Jumaat, 31 Disember 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Politik Berlandaskan Nilai

Posted: 30 Dec 2010 09:38 AM PST

MENGORAK LANGKAH MASA DEPAN
POLITIK BERLANDASKAN NILAI

Saya mengharapkan agar 2011 akan menjadi tahun perubahan, tahun yang akan dianugerahi keselamatan dan keadilan untuk rakyat Malaysia di seluruh dunia.

Saya percaya, rakyat Malaysia akan bersama-sama menjadikan perubahan dalam sistem pentadbiran negara suatu realiti menerusi Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Perubahan sedemikian akan berupaya melahirkan kestabilan demokrasi, memastikan tadbirurus baik negara dan merealisasikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Pemilihan saya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan baru-baru ini telah menggerakkan fokus saya terhadap The Way Forward, Mengorak Langkah Masa Depan demi memastikan parti ini kekal berpegang pada nilai-nilai yang akan sentiasa berkembang, menjadikan ia sebuah parti yang berintegriti, adil dan saksama terhadap anggotanya dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Saya percaya, ini adalah tanggungjawab politik saya agar kita bersama-sama istiqamah dalam melakukan perubahan, terus membangunkan KEADILAN dan juga negara yang kita warisi, bersama-sama rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP.


Melaksanakan apa yang wajar dan memastikan bahawa pengorbanan anggota parti dan juga rakyat sekaliannya tidak dipersia-siakan. Untuk sentiasa mendahulukan kepentingan bersama dengan mendokong prinsip dan nilai yang kita yakini bersama.

Untuk melangkah ke hadapan, pencapaian sehingga kini, dan pengajaran daripada masa lalu perlu dinilai semula, seterusnya membentuk masa hadapan yang berpandukan realiti politik semasa, di mana rakyat kini semakin celik dan jelas tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam menegakkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil.


Sebagai sebuah parti politik yang ingin menjadi harapan baru rakyat, sewajarnyalah KEADILAN juga jelas tentang perjuangan dan halatujunya, bukan semata-mata jelas mengenai lawan dan persaingan terhadapnya.

Langkah masa depan bagi KEADILAN adalah dengan memenuhi harapan untuk menyerlah sebagai tautan terkukuh dalam komponen parti Pakatan Rakyat, agar kepercayaan rakyat tetap utuh terhadapnya, dengan itu rakyat akan rela memberi mandat kepada KEADILAN, menerusi Pakatan Rakyat bersama rakan-rakan PAS dan DAP, untuk mentadbir Putrajaya dalam usaha memenuhi tuntutan Agenda Reformasi, yang merupakan tujuan asli perjuangan KEADILAN.


Agenda Reformasi mendokong prinsip-prinsip pencerahan politik, ketuanan dan pemberdayaan rakyat serta kewujudan sebuah masyarakat dan negara madani di Malaysia. Sebagai Naib Presiden KEADILAN, saya akan memberi sepenuh komitmen untuk membina portfolio yang berkaitan dengan pembangunan politik berasaskan nilai ini. Adalah diharapkan politik berasaskan nilai ini akan menjadi dasar kepada sistem, kepolitikan dan gerakan politik dalam KEADILAN.

Justru, marilah kita menyambut tahun baru ini dengan penuh optimis dan keyakinan diri, berlandaskan kepada apa yang telah dicapai dan akan kita capai bersama.

Fuziah Salleh
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Najib dan Anwar harus bersatu sambut wira negar

Posted: 30 Dec 2010 09:17 AM PST

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menyertai seluruh rakyat Malaysia melahirkan rasa bersyukur juga setinggi bangga serta Tahniah kepada skuad bolasepak negara.

Kemenangan ini dilihat mampu menjadikan lonjakan kepada kemajuan sukan khususnya bolasepak negara.

Ia juga harus diambil kesempatan bagi mengarahkan perhatian yang lebih anak muda negara kepada kegiatan yang berfaedah seperti sukan. Penglibatan anak muda dalam sukan juga mampu memjadikan kelompok ini menjadi lebih produktif serta menjauhi gejala negatif.

Jesteru ini kita semua harus bersama berusaha menjadikan pemain-pemain skuad Harimau Malaya ini sebagai ikon dikenali kelompok muda agar ia menjadi contoh kesungguhan mereka.

Sebagai pemulaan SAMM menggesa satu himpunan sambutan wira negara harus di adakan di lapangan terbang. SAMM sendiri akan bersama menggerakkan anak muda untuk bersama ke arah itu. SAMM juga menggesa himpunan sambutan wira itu juga diadakan di seluruh negara.

Cuma dalam perkara ini demi menjayakan matlamat besar maka saya nasihatkan diri saya dan semua, himpunan-himpunan ini perlu menjauhi imej perbezaan tetapi perlu melibatkan semua. Adalah bagus kalau Najib selaku PM dan Anwar selaku Ketua Pembangkang turut terlibat agar ia mampu mencetus momentum hebat penyatuan negara.

CheguBard
Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

DARI ANAK MUDA UNTUK ANAK MUDA

Khusrin barua UMNgOk untuk bubar DUN Selangor

Posted: 30 Dec 2010 09:16 AM PST

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan persekutuan cuba membubarkan DUN Selangor melalui pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK).

Khalid berkata, Khusrin yang merupakan bekas setiausaha sulit kepada menteri besar sebelum ini Tan Sri Muhammad Mohd Taib, terhutang budi kepada perdana menteri Datuk Seri Datuk Najib Razak dan bukannya kepada negeri itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, Beliau mendakwa, Najib pula berniat untuk mewujudkan kekacauan di negeri itu dan memaksa pembubaran DUN.

Kebimbangan yang disuarakan Khalid itu timbul berikutan desas-desus berhubung langkah Selangor dan negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat untuk tidak membubarkan DUN sekiranya Najib mahu mengadakan pilihan raya mengejut.

Khalid juga mendakwa SUK negeri Perak sebelum ini memainkan peranan utama dalam menumbangkan pentadbiran Pakatan di negeri itu pada awal 2009.

Beliau bimbang keadaan sama akan berlaku di Selangor ekoran pelantikan Khusrin ke jawatan tersebut memandangkan bekas pengarah Jabatan Agama Islam itu lemah dari segi kelayakan.

Khalid turut mendakwa, Khusrin dilantik ke jawatan itu untuk mewujudkan masalah kepada pentadbiran negeri.

~MK~

Khusrin mungkin ‘ganggu’ mesyuarat exco

Posted: 30 Dec 2010 09:15 AM PST

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiuasaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan 'mengganggu' mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

"Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

~harakah~

KPM faham menyeluruh Interlok?

Posted: 30 Dec 2010 09:14 AM PST

Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.

Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.

"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.

Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik

Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.

Kita pun boleh demo

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.

Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.

Menurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.

Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.

"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.

Respons berterusan

Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.

Katanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.

"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.

Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.

Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair.

~MK~

Keluarkan senarai 'OK tak OK'

Posted: 30 Dec 2010 09:11 AM PST

Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru.

"Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?" soalnya bertalu-talu.

"Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai 'OK Tak OK' untuk semua warga bukan Muslim negara ini?" tegasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid.

Memetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina.

Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah.

Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan "memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya."

"Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?" katanya.

Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti.

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"

"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?" soalnya.

Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.

"Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam," kata anggota parlimen muda itu.

~MK~

Gobala 'berniat jahat' tuduh Anwar tutup kuil Sivan

Posted: 30 Dec 2010 09:10 AM PST

Pemimpin masyarakat India PKR tampil menyatakan sokongan mereka terhadap ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kecaman berhubung penutupan satu kuil Hindu di Petaling Jaya.

Antara penjelasan yang dikemukakan, keputusan untuk menutup kuil tersebut dibuat oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Anwar tidak terlibat dalam tindakan berkenaan.

Penjelasan itu dikemukakan salah seorang naib presiden baru parti itu N Surendran dalam satu sidang media bersama dua lagi pemimpin masyarakat India PKR -- exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab dakwaan yang ditimbulkan ahli parlimen PKR Padang Serai N Gobalakrishnan kelmarin bahawa Anwar bertanggungjawab menutup kuil Sivan berkenaan dengan alasan kuil tersebut "tidak mempunyai ciri-ciri India."

Surendran berkata dakwaan itu "tidak munasabah" memandangkan Anwar merupakan seorang pemimpin nasional dan tidak terlibat dalam keputusan kerajaan tempatan.

Tambahnya, dakwaan yang disuarakan Gobalakrishnan yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merupakan satu tuduhan "berniat jahat."

Kuil Sivan yang terletak di puncak Bukit Gasing di Petaling Jaya itu menjadi tumpuan utama Gobalakrishnan dalam menyuarakan rungutannya kepada pemimpin tertinggi parti itu, malah menyebabkan beliau melabelkan Anwar sebagai "anti-Hindu" dengan menutup kuil berkenan.

Manikavasagam turut menyatakan kekesalannya atas tindakan Gobalakrishnan menghamburkan tuduhan seperti itu.

"Jika Anwar benar-benar telah menutup kuil berkenaan, saya akan mula buat bising. Anda tahulah saya seorang pembuat bising.

"Tapi orang yang buat dakwaan ini juga perlu tahu cerita sepenuhnya mengenai kuil berkenaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Xavier yang merupakan exco bertanggungjawab dalam hal ehwal bukan Islam di Selangor dalam pada itu itu pula menjelaskan, kuil itu bukan ditutup sepenuhnya.

"Ya, ia ditutup kepada orang ramai hanya sebab kerja-kerja pembinaan fizikal masih berjalan," kata Xavier yang juga bekas naib presiden parti.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian ke atas kuil berkenaan bermula sejak tahun 2006 lagi.

Kerja-kerja berkenaan dijalankan memandangkan anggota pemegang amanah kuil berkenaan mahu memperbesarkan kuil kecil berkenaan menjadi kuil Sivan terbesar di negara ini sehingga boleh memuatkan 100,000 orang penganut Hindu, kata Xavier lagi.

Ahli pemegang amanah kuil berkenaan termasuklah isteri kepada bekas presiden MIC Datin Seri Idrani Samy Vellu.

~MK~

BDB jumpa MB bincang isu Mahfuz letak jawatan

Posted: 30 Dec 2010 09:08 AM PST

Satu perbincangan dijangka diadakan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak malam ini berhubung isu peletakan jawatan pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd, Datuk Mahfuz Omar ekoran pemberian tender yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Ahli lembaga pengarah eksekutif bebas Bina Darulaman Berhad (BDB) Senator Ir. Zamri Yusuf berkata perbincangan itu melibatkan beberapa pegawai dilantik dibawah pentadbiran kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkaitan anak syarikat. BDB merupakan syarikat induk kepada Kedah Sato.

"Mungkin mereka akan meneliti dan menyemak semula surat peletakan jawatan Datuk Mahfuz bersama menteri besar untuk menyelesaikan isu berkenaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan pegawai dan menteri besar sahaja tanpa kehadiran Mahfuz, yang juga merupakan ahli parlimen Pokok Sena.

Mengulas lanjut, Zamri tidak menolak berlaku berlaku salah faham mengenai maklumat berhubung pemberian tender oleh Kedah Sato kepada IJM Berhad. Menurutnya, tender itu adalah untuk pembinaan Kolej Universiti Insaniah berjumlah kira-kira RM180 juta.

"Rugi kalau kita kehilangan orang seperti beliau (Mahfuz) - seorang yang berprinsip," katanya.

"Saya berharap pihak pengurusan peringkat tertinggi dan kumpulan berbincang bersama Mahfuz bagi menyelesaikan isu tersebut.

Semalam, Mahfuz yang juga naib presiden PAS, mengesahkan telah meletak jawatan tetapi enggan mengulas sebab-sebab beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, sejak kelmarin, tersebar berita di internet bahawa ia berkaitan dengan pemberian tender oleh syarikat itu yang didakwa tidak mengikut peraturan. Difahamkan Mahfuz meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penganugerahan projek kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender.

~MK~

Najib dan Pak Lah diminta jawab menteri merogol

Posted: 30 Dec 2010 09:06 AM PST

Pendedahan WikiLeaks berhubung seorang menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya terus mengundang perdebatan hangat di dunia maya khusunya di kalangan penulis blog politik.

Sejak tiga siri laporan berhubung isu itu disiarkan Harakahdaily, beberapa blogger dilihat cuba menjadi 'WikiLeaks Malaysia' apabila tampil dengan beberapa perincian lanjut terhadap pendedahan awal itu.

Tersebarnya dokumen salinan bertajuk 'Laporan Investigasi Robengah (BMI) yang mengalami perkosaan oleh majikannya' telah menjadi rujukan utama para bloger dalam mencari nama menteri tersebut.

Dengan klu yang dilemparkan, beberapa nama menteri sebelum ini kini tertumpu hanya kepada satu nama sahaja.

Biarpun dokumen tersebut menghitamkan nama menteri yang didakwa terlibat, namun dengan pelbagai usaha mereka kini mendakwa sudah mendapat jawapan berhubung misteri siapa disebalik status jawatan menteri itu.

"Mantan PM Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kenapa terus zzzzz? Bangun la hari dah senja. Ini kes berat libatkan menteri, maruah negara bangsa dan agama.

"...tak kan nanti sampai orang kata kenapa simpan perogol dalam jamaah menteri Malaysia," ulas bloger Misaimerah dalam blognya.

Keghairahan dan kesungguhan mencari siapa menteri yang dimaksudkan itu terus mendapat perhatian mereka apatah lagi dalam keadaan negara dalam mood perang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang Januari ini.

Semua kelompok bloger ini yakin isu tersebut mampu menjadi senjata ampuh khususnya kepada Pakatan Rakyat bukan sahaja berdepan PRK Tenang, malah juga untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang disebut-sebut akan berlangsung Mac atau April tahun hadapan.

"Dari segi politik, memang dokumen ini amat berguna sebagai senjata oleh Pakatan Rakyat dalam PRK Dun Tenang.

"Sesiapa saja yang dituduh mesti dibawa ke muka pengadilan...apatah lagi yang didakwa ini adalah seorang pemimpin yang mendapat mandat dari rakyat," tulis bloger Anak Sungai Derhaka.

Biarpun kredibiliti WikiLeaks itu dipertikai, namun tindakan Umno BN yang mengajak rakyat mempercayai pendedahan berhubung isu liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memakan diri apabila rakyat juga 'terpaksa' percaya bahawa benar seorang menteri BN telah merogol amahnya.

Jika sekalipun WikiLeaks tidak boleh dipercayai, namun pendedahan sokongan oleh pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan, NGO Tenaganita, Migrant Care dan bloger Tukar Tiub, sudah cukup untuk rakyat mempercayaai bahawa ianya memang wujud.

Namun yang lebih wajar dipercayai adalah pendedahan sepucuk surat aduan daripada adik mangsa yang menceritakan secara jelas apa yang berlaku yang juga didedahkan dalam laporan Harakahdaily sebelum ini.

Sehingga kini juga, belum ada mana-mana pihak khususnya dari pimpinan Umno BN yang berani mengulas isu tersebut. Penjelasan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sangat ditunggu-tunggu semua pihak.

"Tunggu dan tunggu, kita tunggu apa yang akan berlaku.

"Siapa akan kena saman?," tulis bloger Tukar Tiub merujuk laporan Harakahdaily yang turut disiar di blognya.

~harakah~

Tak logik harga makanan naik kerana minyak naik

Posted: 30 Dec 2010 09:05 AM PST

Pengusaha restoran tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 10 peratus meskipun berlaku kenaikan harga gula dan bahan api berkuatkuasa 4 Disember lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Daud Tahir berkata simulasi harga yang dibuat baru-baru ini juga menunjukkan perubahan harga makanan dan minuman adalah minimum iaitu kenaikan antara 0.1 sen dan tiga sen sahaja.

"Kita sudah buat simulasi dengan kerjasama konsultan (untuk melihat) berapa kenaikan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan harga gula dan bahan api baru-baru ini dan tak munasabah jika mereka nak naikkan harga makanan dan minuman," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Daud berkata simulasi harga itu melibatkan 64 jenis makanan dan minuman antaranya teh tarik iaitu perubahan harga sebanyak 0.8 peratus kepada RM1.21 berbanding RM1.20 ketika ini manakala harga teh hanya meningkat 1 sen kepada RM1.01 sen.

Simulasi itu juga menunjukkan harga bagi pelbagai jenis roti termasuk roti canai kosong, roti jala dan roti telur, pula mengalami kenaikan antara 0.2 dan 0.3 sen sahaja.

Rundingan dengan pengusaha restoran

Ditanya sama ada pengusaha restoran bersetuju dengan harga simulasi itu, Daud berkata kementerian akan memaklumkan mengenainya dalam satu perjumpaan pada awal Januari ini.

"Kita akan memaklumkan mengenai kita punya pengiraan dan alasan kepada mereka kenapa simulasi itu dibuat dan tidak logik untuk menaikkan 10 peratus harga makanan dan minuman," katanya.

Daud berkata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) baru-baru ini juga menafikan berlaku kenaikan harga itu seperti dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata bekalan minyak masak adalah stabil di seluruh negara kecuali terdapat kekurangan di sesetengah tempat serta kekurangan jenama-jenama tertentu di pasaran.

"Keadaan ini adalah tidak serius. Spekulasi mengenai kenaikan harga adalah tidak benar dan pengguna dan peniaga diminta tidak membeli dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan harian," katanya.

Daud berkata spekulasi kenaikan harga minyak itu timbul akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran global yang mencecah sehingga RM3,800 setiap tan metrik sehingga menyebabkan berlaku pembelian panik oleh pengguna dan peniaga kecil di beberapa kawasan.

~Bernama~

Mahfuz letak jawatan pengerusi GLC

Posted: 30 Dec 2010 09:01 AM PST

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Kedah Sato Sdn Bhd.

Mahfuz memberitahu, surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada pihak syarikat pada 20 Disember lalu, berkuat kuasa serta merta.

"Saya mengaku saya telah melatak jawatan dan surat peletakan jawatan telah pun saya hantar," kata beliau ketik dihubungi Harakhdaily hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun enggan menjelaskan sebab perletakan jawatannya sebaliknya berkata, pihak pengurusan Keda Sato sudah sedia maklum alasan beliau bertindak demikian.

"Sebab peletakan jawatan saya, semua pihak kena tanya pihak pengurusan Kedah Sato dan juga lembaga pengarah Syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) dan saya tak boleh bagi apa-apa penjelasan kepada media buat masa ini dan saya nyatakan dalam surat, alasannya adalah seperti yang semua sedia maklum," katanya.

Kedah Sato merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad. Beliau juga berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga sudah mengetahui perkara tersebut.

"Saya percaya Datuk seri Azizan sudah maklum berkenaan perkara ini kerana saya sudah pun menghantar surat," katanya.

~harakah~

Tiada ulasan: