Rabu, 10 November 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khir Toyo dimasukkan ke hospital, disyaki demam denggi

Posted: 10 Nov 2010 03:32 PM PST

BERNAMA


Khir dipercayai mengalami demam denggi. — gambar fail

SHAH ALAM — Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dimasukkan ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) di sini pagi tadi kerana disyaki menghidap demam denggi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu dimasukkan ke hospital tersebut kira-kira pukul 10 pagi selepas mengadu demam, sakit kepala dan badan menggeletar.

Isteri beliau, Datin Seri Zaharah Kechik ketika dihubungi berkata beliau yang bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya itu terus membawanya ke SMC untuk pemeriksaan lanjut.

"Apabila tiba di hospital, doktor yang melakukan pelbagai pemeriksaan termasuk mengambil sampel darahnya mengesyaki Datuk Seri mungkin mengalami demam denggi.

"Dr Khir kemudian diminta untuk menjalani rawatan lanjut bagi memastikan keadaannya baik dan beliau kini berehat di wad," kata beliau.

Sementara itu, ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2011 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan daripada DAP, Ng Suee Lim menanyakan di mana Khir yang tidak hadir untuk mendengar perbahasan.

Adun Sungai Pelek daripada Barisan Nasional (BN) Yap Ee Wah, bangun dan memberitahu dewan bahawa Khir tidak hadir pada hari ini kerana dimasukkan ke hospital disyaki menghidap demam denggi.

Pemuda PKR: Kem Chegubard lulus enam resolusi, gesa tangguh pemilihan

Posted: 10 Nov 2010 03:31 PM PST


KUALA LUMPUR — Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan kekal dalam saingan, sebaliknya pertemuan anjurannya malam tadi meluluskan enam resolusi - antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai "krisis".

The Malaysian Insider difahamkan resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.

Keputusan itu diambil ketika tinggal satu hari lagi sebelum hari keenam pengudian pemilihan pusat PKR — di bawah sistem pemilihan secara langsung — dilangsungkan.

Pertemuan itu, dinamakan sebagai "Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan", diadakan di ibu negara ketika Biro Politik PKR pula mengadakan mesyuarat mingguannya dengan kebanyakan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini difahamkan tidak hadir. Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir kerana berada di luar negara.

The Malaysian Insider difahamkan Biro Politik ada membuat beberapa keputusan dan ia dijangka diumumkan hari ini.

"Kami memutuskan enam resolusi, ia akan disampaikan kepada pucuk kepimpinan parti... presiden dan kesemua anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam tempoh 24 jam," kata Badrul Hisham pada sidang media tengah malam tadi.

Pertemuan hampir tiga jam itu yang turut disertai penganalisis politik Prof A Aziz Bari dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, buat seketika, juga memutuskan untuk melantik Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai "orang tengah" untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.

Kedua-dua Aziz dan Nurul Izzah hadir untuk memberikan input sebelum pertemuan tersebut, yang dipercayai dihadiri sekitar 200 ahli AMK dan penyokong Badrul Hisham dan pasukannya.

"Datuk Fauzi sebagai pemimpin yang disegani dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan, dilantik sebagai perutusan kami untuk membawa resolusi ini ke perhatian kepimpinan parti, dan mencari penyelesaian demi kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat," kata Ketua PKR Rembau ini.

Justeru kata beliau, pihaknya telah memutuskan untuk tidak mendedahkan kandungan resolusi malam ini dan menyerahkan kepada Fauzi, bekas Ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri kerajaan pusat untuk mengemukakan kepada parti dalam masa 24 jam.

"Kami sudah lantik Datuk Fauzi sebagai perutusan, jadi tidak adil jika kami yang mengumumkan resolusi ini di sini," kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada tindakan menarik diri daripada bersaing jawatan ketua AMK juga salah satu perkara yang diputuskan, Badrul Hisham berkata, "soal bertanding atau tarik diri daripada pertandingan tidak timbul."

Berhubung soal meminta pemilihan ditangguhkan juga disenaraikan sebagai salah satu resolusi, Badrul berkata, "tidak manis untuk saya memberitahu, kami serahkan kepada Datuk Fauzi membuat keputusan (sama ada mengumumkan ataupun sebaliknya)."

Kata Badrul Hisham, pihaknya sudah memutuskan tindakan-tindakan alternatif sekiranya perkara yang diputuskan tidak mendapat perhatian pucuk kepimpinan.

"Kami ada pelan A, pelan B dan pelan C dan seterusnya," kata beliau sambil menambah, "ia bukan satu bentuk kata dua."

"Tujuan perjumpaan ialah untuk fokuskan semua ke landasan perjuangan besar demi menyelamatkan negara di samping mengakui ada masalah dalam pemilihan yang perlukan tindakan segera," katanya lagi.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider tengah hari semalam, Badrul Hisham berkata beliau akan memutuskan sama ada kekal dalam saingan ataupun menarik diri daripada bertanding - mengambil langkah Datuk Zaid Ibrahim - pada pertemuan malam tadi di sebalik dakwaan pemilihan parti berhadapan dengan kepincangan dan kecacatan.

Zaid mengumumkan pendirian menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden Isnin lalu dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti itu.

Kata Badrul Hisham, oleh kerana beliau membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak secara kolektif semasa hendak bertanding sebelum ini, apa jua keputusan pada pertemuan ini akan diputuskan secara bersama.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.

Sebelum ini termasuk semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan pemilihan parti dicemari manipulasi dan penyelewengan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Zaid.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat PKR boleh dibeli.

Isnin lalu, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian.

Seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub juga telah menyerahkan memorandum kepada parti kelmarin meminta pemilihan parti harus ditangguhkan sementara segala masalah dan isu yang ditimbulkan diselesaikan.

24 cabang minta PKR tangguh segera pemilihan

Posted: 10 Nov 2010 03:29 PM PST



Mustafa (kiri) dan Zaid kedua-duanya telah mempertikaikan kesahihan pemilihan PKR yang sedang berlangsung. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Susulan tindakan dua calon mempertikaikan kesahihan, sebanyak 24 cabang menggesa kepimpinan PKR agar menangguhkan segera proses pemilihan pusat sementara menyiasat segala aduan wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam proses pengundian.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kesemua cabang berkenaan yang menggelar Gabungan Cabang PKR meminta agar sistem dan proses pemilihan pimpinan pusat dipastikan bersih, bebas dan adil.

"Adalah tidak wajar jika terdapat mana-mana pihak khususnya ahli jawatankuasa pemilihan pusat dan juga petugas pemilihan dilihat berpihak kepada calon-calon tertentu dan terlibat memanipulasi serta menipu undi.

"Fenomena tersebut telah dikesan berlaku dalam beberapa insiden sebelum ini yang mana turut diadukan oleh Mustaffa Kamil Ayub (calon timbalan presiden) dan juga ahli yang lain kepada jawatankuasa pemilihan pusat dan juga kepada sekretariat parti," kata beliau.

Oleh itu kata surat tersebut, "amat wajar sekali pucuk pimpinan parti dengan segera mengarahkan siasatan terhadap aduan dan sementara menantikan hasil siasatan dan tindakan susulan, maka proses pemilihan yang sedang dilakukan sekarang ini harus segera ditangguhkan."

"Kami sebagai pimpinan akar umbi PKR tidak dapat menerima hakikat wujudnya walaupun satu penipuan atau penyelewengan dalam proses pemilihan pimpinan parti, yang akan diberi amanah memimpin parti dan rakyat seluruhnya di masa akan datang," kata surat tersebut.

Kata surat tersebut, isu manipulasi dan penyelewengan pengurusan pemilihan pimpinan tertinggi PKR yang diadukan kepada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam oleh Mustaffa harus diambil berat oleh pucuk pimpinan parti demi memastikan kewibawaan parti terus terpelihara.

"Siasatan segera harus dilakukan oleh jawatankuasa pemilihan pusat bagi menjawab aduan yang disampaikan oleh Mustaffa dan juga oleh beberapa pihak yang lain sebelum ini," katanya.

Cabang-cabang yang membuat gesaan terbaru ini ialah Putrajaya, Teluk Intan, Temerloh, Petaling Jaya Utara, Sembrong, Kuala Pilah, Paya Besar, Bagan Datoh, Bentong, Keningau, Tanjung Malim, Ipoh Barat, Tampin, Rompin, Pensiangan, Sungai Siput, Maran, Tambun, Jerantut, Bagan Serai, Tapah, Kuala Kangsar, Kota Kinabalu dan Seremban.

Dalam pada itu, Ketua PKR Putrajaya Onn Abu Bakar berkata, "sokongan yang kita dapat ini adalah daripada cabang-cabang yang sempat kita jumpa."

"Kalau hendak diikutkan lebih 80 cabang yang setuju dengan penangguhan," kata beliau sambil menambah, ini bukan mewakili mana-mana calon, tapi terbuka kepada mana-mana cabang yang hendak menuntut tindakan ibu pejabat.

"Selepas Mustaffa dah bagi tempoh 48 jam, jadi kita mintalah pucuk pimpinan bertindak. Kalau perlu tangguh, tangguhlah.

"Kita hendak minta pihak ibu pejabat bertindak, sebab di bawah kita dengar macam-macam, tapi macam tiada respons," katanya.

Semalam, Mustaffa menggesa agar pemilihan pusat bersejarah parti itu — menggunakan kaedah langsung — dibatalkan serta-merta dan diadakan semula pengundian dengan menyelesaikan segala aduan yang telah dikemukakan sebelum ini.

Mustaffa memberi tempoh 48 jam kepada JPP agar mengambil kedua-dua tindakan itu pada sidang media diadakan oleh Datuk Zaid Ibrahim yang kelmarin memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua PKR atas alasan wujud kecacatan dalam proses pemilihan pusat.

Tempoh kata dua beliau akan berakhir petang esok.

"Hasil tindakan ke atas memorandum ini, awal Jumaat ini, saya akan mengumumkan pendirian saya sama ada saya akan terus bersaing ataupun sebaliknya," kata beliau.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan meneruskan pemilihan langsung yang diadakan sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan oleh dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.

Saifuddin juga menolak dakwaan Zaid bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi.

Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini.

Saifuddin juga menegaskan, daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan proses pengundian, Datuk Zaid Ibrahim menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang. Mustaffa menang di sebanyak 11 cabang.

"Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun," kata Saifuddin.

Kes Pisau Lipat 20 Sen Ditangguh 9 Mac 2011

Posted: 10 Nov 2010 03:03 AM PST

Oleh Suara Keadilan

FMKUALA KUBU BHARU - Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menangguhkan perbicaraan kes pisau lipat 20 sen terhadap Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Fariz Musa dan empat anggota AMK sehingga 9 Mac tahun depan.

Fariz ketika dihubungi berkata tindakan melengah-lengahkan kes tersebut sebagai satu bentuk tekanan politik di mana saksi pendakwaraya iaitu pihak polis tidak dapat hadir memberikan keterangan.

"Kes ini sepatutnya dibuang daripada terus dibicarakan. Tindakan ini sengaja bagi menyusahkan kami untuk datang ke sini bagi menghadiri perbicaraan di sini.

"Ini kerana kebanyakkan yang dituduh adalah berasal daripada Pahang dan Terengganu dan ditambah dengan kos peguam yang dibayar setiap seorang setiap kali hadir ke perbicaraan," kata beliau semalam.

Sebelum itu, Hakim Zuraidah Zakaria pada 28 Julai lepas, menangguhkan kes dan menetapkan hari ini bagi meneruskan perbicaraan.

Penangguhan ketika itu dibuat selepas hakim mendapati ketiadaan kertas penyiasatan (IP) daripada pihak pendakwa raya.

Fariz dan empat anggota AMK ditahan 21 April lalu ketika kempen pilihah raya kecil Hulu Selangor atas dakwaan di bawah Akta Kanun Keseksaan Seksyen 426, kerana memiliki senjata berbahaya dan bahan letupan.

Mereka dituduh memiliki beberapa keping pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk menurunkan kain rentang Barisan Nasional yang dianggap perbuatan provokasi semasa kempen PRK Hulu Selangor.

Zahid Dakwa Masyarakat Cina, India Kurang Patriotik

Posted: 10 Nov 2010 02:56 AM PST

Oleh Suara Keadilan

kula1KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf selepas beliau berkata jumlah masyarakat Cina dan India menganggotai angkatan tentera rendah disebabkan kurangnya "semangat patriotisme".

Beliau bangun membuat bantahan menurut Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dan menuntut Zahid memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Oleh kerana Zahid telah meninggalkan Dewan Rakyat ketika itu, Kulasegaran melabelkan menteri itu sebagai 'pengecut' meskipun sebelum itu telah dimaklumkan supaya terus berada di Parlimen.

Zahid semasa sesi soal jawab berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafee semalam berhubung perangkaan rekrut terbaru tentera sejak dua tahun kebelakangan ini dan pecahan jumlah itu mengikut bangsa.

Beliau dalam soalannya juga ingin tahu punca atau sebab di sebalik kekurangan bangsa-bangsa tertentu menganggotai Angkatan Tentera Malaysia.

Zahid berkata 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diserapkan ke ATM sejak dua tahun lalu, berbanding 14,749 yang direkrut pada 2006 hingga 2008.

Sepanjang 2008 hingga 2009, seramai 8,151 orang atau 90 peratus adalah berbangsa Melayu, 26 orang atau 0.29 peratus adalah Cina, 82 orang atau 0.91 peratus India manakala 795 atau 8.8 peratus adalah bangsa-bangsa lain termasuk kalangan bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

"Kementerian mendapati pembabitan bukan Melayu, khususnya di kalangan masyarakat Cina dan India di bawah tahap yang memuaskan."

"Ia juga berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti takut disiplin ketenteraan yang ketat, gaji yang rendah berbanding swasta atau tiada galakan daripada keluarga," kata Zahid.

Katanya lagi, ia juga mungkin disebabkan kekurangan sokongan daripada masyarakat berkenaan sendiri ataupun tanggapan negatif terhadap ATM.

Saksi: Peluru di kepala Aminul tak dikenalpasti

Posted: 10 Nov 2010 02:54 AM PST

MALAYSIA KINI


Seorang pakar tidak dapat mengenalpasti secara positif kaliber atau senjata asal peluru pada kepala Aminulrasyid Amzah, Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu hari ini.

Ahli kimia Saari Desa , 43, memberitahu mahkamah bahawa peluru tersebut rosak teruk sehingga beliau tidak dapat mengenalpasti senjata yang digunakan untuk menembaknya (peluru).

Biasanya, kata beliau, peluru itu boleh dikenalpasti sekiranya ia mengenai permukaan yang lembut, seperti air, di mana peluru dan jaketnya masih bersama, dan pihaknya boleh menentukan kalibernya.

Bagaimanapun, kata Saari, jika ia mengenai permukaan yang keras, seperti konkrit, jaket peluru akan pecah dan rosak, menyebabkan sukar untuk mengenalpasti senjata yang digunakan.

Menurutnya, apabila ini berlaku, peluru itu akan kehilangan karakteristiknya.

Inilah, tambahnya, yang terjadi pada peluru E (yang diperolehi dari hospital) dan tidak sesuai untuk dibandingkan.

Saari percaya ianya peluru 9mm, tetapi tidak dapat memastikan secara mutlak.

Peluru itu dihantar kepadanya oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 5 Mei.

Saari adalah saksi ke-24 pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap Koperal Jenain Subi, 48 yang dituduh di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/ 2, Seksyen 11, Shah Alam, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April.

Saari, yang bertugas di unit senjatapi dan pengesanan Jabatan Kimia, memberitahu demikian ketika disoal oleh DPP Mohd Dusuki Mokhtar, yang dibantu oleh DPP Idham Abdul Ghani.

DPP Dusuki kemudiannya menyoal Saari bagaimana dia boleh meneka peluru itu dari senjata 9mm. Saari menjawab ianya konsisten dengan dasar tapak peluru 9mm yang lain.

Katanya, jika ianya peluru 9mm, ukuran diameter asas tapaknya akan sama dengan peluru 9mm tanpa jaket.

Biasanya, kata Saari lagi, peluru tanpa jaket akan mempunyai julat berukuran diameter antara 7mm dan 8.55 mm. Ukuran dasar tapaknya konsisten dengan saiz peluru 9mm.

Beliau menjelaskan, di samping konkrit, jaket peluru boleh tertanggal jika ia mengenai objek keras seperti dinding, badan kereta, cermin kereta atau pokok.

Pistol yang digunakan?


Sebelum itu, Saari dalam keterangannya berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti senjata yang menembak dua serpihan peluru, satu jaket peluru dan satu peluru kerana semuanya dalam keadaan teruk.

Peluru-peluru ditemui di laluan kereta yang dikejar dari bulatan Kayangan ke tempat Aminulrasyid ditemui mati.

Saari berusaha menentukan peluru yang ditembakkan dari dua submesingan Heckler dan Koch MP5, yang telah ditanda sebagai bahan bukti X dan Y.

Salah satu daripada senjata itu digunakan oleh Jenain pada malam kejadian.

Saksi sebelum ini, memberitahu mahkamah bahawa Jenain telah diberikan 100 peluru 9mm. Sejumlah 21 kelongsong peluru dan peluru ditemui di sepanjang laluan kereta yang dikejar.

Sampel peluru hidup dan kelongsong yang digunakan dalam ujian balistik dari dua submesingan itu, dikemukakan untuk perbandingan.

300,000 RELA bakal selamatkan BN di S'gor?

Posted: 10 Nov 2010 02:52 AM PST

MALAYSIA KINI


PAS berharap sasaran membuat penambahan mendadak anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) kepada 300,000 di Selangor menjelang 2011 tidak mempunyai kaitan dengan agenda BN yang didakwa cuba menawan Selangor melalui undi pos.

Ketua penerangan parti itu Idris Ahmad berkata angota pasukan itu tidak harus menjadi "tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos" dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"PAS memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.

"Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka," kata Idris (kiri).

Kelmarin, RELA Selangor dilaporkan mensasarkan peningkatan sekali ganda keahliannya untuk mencapai 300,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 153,000 orang pada masa ini.

Pengarah RELA negeri Khairi Mohd Alwee dilaporkan berkata, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menggerakkan Briged Muda RELA di kesemua sembilan daerah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris memberikan teguran keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya "telus dan jangan menjadi tali barut BN" ketika mengendalikan urusan pilihan raya.

Katanya, sebelum ini, mengejutkan apabila 18,493 pemilih, khususnya di negeri Pakatan Rakyat, 'hilang layak undi awam' dalam rang daftar pemilih suku ketiga 2010.

"PAS menganggap ini adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno-BN tidak runtuh dan diserbu oleh Pakatan Rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Idris mengingatkan jentera pilihan raya PAS dan Pakatan di Selangor pada semua peringkat sentiasa mengambil berat berkaitan isu daftar pemilih serta memerhatikan senario pertambahan anggota RELA itu.

"Modus operandi untuk (BN) tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.

"BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno," kata Idris lagi.

Selepas Felda, PAS bawa isu Felcra ke SPRM

Posted: 09 Nov 2010 09:44 PM PST

Jimadie Shah Othman

PAS terus mengasak isu berkaitan peneroka dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu-isu berkaitan Felcra, antaranya projek ladang getah di sebuah pulau di Sabah yang didakwa bernilai RM167 juta.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Mazlan Aliman membuat laporan itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Menurut Mazlan (kanan), beliau mengadu supaya SPRM menyiasat projek agropolitan di Pulau Bangi, Kudat itu kerana disyaki terdapat unsur penyelewengan, antaranya didakwa dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memgambil kira kesesuaiannya.

"Saya pergi ke sana sendiri pada 26 Oktober lepas, saya ambil gambar, pokoknya masih kecil. Sepatutnya selepas tiga tahun ditanam, ia sudah sebesar paha.

"Ini macam tak cukup zat," katanya sambil memberitahu menyerahkan gambar berkenaan kepada SPRM sebagai bahan bukti.

Mazlan - yang membuat laporan itu atas nama Badan Bertindak Bagi Warga Felcra (BAPA) - mendakwa tiada kajian terperinci dibuat selepas projek di atas tanah seluas 2,000 ekar itu dimulakan pada tahun 2006 lalu.

"Sepatutnya kena ambil kira kemasihan tanah, tiupan angin dan penempatan pekerja. Ini pekerjanya duduk di pulau, tetapi pegawainya duduk di Kudat.

"Setiap hari kena naik feri untuk ke pulau," katanya sambil mempersoalkan keberkesanan tempat tersebut dipilih.

Menurut Mazlan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, selain ladang, tanah itu turut memuatkan takungan air dan kawasan penempatan pekerja ladangnya.

Tambahnya, aduannya pada jam 11.30 pagi tadi diterima oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustapar Ali.

Ditanya tentang dakwaaan terdapat sekurang-kurangnya 22 lagi salah laku Felcra yang ditimbulkannya sebelum ini, Mazlan berkata akan mendedahkannya sedikit semi sedikit.

"Kita mahu beri peluang SPRM menjalankan tugasnya dengan selesa," kata Mazlan yang terkenal kerana banyak 'membongkar' isu melibatkan peneroka kelapa sawit di Felda sebelum ini.

Poster lelaki terbakar diarak ke rumah Anwar

Posted: 09 Nov 2010 09:39 PM PST

Fadzly Esa

Sekumpulan penyokong Hindraf menyerbu rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara sambil membawa poster seorang lelaki yang membakar diri kerana tidak puas hati dengan perobohan stor sebuah kuil di Puchong.

Dipimpin penyelaras pertubuhan itu W Sambulingam, kumpulan 20 orang itu berhimpun di depan pagar rumah bangglo Anwar sambil membakar lilin sebagai simbol memperingati 'pengorbanan' lelaki India tersebut.

Mula berkumpul seawal jam 8.30 malam, mereka mempamerkan kain rentang dan gambar mangsa itu sambil melaungkan slogan "Mana janji pkr?" "Mana janji Anwar?" dan "Pakatan janji kosong".

Kumpulan itu dilihat cuba mengaitkan masalah berkaitan isu kuil dengan janji-janji pilihan raya Pakatan Rakyat - antaranya berhubung pemberian hak tanah untuk rumah ibadat kepada penganut Hindu - yang didakwa tidak ditunaikan.

Berucap dalam perhimpunan ringkas kira-kira setengah jam itu, Sambulingam yang pemimpin Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (HRP) mendesak Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjamin hak kaum itu di negeri-negeri Pakatan.

Menurut Sambulingam, mereka mengadakan perhimpunan di rumah ketua pembangkang itu kerana suara mereka melalui demonstrasi di depan pejabat PKR di Petaling jaya Mac lalu didakwa tidak diendahkan.

Bukan sahaja hak tanah untuk rumah ibadat, tuntutan lain mereka meliputi hak untuk tanah kubur Hindu, sekolah jenis kebangsaan (Tamil) dan setinggan India.

Sebelum itu, bibit-bibit ketegangan timbul apabila tiada wakil Anwar keluar untuk menerima memorandum daripada Hindraf.

Kecewa dengan perkara itu, kumpulan itu hanya menyelitkannya di pagar rumah Anwar.

Bagaimanapun, perang mulut tercetus sebentar apabila seorang yang tidak dikenali mencapai memorandum itu dan meronyokkannya.

Bagaimanapun, kira-kira 20 anggota polis daripada ibu pejabat daerah (IPD) Sentul dapat mengawal keadaan itu. Tiada tangkapan dan kekerasan berlaku.

Melaka dahului Pulau Pinang tarik pelancong

Posted: 09 Nov 2010 09:38 PM PST

BERNAMA


Melaka yang telah mendahului Pulau Pinang sebagai destinasi tarikan pelancong terkemuka di negara ini akan terus memperkenalkan produk pelancongan baru khususnya yang melibatkan sejarah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata rekod menunjukkan bilangan pelancong yang melawat Melaka meningkat kepada 8.9 juta tahun lalu berbanding 7.8 juta pada 2008 manakala kehadiran pelancong ke Pulau Pinang, sebuah negeri yang mempunyai 191 penerbangan antarabangsa setiap minggu, hanya 5.5 juta orang tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ali Ahmad di Kangar, malam semalam, beliau
berkata Melaka akan terus mengorak langkah yang lebih hebat dalam sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini berkata Pulau Pinang yang mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan pelancongan telah ketinggalan dalam sektor itu berbanding Melaka.

Mohd Ali berkata antara faktor yang menjadikan Melaka sebuah destinasi pelancongan menarik ialah sejarah negeri itu, kebersihan bandar dan keramahan penduduknya.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM25,000 kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Perlis di samping sumbangan pelbagai barangan keperluan mangsa banjir bernilai RM53,000.

Sumbangan disampaikan kepada semua wakil rakyat yang kawasan mereka terbabit dengan banjir. Yang turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu.


K'tan dakwa pelantikan pengerusi MSN tidak sah

Posted: 09 Nov 2010 09:36 PM PST

BERNAMA


Kerajaan Kelantan mendakwa pelantikan pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan selama ini adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ab Fattah Mahmood berkata antara peruntukan itu, Kementerian Belia dan Sukan perlu berbincang dengan Menteri Besar Kelantan terlebih dahulu sebelum melantik pengerusi MSN itu.

"Kementerian Belia dan Sukan melalui menteri perlu mengadakan perbincangan untuk melantik pengerusi (MSN) tetapi kementerian tidak pernah berbuat demikan (mengadakan perbincangan).

"...dan dengan itu saya boleh katakan pengerusi yang dilantik ini adalah pengerusi haram (tidak sah) kerana ketidakpatuhan perkara ini," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Limbongan) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Pengerusi MSN Kelantan ketika ini adalah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga timbalan presiden persatuan bola sepak Kelantan dan ketua Umno bahagian Machang.

Ab Fattah berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk memilih dan melantik pengarah MSN kerana terpulang pada pihak kementerian dan MSN sendiri.

Sementara itu beliau meminta agar semua pihak tidak mempolitikkan industri sukan negeri ini kerana ia tidak memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Tidak benar dakwaan kerajaan tidak menepati janji untuk diberikan kepada MSN terutamanya dalam membangunkan sukan negeri ini," katanya.

Dewan juga diberitahu sejak 2005 hingga tahun ini hanya 10 kes pembuangan bayi direkodkan oleh pihak polis di Kelantan.

Ab Fattah berkata bagi mengelakkan berlakunya masalah yang sama, kerajaan negeri akan membantu para belia yang cukup syarat untuk berkahwin seperti menganjurkan majlis perkahwinan perdana.

"Bagaimanapun kita tidak bercadang untuk mewujudkan Sekolah Harapan seperti di Melaka dan kita menerima pakai peruntukan yang sama seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Menjawab soalan lain, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri bercadang memperluas penggunaan mata wang dinar dan dirham dalam urusan pengambilan orang gaji dari Indonesia.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan pihak di Indonesia untuk kita menggunakan dinar dan dirham bagi menggantikan rupiah sebagai deposit pengambilan orang gaji itu.

"Di Indonesia penggunaan dinar dan dirham sudah semakin meluas begitu juga di Amerika Syarikat yang menggunakan istilah gold coin termasuk di Sepanyol," katanya ketika menjawab soalan Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal).

Ketika menjawab soalan Abdullah Yaakub (PAS-Air Lanas) Husam berkata Kelantan kini mencatatkan 4.1 peratus kadar miskin tegar dengan pendapatan per kapita kini RM6,821.


Zaid undur, peratusan mengundi menjunam?

Posted: 09 Nov 2010 09:34 PM PST

Jimadie Shah Othman

Akar umbi PKR berpendapat pengunduran Datuk Zaid Ibrahim daripada persaingan merebut jawatan timbalan presiden mungkin menyebabkan peratusan keluar mengundi dalam pemilihannya lebih merosot.

Seorang pemimpin daripada cabang Kimanis berpendapat, keadaan tersebut mungkin berlaku kerana pemenangnya dilihat sudah ada, iaitu Azmin Ali yang kini merupakan naib presiden.

"Lagi pun, jurangnya (antara calon bertanding) semakin jauh," kata pemimpin cabang di Sabah itu yang mahukan namanya dirahsiakan.

Selepas 87 cabang bermesyuarat, Azmin semakin jauh di depan dengan majoriti 2,479 undi meninggalkan Zaid dan seorang lagi pesaing Mustaffa Kamil Ayub.

Bagaimanapun, tidak puas dengan perjalanan pemilihan langsung PKR yang julung kalinya diadakan itu, Zaid semalam menarik diri dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Manakala Mustaffa juga berkemungkinan besar mengambil tindakan yang sama beberapa hari lagi.

Ramai sebab yang ada perlu undi


Ketika di hubungi Malaysiakini semalam, pemimpin kanan PKR Kimanis itu berkata, faktor geografi kawasan yang mana terdapat banyak kawasan pedalaman juga menyebabkan peratusan keluar mengundi rata-rata rendah di negeri itu.

"Cuma yang banyak di sesetengah tempat mungkin kerana ada orang (calon) yang memerlukan undi mereka," katanya penuh berahsia, sambil ketawa kecil.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Sabah Jonathan Yasin pula berpendapat, banyak anggota PKR negeri memberikan undi kepada Azmin memandangkan peranannya yang lama dalam parti.

Lagi pun, menurut Jonathan, mereka percaya Zaid tidak diketepikan kerana telah dilantik jawatan tinggi dalam parti sebagai anggota biro politik - biro paling berpengaruh dalam PKR.

Sementara itu, mengulas sokongan kepada Zaid di Sabah - yang dilihat sebagai antara faktor membuatkannya 'merajuk' - Jonathan yang juga ketua PKR Ranau berpendapat sokongan yang diperoleh mereka merupakan refleksi kepada pencalonan dahulu yang mana Azmin di depan.

"Dahulu ada orang gembar-gemburkan Zaid disokong oleh 21 cabang. Akhirnya perkara ini terjawab bahawa ia tidak benar," katanya sambil menyifatkan "orang tertentu" itu sebagai mahu mengambil kesempatan.

'Penjaga sokongan'

Sementara itu, Ketua PKR Tenom Gosibin Yasundang pula ketika dihubungi berkata, bagi akar umbi di Sabah, Azmin dan Zaid sama-sama diterima.

"(Walaupun undi Azmin) Kami juga mahu Zaid," katanya sambil berkata memberikan sokongan kepada Azmin kerana "ada yang menjaganya (sokongan itu)".

"Lagi pun ketika pemilihan, Azmin ada di Tenom. Zaid pula orang tak berapa kenal sebab jarang turun ke pedalaman."

Setakat ini, PKR masih bergelut dengan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pemilihannya apabila hanya 9 peratus keluar pada minggu pertama dan 12 peratus pada minggu kedua.

Parti itu mempunyai kira-kira 400,000 anggota di seluruh negara.

Kereta Aminul dibawa ke mahkamah

Posted: 09 Nov 2010 09:29 PM PST

MALAYSIA KINI


Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Latifah Mohd Tahar, timbalan pendakwaraya dan peguambela memeriksa hampir satu jam kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, yang penuh dengan kesan lubang peluru.

Ahli kimia Shaari Desa menunjukkan kepada mereka 32 lubang peluru pada kereta tersebut.

Beliau juga menggunakan batang kuning khas untuk menunjukkan perjalanan peluru - yang mengenai cermin belakang dan menembusi tempat letak kepala kerusi pemandu kereta - yang membunuh pelajar berusia 15 tahun itu.

Peluru dari submesingan Heckler dan Koch HK MP 5 mengenai bahagian belakang kereta, kedua-dua tayar belakang dan menembusi bonet belakang.

Dua lubang juga dikesan pada ekzos dan dua lagi pada tangki minyak.

Mahkamah selepas ini akan meneruskan keterangan Saari.
Kereta Proton Iswara dibawa ke mahkamah hari ini bagi memudahkan ahli kimia Saari Desa untuk menjelaskan mengenai laluan peluru yang ditemui di kepala mangsa yang berusia 15 tahun itu.

Peluru tersebut ditemui ahli patologi forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Semalam, dalam keterangannya, Saari berkata, selepas memeriksa dua submesingun - Heckler dan Koch HK MP 5 - yang digunakan oleh polis yang dikemukakan sebagai bahan bukti, beliau tidak dapat memastikan dari senjata mana peluru itu ditembak.

Mahkamah juga diberitahu bahawa sebanyak 32 lubang dan lekukan peluru ditemui pada kereta yang dipandu Aminulrasyid pada hari dia ditembak mati.

Shaari Desa yang juga adalah ketua unit senjatapi dan kesan alat dari Seksyen Criminalistic, bahagian forensik, Jabatan Kimia, berkata semua kesan itu ditemui semasa beliau memeriksa kereta bernombor pendaftaran BET 5023, yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat pada 5 Mei lalu.

Saksi ke-24 pendakwaan itu berkata beliau juga menemui satu kesan tembakan dari arah belakang kereta yang menembusi bahagian tempat letak kepala kerusi pemandu.

Beliau berkata kesan lubang peluru turut ditemui pada belakang kereta, ekzos dan bahagian tangki minyak.

Shaari berkata demikian pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata selain tembakan, turut ditemui pada kereta itu ialah kesan perlanggaran seperti kerosakan pada sisi kiri bahagian depan dan penjuru depan sebelah kiri.

Ditanya mengenai kedudukan penembak dengan kereta yang dipandu mangsa, Shaari berkata yang pasti, individu tersebut bukan dalam keadaan merangkak atau meniarap.

Kelantan bentang ‘Belanjawan Penyayang'

Posted: 09 Nov 2010 09:28 PM PST

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membentang Belanjawan Penyayang 2011 dengan memberi keutamaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Langkah yang diambil kerajaan mendahulukan apa yang patut didahulukan dan mengimbangi antara kesempitan pendapatan dan maslahah orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, tiga paksi utama bajet tersebut iaitu penjanaan ekonomi untuk rakyat, pembinaan insan berteras Islam dan pembelaan golongan daif dan miskin.

Selain itu pembelaan orang kurang upaya, anak yatim, armalah, warga emas dan wanita.

"Berasaskan tema tersebut Bajet 2011 akan mempastikan hasil dan tunggakan hasil kerajaan negeri dapat dipungut untuk pembangunan negeri bagi kesejahteraan rakyat.

"Tumpuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup rakyat terutamanya bagi mempastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar menjadi kenyataan," katanya ketika membentang bajet Kelantan 2011 pada persidangan Dun hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar membentangkan bajet tersebut. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V serta rombongan akan bertolak menunaikan ibadat haji ke Makkah esok.

Husam berkata, dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan dibuat mengikut keutamaan bagi mempastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Bajet 2011 dijangka mengalami defisit sejumlah RM53.24 juta. Perolehan hasil dianggarkan sebanyak RM410.89 juta, manakala perbelanjaan mengurus RM464.13 juta.

Husam berkata, kerajaan negeri akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang penyayang terhadap semua rakyat.

Bajet Kelantan buat julung kalinya menyediakan peruntukan khas bagi menganjurkan program Gerbang Azziwaaj untuk membantu rakyat miskin berkahwin.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk bagi tujuan itu dan ia diharap dapat mengurangkan gejala sosial atau kes khalwat di kalangan penduduk miskin.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan skim bantuan beras kepada penduduk miskin di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri mulai tahun depan.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan bagi mengendalikan skim Al-It'am dengan memberi bantuan beras secara bulanan kepada rakyat termiskin.

Skim tersebut mengambil contoh program bantuan besar percuma yang dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu sejak enam bulan lalu.

Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu menerima bantuan beras percuma sebanyak 10 kg setiap seorang secara bulanan yang disumbangkan wakil rakyat Dun terbabit, Che Abdullah Mat Nawi.

Tiada tindakan MAS rugi RM8 bilion

Posted: 09 Nov 2010 09:27 PM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sekali lagi menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengambil tindakan terhadap isu kerugian Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berjumlah RM8 bilion.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, isu itu telah lama dibangkitkan beliau di Dewan Rakyat termasuk menghantar surat kepada pengerusi PAC sendiri, Datuk Seri Azmi Khalid.

"Saya telah membangkitkan tentang dua surat yang saya hantar kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid pada 13 Disember 2009 dan sekali lagi saya hantar pada 30 Ogos 2010 yang saya telah meminta PAC mengambil suatu tindakan terhadap isu kerugian MAS sebanyak RM8 bilion dan isu ini telah pun saya kemukakan sama ada dengan dua surat yang telah saya kemukakan dan juga diikuti dengan beberapa perbahasan saya dalam Parlimen," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Tambahnya, isu kerugian MAS ini harus diambil siasatan terperinci kerana ia merupakan kerugian besar selepas skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Isu kerugian MAS ini merupakan skandal kedua selepas PKFZ dan demi menyelamatkan wang rakyat dalam negara kita ini saya telah mengemukakan isu ini dan saya telah nyatakan tadi bahawa saya mengharapkan bahawa pada kali ini PAC benar-benar dapat memanggil satu siasatan terhadap isu kerugian MAS ini," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, jika tiada apa-apa tindakan diambil oleh PAC berhubung aduan itu, tempat Azmi harus diganti dengan orang lain agar ia dapat berperanan dengan lebih baik.

"Kalau PAC tidak boleh mengambil apa-apa tindakan, saya cadangkan pengerusi PAC diganti dengan orang lain supaya ianya lebih efektif," katanya.

Beliau turut menegaskan, beliau akan membawa isu itu sehingga ke peringkat tertinggi bagi memastikan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Saya terus akan membawa isu ini hingga ke peringkat jawatankuasa saya akan menyebutnya dalam perbahasan di peringkat JPM.

"Saya cukup konsisten dalam membawa isu ini dan saya harap tindakan dapat diambil terhadap bagaimana MAS boleh mengalami kerugian RM8 bilion dan isu ini memerlukan penyiasatan segera dan saya harap ia boleh mengembalikan kewibawaan SPRM dan PAC," katanya.

Apa rosak RM65 juta ubahsuai Seri Perdana

Posted: 09 Nov 2010 09:25 PM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.

"Kenapa peruntukan yang begitu tinggi ini diberikan kepada hal yang tidak sepatutnya? Setiap kali belanjawan, ada peruntukan untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri.

"Setiap kali tukar Perdana Menteri, berlaku pengubahsuaian. Apa yang rosak sebenarnya? Kita nak tahu apa yang memerlukan pengubahsuaian sampai memerlukan kos yang tinggi? Setiap kali masuk rumah, ada pinggan mangkuk pecah ke?" soalnya berseloroh.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan belanjawan terhadap keperluan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Bayangkan sebanyak RM65 juta untuk tempoh dua tahun. Untuk tahun hadapan kos pengubahsuaian sebanyak RM19.5 juta. Maksudnya berbaki sebanyak RM45.5 juta untuk tahun 2012. Sedangkan kos sebanyak itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat yang jauh lebih memerlukan," katanya lagi.

Seri Perdana di Putrajaya mula dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Sebelum ini beberapa wakil Pakatan Rakyat dalam perbahasan Bajet 2011 telah membangkitkan perkara ini antaranya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Liew Chin Tong, (DAP-Bukit Bendera).

‘Posting’ 52 graduan di Sabah ditarik balik

Posted: 09 Nov 2010 09:23 PM PST

Harakahdaily

TANJONG MALIM: Seramai 52 graduan pendidikan yang telah mendapat surat penempatan di Sabah beberapa hari lepas telah ditarik balik 'posting' mereka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia atas beberapa sebab tertentu, lapor Upsikini.

Bagi mengesahkan maklumat tersebut, mediawan Upsikini telah menghubungi Bahagian Penempatan KPM bagi mendapatkan beberapa respons berhubung hal berkenaan.

Menurut pegawai yang dihubungi, penempatan mereka terpaksa ditarik balik setelah mendapat maklumat bahawa berlakunya lebihan opsyen di Sabah.

Beliau turut menyifatkan graduan tersebut telah pun dimaklumkan menerusi panggilan telefon mengenai pembatalan 'posting' mereka dan keputusan penempatan baru akan dimaklumkan pada 15 November ini.

Manakala, berkenaan bilakah tarikh penempatan mereka masih belum diketahui.

Dalam pada itu, rata-rata graduan pendidikan yang telah mendapat surat makluman penempatan di Sarawak semalam turut menyatakan kerisauan mereka berhubung kes berkenaan.

Manakala mereka yang belum mendapat keputusan penempatan masih lagi menunggu yang dijangka keluar pada 15 November ini.

Kadar pengangguran Kelantan paling rendah di Malaysia

Posted: 09 Nov 2010 09:22 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di negeri Kelantan adalah paling rendah di Malaysia iaitu 2.2 peratus berbanding dengan kadar nasional iaitu 4.0 peratus.

Menurut laporan yang di keluarkan oleh jabatan itu, bilangan dan kadar pengangguran mengikut negeri, untuk Suku Tahun Pertama 2009 (Q1 2009), Kelantan berada di tempat terbaik iaitu 11,300 sahaja penduduknya menganggur.

Ia diikuti oleh Melaka (2.5 peratus seramai 7,300 penduduk menganggur), Pulau Pinang (2.6 peratus, 18,300 penganggur) dan Pahang (3.0 peratus 18,600 penganggur).

Negeri yang paling tinggir kadar pengangguran di negara ini adalah Sabah dan Labuan iaitu 6.1 peratus di mana 85,000 penduduknya menganggur.

Sebelum ini, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan negeri Kelantan termasuk kegagalannya menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

Kerana itu, kata dakwaan itu, ramai rakyat Kelantan bekerja di luar dari negeri itu.

Sementara itu, mengikut satu blog, Malaysia Wave, yang mendedahkan data ini, beberapa blogger kenalan penulisnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencari pekerjaan di Kelantan.

"Teringat saya kepada komen member saya, Topeng Perak satu masa dahulu. Beliau kata beliau pulang ke Kelantan tak sampai 2 minggu dah dapat kerja. Teman baik beliau, si Aduka Taruna, dalam kena hambat dengan polis pun boleh dapat kerja," tulis Abdul Rahman yang menggunakan nama penanya, Tulang Besi.

Tulisnya, negeri yang tidak mementingkan projek-projek gajah putih, tidak mementingkan menara 100 tingkat, tidak mementingkan menara berkembar rupanya kerajaan Kelantan telah menjalankan projek-projek yang membantu peniaga-peniaga kecil dan sederahana.

"Kesannya, peniaga-peniaga kecil dan sederhana di Kelantan mampu mengambil ramai pekerja menyebabkan kadar kemiskinan Kelantan adalah antara yang terendah di Malaysia. Projek-projek membantu kroni ditolak, tapi wang kerajaan negeri digunakan membantu rakyat yang majoritinya peniaga-peniaga kecil dan sederhana.

"Perkara yang sama kita lihat di Amerika sekarang ini. Didapati 90 peratus dari syarikat-syarikat yang mengambil pekerja baru di saat jatuhnya ekonomi Amerika adalah perniagaan yang bersifat kecil dan sederhana. Dikatakan peniaga-peniaga kecil dan sederhana inilah yang akan menyelamatkan ekonomi Amerika dari kehancurkan dan kemusnahan," tulis Rahman dalam Malaysian Wave.

Perkataan "monyet" taboo di DUN Pulau Pinang

Posted: 09 Nov 2010 09:17 PM PST

BERNAMA

penang-bridge GEORGE TOWN: "Monyet" menjadi perkataan taboo disebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Speaker Datuk Abdul Halim Hussain melarang perkataan itu digunakan pada sidang DUN hari ini berikutan perbalahan di antara Ahli- ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Semua bermula apabila R S N Rayer (DAP-Seri Delima) melemparkan tuduhan kepada para demonstran di hadapan bangunan DUN pada Selasa lalu.

"Demonstrasi yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan, merupakan satu "ancaman" kepada sektor pelancongan di negeri ini.

"Tingkah laku mereka ini sama seperti monyet-monyet yang menggoncang pagar (bangunan DUN)," katanya ketika Ng Wei Aik (DAP- Komtar) berucap membahaskan Bil Perbekalan 2011.

Ng sebelum ini berkata kerajaan negeri sedang menarik para pelancong dengan "Estate Water Park" di Batu Ferringhi, dijangka siap dalam tempuh 18 bulan.

Rayer menyampuk dengan menyatakan bahawa demonstrasi itu membuat para pelancong asing takut melawat Pulau Pinang.

Datuk Arif Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) kemudian meminta Rayer menyerahkan bukti video mengenai para penyokong demonstrasi itu bertingkah laku seperti monyet.

Rayer menegaskan, "jika menggoncang pagar itu bukan perangai monyet, jadi perangai siapa?

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) kemudian meminta dewan melarang
perkataan monyet digunakan dalam dewan.

JPP akan putuskan tindakan Zaid

Posted: 09 Nov 2010 09:15 PM PST

saiffudin-nasution-ismailOleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Setiusaha Agong PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan membuat keputusan lanjut sama ada menerima penarikan diri calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim menerusi laman blognya.

Keputusan itu dibuat memandangkan Zaid masih belum menghantar surat rasmi kepada JPP.

"Kami belum terima hitam putih daripada Zaid. JPP akan berbincang dan membuat keputusan sama ada untuk menerima apa yang dimaklumkan dalam blognya sebagai keputusan rasmi penarikan beliau.

"Kami akan membuat keputusan secepat mungkin sebelum minggu depan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Zaid, Saifuddin berkata perkara itu akan dibuat sehingga ada aduan.

"Kami akan ambil tindakan sekiranya wujud aduan terhadap beliau. Sehingga ada aduan baru boleh dilaksanakan," katanya.

6 cadangan Zaid dilaksanakan

Saifuddin menafikan dakwaan wujud manipulasi dalam pemilihan kali ini memandangkan enam dari tujuh cadangan dikemukakan Zaid pada 5 Oktober lalu telah dilaksanakan.

Namun katanya, hanya cadangan mengenai peti undi yang telus cahaya sahaja gagal dilaksanakan ekoran memerlukan bajet yang tinggi untuk hal itu.

"Enam daripada tujuh cadangan itu telah dilaksanakan membabitkan pelantikan ejen untuk setiap calon di setiap pusat mengundi, kertas undi yang mempunyai nombor siri, senarai ahli yang sah diterima sebelum 27 Jun diteima untuk mengundi, tentang kepatuhan
masa dan pembayaran untuk ahli.

Katanya, sepanjang minggu pertama pemilihan yang membabitkan 68 cabang, Zaid menang dengan 38 cabang menyokong beliau, manakala Azmin Ali dengan 37 cabang dan Mustaffa Kamil Ayub (11).

Di cabang Kubang Pasu, Zaid dan Azmin dilaporkan seri. "Hakikatnya, Zaid sudah menerima pencalonan yang tertinggi dalam separuh masa pemilihan ini. Namun Azmin masih mendahului kerana mobilisasi jenteranya lebih baik berbanding calon lain. Maka itu diluar jangkaan JPP mahupun sekretariat.

"Zaid cuba memberi komen yang membabitkan parti. Itu sebab kenapa undi berkurangan. Penilaian telah dibuat oleh ahli malah tiada serangan terbuka rerhadapnya," kata Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang.

Katanya, setakat pemilihan pusat berlangsung pihaknya hanya menerima enam aduan, dua daripada Zaid dan selebihnya daripada ahli parti.

Saifuddin menjelaskan tiga aduan itu masing-masing diterima dari Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Dua aduan Zaid itu membabitkan kertas undi di Kubang Pasu dan serta pihak pengawas, manakala selebihnya berkaitan dengan proses pemilihan oleh ahli parti.

Beliau turut menafikan kesemua aduan yang diterima wujud pembelian undi serta tiada aduan diterima daripada Mustaffa.

"Kami belum terima memorandum daripada sesiapa lagi setakat ini," katanya.

Calon diminta serah aduan kepada JPP

Sementara itu, beliau menggesa agar setiap aduan diserahkan kepada JPP dari memberi sebarang ulasan di luar.

Tanpa merujuk pada mana-mana calon, Saifuddin berkata sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan kepada parti bagi membolehkan pemilihan berjalan dengan lancar.

Beliau berkata proses pemilihan tetap dijalankan walaupun parti menerima kritikan negatif daripada Zaid mahupun Mustaffa.

"Kita tetap akan teruskan proses pemilihan. Kita tidak akan tangguh dan akan teruskan pemilihan seperti biasa," katanya.

Dijadualkan 135 cabang lagi akan meneruskan pengundian sebelum Kongres Nasional mengambil tempat pada penghujung November ini.

Kongres akan bermula 26 sehingga 28 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Keputusan bagi calon yang menang juga akan diumumkan di Kongres itu kelak.

Keadaan banjir di Kedah semakin surut

Posted: 09 Nov 2010 09:14 PM PST

BERNAMA

BanjirALOR SETAR:- Keadaan di kawasan-kawasan dilanda banjir di Kedah semakin pulih apabila bilangan mangsa yang dipindahkan terus berkurangan pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata jumlah keseluruhan mangsa yang masih berada di pusat-pusat pemindahan banjir sehingga 8 pagi ini berkurangan kepada 16,344 orang berbanding 16,915 orang petang semalam.

Di daerah Kota Setar, jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 11,441 orang dan di Kubang Pasu, 4,903 orang.

Jurucakap itu berkata sebanyak 36 pusat pemindahan masih dibuka, 24 daripadanya di Kota Setar dan 12 di Kubang Pasu.

Pejabat Penyelaras Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada akan menyalurkan bantuan barangan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Bukit Lada di sini yang baru pulang ke rumah bagi meringankan beban mereka.

Penyelarasnya Haris Che Mat berkata sebanyak 200 rumah di kawasan itu terlibat dalam banjir yang melanda daerah Pokok Sena sejak 1 Nov lepas.

"Unit Kebajikan Pemuda Umno Pokok Sena dan Penyelaras DUN Bukit Lada akan akan memastikan semua yang terlibat dengan banjir menerima bantuan itu.

"Kita juga dapatkan bantuan Pejabat Belia Pokok Sena yang akan menghantar anggota belia untuk membantu membersih rumah," katanya.


Poligami: Jais siasat satu lagi kes pasangan profil tinggi

Posted: 09 Nov 2010 09:11 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Selepas pasangan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dan pelakon, Zizie Izette A. Samad, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini menyiasat kes pasangan berprofil tinggi yang berpoligami tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Jasi berkata pasangan tersebut turut melakukan kesalahan yang lebih besar apabila dipercayai menggunakan khidmat sindiket jurunikah yang tidak bertauliah di Daerah Gombak.

"Pasangan berkenaan berbuat demikian kerana dipercayai mahu mengambil jalan mudah untuk bernikah segera pada tarikh yang menjadi idaman ramai iaitu 10 Oktober tahun ini," kata Jais.

Kes tersebut membabitkan seorang pegawai biro aduan komuniti bagi sayap pergerakan sebuah parti politik, berusia 32 tahun dan sudah beristeri.

"Pasangannya pula ialah seorang wartawan bahagian berita sebuah stesen televisyen swasta berusia 25 tahun," jelas kenyataan tersebut dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Selain menggunakan khidmat sindiket jurunikah tidak bertauliah, pernikahan pasangan tersebut juga didapati tidak sah kerana wartawan wanita berkenaan tidak memaklum atau mendapatkan izin wali yang sah.

Selain itu katanya, sijil nikah yang dikeluarkan oleh sindiket tersebut kepada pasangan itu juga cuma merupakan sekeping kertas kajang bertulisan jawi.

"Menurut sumber Jais, wartawan wanita berkenaan telah membuat laporan pernikahan itu di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur baru-baru ini tetapi pasangannya belum berbuat demikian.

"Pasangan tersebut dan jurunikah tidak bertauliah yang telah menikahkan mereka, boleh didakwa di mahkamah syariah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

"Kes tersebut dijangka mendapat perhatian umum kerana pasangan lelaki adalah pegawai dari sebuah parti politik, yang pernah terlibat dalam urusan membawa pulang semula wanita Malaysia yang dilarikan lelaki Lombok," jelas kenyataan itu.

Difahamkan, wartawan wanita tersebut adalah seorang anak yatim piatu mualaf (saudara baru) yang tidak begitu arif tentang hukum-hakam Islam, termasuk dalam soal rukun nikah dan Undang-Undang Keluarga Islam.

Pada Ogos lalu, Bung Moktar berjaya mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada Mei lepas bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menerima rayuannya.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan ahli politik dari Sabah itu tetapi memerintahkan Bung Moktar membayar denda RM1,000, dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan penjara enam bulan.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Moktar mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Disember lalu.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

DUN Selangor bahas usul Adun Sekinchan ‘dipukul’ petang ini

Posted: 09 Nov 2010 09:10 PM PST

SHAH ALAM — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Teng Chang Khim membenarkan usul berhubung insiden Adun Sekinchan Ng Suee Lim dibelasah minggu lalu di bahagian Parlimen Tanjong Karang dibahaskan petang ini.

Usul itu diterima selepas Adun Rawang Gan Pei Pei memaklumkan DUN Selangor bahawa Ng dipukul oleh Datuk Shafie Asmawi, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Khamis lalu.

"Saya berpuas hati dengan usul tersebut berdasarkan Seksyen 17(1) Peraturan-Peraturan Dewan iaitu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan... saya dengan ini menangguhkan usul ini sehingga pukul 2.30 petang (untuk dibahas)," kata Teng.

Terdahulu, Gan turut menggesa agar DUN mengutuk Polis Diraja Malaysia kerana tiga anggotanya yang berada di tempat kejadian hanya menyaksikan Ng dipukul oleh Shafie dan beberapa orang dipercaya dari Umno.

Bagaimanapun, Noh sebelum ini dilaporkan menganggap tindakan Ng memasuki kawasan Tanjong Karang sebagai perbuatan 'kurang ajar'.

Noh menafikan dakwaan Ng kononnya aksi samseng di kampung Sawah Sempadan itu dilakukan oleh ahli Umno.

Semalam, Ng berkata beliau pergi ke kampung tersebut untuk bertemu sekumpulan petani, bukan membuat kekecohan atau demonstrasi di kawasan Noh.

Noh juga merupakan Timbalan PengerusiUmno Selangor.

Ng dari DAP dimasukkan hospital selepas mendakwa ditumbuk oleh 30 orang.

Dalam laporan polis sebelum ini, Ng mendakwa dipukul oleh sekumpulan yang disyakinya ahli Umno Tanjong Karang ketika bertemu dengan petani kawasan itu bagi mendengar rintihan tentang isu harga padi.

Putrajaya tubuh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, dianggotai tujuh pakar

Posted: 09 Nov 2010 09:08 PM PST

BERNAMA

PUTRAJAYA — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata selain Dr Wan Mohd Zahid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), enam lagi pakar akademik turut dilantik menganggotai majlis itu.

Mereka ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Timbalan Naib Canselor INTI International University, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid; Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba.

Pengerusi Cempaka International School, Datin Freida Mohd Pilus; Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud juga dilantik sebagai anggota MPPK, kata Muhyiddin selepas mempengerusikan buat pertama kalinya mesyuarat majlis berkenaan di sini.

Muhyiddin berkata penubuhan majlis itu bertujuan bagi membolehkan beliau selaku

Menteri Pelajaran merujuk majlis itu untuk mendapatkan nasihat berhubung perkara yang berkaitan dengan bidang pendidikan negara.

Katanya, beliau akan merujuk berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan, antaranya meliputi sistem pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran.

Selain itu, katanya, ia melibatkan pengurusan pendidikan di samping membuat penilaian terhadap isu-isu pendidikan secara objektif dan mengemukakan strategi serta kaedah penyelesaian yang praktikal dalam menangani isu-isu tersebut.

"Sukacita mereka bersetuju dengan pelantikan ini. Penubuhan majlis ini adalah pertama kali dalam sejarah kerana saya berpendapat proses perkembangan (pendidikan) dalam negara adalah begitu dinamik.

"(Malah) pelbagai perkembangan ini ada hubungkait dengan soal modal insan dan pastinya pendidikan sesuatu yang utama. Kita hendak melihat ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata tujuh pakar akademik yang dilantik itu adalah untuk tempoh dua tahun dan mereka boleh dilantik semula selepas jangka masa itu dengan persetujuan menteri.

Beliau berpendapat penubuhan majlis itu sangat relevan dan signifikan kerana apa yang hendak dilakukan adalah untuk kepentingan negara.

Katanya majlis itu akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Ditanya sama ada majlis berkenaan akan terlibat dalam merangka dasar kerajaan, Muhyiddin berkata mereka hanya memberikan pandangan dan kerajaan akan menelitinya sebelum dilaksanakan.

Najib masih jalani rawatan lanjutan di HKL

Posted: 09 Nov 2010 09:04 PM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Sabtu lalu, masih lagi menjalani rawatan lanjut di hospital itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Perdana Menteri semakin sembuh dan menunjukkan respons baik terhadap rawatan, bagaimanpun, beliau masih perlu ke hospital untuk menjalani beberapa rawatan lanjutan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Hospital Ampang yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Beliau berkata Najib hanya boleh mula bertugas selepas mendapat laporan kesihatan dan perakuan daripada pakar-pakar perubatan mengesahkan bahawa beliau sihat sepenuhnya.

"Pakar-pakar perubatan sentiasa mengawasi keadaan kesihatan beliau, beliau akan mula bertugas selepas laporan kesihatan beliau dikeluarkan oleh pakar ini," kata Liow.

Tiada ulasan: