Selasa, 9 November 2010

shalehudin

shalehudin


Harapan rakyat marhaen - Asri

Posted: 09 Nov 2010 08:00 AM PST

Surat terbuka dari Mohd. Asri kepada Anwar

Saya baru sahaja membaca kenyataan DSAI bahawa kenyataan menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Zaid Ibrahim yang membuat gesaan yang sama. DSAI menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan "digunakan" itu agak berat. Izinkan saya menyebut beberapa perkara;

1. Untuk pengetahuan DSAI, secara peribadi saya (Mohd Asri, gambar kiri) tidak memusuhi DS. Bahkan saya simpati dengan keadaan beliau sekarang. DS sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan DS. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi DS. Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang.

2. DSAI, biasanya apabila saya ingin melontarkan pandangan politik yang besar, saya akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang "pemikir politik" yang - bagi saya - tajam dan kritis. Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian "tidak mesra kerajaan" dan sebahagiannya neutral. Tapi dalam isu "pengunduran DSAI", saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya. Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai "instinct" tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid. Pada awal moderator Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar.

3. Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari website saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam website saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak "garang". Bukan kenyataan exclusive untuk mereka. Sebaliknya, Malaysian Insider danMalaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan.

4. Saya pun tidak tahu bahawa Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu. Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka.

5. Jasa, sumbangan dan kesan DSAI dalam bidang politik akan tetap dikenang dan menjadi sejarah tanahair. Di sudut pemikiran Islam, DSAI jauh lebih luas dari banyak pihak. Dari sudut pidato, DSAI masih mantap. Dari sudut umur, DSAI belum terlalu tua dalam politik. Namun, bagi saya jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira. Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa. Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh.

6. Kita tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan dalam negara ini. Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternatif pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya.

7. Apapun, saya tetap bersimpati dengan pergolakan akhir PKR, parti DSAI (gambar kiri). Namun, hal ini memang boleh dijangkakan oleh ramai pemerhati dari awal lagi. Bukanlah hak saya mencampuri parti DSAI. Tetapi hak saya memberikan harapan atau pandangan kepada Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang kerana mereka mendapat peruntukan negara dan mereka penentu masa depan rakyat.

8. Apa yang berlaku, anggaplah itu pendapat saya secara peribadi. Bukan pandangan hukum, bukan juga satu paksaan. Pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Bak kata Nurul Izzah (gambar kanan), biarlah rakyat dan parti yang menentukan. Pandangan insan terdedah kepada salah dan silap. Apatahlagi pandangan insan kerdil seperti saya. Namun, masa yang berjalan dan peristiwa yang bakal terjadi akan memperlihatkan sejauh manakah kebenaran sesuatu andaian atau ramalan. Jika satu hari DSAI dapat bukti saya silap dalam andaian tersebut, maka rakyat tahu saya membuat andaian yang tidak tepat dan dengan redhanya saya akan berkata "andaian saya salah!". Jika sebaliknya, maka jawapannya pun sebaliknya.

9. Sebagai muslim, apa yang penting bagi saya, hubungan ukhuwwah islamiyyah antara saya dan DSAI harap tidak terputus. Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi. Saya telah sms secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiyyah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi - seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.

Dengan ini, saya harap kenyataan media DSAI itu dapat dilihat sekali lagi. Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada DSAI, Alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara muslim. Wassalam.

*Surat terbuka Mohd Asri Zainul Abidin kepada Anwar Ibrahim, dipetik dari blog bekas mufti Perlis.

Qazaf

Posted: 09 Nov 2010 07:37 AM PST

Kenyataan Akhbar Berhubung Qazaf

By Anwar Ibrahim
KENYATAAN AKHBAR

Pada 23/4/2010 saya telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14/4/2010 di mana Hakim tersebut telah mengenepikan Permohonan saya dalam Kes terhadap Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan atas kesalahan Qazaf. Permohonan saya di Mahkamah Tinggi Syariah adalah supaya:-

Ketua Pendakwa Syarie, Kuala Lumpur diperintahkan untuk menjalankan pendakwaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan atas kesalahan Qazaf tersebut dan

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri diperintahkan untuk tidak menghalang dan mempengaruhi Ketua Pendakwa Syarie daripada menjalankan pendakwaan tersebut.

Antara alasan-alasan Rayuan saya adalah bahawa telah berlaku kesilapan oleh Hakim apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu substantif diperingkat Bantahan Awal. Oleh kerana permohonan saya belum sempat dibicarakan, keputusan mengenepikannya merupakan satu ketidakadilan dilakukan terhadap saya.

Hakim juga telah silap apabila meletakkan kuasa Ketua Pendakwa Syarie menyamai kuasa Peguam Negara sedangkan beliau hanyalah seorang pegawai yang kedudukannya terletak di bawah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Peguam syarie saya sedang menyediakan Rekod Rayuan yang akan difailkan dalam bulan November ini.

BERTARIKH 8 HARIBULAN NOVEMBER 2010

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Elok la camni...

Posted: 09 Nov 2010 06:48 AM PST

Dr Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya "bersara politik."

"Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal - pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

"Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam 'perancangan' untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan 'digunakan' terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar 'bersara politik' bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

"Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari inimempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusanmenggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil

Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang 'garang', laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

"(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

"Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan," katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - yang turut dikaitkan dalam 'perancangan' itu - akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

"Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik - terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur - Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar

"Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot," jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

"Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

"Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi," katanya.

Tak sanggup kalah pi main jauh jauh

Posted: 09 Nov 2010 05:27 AM PST

Aku agak setuju dengan kenyataan Anwar disini. Kehendak Anwar sendiri yang enggan melayan mereka mereka yang tak sanggup kalah perlu diterima seluruh ahli PKR secara terbuka. Aku dapat rasakan Anwar bakal diasak dengan pelbagai tohmahan lagi selepas kenyataannya ini tapi adakah tohmahan tohmahan ini pernah sunyi bagi susuk bernama Anwar ini?

Perjuangan menuntut keadilan ni berduri dan penuh liku. Kita perlukan pejuang yang tahan diuji, bukan sekadar bercakap dikerusi empuk tapi juga yang sanggup bergelumang dengan hanyir peluh rakyat marhaen.

Tindakan Zaid yang aku kira agak keterlaluan itu bagai dibantu kekuatan luar yang diluar kemampuan ahli biasa lain selain Zaid. Kita menerima Zaid seadanya dan kita amat berharap Zaid juga berlapang dada menerima PKR seadanya.

Bidasan terbuka oleh Zaid Ibrahim, yang menggesanya supaya berundur sebagai ketua umum PKR amat menjelikkan. Sebagai ahli politik yang sepatutnya bersama bergerak seiringan dengan parti dan dasar dasar parti, kenyataan terbuka apabila adanya ketidakpuasan hati terhadap sesuatu patutnya dielakkan. PKR bukannya parti yang menutup ruang untuk berwacana didalamnya.

"Itu pendapat peribadinya (Zaid). Jika ada konsensus daripada kepimpinan yang saya harus berundur saya akan patuhinya tetapi saya tidak pernah mendengar perkara seumpama itu," kata Anwar apabila diminta mengulas bidasan Zaid pada sidang medianya hari ini.

Jais main teka teki pulak dah... sah orang Umno ni...

Posted: 09 Nov 2010 02:54 AM PST

War warkan kata ada kes berprofil tinggi ala ala Bung Mokhtar, tapi rahsia... sah orang Umno... wakaka...

 
************************************** 


Poligami: Jais siasat satu lagi kes pasangan profil tinggi

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Selepas pasangan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dan pelakon, Zizie Izette A. Samad, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini menyiasat kes pasangan berprofil tinggi yang berpoligami tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Jais berkata pasangan tersebut turut melakukan kesalahan yang lebih besar apabila dipercayai menggunakan khidmat sindiket jurunikah yang tidak bertauliah di Daerah Gombak.

"Pasangan berkenaan berbuat demikian kerana dipercayai mahu mengambil jalan mudah untuk bernikah segera pada tarikh yang menjadi idaman ramai iaitu 10 Oktober tahun ini," kata Jais.

Kes tersebut membabitkan seorang pegawai biro aduan komuniti bagi sayap pergerakan sebuah parti politik, berusia 32 tahun dan sudah beristeri.

"Pasangannya pula ialah seorang wartawan bahagian berita sebuah stesen televisyen swasta berusia 25 tahun," jelas kenyataan tersebut dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Selain menggunakan khidmat sindiket jurunikah tidak bertauliah, pernikahan pasangan tersebut juga didapati tidak sah kerana wartawan wanita berkenaan tidak memaklum atau mendapatkan izin wali yang sah.

Selain itu katanya, sijil nikah yang dikeluarkan oleh sindiket tersebut kepada pasangan itu juga cuma merupakan sekeping kertas kajang bertulisan jawi.

"Menurut sumber Jais, wartawan wanita berkenaan telah membuat laporan pernikahan itu di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur baru-baru ini tetapi pasangannya belum berbuat demikian.

"Pasangan tersebut dan jurunikah tidak bertauliah yang telah menikahkan mereka, boleh didakwa di mahkamah syariah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

"Kes tersebut dijangka mendapat perhatian umum kerana pasangan lelaki adalah pegawai dari sebuah parti politik, yang pernah terlibat dalam urusan membawa pulang semula wanita Malaysia yang dilarikan lelaki Lombok," jelas kenyataan itu.

Difahamkan, wartawan wanita tersebut adalah seorang anak yatim piatu mualaf (saudara baru) yang tidak begitu arif tentang hukum-hakam Islam, termasuk dalam soal rukun nikah dan Undang-Undang Keluarga Islam.

Pada Ogos lalu, Bung Moktar berjaya mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada Mei lepas bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menerima rayuannya.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan ahli politik dari Sabah itu tetapi memerintahkan Bung Moktar membayar denda RM1,000, dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan penjara enam bulan.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Moktar mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Disember lalu.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.- MI

Letupan gas di Prai

Posted: 08 Nov 2010 09:30 PM PST


Anggota bomba memadamkan api apabila sebuah mesin pengumpulan habuk di kilang membuat rim motosikal, Excel Rim Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Prai meletup, Isnin.

Ketika kejadian pada 10.15 pagi itu, kesemua lapan pekerja yang tercedera dipercayai tercampak akibat letupan gas dan terkena bahang api. Letupan mesin pengumpulan habuk kilang itu juga telah merosakkan dua buah kilang lain yang terletak 100 meter dari kilang itu. - Foto THE STAR Oleh MUSTAFA AHMAD

Jom oii, disko dan karaoke free

Posted: 08 Nov 2010 07:55 PM PST

Umno anjur karaoke di penempatan Orang Asal

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 8 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini diberitahu Umno didakwa menganjur program tidak sihat di penempatan Orang Asal semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini.

Wakil kerajaan negeri mendedahkan program terbabit iaitu disko dan karaoke yang diadakan di penempatan terbabit.

Sedangkan kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam cuba mendekatkan penduduk di penempatan terbabit dengan kefahaman agama.

Malah satu sumber lain pula memberitahu ada pihak dipercayai didalangi Umno membawa minuman arak dan disaji kepada penduduk Orang Asal.

"Kita membawa ustaz untuk mengajar mengenai agama kepada Orang Asal di penempatan mereka. Namun dalam masa yang sama Umno menganjurkan karaoke dan disko.

"Ini menggambarkan di satu ketika kerajaan bimbang gejala sosial begitu parah sekarang, dan dalam masa yang sama menganjur pula program menjurus kepada keruntuhan akhlak," katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning).

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas, enam daerah mengundi membabitkan penduduk Orang Asal iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau dikawal ketat agensi kerajaan pusat diketuai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Jabatan itu difahamkan turut dibantu pasukan tentera dan Rela serta beberapa agensi lain milik kerajaan pusat.

Ketika menjawab soalan asal Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri telah menggubal beberapa enakmen bagi mengekang masalah sosial di negeri ini.

Katanya, enakmen tersebut memberi kuasa bagi mencegah kegiatan maksiat berlaku di negeri ini.

"Ketika kerajaan negeri berusaha keras bagi menangani gejala maksiat, sebaliknya perdana menteri pula mencetus idea mewujudkan hub hiburan malam.

"Biar pun program itu dicadangkan dalam bajet yang dibentangkan perdana menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, namun kesan kepada keruntuhan gejala sosial akan menjadi lebih parah.

"Apa yang dcadangkan itu secara tidak langsung akan menghancurkan masa depan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis pada masa depan," katanya.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO berharap Datuk Seri Najib Razak mengkaji balik cadangan tersebut kerana impak negatif lebih besar.

Malah katanya, ramai pelajar Malaysia yang berada di luar negara menyatakan bantahan terhadap cadangan perdana menteri mewujudkan hub hiburan malam

Hakim pun buat silap

Posted: 08 Nov 2010 07:29 PM PST

Qazaf: Anwar rayu kerana dakwa hakim silap

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara alasan rayuannya bahawa telah berlaku kesilapan oleh hakim apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu substantif di peringkat bantahan awal.

Menurutnya, pada 23 April lalu, beliau telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 April 2010 di mana Hakim tersebut telah mengenepikan Permohonan saya dalam kes terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan Qazaf.

Permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah adalah supaya Ketua Pendakwa Syarie, Kuala Lumpur diperintahkan untuk menjalankan pendakwaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan Qazaf tersebut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri diperintahkan untuk tidak menghalang dan mempengaruhi Ketua Pendakwa Syarie daripada menjalankan pendakwaan tersebut.

"Antara alasan-alasan rayuan saya adalah bahawa telah berlaku kesilapan oleh Hakim apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu substantif di peringkat bantahan awal," ujar Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, oleh kerana permohonan beliau belum sempat dibicarakan, keputusan mengenepikannya merupakan satu ketidakadilan dilakukan terhadapnya.

Menurutnya, hakim juga telah silap apabila meletakkan kuasa Ketua Pendakwa Syarie menyamai kuasa Peguam Negara sedangkan beliau hanyalah seorang pegawai yang kedudukannya terletak di bawah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Peguam syarie saya sedang menyediakan Rekod Rayuan yang akan difailkan dalam bulan November ini," ujarnya.

Teresa pun terkedu...

Posted: 08 Nov 2010 04:00 PM PST

Sumbangan PKR di S'gor: Teresa Kok tak dapat jawab

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Industri Selangor Teresa Kok, hari ini tidak dapat menjawab soalan yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai sumbangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menaik taraf kawasan perindustrian di negeri itu.

Ketika diajukan soalan itu oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai perkara berkanaan, Kok berkata : "Saya tidak ada statistik."

Sebelum itu, beliau berkata Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) pada tahun 2009 telah memperuntukkan RM28 juta bagi menaik taraf 24 kawasan perindustrian di Selangor.

Bagaimanapun, Kok berkata kawasan perindustrian di Selangor terutama di luar bandar berada dalam keadaan "sangat teruk".

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan, yang mengutip cukai daripada pelabur, sepatutnya menyalurkan peruntukan yang lebih bagi meningkatkan prasarana perindustrian di Selangor memandangkan Selangor menyumbangkan lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semasa menjawab soalan Lee Ying Ha (DAP-Teratai), Kok berkata kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pengurusan kawasan perindustrian bagi memudahkan pelabur menyuarakan sebarang masalah mengenai penyelenggaraan kawasan perindustrian di Selangor. - Bernama

Tuduh mudah, nak bukti tu yang susah...

Posted: 08 Nov 2010 02:00 PM PST

Saya di sebalik segala-galanya, acah Azmin

Salhan K Ahmad
Naib presiden PKR Azmin Ali enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau terlibat dalam proses pemilihan parti itu yang sedang berlangsung sehingga menyebabkan pencabarnya Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut, beliau secara berjenaka berkata "malangnya saya adalah (dalang) di sebalik segala-galanya."

Bercakap selepas sesi pembentangan bajet 2011 di bangunan DUN Selangor hari ini, Azmin berkata beliau menyerahkan dakwaan-dakwaan berkenaan supaya disiasat oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk membuat apa-apa komen berkenaan hal itu, dan saya percaya setiausaha agung telah membuat satu kenyataan keras semalam untuk menjelaskan keadaan itu.

"Demi kebaikan keseluruhan proses (pemilihan) ini, saya rasa kita patut benarkan setuausaha agung dan JPP untuk menyiasat aduan ini dan bertindak sewajarnya," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan keputusan Datuk Zaid Ibrahim untuk mengundurkan diri daripada pemilihan timbalan presiden PKR sebagai satu "keputusan peribadi."

"Itu keputusan dia, daripada awal saya melihat ini adalah satu persaingan sihat di dalam parti dan merupakan satu pertandingan persahabatan di kalangan pimpinan untuk menawarkan khidmat.

"Dan sekiranya benar beliau mengambil keputusan (menarik diri), itu adalah keputudsan peribadinya walaupun saya melihat daripada awal penglibatan Datuk Zaid dalam parti adalah untuk bersama untuk membawa perubahan," katanya lagi.

Azmin yang kini mendahului pencabar lain dengan majoriti sebanyak 2,620 undi setakat ini juga berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh anggota parti, khususnya di negeri sabah dalam dua hari semalam.

"Saya berasa gembira untuk menyatakan bahawa sokongan terhadap saya sejak dua minggu lalu adalah amat memberansangkan.

"Ini adalah proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding dalam pemilihan parti.

Ditanya sekiranya tindakan Zaid mengundurkan diri daripada bertanding hari ini akan memberi kemenangan kepadanya, Azmin berkata beliau tidak mahu membuat apa-apa spekulasi.

"Sebab ada lagi beberapa negeri yang akan menjalankan pemilihan pada hujung minggu ini dan hujung minggu depan.

"Kita akan tunggu sehingga cabang yang terakhir bermesyuarat pada 21 November sebelum kita buat rumusan mengenai proses ini,

"Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ini sebagai satu proses demokrasi dalam parti.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihannya, Azmin - kini naib presiden - di depan dengan 6,525 undi, manakala Zaid mendapat 3,905 diikuti Mustaffa Kamil Ayub dengan 1,215 undi.

Tiada ulasan: