D'Perbatasan |
- PAS Desak KDN Jelas Polis Beri Maklumat Kepada Singapura
- Pengisian 1 Malaysia Kosong- Ann Wan Seng
- Timbalan Menteri Dalang Bolot Kontrak RM2 Bilion
- Risikan Singapura Tak Masuk Akal - Kim Quek
- KENYATAAN MEDIA : Ketua AMK Pulau Pinang
- Najib Tekad Langgar Proses Demokrasi?
- Dalam Konvensyen Parti Gerakan, MCA dan MIC ada bacaan Doa tak?
- Subsidi Rakyat Untuk Rosmah
- Anak muda protes Pakatan Rakyat?
- Pihak tuntut Pulau Pinang bukan wakili Kedah
- Pernah nampak pemimpin BN atau Umno buat macam ni?
PAS Desak KDN Jelas Polis Beri Maklumat Kepada Singapura Posted: 13 Dec 2010 05:56 AM PST PAS hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri menjelaskan tindakan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia menyerahkan maklumat kepada Singapura. Turut dipersoalkan ialah apakah motif perisikan negara menyampaikan maklumat mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada perisikan asing. "Dalam pendedahan yang dibuat Wikileaks, Najib disebutkan terbabit dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perolehan kapal selam Scorpene," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "KDN perlu buat penjelasan berhubung perkara ini," tegas Mahfuz. Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengingatkan media bahawa dokumen yang didedahkan Wikileaks itu adalah dokumen perhubungan yang mengandungi maklumat yang tidak disahkan sebagai tepat. "Ini mungkin pendapat, atau perbualan sahaja. Tiada bukti yang kukuh. Sebelum ini ada pihak di negara ini dikaitkan kepada penjualan senjata, namun selepas siasatan dibuat, mereka didapati tidak bersalah," katanya. Semalam, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya. "WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai. "Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat. "Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu," katanya. Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden. |
Pengisian 1 Malaysia Kosong- Ann Wan Seng Posted: 13 Dec 2010 05:55 AM PST Gagasan 1 Malaysia yang dicanang-canangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah kosmetik semata-mata. Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Ann Wan Seng yang ditemui Tv Selangor hari ini berkata walaupun dari segi konsepnya kelihatan agak bagus tetapi dari segi pengisian sebenarnya kosong. "Umno-BN hanya berubah dari segi 'make up'(kosmetik) sahaja tetapi dari segi inti masih lagi tidak berubah. "Pertama sekali mereka banyak bermain dengan slogan umpamanya slogan 1 Malaysia yang diuar-uarkan itu sebenarnya rakyat tidak faham," katanya Ujar beliau lagi , walaupun dari segi konsepnya kelihatan agak bagus tetapi dari segi pengisian tidak ada, bila sebut 1Malaysia itu bahawa orang Cina, India Melayu menari bersama-sama, masing-masing bertukar baju, India pakai baju ceongsam, yang orang Cina pula pakai baju kurung dan sebagainya. "Ini bukan konsep 1Malaysia dan ia bermakna perubahan itu dari segi luaran sahaja bukan daripada segi dalaman. "Pembaharuan itu sebenarnya tak begitu jelas, di mana di kalangan masyarakat Cina, mereka masih tidak dapat melihat apakah bentuk perubahan yang dapat diperhatikan sepanjang Umno-BN memerintah sejak kekalahannya di beberapa buah negeri," jelas Wan Seng. Najib selepas menjadi Perdana Menteri memperkenalkan slogan 1Malaysia bagi memupuk kehormonian kaum di negara ini setelah BN memerintah lebih 50 tahun. |
Timbalan Menteri Dalang Bolot Kontrak RM2 Bilion Posted: 13 Dec 2010 05:53 AM PST Seorang Timbalan Menteri Umno-Barisan Nasional(BN) didakwa terbabit dalam membolot kontrak Kementerian Pertahanan dianggarkan bernilai RM2 bilion, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail. Berucap di Shah Alam dalam satu ceramah perdana semalam Saifuddin menjelaskan kepada hadirin bahawa kesemua syarikat berkenaan dimiliki oleh seorang pemimpin Umno dengan mengunakan alamat terletak di Bukit Gantang, Perak. "Satu saja alamat bekal makanan kepada kementerian pertahanan, dia, bekal kenderaan, dia, kemudahan perubatan , dia, pakaian, dia, bernilai 2 ribu juta ringgit, seorang, dia saja," jelas beliau. Katanya lagi, seorang timbalan menteri mendalangi keseluruhan senario ini dan kebetulannya timbalan menteri berkenaan tiada semasa beliau dan Ketua Pembangkang membentangkan isu ini di Parlimen dua minggu lalu. Semasa mencelah pembentangan Anwar berkenaan isu ini di Parlimen, beliau memberitahu bahawa seorang timbalan menteri yang mendalangi rangkaian yang bertanggungjawab membolot kekayaan. "Saya kata apakah Permatang Pauh (Anwar) sedar bahawa tokoh Umno yang membolot ratusan juta kontrak makanan, pakaian, perubatan, kenderaan untuk Kementerian Pertahanan itu, dibelakangnya juga adalah rangkaian yang membabitkan timbalan menteri yang kalau cakap saja ketuanan Melayu, bela Melayu, ketuanan Melayu. Belakang, ratusan juta kontrak kamu balun seorang," tegas beliau. Kata beliau, begitu banyak rakyat Melayu terpukau dengan isu ketuanan Melayu yang diapi-apikan oleh Umno-BN tetapi kekayaan negara juga dibolot oleh Umno-BN dan suku-sakatnya dengan menggunakan isu yang sama. |
Risikan Singapura Tak Masuk Akal - Kim Quek Posted: 13 Dec 2010 05:51 AM PST Penganalisis politik Kim Quek menyifatkan sebagai tidak masuk akal rumusan agensi risikan Singapura kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diperangkap oleh musuh politiknya untuk melakukan kesalahan seks. Memetik Malaysiakini katanya, jika betul wujud perangkap sedemikian, sudah tentu pengadu Saiful Bukhari Azlan tidak menunggu sampai lebih dua hari sebelum melakukan pemeriksaan doktor pada Jun 2008. Kim berkata jika benar Anwar diperangkap untuk melakukan sodomi, sudah tentu pihak yang memasang perangkap itu membawa Saiful melakukan pemeriksaan doktor serta merta. Tetapi Saiful hanya berjumpa doktor dua hari selepas mendakwa dia diliwat. Ini penting bagi memelihara dan merekodkan bukti-bukti jenayah itu, menurut Kim. Sebaliknya Saiful hanya melakukan pemeriksaan selepas 48 jam. Beliau mula-mula ke Hospital Pusrawi Kuala Lumpur namun doktor tidak menemui sebarang bukti menunjukkan Saiful diliwat. Laporan awal doktor Hospital Kuala Lumpur juga mendapati tidak ada tanda-tanda tusukan pada dubur Saiful. "Jika betul ada perangkap, kenapa pendakwaraya perlu naďf hak Anwar dapatkan dokumen," katanya. Quek juga berkata jika pendakwaraya ikhlas dan komited untuk mencari kebenaran dan keadilan dalam kes Anwar, kenapa ketua pembangkang itu dinafikan hak untuk mendapatkan kenyataan Saiful kepada polis, laporan perubatan dan nota-nota doktor dan rakaman video di tempat kejadian. Kim berkata selagi pihak berkenaan tidak memberi jawapan kepada persoalan-persoalan ini, rakyat Malaysia tidak harus melayan pendapat peribadi agensi risikan Singapura. |
KENYATAAN MEDIA : Ketua AMK Pulau Pinang Posted: 13 Dec 2010 05:31 AM PST Kenapa harus bertaubat jika hanya mempertikaikan "Ketuanan Melayu"? Ummi Hafilda dalam wawancaranya dengan Utusan atau Mingguan Malaysia semalam (12 Dec) telah menggesa Abangnya Azmin Ali Timbalan Presiden PKR agar bertaubat hanya kerana Abangnya itu telah menentang konsep "Ketuanan Melayu". Ketuanan Melayu itu membawa maksud Kekuasaan orang-orang Melayu ataupun Kekuasaan Raja-Raja Melayu. Ummi Hafilda seharusnya tahu dan sedar siapakah yang telah menentang dengan cara menghakis "Ketuanan Melayu" itu sebelum menyeru abangnya Azmin agar bertaubat. Pada tahun 1983 Akta Tanah telah diubah, perubahan yang dilakukan ini bagi membolehkan tanah-tanah milik orang Melayu dijual kepada bukan Melayu dan Kerajaan juga boleh mengambil alih tanah milik orang Melayu atas nama pembangunan. Pada tahun yang sama juga imuniti atau kekebalan Raja-Raja Melayu juga telah ditarik bagi membolehkan mereka didakwa di Mahkamah jika melakukan kesalahan. Kedua-dua perkara besar diatas telah dilakukan oleh seorang Pemimpin dari UMNO iaitu Tun Mahathir, beliau telah melakukan perkara tersebut seharusnya Mahathir lah yang perlu diminta bertaubat oleh Ummi Hafilda kerana Mahathir telah secara jelas menentang "Ketuanan Melayu". Ummi Hafilda juga telah berkata adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia dilingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa, tetapi tidakkah Ummi Hafilda tahu bahawa mendedahkan keaiban abangnya itu juga merupakan satu dosa? Kenapa perlu Ummi Hafilda menggunakan Media Massa untuk menyeru agar abangnya Azmin Ali bertaubat, tidak bolehkah beliau sebagai adik menemui atau meghubungi abangnya itu untuk menasihatkan dan memintanya untuk bertaubat? Untuk apa beliau mendedahkan keaiban abangnya (jika ada) dan menyeru agar beliau bertaubat melalui media tunggangan UMNO itu selain dari untuk menjatuhkan maruah dan memalukan abangnya sendiri? Tidakkah Ummi Hafilda sedar kenyataannya yang telah disiarkan oleh Media UMNO dengan tajuk besar "Taubatlah Azmin" itu bakal mengundang persepsi yang negative dari masyarakat terhadap abangnya sendiri? Kerana Taubat itu biasanya dikaitkan dengan kesalahan yang besar dalam Islam. Jikapun Azmin Ali dikatakan bersalah kerana bersekongkol dengan Anwar Ibrahim dalam menyembunyikan fakta sebenar berkaitan isu tuduhan liwat sebelum ini Mahkamah mana yang telah mengatakan Anwar telah bersalah kerana tuduhan liwat? Sebagai adik yang baik Ummi Hafilda sewajarnya menyembunyikan segala keburukan abangnya itu jika ada dari pengetahuan masyarakat bukannya mendedahkannya kepada khalayak ramai. Dalam wawancara itu juga Ummi Hafilda telah bersumpah untu kesekian kalinya yang jumlahnya mungkin hanya beliau yang tahu. Sumpahnya " Wallahi Wabillahi Wataalahi" dalam aurat yang tidak dijaga atau ditutup dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh Islam apakah hukumnya pula? Yang pastinyakemunculan semula Ummi Hafilda kali ini bolehlah diumpamakan sebagai senjata lama yang digunakan semula oleh pihak UMNO/BN dalam meneruskan seranganterhadap PKR yang Ketua Umumnya DS Anwar Ibrahim, Presidennya DS Wan Azizah dan Abangnya Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Dan sepatutnya yang harus bertaubat disini ialah Ummi Hafilda sendiri, bertaubatlah dari terus memburukkan saudara sedarah daging sendiri. Bertaubatlah juga dari terus dipergunakan oleh pihak yang kini kelihatan amat takut untuk kehilangan kuasa, Takutlah kepada Allah yang maha berkuasa bukan takut kepada pihak yang berkuasa dan malulah kepada para Malaikat yang beribadat hanya kerana Allah bukannya beribadat selama 7 hari 7 malam hanya kerana untuk muncul semula memburuk-burukkan abang kandung sendiri.. Jadilah sebagai seorang adik yang membolehkan abangnya merasa bangga mempunyai adik yang sedemikian.. Amir Ghazali Ketua AMK Pulau Pinang |
Najib Tekad Langgar Proses Demokrasi? Posted: 13 Dec 2010 01:31 AM PST Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu bahawa tidak ada kerajaan lain yang boleh mentadbir negara ini dianggap seolah-olah tekad melanggar proses demokrasi, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar. Berikutan itu juga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Najib tampil membuat pendirian berhubung kenyataannya yang seolah-olah menunjukkan Barisan Nasional tidak akan sama-sekali menyerahkan kuasa kepada gagasan politik yang dipilih rakyat selain dari BN. "Keadaan ini mengimbau senario di negara Ivory Coast, apabila pihak yang tewas enggan mengosongkan Istana Presiden, walaupun tewas dalam pilihanraya," tegasnya. Di sidang akhbar yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pendirian Najib itu adalah satu tamparan kepada rakyat Malaysia. "Adakah PM akan menidakkan pilihan rakyat? Saya cabar PM untuk menyatakan beliau sanggup menyerahkan kuasa kepada pembangkang, sekiranya BN tewas," Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata kenyataan Najib itu membayangkan BN bersedia untuk merampas kuasa sekiranya BN tumpas dalam PRU13 akan datang. "Perdana Menteri nampaknya tidak yakin BN akan membentuk kerajaan selepas PRU13. Beliau tidak memberi pihak lain peluang untuk mentadbir negara," kata Mahfuz. Sebelum ini dalam ucapan di perhimpunan agung Umno yang lalu Najib turut melaungkan mesej akan tetap mempertahankan Putrajaya biarpun terpaksa berkecai tulang. Semalam akhbar Austarlia mendedahkan ketidakyakinan pegawai atasan Singapura terhadap Najib dalam mentadbir negara berdasarkan kepada sumber wikileads. |
Dalam Konvensyen Parti Gerakan, MCA dan MIC ada bacaan Doa tak? Posted: 13 Dec 2010 01:12 AM PST Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman. Lapor portal Malaysiakini bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat. Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya. Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang. Puluhan ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat. Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini. DAP sering dituduh cauvinis kaum kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini. Konvensyen kali ini turut menyaksikan lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon yang bertanding untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah. Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik calon tunggal Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012. Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther. |
Posted: 12 Dec 2010 07:59 PM PST Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengatakan program menarik subsidi rakyat mendapat pujian daripada Korea Selatan. Sila lihat dahulu sejarah Korea Selatan. Berapa ramai orang miskin di sana berbanding kita. Sila lihat perjuangan yang mereka pegang. Hanya untuk rakyat. Benar BN hanya menarik subsidi petrol, diesel, LPG (GAS) dan gula. Tapi impaknya kepada makanan ruji yang lain. Dari sebuku roti kepada nasi lemak semuanya melibat industri petroluem. Apakah perlu kita menarik subsidi penting bagi mereka? Sedangkan rakyat bawahan sedang bergelut berjuang mati-matian untuk mendapatkan sesuap nasi. Kenapa rakyat yang harus dibebankan. Kenapa subsidi mekap Rosmah tidak ditarik. Kenapa subsidi melancong Rosmah tidak ditarik. Kenapa subsidi ubah - suai rumah Rosmah tidak ditarik. Kenapa subsidi untuk PERMATA tidak ditarik. Kenapa gaji Najib tidak dipotong. Kenapa yang menjadi keistimewaan Rosmah dan Najib dan juga para balaci (menteri) BN tidak ditarik? Mereka hidup mewah. Rumah besar - besar, kereta mewah, melancong disana - sini. Tidak pernah merasai kesusahan orang kampung di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Siapa mereka yang mengatakan ini semua tidak membebankan rakyat? Jika benar Najib dan Rosmah memegang perjuangan yang betul, sudah pasti perbelanjaan negara akan dikurangkan. Tidak dibuangkan kepada projek - projek yang membazir. Bangunan 100 tingkat, PERMATA mendapat berjuta - juta dan apa saja yang membazir. Tapi mampukah mereka berbuat sedemikian rupa? Tidak. Mereka sudah kenyang bulat dan gemuk dengan perbelanjaan boros. Kenapa saya kata begitu. Lihat sahaja video klip yang dilakonkan oleh Rosmah. Anda pasti belanjanya kurang dari seribu ringgit? Sudah pasti ratusan ribu sudah dilaburkan keatas kepala Rosmah. Ini contoh perbelanjaan yang tidak waras oleh Rosmah dan Najib. Bayangkan kalau yang lain. Semuanya digunakan melalui duit rakyat. DUIT KITA!!! Najib tahu negara tidak punya wang. Mahu disekat keinginan isterinya Rosmah tidak mampu. Caranya, tekan rakyat. Kita perah duit rakyat. Baru ekonomi mampu berkembang. Kita yang menjadi mangsa. Kita yang harus menanggung beban yang dibuat oleh BN. Apa salah kita? Kita taat mengundi BN. Tapi apakah ini hasilnya? Kita taat mengundi BN selama 50 tahun lebih, tapi apakah ini yang dibalasnya? Tepuk dada tanya selera, iman dan hati. Jika terus - menerus kita menyokong, percayalah kita akan terus dibebankan oleh BARISAN NASIONAL. - Dragsuperstar |
Anak muda protes Pakatan Rakyat? Posted: 12 Dec 2010 07:37 PM PST Demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik. Penyertaan proaktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatian saya. Tanpa kehadiran mereka, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk. Tidak gentar dengan ugutan dan gertakan, ternyata anak-anak muda ini sedia "bertempur", meredah tembakan gas pemedih mata dan basah dihujani pancutan water cannon. Idealisme mengungguli kebenaran terpasak kukuh dalam jiwa dan minda. Dan inilah warisan mahasiswa zaman berzaman yang cukup membanggakan; tradisi mencabar dan sedia turun ke gelanggang mempraktikkan ilmu yang dikutip dari bilik kuliah, interaksi meluas dan pembacaan mendalam. BUKAN SEKADAR SATU PESTA Berlarian di jalan-jalan raya dikejar FRU bukannya sekadar satu pesta yang menyeronokkan. Ia memerlukan komitmen dan kesedaran. Isu yang mahu diperjuangkan perlu dihadam dan diperhalusi. Dimensinya pelbagai dan merangkumi pelbagai aspek. Daripada tuntutan proses pilihan raya adil dan bebas, menjangkau desakan pemansuhan akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara, bantahan kenaikan harga minyak, juga tanpa melupakan problem dalam kampus seperti isu PTPTN, kemudahan asrama, akta universiti, sudut pidato, partisipasi politik. Sesekali melepaskan amarah di hadapan kedutaan Amerika Syarikat menentang sikap neo-imperialisme kuasa besar itu. Kali ini bukan sekadar menentang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada tahun 2009, diikuti 25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10 peratus (2018) dan 5 peratus (2021), yang pastinya membebankan rakyat, malah secara umumnya mahu mengembalikan hak air air kepada rakyat, selain membetulkan kesalahan dalam penswastaan industri perkhidmatan air. Desakan turut dibuat agar sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu. Amalan kronisme yang menjadi budaya politik Umno-BN juga ditentang habis-habisan. Berbanding siri perhimpunan raksasa sebelum ini, juga di lokasi sama, iaitu perkarangan Masjid Negara (juga Dataran Merdeka dan kompleks Sogo) menuju Istana Negara, pembabitan orang muda pada 5 Disember lalu jelas mendominasi suasana. Biarpun diterajui pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun anak-anak muda ini saya yakin bukannya hanya mengikut melulu. Ia didorong atas sikap tanggungjawab yang penuh makna, demi mencapai kebaikan dan manfaat umum. Mereka mendahulukan kepentingan bersama meskipun terpaksa berdepan ancaman dan penguatkuasaan Auku yang mengongkong. Lebih menarik apabila lima hari kemudiannya, pada Jumaat, 10 Disember, mereka sekali lagi berkumpul atas solidariti semangat kemahasiswaan di hadapan Masjid Putrajaya, menuju Jabatan Perdana Menteri. Medan kali ini lebih "terkepung" dan berisiko. Bagaimanapun ia bukan kali pertama mahasiswa memilih gelanggang Putrajaya. Sudah beberapa kali anak muda terpelajar ini memprotes secara lantang di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, antara lain, menuntut sistem pilihan raya kampus yang adil, telus, tidak memihak dan benar-benar bebas daripada pengaruh dan campur tangan Urusetia Hal Ehwal Pelajar. MENGANGKAT SUARA MASYARAKAT TERTINDAS Mesejnya tetap sama, mengangkat suara masyarakat tertindas untuk didengari secara lebih jelas oleh elit penguasa. Mahasiswa mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib Razak kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, yang diumumkan secara tiba-tiba. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini. Mahasiswa pasca Auku juga tidak kurang hebatnya mempamerkan daya juang yang kental, menyelongkar kezaliman, membongkar penganiayaan, membela golongan miskin dan tertindas. Perobohan kawasan setinggan tanpa belas-kasihan, seperti di Kg Berembang, Ampang beberapa tahun lalu menjadi saksi. Ia mengingatkan beberapa batu tanda sejarah kegemilangan gerakan pelajar terdahulu, misalnya peristiwa Telok Gong dan Tasek Utara. Penglibatan mahasiswa sebagai pemangkin gelombang reformasi 1998 juga tidak boleh dilupakan sehingga ada yang dipecat daripada universiti. Mereka bagai pembawa obor kesedaran, yang tiada berkepentingan. Saya tetap yakin, jika ruang dan kesempatan diberikan, golongan mahasiswa hari ini tetap akan membawa panji-panji yang sama seperti generasi 1960-an dan awal 1970-an dahulu. Namun, sesuatu yang pasti, penguasa yang korup sentiasa menganggap masyarakat terpelajar sebagai seteru yang perlu dijinakkan. Peraturan makin diperketat, lingkungan disempitkan dan ruang perdebatan dikecilkan. Pemimpin universiti pula dipilih daripada kalangan pengampu dan kaki bodek. Masing-masing berlumba dan bersaing untuk memuaskan kehendak menteri. Persoalan yang timbul, apakah minat dan kecenderungan positif mendekati gelodak rasa masyarakat ini benar-benar melebar di kalangan warga kampus, atau golongan yang sensitif dan prihatin ini tersudut dalam kelompok minoriti di menara gading? Mungkinkah sebahagian besar yang lain masih leka dengan rutin harian yang mementingkan diri sendiri semata-mata, atau langsung tidak terdorong untuk memahami pergolakan dan keresahan komuniti sekitar? MELUNTURKAN KOMITMEN Ada juga yang bimbang dengan suasana persekitaran yang turut melunturkan komitmen dan kesedaran anak muda sebagai agen perubahan, terutama selepas keluar daripada alam kampus. Memang diakui fenomena ini sentiasa berputar dalam lingkaran yang sudah diduga. Generasi yang begitu aktif dengan gerakan pelajar zaman 60-an dan 70-an pun dijangkiti wabak sama. Realiti dunia sebenar hanya menghakis daya juang yang dibekalkan di institut pengajian tinggi. Asakan kehidupan yang cukup rencam itu sering mengelirukan dan ramai idealis kampus kecundang. Jika direnung perangkaan yang menunjukkan kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008. Manakala di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina. Senarai punca dan alasan belia Melayu bersikap tidak peduli mungkin panjang, seperti himpitan Auku, budaya hedonisme dan pengaruh materialisme. Minat mereka untuk turut serta dalam agenda politik, termasuk dalam kegiatan paling minimum seperti pendaftaran sebagai pengundi, berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Saya tidak pasti apakah anak-anak muda yang kelihatan prihatin dengan persoalan politik dan bersedia untuk berdemonstrasi memperjuangkan isu-isu rakyat sudah mendaftar sebagai pengundi. Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih terbuka dan berpemikiran kritis. Ya, zaman penguasa menakrifkan segalanya buat rakyat sudah berakhir. Media "arus perdana" hilang sengat dan bisanya. Anak muda tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton YouTube dari bilik tidur atau membaca berita-analisis terbaru yang segar daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari dengan mudah dan cepat. Soalnya, mengapa dalam situasi yang begitu selesa dan secocok dengan amalan demokrasi yang matang (tanpa mengetepikan halangan dan sekatan masih berterusan, namun kita sudah ada jalan keluar), tiba-tiba kita dihadapkan dengan fenomena golongan muda (terutama orang Melayu) yang dikatakan tidak berminat dengan politik? Walhal, bagi penganalisis politik, perubahan di peringkat persekutuan hanya dapat dilakukan dalam pilihan raya akan datang jika kesedaran datang secara serentak daripada semua kaum, khususnya masyarakat Melayu. Sederap langkah diperlukan, bukannya satu kaum menolak BN sementara kaum yang lain masih mempertahankannya, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya 1999 dan 2008. TREND POLITIK MAHASISWA CINA Secara lahiriah, kelihatan generasi muda bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, seperti tidak mengambil hirau politik kepartaian. Mereka lebih prihatin dengan kegiatan ekonomi. Mahasiswa Melayu lebih berminat berpolitik khususnya dalam mengidentifikasikan diri dengan parti siasah tertentu. Justeru, di mana silapnya sehingga masyarakat Melayu dikatakan yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi? Walhal parti-parti politik Melayu lebih banyak menjalankan aktiviti - dan ia tidak bermusim sifatnya - berbanding parti-parti lain. Begitu juga dengan kegiatan di kampus, yang dikuasai mahasiswa Melayu. Atau, mungkin keadaan sebenarnya tidak seperti yang dijangkakan itu? Pelajar Cina mungkin lebih selektif beraktiviti tetapi "kesedaran politiknya" jauh lebih matang? Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat, daripada semua parti komponen, harus meneliti secara mendalam kecenderungan dan budaya politik anak-anak muda ini. Kesetiaan mereka terhadap parti tidak sepekat generasi lebih dewasa. Golongan ini lebih mudah beralih arah jika dasar atau sikap sesebuah parti (atau pemimpinnya) dilihat tidak serasi lagi dengan mereka. Jika mereka berasa dikesampingkan atau tidak diambil peduli, usaha rendahkan keupayaan mereka untuk melakukan "undi protes". Sokongan pada musim pilihan raya terdahulu sama sekali tidak mengikat mereka untuk terus mengundi parti atau calon yang sama untuk pilihan raya akan datang. Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik. Selain merumuskan deraf manifesto awal pilihan raya umum ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan. Pendedahan bahawa laman-laman sesawang atau blog pro-BN semakin popular mungkin satu petanda bahawa masyarakat kini lebih dahagakan maklumat atau perkembangan baru, meskipun ia disalurkan oleh "media lawan". Keghairahan ingin tahu itu cuba dimanfaatkan oleh strategis Umno. Ia bukanlahlah sesuatu yang patut digeruni. Pakatan tidak perlu gentar dengan maklumat walaupun ia mendedahkan kelemahan kerajaan negeri yang dikuasainya ataupun membongkar karenah dalaman parti yang cuba diselindung. Kelemahan harus segera diatasi dan ditangani. Anak muda yang diasuh dengan keterbukaan, integriti dan ketelusan tidak mahu daya intelektual mereka diperbodohkan. Zaman untuk mengangguk dan menerima tanpa bahas sudah berlalu. -Ahmad Lutfi Othman |
Pihak tuntut Pulau Pinang bukan wakili Kedah Posted: 12 Dec 2010 07:34 PM PST Cadangan yang dibuat oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), supaya Kedah menuntut hak ke atas Pulau Pinang, bukan mewakili Kerajaan, kata Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Bahkan tegas Azizan, beliau dan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui apakah motif sebenar tuntutan yang dibuat oleh PSMCK bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini. Azizan berkata demikian mengulas isu yang telah dibangkitkan oleh PSMCK baru-baru ini supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah. Dalam tuntutan yang dibuat PSMCK melalui Pengerusinya, Datuk Dr.Wan Shamsuddin Mohd Yusof, persatuan itu menuntut supaya Pulau Pinang diletakkan semula di bawah kekuasaan dan jajahan negeri Kedah berdasarkan kepada fakta sejarah yang lalu. Isu tuntutan semula itu mendapat reaksi pro dan kontra pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin politik dan juga orang perseorangan di kedua-dua negeri. Bagaimanapun Azizan mengakui kerajaan negeri pimpinannya menuntut supaya Kerajaan Pusat menaikkan nilai pajakan Pulau Pinang daripada RM10 ribu kepada RM10 juta setahun. "Tuntutan tersebut telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat sejak Pakatan Rakyat mulai menerajui kekuasaan negeri Kedah lagi. Namun begitu, sehingga kini tiada tindak balas yang diterima dari pihak Pusat mengenai perkara tersebut. "Buat masa ini Kerajaan Negeri hanya menuntut supaya kadar pajakan dinaikkan, itu sahaja," kata Azizan. |
Pernah nampak pemimpin BN atau Umno buat macam ni? Posted: 12 Dec 2010 07:26 PM PST |
You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan