Ahad, 21 November 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Garis Panduan Hasutan Siber Akan Dikuatkuasakan

Posted: 21 Nov 2010 01:04 AM PST

Garis panduan hasutan siber siap minggu depan

Satu garis panduan yang memberi definisi terperinci mengenai kesalahan hasutan dalam konteks dunia siber akan diperkenalkan dan dijangka siap minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Tanpa menyatakan bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata setakat ini, ia sedang diperhalusi.

Katanya, proses merangka draf garis panduan itu turut melibatkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz serta Jabatan Peguam Negara.

Hishamuddin berkata walaupun dari sudut perundangan maksud kesalahan hasutan secara jelas membabitkan cetakan, ucapan dan bentuk elektronik, bagi dunia siber, ia belum lagi diperincikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gantian Mykad satu hari di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak di Kuching hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata mulai tahun depan, JPN akan memperluaskan inisiatif gantian MyKad satu hari di seluruh negara secara berperingkat.

"Sejumlah RM42 juta diperuntukkan kepada JPN dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan inisiatif ini melalui projek percetakan MyKad secara teragih,"katanya.

"Pelancaran perkhidmatan di Sarawak jelas menunjukkan rakyat negeri ini turut berpeluang menikmati kemudahan setara seperti dikecapi oleh rakyat di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata selain Sarawak, kemudahan gantian Mykad satu hari juga terdapat di ibu pejabat JPN Putrajaya dan Melaka.

Katanya, sebelum ini, pemohon gantian MyKad terpaksa menunggu sebulan bagi mendapatkan Mykad baru. --Bernama

Ulasan GB

GB nak ulas pun bendanya belum ada lagi. Ia sedang diperhalusi. Jika di dalam dunia, polis FRU akan bawa belantan, pistol dan gari untuk menangkap siapa saja yang didakwanya "penghasut", kita belum tahu lagi bagaimana caranya nanti di alam siber.

Malah istilah "hasutan" itu sendiri mempunyai pelbagai interpretasi.

Blogger yang meluahkan pandangannya melalui blog masing-masing tidaklah boleh dianggap "penghasut" semata-mata kerana pandangannya tidak selari dengan pandangan mainstream.

Apa-apa pun kita tunggu garis panduan tersebut.


Cedera Parah Dibelasah Samseng

Posted: 20 Nov 2010 11:45 PM PST

Kulim: "Ketika mangsa membuka kedai, tiba-tiba sekumpulan samseng datang dan membelasahnya tanpa belas kasihan.

Gambar: Anggota paramedik Hospital Kulim merawat mangsa di tempat kejadian sebelum membawanya ke hospital.

"Mangsa lari menyelamatkan diri menuju ke panggung wayang tetapi samseng terbabit sempat mengejar sebelum membelasah serta melibasnya dengan parang," kata saksi kejadian seorang lelaki yang juga pekerja kedai di sebuah pasar raya di sini menjadi mangsa tetak sekumpulan samseng, kelmarin.

Saksi yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku terlalu pantas, malah ketika itu suasana bising dengan jeritan mangsa dan kumpulan lelaki berkenaan.

"Orang ramai terkejut dengan kejadian itu, malah mencari tempat berlindung untuk menyelamatkan diri kerana kumpulan terbabit sangat ganas.

"Risau dengan keselamatan diri, saya hanya melihat kejadian dari jauh serta menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian serta memohon bantuan ambulans dari Hospital Kulim," katanya.

Katanya, selepas membelasah mangsa, kumpulan samseng itu sempat mengugut orang ramai supaya tidak campur tangan atau menerima nasib sama seperti mangsa sebelum mereka melarikan diri dengan dua kereta.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 20 tahun cedera parah di kepala serta badan akibat dipukul selain ditikam dengan senjata tajam.

Mangsa dirawat di tempat kejadian oleh petugas paramedik Hospital Kulim sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal serta maklumat orang ramai mendapati sekumpulan lelaki bersenjata menyerang mangsa kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa membuka kedai majikannya.

"Siasatan awal mendapati mangsa diserang kira-kira tujuh lelaki menaiki dua kereta.

"Mangsa dipercayai dipukul di depan kedai itu sebelum melarikan diri ke arah panggung wayang kira-kira 10 meter dari kedai terbabit," katanya.

Menurutnya, cubaan menyelamatkan diri gagal apabila kumpulan lelaki terbabit sempat menahan mangsa berdekatan panggung wayang.

Katanya, mangsa sekali lagi dipukul serta ditikam di kepala, badan, tangan serta belakang, menyebabkannya rebah.

"Polis masih menyiasat motif serangan dan sehingga kini kita belum memperoleh maklumat daripada mangsa kerana masih dirawat di hospital.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Sehubungan itu Chin turut memohon orang ramai menyalurkan maklumat di Balai Polis Kulim atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -hm

Keutamaan MCA Terhadap Projek Mega Diselar

Posted: 20 Nov 2010 10:45 PM PST

Keterujaan pemimpin MCA dalam projek-projek mega berbanding kepentingan rakyat merupakan budaya yang sangat tidak sihat.

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, Georgetown pada 20 November 2010.

Kong Cho Ha harus menjelaskan apa salahnya MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. mengeluarkan surat jaminan bagi melindungi kepentingan awam berhubung masalah banjir tatkala Kementerian Pengangkutan boleh mengeluarkan surat jaminan untuk syarikat swasta membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.85 bilion.

Keterujaan pemimpin MCA dalam projek-projek mega berbanding kepentingan rakyat merupakan budaya yang sangat tidak sihat. Menteri Pengangkutan, Kong Cho Ha terus mengeluarkan kritikan tidak berasas ke atas arahan berhenti kerja Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (EDTP) bernilai RM13 bilion walaupun arahan berhenti kerja itu telah ditarik balik apabila kontraktor mematuhi permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengeluarkan surat jaminan bertulis bagi melindungi warga awam dengan langkah-langkah mencegah banjir.

Gesaan Cho Ha berhubung arahan berhenti kerja itu tidak sepatutnya dikeluarkan dari awal lagi kerana kontraktor boleh memberi sebarang penerangan, tertinggal fakta kritikal dalam melindungi kepentingan awam dengan surat jaminan bertulis. Saya tidak faham bagaimana kerajaan negeri telah membuat pusingan balik atau U-turn dengan mengalah dan menarik balik arahan berhenti kerja, apabila kontraktor telah mematuhi sepenuhnya 2 syarat dalam bentuk bertulis yakni :-

* akan menanggung semua kerugian jika banjir besar yang melanda Kedah turut menimpa Pulau Pinang ekoran projek tersebut.

* mesti juga mengalih serta meruntuhkan apa jua struktur binaan yang menyebabkan takungan atau limpahan air jika berlakunya banjir.

Kong Cho Ha harus menjelaskan apa salahnya MMC-Gamuda JV Sdn Bhd mengeluarkan surat jaminan melindungi orang awam berhubung masalah banjir ketika Kementerian Pengangkutan boleh mengeluarkan surat jaminan kepada syarikat swasta membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.85 bilion? Atau ini bermakna syarikat swasta lebih penting dari warga awam?

Sehingga hari ini, kontraktor memberi kerjasama dan tidak membantah apabila arahan berhenti kerja itu dikeluarkan. Saya ingin mengingatkan Cho Ha bahawa rakyat adalah tuan sebenar, bukan kontraktor atau Kementerian Pengangkutan.

Cho Ha juga memutar-belit isu ini dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri sengaja menjadikan kehidupan lebih sukar dengan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam projek-projek mega. Serangan seperti ini adalah tidak berasas kerana jika ini benar, kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek bernilai RM13 bilion itu.

Choa Ha sepatutnya jelas bahawa isu ini hanyalah satu, yakni gesaan kerajaan negeri kepada kontraktor untuk mengeluarkan surat jaminan bertulis berkenaan langkah-langkah mencegah banjir tetapi beliau sebaliknya pula menegaskan tiada keperluan mengenainya. Perkara ini telah selesai apabila kontraktor mematuhi sepenuhnya permintaan kerajaan negeri mengenai surat jaminan bertulis tersebut.

Banjir besar yang melanda Kedah telah menunjukkan bahawa ukuran kawalan banjir biasa oleh kontraktor selepas runding cara sepenuhnya bersama JPS dan JKR tidak lagi boleh digunakan. Kerajaan negeri, oleh itu, memilih untuk mengguna pakai pendekatan pro-aktif dalam pengurusan krisis banjir dengan mengambil pendekatan awalan yang bermatlamat mengurangkan kesan buruk akibat banjir.

Kong Cho Ha seharusnya menyedari bahawa kediaman dan kehidupan rakyat, berbilion ringgit hasil pelaburan taman industri berteknologi tinggi di Prai dan Bukit Minyak kini berdepan risiko banjir. Pulau Pinang dan 1.6 juta penduduk pulau mutiara ini tidak mampu menanggung bebanan akibat banjir seperti yang berlaku di Kedah baru-baru ini dan semua langkah berjaga-jaga harus diambil bagi memastikan jika banjir berlaku, kerugian dalam diminimakan.

LIM GUAN ENG

Akta Pengangkutan Jalan Bakal Dipinda Untuk Bolehkan Kenderaan Elektrik Digunakan Tahun Depan

Posted: 20 Nov 2010 09:45 PM PST

Kementerian Cadang Akta Pengangkutan Jalan Dipinda

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan kenderaan elektrik didaftarkan dalam negara, kata Menteri Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata pada masa ini, kenderaan elektrik tidak boleh didaftarkan disebabkan oleh akta itu yang mengkehendaki pendaftaran nombor casis dan enjin, sementara kenderaan elektrik tidak mempunyai nombor enjin.

"Pindaan berkenaan akan dibentangkan pada kabinet bulan depan," kata beliau kepada pemebrita selepas merasmikan Karnival Motor New Straits Times-Maybank COTY2U 2010 di sini, Sabtu.

Karnival Motor COTY2U dianjurkan oleh Cars, Bike and Trucks, penerbitan permotoran New Straits Times.

Acara dua hari itu, bermula hari ini diadakan sempena Anugerah Kereta Terbaik 2010.

Karnival itu dibuka kepada orang ramai dengan bayaran RM5 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak di bawah ketinggan lima kaki.- BERNAMA


UPM reka prototaip kereta elektrik

KUALA LUMPUR Senario kesesakan tempat letak kereta di Putrajaya telah memberi ilham kepada sekumpulan penyelidik muda Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan sebuah kereta kompak elektrik berteknologi tinggi.

Kereta berkonsepkan futuristik yang dikenali sebagai Putrajaya Cell City Car diharap dapat mengurangkan masalah tempat letak kereta yang semakin kritikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Menurut Ketua Penyelidiknya, Sazrinie Zainal Abidin, kenderaan elektrik yang mempunyai saiz menyamai kereta jenama Kancil dan kereta Smart keluaran Mercedes Benz itu mempunyai tiga tayar dengan dua tempat duduk dan mampu memecut sehingga 150 kilometer sejam.

Kami mencipta kenderaan yang serba moden. Selain soal letak kereta, kereta ini mudah dan selesa untuk dipandu dan sememangnya sangat praktikal selain berprestasi untuk dipandu di bandar seperti Putrajaya.

Kereta ini juga mesra alam kerana tidak bergantung kepada petrol dan diesel. Bateri kereta juga mampu bertahan selama dua hari, katanya sambil menambah kereta masa depan itu juga sesuai dipandu di kawasan berbukit.




Isu Patriotisme: Zahid Dah Terhantuk Bakal Terkangkang Pula

Posted: 20 Nov 2010 08:45 PM PST

Isu patriotisme: Saya jawab usul MP DAP 13 Dis, kata Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menjawab di Dewan Rakyat pada 13 Disember ini berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran baru-baru ini.

Zahid (gambar) sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penjelasan mengenai usul Ahli Parlimen Ipoh Barat akan saya jawab 13 Disember di Parlimen. DAP Perak pun dah tolak dia?" kata beliau yang juga Naib Presiden Umno dalam mesej Twitter.

Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Zahid akan berhadapan dengan perbahasan usul dipotong gaji RM10 ekoran jawapan beliau mengenai sebab-sebab bukan Melayu kurang menyertai ATM di Dewan Rakyat dua minggu lalu.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Kulasegaran ketika dihubungi berkata, beliau belum dimaklumkan tarikhnya tetapi lazimnya akan diketahui beberapa hari sebelum ditetapkan oleh Parlimen.

"Perlu menunggu giliran (tarikh usul dibawa)," kata Kulasegaran sambil menambah, "adalah sesuatu yang baik beliau sedia tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang beliau mengatakan demikian sebelum ini."

"Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi," kata Zahid di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jakarta yang dipetik Bernama keesokan hari, Zahid mendakwa ATM tidak ada prasangka kaum dalam pengambilan anggotanya dan oleh itu tidak timbul persoalan bukan Melayu kurang semangat patriotisme.

Zahid berkata rakyat daripada semua kaum boleh menyertai ATM dan berpeluang menyandang jawatan berpangkat tinggi.

Kata beliau, jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kesemua anggota Kabinet telah diarah agar tidak lagi membincangkan secara terbuka isu itu.

Kata beliau, Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pendekatan bagi menambah bilangan bukan Melayu dalam ATM.

"Kami telah mengambil pendirian, memandangkan Kabinet dan Perdana Menteri telah menasihatkan kami bahawa tiada lagi, kesemua bentuk retorik dan hujah secara terbuka.

"Buat kerja untuk membuktikan bahawa kita ini ikhlas dalam mahukan perkhidmatan tentera diwakili dengan baik (oleh semua kaum)," kata beliau. -TMI


Siapa kata tentera untuk Melayu saja?

Statistik pengambilan perajurit ATM pada 2009 menunjukkan kaum Melayu mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 91.55 peratus berbanding kaum Cina iaitu 0.1 peratus diikuti India sebanyak 1.01 peratus dan lain-lain kaum sebanyak 7.35.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, dakwaan bahawa ATM untuk kaum Melayu sahaja juga adalah tidak berasas, lapor Bernama.

"Siapa cakap ATM untuk orang Melayu sahaja. Hanya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sahaja yang dikhususkan untuk orang Melayu, selain daripada itu ia adalah terbuka (untuk semua).

"Kita masih ada pelbagai cabang lagi. Tentera Laut (TLDM) dan udara (TUDM), ia dibuka untuk semua bangsa dan kita tidak memberi layanan istimewa untuk satu-satu bangsa itu," beliau dipetik sebagai berkata.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada perdebatan panas berhubung kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa bukan Melayu kurang patriotik kerana tidak berminat menyertai tentera.

Banyak pihak tampil mempertikaikan kenyataan itu, termasuklah oleh bekas-bekas pegawai tentera.-mk


Pemilihan PKR Kecoh Lagi, Di Hulu Selangor Pula

Posted: 20 Nov 2010 08:27 PM PST

Pemilihan Cabang Hulu Selangor kecoh

KUALA KUBU BHARU: Proses pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor di Dewan Merdeka di sini, tegang selepas 100 ahli bertindak menghalang proses itu, semalam.

Kekecohan bermula jam 9 pagi apabila kumpulan ahli yang tidak berpuas hati bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi daripada memasuki pekarangan Dewan Merdeka. Tindakan kumpulan itu menyebabkan proses pemilihan yang sepatutnya bermula 10 pagi, ditangguhkan selama dua setengah jam.

Ketegangan memuncak apabila petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertegas meneruskan pemilihan tetapi dihalang ahli tidak berpuas hati. Kekecohan ini kemudian menyaksikan adegan tolak menolak, perang mulut dan cabar mencabar antara pihak terbabit kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Situasi tegang berterusan 15 minit berikutan ahli tidak berpuas hati dengan proses pemilihan MPP yang tidak dilakukan serentak dengan pemilihan semula cabang itu. Pada 2 Oktober lalu, pemilihan ketua cabang dibatalkan kerana didakwa tidak telus.

Sebelum ini, pemilihan Ketua Cabang Hulu Selangor yang mempunyai kira-kira 8,000 ahli berdaftar menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Seorang calon ketua cabang, Zahar Rusuli berkata, petugas JPP gagal menunjukkan surat kuasa untuk mengendalikan pemilihan MPP tanpa mengadakan pemilihan semula cabang.

"Kita halang pengundian MPP sebab masalah pemilihan cabang belum selesai. Kita hanya mahu masalah pemilihan cabang diselesaikan dulu untuk menghormati suara ahli-ahli di bawah dengan pemilihan telus," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zahar mendakwa, pemilihan cabang yang menyaksikan Mohamed Nazar Yakin muncul sebagai pemenang ketua cabang pada 2 Oktober lalu adalah tidak sah.

"Ini kerana berlaku penyelewengan seperti jumlah kertas undi melebihi jumlah pengundi. Ini menyebabkan pemilihan itu dibatalkan sebelum pemilihan serentak yang sepatutnya diadakan hari ini (semalam)," katanya.

Mengenai surat JPP kepada setiausaha cabang pada 10 November lalu yang menyatakan proses pemilihan cabang itu sah, Zahar berkata:

"Surat itu sah atau tidak, tak tahu kesahihannya sebab PKR, atas cakap lain, bawah cakap lain, tengah cakap lain."

Seorang lagi calon ketua cabang, M Pubalan berkata, beliau menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar kelmarin supaya pemilihan cabang yang didakwa tidak telus atas beberapa faktor termasuk undi hantu, dilakukan semula. -BH

Kerajaan Pusat Berhasad Dengki Terhadap Dinar Kelantan

Posted: 20 Nov 2010 06:30 PM PST

Hasad dengki punca Pusat enggan iktiraf Dinar Kelantan

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Tindakan kerajaan Pusat tidak mengiktiraf penggunaan Dinar dan Dirham Kelantan dibayangi sifat prejudis dan hasad dengki terhadap pemerintahan PAS, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas jawapan bertulis Menteri Kewangan terhadap soalan lisannya di Dewan Rakyat yang bertanya pendirian Kerajaan Pusat tentang pengenalan Dinar dan Dirham yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri dalam jawapannya mendakwa penggunaan wang emas dan perak dalam urus niaga akan menyebabkan orang ramai menanggung risiko harganya yang sentiasa turun naik.

Selain itu, pengguna juga akan bermasalah untuk mengesahkan ketulenan emas atau perak serta kemungkinan berlakunya pemalsuan yang berleluasa.

"Amat malang sekali jawapan dari Menteri Kewangan adalah seperti tertera di atas.

"Ternyata apabila Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai instrumen kewangan selain dari mata wang – 'legal tender', kerajaan BN terus mengecam seolah-olah ia satu kesalahan.

"Prejudis itu juga terserlah dengan memaparkan pelbagai aspek negatif dan risiko yang kononnya akan menimpa rakyat dan pengguna," kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Emas pada 12 Ogos lalu atas penegasan ianya bukanlah matawang, tetapi hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade (perdagangan pertukaran).

Menurut Dzulkefly, prejudis tersebut jelas boleh dilihat apabila Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082.

Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.

"Sungguh malang andainya pimpinan Umno terus menyimpan perasaan prejudis sehinggakan yang rugi ialah rakyat sementara kebaikan yang mahu disampaikan kepada umat terhalang kerana sikap yang sempit dan perasaan yang dilingkungi hasad.

"Pemikiran yang waras dan jiwa yang murni akan dapat mengenali betapa 'politik sempit' dan kelonggaran pegangan kepada agama Islam akan meletakkan perhitungan kepentingan politik kepartaian mengatasi tuntutan kewajaran dan kebenaran yang dianjurkan oleh Islam," katanya. -harakahdaily

Mangsa Gunung Merapi Pulang Berama-ramai

Posted: 20 Nov 2010 05:50 PM PST

Gunung Merapi, Indonesia -- Beribu-ribu penduduk kampung kembali semula ke kediaman mereka di kaki Gunung Merapi selepas ia semakin kurang aktif sejak beberapa hari lepas.

Gambar: BEBERAPA petugas mencari mangsa-mangsa letusan Gunung Merapi di Balerante, Klaten, Indonesia, kelmarin.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional memberitahu, hampir separuh daripada 400,000 orang sudah pulang selepas pemerintah mengurangkan zon merbahaya dari 20 kilometer kepada sekitar 10 kilometer dari kawah Gunung Merapi kelmarin.

Pegawai bencana, Muhammad Anshori semalam berkata, sekitar 270,000 pelarian masih tinggal di kem-kem sementara kerana rumah mereka musnah atau mengalami kekurangan air dan makanan.

Agensi bencana berkenaan menambah, angka kematian akibat siri letusan Gunung Merapi sejak 26 Ogos lalu kini meningkat kepada 283 orang, selepas beberapa mangsa meninggal dunia kerana melecur dan lebih banyak mayat ditemui dari dalam timbunan serpihan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapangan Terbang Yogyakarta yang terletak sekitar 30 kilometer dari Gunung Merapi dibuka semula semalam selepas ditutup selama dua minggu akibat letusan gunung berapi itu. - Agensi/Kosmo

Hukuman Ke Atas Gadis Malaysia Dikurangkan Kepada 12 Tahun Penjara

Posted: 20 Nov 2010 04:15 PM PST

Pasir Puteh: "Jika benar hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap anak saya dikurangkan kepada hanya 12 tahun, saya sekeluarga sangat bersyukur.

"Selama ini saya ingat anak sulung saya akan mati di dalam penjara, namun mimpi ngeri itu nampaknya akan bertukar," kata Mohamad Lazim, 54, ayah kepada Umi Azlim (gambar), 26, gadis Malaysia yang dipenjara di Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar hampir tiga kilogram heroin.

Mohamad Lazim berkata, berita gembira itu diperolehnya daripada seorang saudara yang berhubung dengan kakitangan kedutaan Malaysia di China dan berharap ia adalah benar.

"Setakat ini saya berharap apa dikhabarkan kepada saya benar belaka. Saya bersyukur kerana rayuan dibuat sebelum ini mungkin mendapat maklum balas daripada mahkamah di China," katanya.

Menurutnya, sebelum ini keluarganya tertekan kerana Umi Azlim dijatuhi hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup.

"Saya menganggap jika benar hukuman ke atas Umi Azlim dikurangkan kepada penjara 12 tahun, tiada yang lebih menggembirakan adik- beradiknya, terutama adik kembarnya Umi Azmira dan Umi Azuraiha, 18.

"Meskipun kami sekeluarga belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu, sedikit sebanyak berita ini menceriakan kami, malah memberi harapan rayuan kami mungkin diterima," katanya yang bekerja sebagai mekanik di Taman Desa Anda, di sini, semalam.

Mohamad Lazim (gambar) berkata, dia menyerahkan surat rayuan itu kepada pihak mahkamah ketika melawat Umi Azlim bersama arwah isterinya, Umi Slaia Ibrahim dan penyelaras Tabung Umi Azlim, Hu Pang Chaw, tiga tahun lalu.

"Pada awalnya kami menjangkakan hukuman penjara seumur hidup itu yang terakhir dikenakan terhadap Umi Azlin dan menganggap mungkin hayatnya akan berakhir di sana.

"Namun kini dengan berita yang kami peroleh, mungkin harapan untuk dia dibebaskan akan terlaksana," katanya.

Menurutnya, daripada maklumat yang diberitahu kepadanya, bukan anaknya saja yang kini dipenjara di China atas kesalahan dadah, malah ramai lagi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama.

"Sebagai bapa, saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pekerjaan anak mereka, terutama jika membabitkan perjalanan ke luar negara.

"Saya tidak mahu apa yang menimpa anak saya turut berlaku ke atas anak orang lain dan anggaplah ia sebagai pengajaran," katanya yang memaklumkan dia mendapat tahu mengenai berita itu melalui adiknya pada sambutan Aidilfitri lalu.

Sebelum ini, Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007, tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima.

Kumpulan Dedah Payu Dara Popular Di Ukraine

Posted: 20 Nov 2010 03:03 PM PST

Kumpulan dedah payu dara jadi popular di Ukraine

GAMBAR fail menunjukkan seorang anggota polis menangkap seorang anggota pertubuhan wanita Femen yang mendedahkan payu dara di depan sebuah ibu pejabat polis di Kiev, Ukarine pada 9 November lalu.

KIEV, Ukraine - Bagaimanakah cara untuk memprotes keganasan domestik, rasuah dan lawatan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin ke Ukraine?

Jawapannya ialah tanggalkan coli anda.

Sekumpulan aktivis muda termasuk wanita semakin menjadi popular kerana mereka melancarkan protes dengan tidak memakai baju.

Wanita-wanita yang mendedahkan payu dara itu turut bergelut dengan anggota-anggota polis yang menangkap mereka.

"Jika seksualiti digunakan untuk menjual kereta dan biskut, kenapakah tidak menggunakannya untuk tujuan sosial dan projek politik," kata seorang pemimpin kumpulan aktivis itu, Anna Hutsul, 26.

Dia yang menjadi anggota pertubuhan Femen berkata: "Kadangkala anda perlu menunjukkan payu dara anda untuk tujuan ideologi."

Kumpulan itu yang ditubuhkan dua tahun lalu kini menjadi pergerakan yang popular sehingga mendapat liputan berita, program bual bicara dan blog gosip.

Anggota-anggota kumpulan itu menjadi amat popular sehinggakan Hutsul merancang untuk melancarkan parti politik bagi bertanding mendapatkan kerusi di Parlimen. - AP

Lim Kit Siang Sudah Nampak, Peringatkan Pemimpin PR Selesaikan Masalah Dalaman

Posted: 20 Nov 2010 07:26 AM PST

PRU-13: Kit Siang ingatkan PR, BN jangan hanyut dibuai mimpi

KUALA LUMPUR, 20 Nov —Lim Kit Siang mengingatkan kedua-dua rakan dan pesaingnya - BN dan Pakatan Rakyat (PR) agar tidak terlampau yakin bahawa keputusan pilihan rakyat umum ke-13 pastinya akan memihak ikatan masing-masing.

Pemimpin veteran ini (gambar) mendakwa BN dan PR berhadapan dengan "malapetaka" andaian politik hanya berdasarkan perkembangan semasa.

"Kesilapan besar bagi BN ialah mengandaikan bahawa ia masih boleh mengekalkan Putrajaya dan boleh menang balik kerajaan negeri Kedah dan Selangor daripada PR berdasarkan kejayaan dalam pilihan raya kecil Galas, Batu Sapi, Hulu Selangor dan Bagan Pinang," kata penasihat DAP ini di Kota Kinabalu hari ini.

Kenyataannya dikeluarkan di ibu negara.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin BN kelihatan terlalu yakin selepas membaca komen bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perikatan itu boleh merampas balik Kedah dan Selangor, negeri terkaya dan paling maju.

Ahli Parlimen Ipoh Timur juga berkata PR juga berhadapan dengan risiko jika pakatan itu terlalu yakin dengan menganggap bahawa perjalanan mereka untuk menawan Putrajaya daripada penguasaan BN sudah tidak boleh "dihalang lagi."

"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mesti dengan segera memulihkan kehilangan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat, bukan sahaja ekoran kekalahan di Galas dan Batu Sapi, tetapi juga daripada masalah-masalah dan pergolakan dalaman parti-parti Pakatan Rakyat," tegas Lim.

Lim berkata pemimpin-pemimpin PR sewajarnya dengan segera mengatasi kesemua masalah yang wujud sekarang dan mengembalikan keyakinan awam yang terhakis.

Justeru kata beliau, PR tidak boleh selesa atau memandang mudah cabaran serius dan ancaman yang diperlihatkan oleh BN sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

BN dan PR masing-masing akan bertapak di Putrajaya di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan tahun depan.

Beberapa komponen BN melihat pendirian terbaru Dr Mahathir mengenai prestasi perikatan itu pada pilihan raya umum ke-13 ada kebenarannya, tetapi pada masa yang sama mereka menyifatkan ia sebagai satu "kenyataan psikologi balikan" agar mereka tidak terus "seronok dan selesa."

Malah, sebahagian besar mereka memperlihatkan keyakinan yang lebih tinggi dengan berpendapat BN berpeluang merampas sehingga tiga negeri termasuk kemungkinan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan

Dr Mahathir ketika bercakap kepada Bloomberg berkata BN berupaya untuk merampas balik satu atau dua negeri daripada PR dalam pilihan raya umum ke-13 atas alasan perikatan muda tiga komponen itu berada dalam keadaan goyah.

Bagaimanapun beliau berkata, BN kemungkinan "tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (di Parlimen) bagi membolehkan mereka menerajui kerajaan (persekutuan) dengan majoriti selesa."

Dr Mahathir melahirkan pendirian itu di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.

Malah Dr Mahathir juga menyifatkan kepimpinan Najib memperlihatkan "perubahan besar" berbanding era Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pun begitu beberapa pemimpin PR berkata, mereka yakin akan mengekalkan negeri-negeri yang mereka menang dua tahun lalu.

Hari ini BN memperkenalkan beberapa pindaan peraturan, langkah yang bertujuan menjana sokongan yang hilang pada pilihan raya umum 2008.

Ulasan GB

Apa yang dinyatakan oleh Lim Kit Siang tersebut adalah secara umum. Namun kita dapat memahami secara khususnya ia ditujukan kepada Anwar dan PKR supaya selesaikan segera hal Pemilihan yang pincang.

Kit Siang juga memberitahu kita agar jangan terlalu konfiden ke Putrajaya sedangkan masalah dalaman parti yang menjadi komponen PR masih belum diselesaikan.

Jika Kit Siang tidak berpuas-hati dengan perkembangan yang melanda PKR, beliau kini berhak untuk tuntut jawatan Ketua Pembangkang daripada DSAI kerana DAP kini mendominasi PR.

Anwar perlu sedar dan cermin diri. Jawatan yang disandangnya itu adalah ehsan orang lain. Tetapi jika beliau masih cuba melaksanakan konspirasinya untuk mengekalkan kuasa-kuasa orang pilihannya dan menyerang orang-orang yang tidak disukainya, maka tidak mustahil ahli-ahli PKR sendiri yang akan bangun menentangnya satu hari nanti.

Anggota PKR Adakan Protes Minta Anwar Dan Azmin Berundur

Posted: 20 Nov 2010 06:14 AM PST

Anggota PKR Adakan Protes Minta Anwar Dan Azmin Berundur

Gambar: Ahli perniagaan, S. Kottapan (dua, kanan) yang juga calon ketua cabang Kota Raja bertikam lidah bersama penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan demonstrasi secara aman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Rapat Umum Keadilan Negeri Selangor bersama Anwar Ibrahim yang diadakan di Dewan MBSA di sini, malam ini.

Kira-kira 100 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan protes dan berhimpun di Dataran Shah Alam di sini pada Jumaat meminta Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali supaya keluar daripada parti tersebut.

Protes itu diadakan bermula pukul 8 malam sempena perhimpunan "Rapat Umum Keadilan Selangor bersama Anwar Ibrahim" yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini yang turut dihadiri oleh kedua-dua pemimpin terbabit.

Ketua Bahagian PKR Kota Raja K.S Kottapan yang mengetuai protes itu berkata perhimpunan berkenaan juga diadakan ekoran kegagalan kepimpinan tertinggi PKR menangani aduan membabitkan pemilihan parti oleh beberapa calon kepimpinan di peringkat cabang di Selangor.

"Hari ini kita adakan demonstrasi di hadapan bangunan MBSA adalah untuk memberitahu pemimpin PKR bahawa kita membantah pemilihan di peringkat cabang hingga ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Kita turun ramai-ramai dari semua cabang untuk protes bahawa pemilihan kali ini dijalankan dengan begitu kotor," katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada beliau akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu, Kottapan berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana ia membabitkan hal dalaman parti.

Ulasan GB

Rupa-rupanya diantara yang hadir di bangunan MBSA malam tadi ada juga orang yang tidak suka kepada Anwar dan Azmin.

Yang menarik tulisan di banner tu: Anwar Love Azmin.

Nampaknya, lagi lama, lagi ramai yang berani memprotes. Tapi pemimpin dan penyokong tegar Anwar masih dengan sindrom penafian.

Cahaya kebenaran TETAP menjelma. Anwar dan Azmin akan tetap tergolek jua.

Zaid? GB sama sekali tiada kaitan dengannya.

Yang GB serang kini ialah kezaliman dan penipuan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kanan PKR di dalam isu Pemilihan. Itu saja.

Blogger yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan tidak bersubahat dengan sebarang penipuan waimma siapa pun yang melakukannya.

Sebelum kita berjaya melawan UMNO, kita kena berjaya melawan "musuh" dalam diri kita terlebih dahulu, iaitu mereka yang menipu.

Macamana kutuk UMNO, jika kamu sendiri bawa perangai mereka di dalam Pemilihan kamu?

SHIT - kata Shahnon Ahmad.

INGAT JUGA: Kamu boleh menipu sesetengah manusia di dalam sesetengah masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua manusia dalam semua masa!

Kongres PKR, Keputusan Mahkamah Terhadap Saman Pemula Jenapala Mungkin Memberi Kesan

Posted: 20 Nov 2010 04:57 AM PST

Belum ada cadangan tangguhkan kongres nasional PKR

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap kongres nasional parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 November ini dapat diteruskan seperti yang dirancang sungguhpun terdapat kekangan termasuk tindakan undang-undang.

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua, berkata beberapa usul telah dikenalpasti untuk dibahaskan pada kongres itu termasuk usul ucapan dasar presiden, dasar parti, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Ditanya kemungkinan kongres itu ditangguhkan berikutan saman pemula oleh bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala, Tian Chua berharap perkara ini tidak akan berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang Jenapala mahu, tapi kita harap kongres ini akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

"Mengenai apa yang failkan di mahkamah, saya tidak mahu komen," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, Jenapala memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa pemilihan bagi jawatan timbalan presiden parti itu tidak sah.

Jenapala turut memohon injunksi bagi menghalang PKR daripada mengisytiharkan mana-mana calon yang dipilih bagi jawatan itu.


Mengulas keputusan pemilihan parti, Tian Chua berkata, mereka yang memenangi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Sama ada ia akan dibuat ketika kongres atau sebaliknya, itu terserah kepada JPP. Saya harap mereka (JPP) akan umumkan dalam kongres itu nanti," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, berkata jumlah usul yang akan dibawa dalam kongres nasional tahunan parti itu berkemungkinan akan diputuskan pada Isnin ini.

"Ucapan dasar presiden sudah tentunya akan dibahaskan. Sekarang ini masih diteliti. Mungkin hari Isnin baru boleh diketahui apa dan berapa banyak usul yang akan dibawa ke dalam kongres," katanya ketika dihubungi.

Kongres Nasional Tahunan PKR dijadual berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. - BERNAMA

Polis Tembak Mati Remaja Lagi, Keluarga Ambil Tindakan

Posted: 20 Nov 2010 02:47 AM PST

Polis didakwa tembak mati remaja, kata peguam

PETALING JAYA, 20 Nov — Polis didakwa menembak mati dua remaja — menggunakan alasan merompak sebuah stesen minyak di Shah Alam Sabtu lalu dan ia menimbulkan banyak keraguan, kata peguam keluarga mereka N. Surendran hari ini.

Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, Hairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, dilaporkan ditembak mati oleh polis selepas kejadian mengejar awal pagi 13 November lalu di Glenmarie.

Sambil melahirkan kesangsian dengan kematian mereka, beliau menggambarkan ia sebagai tindakan membunuh seseorang cara "bumi kumpulan geng."

"Kami sudah mengumpulkan cukup bukti," kata peguam ini yang mewakili keluarga Shamil dan Hairul pada sidang media di ibu pejabat polis Petaling Jaya hari ini.

Kata beliau, kejadian terbaru ini menunjukkan pentingnya satu suruhanjaya diraja siasatan dibentuk ekoran kejadian menembak mati remaja berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah di Shah Alam pada 26 April lalu.

Kes mahkamah membabitkan anggota polis yang terlibat dalam kejadian Aminulrasyid sedang berlangsung di mahkamah.

"Tiada budak yang (nampaknya) selamat di jalan-jalan kita. Mana-mana budak yang keluar awal lagi terdedah kepada kejadian ditembak oleh polis," kata Surendran.

Gambar: Ibu Shamil Hafiz menangis ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya hari ini.

"Kita memerlukan suruhanjaya diraja (siasatan)," kata beliau. Pada awal pagi Sabtu lalu, tiga orang yang dilabelkan sebagai penjenayah, dipercayai anggota "Geng Minyak", ditembak mati oleh polis di Jalan Kerjaya, Glenmarie.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata ketiga-tiga lelaki itu yang baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 kira-kira 4.15 pagi bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Katanya, mereka cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan sebelum terbabas di bahu kiri jalan kira-kira dua kilometer dari stesen minyak yang disamun.

"Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dan cuba menyerang polis menyebabkan anggota saya tiada pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan kesemua mereka tersungkur di tempat kejadian," katanya.

Thaiveegan berkata kesemua suspek terbabit dipercayai berasal dari Cheras, Selangor dan dalam tempoh sebulan lepas, geng itu disyaki terbabit dalam kejadian samun stesen minyak di Monteres dan Bukit Subang, di sini dan terbaru di Glenmarie.

Katanya, seorang daripada suspek itu berumur 20 tahun, seorang lagi remaja lelaki bawah umur berusia 16 tahun manakala seorang lagi tiada pengenalan diri ditemui padanya.

Kesemua mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Bagaimanapun Surendran menolak dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai pembohongan. "Ini pembohongan oleh pihak polis," kata peguam hak asasi manusia.

Kata beliau, berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Shamil, Hairul dan Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah.

"Ia menunjukkan bahawa tembakan dilepaskan dari jarak dekat, yang mana ia tidak konsisten (dengan dakwaan polis) bahawa tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri," kata beliau.

Malah kata beliau, trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

"Ini menunjukkan bahawa mangsa-mangsa melutut. Badan Hairul juga mempunyai tanda hitam di bahagian mata," kata Surendran.

"Tembakan Shamil adalah terus pada dahinya dan (peluru) itu keluar," kata beliau. Surendran menambah, keluarga mangsa akan mendapatkan pandangan patologi forensik berhubung kejadian itu.

"Kami akan mendapatkan temu janji dengan patologi forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang," kata beliau lagi.

Selain itu katanya, keluarga Shamil dan Hairul juga mendesak agar anggota-anggota polis yang terlibat dalam kematian mangsa digantung dan dikenakan tuduhan membunuh.

"Ini satu pembunuhan oleh polis," kata Surendran yang turut memberitahu bahawa mereka mahukan permohonan maaf daripada polis yang menyifatkan mereka sebagai penjenayah.

Kedua-dua keluara itu membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya hari ini. "Esok adalah hari jadi Shamil," kata ibunya, Nor Hafizah Mad Razali dengan menitiskan air mata.

Dalam laporan polis, ahli perniagaan berusia 36 tahun itu berkata anaknya tiada sebarang rekod jenayah dan tidak tahu memandu kereta.

"Anak saya seorang budak yang baik, yang menghadiri kelas agama," katanya. Dalam pada itu,

Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa menggesa agar diadakan siasatan bebas berhubung kematian mangsa dan mahu anggota polis berkenaan didakwa.

"Kami akan meminta kerajaan menubuhkan satu siasatan diraja siasatan. Saya akan membawa perkara ini ke Parlimen," kata Naib Presiden PKR ini. -tmi

Ulasan GB

GB sebenarnya sudah ulas hal ini tetapi terlupa untuk klik untuk diposkan ke blog. Sila ikuti:


Tiga anggota geng minyak tumpas di Glenmarie Shah Alam

SHAH ALAM -- Tiga penjenayah dipercayai anggota"Geng Minyak" ditembak mati oleh polis di Jalan Kerjaya, Glenmarie di sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata ketiga-tiga lelaki itu yang baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 pada kira-kira 4.15 pagi bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Mereka cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan sebelum terbabas di bahu kiri jalan kira-kira dua kilometer dari stesen minyak yang disamun.

"Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dan cuba menyerang polis menyebabkan anggota saya tiada pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan kesemua mereka tersungkur di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaludin dan Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah.

Thaiveegan berkata kesemua suspek terbabit dipercayai berasal dari Cheras, Selangor dan dalam tempoh sebulan lepas, geng itu disyaki terbabit dalam kejadian samun stesen minyak di Monteres dan Bukit Subang, di sini dan terbaru di Glenmarie.

Seorang daripada suspek itu berumur 20 tahun, seorang lagi remaja lelaki bawah umur berusia 16 tahun manakala seorang lagi tiada pengenalan diri ditemui padanya.

Pemeriksaan polis di dalam kereta yang dilaporkan dicuri di Jinjang, Kuala Lumpur, enam bulan lepas itu menemui dua mesin tunai dipercayai milik stesen minyak itu, tiga parang dan peralatan untuk merompak serta hasil-hasil rompakan mereka, katanya.

Thaiveegan berkata, modus operandi geng itu ialah menjadikan stesen minyak terpencil sebagai sasaran.

"Kita percaya suspek ini bergiat aktif dalam kejadian samun di sekitar Lembah Klang dan kita akan bekerjasama dengan polis Kuala Lumpur berhubung kejadian ini.

"Anggaran kerugian membabitkan geng ini belum diketahui manakala jumlah kerugian di stesen minyak yang baru disamun itu, masih dalam siasatan," katanya.

Kesemua mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. -- BERNAMA

Ulasan GB

Ada beberapa persoalan yang timbul di dalam berita berkenaan.

1) Ketiga-tiga remaja yang ditembak mati hanyalah "suspek", ertinya belum terbukti melakukan jenayah.

2) Ayat "geng itu disyaki terbabit" - pun menjelaskan tidak ada kepastian polis

3) Ketiga-tiga suspek yang "bersenjatakan parang" - tiada senjata pistol tetapi parang. Tetapi remaja berkenaan ditembak mati.

Dan anehnya kesemua akhbar pada waktu itu cepat melaporkan kononnya ia "geng minyak" berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan tersebut. Ia dilaporkan pertama kalinya oleh Bernama tanpa menghiraukan lansung samada fakta itu benar atau tidak, malah lebih kepada rekaan bersandarkan kepada istilah-istilah seperti "disyaki", "dalam siasatan", "dipercayai" dan seumpamanya. Rakyat melihat ia hanya sebagai satu "cover-up" untuk menutup dengan cepat kes tembakan terhadap remaja oleh polis berkenaan.




Tiada ulasan: