Ahad, 28 November 2010

PAKATAN RAKYAT N15 DUN JUASSEH

PAKATAN RAKYAT N15 DUN JUASSEH


Nik Aziz juga akui Anwar pemimpin anugerah Tuhan

Posted: 28 Nov 2010 11:07 AM PST

November 28, 2010

GUA MUSANG, 28 Nov — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyifatkan pemimpin seumpama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat dan "dianugerahkan oleh Tuhan."

"Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya (gambar).

Semalam, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam ucapannya pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR, berkata Anwar adalah anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat di negara ini.

"Apa yang tidak pernah dialami oleh Saudara Anwar? Ditangkap, di ISAkan, dipukul, disiksa, diaibkan dan dihumban ke penjara.

"Sejak merdeka, tidak pernah ada tokoh negara lain yang difitnah, dihina dan disiksa secara berterusan seperti yang dialami Saudara Anwar. Namun, beliau tetap gagah dan tabah meneruskan perjuangan bersama kita," katanya.

Wan Azizah bertanya apakah rahsia sebenar sehingga beliau tetap kental sehingga ke hari ini.

"Jawapan saya adalah Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan untuk kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat.

"Jika beliau insan biasa seperti kita, sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlalu," kata beliau.

Nik Aziz berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah tapak projek Bandar Utama Gua Musang, di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS, yang memerintah Kelantan selama 20 tahun sejak 1990, tidak pernah menolak pembangunan dan sentiasa memberi keutamaan untuk faedah rakyat.

"Saya masih ingat semasa saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dahulu ada pelbagai pihak yang menuduh saya macam-macam.

"Antaranya pemerintahan kerajaan PAS bawah pimpinan saya tidak lama kerana tidak mampu melaksanakan projek pembangunan tetapi ketabahan itu berjaya memerintah Kelantan sampai sekarang," katanya.

Nik Aziz berkata antara usaha pembangunan ialah dengan melaksanakan projek pembinaan rumah Bandar Utama Gua Musang dan beliau yakin pembangunan itu hasil usahasama Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Syarikat Bandar Utama Gua Musang Sdn Bhd, akan mampu menampung keperluan rumah yang meningkat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan dalam projek seumpama itu asalkan ia boleh membawa kemajuan serta faedah untuk seluruh rakyat di Kelantan.

Elizabeth Wong undi tertinggi MPP

Posted: 28 Nov 2010 10:44 AM PST

PKR sahkan Azmin timbalan presiden, Elizabeth Wong undi tertinggi MPP

TERKINI @ 06:47:21 PM 28-11-2010
November 28, 2010

PETALING JAYA, 28 Nov - Di sebalik proses pemilihan langsung bersejarah yang turut dicemari dakwaan kecacatan dan kepincangan, Azmin Ali hari ini secara rasmi diumumkan sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru.

Azmin menggantikan Senator Dr Syed Husin Ali yang menyandang jawatan itu sejak 2003.

Naib Presiden itu menewaskan pencabarnya yang juga Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan memperoleh undi sebanyak 19,534.

Azmin merupakan timbalan presiden keempat PKR yang ditubuhkan April 1999.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan jawatannya tanpa cabaran.

Awalnya jawatan timbalan presiden ditandingi oleh Datuk Zaid Ibrahim tetapi menarik diri selepas minggu kedua pengundian atas alasan wujud kepincangan dalam proses pemilihan.

Mustaffa juga membuat dakwaan itu tetapi meneruskan saingan dengan protes.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Hishamuddin Ismail ketika Kongres Nasional PKR yang berakhir hari ini.

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului senarai apabila menerima 13,211 undi.

Ini kali pertama Puteri Reformasi itu bertanding jawatan itu.

Kesemua empat naib presiden yang dipilih merupakan muka baru.

Turut memegang jawatan itu Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang mendapat 11,744 undi, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (8,927) dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datu Dr Mansor Othman (8,576).

Bagi 20 jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Elizabeth Wong mendapat undi tertinggi dengan menerima 10,897 undi.

Ia diikuti Badrulamin Bahron (9,672), Hee Loy Sian (8,473), Khalid Jaafar (7,889), Johari Abdul (7,719) dan Abdul Rahman Yusof (7,719).

Turut dipilih menjawat ahli MPP yang baru adalah Haniza Talha (7,588), Fariz Musa (7,511), Zakaria Abdul Hamid (7,170), Roland Chia Ming Shan (7,095), Siti Aisah Shaik Ismail (6,876), Ismail Yusof (6,332), Latheefa Koya (6,242), S. Kesavan (6,139), Shuhaimi Shafiei (6,095), M. R. Shamugam (5,964), Yusmadi Yusoff (5,810), S. Manikumar (5,789), Mustafa Kamal Yusoff (5,745), Christina Liew (5,707).

Anwar mahu kumpul semua calon kalah

Posted: 28 Nov 2010 09:17 AM PST




Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa calon-calon yang kalah dalam pemilihan PKR, termasuk naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub, tidak akan diketepikan oleh parti.


Sebaliknya, kata beliau, mereka akan diberikan peranan tertentu dalam dalam kepimpinan parti sebagai usaha memperkuatkan PKR.

"Mengapa beliau (Mustaffa Kamil) harus diketepikan. Beliau adalah orang yang teruji... Kita akan panggil semula rapatkan kepimpinan," katanya ketika menyampaikan ucapan di akhir kongres PKR di Petaling Jaya.

Katanya, selain Mustaffa, beliau juga akan memanggil calon yang kalah antaranya, calon Ketua Pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin dan ahli parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Mustaffa berkata beliau akan berbincang dengan kepimpinan baru yang dilantik untuk memberi peranan kepada pihak yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Dalam ucapan juga, Anwar menjanjikan peranan yang penting kepada pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dalam memperkuatkan barisan kepimpinan parti itu.

Mengulas tentang aduan kelemahan pengurusan pemilihan, Anwar berkata perkara itu akan diperbaiki termasuk memberi jaminan bahawa partinya akan menjawab segala aduan yang dikemukakan.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan berpesan kepada perwakilan supaya tidak rasa tergugat dengan serangan yang dilemparkan kepada Anwar dan PKR.

Sambil mengungkap kembali apa yang dihadapinya sejak suaminya dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri, beliau menegaskan tidak rasa tergugat dengan semua itu.

"Saya pergi kemana-mana, ada orang pandang hina kepada saya. Saya tidak terasa apa-apa, sebab saya percaya kepada keadilan. Peduli apa orang kata," katanya.

Tiada ulasan: