Isnin, 22 November 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Negeri Pakatan tidak akan bersama dalam PRU 13?

Posted: 22 Nov 2010 10:00 PM PST

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ketika berita angin bertiup kencang pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam pilihan raya itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Ini kerana, mereka yang menguasai empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Pendapat beliau disokong oleh anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

“Kita ada negeri yang hendak diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka,” kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa membuat cadangan yang serupa.

Beliau mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.

“Kita mesti ada kuasa tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja,” kata Husam dalam satu kenyataannya.

PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan iaitu antara Mac atau April 2011.

Bendahari PKR yang juga anggota Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.

Pemilihan dalam PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi berpecah.

Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak dinyatakan oleh beliau.


Nurul Izzah naib presiden PKR paling kanan

Posted: 22 Nov 2010 07:03 PM PST

Oleh : Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar menjadi naib presiden PKR paling kanan kini apabila beliau memenangi undi terbanyak dalam pemilihan PKR yang berakhir semalam.

Beliau mendapat undi tertinggi iaitu 13,170 mendahului naib presiden sekarang Tian Chua yang mendapat 11,460, pengarah pilihan raya Fuziah Salleh (8,891) dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansur Othman (8,477) yang turut terpilih.

Sebagaimana dijangka, Azmin Ali memenangi jawatan timbalan  presiden apabila mendapat 19,212 mengalahkan pencabarnya, Mustaffa Kamil Ayub yang cuma mendapat 4,567 undi.

Keputusan itu berdasarkan 214 daripada 222 cabang PKR yang berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Berbanding keputusan minggu sudah, exco Selangor berjaya memintas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan di tempat kelima.

Hanya empat kerusi sahaja diperuntukkan untuk pemilihan naib presiden. Bagaimanapun, PKR berhak melantik dua lagi ke jawatan itu.

Berikut jumlah Undi yang diterima mereka:

Nurul Izzah – 13,170
Tian Chua – 11,460
Fuziah Salleh – 8,891
Dr Mansor Othman – 8,477
Dr Xavier Jayakumar – 6,984
Gobalakrishnan – 6,721
Yahya Sahri – 6,436

Keputusan rasmi akan diumumkan dalam kongres PKR di Petaling Jaya yang akan berlangsung minggu depan


Tiada ulasan: