Selasa, 14 Disember 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Laporan minoriti dihantar bagi pertahankan Anwar

Posted: 14 Dec 2010 07:15 AM PST

Dua ahli parlimen pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Hak dan Kebebasan - Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor)) dan R Sivarasa (PKR-Subang) akan mengeluarkan "laporan minoriti" mengenai siasatan jawatankuasa itu terhadap tindakan ketua pembangkang itu mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide.

"YB Karpal Singh dan diri saya telah tidak hadir diri kami daripada prosiding jawatankuasa itu pada 3 Disember lalu. Tetapi kami akan menyerahkan laporan sendiri berhubung apa yang berlaku dalam jawatankuasa itu," kata Sivarasa pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Laporan 27 mukasurat itu, kata Sivarasa, adalah laporan menyeluruh dengan fokus terjurus kepada dua perkara.

Pertama, beliau dan Karpal tidak bersetuju dengan cara jawatankuasa itu menjalankan siasatan dan menyifatkannya sebagai pencabulan serius keadilan kerana Anwar tidak dibenarkan membela dirinya.

Kedua, laporan itu melihat kepada merit kes berkenaan dan kesimpulan mereka ialah Anwar tidak bersalah memperdayakan Dewan Rakyat berdasarkan hujah yang dimuatkan dalam laporan mereka itu.

Sivarasa bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan laporannya sehingga speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusannya.

"Saya telah hantar laporan ke pejabat speaker dan berharap laporan kami juga akan dibentangkan sebagai sebahagian daripada prosiding jawatankuasa, jadi ahli Dewan akan mempunyai kedua-dua laporan," kata ahli parlimen Subang itu.

Jelasnya lagi, laporan berkenaan telah diserahkan kepada pegawai khas kerana Pandikar tidak berada di kamarnya.

"Bagi kami, ini adalah laporan kami. Ahli Dewan Rakyat mesti diberi peluang mendengar daripada kedua-dua pihak. Di Parlimen negara lain, intu adalah norma tetapi ini agak janggal bagi parlimen Malaysia. Tetapi kita sedang melalui masa yang berbeza," hujahnya.

Altantuya : Najib perlu perjelas laporan Wikileaks

Posted: 14 Dec 2010 07:02 AM PST

Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.

"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.

Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.

Sementara itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.

"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.

"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.

"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.

"Kita bimbang tindakan singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.

Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan kesemua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR petang tadi ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.

'Maklumat' itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun (Sydney Morning Herald), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh.


-hrkh

Segala jenis JIN digunakan serang Anwar!

Posted: 14 Dec 2010 06:43 AM PST

Sejarah menyaksikan mantan PM Malaysia Dr Mahathir dan Mantan PM Singapura yang kini menjadi Menteri Mentor Lee Kuan Yew sering berlainan pendapat, tuding menuding dan berlumba-lumba demi menunjukkan siapa yang hebat.

Begitulah lagak mereka berdua sepanjang zaman mereka memerintah dan bersara. Tapi atas nama Anwar Ibrahim, seolah-olah mereka berdua melupakan dulu "peperangan" mereka untuk bersama menyerang manusia yang bernama Anwar Ibrahim.

Walaupun berlainan tanggapan terhadap Anwar. Seorang mengatakan "masuk perangkap" dan seorang lagi dengan "rela hati" . Keduanya mempunyai mempunyai "nilai tambah" kepada UMNO untuk menyerang Anwar.

Menjelang Mac 2011( ramalan PRU ke 13), semakin ramai individu yang bakal digunakan UMNO bagi menyerang Anwar.

Bermula dengan Ezam, Nalla, Zaid Ibrahim, Zulkifli Nordin dan terkini Ummi Hafilda. Dari luar negeri pula Lee Kuan Yew, Wikileaks, CIA, Agensi Perisikan Singapura dan Australia juga tidak ketinggalan.

Itu belum campur serangan media Tv3, RTM, Utusan dan NST setiap hari. Berita " wajah hodoh" Anwar suatu yang wajib untuk disiarkan atas arahan PMNajib.

Semakin banyak penyelewengan yang dibongkarkan oleh Anwar semakin banyak individu diketengahkan untuk menghentam Anwar.

Nampak sangat PMNajib mengalami sindrom "menggelabah yang melampau" untuk menghadapi Anwar dan Pakatan Rakyat.

Semua ini seolah-olah bentuk "penyiksaan" terhadap Anwar sebelum dihumban dalam penjara.

Skrip sudah siap!




Dari Tok Pepijat

Ketuanan Melayu : Sandiwara Di Hujung Hayat Umno?

Posted: 14 Dec 2010 06:35 AM PST

Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?

Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Firman Allah SWT :


لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)

Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.

Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagaiaddin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.

Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun.


Firman Allah SWT :

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An'am, ayat 115)

Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?

Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.

Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di'kebumikan' secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.

Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :


مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan.

Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!



HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H / 13 Disember 201M

Kes Mata Lebam : Putrajaya Tutup Kes Dikesali

Posted: 14 Dec 2010 06:31 AM PST

Putrajaya menutup isu insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 1998 dengan mengetepikan dakwaan terbaru seorang bekas pegawai kanan polis bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memalsukan bukti.

Dalam jawapan kepada parlimen hari ini Menteri Di Jabatan Perdana menteri Datuk Nazri Aziz mengelak daripada menjawab dakwaan bekas pegawai siasatan Datuk Mat Zain Ibrahim bahawa Abdul Gani memalsukan dokumen dalam kes itu.

Lebih dikesali, Speaker Dewan sekali lagi menggunakan kuasanya mencantas usaha ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendapatkan penjelasan daripada Nazri.

Nazri memilih untuk hanya memberitahu bahawa tidak perlu bagi Mat Zain membuat aduan bahawa panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan pemalsuan bukti gagal untuk membersihkan nama beliau dalam insiden itu.

Jawapan Nazri tidak langsung menyentuh mengenai asas-asas dakwaan Mat Zain mengenai tindakan Gani dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam memalsukan bukti dan keterangan bersabit siasatan mata lebam Anwar.

Ini menurut Nazri, Mat Zain tidak pernah tertakluk kepada siasatan panel dan hanya dipanggil sebagai seorang saksi untuk memberikan keterangan.

"Panel penasihat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), dalam suratnya kepada Datuk Mat Zain pada 23 Julai 2009, sudah pun menekankan bahawa tidak perlu panel bebas atau SPRM membersihkan nama Mat Zain, memandangkan beliau tidak tertakluk kepada siasatan," katanya.

Tambah beliau, panel itu tidak menjalankan siasatan melibatkan Mat Zain sebagai satu subjek dan oleh itu, tidak bertanggungjawab untuk membuat sebarang penilaian terhadap bekas ketua jabatan siasatan jenayah Kuala Lumput itu.

Nazri juga menambah bahawa panel itu dilantik mengikut perlembagaan meskpin Mat Zain mendakwa Penguam Cara Negara tiada kuasa untuk melantik anggotanya.Kata beliau, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai pendakwa raya dalam keadaan Peguam Negara tidak boleh bertindak sedemikian.

"Dalam kes ini, Abdul Gani adalah subjek siasatan dan oleh itu, adalah tidak adil atau sesuai bagi beliau untuk melantik anggota panel."Oleh itu, Peguam Negara mengambil alih tugas untuk bertindak sedemikian dan ia adalah sah," katanya.

Di akhir rumusan penjelasan Nazri hari ini, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) bangun untuk memprotes bahawa penjelasan itu tidak memuaskan, tetapi usahanya dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusan final, yang dijadualkan semalam, sama ada perlu membuka semula kertas siasatan berkaitan insiden matla lebam Anwar, yang berlaku 12 tahun lalu, ekoran dakwaan wujudnya bukti terbaru.

Nazri juga berkata, beliau akan menjawab gesaan pembangkang di Parlimen berhubung isu itu dan keputusan yang bakal diumumkan adalah "muktamad."

Dalam kenyataan minggu lalu itu, Nazri berkata kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Lim, yang juga Penasihat DAP, bahawa kes mata lebam sudah ditutup adalah "tepat."

"Hishammuddin tidak salah dalam mengatakan ia sudah ditutup. Kes itu sudah lama ditutup. Apa yang yang berlaku baru-baru ini ialah wujudnya maklumat terbaru. "Kami akan menjawab minggu depan, tunggu dan lihat," kata Nazri.

Awal minggu lalu, Lim mendesak penjelasan pentadbiran Najib berhubung komitmen Kabinetnya bahawa akan membuka semula siasatan berkaitan dengan insiden mata lebam Anwar sambil mendakwa menteri-menterinya membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah.

Lim mempersoalkan sama ada Hishammuddin merampas tanggungjawab yang diberikan kepada rakan sejawatannya Nazri agar mengendalikan perkara berkenaan, dengan mengisytiharkan kes itu sudah pun ditutup.

Pada 24 November lalu, Nazri berkata, kerajaan akan menyiasat surat terbuka Mat Zain yang mendakwa Peguam Negara mempunyai peranan dalam insiden mata lebam Anwar yang berlaku 12 tahun lepas.

Nazri berkata, Kabinet mengarahkan beliau dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berjumpa dengan Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan surat terbuka Mat Zain.

Nazri berkata beliau dan Rais perlu menemui Abdul Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Isnin lepas, Mat Zain merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang di bawa Lim pada sidang Dewan Rakyat 9 November lepas.

Idea Dangkal Ketua Puteri Umno Dibidas Srikandi

Posted: 13 Dec 2010 11:25 PM PST

Srikandi KEADILAN hari ini membidas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang menyarankan agar Kerajaan yang ada membina Sekolah Pelajar Hamil peringkat Kebangsaan yang mana saranan itu telah diutarakan oleh Ketua Menteri Melaka Dato Seri Ali Rustam baru-baru ini.

Saya merasakan itu sebagai satu bentuk tindakan yang tidak membantu namun akan membuatkan gejala seperti penzinaan dan pergaulan bebas anak remaja semakin berleluasa.Saya tidak menolak bahawa remaja-remaja ini harus diberi peluang kedua namun sepatutnya sebagai salah seorang pemimpin generasi muda kita harus memikirkan sesuatu mekanisma pencegahan dan bukan satu bentuk habuan yang akhirnya akan mengakibatkan ia menjadi semakin sukar dibendung.

Srikandi juga turut mengatakan kekesalan diatas idea atau cadangan yang dianggap tidak masuk akal dan menghina generasi muda khususnya wanita.Kita mahukan satu generasi yang lebih baik kerana mereka merupakan generasi yang akan mewarisi masa depan,namun dengan keluarnya idea dan pendekatan ini saya merasakan ia sesuatu yang cukup dikesali.

Isunya ialah pembendungan dan pencegahan masalah pergaulan bebas yang akan membawa kemudaratan ini bukan memikirkan mahu menghabiskan wang rakyat untuk sesuatu yang tidak langsung membantu.Jika benar kerajaan yang ada mahu membantu generasi ini maka pencegahan dan peranan institusi agama itu harus diperhebatkan bukan berdiam diri dan akhirnya ia tidak membawa apa-apa.

Membina bangunan bertingkat dan juga prasarana seperti itu bukan jawapan yang tepat.Sudah berapa banyak rumah-rumah perlindungan diwujudkan dan badan-badan khas seperti jabatan kebajikan masyarakat dan juga badan-badan ngo ditubuhkan untuk isu ini namun masih menemui jalan buntu.Jadi saya rasakan bahawa pembinaan sekolah "Hamil" bukan jawapanya melainkan gerak kerja dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh Kerajaan sendiri.

Untuk itu saya boleh nyatakan bahawa ini menunjukan bahawa Kerajaan yang ada gagal untuk menjamin masa depan generasi muda masa kini dan untuk itu satu bentuk perubahan kerajaan yang baru harus berlaku agar ia lebih menjamin masa depan mereka.

SITI AISHAH BT SHAIK ISMAIL
KETUA SRIKANDI KEADILAN MALAYSIA

2012 : Planet X Langgar Bumi ?

Posted: 13 Dec 2010 11:01 PM PST

Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa Planet X atau Planet Nibiru akan melanggar Bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi menjalankan pemantauan berhubung dakwaan tersebut.

"Pihak NASA telah mengatakan bahawa tiada bukti sahih tentang kewujudan Planet Nibiru dalam pencerapannya. Setakat ini tiada satu pun objek dalam angkasa lepas yang dikenal pasti memberi ancaman kepada Bumi secara langsung.

"Sekiranya kewujudan planet itu sahih, ia akan dapat dilihat dengan mata kasar dan pastinya ahli astronomi akan buat pemantauan objek tersebut kerana semakin menghampiri bumi seperti yang dikatakan," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara di Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Shamsudin Mehat tentang pendirian kerajaan berhubung dakwaan tersebut.

Dakwaan berhubung Planet Nibiru akan melanggar Bumi mula dibangkitkan padatahun 1995 namun semakin hangat dibincangkan oleh orang ramai terutamanya diinternet sejak tahun lepas.

-BERNAMA

Kerajaan Harus Segera Siasat Maklumat Kabel Wikileaks

Posted: 13 Dec 2010 10:54 PM PST

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan Malaysia menyiasat maklumat kabel Wikileaks dengan segera kerana ia bukan sahaja melibatkan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah negara Malaysia.

Beliau yang ditemui di lobi parlimen berkata, bukti sahih masih belum diperolehi untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan itu.

"Samada sahih atau tidak itu menjadi tanda tanya. Adakah ini datang dari sumber-sumber yang betul dan boleh dipercayai? Adakah ini satu lagi komplot untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar?" soal beliau lagi.

Menurutnya lagi, Malaysia harus membantah dengar kadar segera untuk mengelakkan sebarang spekulasi berterusan.

"Sekarang kalau kita lihat apa yang diutarakan bukan sahaja berkaitan Datuk Seri Anwar tapi juga dengan Malaysia. Saya rasa Malaysia harus membantah. Kalau apa yang didakwa ke atas Datuk Seri Anwar betul maka apa yang didakwa kepada kerajaan Malaysia pun betul.

Tambahnya lagi, jika maklumat tersebut tidak sahih maka kerajaan harus membuktikan ada pihak yang cuba mengaibkan Ketua Pembangkang itu.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan muka depan mengenai pendedahan Wikileaks bersabit tuduhan liwat ke atas Anwar.

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pula dipetik dalam satu pendedahan sebagai berkata Anwar mungkin mengetahuinya "tapi tetap masuk ke dalamnya (perangkap)".

Namun dakwaan itu disanggah oleh Anwar.

Manakala peguam Anwar, Sankara Nair mempersoalkan apakah Anwar begitu tidak waras sehingga sengaja masuk ke perangkap yang dipasang untuk dirinya.

"Siapakah yang berfikiran waras, akan dengan sengaja memasuki perangkap jika dia sudah tahu mengenainya?

"Ini sama sekali tidak logik dan benar-benar tak masuk akal," ujar Sankara dalam satu kenyataan semalam.

Anwar dijangka memberi penjelasan terbuka berhubung perkara sama pada ceramah umunya di Wangsa Maju jam 9.30 malam ini.

Anwar Ibrahim Jelajah Negara Perjelas Isu Terkini

Posted: 13 Dec 2010 10:49 PM PST

Parti Keadilan Rakyat mengeluarkan jadual penuh ceramah perdana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjelajah ke seluruh negara bermula 14 hingga 19 Disember ini.

Beliau dijadualkan berucap bersama para pemimpin Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP bermula malam ini 14 Disember di tapak pasar malam Taman Melwati, Wangsa Maju Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai larangan polis kepada orang awam untuk tidak menghadiri ceramah di Wangsa Maju malam ini, Anwar dalam twitternya berkata "Polis tidak benarkan-tanda Umno gentar dengan penjelasan.Saban hari diserang,mahu jawab dilarang,"

Sebelum ini ,Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata penganjur tidak mempunyai permit untuk mengadakan ceramah umum itu.Polis tidak meluluskan permohonan penganjur kerana ia boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan keselamatan, katanya kepada Bernama melalui SMS .Katanya pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur meneruskan majlis tersebut.

Turut akan berucap di majlis itu nanti adalah anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad,Teresa Kok, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Datuk Dr Tan Kee Kwong dan Ibrahim Yaacob.

Wikileaks melalui media Australia telah mendedahkan pelbagai dokumen yang bersumberkan para pemimpin dan diplomat Singapura. Antaranya mendakwa, musuh politik Anwar telah membuat perangkap untuknya dan Anwar telah memasuki perangkap itu.

Turut didedah adalah kenyataan para diplomat Singapura yang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bimbang kalau hilang kuasa kerana takut beliau akan didakwa. Sehingga kini media gagal mendapatkan sebarang komen dari Najib mengenai hal ini.

Namun begitu, Anwar telah mempertikaikan laporan ini dan mendesak mereka memberikan bukti ke atas dakwaan itu. Sebelum itu, Anwar mencadangkan ia adalah kerja para SB (polis cawangan khas) Malaysia dengan Singapura.

Berikut adalah jadual ceramah yang dirancang menjelaskan pelbagai isu.

1) 14 Disember 2010 ( Selasa) - Wilayah Persekutuan
Masa - 9.00 - 12.00 malam
Lokasi - Ceramah PerdanaTapak Pasar Malam Taman Melati,Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan
Penceramah:
i) YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (ii) YB Khalid Samad (iii) YB Teresa Kok (iv) YBhg Shamsul Iskandar Mohd Akin (v) YBhg Dato' Dr Tan Kee Kwong (vi) YBhg Ibrahim Yaacob

2) 16 Disember 2010 (Khamis) - Negeri Sembilan & Melaka
Masa : 9.00 - 12.00 malam
Lokasi 1 - Ceramah Perdana 1Dataran Muhibah, Kampong Ismail,Ampangan, Negeri Sembilan
Penceramah:i) YB Dato Seri Anwar Ibrahim (ii) YB Azmin Ali (iii) YB Saifuddin Nasutioni (v) YB Loke Siew Fook (v) YBhg Zulkifli Omar Muhammad

Lokasi 2 - Ceramah Perdana 2Markas PAS Paya Dalam,Air Molek, Melaka
Penceramah:(i) YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (ii) YB Sallehudin Ayub (iii) YB Goh Leong Sani (v) YBhg Ustaz Abd Ghani Abd Rahman (v) YBhg Shamsul Iskandar Mohd Akin (vi) YBhg Ustaz Dr Badrul Amin

3) 17 Disember (Jumaat) - Pahang
Masa - 7.00 - 8.30 malam
Lokasi 1 - Tazkirah Maghrib oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim Markas PAS Cegar Medang,Jalan Benus, Bentong, Pahang
Masa: 9.00 - 12.00 malam

Lokasi 2 - Himpunan Perdana Peneroka Felda Markas PAS Kawasan Bera,Mengkarak, Bera, Pahang
Penceramah: (i) YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (ii) YBhg Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (iii) YBhg Dato' Fauzi Abdul Rahman (iv) YBhg Hanipa Maidin (v) YBhg Mazlan Alimanvi) YBhg Suhaimi Said

4) 18 Disember 2010 (Sabtu) - Perak & Pulau Pinang

Masa: 7.00 - 8.30 malam
Lokasi 1 - Tazkirah Maghrib oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim Markas PAS Negeri Perak, Air Kuning,Changkat Jering, Bukit Gantang
Masa : 8.30 - 12.00 malam

Lokasi 2 - Majlis Makan Malam KeADILan Dewan Cina Perkampongan Juru,Batu Kawan, Pulau Pinang
Penceramah:(i) YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (ii) YB Dato' Mansor Othman (iii) YB Tien Chua ( iv) YB Dr Lee Boon Chye (v) YB Elizabeth Wong
Masa: 9.00 - 12.00 malam

Lokasi 3 - Ceramah Perdana Padang Bola Balik Pulau, Pulau Pinang
Penceramah:(i) YB Dato' Seri Anwar Ibrahimi (ii) YAB Lim Guan Eng (iii) YB Dato' Abdul Halim Hussein (iv) YB Yusmadi Yusof (v) YBhg Ustaz Idris Ahmad


5) 19 Disember 2010 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 5.00 petang
Lokasi - Konvensyen Pakatan RakyatDewan Millenium Kepala Batas, Pulau Pinang

DAP Tangguh Pemilihan Untuk Hadapi PRU 13

Posted: 13 Dec 2010 10:43 PM PST

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan penangguhan konvensyen tahunan parti itu selama 12 bulan sehingga bulan Ogos 2012.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ianya selaras dengan keputusan parti komponen Barisan Nasional, Umno dan MCA menangguhkan parti masing-masing sebagai isyarat jelas Pilihanraya Umum mengejut yang berkemungkinan akan diadakan tahun depan.

"Ini untuk mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-13 yang paling kritikal.

"Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada pertemuan malam tadi memutuskan untuk menggunakan Klausa VIII dari Perlembagaan Parti untuk menunda kongres parti dan konvensyen negeri selama 12 bulan.

"Ini bermakna pemilihan parti yang akan diadakan ketika sidang kongres pada bulan Ogos 2011 ditangguhkan sehingga Ogos 2012.

Keputusan ini ujar Guan Eng turut mempengaruhi pemilihan parti itu di Negeri Sembilan dan Sarawak yang sepatutnya dijadualkan pada akhir tahun 2011.

Wikileaks : PKR Mulakan Usaha Dapatkan Maklumat Sah

Posted: 13 Dec 2010 10:39 PM PST

Parti Keadilan Rakyat akan memulakan usaha mendapatkan kabel diplomatik berhubung Malaysia dari sumber-sumber sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, media antarabangsa dan Wikileaks sendiri, bagi mematahkan serangan Umno-Barisan Nasional.

TV Selangor difahamkan Ahli Parlimen Batu Tian Chua ke Kedutaan Singapura petang ini, bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata Utusan Malaysia menyiarkan laporan berunsur fitnah kononnya berdasarkan laporan asal media Australia mengenai kabel diplomatik yang dibocorkan Wikileaks.

Utusan Malaysia mendakwa kabel bocor itu adalah milik seorang diplomat Singapura. Utusan Malaysia melaporkan diplomat itu mengesyaki Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan sodomi, yang kini dibicarakan di mahkamah.

Namun menurut Saifuddin, kabel diplomatik melibatkan Malaysa yang disiarkan di Wikileaks setakat ini hanya catatan pertemuan dengan pegawai-pegawai Bank Negara.

TV Selangor difahamkan Wikileaks belum menyiarkan kabel diplomatik sepenuhnya.

"Kami akan memulakan usaha mendapatkan kabel-kabel diplomatik berhubung Malaysia dari sumber-sumber sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri, untuk dinilai secara adil oleh rakyat Malaysia," tegas Saifuddin di sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Mencadangkan Anwar Digantung Enam Bulan

Posted: 13 Dec 2010 10:30 PM PST

Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan Parlimen telah mencadangkan supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung selama enam bulan daripada menghadiri Parlimen berhubung kenyataan pembabitan syarikat perunding Zionis Israel, Apco Worldwide yang dilantik kerajaan Umno-Barisan Nasional, awal tahun ini.

Laporan keputusan jawatankuasa itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Laporan itu dijadualkan untuk dibahaskan pada hari akhir sidang Parlimen, Khamis ini di mana notis dua hari hendaklah diberikan sebelum usul tersebut dibentangkan.

Selain itu, laporan jawatankuasa itu dikatakan turut mencadangkan "teguran" terhadap Ketua DAP Karpal Singh atas tuduhan "menghina" pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Speaker Dewan Rakyat.

Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, merupakan salah seorang wakil Pakatan Rakyat di dalam jawatankuasa itu.

Bayaran Khas Maal Hijrah Dari Sumber Kerajaan Negeri P.Pinang,Bukan Kerajaan Pusat

Posted: 13 Dec 2010 10:17 PM PST

Bayaran Khas Maal Hijrah RM100 Kepada Semua 1,376 Guru Kafa Dan Bantuan Khas Sekolah RM800 Kepada Setiap 7,812 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM 6.25 juta adalah daripada sumber Kerajaan Negeri bukannya Kerajaan Persekutuan,tegas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan medianya Lim berkata kerajaan negeri mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah minggu lepas.

"Perlu ditegaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7, 812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat. Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM 6.25 juta, yang telahpun dibayar kepada 7, 812 juta pada 1 Disember 2010," katanya.

Penerimaan RM 800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam Persekutuan.

Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

"Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam. Dan saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi," ujar Lim.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri.

Sumbangan yang diberikan ini melibatkan 20 Jabatan Negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai/kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

Sekiranya kita mengambilkira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ianya melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta. Bantuan khas ini diberikan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama/ Gred Khas.

"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua. Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini," ujar Lim lagi.

Serah Memorandum, Jika PM Gagal Jelas Jumlah Sebenar Wang Felda

Posted: 13 Dec 2010 10:15 PM PST

Satu memorandum akan dihantar kepada Majlis Diraja mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat salah tadbir Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), jika Perdana Menteri sendiri gagal menyatakan jumlah sebenar wang syarikat berkaitan kerajaan itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, Najib setakat ini hanya menyatakan aset Felda yang boleh dicairkan yang berjumlah RM4.3 bilion namun masih menyembunyikan nilai kewangan syarikat itu.

"Saya rasa ini perkara serius dan penting bagi peneroka tahu jumlah wang tunai Felda.

"Najib mesti segera nyatakan. Kalau tidak kita akan teruskan menghantar memorandum," jelas Salahuddin pada sidang media di lobi parlimen hari ini. media.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felda turut kesal dengan kenyataan Perdana Menteri melabel pihak yang menuntut penjelasan Felda bankrup sebagai pengkhianat.

Tiada ulasan: