Selasa, 9 November 2010

Biaqpila

Biaqpila




HD

MB Kedah bidas publisiti murahan Muhyiddin

Posted: 09 Nov 2010 02:00 PM PST



ALOR SETAR, 9 Nov: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini membidas perangai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya Kerajaan Kedah lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa kepada Pusat.

Beliau menyifatkan, Muhyiddin dan Umno hanya menginginkan publisiti murahan dalam melakukan misi kemanusiaan.

"TPM kata saya lepas tangan. Pernah pejabat saya hantar surat ke KL (Kuala Lumpur) minta selesaikan masalah? Tak ada. Saya tak pernah tulis kepada PM (Perdana Menteri) tolong saya. Saya tak pernah tulis surat Shahrizat mai tolong saya.

"Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa ..." katanya dalam satu interbiu bersama akhbar rasmi PAS, Harakah.

Minggu lepas, seramai 50,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka ditenggelami air akibat bencana banjir terburuk dalam sejarah negeri. Rumah Azizan sendiri turut ditenggalami air.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil turut mendakwa bahawa kerajaan negeri 'lembap' dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir.

Kenyataan Shahrizat dibidas oleh ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengatakan bahawa kenyataan Shahrizat itu bersifat melampau tatkala semua agensi kerajaan negeri tengah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir, kehadiran Shahrizat hanya bertujuan untuk bermain politik.

Di samping itu, Azizan turut mempersoalkan kelewatan Muhyiddin untuk mengunjungi kawasan banjir di Kedah.

"Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (beliau) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal, baru nampak situasi sebenar," kata Azizan, sambil menambah bahawa timbalan perdana menteri telah pergi ke tempat yang salah untuk mendapatkan maklumat yang betul.

"Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung.

"Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata," katanya lagi.

Selain itu, Azizan turut mengkritik kehadiran Muhyiddin ke negeri itu yang disambut dengan bendera-bendera Barisan Nasional di Stadium Sultan Abdul Halim.

"Pasang bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim ketika Muhyiddin nak turun. Maka jadilah lebih publisiti daripada misi kemanusian. Saya datang tak ada bendera PAS atau Kedah iring saya," bidas Azizan.

Rogol anak ketika isterinya keluar bekerja

Posted: 09 Nov 2010 07:42 AM PST

Remaja 14 tahun trauma tiga kali dirogol bapa

PETALING JAYA – Seorang remaja berusia 14 tahun bukan saja trauma akibat dirogol, malah lebih menyedihkan apabila perlakuan rakus itu dilakukan sebanyak tiga kali oleh bapanya sendiri di rumah mereka di Taman Medan, di sini, sejak sebulan lalu.

Difahamkan dua kejadian terdahulu langsung tidak diketahui mangsa sehinggalah dia tersedar dari tidur pada Rabu lalu dan mendapati bapanya berada atas badannya dalam keadaan tanpa seurat benang.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa yang terkejut dan menyedari diri dirogol, terus menghubungi ibunya yang bekerja sebagai operator kilang untuk memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, laporan polis dibuat ibu mangsa, sebelum polis menahan suspek berusia 38 tahun itu di rumah mereka kira-kira jam 11 malam hari yang sama.

"Hasil soal siasat awal mendapati, suspek merogol anaknya sebanyak tiga kali, termasuk kejadian pada Rabu lalu.

"Ketiga-tiga kejadian itu dilakukan suspek ketika isterinya keluar bekerja bagi mengelakkan perbuatannya diketahui," katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa sebelum ini, dia pernah bangun pagi dan mendapati dirinya bogel. Walaupun berasa pelik, dia langsung tidak mengesyaki apa-apa.

Katanya, perbuatan terkutuk suspek yang bekerja sebagai pemandu, bagaimanapun, terbongkar Rabu lalu, setelah suspek melakukan perkara sama ke atas mangsa.

Arjunaidi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut, menjurus kepada pelbagai aspek, termasuk kemungkinan mangsa diugut bapanya (suspek) agar merahsiakan perkara tersebut.

"Selain itu, kita sudah menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

SH


Adakah Kecelaruan Dalam PKR Mengancam Kestabilan PAKATAN ?

Posted: 08 Nov 2010 11:00 PM PST

Oleh IZMAS

DI KALANGAN penyokong Pakatan Rakyat (Pakatan) khususnya pendokong setia Parti Keadilan Rakyat (PKR), dakwaan kecelaruan yang sedang menghantui parti itu dianggap biasa dan tidak membimbangkan. Ianya ibarat kocakan air di kolam atau tasek dan bukan gelombang badai di lautan yang boleh memusnahkan kapal atau rumah kediaman.

Pertandingan sengit merebut jawatan tertinggi parti terutama jawatan nombor dua parti yang sedang berlangsung sekarang dianggap peristiwa lumrah politik yang berlaku dalam mana-mana parti politik - walaupun sebenarnya ia sudah mendedahkan perpecahan serius di antara dua tokoh yang bertanding dan penyokong masing-masing



Kemenangan dan kekalahan calon utama yang bertanding boleh menjejas perpaduan dalam parti kerana pihak yang kalah boleh membuat halatuju sendiri yang mungkin bertentangan dengan agenda parti. Berdasarkan senario pemilihan yang sedang berlaku dan pendirian calon-calon utama yang bertanding, tokoh yang kalah boleh menjadi musuh senyap atau duri dalam daging kepada parti jika tidak diberi tempat dalam heirarki parti.

Calon baru yang menawarkan diri bertanding bukan dari kem pengasas parti boleh disingkir terus dari arus kepimpinan parti kerana prinsip perjuangan mereka yang ketara jauh berbeza. Tokoh yang kecundang mungkin boleh mengambil keputusan drastik keluar dari parti bersama pengikut setia kerana tidak lagi mendapat layanan istiemwa sekaligus menjejas kesetabilan parti yang sebelum ini sudah pun merudum akibat insiden ramai ahli yang keluar parti dan kritikan keras beberapa pemimpin yang sudah keluar parti.

Jika ini berlaku – secara langsung atau tidak - boleh menjejas perpaduan part-parti dalam Pakatan. Ini kerana kecelaruan berterusan yang melanda PKR boleh menjejas keyakinan rakyat dan pengundi terhadap Pakatan dan kegelisahan penyokong rakan kongsi karibnya dari PAS dan DAP. Ramai ahli PAS sudah mula mempertikai hal itu dan segelintir mereka – melalui blog dan tulisan - mengambil pendirian tegas supaya kepimpinan tertinggi parti mengkaji semula kehadiran dan kedudukan mereka dalam Pakatan.

Kedengaran cakap-cakap politik kononnya tidak ramai pemimipin PAS dari pusat turun membantu calon PKR yang bertanding di Batu Sapi kerana didakwa kurang selesa dengan masalah dalaman parti itu yang masih berterusan dan terus menghantui kesepakatan mereka dalam Pakatan.

Mereka berpendapat, jika isu kecelaruan itu berlarutan ia bakal menggugat teruk sentimen dan sensitiviti orang Melayu Islam terhadap Pakatan yang dilihat gagal memberi nasihat kepada PKR supaya segera menyesaikan masalah mereka. Ini belum diambilkira kritikan keras dan pendedahan berterusan yang didedahkan setiap hari oleh bekas pemimpin PKR di akhbar arus perdana kerajaan tentang kelemahan peribadi pemimpin tertinggi dan kepincangan parti yang sekaligus memberi imej buruk parti di mata rakyat.

Jika gagal dibendung, persepsi rakyat dan penyokong setia parti itu boleh merudum ke paras terendah. Atau mereka mungkin beralih arah sokongan jika situasi semakin tidak dapat dikawal oleh masalah yang berterusan dan pujukrayu pemimpin-pemimpin parti dalam BN supaya pengikut PKR meninggalkan parti dan menyertai mereka.

Apakah PKR memerlukan barisan pemimpin baru yang lebih bersih, berkebolehan dan mampu mencuci imej parti? Apakah parti perlu mendengar nasihat Dr Asri supaya Penasihat/Ketua Umum parti bersara awal bagi memberi laluan kepada tenaga muda yang kurang bermasalah demi kebaikan diri beliau dan kelangsungan hayat Pakatan sendiri?

Setakat ini pemimpin tertinggi PAS dan DAP mengambil pendirian berkecuali dan tidak mahu campurtangan atas alasan isu dalam PKR boleh diselesaikan parti itu sendiri. Beberapa pemimpin PAS yang selama ini dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan PKR masih berdiam diri dan tidak menyatakan sokongan sebenar supaya PKR segera menyelesaikan masalah dalamannya dan berubah sekaligus seolah-olah memberi gambaran mereka tidak selesa dengan masalah yang masih membelenggu parti itu.

Pendirian mereka boleh difahami kerana jika PKR gagal membetulkan masalah rumahtangganya dalam waktu terdekat, ia boleh menjejas peluang PAS dan Pakatan dalam PRU ke-13 yang disebut-sebut bakal berlangsung tidak lama lagi.

Dalam konteks ini, DAP juga perlu khuatir kerana undi orang Melayu yang selama ini berpihak parti itu dalam Pakatan boleh berubah arah jika sentimen berterusan merudum akibat imej buruk PKR yang dibongkar dan didedahkan setiap hari. Sebenarnya DAP lebih bimbang kerana sokongan orang Melayu yang merosot kepada PKR dan Pakatan boleh menjejas pengaruh dan peluang mereka mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dalam pilihanraya Ke-13 kelak.

Samada diakui atau tidak, kecelaruan dalam PKR jika tidak ditangani segera boleh menjejas persepsi rakyat umum tentang perpaduan di kalangan parti-parti dalam Pakatan. Samada benar atau tidak, sudah wujud dakwaan bahawa salah satu sebab besar kekalahan calon PAS dalam pilihanraya kecil Dun Galas berpunca dari imej buruk PKR yang dibesar-besarkan sehingga penyokong Pakatan beralih undi kepada kepada calon BN yang dilihat tidak bermasalah.



DD


Rupa-rupanya 'Mat Despatch'

Posted: 08 Nov 2010 08:00 PM PST

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu lebih berjaga-jaga berikutan terdapat individu yang menggunakan kesempatan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun mereka.

Berdasarkan rekod, sejak bulan lalu hingga kini, empat kes menggunakan modus operandi itu dilaporkan di sekitar Bangsar di sini, membabitkan empat wanita termasuk eksekutif dan pekerja butik.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, hasil maklumat diberikan mangsa, kebiasaannya suspek akan menahan mana-mana wanita yang sedang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

"Selepas mengekori mangsa, suspek yang lengkap berseluar biru gelap seperti seluar anggota polis meminta mangsa berhenti sebelum mengeluarkan buku tertera logo polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis," katanya.


Beliau berkata, mangsa yang ketakutan hanya menuruti arahan 'pegawai' berkenaan sebelum kesempatan itu diambil suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.


Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira jam 2 petang pada 31 Oktober lalu.


Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mendapati lelaki terbabit berusia 31 tahun itu bekerja sebagai budak penghantar surat di sebuah syarikat di ibu kota.


Berdasarkan pemeriksaan lanjut, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek adalah palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.


"Malah, motosikal yang ditunggangnya juga didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.


"Polis yakin dengan penahanan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes menyamar sebagai anggota polis di Brickfields," katanya.

HM

Bimbang kuil diroboh, lelaki bakar dirinya

Posted: 08 Nov 2010 05:00 PM PST


Gara-gara terlalu bimbang kuil Sri Srinivasa Perumal di Pusat Bandar Puchong, Selangor akan dirobohkan, seorang lelaki bertindak nekad dengan membakar dirinya.

M Chakragunasegaran, 52 bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pihak polis serta beberapa ahli persatuan kuil yang kebetulan berada di tempat kejadian menyelamatkannya. Beliau yang dalam keadaan pengsan dikejarkan ke hospital tetapi keadaannya dilaporkan tenat.

NONEMenurut saksi, K Dharmalingam,49, kejadian itu disedari semasa beliau melakukan upacara sembahyang di kuil berkenaan pada jam 6.30 pagi ini dan terlihat berlaku kekecohan.

Beliau terlihat mangsa menjerit “Jangan roboh kuil ini,” tetapi pihak berkuasa tidak memperdulikan rayuan lelaki itu.

Dia kemudian bertindak nekad dan menyalakan api di badannya dan dilaporkan terbakar kira-kira lima minit sebelum berjaya diselamatkan.

Selesai drama itu, kerja-kerja merobohkan sebahagian daripada kuil itu yang menjadi tempat simpanan barangan kemudiannya bermula pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

NONELebih kurang 200 kakitangan terdiri daripada ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pihak polis dan Rela terbabit dalam operasi berkenaan.

Sebelum ini, notis arahan dikeluarkan oleh pada 26 Oktober lalu dengan persatuan kuil berkenaan diberi tempoh selama tujuh hari untuk berpindah bagi tujuan pembinaan sebuah tadika baru.

Dharmalingam yang juga setiausaha kuil Sri Srinivasa Perumal itu berkata, pihaknya kesal kerana pihak berwajib tidak memberi tempoh yang mencukupi bagi mereka berpindah.

"Sudah lebih 10 tahun kuil ini dibina, tanah ini merupakan tanah rezab," katanya.

Kakitangan penguatkuasa kemudian melakukan kerja memagar sekeliling kawasan tersebut.

NONESementara itu, ahli jawatankuasa kebajikan kuil itu, T Pukalenthy,42, berkata berdasarkan maklumat diperolehinya pihak sekolah memberi kebenaran kepada persatuan kuil untuk membina bangunan tambahan yang menjadi stor tempat simpanan barangan sejak 10 tahun dahulu.

"Perbuatan mereka merobohkan stor tersebut tidak wajar, sepatutnya mereka memberitahu pihak pengurusan kuil lebih awal," katanya.

Sementara itu, ahli majlis MPSJ, KN Michael Tamilarason berkata satu mesyuarat tergempar telah diadakan kira-kira jam 11.30 pagi tadi melibatkan wakil daripada kedua-dua belah parti politik, polis, agensi penguatkuasaan, sekolah dan persatuan kuil tersebut.

NONEMenurutnya hasil sesi perbincangan itu, pihak berwajib bersetuju untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan bangunan simpanan stor milik kuil berkenaan untuk seminggu lagi

"Pihak sekolah bersetuju memberi masa selama tujuh hari kepada persatuan kuil untuk memindahkan barang tersebut. Masalah ini sudah selesai," katanya kepada Malaysiakini, petang tadi.

MK

Tiada ulasan: