Khamis, 9 Disember 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Rakyat marhain didahulukan galas beban?

Posted: 09 Dec 2010 07:01 PM PST

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." - (At-Taubah Ayat 11)

TAHNIAH Barisan Nasional kerana menang di Galas dan Batu Sapi. Namun janganlah hendaknya rakyat marhain digalaskan untuk terus menanggung beban kehidupan pada tahun baru 2011 Masihi dan 1432 Hijrah. Namun nampaknya, belum pun masuk tahun baru, harga petrol, gas dan gula pasir sudah pun naik (cakaplah naik, jangan nak berselindung dengan ungkapan 'penyelarasan harga').

Kini sesi persekolahan 2010 sudah tamat. Dalam keghairahan anak-anak menghabiskan cuti panjang, ibu bapa dan penjaga perlu berwaspada akan kewangan mereka; sudah bersediakah untuk menggalas kepayahan tahun baru?

Tahun baru bermakna banyak bayaran perlu dibereskan. Bagi mereka yang mempunyai sejumlah anak bersekolah, bersedialah kerana kos menghantar kembali anak-anak ke sekolah bukannya murah; jika seorang anak memerlukan RM200, lima orang anak sudah berjumlah RM1,000!

Penyediaan ini belum lagi membabitkan pakaian, kasut dan beg serta bayaran pengangkutan. Tidak lama dulu tambang bas sekolah dinaikkan sehingga 50 peratus, seorang anak yang tinggal lima kilometer dari sekolah, tambangnya mencecah RM40 sebulan.

Beberapa tahun lalu, ibu bapa dicanangkan bahawa pendidikan di Malaysia adalah percuma selepas Kementerian Pelajaran memansuhkan yuran persekolahan. Hakikatnya bayaran dimansuhkan adalah yuran sekolah yang tidak sampai RM10. Mengapa berkira membiayai bidang pendidikan sedangan bangunan megah Menara Warisan bernilai RM5 bilion mahu didirikan?

Bagi seorang anak yang bersekolah rendah wang RM200 mungkin tidak cukup untuk dia membereskan pelbagai yuran dan juga pembelian buku kerja dan latihan. Ini kerana selain sekolah biasa, dia juga perlu ke sekolah agama rakyat yang biasanya diadakan pada sebelah petang. Biasanya yuran dan buku tulis bagi sekolah agama ini mencecah RM100, jadi bakinya hanya RM100 untuk membereskan pelbagai yuran sekolah biasa. Cukupkah jumlah itu?

Bagi anak-anak yang tinggal di sekolah berasrama penuh, yuran dan pelbagai bayaran lain boleh mencecah sehingga RM1,000 seorang anak. Apa tidaknya, yuran makan yang dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 sehari tidak lama dulu, sudah membabitkan bayaran sebanyak RM600.00 setahun (200 hari persekolahan dharab dengan RM3). Dicampurkan dengan yuran asrama, PIBG dan sebagainya, wang RM1,000 itu pun dibimbangi tidak mencukupi. Bagi yang tidak cukup duit, bolehlah mereka membayar yuran asrama dan makanan untuk tempoh enam bulan atau kurang daripada itu.

Cuba bayangkan beban sebuah keluarga jika mereka mempunyai tiga orang anak bersekolah rendah dan dua orang di sekolah menengah berasrama penuh. Kos yuran persekolahan mereka saja sudah mencecah RM2,600! Bagaimana pula kos pakaian dan peralatan sekolah, tambang dan duit poket? Nampaknya terpaksalah ibu bapa mengikat perut, berpinar-pinar biji mata memikirkan duit yang perlu disediakan.

Bagi kakitangan kerajaan, mereka boleh berasa lega sikit kerana mendapat bonus akhir tahun RM500 bagi menampung serba sedikit keperluan anak-anak, tetapi bagaimana pekerja swasta seperti buruh kilang? Pesawah, penoreh getah dan peneroka terutama di kawasan di landa banjir seperti di Kedah dan Perlis tentunya akan menghadapi masalah rumit apabila tahun baru bermula. Hasil sawah tidak menjadi, jadi bagaimana mereka mahu memenuhi kehendak anak-anak yang mendayu-dayu meminta dibelikan peralatan dan kelengkapan persekolahan.

Ketika berlangsung kempen pilihan raya kecil Galas, tanpa disedari sebahagian besar rakyat, harga petrol RON-97 dinaikkan 5 sen seliter dan bagi menenangkan rakyat dan memujuk pengundi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan memberi jaminan harga minyak RON-95 yang digunakan sebahagian besar rakyat marhain, tidak akan dinaikkan tahun ini. (NAMUN HAKIKATNYA puak ini membohongi rakyat, belum pun masuk tahun baru, HARGA MINYAK RON-95 sudah dinaikkan. Apakah erti cakap tapi tak serupa bikin, bukankah ini ciri-ciri ORANG MUNAFIK?)

Apakah ini bermakna bermula saja tahun baru maka harga minyak ini akan dinaikkan? Jika hal ini berlaku akan bertambah susahlah kehidupan rakyat pada tahun baru termasuklah mereka yang hanya mampu berkenderaan buruk.

Sebelum ini pun, pemilik kereta lama yang kebanyakannya rakyat marhain terpaksa menanggung beban berganda apabila insurans kenderaan mereka dinaikkan berlipat kali ganda. Syarikat insurans mendakwa mereka terpaksa menanggung risiko tinggi oleh itu bayaran polisinya terpaksa digandakan dan malang bagi rakyat, kerajaan akur kepada kehendak sekali gus mengetepikan nasib golongan kurang berupaya. Dianggarkan ada lima juta kenderaan lama yang melebihi usia 10 tahun di negara ini.

Tidak lama dulu, kerajaan menguar-uarkan bahawa semua kenderaan persendirian berusia 15 tahun atau lebih diwajibkan menjalani pemeriksaan komprehensif tahunan ekoran kajian Dasar Automatif Nasional (DAN) yang mensyaratkan kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Sdn Bhd sebelum pemilik boleh memperbaharui cukai jalan.

Jika kerajaan mendakwa langkah ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya, rakyat marhain melihatnya sebagai satu lagi pendekatan untuk memeras golongan kurang mampu.

Apabila langkah pemeriksaan oleh Puspakom ini dikuatkuasakan, rakyat perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi menyediakan kenderaan pada peringkat 'tip top' seterusnya membuat pembayaran kepada pihak berkenaan.

Pemeriksaan secara tahunan ini akan menyusahkan golongan yang tinggal di pedalaman kerana mereka terpaksa membawa kenderaan mereka ke bandar-bandar besar untuk diuji sedangkan ada antara mereka hanya menggunakan kenderaan itu untuk ke kebun dan ladang bagi mengangkut hasil pertanian.

Biasanya apabila tahun baru menjelma, akan berlaku pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sudah pasti mencengkam rakyat marhain. Harga barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak, ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran dibimbangi akan naik, sekali gus membebankan golongan berpendapatan rendah.

Rakyat marhain juga khuatir jika bayaran perkhidmatan seperti tarif elektrik, air dan aneka jenis cukai akan naik yang memerlukan mereka berbelanja lebih sedangkan pendapatan mereka tidak berubah sekalipun tahun sudah bertukar.

Kini mereka semakin cemas apabila ada ura-ura untuk menswastakan perkhidmatan kesihatan manakala mereka yang dikira mampu sedikit dinasihatkan pula mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta yang kosnya berlipat kali ganda daripada hospital kerajaan.

Apabila ini berlaku, adakah rakyat didahulukan untuk menikmati kemakmuran negara atau mereka didahulukan untuk menggalas beban di sebuah negara yang dicanangkan oleh perdana menteri sebagai negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi tidak lama lagi, malah ada negeri ligat menghebohkan negeri mereka sudah maju. Apakah ertinya negeri atau negara maju sedangkan rakyat marhain tetap sengsara?


Dari Lanh Sr

Chegubard Jangan Kalut Tolong Sabaq Sat!

Posted: 09 Dec 2010 06:45 PM PST

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin — bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak tergopoh-gopoh.

Sehubungan itu, Saifuddin meminta Badrul Hisham (gambar), yang kelmarin menegaskan tidak mengiktiraf keputusan pemilihan yang baru lalu, supaya bersabar menanti penemuan ke atas aduan-aduan aduan yang dibuat berhubung pemilihan pucuk kepimpinan pusat.

Tambah Saifuddin, JPP masih menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan.

Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

"Aduan sekarang di atas meja JPP, jadi kita serah kepada JPP untuk menyiasat setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan berlangsung.

"Semua aduan yang dikemukakan masih belum selesai, JPP masih menyiasat setiap aduan.

"JPP tahu tanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan itu, kita biarkan proses siasatan ini berjalan," kata Saifuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau juga mahu semua pihak memberikan ruang kepada JPP untuk menyiasat dengan teliti setiap aduan yang dikemukakan.

"Lagipun kita baru habis kongres, sudah tentu siasatan terhadap aduan ini masih lagi berjalan. Jadi saya harap kita beri masa kepada JPP untuk menyiasatnya.

"Bukan semua aduan akan selesai cepat, ada aduan yang kita kena panggil pengadu jadi kena sabarlah.

"Kita juga perlu hormati proses siasatan ini, kepada mereka yang kemukakan aduan kita harap bersabar. Serah kepada JPP untuk siasat," katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan Badrul Hisham atau lebih dikenali "Chegubard" akan menjejaskan PKR, Saifuddin (gambar bawah) bagaimanapun berkata, tumpuan sekarang adalah pilihan raya umum ke-13.

"Kita serahkan kepada JPP untuk siasat, isu kita sekarang adalah menghadapi pilihan raya umum.

"Fokus kita adalah memperkuatkan parti dan juga Pakatan Rakyat," katanya.

Kelmarin, Badrul Hisham berkata, beliau tidak mengiktiraf keputusan pertandingan jawatan Angkatan Muda Keadilan yang diumumkan 26 November lalu.

Malah, Ketua PKR Rembau ini juga berkata, beliau tidak akan menerima apa jua jawatan selagi segala aduan mengenai kecacatan dan kepincangan pemilihan dijawab dengan rasmi oleh jawatankuasa pemilihan.

"Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan PKR 2010.

"Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan," katanya.

"Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

"Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respons bertulis setakat ini," katanya.

Dalam kenyataan pertama selepas Kongres Nasional PKR Ketujuh baru-baru ini, Badrul Hisham berkata, beliau tidak kecewa kerana tewas pemilihan yang julung kali menggunakan sistem secara langsung.

"Kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam (Angkatan Muda Keadilan) AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia," katanya.

Badrul Hisham tewas dalam persaingan satu lawan satu di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempertahankan jawatannya dengan majoriti lebih 1,000 undi.

p/s: sabaq chegubard... bersatu dan kukuhkan perti demi rakyat!!!

Ahli Umno Dapat Projek RM2 Bilion Dari KEMENTAH

Posted: 09 Dec 2010 06:33 PM PST

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memberikan projek-projek lumayan Kementerian Pertahanan berjumlah lebih RM2 bilion kepada seorang dua individu.

Beliau berkata tindakan itu membuktikan Umno hanya menggunakan slogan Ketuanan Melayu untuk memperkayakan kroni.

Anwar berkata sejak tahun 2008, seorang individu bernama Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal percayai dari Umno Bukit Gantang Perak telah diberikan pelbagai tender berjumlah RM2 bilion.

"Ada tender yang dikeluarkan, tender terhad sejak 2008 yang diberikan kepada dua orang. Sebanyak 16 syarikat bumiputera dipelawa tetapi kebanyakan syarikat itu, seperti dokumen yang terdapat di tangan saya. 'Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebenarnya dipunyai oleh satu orang.

"Jadi ada seolah satu pakatan di peringkat tertinggi kementerian pertahanan dengan satu dua orang tokoh Umno atas nama Melayu. Jadi Melayu ini, ketuanan Melayu ini hanya menguntungkan dua tiga orang dan lain itu pasukan sorak menyokong mereka.

"Saya bagi contoh berdasarkan bukti mengapa kementerian sering mengelak mengadakan tender terbuka. Mengapa 16 syarikat ini sahaja dipelawa sedangkan banyak lagi syarikat bumiputera yang cukup kelayakan memenuhi kriteria yang harus diajak untuk bersama," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Datuk Seri Anwar menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan untuk membuktikan bahawa tender-tender Kementerian Pertahanan diberikan kepada kroni Umno itu berkenaan dengan sewenang-sewenang-wenangnya.

"Ada syarikat, Gahmata Sajian Sdn Bhd penswastaan perkhidmatan katering Angkatan Tentera Malaysia bagi kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan nilai RM 800 juta dipunyai oleh seorang bernama Syed Abu Hussin tanpa tender runding terus dari Mindeft.

"Kemudian diberi satu lagi syarikat. Nama lain. Namanya Komatra Sajian Sdn Bhd, penswastaan perkhidmatan katering Angkatan Tentera bagi zon Utara dan Timur Semenanjung. Nilai RM 600 Juta.

"GPB COrporation Sdn Bhd kontrak 1 Jan 2009 nilai RM 300 juta ringgit. Tuan Punya, dan alamat daftar pun sama No 10 level 2 Damai Kompleks Tuan Punya, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, tiada Melayu lain," katanya.

Datuk Seri anwar kesal kerana pemberian kontrak-kontrak lumayan kepada kroni Umno dari Perak bukan sahaja membelakangkan kepentingan Kementerian Pertahanan sendiri tetapi meminggirkan keutamaan untuk membantu bumiputera umumnya.

"Apa hubungan Melayu ini dapat sampai RM2 bilion.

"Apakah ini bukan satu kompromi terhadap mutu dan kepentingan Kementerian Pertahanan? Apakah ia satu usaha mengetepikan kepentingan ramai pasukan tentera? Apakah ini tanda, kita betul-betul patriotik kepada negara dengan memunggah kekayaan, memperkaya satu, dua orang melalui perbelanjaan ketenteraan," terangnya.

Sebelum ini pada Mac tahun lalu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam satu kenyataan akhbar mendedahkan penyelewengan dalam Kementerian Pertahanan mengenai proses perolehan dan mempunyai unsur kronisme bagi pemimpin negara.

Orang yang bernama Syed Abu Hussin Bin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak asing lagi bagi kakitangan dan kontraktor-kontraktor Kementerian Pertahanan. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan ahli Umno (No ahli: 00924477) dari Bahagian Bukit Gantang, Perak.

Beliau mempunyai lebih 30 syarikat di mana beliau merupakan ahli lembaga pengarah ataupun pemegang syer. Melalui syarikat-syarikat ini, beliau berjaya menguasai hampir 90 peratus projek-projek pembekalan bagi Kementerian Pertahanan yang mencecah ratusan juta ringgit.

Kerajaan Malaysia Terhutang Budi Dengan Apco

Posted: 09 Dec 2010 05:41 AM PST

Rasa terhutang budi kerajaan Malaysia terhadap perunding rejim Zionis, Apco Worldwide mengakibatkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen gigih untuk menghukum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus menjadi tembok penghalang Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang ditemubual Tv Selangor di lobi parlimen berkata agenda merapatkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat telah tersasar dari objektif sehingga mengakibatkan negara dicengkam Israel tanpa disedari.

"Tetapi sudah sampai kepada peringkat kerajaan begitu jauh sehingga pemimpin termasuk isteri Perdana Menteri telah terikat dengan Apco," jelas beliau.

Pemilik laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin hari ini mendedahkan dokumen-dokumen Apco yang berkisarkan tindakan terdesak kerajaan Malaysia memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat selain mendedahkan syarikat itu membiayai program isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi sehingga bulan September tahun ini.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata kesan langsung daripada usaha itu mengakibatkan Malaysia diheret supaya akur dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel sekaligus memaparkan imej buruk kepada negara-negara Islam yang membenci rejim itu.

Justeru beliau menyifatkan Malaysia telahpun tunduk kepada Apco apabila mengambil keputusan tergesa-gesa untuk menghukum Anwar tanpa memberi peluang Ketua Umum itu membela diri.

"Tindakan terhadap Datuk Seri Anwar adalah tindakan mempertahankan Apco," tegas beliau.

Selain itu Mahfuz (gambar kanan) khuatir sekiranya Malaysia begitu tunduk kepada perunding antarabangsa itu mungkin mereka akan bertindak mendedahkan rahsia negara termasuk pemimpin-pemimpin tanahair.

Beliau mengambil contoh kejadian yang berlaku dalam pendedahan laman web kontroversi 'Wikileaks' yang mengaibkan nama baik Malaysia dengan mengaitkan dua syarikat tanah air dalam skandal kewangan dunia.

Ditanya adakah tindakan kerajaan terhadap Datuk seri Anwar adalah untuk menutup mulut beliau, Mahfuz setuju.

"Ya. Ini sudah tentu usaha untuk menutup kejahatan yang dilakukan pemimpin-pemimpin Umno," ujarnya.

M'sia kembali ke era Tun Dr Mahathir

Posted: 09 Dec 2010 12:35 AM PST

Penilaian Hak Sivil dan Politik 2010 daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menunjukkan trend yang membimbangkan seolah negara kembali ke era mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa era Mahathir pengawalan dan penindasan kerajaan ke atas segala aspek kebebasan bersuara berlaku secara berleluasa.

Sekretariat Suaram, Hasbeemasputra Abu Bakar menganggap tindakan dan kekerasan kerajaan khususnya dalam pengendalian kes terhadap pihak pembangkang menunjukkan seolah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak cuba mengulangi zaman kuku besi negara satu masa dahulu.

Hal ini dilihat dengan penarikan lesen lidah rasmi PKR, Suara Keadilan, tekanan terhadap akhbar PAS, Harakah dan pelbagai lagi ancaman serta penindasan terhadap saluran media alternatif.

"Kejadian yang berlaku tahun ini seperti pengharaman buku, kurangnya ruang untuk bersuara, kurangnya peluang memberi pendapat alternatif memberi indikasi apa yang bakal terjadi. Amat sukar untuk seseorang itu terutamanya anak muda memberi pandangan yang berbeza dengan kerajaan. Kita boleh kembali ke era Mahathir yang cuba mengawal masyarakat sepenuhnya," katanya.

Laporan itu antara lain menerangkan status dan tindakan kerajaan dalam mengimplementasi dan menegakkan hak asasi manusia dan hak kebebasan negara seperti yang dimaktub dalam Deklerasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang turut ditandatangani Malaysia.

Turut disentuh mengenai ketidakadilan penahanan mereka yang menyertai perhimpunan aman serta tindakan polis yang bertindak ganas dalam penyuraian.

Hal itu berlaku pada perhimpunan aman Hari Buruh Mei lalu, Vigil lilin sempena Ulang tahun ke 60 Akta Keselamatan Dalam Negeri Ogos lalu serta terbaru demonstrasi kenaikan tarif air SYABAS di ibu negara minggu lalu yang membawa pada penangkapan hampir 60 individu.

Seorang lagi Sekreatariat Suaram, Kua Kia Soong menambah betapa di Era Tun Ahmad Abdullah Badawi, Kerajaan Pusat dilihat cuba mengambil pendekatan lebih 'lembut' dan melakukan beberapa cadangan perubahan tetapi masih gagal diimplementasi seperti Suruhanjaya Bebas bagi memantau tindakan pihak polis (IPCMC).

Suaram juga menyatakan kekecewaan apabila cadangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi penambahbaikan hak asasi manusia di negara ini tidak pernah diambil peduli oleh pihak Kerajaan.

Kua juga mengumumkan kempen baru akan dibuat bagi memberi kesedaran terhadap masyarakat mengenai Ordinan Darurat (EO) dan AKta Dadah Merbahaya (DDA) yang digunakan polis untuk menahan individu tanpa perlu mendapat perintah mahkamah.

Dalam laporan 30 muka ini, Suaram menyatakan individu masih ditahan di bawah ISA, dan sehingga Februari 2010, 819 ditahan di bawah EO dan 412 di bawah DDA.

"Ramai orang dah tahu mengenai ISA tapi hanya sedikit yang tahu mengenai EO dan DDA kerana ia tidak ekslusif (seperti ISA). Polis menggunakan EO dan DDA terhadap orang yang mereka tak suka, sebab itu lebih seribu ditahan dibawahnya."

Dalam perkembangan berkaitan Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan bersetuju dengan laporan yang dikeluarkan ini dan akan membantu memperjuangkan hak kebebasan rakyat negara ini.

"Samalah dengan kes-kes dan isunya. ISA belum dipinda, perkara-perkara yang seperti halangan pergerakan awam tidak boleh dibiar. Isu berkaitan Akta Hasutan juga, jadi kami setuju.

"Mana-mana undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan juga akan ditentang," ujarnya kepada Tv Selangor.

Anwar jamin stabilkan PKR

Posted: 09 Dec 2010 12:32 AM PST

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menjadikan usaha untuk menstabilkan partinya sebagai keutamaan beliau sekarang ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada rakan twitter beliau Zaim90 yang membuat cadangan agar beliau memberikan tumpuan untuk menstabilkan PKR selepas berpendapat PAS dan DAP dalam keadaan stabil sekarang.

"Ya, ia menjadi keutamaan kami," kata Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh dalam twitternya.

"Saya tidak menyokong Umno-BN. Kita perlu perubahan. PAS, DAP dalam keadaan stabil, tetapi PKR tidak. Anda perlu perkasakan PKR secepat mungkin," tulis Zaim90 dalam twitternya kepada Anwar.

Pengakuan Anwar ini memberikan harapan kepada semua pihak untuk melihat parti-parti dalam Pakatan Rakyat bersiap sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan awal tahun depan.

PKR dilihat sedikit bermasalah apabila melalui proses pemilihan kepimpinan baru-baru ini. Ini kerana, sistem pemilihan terus yang dilaksanakan PKR itu adalah satu sistem yang baru dan terdedahkan kepada banyak kelemahan.

Aklibatnya, PKR kehilangan salah seorang pemimpin kanannya, Datuk Zaid Ibrahim apabila beliau keluar meninggalkan PKR kerana tidak berpuashati dengan sistem pemilihan terus itu.

Selain Zaid, PKR juga berhadapan dengan kritikan dari ahlinya yang lain. Terbaru, calon Ketua Angkatan Muda, Badrul Hisham Shahrin enggan menerima sebarang jawatan dalam PKR ekoran kekalahannya merebut jawatan itu.

"Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.

"Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataannya.

Kabinet Setuju TNB Naikkan Tarif Elektrik Tapi Bimbang PRU Ke-13 Tahun Depan

Posted: 08 Dec 2010 11:58 PM PST

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebarang kenaikan kadar tarif elektrik akan mengambil kira kos dan beban yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Perdana Menteri berkata walaupun secara prinsipnya kerajaan bersetuju supaya kadar tarif elektrik itu disemak, ia tidak semestinya dibuat dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji daripada pelbagai sudut sebelum kabinet membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

"Tidak boleh...kerajaan (apabila) kita kata (secara) prinsip (kaji tarif elektrik), kita akan kuatkuasa serta-merta...tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani ikrar memerangi rasuah oleh masyarakat peniaga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini berkata bahawa semakan tarif kadar elektrik ditangguhkan pada masa ini. Bagaimanapun kerajaan akan mengkaji semula kadar itu apabila keadaan lebih kondusif.

Peter Chin berkata kerajaan, pada prinsipnya, bersetuju bahawa semakan tarif adalah perlu kerana kosnya telah meningkat dan harga bahan api telah meningkat.



-- BERNAMA

Nurul Izzah Pertahankan Surau Kg Kerinchi Dari Di Roboh DBKL

Posted: 08 Dec 2010 11:36 PM PST

Surau Madrasatul Falah di Kampung Kerinchi hari ini mendapat nafas lega apabila diberi jaminan mulut dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) untuk penangguhan perobohannya.

Malah Lebih 50 kariah dan pelajar Universiti berdekatan bermalam di surau itu malam semalam gara-gara bimbang surau ini diroboh oleh Dewan Bandaraya DBKL untuk tujuan pembangunan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut hadir pagi ini untuk menyatakan sokongan untuk mengekalkan surau ini kerana tidak mahu ia dirobohkan.

Campur tangan Nurul Izzah (gambar)dalam hal ini dilihat bukan berpaksi politik sebaliknya mempertahankan hak penduduk di situ.

"Saya akan berhubung dengan pihak kementerian dan DBKL. Saya pada awalnya meminta pihak surau agar berhubung sendiri dengan mereka supaya tidak nampak campur tangan politik tapi tak diendahkan," beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di surau itu pagi ini.

DBKL mengeluarkan notis pada 10 November lalu bagi jemaah mengosongkan surau itu.

Surau itu dibina pada tahun 1998 oleh DBKL sendiri.

Menurut Pengerusi Masjid itu, Jasmi Abdullah surau itu dijaga kariah dan diimarahkan jemaahnya dengan kelas agama dan majlis ibadat.

Beliau juga hairan mengapa DBKL yang mengeluarkan peruntukan mencantikkan surau ini dua bulan lalu, tiba-tiba mahu merobohkannya tanpa sebab yang musabab.

"Sebab surau ni DBKL. Kita jagalah sebab dia besar. Memang ada orang belajar-belajar kitab jadi kita memang nak kekalkan macam ni lah," kata Jasmi.

Sementara itu, golongan mahasiswa turut bersama membantu mempertahankan surau ini dari diroboh.

Malah mereka juga terlibat dalam memeriahkan dan menghidupkan surau ini dengan aktiviti kerohanian.

Kedudukannya yang dekat dengan rumah pelajar Universiti Malaya dan saiznya yang besar turut menjadikan ia selesa digunakan penduduk dari Bukit Angkasa, Kampung Kerinchi dan Bukit Kerinchi.

Setiausaha Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK), Mohd Taufik Yaakob menegaskan bahawa rumah ibadat patut dipertahankan demi keharmonian tidak kira atas agama sekalipun.

"Kalau satu surau dirobohkan tak mustahil banyak lagi surau yang akan diroboh. Kami menentang kerosakan ke atas rumah ibadat hatta kalau rumah ibadat agama lain pun kita tetap akan menghalang kerana menjejaskan keharmonian antara kaum," katanya kepada Tv Selangor.

Taufik bersama lebih 30 pelajar dari Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SAMM) bergabung bersama KMK bermalam di surau ini.

Bagaimanapun sehingga jam 11, tiada anggota DBKL kelihatan tetapi kira-kira 15 anggota polis seakan menunggu di hadapan jalan masuk ke surau tapi tidak melakukan apa-apa.

Tiada ulasan: