Rabu, 10 November 2010

shalehudin

shalehudin


Haii... takkan Che'gu Bard pun merajuk gak...

Posted: 10 Nov 2010 01:00 AM PST

Calon ketua sayap muda PKR putuskan malam ini opsyen tarik diri


Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan memutuskan sama ada kekal dalam saingan ataupun menarik diri daripada bertanding - mengambil langkah Datuk Zaid Ibrahim — malam ini di sebalik dakwaan pemilihan parti berhadapan dengan kepincangan dan kecacatan.

Zaid mengumumkan pendirian menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden kelmarin dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti itu.

Badrul Hisham berkata, beliau akan membuat keputusan "penting" demi kelangsungan parti dan juga bagi memenuhi harapan rakyat terhadap PKR.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai satu krisis yang memerlukan satu keputusan, saya akan mengambil kira aspek kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat," kata beliau.

"Seluruh kepimpinan muda akan memutuskan bersama untuk mencari penyelesaian terhadap kepincangan yang timbul, kita akan membuat keputusan termasuk sama ada perlu atau tidak menarik diri daripada bertanding," kata beliau yang turut dikenali sebagai "Chegubard" kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kata Badrul Hisham, oleh kerana beliau membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak secara kolektif semasa hendak bertanding sebelum ini, apa jua keputusan malam ini akan diputuskan secara bersama.

"Ini cara kami membuat keputusan, kami mahu membuat keputusan mengenai penyelesaian kepada kepincangan semasa secara kolektif," kata beliau lagi.

Kira-kira 100 pemimpin dijangka berhimpun malam ini, kata beliau.

Pertemuan malam ini yang dinamakan "Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan" akan berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Selangor, 9 malam ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, salah seorang pesaing jawatan naib presiden, juga akan turut hadir.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.

Sebelum ini termasuk semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan pemilihan parti dicemari manipulasi dan penyelewengan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Zaid.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat PKR boleh dibeli.

Kelmarin, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian.

Ketika ditanya sama ada pemilihan patut ditangguhkan sebagaimana digesa oleh seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, Badrul Hisham berkata, memang menjadi pendirian beliau dari awal bahawa pemilihan parti harus ditangguhkan sementara segala masalah dan isu yang ditimbulkan diselesaikan.

"Saya dari awal lagi sudah membuat pendirian ini. Tetapi parti membuat pendirian bahawa pemilihan harus diteruskan, kami akur dengan keputusan itu.

"Tetapi masalah yang dibangkitkan sebelum ini berterusan," kata beliau merujuk kepada dakwaan dan memorandum yang dikemukakan oleh Mustaffa semalam menggesa pemilihan dibatalkan dan proses pengundian baru diadakan.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam ulasannya mengenai situasi semasa dalam parti itu berkata, beliau percaya setiap anggota PKR bebas untuk berfikir dan melakukan yang terbaik demi diri mereka dalam kerangka perjuangan parti.

"Pilihan sama ada untuk memegang atau melepaskan jawatan itu adalah hak setiap anggota parti.

"Pada masa yang sama, saya percaya PKR mempunyai anggota-anggota yang cukup mampu untuk mengambil alih tugasan yang telah diberi kepada Datuk Zaid sebagai pengerusi PKR Wilayah Persekutuan," kata beliau dalam kenyataan SMS.

Walaupun begitu, kata Nurul Izzah, kehilangan Zaid terasa oleh ramai ahli yang menaruh harapan dan amanah terhadap kesinambungan pimpinan beliau dalam parti.- MI

Mahfuz ni kacau daun laa...

Posted: 09 Nov 2010 11:54 PM PST

Apa rosak RM65 juta ubahsuai Seri Perdana
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.


Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.

"Kenapa peruntukan yang begitu tinggi ini diberikan kepada hal yang tidak sepatutnya? Setiap kali belanjawan, ada peruntukan untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri.

"Setiap kali tukar Perdana Menteri, berlaku pengubahsuaian. Apa yang rosak sebenarnya? Kita nak tahu apa yang memerlukan pengubahsuaian sampai memerlukan kos yang tinggi? Setiap kali masuk rumah, ada pinggan mangkuk pecah ke?" soalnya berseloroh.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan belanjawan terhadap keperluan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Bayangkan sebanyak RM65 juta untuk tempoh dua tahun. Untuk tahun hadapan kos pengubahsuaian sebanyak RM19.5 juta. Maksudnya berbaki sebanyak RM45.5 juta untuk tahun 2012. Sedangkan kos sebanyak itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat yang jauh lebih memerlukan," katanya lagi.

Seri Perdana di Putrajaya mula dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Sebelum ini beberapa wakil Pakatan Rakyat dalam perbahasan Bajet 2011 telah membangkitkan perkara ini antaranya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Liew Chin Tong, (DAP-Bukit Bendera).

Lelaki kapak ibu di beranda rumah

Posted: 09 Nov 2010 10:00 PM PST

Oleh Rosli Abdul Jalil


HALIM (kanan) mengangkat mayat isterinya selepas bedah siasat di bilik mayat Hospital Pekan, semalam.


SUSPEK bersama Che Wa. Suspek dipercayai penagih dadah ditahan

PEKAN: Seorang ibu mati ditetak di kepala oleh anak lelakinya berusia 23 tahun ketika sedang mengangkat kain jemuran di beranda rumahnya di Felda Chini Timur 1, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam, mangsa, Che Wa Isa, 57, ditetak dengan kapak oleh anak lelakinya yang dipercayai penagih dadah.

Akibat tetakan itu, mangsa rebah di depan rumah, manakala suspek terus beredar dari tempat kejadian dengan memegang kapak.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahya Othman yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran.

Katanya, polis menahan suspek di sebuah pondok yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian, malam kelmarin.

"Kita turut menemui sebilah kapak pemotong sawit yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak kepala ibunya.
"Ujian air kencing turut mendapati suspek positif ganja," katanya di sini, semalam.

Yahya berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai gemar membaca buku berkaitan makhluk halus dan dikatakan percaya ibunya sudah lama mati dan yang tinggal dalam jasad ibunya hanyalah saka dan santau.

Beliau berkata, ketika kejadian, suami mangsa, Halim Ismail, 58, sedang memberi makan cucunya berusia tiga tahun dalam rumah dan mendengar bunyi seperti benda terjatuh diikuti dengan laungan 'Allahuakbar'.

"Selepas 10 minit kemudian, suami mangsa keluar ke depan rumah dan terkejut melihat mangsa terbaring dan bajunya dipenuhi darah," katanya.

"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan," katanya sambil memaklumkan laporan bedah siasat turut mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan teruk pada kepala.

Sementara itu, Halim yang ditemui berkata, beliau sama sekali tidak menyangka kejadian itu kerana menyifatkan anaknya seorang pendiam, baik serta tidak pernah meninggalkan solat.

Malah, katanya, suspek yang juga anak ketiga daripada empat beradik seorang yang rajin dan sering membantunya di kebun sawit.

Khir Toyo demam denggi?

Posted: 09 Nov 2010 09:13 PM PST

Khir Toyo masuk SMC, disyaki demam denggi

2010/11/10
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dimasukkan ke Selangor Medical Centre jam 10 pagi tadi selepas disyaki menghidap demam denggi.- BH

Kian pelik ngan Zaid ni

Posted: 09 Nov 2010 08:49 PM PST

Tak sanggup kalah pi main jauh jauh

Aku agak setuju dengan kenyataan Anwar disini. Kehendak Anwar sendiri yang enggan melayan mereka mereka yang tak sanggup kalah perlu diterima seluruh ahli PKR secara terbuka. Aku dapat rasakan Anwar bakal diasak dengan pelbagai tohmahan lagi selepas kenyataannya ini tapi adakah tohmahan tohmahan ini pernah sunyi bagi susuk bernama Anwar ini?

Perjuangan menuntut keadilan ni berduri dan penuh liku. Kita perlukan pejuang yang tahan diuji, bukan sekadar bercakap dikerusi empuk tapi juga yang sanggup bergelumang dengan hanyir peluh rakyat marhaen.

Tindakan Zaid yang aku kira agak keterlaluan itu bagai dibantu kekuatan luar yang diluar kemampuan ahli biasa lain selain Zaid. Kita menerima Zaid seadanya dan kita amat berharap Zaid juga berlapang dada menerima PKR seadanya.

Bidasan terbuka oleh Zaid Ibrahim, yang menggesanya supaya berundur sebagai ketua umum PKR amat menjelikkan. Sebagai ahli politik yang sepatutnya bersama bergerak seiringan dengan parti dan dasar dasar parti, kenyataan terbuka apabila adanya ketidakpuasan hati terhadap sesuatu patutnya dielakkan. PKR bukannya parti yang menutup ruang untuk berwacana didalamnya.

"Itu pendapat peribadinya (Zaid). Jika ada konsensus daripada kepimpinan yang saya harus berundur saya akan patuhinya tetapi saya tidak pernah mendengar perkara seumpama itu," kata Anwar apabila diminta mengulas bidasan Zaid pada sidang medianya hari ini.

32 kesan tembakan, banyak tuuu...

Posted: 09 Nov 2010 07:20 PM PST

32 kesan tembakan pada kereta Aminulrasyid

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu 32 lubang atau kesan tembakan ditemui pada kereta Proton Iswara Aeroback putih yang dipandu Aminulrasyid Amzah, yang mati terkena tembakan, April lalu, ketika diperiksa seorang ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia.

Saksi Pendakwaan ke-24, Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat, Seksyen Kriminalistik Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Dr Shaari Desa, berkata lubang atau kesan tembakan itu ditemui dari arah belakang di cermin belakang kereta, sisi belakang kereta, ekzos, tangki minyak, bawah kereta dan tayar.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, beliau berkata kereta itu diserahkan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Abd Halim Ismail pada 5 Mei lalu untuk diperiksa.
Hasil pemeriksaannya, beliau menemui tiga jenis kerosakan iaitu kerosakan akibat pelanggaran, tembakan dan kerosakan lain.

Dr Shaari memberi keterangan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar dalam perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15.

Jenain yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, pada jam 1.10 pagi, 26 April lalu.

Dr Shaari berkata, hasil pemeriksaan beliau menemui satu lubang peluru masuk dari arah belakang dengan anggaran sudut 13 darjah, dari kiri pada cermin belakang dan menembusi tempat letak kepala kerusi pemandu.

Zaid tak cerdik

Posted: 09 Nov 2010 04:00 PM PST

Aziz Bari: Politik Apa Yang Zaid Mainkan?

Dari TVSelangor

Sebagai seorang ahli politik yang bergerak dalam satu pasukan, Datuk Zaid Ibrahim tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak melulu hanya kerana tidak berpuas hati tentang beberapa perkara dalam parti lalu membuka ruang kepada musuh untuk menyerang PKR dan Pakatan Rakyat, ujar Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Sebagai ahli parti beliau boleh bercakap apa yang dia hendak. Tetapi saya rasa sebagai pemain dalam pasukan dia kena bertanggungjawab dan cerdik sikitlah.

"Jadi saya tidak fikir apa yang dilakukan oleh Zaid itu sebagai tindakan yang bijaksana. Maknanya dia tidak puas hati, dia bakar kapal," ujar Aziz.

Aziz yang juga pensyarah undang-undang berkata, Zaid perlu bertindak profesional jika ada pun ketidakpuasan hati dalam isu pemilihan parti misalnya, kerana sebagai seorang yang dikatakan komited dengan perjuangan, tindakan beliau juga hendaklah rasional dan mendokong perjuangan parti.

Menurut Aziz, semua maklum dalam soal pemilihan ada kelemahan kerana ini kali pertama dan PKR berhadapan dengan ahli-ahli yang tidak biasa dengan proses ini selain daripada sabotaj luar dan sebagainya, dan dia (Zaid) kena bersabarlah.

"Sebagai seorang yang kononnya komited dengan perjuangan mendemokrasikan Malaysia baru, dia tidak sepatutnya mengambil jalan ini kerana ini akan menjadi bahan kepada musuh-musuh atau mereka yang tidak mahu berubah ini.

"Jadi saya rasa Zaid telah tersilap besar dan dia dengan tidak semena-mena menyediakan peluru untuk mereka yang tidak suka demokrasi, yang tidak suka pembaharuan Malaysia," tambah Aziz lagi.

Selepas membuat keputusan mengejut semalam dengan meletakkan semua jawatan dalam parti dan menarik diri dari pemilihan PKR, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini, turut mengecam supaya Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berundur dari parti.

Ia turut mengundang reaksi dari Aziz.

"Siapa dia untuk menyuruh orang lain keluar. Dia boleh kata begitu sebagai seorang ahli parti tetapi saya fikir satu perkara yang lucu lah apa yang dia minta itu. Orang akan kata, siapa Zaid untuk menyuruh Datuk Seri Anwar keluar dari parti.

"Datuk Zaid kena tahu siapa dia. Jangan semberono, main hentam sahaja. Apa yang berlaku ini pun tidak begitu ceria untuk masa depan dia dalam politik," kata Aziz lagi.

Tambah Aziz, walaupun beliau tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku dalam parti itu, namun beliau percaya, bahawa setiap ahli parti mestilah mempunyai iltizam yang kuat untuk membawa perubahan kepada negara dan tidak goyah ketika berhadapan dengan masalah.

Dalam nada sinis, Aziz seolah-olah memberi peringatan kepada Zaid agar kembali merenung matlamat asal pemimpin itu.

"Saya rasa kita sepatutnya tidak lupa dengan gambar besar untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah, daripada penipuan,daripada tekanan, daripada ISA dan sebagainya. Dan saya rasa, apa yang Zaid lakukan hari ini, ialah sesuatu yang berlawanan dengan apa yang disebut sewaktu meninggalkan Umno.

"Sepatutnya sebagai seorang yang komited dengan parti dan perjuangan, dia semestinya tidak buat begitu," jelasnya kepada Tv Selangor.

Bahkan menurut Aziz, tindakan seumpana itu menjadikan Zaid tidak ada bedanya dengan mereka yang keluar dari PKR kerana tidak mempunyai semangat juang dan matlamat yang jelas dalam parti.

Malah ujarnya, tindakan kurang bijaksana Zaid itu tidak akan meninggalkan sebarang kesan kepada parti melainkan kepada diri beliau sendiri.

" Dalam jangka masa panjang saya rasa tidak ada apa-apa. Sedangkan orang seperti Datuk Onn Jaafar dan orang seperti Tengku Razaleigh Hamzah sekalipun, tidak jadi apa setelah meninggalkan parti mereka, jadi siapalah Datuk Zaid ini kan…. Saya tidak fikir apa yang dilakukan beliau mendatangkan masalah pada parti. Saya rasa yang menerima risiko negatif itu dia sendiri," katanya.

Zaid dah pening teruk ni...

Posted: 09 Nov 2010 02:00 PM PST

Zaid Kembali Ke Zaman Mabuk!

Apalah rasionalnya Zaid menyalahkan Anwar dan Azmin berhubung kemalangan yang diterimanya hari ini? Beliau telah melepas semua jawatan dan menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden. Kononnya beliau berbuat begitu kerana tidak percaya kepada PKR, tentunya kepada Azmin dan juga Anwar Ibrahim.

Sesiapa pun tidak menafikan Anwar ada melakukan kesilapan, dan begitu juga dengan Azmin. Tetapi apakah orang boleh mempercayai kalau Zaid sekudus ahli syurga yang cuba hendak memperbetulkan PKR? Apakah Zaid tidak ada kesalahan? Sejarah penglibatanya dalam politik sudah diketahui umum. Kalau beliau umpama malaikat Subuh pasti Umno tidak memecatnya. Sejahat-jahat Umno tentulah Zaid lebih jahat dari parti berkenaan.

Sebagai ahli beliau berhak untuk membuat kritikan dan teguran. Tetapi teguran terbuka dan melampau adalah tidak betul dan bukan menggambarkan seorang yang profesional seperti mana profesyen beliau sebagai pengamal undang-undang. Sikap marahkan nayamuk membakar kelambu adalah bodoh.

Pada saya Zaid tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan demikian. Ia bukan satu penyelesaian. Kalau dia masih berharap untuk meperbaiki PKR caranya bukan begitu. Zaid perlu ingat dan sedar diri bahawa sewaktu rumah PKR di bina beliau berada jauh dari pembinaan itu. Bahkan beliau berada di sebelah sana. Sumbangan Zaid kepada PKR dan juga reformasi tidak sampai sekacip pinang pun.

Celaru atau tidak PKR, Anwar, Azmin dan rakan mereka yang lain ternyata bejaya meletakkan PKR ke puncak yang dirundui oleh Zaid. PKR berjaya menawan empat buah negeri bersama Pas dan DAP. Bukankah atas kejayaan itu maka Zaid terkindir-kindir dan terkenyeh-kenyeh untuk memasukinya?

Kerana percaya PKR lebih baik dari Umno itulah maka Zaid hadir untuk menumpang kemudian mengakarkan diri kemudian menguasai diri dalam PKR. Kenapa selepas beliau merasakan hendak kalah dalam pertandingan yang penuh tektikal itu baru nampak yang PKR buruk dan huduh. Tidakkan sepanjang pertandingan itu Zaid juga turut sama melakukan kegiatan yang huduh dan buruk? Cara hanya nampak salah orang dan melindungi salah kita, tidak betul dong. - MSO

Tiada ulasan: