Isnin, 1 November 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Suhakam: Hak siswa dicabul di Galas

Posted: 31 Oct 2010 06:54 PM PDT

MALAYSIA KINI


Kesemua empat pelajar yang ditahan polis dalam kehangatan pilihan raya kecil Galas semalam dibebaskan lewat malam tadi setelah diambil keterangan oleh polis.

Mereka disambut dengan laungan takbir dan "student power" daripada kira-kira seramai 150 orang rakan mereka yang menunggu di luar balai berkenaan.

Kesemua empat orang pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas disiasat selama enam jam.

Para pelajar berkenaan disiasat berhubung risalah yang diedarkan kepada orang ramai dalam aktiviti mereka, kata pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Md Sha'ani Abdullah.

Md Sha'ani berkata, beliau hadir ke balai berkenaan pada jam enam petang semalam untuk membantu pelajar berkenaan.

"Mereka bukan budak sekolah terlanjut umur, kita kena ubah sikap dan pandangan yang ketinggalan zaman.

"(Saranan ini) termasuk (kepada) penguasa yang pastikan keamanan," kata Md Sha'ani.

Katanya, hak para pelajar tersebut telah dicabul apabila mereka ditahan sejak tengah hari lagi.

"Saya dengar sebab mereka ditahan (dan) saya pun gelak.

"Saya tengok risalah itu tidak menyokong mana-mana pihak, tapi bila letakkan dua haiwan politik (calon yang bertanding (dalam risalah), anda main politik," katanya.

Kesemua pelajar terbabit perlu melaporkan diri semula ke balai berkenaan pada 14 November depan.

'Pengundi pandai tuntut duit dari 2 pihak'

Posted: 31 Oct 2010 06:45 PM PDT

Salhan K Ahmad

PAS tetap mempertahankan tindakannya menawarkan bayaran sehingga RM250 kos perjalanan kepada pengundi DUN Galas yang berada di luar kawasan itu.

Penasihat PAS bagi pilihan raya kecil itu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan amalan biasa yang turut dilakukan Umno dan MCA.

"(Malah) kalau pengundi itu pandai, dia boleh ambil daripada kedua-dua pihak. Itu (amalan) biasa bagi orang Kelantan.

"Mungkin dia boleh minta daripada PAS, Umno dan mungkin daripada MCA pun ada disediakan. Jadi kalau RM200 kali tiga, RM600, banyak juga tu.

"Ini bukan satu perkara pelik, kita tidak ada halangan atau sekat mereka (daripada terima daripada pihak lawan)," katanya.

Bercakap dalam sidang media di markas PAS pagi ini beliau juga berkata perkara itu bukanlah satu bentuk sogokan tetapi untuk memudahkan perjalanan para pengundi yang berada di luar.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berkenaan janji PAS untuk menampung kos perjalanan pengundi berkenaan untuk keluar mengundi pada 4 November nanti.

Langkah berkenaan bertujuan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang disasarkan sehingga 81 peratus bagi memastikan kemenangan kepada PAS, kata Wan Abdul Rahim lagi.

PAS pasang 'pengesan sogokan' di Galas

Posted: 31 Oct 2010 06:44 PM PDT

Salhan K Ahmad

PAS kini menumpukan kepada undi orang Melayu dalam kempen yang masuk hari keenam hari ini, kata penasihat kempen pilihan raya kecilnya di DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Berikutan itu, beberapa langkah diambil untuk memastikan sokongan terus diberikan pada PAS di kawasan seperti Sungai Terah.

Antaranya ialah mengetatkan keselamatan untuk mengesan sogokan kepada pengundi, kata Wan Abdul Rahim.

Katanya, penduduk di situ boleh membuat penahanan awam jika berlaku sogokan.

Salah satu bentuk sogokan yang telah dikesan ialah tawaran RM1,000 dan pemberian set televisyen, katanya.

Kawasan itu mencatat undi popular sebanyak 69 peratus kepada PAS pada Mac 2008, kata Wan Abdul Rahim lagi.

"BN rasa kalau peti undi itu dapat dicairkan, mereka akan dapat rampas Galas," katanya dalam sidang media di markas PAS di Gua Musang hari ini.

PAS setakat ini masih menyifatkan calonnya sebagai underdog dan meletakkan peluang kemenangannya sebanyak 49 peratus, tambahnya.

Namun parti itu tetap yakin akan dapat mengekalkan sokongan di kalangan pengundi Orang Asli dan meningkatkan undi daripada pengundi Cina di Galas, katanya.

Saman JPJ boleh dibayar di pejabat pos mulai esok

Posted: 31 Oct 2010 06:43 PM PDT

BERNAMA


Mulai esok, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima buah pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sebagai percubaan, lima buah kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau berkata bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan depan.

"Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat," katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di Jerantut hari ini.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

"Jika sebelum ini saman polis hanya boleh dibayar di IPD atau IPPK manakala saman JPJ hanya boleh dibayar di kaunter JPJ tapi selepas ini kedua-dua saman itu boleh dibayar di mana-mana saja kaunter JPJ atau polis," katanya.

Menurutnya dengan pelaksanaan kedua-dua kaedah berkenaan, ia dilihat tidak lagi menyusahkan orang ramai malah ia lebih cekap.


'Hakka Mui' lwn 'Hakka Taiko' di Batu Sapi

Posted: 31 Oct 2010 06:42 PM PDT

BERNAMA


Persaingan untuk memikat hati 9,737 pengundi Cina, yang merupakan 38.06 peratus daripada keseluruhan 25,582 pengundi pada pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini, amat sengit hari ini apabila ketiga-tiga calon turun padang untuk menemui orang ramai.

Dalam persaingan yang disebut oleh banyak pihak sebagai 'Battle of Super Sunday' itu, setiap calon cuba memanfaatkan cuti hujung minggu ini untuk menemui sebanyak mungkin pengundi, terutama di kawasan majoriti kaum Cina.

Kebanyakan penduduk Cina di kawasan ini terdiri daripada mereka yang bertutur dalam dialek Hakka, Kantonis dan Hokkien.

Kumpulan yang menggunakan dialek Hokkien kebanyakannya tinggal di kawasan Karamunting, Kantonis di Bandar Ramai-ramai, Kampung Pukat, Bandar Leila dan Bandar Nam Tung, manakala Hakka pula di Taman Mawar.

Pilihan raya kecil ini akan menyaksikan pertandingan antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah.

Oleh kerana Yong dan Tsen adalah daripada suku Hakka, maka tidak hairanlah banyak pihak menyifatkan pilihan raya kecil ini sebagai medan pertempuran antara 'Hakka Mui' dan 'Hakka Taiko'.

Bagi orang Cina, 'Mui' bererti kakak, manakala 'Taiko' bermaksud abang sulung.

Dalam perebutan untuk memanfaatkan hari kelepasan ini, calon-calon berkenaan dan jurukempen mereka kerap bertembung ketika berkempen kerana masing-masing mempunyai jadual ketat dan memberi tumpuan di kawasan serupa.

Ketika BN berkempen di kawasan Cina dan Bumiputera pagi tadi, Yong dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terserempak di Taman Mawar, kawasan yang mempunyai banyak anggota suku kaum Hakka.

Kemudian, Tsen, yang ditemani Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, pula mengunjungi kawasan itu.

Ketika kegiatan berkempen memasuki fasa akhirnya, timbul pula desas-desus kononnya SAPP dan PKR mencapai persefahaman untuk memberi tumpuan di kawasan berasingan -- SAPP akan memberi fokus di kawasan Cina, manakala PKR dan parti pembangkang lain akan memberi tumpuan di kawasan majoriti Bumiputera.

Pemerhati politik percaya PKR memberi tumpuan di kawasan Bumiputera dengan tujuan memecah undi dan sebagai sebahagian daripada persiapannya untuk bertanding bagi kerusi Sekong pada pilihan raya negeri akan datang dan membiarkan SAPP memberi tumpuan ke kawasan majoriti Cina, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting.

Sekong dan Karamunting terletak dalam kawasan Parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh kedua-dua pihak dan SAPP berkata sejak beberapa hari lepas, pihaknya telah berkempen di kawasan Bumiputera, termasuk di pulau-pulau berhampiran.

PKR pula telah membawa rakannya dalam pakatan pembangkang, termasuk pemimpin di peringkat kebangsaan seperti orang kuat DAP Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Sibu Richard Wong Ho Leng untuk berkempen bagi calonnya di kawasan majoriti pengundi Cina.

Langkah ini mungkin menyebabkan pengundi Cina berpecah kepada tiga kumpulan dan persoalannya ialah berapakah jumlah undi yang akan diraih oleh BN dan SAPP?

Pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, mendiang Chong memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 9,479 undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Bebas Dr Chung Kwong Wing, yang mendapat 5,771 undi.

Walaupun BN meletakkan sasaran untuk memperoleh sekurang-kurangnya 25 peratus undi kaum Cina memandangkan terdapat begitu ramai penyokong tegar pembangkang di kawasan itu, tetapi calonnya berpeluang untuk menang dengan selesa melalui peningkatan undi pengundi Bumiputera, manakala PKR pula diramalkan mendapat undi yang agak banyak daripada kaum Cina.


'Gulai kambing lembabkan peratus keluar mengundi'

Posted: 31 Oct 2010 06:30 PM PDT

Abdul Rahim Sabri

Selepas 41 cabang PKR mengadakan pengundian bagi memilih pucuk parti menyaksikan jumlah ahli keluar mengundi agak rendah, pemimpin cabang hari ini mula mengambil langkah proaktif dengan pelbagai cara.

Beberapa cabang yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai hari ini antaranya membuat panggilan dan menghantar SMS kepada anggota parti itu.

Beberapa pemimpin cabang memberitahu Malaysiakini, selepas sejam peti undi dibuka pagi tadi, kehadirannya masih perlahan seperti di beberapa tempat di di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di Bukit Mertajam, sejak pusat pengundian dibuka sejak jam 10 pagi tadi, kira-kira 100 daripada 2,545 anggota telah mengundi.

"Ramai lagi yang sedang beratur di luar (pusat mengundi)," kata setiausaha cabang Rynu Shanmugam ketika dihubungi Malaysiakini

Sementara di Batu Kawan, pemimpin cabang menjangkakan lebih 1,000 ahlinya akan keluar mengundi hari ini.

"Pemilihan dekat sini (berlangsung) aman damai. Pertandingan secara kawan-kawan. Semua wakil calon dan penyokong ketiga-tiga pihak (jawatan timbalan presiden) ada di sini," kata seorang calon pemimpin cabang itu pagi ini.

Manakala pemimpin akar umbi di Rembau dan Permatang Pauh pula berkata, perjalanan di sebelah pagi juga agak perlahan.

Mereka menjangkakan pengundi akan bertambah ramai selepas Zohor nanti memandangkan banyak majlis kenduri kahwin di kawasan tersebut dilangsungkan hari ini.

"Lepas kena gulai kambing dulu, baru mereka datang," kata seorang pemimpin yang enggan dikenali itu sambil ketawa.

Difahamkam perjalanan proses pengundian di semua cabang berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku, setakat ini.

PAS Beri Amaran Kepada Umno Jangan Main Kotor Di Galas

Posted: 31 Oct 2010 06:29 PM PDT

Oleh Fazli Othman

galas-skShah Alam - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberi amaran agar Umno-Barisan Nasional tidak menggunakan taktik kotor demi meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil Galas.

Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata usaha tersebut merupakan tindakan golongan terdesak atau desperado yang mahu mendapatkan kemenangan bagi mengembalikan momentum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Pemimpin Umno-BN seakan terlupa soal dosa dan pahala apabila cuba memfitnah calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad dengan memainkan isu beliau ditangkap khalwat.

"Kita menegaskan isu itu tidak pernah timbul dan hanya bersifat fitnah semata-mata kerana Dr Zulkifli tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kes khalwat.

Apa yang lebih mengecewakan, Umno-BN sekali lagi memainkan isu agama apabila cuba melaga-lagakan antara PAS dan DAP.

Ini merupakan usaha lapuk bagi menjarakkan pengundi khususnya yang beragama Islam daripada PAS dan DAP.

"Isu DAP "Harbi" seperti yang dislogankan sebenarnya tidak lain hanya mainan kotor pemimpin Umno. Lupakah mereka juga berkawan sejak sekian lama dengan MCA, MIC dan Gerakan yang sememangnya sekutu kuat parti tersebut.

"Mengapa mereka tidak menggelarkan MCA, MIC dan Gerakan, seperti mana mereka gelarkan terhadap DAP? Meskipun PAS berkawan dengan DAP dan berada dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak sesekali menjual prinsip yang asas iaitu menegakkan sebuah negara Islam.

Tambahnya, DAP mengenali PAS sebagai sebuah Parti Islam dan menghormatinya sepertimana PAS menghormati DAP.

Khairul Faizi turut membidas Umno yang dianggap tidak layak bercakap soal agama kerana mereka sebenarnya yang merosakkan nilai agama dalam negara kita.

"Penganjuran konsert Adam Lambert, Festival Fesyen Islam, dan yang terbaru isu ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) dimana hiburan dan kelab-kelab malam akan bertambah adalah petunjuk bahawa pemimpin Umno tidak layak bercakap soal agama Islam.

"Umno sepatutnya sedar bahawa selama 53 tahun merdeka, Islam tidak dimartabatkan, sebaliknya diruntuhkan," kesalnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kemenangan Di Sibu Kejutan, Di Batu Sapi Pukulan Kepada Umno-BN

Posted: 31 Oct 2010 06:26 PM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_3778SANDAKAN - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada 'kubu besi' Barisan Nasional tersebut, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon KEADILAN ke Parlimen 4 November akan menjadi pukulan kepada Umno-BN.

Berucap dihadapan lebih 1,000 penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat sini petang tadi dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat, Anwar menegaskan kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan
Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Umno-BN.

"Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

"Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp," tegas Anwar.IMG_3781

Beliau membidas sikap Umno-BN yang tidak pernah mahu memikirkan masalah rakyat terutamanya di Batu Sapi.

"Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka. Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan," bidas Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh yang hadir.

Anwar yang juga Ketua Oposisi berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

"Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

"Di Kedah pula selepas enam memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,00- dan macam-macam lagi," jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan yang selama ini menjadi impian mereka dengan bersama-sama lakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun

Kewarganegaraan jadi modal kempen Umno BN

Posted: 31 Oct 2010 06:24 PM PDT

Rusli Yasmin

SANDAKAN: Dewan Pemuda PAS Sabah kesal dengan tindakan menjadikan taraf kewarganegaraan dan sijil kelahiran sebagai gula-gula kempen politik Umno dan Barisan Nasional.

Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan dan Penyerahan Sijil Kelahiran Kepada Penduduk tersebut bakal diadakan pada 3 November jam 8.00 pagi di Kawasan Flat MPS Karamunting, Sandakan oleh Datuk Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Program tersebut disenaraikan di dalam kalendar aktiviti web rasmi penerangan kerajaan http://media.penerangan.gov.my/prkbatusapi.

"Pemberian taraf kewarganegaraan merupakan hak dan kedaulatan negeri ini dan tidak boleh dijadikan bahan kempen politik semata-mata terutamanya untuk meraih undi.

"Persoalannya mengapa pemberian tersebut baru sekarang diadakan ketika kempen pilihan raya, sedangkan banyak lagi waktu yang sesuai untuk mengurniakan taraf warganegara kepada masyarakat Batu Sapi yang terlibat," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Salman.

Salman memberitahu, BN sebenarnya telah menyalahgunakan hak dan kedaulatan negara ini sesuka hati mereka.

Menurut beliau, BN yang menerajui kerajaan pada hari ini sepatutnya mengambil langkah menyelesaikan isu kad pengenalan yang menghimpit sebahagian masyarakat di Sabah ini sejak dulu lagi.

"Banyak lagi kes-kes kad pengenalan yang belum selesai akibat kegagalan BN sebelum ini mengurus dan mentadbir dengan baik isu kerakyatan ini.

"Penyalahgunaan kuasa ini telah mengakibatkan wujudnya sentimen berunsur negatif di kalangan masyarakat tempatan sedangkan isu ini berpunca daripada mereka (BN) sendiri," ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, isu kad pengenalan tidak akan selesai selagi kerajaan BN terus menjadikan kedaulatan negara dan rakyat negeri ini mangsa bagi mencapai cita-cita dan politik sempit mereka.

Beliau menyeru agar masyarakat di Batu Sapi bijak memilih pemimpin mereka yang amanah dan bertanggungjawab dan tidak terpengaruh dengan janji manis Barisan Nasional.

"Apa juga bentuk barang yang cuba diberikan kepada masyarakat Batu Sapi oleh BN tidak perlu di tolak tetapi undi mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat," tambahnya.

Piala Malaysia: Hadiah 20 tahun Kerajaan PAS

Posted: 31 Oct 2010 06:23 PM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan yang memenangi Piala Malaysia 2010 malam tadi.

Ustaz Hadi berkata, kemenangan itu merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan sempena 20 tahun pemerintahan Islam di negeri itu.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan kerana telah menjuarai Piala Malaysia 2010.

"Jadikanlah ia sebagai hadiah sempena perayaan 20 tahun Kelantan Membangun Bersama Islam," tulis beliau di laman sosial facebooknya pagi tadi.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan yang telah menunjukkan permainan yang cemerlang dan semangat berpasukan sepanjang perlawanan berlangsung.

"Syabas untuk Negeri Sembilan yang bertungkus-lumus untuk mempertahankan kejuaraan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut mengucapkan tahniah kepada The Red Warriors berharap kemenangan itu turut dibawa ke Galas dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

"Tahniah kepada Kelantan juarai Piala Malaysia. Galas Piala Malaysia lepas ni Galas untuk PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Kemenangan Kelantan di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Kelantan memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, menggembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Turut mengucapkan tahniah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

"Tahniah daripada DPPP Kelantan bawa pulang trofi Piala Malaysia. Ia jadi hadiah untuk pemerintahan Tok Guru Nik Aziz dan juga Sultan baru," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

4 hari menjelang undi, calon PKR semakin diterima

Posted: 31 Oct 2010 06:21 PM PDT

Warta Rakyat

SANDAKAN: Menjelang empat hari terakhir kempen di Batu Sapi, calon Pakatan Rakyat menunjukkan perkembangan yang semakin baik apabila hampir kesemua pimpinan utamanya turun ke sini.

(Dewan sebuah hotel di Sandakan penuh sesak)

Selesai sahaja sessi perbicaraannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun mengetuai kempen di sini bersama degan pemimpin kanan PAS dan DAP.

Petang tadi, lebih 1500 hadir dalam sessi Pidato Perdana Pakatan Rakyat yang diadakan di sebuah hotel dengan Calon PKR
memberikan penerangan manefesto dan hala tuju serta hasrat kenapa beliau sanggup menjadi calon dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau mendapat tepukan gemuruh setiap patah ucapan, mood rakyat makin memperlihat bahawa Ansari adalah calon terbaik buat batu sapi.

Menteri Besar Selangor, Tan sri Khalid Ibrahim yang turut berucap percaya Selangor contoh terbaik buat pengundi Batu Sapi untuk membuat perubahan pada 4 November nanti.

Jentera Selangor, katanya, akan memastikan Batu Sapi milik Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini. Ketika pemimpin PKR lain sibuk berkempen untuk jawatan tertinggi Khalid berkempen untuk memastikan kemenangan calon Pakatan itu.

Lim kit siang yang turut berucap berkata, inilah masanya rakyat Batu Sapi berubah kerana kaum Cina sendiri sudah menolak BN dan SAPP.

"Bumiputra Sabah perlu bangkit menolak kerajaan yg zalim untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya.

(Anwar berucap dalam pidato umum)

Bagi Kit Siang, adalah amat memalukan kerana kerajaan BN yang kononnya kaya-raya tak
mampu untuk membina jambatan yang lebih baik sehingga calon PKR dan petugas pilihan raya dan media jatuh apabila jambatan ke ke Pulau Api runtuh.

"Kalau begini, cita-cita untuk membina bangunan 100 tingkat hanya untuk menjadi lambang kemewahan Rosmah Mansor saja," kata beliau.

Datuk Mahfuz Omar dalam ucapan memaklumkan walaupun dia dari Pokok Sena iaitu satu kawsan yang agak terkebelakang di Kedah namun rakyat disana tidak ada yang duduk atas pokok.

"Tetapi di Batu Sapi..rakyatnya lebih 50 peratus masih duduk dalam rumah papan yang usang,
rumah batu hanya kepada pengampu BN," kata anggota Pasrlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, rakyat Batu Sapi perlu memberikan sokongan kukuh kepada Pakatan Rakyat bagi memastikan nasib mereka dibela sebagai rakyat yang bermaruah. Masa perubahan telah tiba kini, kata beliau.

Datuk Seri Anwar ketika berucap menyeru seluruh penyokong dan petugas menjadi agen dan perayu dalam memastikan Batu Sapi menghantar Ansari Abdullah untuk mengangkat sumpah di Parlimen minggu depan.

Rakyat Batu Sapi perlu jelaskan hasrat mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah wakil mereka di Parlimen.

"Kini UMNO amat terdesak kerana rakyat Batu Sapi bangkit menentang kepimpinan mereka. Mereka tak mahu digula-gulakan lagi setelah lebih 40 tahun mereka berada dalam
Malaysia," katanya.

Akhirnya Anwar mahukan suara Batu Sapi bergema dalam Dewan Rakyat melalui wakilnya iaitu Ansari Abullah.

Tangkapan terhadap Malaysian4BengHock dikecam

Posted: 31 Oct 2010 06:16 PM PDT

Harakahdaily

GUA MUSANG: Tangkapan terhadap kakak Teoh Beng Hock di Galas ketika menyebarkan surat rayuan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian adiknya mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bahkan mereka bimbang kini ekoran tersebarnya maklumat bahawa pihak polis sedang mencari semua mereka yang terlibat dengan kempen Malaysian4BengHock bukan sekadar empat yang ditangkap kini sahaja.

Teoh Lee Lan (gambar), adik mendiang Teoh Beng Hock telah ditangkap hari ini ketika menyebarkan risalah memohon agar satu suruhanjaya dibentuk bagi menyiasat kematian adiknya itu.

Turut ditangkap adalah abang ipar Teoh Beng Hock, Soh Cher Hai dan dua lagi ahli Malaysians4BengHock, Ng Yap Hwa dan Toh Chin Hong.

Mereka dibawa ke Balai Polis Gua Musang dan diambil keterangan mereka.

"Sekarang polis bukan sahaja mahu mengambil keterangan dari ke empat-empat mereka tetapi juga kesemua ahli Malaysians4Beng Hock," kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua melalui twitternya.

"Polis telah memanggil empat lagi anggota Malaysians4BengHock untuk diambil keterangan. Mungkin semua yang ada di Galas akan diambil keterangan," kata Thomas Su dalam twitternya.

Semalam, abang ipar Beng Hock, Soh Cher Hai mendakwa dia telah dipukul oleh sekumpulan penyokong MCA ketika berusaha untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita dari MCA, Datuk Heng Seai Kie.

Bagaimanapun, timbalan menteri itu menafikannya. Namun begitu beliau meminta kes Teoh Beng Hock tidak di bawa ke Galas.

PAS: Kami bukan mungkir janji, tapi memang ‘ditendang’ BN keluar

Posted: 31 Oct 2010 06:14 PM PDT


GUA MUSANG — Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Halim Abdul Rahman menegaskan, parti itu "ditendang" keluar dari Barisan Nasional (BN) penghujung 1970-an selepas tidak mendapat kata sepakat dalam beberapa perkara termasuk tidak bersetuju dengan perintah darurat dikeluarkan ketika itu.

Justeru Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu mempertahankan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan Pengerusi Majlis Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Isohak sebagai "buta sejarah."

"Memang PAS ditendang, jadi betul apa yang Datuk Nik Aziz katakan. Dulu PAS memang bekerjasama dengan Umno semasa bergabung dalam BN.

"Tapi ada beberapa perkara yang kita tidak setuju semasa berada dalam BN terutamanya ketika BN mengumumkan darurat di Kelantan ketika itu.

"PAS tidak setuju, kita menentang rancangan itu, sebab itu kita ditendang keluar dari BN. "Saya rasa orang yang bercakap PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno ketika itu tidak tahu sejarah," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Rozali menyangkal kenyataan Nik Aziz bahawa PAS telah "ditendang" keluar dari BN sekitar 1970-an dan bukannya PAS yang tidak mahu berkerjasama dengan Umno ketika itu.

Beliau berkata sebenarnya PAS mungkir dengan janjinya untuk tidak menubuhkan cawangan mereka di kawasan yang dikuasai oleh Umno semasa bergabung dalam BN.

"PAS juga berbalah sesama sendiri, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Mageran iaitu Majlis Keselamatan Negara di Kelantan dan dengan keadaan itu menyebabkan pemimpin Umno merasai PAS tidak perlu bersama BN lagi," katanya.

Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang dari satu aspek menyebut bahawa parti itu telah ditendang dari BN pada tahun 70-an selepas dipelawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bukannya PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Nik Aziz dalam ulasannya seperti yang tersiar dalam laman portal Harakah Daily yang diberi tajuk "Fatwa `Ikut Suka PAS'': Umno Keliru dan Terus Keliru" yang antara lain menyebut bahawa PAS dengan ikhlas menyambut ajakan masuk bergabung ke dalam BN oleh Tun Razak pada 1973 yang kemudiannya menjadi perangkap bagi PAS.

PAS, katanya, bergabung dengan Umno membentuk BN demi perpaduan, namun hasilnya PAS khususnya di Kelantan berpecah kepada empat iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS menurut Menteri Besar Kelantan itu hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut dan seterusnya membawa kepada peristiwa PAS ditendang daripada BN dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.

Tambah Halim, PAS tidak mungkir janji kepada BN ketika itu dan menegaskan, parti Islam itu tetap akan keluar kerana sudah tidak mempunyai kesefahaman lagi.

"Kalau tidak ditendang pun kita memang akan keluar dari BN kerana sudah tidak tahan lagi berada dalam BN.

"Kita sudah perit dengan BN," kata beliau mengulas isu ini yang muncul semula ketika berlangsungnya pilihan raya kecil kerusi DUN Galas sekarang.

Kempen pilihan raya bermula Selasa lalu dan pengundian dijadualkan 4 November ini. Isu ini timbul ketika ada pandangan supaya PAS dan Umno mengadakan semula perpaduan politik.

Bagaimanapun Nik Aziz menegaskan kemungkinan itu tidak boleh menjadi kenyataan berdasarkan pengalaman tahun 1970-an.

Keputusan 4 Nov bukan indikasi prestasi PRU-13 di Sabah

Posted: 31 Oct 2010 06:11 PM PDT

BATU SAPI— Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menolak tanggapan bahawa keputusan Batu Sapi 4 November ini akan menjadi petunjuk prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, yang diramal bakal diadakan bila-bila masa tahun depan.

"Mungkin kami akan kalah beberapa (kerusi) dalam pilihan raya umum, tetapi kami akan menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah," kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini baru-baru ini.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi akan diadakan Khamis ini. BN menurunkan Datin Linda Tsen Thau Lin manakala Parti Maju Sabah (SAPP) mencalonkan presidennya Datuk Yong Teck Lee dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mewakili Pakatan Rakyat, menamakan peguam Ansari Abdullah. Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.

Persaingan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi kelihatan sebagai referendum ke atas pentadbiran BN selama 16 tahun memandangkan kempen SAPP dan PKR memfokus soal pembangunan negeri itu.

Musa, Ketua Menteri yang ke-14 dan Pengerusi BN secara peribadi mengetuai kempen untuk menghantar Tsen ke Parlimen dengan mempertahankan rekod BN di Sabah. "Tidak adil untuk mengatakan bahawa Sabah adalah negeri yang paling miskin," kata Musa yang dilantik sebagai Ketua Menteri pada Mac 2003.

Pembangkang mengkritik kepimpinan BN di Sabah dengan mendakwa ia gagal untuk menunaikan janji sepanjang 16 tahun menerajui kerajaan negeri.

Yong, bekas ketua menteri Sabah menegaskan, meskipun Sabah merupakan negeri kedua terkaya pada 1970-an, tetapi ia kini sebuah negeri paling miskin.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam membawa Sabah ke pangkuan BN pada 1995, berkempen untuk Ansari dengan menegaskan, pihaknya boleh melakukan lebih baik jika diberikan mandat.

Bagaimanapun Musa mengetepikan cakap-cakap sedemikian, sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat-wakil rakyat BN melakukan kerja dengan baik demi rakyat.

Justeru beliau melahirkan keyakinan dengan peluang BN dalam pilihan raya kecil kerusi Batu Sapi minggu ini.

Katanya, rakyat Sabah tahu untuk berbudi kepada mereka yang membawa pembangunan. Musa memberitahu, di bawah BN Sabah telah berkembang sejak saban tahun dan "tiada masalah" dalam memperoleh peruntukan ekoran hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

"Pada pengalaman saya, selagi anda berkhidmat dengan baik untuk rakyat, memenuhi permintaan mereka, membawa infrastruktur dan pembangunan untuk mereka, mereka akan gembira," kata beliau.

"Rakyat Sabah tahu bagaimana hendak menghargai. Mereka tahu bagaimana hendak berterima kasih jika anda membawa pembangunan," kata Musa.

Itu sebabnya mengapa pengundi Batu Sapi tidak wajar menyokong pembangkang memandangkan mereka tidak boleh membawa dana untuk pembangunan di kawasan mereka, kata Musa lagi.

"Kerajaan persekutuan sangat positif dan sedia mengetahui keperluan negeri. "Itu sebabnya sangat penting mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dn pusat.

"Dan, itu yang saya hendak memberitahu kepada rakyat," kata beliau.

Musa juga mengingatkan pengundi bahawa tidak berguna bagi seseorang menjadi ahli politik jika dia tidak boleh membantu pengundi mereka.

"Rakyat mahukan pembangunan," kata beliau lagi. Kata Musa, jika rakyat mahukan seorang Ahli Parlimen yang boleh memastikan suara mereka didengar di Parlimen, maka mereka harus memilih Tsen.

"Lebih baik mempunyai seorang Ahli Parlimen dari BN sebab apabila anda bercakap, rakyat akan mendengar apa yang anda perkatakan dan apabila anda bertanya apa yang anda mahukan, anda akan memperolehnya," kata Musa.

Sehubungan itu kata Musa, setiap apa yang beliau minta, kerajaan pusat telah meluluskan. Katanya, rakyat Sabah merupakan golongan yang mahukan wakil mereka memperlihatkan prestasi mereka dalam kerja, bukannya hanya menyampaikan ucapan-ucapan politik.

Musa juga berkata, di bawah pentadbirannya para menteri dan wakil rakyat menyedari bahawa adalah penting untuk berkhidmat kepada rakyat secara konsisten mendampingi mereka dan mengambil tahu akan keperluan dan masalah mereka.

"Seorang YB atau Yang Berhormat bukan bermaksud demikian... ia bermaksud Yang Berkhidmat kerana anda berkhidmat untuk rakyat.

"Ini yang kami lakukan dan saya bukan cakap besar, tetapi anda sendiri boleh melihat pembangunan di sini," katanya lagi.

Musa juga menambah, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan persekutuan mengabaikan pembangunan di negeri Malaysia Timur itu.

"Kami menerima banyak peruntukan pembangunan. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan memberi lebih RM15 bilion untuk pembangunan negeri. Perbelanjaan bagi keselamatan pantai adalah buktinya," kata beliau.

"Mereka memberikan kami sejumlah wang yang banyak untuk pembangunan, jadi ia adalah pelan yang kami jual kepada rakyat Sabah," katanya lagi.

Haji: Semua jemaah Malaysia dijangka tiba 9 November

Posted: 31 Oct 2010 06:09 PM PDT

BERNAMA


Jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan fardhu haji musim 1431 Hijrah ini dijangka berada di tanah suci Mekah pada 9 November ini. - Gambar Reuters

MEKAH — Kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan fardhu haji musim 1431 Hijrah ini dijangka berada di tanah suci Mekah pada 9 November ini.

Menurut Timbalan Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman 73 peratus daripada mereka sudahpun berada di Mekah dan Madinah sehingga semalam.

"Penerbangan terakhir dijangka tiba di Jeddah pada 9 November ini dan mereka akan menaiki bas terus ke Kota Mekah kira-kira 70 kilometer," katanya kepada pasukan media Tabung Haji yang membuat liputan musim haji ini.

Beliau berkata penerbangan terakhir membawa jemaah haji yang akan tinggal di Madinah selama lapan hari sebelum memasuki Mekah, tiba di lapangan terbang di Madinah semalam, dan selepas ini semua penerbangan akan terus ke Jeddah.

"Dari 73 peratus yang tiba, cuma 15 peratus masih berada di Madinah. Perjalanan mereka ke Mekah dengan bas sejak rombongan pertama tiba 9 Oktober lepas berjalan dengan lancar," kata Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Korporat & Perkhidmatan Tabung Haji.

Mengenai penambahbaikan perkhidmatan untuk jemaah haji, beliau berkata Tabung Haji memperkenalkan program "Sahabat TH" dengan memilih 20 jemaah yang memenuhi kriteria antaranya sihat dan berpengalaman bagi membantu petugas agensi itu.

"Sahabat TH antaranya berperanan memberi maklum balas tentang perkhidmatan, sajian makanan, kualiti petugas serta memberi penerangan dan membantu pergerakan jemaah ke Arafah, Mina dan Muzdalifah," kata Syed Saleh. Dr Noorminshah Ahad, 33, pensyarah Universiti Teknoloji Mara (UTM) Skudai, Johor yang menyertai program tersebut berkata Sahabat TH amat baik kerana ia dapat menjadi pentas interaksi dua-hala antara jemaah dan Tabung Haji.

Pegawai Mara dari Kota Bharu, Kelantan, Azman Mohd Yusoff, 50, pula berkata beliau menggunakan program itu untuk menyampaikan pandangan jemaah kepada Tabung Haji.

"Kami berpuas hati kerana perkhidmatan Tabung Haji cukup memuaskan dan antara yang terbaik.

Jemaah haji Malaysia cukup bertuah tambahan petugas Tabung Haji sangat mesra dan setiap masalah mereka ditangani dengan memuaskan," tambahnya.

Wang ihsan: Kerajaan negeri tak akan tunduk tekanan Umno, kata Lim

Posted: 31 Oct 2010 06:05 PM PDT


TASEK GELUGOR — Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberi sumbangan wang penghargaan kepada warga emas dan waris warga emas yang meninggal dunia selagi Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

"Selaku kerajaan negeri yang bertanggungjawab di Pulau Pinang, kami tetap berpendirian tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan dan usaha mana-mana pihak yang mahu menggagalkan usaha membantu dan membela nasib warga emas dan mereka yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Lim (gambar) berkata, inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai warga emas berusia 60 tahun dan juga waris kepada warga emas yang meninggal dunia adalah bagi mengiktiraf golongan warga emas di Pulau Pinang.

Beliau juga berkata, oleh kerana kepimpinan kerajaan terdahulu gagal untuk menobatkan warga emas sebagai sesuatu yang amat berharga bagi mereka dan apabila usaha diambil kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mendapat sokongan rakyat, tindakan menggagalakan program ini dilakukan oleh sesetengah pihak yang cemburu dan iri hati.

"Telah beberapa kali kita menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan RM88 juta bagi kali pertama pada 2008 dan lebihan sebanyak RM77 juta pula pada 2009 hasil perbelanjaan berhemah dan jimat cermat.

"Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam usaha menentang rasuah kerana pengurusan kewangan yang baik daripada Ketua Audit Negara buat kali kedua tahun ini," kata beliau pada majlis sumbangan RM1,000 seorang kepada 153 waris warga emas yang meninggal dunia, di Sungei Dua di sini pagi ini.

Sehubungan itu kata beliau, warga emas khususnya masyarakat Islam diharap tidak terpedaya dengan fitnah dilemparkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bagi melihat sokongan terhadap PR luntur dan terhakis.

Sebelum ini program penghargaan warga emas dengan sumbangan RM100 seorang oleh kerajaan negeri telah dipertikaikan oleh Umno Pulau Pinang apabila mereka mendakwa dana yang digunakan untuk menyalurkan wang tersebut datangnya dari punca yang tidak halal.

Rentetan daripada itu beberapa siri program memulangkan kembali wang pemberian kerajaan negeri turut diadakan di Penaga, Seberang Perai Utara, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Pada 12 Oktober lalu pula, sejumlah besar warga emas dari Seberang Perai Utara telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri apabila berhimpun di Dewan Haji Ahmad Badawi dan menyelar mereka yang telah diperdayakan oleh Umno Pulau Pinang agar memulangkan kembali wang penghargaan yang telah diterima.

Namun, tindakan yang telah diambil Umno Pulau Pinang bagi mengelirukan warga emas tidak mendapat sokongan apabila sebahagian besar warga emas masih lagi turun beramai-ramai untuk menerima wang sumbangan tersebut.

Pada 23 Oktober lalu, seramai 123 waris warga emas yang telah meninggal dunia turut menerima sumbangan kerajaan negeri dalam satu majlis diadakan di Yayasan Aman, Penanti.

Sejumlah RM123,000 telah disumbangkan sebagai menghargai jasa waris-waris yang menjaga dan menghargai ibu bapa mereka semasa hayat mereka masih ada.

Sementara itu sebanyak RM153,000 pula telah diberikan pada pagi ini kepada 153 penerima yang berada di Seberang Perai Utara.

Lim juga menyelar pemimpin pembangkang di Pulau Pinang yang membuat tuduhan tidak berasas ke atas kerajaan negeri semata-mata untuk mendapat sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

"Cuma yang mereka sering war-warkan ialah sekeping salinan surat ucapan teruima kasih yang ditujukan kepada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumbangan dana untuk program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) yang mana program RAK ini tidak ada kena-mengena langsung dengan program sumbangan dan penghargaan kepada warga emas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras DUN Penaga, Rosidi Hussan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Hassan Mat Daud dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus.

PAS dakwa masih ‘underdog’, sokongan hanya 49 peratus

Posted: 31 Oct 2010 06:04 PM PDT


GUA MUSANG — Kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sudah memasuki hari keenam, namun PAS masih menganggap parti itu sebagai 'underdog' dengan sokongan sekitar hanya 49 peratus — naik satu peratus berbanding awal minggu lalu.

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengakui Barisan Nasional (BN) masih lagi mendahului dari segi sokongan pengundi. "BN masih lagi mendahului kita.

"Kita masih lagi anggap kita sebagai underdog dalam pilihan raya kecil ini.

"Disebabkan calon kita (Dr Zulkefli Mohamad) lebih baik dari calon BN (Abdul Aziz Yusoff) sokongan kita naik 49 peratus," kata beliau pada sidang media di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kempen parti itu untuk mengekalkan kerusi DUN Galas pada pilihan raya kecil kali ini bermula dengan keyakinan sebanyak 48 peratus.

Wan Abdul Rahim berkata kemenangan PAS di DUN Galas kini bergantung kepada undi orang Melayu yang mempunyai jumlah terbanyak di kawasan itu.

"PAS yakin undi Cina meningkat dan persaingan sekarang adalah pengundi Melayu yang akan menentukan kemenangan parti yang bertanding.

"Pengundi Melayu kini yang jadi sasaran dan untuk memastikan kemenangan PAS kita perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi PAS terutamanya di Sungai Terah di mana kita mendapat undi 69 peratus pada 2008," katanya. Ahli Parlimen Kota Baru itu juga berkata, PAS akan menubuhkan jawatankuasa khas keselamatan yang akan memantau mana-mana individu yang cuba menyogok pengundi-pengundi.

"Kita akan arahkan jawatankuasa ini bergerak bermula esok 1 November (esok) hingga 3 November dalam usaha untuk membanteras pihak yang akan menyogok pengundi.

"Mana-mana pihak yang cuba membuat sogokan yang kita percaya sebanyak RM1,000 dan televisyen ini kita akan tahan dan serahkan kepada polis.

"Setakat ini kita sudah terima maklumat bahawa sogokan ini akan berlaku jadi kita perlu bersiap sedia dan membanteras perkara ini daripada berlaku," katanya.

Tambah beliau, tindakan menyogok pengundi dengan wang ringgit ini merupakan satu kesalahan besar dan boeh disifatkan sebagai "penjenayah".

"Kita akan berjaga di peti-peti undi dan akan menahan sesiapa sahaja yang disyaki," katanya.

Mengenai kos pengangkutan kepada pengundi luar yang berjumlah RM250, Wan Abdul Rahim berkata, ia sudah menjadi amalan biasa dalam parti itu untuk menarik minat pengundi supaya pulang untuk menjalankan kewajiban.

"Ia sudah jadi amalan biasa, bukan perkara baru dalam PAS. "Ini bukan sogokan cuma untuk membiayai kos pengangkutan pengundi di luar. Kalau mereka bijak mereka boleh dapat dari PAS, Umno dan juga MCA.

"Kita hanya beri wang pengangkutan sahaja, soal undi kita tidak tahu. Umno dan MCA juga melakukan perkara sama," katanya.

Semalam Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, PAS akan menanggung kos pengangkutan pengundi luar untuk balik mengundi pada 4 November nanti.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.

DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Abdul Aziz manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Zulkefli.

PAS dakwa SPR tidak ikut peraturan ubah status pengundi isteri tentera

Posted: 31 Oct 2010 06:02 PM PDT

BERNAMA

KEPALA BATAS — PAS Pulau Pinang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengubah status pengundi awam isteri tentera di negeri ini kepada pengundi tidak hadir (pengundi Pos) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa mengikut peraturan dalam pindaan 2002 dalam Seksyen 2(b).

Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Mohd Fadzil Kemi berkata di bawah Seksyen 2(b) isteri tentera diberi pilihan sama ada mahu mendaftar sebagai pengundi pos atau pengundi awam bagi sesuatu kawasan.

"Dalam situasi ini seramai 630 isteri tentera telah didaftarkan sebagai pengundi pos bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, sebahagian daripada mereka merupakan pengundi baru dan sebahagian lagi yang telah berdaftar.

"Kami mahu SPR memberi penjelasan terperinci berhubung pertambahan bilangan pengundi yang berlaku secara mendadak ini, jumlah ini diperolehi untuk tempoh semakan bermula dari 27 Okt lepas hingga 2 Nov depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Fadzil yang juga Timbalan Penolong pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri juga mendakwa SPR tidak memaklumkan kepada isteri-isteri tentera terbabit mengenai pertukaran status pengundian mereka.

Ditanya sama ada PAS akan membuat laporan polis Mohd Fadzil berkata: "Kita akan dapatkan nasihat dan pandangan dari peguam".

PM diminta rehat ekoran tanda-tanda awal cacar

Posted: 31 Oct 2010 06:01 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar berehat di kediaman dan mengelakkan daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar.

Penasihat media beliau, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, dalam kenyataan kepada Bernama menyatakan bahawa Perdana Menteri (gambar) mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respons yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin.

Jangan main isu ‘Sabah Untuk Sabah’, kata Soi Lek

Posted: 31 Oct 2010 05:59 PM PDT

BERNAMA

SANDAKAN — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengingatkan Parti Maju Sabah (SAPP) agar tidak memainkan isu 'Sabah untuk orang Sabah' sebagai modal politik untuk meraih sokongan pengundi.

"Politik seperti itu sudah ketinggalan zaman. Tak perlulah membangkitkan kebencian. Apa yang diperlukan ialah politik pembangunan. Kita perlu bekerjasama dan terus maju ke hadapan.

"Memainkan isu untuk memperjuangkan autonomi atau sesuatu yang bersifat ekslusif, seperti 'Sabah untuk orang Sabah', adalah salah.

"Sabah telah diberi beberapa penghormatan dan sekurang-kurangnya lima menteri dalam Kabinet Persekutuan berasal dari negeri ini," katanya.

Dr Chua berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin dalam kempennya bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi di pasar Tanah Merah dan Bandar Nam Tung berhampirannya di sini.

Beliau berkata sejajar harapan tinggi yang diletakkan oleh rakyat di bahu mereka, setiap ahli politik perlu membuat perubahan supaya seiring dengan senario semasa dan tidak lagi menimbulkan isu lama atau mengamalkan cara berpolitik yang telah ketinggalan zaman.

"Kini sudah tak ada lagi kubu kuat Barisan, PKR atau SAPP dan rakyat sudah makin canggih serta menuntut pelbagai perkara. Oleh itu, parti politik perlu bijak untuk menangani senario baru ini," katanya.

Beliau berkata sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kerjasama antara semua negeri, termasuk Sabah, amat diperlukan.

"Politik integrasi, keterangkuman dan pembangunan perlu dijadikan amalan utama, bukannya mengamalkan politik bersifat ekslusif dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Pada pilihan raya kecil 4 November ini, Tsen, balu kepada anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket Wah, ditentang Ansari Abdullah daripada PKR dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Kawasan Parlimen Batu Sapi yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting dan Sekong, mempunyai 25,582 pengundi.

Daripada jumlah itu, 15,099 atau 59.02 peratus adalah bumpiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus Cina dan 57 atau 0.22 peratus etnik lain.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, SAPP sudah kehilangan modal dalam kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi sehingga menjaja isu blok minyak `Blok L dan M' milik Brunei.

Beliau berkata isu itu sudah diputuskan dan tidak harus ditimbulkan lagi bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dan Brunei.

"Calon SAPP Datuk Yong Teck Lee sudah kehilangan modal untuk menarik sokongan pengundi di Batu Sapi hingga membangkitkan isu blok minyak `Blok L dan M' milik Brunei.

"Perkara itu sudah diputuskan dan tidak harus ditimbulkan lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Penerangan Program Risda di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari sini hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata BN mempunyai segala jawapan bagi isu yang dibangkitkan oleh Yong dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil Batu Sapi ini.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Mohd Shafie berkata Yong pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan sepatutnya beliau memperjuangkan segala isu yang dibangkitkan ketika itu.

"Dia (Yong) hanya mahu mempermainkan rakyat dan menggugat perpaduan pengundi di Batu Sapi untuk kepentingan diri," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie yakin pengundi di Batu Sapi bijak menilai untuk memilih calon yang mampu membela nasib mereka iaitu BN.

1,615 pengundi pos PRK Batu Sapi akan mula mengundi esok

Posted: 31 Oct 2010 05:57 PM PDT

BERNAMA

SANDAKAN — Seramai 1,615 pengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi akan mula mengundi esok (1 November ) hingga Rabu ini, menurut Pengurus Pilihan raya Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supaan.

Beliau berkata pengundi pos itu membabitkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Sandakan, anggota PGA di ibu pejabat PGA di Karamunting Selasa ini dan TLDM di Taman Samudera Jalan Labuk pada Rabu ini.

Petugas SPR pula boleh mengundi pada bila-bila masa mulai esok hingga Rabu ini, katanya kepada pemberita selepas pengeluran kertas undi pos dan penyemakan oleh wakil parti yang bertanding di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Menurut beliau sejak penamaan calon Selasa lepas, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menunggu hari mengundi.

Mohd Hamsan berkata semua kertas undi pos akan dimasukkan di peti undi utama di Dewan Masyarakat Sandakan dan hanya akan dikira selepas pukul 5 petang, Khamis ini.

Sementara itu, kertas undi bagi pemilih biasa berjumlah 24,047 keping juga tiba di Dewan Masyarakat Sandakan petang tadi untuk proses penyemakan oleh wakil parti yang bertanding.

Pilihan Raya Kecil Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah) dan Ansari Abdullah (Parti Keadilan Rakyat).

Tindakan PAS bayar pengundi luar RM250 salah, kata SPR

Posted: 31 Oct 2010 05:56 PM PDT


GUA MUSANG — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan tindakan PAS menawarkan bayaran sehingga RM250 kepada pengundi luar pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini sebagai satu bentuk sogokan dan menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan PAS itu bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh ditafsir dengan tujuan memancing undi.

"Tindakan PAS itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan ia boleh ditafsir dengan bertujuan untuk memancing undi," kata beliau sambil menasihatkan agar PAS berhati-hati.

"Mungkin PAS kata ia bertujuan untuk membiayai kos pengangkutan, tapi itu mereka yang cakap.

"Mereka boleh memberikan pelbagai alasan seperti wang itu adalah saguhati untuk menampung kos makan minum.

"Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan jelas menyatakan tindakan berkenaan adalah salah di sisi undang-undang, jadi saya minta PAS supaya berhat-hati sebelum melakukannya," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Halim Abdul Rahman bahawa parti itu akan membayar wang sehingga RM250 kepada seramai 1,557 pengundi berdaftar di DUN Galas yang berada di luar kawasan bagi menampung kos perjalanan pulang mengundi.

Halim berkata, pemberian wang berkenaan bukanlah satu bentuk rasuah, sebaliknya insentif bagi menarik minat pengundi untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain Halim, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, ia sudah menjadi amalan biasa dalam parti itu untuk menarik minat pengundi supaya pulang untuk menjalankan kewajiban.

Pengundi yang berada di Johor akan dibayar RM250 seorang dan Lembah Klang pula RM200 manakala di sekitar Kelantan dibayar mengikut jarak perjalanan.

"Kita berjanji lepas mereka mengundi, kita akan bayar kepada mereka," katanya Wan Rahim.

Tambah Wan Ahmad, SPR bagaimanapun tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan, sebaliknya menjelaskan ia terserah kepada parti lawan.

"SPR tidak akan mengambil sebarang tindakan ia terpulang kepada kepada parti lawan.

"Kalau mereka mahu ambil tindakan undang-undang, PAS sewajarnya tahu apakah implikasinya atas perbuatan itu.

"Kalau ada bukti parti lawan boleh buat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apa-apa pun terserah kepada parti dan calon yang bertanding," katanya.

Menurut Wan Ahmad, banyak cara boleh dilakukan untuk membawa pulang pengundi luar kawasan seperti penyediaan pengangkutan kepada mereka bukan memberikan wang.

"Kalau nak bawa pengundi luar balik parti bertanding boleh gunakan pengangkutan dengan ambil dan hantar mereka, bukan dengan wang.

"Ini namanya perkhimatan, PAS, Barisan Nasional (BN) pun boleh buat tapi bukan dengan bagi wang," katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.

DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Azmin dahului Zaid, Mustaffa saingan timbalan presiden PKR

Posted: 31 Oct 2010 05:55 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR— Naib Presiden Azmin Ali kelihatan mula mengatasi saingan pada hari ketiga pengundian pemilihan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung hari ini.

Setakat pukul 9 malam tadi, sementara keputusan enam cabang belum diketahui, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dikatakan sudah mendahului saingan dengan kelebihan 529 undi.

Azmin, yang menerima pencalonan terbanyak sebelum ini, mengumpulkan 2,661 undi berbanding Datuk Zaid Ibrahim yang menerima 2,132 undi manakala seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub mendapat 958 undi.

Undi itu mengambil kira kedudukan semasa dan kelmarin.

Pada hari ketiga hari ini, Azmin memperoleh 1,133 undi ketika keputusan enam cabang belum diperoleh manakala Zaid pula menerima 626 undi dan Mustaffa pula 322 undi.

Sebelum ini, aliran undi yang diperoleh tiga calon berkenaan kelihatan bercampur-campur seperti yang disaksikan pada hari kedua pengundian semalam.

Terdahulu, berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi yang diterima setakat 7 petang tadi, kedua-dua Azmin dan Mustaffa kelihatan memperoleh jumlah undi terbanyak di tiga cabang manakala Zaid menguasai empat cabang.

Zaid juga memperoleh undi terbanyak di Negeri Sembilan, yang menyaksikan dua cabang mengadakan pengundian hari ini.

"Setakat ini pengundian masih bercampur-campur seperti yang disaksikan semalam... mungkin kerana jumlah negeri yang mengadakan pengundian adalah banyak dan negeri-negeri besar," kata seorang pemimpin yang mengikuti proses pengundian kepada The Malaysian Insider.

Setakat semalam, Zaid dikatakan mendahului Azmin dan Mustaffa tetapi persaingan sengit dilihat membabitkan Zaid dan Azmin.

Keputusan tidak rasmi diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Zaid telah mengumpulkan 1,552 undi manakala Azmin pula 1,509 dan Mustaffa 636 — jumlah undi sepanjang dua hari pertama pengundian pemilihan pusat dilangsungkan.

Ini kali pertama PKR mengadakan sistem pemilihan secara langsung membolehkan kaedah satu ahli satu undi digunakan.

Pun begitu, Azmin memperoleh undi terbanyak semalam iaitu 1,008 berbanding Zaid 974 manakala Mustaffa 572.

Pada hari pertama kelmarin, Zaid menerima 577 undi, Azmin 374 dan Mustaffa 61.

Bagi kerusi naib presiden, empat calon yang memperoleh undi terbanyak pada hari pertama masih berada di depan dalam saingan membabitkan seramai 17 calon.

Mereka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Pengarah Strategi PKR Tian Chua dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

Setakat semalam 41 cabang telah mengadakan pengundian manakala 27 cabang lagi hari ini.

Tiga cabang di Melaka iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tangga Batu, dua di Negeri Sembilan (Rembau dan Tampin) dan enam di Pulau Pinang iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam.

Pulau Pinang dan Melaka memulakan tirai pengundian hari ini.

Sejumlah lapan cabang di Perak iaitu Tambun, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar terlibat dalam pengundian hari ini.

Sembilan cabang di Perak telah menyelesaikan pengundian mereka semalam.

Pahang juga menyambung pengundian hari ini dengan cabang yang terbabit ialah Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Rompin.

Pusat pengundian Parti Keadilan Rakyat bagi cabang Paya Besar, Pahang disediakan untuk pemilihan kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat parti itu hari ini. Secara purata peratusan keluar mengundi masih kecil. - Foto Bernama
Ringkasan keputusan yang diperolehi:

Ipoh Timor: Timbalan Presiden (Azmin, 50; Zaid, 14; Mustaffa, 2)

Kuala Kangsar: Timbalan Presiden (Mustaffa, 48, Azmin, 13; Zaid, 12)

Kampar: Timbalan Presiden (Mustaffa, 22, Azmin, 21; Zaid, 16)

Beruas: Timbalan Presiden (Azmin, 173, Zaid, 14; Mustaffa, 4)

Bagan: Timbalan Presiden (Azmin, 9; Zaid, 6; Mustaffa, 4)

Batu Kawan: Timbalan Presiden (Zaid, 94; Azmin, 59; Mustaffa, 9)

Temerloh: Timbalan Presiden (Zaid, 25; Azmin, 24; Mustaffa, 0)

Rompin: Timbalan Presiden (Zaid, 55; Azmin, 19; Mustaffa, 2)

Tampin: Timbalan Presiden (Zaid, 115; Azmin, 6: Mustaffa, 2)

Ipoh Barat: Timbalan Presiden (Mustaffa, 40, Zaid, 14; Azmin, 9)

Permatang Pauh: Timbalan Presiden (Azmin, 211; Zaid, 58; Mustaffa, 11)

Tambun: Timbalan Presiden (Mustaffa, 11; Azmin, 33; Zaid, 10);
Naib Presiden (Nurul Izzah, 120; Tian Chua, 118; Gobalakrishnan, 116; Yahya, 96)

Maran: Timbalan Presiden (Zaid, 24; Azmin, 4; Mustaffa, 1)

Rembau: Timbalan Presiden (Zaid, 49; Azmin, 7; Mustaffa, 4);
Naib Presiden (Nurul Izzah, 44; Fuziah, 39; Jonson, 30; Tian Chua, 14); Ketua AMK (Badrul Hisham, 39; Shamsul, 0)

Kepala Batas: Timbalan Presiden (Zaid, 56; Azmin, 38)

Alor Gajah: Timbalan Presiden (Zaid 104; Azmin, 93; Mustaffa, 33)

Tiada ulasan: