Isnin, 13 Disember 2010

.

.


Susupan Petang

Posted: 12 Dec 2010 11:36 PM PST

Pembohongan Bulan Disember!

MALAM tadi gara-gara 'kegelian' sebuah blog yang menyiarkan spekulasi tidak berasas kononnya seorang individu yang dekat dengan pemimpin Pas akan didakwa di mahkamah esok kerana rasuah. Lapor blog berkenaan kononnya individu itu telah dipanggil oleh SPRM. SPRM juga telah menyerahkan surat meminta individu berkenaan hadir diri ke pejabatnya.

Saya menafikan dan menjelaskan kepada tokoh politik berkenaan dengan mengatakan saya tidak tahu. Yang pastinya blog saya belum mendapat maklumat itu. Lagipun saya tidak berapa minat untuk membuat spekulasi apa yang saya tidak tahu. Berdosa!

Kalau sekadar hendak menulis ikut sedap tangan banyak cerita yang boleh dikarai dan dikarang, sampai 10 muka surat dan penuh skrin komputer pun boleh. Inilah permainan blog akhir-akhir ini suka mengarai cerita dan membuat orang tidak lena tidur. Sedikit sebanyak lama kelamaan orang tidak percayai apa yang ditulis oleh blog.

Kepada ahli politik berkenaan saya hanya berkata; tunggu hari esok mungkin ada!

Hari ini adalah hari esok. Tidak ada mana-mana individu yang rapat dengan tokoh politik yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Baik individu itu rapat dengan Umno, Pas, PKR atau DAP, tidak ada. Yang rapat dengan individu dalam parti Zaib Ibrahim lagi tidak ada, kerana parti itu pun belum diumumkan lagi. Khabarnya Zaid baru mengumumkan partinya 19 Disember ini.

Entah dari mana blog berkenaan dapat sumber dan maklumat itu, walahuaalam. Mungkin tuan punya bermimpi atau mengingau dari tidur dan terus tulis blog. Saya rasa dia hanya mempunyai ilham saja untuk menulis berita demikian. Bagaimana pun disebabkan ramai orang di negara ini jahil undang-undang dan buta mengenai prosuder SPRM ramai yang tidak boleh tidur dan mempercayai apa yang dilaporkan itu.

Cara blog itu laporkan juga menjatuhkan imej SPRM seolah-olah suruhanjaya itu begitu murah sekali memberi maklumat kepada bloger.

Sebenarnya pada saat dan waktu seperti mana dilaporkan blog berkenaan, kononnya pegawai SPRM mengelidah rumah individu berkenaan, menurut jirannya, tuan rumah sedang tidur lena. Tidak terdengar pula olehnya yang individu berkenaaan memaki hamun pegawai SPRM.

"Tidak berlaku apa-apa di malam buta itu. Mungkin mereka (individu itu) sedang berdakap di dini hari malam minggu. Tidak ada apa-apa kejadian di rumah mereka atau jauh di luar rumah mereka.Saya tidak dengar apa-apa," kata jiran individu berkenaan yang menghubungi saya sekejap tadi.

Tambah beliau lagi apa yang dia tahu individu berkenaan hari ada ke hospital untuk melihat tokoh Pas yang sedang berihat di situ.

Jadi kepada mereka teruja dengan laporan blog berkenaan kena tipu secara hidup-hidup. Tidak fasal-fasal terpaksa mengeluarkan prepaid ataupun menambahkan bil telefon menghubngi sumber untuk mendapat pengesahan. Makanya lain kali kalau hendak percaya, periksa dulu wibawa blog berkenaan apakah ianya blog waras ataupun blog yang dipunyai oleh orang yang sakit kepala.

Lucunya bukan saja orang kampung turut terikut tetapi media arus perdana yang menjadi penjilat buntut parti pemerintah juga turut sama tertipu dengan auta blog berkenaan. [ttdi kl. 3:50 pm 13/12/10]

Menjelang Tengah Malam

Posted: 12 Dec 2010 07:46 AM PST

Bila Alwi Mendoakan Nik Aziz

SEKEJAP tadi seorang rakan bloger memberi tahu yang Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Alwi Che Ahmad menyindir Nik Aziz Nik Mat supaya terus menjadi MB Kelantan sehingga mati. Bloger berkenaan nampaknya kurang senang dengan kenyataan sinis Alwi itu. Saya sungguh tidak tahu di mana kenyataan Alwi itu keluar. Selepas beliau bagi tahu ianya ada dalam Mingguan Malaysia hari baru saya membacanya.

Saya tidak merasa apa-apa dengan kenyataan Alwi itu. Apa yang beliau katakan itu benar. Soal MB itu uzur tidak menjadi masalah, yang penting dia berkemampuan menjadi MB. Di sini saya rasa Alwi ikhlas mengeluarkan kata-kata demikian. Cuma akhbar itu saja yang selamanya membenci Nik Aziz mentafsirkan Alwi sebagai sinis.

Siapa tahu ada perubahan berlaku dari dalam diri Alwi. Baru ini beliau ke Makkah. Nik Aziz juga berada di Makkah. Siapa tahu mereka berjumpa di Multazam ataupun sama-sama sai dari Safar ke Maruah. Siapa tahu Alwi mengunjungi Tok guru di penginapan atau sebaliknya. Apakah kerana pertemuan itu telah menimbulkan kesinsafan kepada keduanya.

Alwi dilahirkan di tanah suci Makkah. Tidak mungkin sebagai orang yang tali pusatnya luruh di tanah suci sanggup memperli atau mengejek orang lebih tua. Bapa Alwi, Haji Che Amat seorang tok guru. Sebagai anak tok guru Alwi tentu tahu adat dan tamakninah. Tahu menjaga mulut dan tidak menggalakkan permusuhan dan merindui perdamaian.

Mungkin selepas berlaku pertemuan antara Alwi dengan Tok Guru itu menyebabkan terbuka pintu fuadnya untuk mendoakan supaya Tok Guru sihat dan terus menjadi MB. Ataupun Alwi memang sedar bahawa sukar untuk Umno Kelantan hendak rampas Kelantan selagi Umno dipimpin oleh Mustapa Mohamed dan Awang Adek Hussein. Jadi daripada Umno terus kalah ditangan mereka berdua lebih baik mendoakan Nik aziz sihat dan terus memimpin Kelantan.

Wujud perbezaan dalam Umno apabila Alwi menjadi ketua pembangkang berbanding dengan Annuar Musa jadi ketua pembangkang dulu. Tidak kedengaran Nik Aziz kecewa dan marahkan Alwi seperti mana Nik Aziz pernah kecewa dan menghalang Annuar dari mencelah ketika beliau berucap.

Apapun saya akan cuba mendapatkan penjelasan Alwi kenapa dan untuk apa tiba-tiba beliau mengharapkan Nik Aziz teru sjadi MB Kelantan. Sesungghnya dari maklumat yang saya ketahui ada perubahan dari dalam Alwi sejak akhir-akhir ini. Mujurlah... Ataupun perubahan itu disebabkan tersebarnya desas desus kononnya Alwi akan dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia! [wm.kl.11:50 pm 12/12/10]

Susupan Malam

Posted: 12 Dec 2010 03:54 AM PST

Bolehkah Dipercayai Pendedahan Wikileaks?

PENDEDAHAN laman bebas Wikileaks mengenai isu politik Malaysia khasnya pembabitan bakal Perdana Menteri ke 7, Anwar Ibrahim dalam isu liwat jangan mudah ghairah untuk mempercayainya. Pendedahan laman itu yang memetik pegawai atas kerajaan Singapura mempercayai apa yang belaku ke atas Anwar (liwat) boleh jadi satu perangkap kepada politik negara ini sendiri.

Tidak mustahil juga pendedahan itu satu konpirasi melibatkan pembayaran wang beratus juta ringgit. Ingat, manusia sanggup melakukan apa saja bila sudah terdesak dan demi mempertahankan kekuasaan.

Mungkin pihak UBN merasa senang dengan pendedahan laman berkenaan. Blog blog tajaan UBN akan memperdagangkan hal itu segila-gilanya. Mereka boleh menguatkan lagi hujah untuk memburukkan Anwar yang kini dijalankan dengan pelbagai cara. Media UBN telah memungguh semua sampah sarap dan pemuda sepak kertas untuk menimbus dan membusukkan Anwar.

Kalaulah semut ataupun burung dapat bercakap memburukkan Anwar, pasti media masa akan menyedut dan menggunapakai cakap hawainan itu. Semua manusia telah digunakan media pro UBN untuk memburukkan Anwar. Namun hasilnya nampak masih belum sampai kemuncak.

Mungkin ada rancangan media Malaysia untuk menterjemahkan kicauan burung ataupun kokok ayam, atau katak bagi mengukuhkan tuduhan ke atas Anwar. Tidak mustahil akan keluar dalam akhbar atau tv, ayam atau burung atau katak akan dipetik kenyataannya yang memburukkan Anwar.

Kenapa saya melarang agar jangan ghairah dengan pendedahan Wikileaks itu? Apakah Wikileaks selamanya akan memburukkan peribadi Anwar? Belum tentu! Iya sebuah laman bebas yang menyaring 250,000 kebel diplomatik Amerika Syarikat. Gambaran diberikan bahawa laman berkenaan profesional dan mengetahui segalanya. Dan kenapa pula kita mudah akur dan tunduk kepada badan-badan bebas yang bersikap propagandis seperti Wikileaks itu?

Ingat juga pada mulanya ia dijalankan secara percuma. Tetapi bila ia sudah menjadi perhatian dunia, laman itu akan berharga berbillion ringgit. Sesiapa yang ingin mendedahkan sesuatu untuk kepentingan politik dan peribadi akan sedia membayar laman berkenaan. Dalam politik hari ini hanya mereka mempunyai wang saja mampu berada di atas dan memegang kuasa.

Pada saya kemunculan Wikileaks adalah strategi musuh Islam. Ia bukan saja musuh negara ini tetapi Islam seluruhnya. Kalau dari sisi lain dengan pendedahan laman bebas itu ia memberi gambaran Amerika itu sendiri mengetahui luar dan dalam sesebuah negara dan juga individu di mana-mana saja. Dalam erti kata lain Wikileaks dan Amerika terus menjalani propaganda dan perang saraf mereka bagi melemahkan negara dan kuasa lain. Mereka nampak bergaduh tetapi hakikatnya mereka bersekongkol untuk mengugut dunia.

Bagi mereka yang ghairah menerima pendedahan laman berkenaan harus berhati-hati dan waspada. Jangan ghairah sangat. Saya bimbang ia akan terbalik kod (istidraj) nanti. Apa kata kalau selepas ini Wikileaks atau laman-laman blog dunia yang lain mendedahakan pula apa yang berlaku ke atas isu-isu lain termasuk pembunuhan wanita Mongolia yang dibunuh kejam di hutan simpan di negara ini dua tahun lepas itu? Apakah kita boleh menolaknya begitu saja?

Dengan mempercayai Amerika mengetahui setiap apa yang berlaku dalam seluar kita, termasuk juga dalam seluar dalam isteri kita, kita percaya kes pembunuh Altantuya juga berada dalam kabel diplomatiknya. Bila-bila masa ia akan terbongkar. Apakah selepas Wikileaks mendedahkan jenayah itu nanti kita akan mempercayainya? Amerika hanya menanti masa saja untuk mendedah apa-apa rahsia kita kalau kita tidak sedia mengikut telunjuknya.

Kalau misalnya dalam pendedahan itu (pembubunah Altantuya) ia membabitkan pemimpin negara yang berkuasa sekarang ini, apakah kita akan mempercayainya. Atau kita akan menganggap pendedahan itu satu fitnah pula? Hendaknya jangan ada sikap double standard dalam menerima pendedahan Wikileaks ataupun maklumat yang dimiliki oleh Amerika ini.

Kalau hari ini kita percaya maka esok juga kita kena percaya apa yang akan didedahkan. Jangan... kalau ia dedah mengenai keburukan oposisi, kita mudah menerimanya dan kalau ia mendedah kelakuan pemimpin pemerintah kita buat-buat buta untuk melihatnya.

Dalam tilikan saya pendedahan penglibatan Anwar dalam isu liwat semacam ada urusan jual beli dan strategi lebih lanjut. Ia melibatkan kewangan yang besar. Tunggulah..

Jadi semua pihak hendaklah tidak mudah mempercayai pendedahan Wikileaks itu dan anggaplah ia hanya permainan kuasa dunia yang ingin mencaturkan politik dunia saja. Kita boleh akui dunia luar itu lebih maju dan moden daripada kita, tetapi kita tidak dapat merasakan apakah nawaitu mereka ke atas kita benar atau tidak. Saya yakin selamanya Amerika akan memperkudakan kita. Maka semua pihak perlu berhati-hati jangan sampai menggit jari tertelan air liur. Kita jangan kehilangan banyak orang yang berpotensi untuk jadi pemimpin. [wm.kl. 8:00 pm 12/12/10]

Tiada ulasan: