted: 16 Dec 2010 01:49 AM PST Semua ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didakwa menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat.Perkara 44 (4) antara lain memberi kuasa kepada Speaker 'menggantung' ahli parlimen yang ada dalam dewan dengan menyebut nama ahli parlimen tersebut. Speaker sewaktu kekecohan sedang berlaku, didakwa membuat ugutan terhadap ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan mendakwa akan membaca senarai nama semua ahli parlimen pakatan kerana tidak mengendahkan arahannya. Beliau juga dilihat mengarahkan dan meminta setiausaha dewan mendapatkan senarai nama ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk dibaca. Ekoran itu, dalam keadaan dewan terus kecoh, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan sebagai protes kepada tindakan Speaker itu. Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, tindakan Speaker itu menggambarkan kelemahan beliau mengawal keadaan dan berniat untuk menggantung semua wakil rakyat pembangkang. Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika diminta mengulas perkara itu pula berkata, episod yang berlaku hari ini sangat malang dan memalukan. "Kita minta Speaker membuat beberapa rulling sebelum perbahasan tetapi tidak diendahkan. "Tetapi oleh kerana dia gagal mengawal keadaan, dia menggunakan kuasanya menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat untuk menekan dan mengugut MP Pakatan untuk menggantung mereka walaupun tidak menyebut tempoh," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula turut melahirkan rasa kecewa di atas apa yang berlaku di dewan rakyat hari ini apabila Speaker bertindak demikian. "Kita lihat Speaker guna perkara 44, kita tidak dengar tadi dia guna ke tidak sebab suasana sangat kecoh. "Kita akan cuba mendapatkan kepastian setiausaha dewan," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Kekecohan hari ini berlaku ekoran MP Pakatan Rakyat membantah usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Subang, Gombak dan Bukit Gelugor. Sehubungan itu, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bertindak keluar dewan tidak akan meneruskan persidangan hari ini. Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat untuk Penggal ke-3 Parlimen ke-12 dan akan disambung semula Mac 2011. |
| Posted: 16 Dec 2010 01:42 AM PST KETIKA gabungan NGO Selangor yang dipercayai didalangi Umno berarak ke Istana Sultan Selangor dan ke Istana Negara mengadukan kononnya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan Pakatan Rakyatnya melakukan 30 penyelewengan, tiba-tiba sehari selepas menyerahan memo itu ke bawah duli Yang DiPertuan Agung dan dua hari selepas ia diserahkan kepada Sultan Selangor, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo di hadapkan ke mahkamah kerana dikatakan memalsukan dua lot tanah dan ada kepentingan sebuah banglo besar di Shah Alam. Tan Sri Khalid cuba dibabitkan dengan penyelewengan, tetapi Menteri Besar Umno itu sudah dibabitkan dengan mahkamah. Tan Sri Khalid belum ada fail tentang apa yang dikatakan 30 penyewengan itu, tetapi Dr. Khir Toyo didapati oleh SPRM layak didakwa di mahkamah. Apa pun Dr. Khir belum bersalah walaupun dia sudah didakwa di mahkamah. Selagi mahkamah belum memutuskan dia bersalah, maka dia adalah bersih. Soal apakah dia dilihat bersih atau sebaliknya adalah hal yang lain. Dari segi undang-undang dia belum bersalah.Dr. Khir bukan Menteri Besar Selangor yang pertama didakwa di mahamah. Malang bagi Umno sejak merdeka ada saja MB atau bekas MB yang dibawa ke mahkamah. Yang pertama Datuk Harun Idris dan yang kedua adalah Tan Sri Mohamad Mohd. Taib. Datuk Harun telah disabitkan dakwaan rasuah oleh mahkamah dan dia telah menjalani hukuman penjara. Setengah rakyat menolak keputusan mahkamah atasnya dan Umno terus mengundinya bagi menjadi Naib Presiden selepas dia dibebaskan. Tan Sri Mohamad ditahan di Australia kerana membawa duit seberat 17 kilo. Mahkamah Australia telah membebaskannya. Atas kejadian itu dia melepaskan jawatan menteri besar. Selepas dibebaskan oleh mahkamah, dia yang didapati bersih itu diangkat menjadi Ketua Penerangan Umno oleh Presidennya Tun Abdullah Badawi dan sebelum Abdullah bersara, Tan Sri Mohamad menjadi menteri. Sekarang giliran Dr. Khir pula. Dia baru dalam peringkat dakwaan. Pada peringkat ini dia melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkan di Dun Selangor. Seperti Tan Sri Mohamad dulu, dia melepaskan jawatan Menteri Besar apabila dia didakwa. Kebanyakan Menteri Besar Umno Selangor dilihat tidak bersih tetapi yang diseret ke mahkamah tiga orang termasuklah Dr. Khir. Sekalipun Dr. Khir dilihat tidak berapa bersih tetapi ia adalah persepsi. Kalau orang yang sudah didakwa di mahkamah tidak dikira bersalah selagi belum didapati bersalah oleh mahkamah, lagilah orang yang dilihat tidak bersih dan tidak didakwa di mahmakah lagilah tidak dikira bersalah. Orang di luar mahkamah tidak layak membuat hukuman kepada orang yang sedang didakwa. Hanya hakim yang mengadilinya yang layak menentukannya bersalah atau tidak setelah mendengar keterangan saksi dan setelah mendengar pembelaan dirinya jika dia dipanggil untuk membela diri. Kita tidak tahu mana lebih berat antara dakwaan yang dikenakan kepada Tan Sri Mohamad Mohd. Taib di Australia dulu dengan dakwaan yang dihadapkan kepada Dr. Khir. Tetapi dengan 17 kilo duit tunai yang didapati dibawanya di lapangan terbang, ia dirasakan begitu banyak. Jumlah wang itu tidak diketahui tetapi berat duit kurang tiga kilo saja dari had berat bagasi yang dibenarkan bagi seorang penumpang. Banyak yang mengagak Tan Sri Mohamad tidak akan terlepas. Lagi pun mahkamah Australia tidaklah dilihat seperti institusi kehakiman di Malaysia. Mahkamah dan hakim di Malaysia berdepan dengan imej yang uzur. Tidak ada anggapan mahkamah Ausstralia berdepan dengan persepsi itu. Tiba-tiba mahkamah Australia membebaskan bekas Menteri Besar Selangor itu. Apa pun mahkamah ada wibawa dan seninya sendiri. Jangan ada yang hendak memandai atas dakwaan Dr. Khir itu. Setakat ini, dimaklumkan, Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara sendiri yang turun mendakwanya. Dari segi politik sama ada Khir Toyo bebas atau dihukum, kedudukannya sudah tidak menentu. Jika Tan Sri Mohamad yang dibebaskan oleh mahkamah tidak diberi apa-apa perhatian oleh suasana politik yang ada, sedangkan dia adalah orang yang didapati tidak bersalah, maka bolehlah dikira payah bagi Dr. Khir untuk kembali ke arena politik seperti dulu. Berapa lama kesnya berjalan tidak diketahui. Tetapi keputusannya mungkin diketahui pada masa pilihan raya kecil tidak layak diadakan menjelang tempoh tertentu pilihan raya umum. Kalau keputusan mahkamah itu dibuat sebelum tempoh itu, maka SPR terpaksa pula membuat persiapan pilihan raya kecil jika ia tidak memihak kepada yang dituduh. |
| Dewan kecoh, MP Pakatan berdemo (Klip Video) Posted: 16 Dec 2010 01:33 AM PST ![]() Perbahasan usul penggantungan Anwar selama 6 bulan, sedang berlangsung di Dewan Rakyat. 10.00 am: MP Shah Alam, Khalid Samad bangun mengemukakan usul projek sakit, Hospital Shah Alam lambat siap, sehingga menyebabkan seorang pesakit terpaksa menangguh rawatan dan pergi hospital lain. 10.15 am: Speaker, Tan Sri Pandikar Amin tolak usul Shah Alam dan mahu teruskan untuk bahas usul gantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 10.30 am: MP Pakatan Rakyat bagaimanapun dibantah oleh MP PR termasuk Sivarasa Rasiah, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Kamarudin Jaffar dan Yusmadi. Mereka masing-masing mempertikai tindakan Speaker dan menyatakan Speaker salah dalam menafsirkan, peruntukan 83 (1) peraturan mesyuarat. Akibat bantahan itu, kekecohan terus berlaku antara MP Pakatan Rakyat dengan wakil rakyat kerajaan. 11.00 am: Dalam suasana kecoh, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bangun membaca usul untuk menggantung Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk dibahaskan. Usul yang dibaca Nazri hanya sayup kedengaran dicelah suara kekecohan yang tidak terkawal oleh Speaker. 11.15 am: MP Rembau, Khairy Jamaludin, bagun untuk bahas, selepas Nazri pergi ketempat Khairy, namun terus dibantah MP Pakatan Rakyat. MP Pakatan Rakyat memberi alasan Speaker belum buat rulling terhadap dakwaan salah prosedur terhadap beberapa peraturan mesyuarat. Mereka juga mendesak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berundur, kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dan mengawal keadaan. 11.20 am: Speaker bagaimanapun cuba meneruskan membaca perbahasan, dan mengugut akan nama Ahli Parlimen yang tidak mendengar arahan Speker untuk digantung. 11.25 am: Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, semua MP Pakatan Rakyat diketuai Anwar, keluar dewan dan mengadakan sidang media di lobi parlimen. 11.30 am: Datuk Nazri Aziz kemudian mengemuka usul kedua, iaitu untuk menggantung tiga lagi Ahli Parlimen iaitu, Bukit Gelugor, Subang dan Gombak. 11.40 am: Dalam keadaan MP PR sedang mengadakan sidang media, Ahli Parlimen BN kini sedang berbahas sesama sendiri. |
| Pakatan Rakyat mantap di bawah, rapuh di atas? Posted: 15 Dec 2010 07:40 PM PST Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu ini mempunyai banyak keistimewaan. Selain anggapan bahawa ia mungkin persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, pertemuan barisan kepimpinanan daripada peringkat tertinggi hingga penyokong akar umbi ketiga-tiga parti komponen itu diharap bukan sahaja berupaya menyuntik semangat menyala aktivis Pakatan, namun lebih penting lagi merumuskan pelan tindakan strategik terbaik berdepan cabaran lebih getir dan menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.Persiapan menghadapi PRU13 begitu berbeda berbanding semua pilihan raya umum sebelum ini. Ini kali pertama BN menyedari ia akan digugat sehebat-hebatnya dan kemungkinan terlepas daripada takhta kuasa terbuka luas. Di pihak Pakatan Rakyat juga, ini julung kali keyakinan untuk mengambil alih kerajaan dikongsi semua parti di dalamnya, termasuk DAP yang dahulunya lebih bertekad untuk menjadi pembangkang yang kuat dan berwibawa. Laluan membentuk sistem dua parti di negara ini terbentang luas selepas fenomena tsunami politik, Mac 2008 dan kini terpulang kepada keseriusan para pemimpin PAS, KeADILan dan DAP untuk menjadikan impian sejak lama itu sebagai kenyataan. Malaysia perlu diselamatkan daripada terus "ditawan" satu gabungan parti sejak merdeka, sehingga mengetepikan proses "semak dan imbang" dan membuatkan parti pemerintah sombong-ego-angkuh. Waktu itu, dikatakan kalau letak "songkok" pun BN boleh menang! Realiti politik Malaysia memang tidak memungkinkan hanya sebuah parti tunggal menerajui kerajaan. Demokrasi konsosiasional yang diamalkan di kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, termasuk Malaysia, menawarkan penyelesaian untuk berkongsi kuasa. Hubungan kerjasama dan toleransi, terutama di peringkat elit politik, mesti dipupuk bagi mewujudkan konsensus agar kestabilan tercapai, politiking dikurangkan dan kepentingan atau tuntutan daripada kaum yang berbeda dapat disesuaikan. Bagaimanapun, pengkaji demokrasi permuafakatan seperti Cham dan Kieve, seperti dirumuskan Nidzam Sulaiman, menyatakan bahawa di beberapa negara tertentu, termasuk Malaysia, yang terbentuk hanyalah kerjasama rapuh antara pemimpin politik dari pelbagai kelompok. "Ia tidak memberi gambaran sebenar akan kerjasama yang wujud secara menyeluruh antara kelompok yang berbeza itu. Di peringkat menengah atau bawahan kelompok masih bersaing dan enggan bekerjasama dan konflik masih berlaku. Kerjasama rapuh ini boleh menemui kegagalan apabila muncul masalah dalaman yang tidak dikesan oleh golongan elit. ... Konsosiasionalisme yang meliputi hubungan kaum sebenarnya tidak ubah berupa litupan gula icing kek yang rapuh dan di dalamnya terdapat bermacam-macam campuran yang tidak padu campurannya," tulisan Nidzam dipetik. BN ternyata gabungan longgar elit pemimpinnya semata-mata. Golongan massa di bawah, termasuk penyokong parti masing-masing, terus hidup dalam prasangka, terbahagi dan gagal disatukan walaupun mendokong satu gabungan parti yang bertanding mewakili satu simbol dalam setiap kali pilihan raya sejak merdeka. Sentimen perkauman sentiasa dimanipulasi kepemimpinan tertingginya. Yang kaya dan beruntung hanya elit penguasa yang sering bertindak sebagai "pemeras yang bertopengkan kepentingan kaum". Majoriti pengikut - daripada semua kaum - masih ditindas, miskin dan serba mundur. Pakatan Rakyat yang hanya terbentuk selepas PRU12 mengadakan konvensyen pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada 19 Disember 2009. Genap setahun kemudian, di Dewan Millenium, Pulau Pinang, pada 19 Disember 2010, konvensyen kedua menyusul, dengan tema "Berubah Sekarang". Cuba bandingkan dengan konvensyen BN pula. Ia pertama kali diadakan pada 1995. BN memerlukan tempoh 15 tahun untuk menganjurkan konvensyen keduanya, bertemakan "Satu Warga, Satu Negara, Satu Wawasan" pada 4 Disember lalu! Cuba anda tinjau pengendalian kempen pilihan raya BN. Kita pasti sukar sekali untuk berjumpa seorang pemimpin MCA berceramah di kawasan majoriti Melayu. Sedangkan, pemimpin DAP, seperti Lim Guan Eng mahupun Lim Kit Siang begitu mudah diajak untuk berkempen di perkampungan Melayu. Masih segar dalam ingatan saya, ketika berpanas terik bersama ribuan yang lain menyambut pembebasan Guan Eng daripada Penjara Kajang, 12 tahun lalu. Terharu saya melihat seorang makcik bertudung labuh membonceng motorsikal bersama suaminya megah menjulang bendera DAP, manakala seorang tua Cina berlari-lari anak mengibarkan panji-panji PAS. Justeru, jika terdapat sebarang keraguan atau kemungkinan salahfaham di antara barisan kepemimpinan tiga parti dalam Pakatan, mereka harus mengimbau persefahaman erat yang terjalin di peringkat akar umbi, bukan bermula Mac 2008 tetapi sejak lama dahulu. Rakyat di bawah, dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, tidak pernah memikirkan kepentingan sempit mereka ketika mengundi Pakatan. Mereka begitu mendambakan pembaharuan dan perubahan. Tidak terlintas untuk membolot kontrak, mengejar pangkat dan kedudukan, juga memperkayakan diri. Sering saya tekankan, berdepan PRU13, rakyat tidak mudah lagi memberi sokongan kepada satu parti kerana membenci parti saingannya. Pakatan akan disokong disebabkan kekuatannya, bukan disandarkan kelemahan BN lagi. Oleh itu, sebarang pertelagahan terbuka mesti dielakkan. Usah cemarkan imej Pakatan sebagai parti yang berwibawa dan layak diberikan kepercayaan untuk memimpin. Hal titik-bengik pun boleh mempengaruhi pengundi jika ia didedahkan kepada umum. Saya tertarik dengan ungkapan Teresa Kok, pemimpin kanan DAP ketika ditemui kolumnis Karim Raslan, pada September 2008: "Rakyat telah memberikan kami mandat, Islam dan bukan Islam telah mengundi untuk satu sama lain. Ia adalah ketentuan Tuhan supaya kita kita perlu bersatu. Kita perlu sensitif dalam soal menguruskan elemen penyatuan dan ciri-ciri persamaan yang boleh menguatkan pakatan. Mana-mana golongan atau parti yang cuba memusnahkan persepakatan atau mengakibatkan perpecahan Pakatan Rakyat pasti dipersalahkan dan rakyat Malaysia tidak akan memaafkan perbuatan masing-masing." Menjadi harapan ramai, jika BN bukan saja rapuh di peringkat bawah tetapi juga longgar ikatan elit politiknya, manakala di pihak Pakatan, para penyokong nampak berpadu dengan baik, maka usah biarkan persefahaman di peringkat atasan cuba dirongkai pula. "Saya tidak bimbang pengundi bukan Melayu akan terus sokong DAP nanti, yang merisaukan mampukah PAS memenangi hati majoriti masyarakat Melayu, golongan yang menyelamatkan BN hampir tiga tahun lalu?" tiba-tiba saja seorang teman, wartawan veteran menimbulkan persoalan. "Ini kuncinya, pengundi Melayu!" tambahnya sambil menekankan bahawa formulanya mesti datang dari ketiga-tiga parti, bukan hanya PAS. Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN |
| You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
















Tiada ulasan:
Catat Ulasan