Biaqpila |
- Anwar-Mahathir Dilatari Dendam Kesumat
- Anwar akan saman akhbar, Dr Mahathir
- Sandiwara di hujung hayat Umno
- Berita Sengal: Rakyat Diminta Carigali Minyak Sendiri
- Isu FELDA: Najib Pengkhianat Sebenar- Dr Tan Kee Kwong
Anwar-Mahathir Dilatari Dendam Kesumat Posted: 14 Dec 2010 07:00 AM PST SHAH ALAM 14 DIS : Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong pendapat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terhadap dakwaannya liwat terhadap timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan laman web Wikileaks dilatari oleh dendam kesumat pemimpin tersebut. Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Dr Mahathir sanggup melacurkan prinsipnya dalam hal yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Singapura itu. Media pro Umno-Barisan Nasional hari ini melaporkan Dr Mahathir yakin Menteri Mentor Singapura itu tahu mengenai tuduhan berkaitan kes liwat yang membabitkan penglibatan Ketua Pembangkang itu. "Kenyataan-kenyataan Kuan Yew sebelum ini tidak pernah disokong oleh Dr Mahathir tetapi kali ini, oleh kerana dendam kesumatnya terhadap Anwar. Beliau mengabaikan prinsip dan maruahnya dengan membuat sokongan yang kita tahu tidak ada asas sama sekali. "Kalau kita kata asas sokongan terhadap kenyataan Kuan Yew dibuat atas fakta dan undang-undang maka bolehlah kenyataan tersebut didokong atau pun disokong. "Kalau kita lihat dari segi perbicaraan mahkamah misalnya, kenyataan yang mengatakan Anwar melakukan tindakan atau kes liwat adalah satu perkara yang kita lihat di mahkamah terlalu banyak campur tangan dan tindakan serta keputusan mahkamah dan bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada. "Kita lihat daripada awal lagi dan memegang pada prinsip itu, kes liwat itu lebih bersifat politik. Dr Mahathir tentunya menantikan peluang-peluang untuk menzahirkan kemarahannya yang belum terpadam. "Saya yakin, ini tentunya ada kaitan dengan kes yang terdahulu di mana secara beliau secara konsisten mengatakan Anwar 'kaki liwat' dan merupakan pemimpin yang mempunyai akhlak dan moral yang paling rendah yang akhirnya pada tahun 2004, mahkamah mengatakan sebaliknya. Jelas Shamsul, perkara itu sudah tentulah menyakitkan hati Dr Mahathir dan sebagai pemimpin muda PKR yang memerhatikan perkembangan politik sejak tahun 1999 beliau menyifatkan tindakan itu hanyalah untuk memuaskan nafsu serakah demi kepentingan politiknya sendiri. tvs KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK |
Anwar akan saman akhbar, Dr Mahathir Posted: 14 Dec 2010 04:00 AM PST Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan kepada peguamnya bagi mengemukakan saman ke atas beberapa akhbar dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan dakwaan salah lapor berhubung pendedahan WikiLeaks. Sankara Nair berkata beliau telah menerima arahan itu yang berkuatkuasa hari ini daripada ahli parlimen Permatang Pauh berkenaan. “Saya tidak boleh dedahkan butirannya kerana kami masih membincangkannya. Namun saya sahkan bahawa saman ke atas Mahathir akan dikemukakan. “Ini dijangka menarik dan sedikit ironi untuk melihat sama ada Mahathir akan mendapatkan bantuan daripada 'seterunya', Lee Kuan Yew bagi membina pembelaannya,” katanya kepada Malaysiakini. Mahathir dan Lee, mantan perdana menteri Singapura seringkali tidak bersependapat dalam banyak perkara dan hubungan kedua-dua negarawan itu dikatakan sentiasa goyah. Menurut akhbar Australia, The Sun-Herald, kabel Jabatan Negara Amerika yang bocor mendedahkan bahawa pegawai kanan kerajaan mengesahkan bahawa tuduhan liwat ke atas Anwar adalah akibat 'diperangkap' oleh musuhnya. Ia juga mendedahkan pegawai perisikan Singapura dan menteri kanan Lee Kuan Yew (kiri, bertali leher biru) telah memberitahu pejabat Agensi Perisikan Australia bagi Penilaian Nasional (ONA), bahawa "ketua pembangkang Anwar 'memang melakukan dakwaan perilaku yang sedang dihadapinya'." Semalam, Mahathir pada sidang akhbarnya melahirkan rasa ragu-ragunya bahawa bekas timbalannya itu adalah sasaran 'perangkap seks oleh musuhnya'. "Tidak, saya tak fikir ada sebarang perangkap," kata Dr Mahathir. |
Sandiwara di hujung hayat Umno Posted: 14 Dec 2010 12:48 AM PST Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung? Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Firman Allah SWT : لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164) Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia. Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin. Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun. Firman Allah SWT : وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An'am, ayat 115) Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa. Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT : يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13) Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13) Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam? Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap. Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di'kebumikan' secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun. Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat : مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ Yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan. Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT! HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian 6 Muharram 1432H DD KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK |
Berita Sengal: Rakyat Diminta Carigali Minyak Sendiri Posted: 13 Dec 2010 08:00 PM PST HUTAN BERA 12 Dis. - Rakyat diminta mencari gali minyak sendiri sebagai cara menjimatkan perbelanjaan bahan bakar itu sekali gus mengurangkan kesan kenaikan harga barangan itu di pasaran. Menteri Perdagangan SELUAR Dalam Negeri, Kesengalan dan Kepenggunaan, Datuk Seri Sayur Kangkung berkata, selain menjimatkan perbelanjaan bahan bakar, ia secara tidak langsung dapat menurunkan harga barangan tersebut di pasaran apabila permintaan terhadapnya berkurangan. Beliau berkata, minyak bukan sahaja boleh dicarigali di atas tanah sekitar rumah malah ia boleh dilakukan di kawasan terhad dengan mengguna cangkul di rumah termasuk rumah pangsa. Kah! kah! kah! Berita sengal seperti ini akan sentiasa mewarnai dada-dada akhbar sebagai acara selingan setiapkali berlakunya kenaikan harga barang-barang pengguna.Oleh itu kita sebagai rakyat tidak perlu ambik pot sangat.Mereka ini akan sentiasa menonjolkan kesengalan diri dari masa ke semasa sesuai dengan tuntutan zaman...kah!kah!kah! KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK |
Isu FELDA: Najib Pengkhianat Sebenar- Dr Tan Kee Kwong Posted: 13 Dec 2010 05:00 PM PST SHAH ALAM 13 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai pengkhianat sebenar oleh Mantan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab menjaga FELDA, Datuk Dr Tan Kee Kwong. Ini kerana katanya rizab tunai agensi itu susut mendadak selepas Najib mengambil alih syarikat itu pada tahun 2005. Tegasnya, tindakan terdesak itu juga ujarnya disebabkan Najib ingin menjaga 40 kerusi Parlimen yang terletak di bawah kawasan FELDA seluruh negara. Dihubungi Tv Selangor Dr Tan berkata, selepas Najib mengambil alih pengurusan FELDA, rizab tunai lembaga itu jatuh daripada RM4.5 bilion kepada RM1.2 bilion. Beliau mendakwa Najib sebagai individu yang bertanggungjawab penuh ke atas FELDA membazirkan RM3 bilion melalui pelaburan anak syarikatnya, FELDA Global Ventures. FELDA juga baru-baru ini kata Dr Tan, cuba meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat kekurangan rizab tunai walaupun aset dari hartanah dan pegangan sahamnya banyak. "Banyak lagi kes peneroka yang tidak berpuas hati tentang Tabung Tanam Semula. "Dua bulan lalu, ada satu kes yang melibatkan peneroka berusia 60 tahun yang melalui skim tabung tersebut telah menyimpan sebanyak RM17,000. "Oleh disebabkan alat-alat dan baja di bawah skim FELDA mahal, beliau menggunakan wang sendiri dan apabila beliau mahu menuntut wang tersebut, FELDA kata tak boleh," jelasnya. Beliau yang mempersoalkan tindakan tersebut, menggesa supaya FELDA melantik syarikat akauntan untuk menjalankan audit dalaman terhadap akaun lembaga tersebut. Dr Tan turut mempertikaikan kenyataan Najib di mana FELDA juga mempunyai 45 anak syarikat yang tidak diberikan butiran termasuk pelaburan luar negara RM3 bilion di Amerika Syarikat. "Bagilah semua butir-butir, sebab kita tidak tahu apakah butir-butirnya tetapi beliau tidak jawab langsung," ujarnya. Tambahnya, apabila FELDA kalah dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG) di FELDA Kemahang 3 di Kelantan, Najib turut menyalahkan peguam di mana menyebabkan peneroka semakin marah dengan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN). Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata sebelum Najib dan pemimpin Umno membuat tuduhan, beliau harus melihat kembali tentang apa yang didedahkan oleh Dr Tan mengenai penyusutan rizab FELDA dari tahun 2004 sehingga 2009. "Maknanya daripada sejumlah rizab FELDA menyusut daripada RM4 bilion kepada hanya RM1.3 bilion. "Ia juga telah dikemukakan dalam Parlimen tentang kebenaran dakwaan Dr Tan dan telah dijawab oleh Datuk Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. "Beliau telah mengaku bahawa wujud kemerosotan tersebut, jadi adakah dengan jawapan secara berterus-terang itu bahawa kononnya pihak pembangkang telah membuat pengkhianatan dan tuduhan mengatakan FELDA bankrap?," soalnya Justeru, Mazlan menegaskan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab ke atas salah urus dan kemerosotan rizab tunai yang dipertanggungjawabkan ke atasnya ketika itu. Semalam dalam satu ucapan di hadapan peneroka FELDA, Najib melabel golongan yang menuduh agensi itu bankrap sebagai pengkhianat. FELDA pada ketika ini menyaman akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan 'FELDA Bankrap' sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan akhbar berpengaruh itu. TVS KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK |
You are subscribed to email updates from Biaqpila To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan