Ahad, 28 November 2010

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Sepatutnya novel Salam Maria ini diangkat

Posted: 28 Nov 2010 07:39 AM PST

Oleh Dinsman

Saya sedang membaca novel Salam Maria karangan Fatimah Busu. Belum habis lagi. Tapi rasa nak menulis sesuatu mengenainya dalam Wacana Budaya ini. Sesuatu yang baik, sesuatu yang seperti mempesona saya sewaktu membacanya, di bahagian-bahagian tertentu.

Saya baru sampai mukasurat 457. Ayat terakhir novel ini mukasurat 651. Mukasurat 652-653 senarai rujukan. Novel ada senarai rujukan? Ya, novel ini, ada.

Cerita mengenai seorang perempuan bernama Maria Zaitun, yang dituduh melakukan perbuatan jahat (zina) oleh jiran-jiran dan orang-orang keliling, dihina, dicaci-maki dan sebagainya, hingga akhirnya apabila dia masuk bersolat di Masjid Negara pun dia dihina dan dihalau oleh jemaah masjid yang ramai itu.

Akibatnya orang-orang yang menghina dan menghalau dia itu semuanya pengsan dan dimasukkan ke hospital, dan mereka itu terus dalam keadaan pengsan itu sehingga dua tahun dua bulan dua hari; dan apabila mereka sedar mereka menceritakan mereka telah pergi ke suatu tempat yang serba cantik, ada wakaf-wakaf (bangsal tempat berteduh) dan hidangan-hidangan yang istimewa, yang semuanya disediakan untuk Maria Zaitun.

Itu memang menarik, tapi lebih menarik lagi bagi saya ialah selepas itu, selepas Maria Zaitun diusir dari Masjid Negara itu, dia pergi (dengan menaiki keretapi) ke suatu perkampungan di dalam hutan berhampiran lebuhraya Timur-Barat – Hutan Beringin. Itu yang menarik.

Dia mengikuti perempuan tua yang buta, pekak dan bisu bernama Kimbung Tua, bersama tiga orang cucunya, berjalan kaki sejauh kira-kira tiga jam, daripada sebuah bandar di pinggir Lebuhraya Timur Barat itu, masuk ke dalam hutan melalui jalan lori balak, untuk sampai ke rumah tempat tinggal keluarga besar Kimbung Tua itu.

Bayangkan kawasan tempat tinggal keluarga Kimbung Tua itu – di dalam hutan, tempat kawasan pembalakan yang ditinggalkan, sejauh tiga jam berjalan kaki daripada pekan kecil di pinggir lebuhraya Timur-Barat – dan hanya ada sebuah rumah sahaja di situ. Nenek tua yang dipanggil Kimbung Tua itu sebagai ketua rumah atau ketua keluarga, yang walaupun dia buta-pekak-bisu tetapi dia mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu (yang akan kita temui apabila kita terus membaca perjalanan novel ini).

Ini bukan novel baru sebenarnya. Sudah lama. Diterbitkan tahun 2004. Saya sudah banyak kali hendak membacanya tapi tak jadi. Tak tahu kenapa. Padahal cerpen-cerpen Fatimah Busu adalah antara karya penulis kita yang saya anggap antara yang terbaik. Dia seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Dia juga ada menulis novel sebelum ini.

Apa pun, alhamdulillah, akhirnya saya membacanya, dan saya dapati ia sangat bagus. Saya tertarik terutamanya pada gambaran yang dilukiskan oleh pengarang mengenai kehidupan yang dilalui oleh Maria Zaitun di Hutan Beringin itu, bersama-sama dengan sekitar 30 orang perempuan-perempuan (sebahagiannya dewasa dan sebahagiannya remaja) yang kesemuanya "kurang bernasib baik'.

(Kalau bukan kerana 'kurang bernasib baik' tentulah mereka tak akan memilih untuk tinggal di dalam hutan belantara yang jauh daripada orang lain. Selain daripada nenek Kimbung Tua yang buta-pekak-bisu itu (tapi masih kuat berjalan kaki sejauh tiga jam pergi dan tiga jam balik, seminggu sekali, keluar ke pekan membeli keperluan) ada lagi tiga orang dewasa yang pekak, buta dan bisu.)

Sebelum kita dibawa ke hutan itu untuk mengikuti perjalanan hidup Maria Zaitun yang diusir dari Masjid Negara itu, kita sudahpun diceritakan siapa Maria Zaitun ini sebenarnya. Melalui cerita mimpi orang-orang yang terlantar pengsan di hospital, melalui cerita orang yang baru pulang dari Mekah menunaikan Haji, melalui cerita wartawan majalah Primadona dan sebagainya, kita sudah tahu yang perempuan bernama Maria Zaitun ini adalah seorang perempuan yang telah diangkat darjatnya oleh Allah Ta'ala, seorang perempuan yang istimewa di sisi Allah Ta'ala, yang bolehlah dikatakan sebagai bertaraf wali. (Kita mungkin terbayangkan kisah hidup Rabiatul 'Adawiyah, misalnya).

Maka cubalah anda bayangkan bagaimana kehidupan harian seorang perempuan yang istimewa begitu. Adalah suatu cabaran yang besar kepada seorang pengarang untuk menyusun cerita seorang perempuan yang istimewa, yang sudahpun dimaklumkan terlebih dahulu kepada kita bahawa perempuan ini adalah seorang yang Allah telah meredhai kehidupannya dan telah mengangkat darjatnya menjadi seorang wanita yang mulia di sisi Allah.

Pengarang ini, Fatimah Busu, telah memilih latar atau kawasan hutan yang jauh terpencil, tanpa sebarang kemudahan perhubungan dengan masyarakat luar, sebagai tapak ceritanya. Waktu Maria Zaitun sampai ke situ, keluarga Kimbung Tua itu boleh dikatakan masih jahil dalam hal beribadat, walaupun ada yang tahu bagaimana menunaikan solat. Kebanyakan mereka tidak tahu.

Maka sedikit demi sedikit Maria Zaitun mengasuh dan mendidik mereka mengenal agama, mengenal Allah dan menunaikan ibadat. Dengan terperinci dia menghuraikan hampir setiap pergerakan yang dilakukan oleh Maria Zaitun – seorang yang bertaraf "wali Allah" itu. Daripada bangun pagi sebelum Subuh, solat sunat, solat fardhu, hinggalah ke malam, tidur dan bangun solat tengah malam dan sebagainya.

Gambaran dan huraiannya kadang-kadang memang sangatlah terperinci. Bukan dalam soal ibadat, tetapi dalam hal masak-memasak dan lain-lain itu. Kadang-kadang agak berlebihan. Namun selain itu saya sangat senang mengikuti ceritanya, sehingga terasa seperti turut berada bersama di perkampungan sunyi di dalam hutan terpencil itu. Oh, alangkah syahdunya!

Terbayang-bayang suatu kawasan di pinggir lebuhraya Timur-Barat itu. Seolah-olah Hutan Beringin bersama dengan keluarga besar Kimbung Tua itu memang benar-benar wujud, dengan sebuah rumah panjang yang dihuni seramai 30-40 orang itu, dan ada sebuah surau kecil yang cantik di depannya. Terasa ingin hendak pergi menziarahi perkampungan itu.

Tapi saya belum habis membacanya lagi. Antara mukasurat 458 hingga mukasurat 651 itu entah bagaimana pula ceritanya, saya belum tahu. Mungkin ada hal yang lebih menarik lagi. Namun begitu saya berpendapat novel itu sepatutnya diangkat, supaya ia dibaca dan dihayati oleh ramai orang. Memang ada beberapa kelemahannya, tetapi aspek-aspek kebaikan dan manfaatnya jauh lebih besar dan penting. Ia sepatutnya sudah banyak diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila melihatnya dari sudut sastera Islam.

Atau mungkinkah saya akan menukar pendapat ini apabila membacanya hingga akhir? Entahlah. Mari kita membacanya hingga akhir, dan tengok bagaiamana. Selamat membaca!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Tiada ulasan: