Sabtu, 13 November 2010

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Umno terus ajak PAS bersama BN, bukannya gantikan Umno-BN

Posted: 13 Nov 2010 07:33 PM PST

Umno terus ajak PAS bersama BN, bukannya gantikan Umno-BN

November 14, 2010
KUALA LUMPUR, 14 Nov — Umno terus mengajak PAS agar bersama parti teras Barisan Nasional (BN) itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat (PR) itu bersama BN daripada terus berganding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

"PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Suara dan pandangan agar Umno-PAS terus kedengaran sejak selepas pilihan raya umum 2008 yang mana PAS bersama DAP dan PKR menafikan kedudukan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan selepas pentadbiran lima negeri jatuh ke tangan PR.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengingatkan PAS supaya mengkaji dahulu kedudukan mereka dalam PR dan Parlimen sebelum membuat keputusan untuk menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Malah, Ahmad berkata Umno-BN masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara sambil menjelaskan pilihan raya umum ke-13 masih belum diketahui bila akan diadakan.

"Kita belum kalah lagi, pilihan raya pun kita belum tahu lagi bila.

"Lagipun yang memerintah sekarang adalah Umno-BN, pilihan raya lambat lagi iaitu kalau ikut tarikh adalah pada 2013.

"Macam-macam boleh berlaku sebelum pilihan raya, kita tunggu sahaja nanti.

"Tapi kalau melihat daripada keadaan sekarang rakyat menyebelahi Umno-BN," kata timbalan menteri ini.

Beliau juga mencadangkan kepada PAS supaya bertanding lebih banyak kerusi di Parlimen sekiranya mahu mencabar kedudukan Umno.

"PAS-Pakatan Rakyat bertanding 60 kerusi, Parlimen ada 222 kerusi kecuali kalau PAS bertanding banyak kerusi.

"(Sebanyak) 60 kerusi tak sampai satu pertiga pun dari 222 kerusi Parlimen. Kalau PAS-Pakatan Rakyat tanding hanya 60 kerusi macam mana nak ketuai Pakatan Rakyat.

"Pada saya, PAS kena fikirkan kedudukan dalam Pakatan Rakyat, sama ada berdiri sendiri atau bersama BN," kata Ahmad ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, yang mendesak parti Melayu terbesar itu berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Hadi berkata Umno yang merupakan teras kepada BN sepatutnya perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

"Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

"Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

"Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan program PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam semalam.

200 ahli PKR demo mahu Anwar undur

Posted: 13 Nov 2010 04:21 AM PST

200 ahli PKR demo mahu Anwar undur

Posted by admin on November 13th, 2010

Seramai 200 anggota Parti Rakyat (PKR) pada Sabtu melakukan protes di depan ibu pejabat parti itu bagi mendesak pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dihentikan serta-merta, selepas didakwa tidak telus atau berlaku adil kepada calon yang bertanding. Perhimpunan protes yang bermula 10.30 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu diketuai bekas timbalan setiausaha agung PKR S.Jenapala Perumal.

Selain itu, turut kedengaran laungan "Hidup Zaid" (bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim) dan "hentikan segera pemilihan parti."

Bagaimanapun, Zaid tidak kelihatan sepanjang protes itu walaupun beliau pada mulanya dilapor akan mengetuainya.

Protes itu juga mempamerkan beberapa kain rentang yang tertera perkataan "Shame on you Anwar", "Anwar dan Azmin: pemimpin paling kotor, cakap tak serupa bikin, pemilihan parti yang paling kotor, penipu, pembohong dan pengkhianat dan mereka akan hancurkan parti kesayangan kita" serta "kami cinta Parti Keadilan Rakyat, penipuan di Pemilihan parti, demokrasi dikuburkan, apakah ini keadilan, jangan tipu kami".

Bagaimanapun, tidak ada wakil atau pemimpin PKR yang tampil meredakan keadaan dan pintu masuk ke ibu pejabat parti itu juga telah dikunci.

Bercakap kepada pemberita, Jenapala Perumal berkata tidak ada sebarang memorandum atau surat yang akan diserah kepada pimpinan PKR, sebaliknya, protes itu dilakukan untuk membolehkan pucuk pimpinan mendengar permintaan supaya pemilihan parti dihentikan.

"Sejumlah 162 aduan telah dibuat kepada MPP, tidak ada satupun yang diselesaikan. Kami ke sini untuk menunjukkan protes kerana anggota tidak gembira dengan pemilihan parti seperti ini," katanya.

Bekas Bendahari PKR Selangor K.S.Kottapan yang turut serta dalam protes itu mendakwa, pemilihan yang tidak telus menyaksikan haknya untuk bertanding sebagai anggota MPP telah dinafikan.

"Ini bukan pemilihan parti yang bersih. Saya menggesa pimpinan parti dengan segera hentikan pemilihan ini dan adakan semula daripada peringkat cabang. Saya pasti mereka akan ambil tindakan, khususnya (terhadap) orang seperti saya ini dan akan memecat kita.

"Apa yang kita minta ialah pemilihan dihentikan dan dilakukan semula, tetapi langsung tidak ada sebarang tindakan diambil. Kita di sini berjuang untuk keadilan rakyat, bukan berjuang untuk pemimpin-pemimpin tertentu," katanya.

Mengulas kenyataan Zaid yang juga bekas calon timbalan presiden yang mahukan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim serta naib presiden Mohamed Azmin Ali berundur dari PKR, Kottapan berkata beliau menyokong apa yang dikatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

"Kita kena tukar pimpinan kita untuk menjadikan PKR maju dan rakyat terus mempercayai kita. Kita tahu pilihan raya umum juga dah semakin hampir, jadi kita perlu lakukan perubahan drastik. Saya sokong Zaid nak tubuhkan parti baru dan kalau PKR tidak berubah, saya rela saya dipecat," katanya.

Ketua Komuniti India Selayang, yang juga calon timbalan ketua cabang Selayang, B.Rajandran pula mendakwa pucuk pemimpin PKR sekarang terlalu mementingkan diri dan tidak membela nasib rakyat.

"Ketua-ketua yang ada sekarang ini semuanya pentingkan diri sendiri sahaja. Mereka tak peduli tentang rakyat dan janji-janji yang mereka buat masa pilihan raya, itu semuanya tidak ditunaikan lagi.

"Tetapi semua nak dapatkan Putrajaya sahaja…tapi tak buat apa-apa untuk rakyat, nak tangkap Putrajaya nak buat apa?," katanya.

Bagaimanapun, protes tersebut berlangsung secara aman di bawah pengawasan polis.

– BERNAMA

Tiada ulasan: