Khamis, 4 November 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


BN Rampas Galas

Posted: 04 Nov 2010 04:39 AM PDT

Pengundi Cina kembali menyokong BN. Peluang BN untuk merampas kerusi DUN Galas semakin cerah. Ini berikutan BN menang semula undi pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Pakatan kalah di Kampung Baru dengan majoriti 41 undi - yang merupakan kawasan majoriti pengundi Cina yang mereka menang dengan majoriti lebih 200 undi dalam pilihan raya umum lalu.

Pakatan pada mulanya mensasarkan untuk menang di Kampung Baru dengan majoriti besar bagi menampung kemungkinan tewas di Pulai. Dua kawasan majoriti pengundi Cina itu, Pulai merupakan kubu kuat BN. Pakatan kalah 25 undi di Pulau dalam pilihan raya umum lalu.

BN Menang Besar di Batu Sapi

Posted: 04 Nov 2010 04:38 AM PDT

Calon BN, Datin Linda Tsen dilaporkan tiba di rumah tetamu Ketua Menteri, Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sandakan. Beliau diberi tepukan gemuruh daripada penyokong. Setiap kali saluran yang dikira memihak BN, tepukan gemuruh bergema daripada skrin besar yang dipasang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Musa sedang makan malam dan dijadualkan ke pusat penjumlahan undi di Dewan Masyarakat Sandakan, selepas itu.

Tahniah parti rasuah 1Malaysia.

Umno bayar RM1,000 untuk pengundi atas pagar

Posted: 04 Nov 2010 01:23 AM PDT

Umno benar-benar terdesak bagi mencapai misi merampas Dun Galas apabila berusaha mendapat 500 pengundi atas pagar yang pernah menyokong PAS dengan tawaran lumayan sehingga RM1,000 setiap pengundi malam tadi.

Sindiket itu didalangi kumpulan yang menemui pengundi di saat-saat akhir sejak malam tadi dengan membawa tawaran tersebut. Menurut sumber, Umno kini berusaha keras mendapatkan 500 lagi pengundi bagi mencapai misi mereka.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, PAS kesal dengan sikap Umno BN yang tidak langsung mendidik rakyat, malahan sanggup membayar dalam jumlah yang begitu besar semata-mata bagi mendapatkan undi.

"Kita mahu biarlah keceriaan menyebelahi kita, dengan suasana yang redup dan tidak panas semoga semua dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menjangkakan sejumlah wang akan 'turun' di Unit Peti Undi Batu Papan.

Bagaimanapun proses pembuangan undi di Lepan Jaya sehingga petang ini berjalan dalam suasana tenang kerana sentiasa menjaga tata tertib bagi menyampaikan tentang keadilan Islam.
~harakah~

SPR Buat Kerja Ke Tak?

Posted: 04 Nov 2010 01:22 AM PDT

PAS membantah sikap tidak profesionalisme Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mencetak kertas undi, kata Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

"Kita bantah ketidakprofesionalisme SPR dalam mencetak kertas undi.

"Kita telah buat 3 report polis oleh pengundi, iaitu oleh Zaleha Saleh yang mengundi di peti undi SK Tengku Muhammad Fakri Petra," katanya.

Menurutnya, Zaleha telah diberikan kertas undi oleh kerani SPR tetapi tidak ada logo parti sama ada PAS atau BN melainkan naman calon dan petak sahaja.

"Kita rasa mungkin SPR tidak sengaja atau boleh jadi sengaja. Tapi kita anggap tak sengaja.

"Cumanya kita harap kertas tersebut diterima waktu kira undi nanti, kerana ini bukan salah pegundi," ujarnya.

Tambahnya, kes kedua di Sekolah Kebangsaan Gua Musang, Kampung Baru di mana Zainab Jalal, isteri kepada calon PAS, juga menerima kertas undi tanpa logo.

"Sepatutnya SPR mintak maaf kepada pengundi, kalau tak mintak maaf, dia ego la tu," katanya seloroh.

Kes ketiga, pengundi Hasmah Saleh, di Sekolah Keb Lepan Jaya juga menerima kertas undi mempunyai logo parti BN sahaja.

"Kita mintak penjelasan SPR kenapa berlaku perkara ini," katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, PAS membuat laporan di Balai Polis Gua Musang.

"Melihat ini serius, bagaimana jika pengundi buta huruf, undi secara teka sahaja, seolah-olah ada satu usaha tertentu," ujarnya.

~harakah~

Kertas undi tanpa lambang di Galas

Posted: 04 Nov 2010 01:21 AM PDT

Agak mengejutkan proses pembuangan undi di Dun Galas hari ini dikejutkan apabila ada kertas undi tanpa logo parti dikenalpasti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Kampung Baru.

Perkara itu didedahkan isteri calon PAS, Zainab Jalar apabila kertas undinya tidak tercetak lambang parti.

"Ketika membuang undi, saya mendapati kertas undi yang diberikan kepada saya tidak mempunyai simbol parti politik yang bertanding.

"Sebaliknya ia hanya mempunyai nama calon sahaja," katanya ketika ditemui di sini.

Ekoran insiden tersebut beliau segera menghubungi jentera pilihan raya PAS memaklumkan perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pasukan peguam PAS yang berada di unit peti undi Kampung Baru.

Seorang peguam, Hisyam Fauzi berkata, perkara ianya masih berada pada peringkat siasatan dan laporan kepada urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat bagi mengelakkan masalah itu tidak berulang di pusat pengundian lain.

"Setakat ini tiada sebarang jaminan yang diberikan oleh pihak SPR," katanya.

Menurut beliau setakat ini pihaknya menerima dua aduan mengenai masalah terbabit dan salah satu daripadanya telah dilaporkan kepada pihak polis.

Ia terdiri daripada satu kertas undi di unit peti undi Sungai Terah serta UPU Kampung Baru.

"Tindakan yang terdekat, kita telah meminta kepada pihak polling agent untuk membuat bantahan bertulis mengenai kes tersebut," ujarnya.

Kempen solo

Sementara itu, para pengguna jalanraya Gua Musang - Kota Bharu sangat tertarik dengan cara penunggang basikal ini berkempen untuk PAS. Beliau dilihat memasang dua bendera besar PAS pada basikalnya dan bergerak ke seluruh kawasan pilihan raya dan jalan raya utama di sekitar Gua Musang.

Ketika ditemui oleh wakil Harakahdaily, penunggang ini berkata, beliau sangat marah kepada Umno dan BN yang membawa masuk ramai pengundi luar ke Gua Musang. Ketika ditanya, bagaimana dia tahu mengenainya, penunggang ini berkata, "Saya kenal mereko dan sapa-sapa (orang) bersama dia."

~harakah~

Apa SPR dan SPRM Nak Buat Tentang Ini

Posted: 04 Nov 2010 01:19 AM PDT

Barisan panjang kelihatan di bilik operasi BN di Bukit Cekati, Gua Musang, di mana kira-kira 300 orang beratur selepas mengundi. Kira-kira 12.30 tengah hari tadi, orang ramai kelihatan mendaftar di kaunter sebelum masuk ke dalam sebuah bilik secara bergilir.

Mereka kemudian kelihatan memegang sepucuk sampul coklat. Semakan mendapati jumlahnya bernilai RM250. Pengarah Pilihan Raya BN Tengku Razaleigh Hamzah bagaimanapun ketika ditemui pemberita enggan memberikan sebarang komen tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Insiden ini adalah yang pertama dilihat berlaku di Galas sepanjang proses pengundian di Galas hari ini. Bukit Cekati, sebuah kawasan majoriti Melayu terletak bawah pusat pengundian Batu Papan.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dan calon BN Abdul Aziz Yusof.

~MK~

Penilaian 'tangan syaitan'

Posted: 04 Nov 2010 01:17 AM PDT

Merujuk kenyataan bekas calon BN, Mohd Nor Idris (bawah, kanan), mengenai Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat:

"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan... dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan.

Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti. Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini.

Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat mengingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang?

Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim.

Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan.

Salah, betul berdasarkan fakta, bukti

Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai 'perasaan dalamannya' yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi SAW yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut: "Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan.

Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut: "Selemah-lemah hujah mereka (ahli bidaah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: 'Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini, buat ini1'."

Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasauf. Di kalangan mereka ada yang berkata: 'Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini. Dan memerintah aku sebegini'. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan"(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti kerajaan Perlis.

Penyokong PAS-BN bergaduh di Galas

Posted: 03 Nov 2010 07:30 PM PDT

Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas hari ini dicemari dengan pergaduhan dipercayai berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Wangi, di Gua Musang.

Dalam kejadian pada 8.15 pagi, sekumpulan penyokong PAS telah memasuki kawasan di sebelah BN, menyebabkan penyokong BN meminta mereka supaya keluar dari kawasan itu.

Seorang saksi, Mahmud Ismail, 56, berkata keengganan penyokong PAS untuk berpindah ke kawasan khemah parti mereka mencetuskan insiden maki-hamun antara kedua-dua pihak sehingga menyebabkan penyokong PAS mengeluarkan kata-kata kesat terhadap BN.

"Reaksi daripada kata-kata kesat itu mendorong penyokong BN hilang sabar dan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua pihak namun tiada kecederaan serius berlaku berikutan kepantasan polis bertindak," katanya kepada Bernama.

Dalam tempoh beberapa minit, polis tiba bersama empat trak kecil dan beberapa anggota Pasukan Penggempur Ringan untuk meleraikan pergaduhan itu.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontijen Sarawak Datuk Ahmad Soffian Md Yassin, yang juga Timbalan Pengarah Operasi Markas Taktikal Polis (Martek) DUN Galas berkata pihaknya telah mengarahkan kedua-dua penyokong parti supaya bersurai dan berada di khemah parti masing-masing.

"Kita juga telah menggantung garisan kuning polis untuk membuat sempadan bagi membahagikan kawasan kedua-dua penyokong parti itu dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

~Bernama~

Petua Menjadi Bahagia

Posted: 03 Nov 2010 09:23 AM PDT

Seringkali kita takut akan masa depan. Orang kata saat ini adalah biasa. Namun ada kunci kebahagiaan yang perlu kita lakukan sehingga hidup akan menjadi terasa nyaman. Perhatikan hal-hal sebagai berikut:

KESIHATAN

1. Minum air yang banyak.
2. Makan pagi seperti seorang raja, makan siang seperti pangeran dan makan malam seperti pengemis.
3. Utamakan makanan yang berasal dari tumbuhan dan kurangi makanan yang dihasilkan dari pabrik.
4. Hiduplah dengan 3 E yaitu Energy, Enthusiasm dan Empathy.
5. Sediakan waktu untuk berlatih meditasi, yoga dan berdoa.
6. Mainkan banyak game.
7. Lebih banyak membaca dibandingkan tahun sebelumnya.
8. Duduklah dalam keheningan minimal setiap hari 10 menit.
9. Tidurlah selama 7 jam.
10. Ambil 10-30 minit untuk berjalan setiap hari. Lakukan itu sambil tersenyum.

KEPERIBADIAN

1. Jangan membandingkan hidupmu dengan orang lain.
2. Jangan punya pemikiran negative yang tidak boleh anda kendalikan. Lebih baik investasikan pada hal-hal yang positif.
3. Jangan terlalu berlebihan. Ingatlah batasan yang ada pada diri anda.
4. Jangan terlalu serius. Tak ada seorangpun yang melakukannya.
5. Jangan menghabiskan waktumu untuk gossip.
6. Lupakan hal yang telah lalu. Jangan mengingat kesalahan pasanganmu di masa lalu, yang menghalangi kebahagiaanmu dimasa yang akan datang.
7. Hidup ini sangat pendek untuk membenci orang lain. Jangan membenci.
8. Berdamailah dengan masa lalumu sehingga itu tidak merusak masa depanmu.
9. Tidak ada yang bertanggung jawab atas kebahagiaan anda selain diri anda.
10. Sadarilah bahwa hidup itu adalah sekolah dan anda hadir didunia untuk belajar.
11. Senyum dan tertawalah sebanyak mungkin.

SOSIAL

1. Bicaralah dengan keluargamu sesering mungkin.
2. Setiap hari berilah sesuatu yang baik kepada orang lain.
3. Maafkan setiap orang untuk segalanya.
4. Berikan waktu untuk mereka yang berusia di atas 70 dan di bawah 6 tahun.
5. Cubalah memberi senyum kepada paling sedikit 3 orang setiap hari.
6. Apa yang dipikirkan oleh orang lain bukanlah urusan anda.
7. Pekerjaanmu tidak akan memperdulikan ketika anda sakit. Tetaplah menjalin hubungan dengan teman-teman.

KEHIDUPAN

1. Lakukan hal yang benar.
2. Apapun situasi yang kita hadapi, baik atau buruk, hal itu akan berubah.
3. Tak peduli apapun yang anda rasakan, bangunlah, berdandanlah dan tunjukan dirimu.
4. Ingatlah yang terbaik pasti akan datang.
5. Jika bangun di pagi hari, bersyukurlah kepada Tuhan.
6. Bersikaplah selalu gembira. Selalu Gembira.

~hermawayne.blogspot.com~

Punca wanita bosan dengan cinta

Posted: 03 Nov 2010 09:21 AM PDT

Terkejut beruk sangat membaca berita yang disiarkan di BH28/10/2010 yang bertajuk "Kena simbah cuka akibat tolak cinta". Menurut berita, seorang lelaki bertindak menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam akibat cintanya tidak berbalas. Gadis malang itu melecur teruk di bahagian muka, tangan dan badan.

Di dalam akhbar Kosmo!29/10/2010 pula memetik "Hazreen teruk dipukul teman lelaki selepas putuskan hubungan, Pelajar UiTM koma dibelasah", yang melaporkan pelajar tersebut kini koma akibat kecederaan dalaman yang teruk di bahagian kepala. Semoga teman lelakinya cepat dapat ditangkap dan dihukum sewajarnya.

Teror sungguh lelaki zaman sekarang, semakin ramai pula yang mahu menyaingi Zionist yang bermaharajalela menzalimi rakyat Palestin... Aduhai... Aku sangat bersimpati atas apa yang berlaku kepada dua gadis di atas. Nauzubillah, minta dijauhkan perkara sebegini terjadi lagi.

Agak sukar untuk kita jangka, orang yang kita kenali dan sayangi, sanggup bertindak kejam sehingga mengakibatkan kecederaan kekal atau meniti maut seperti yang berlaku kepada mangsa-mangsa 'si pendek akal' dalam petikan berita di atas.

Jika kita lihat peristiwa di atas, tindakan kejam sebegini mungkin berpunca akibat tidak dapat menerima kenyataan dan amat mencabar kelelakian mereka yang dibuang direject oleh orang yang disayangi.

"Saya sudah tidak cintakan awak lagi. Cukup di sini saja hubungan kita" ....kalimah ini walaupun nampak sangat mudah diucapkan, tetapi ia sangat menghiris perasaan, apatah lagi jika diucapkan oleh seorang yang disayangi setengah mati. Bagi lelaki, ayat ini cukup tidak digemari kerana ia mencabar kelelakian mereka.

Bagi lelaki yang pernah atau akan mendengar ayat sebegini, jangan sesekali anda menjerit atau mengambil keputusan bodoh seperti yang berlaku dalam berita di atas. Sebaliknya, tarik nafas panjang-panjang dan cubalah berfikir dengan waras.

Rasa cinta tidak boleh dipaksa sebaliknya ia datang dari hati. Kalau pasangan sudah tidak menyukai anda lagi, cubalah bermuhasabah diri, buat post mortem dan cari apakah puncanya. BESAR kemungkinan anda punca utamanya. Cuba semak punca yang sempat dikupas dalam entry kali ini :

1 – Bosan dengan ikatan cinta

Ada sesetengah wanita yang tidak boleh hidup tanpa cinta. Bagi mereka, cinta umpama makanan harian seperti mimegi nasi. Bukan saja wanita, ada juga lelaki yang begini. Ada pula yang sangat bosan berkasih dengan orang yang sama sementelah jika mereka sudah menjumpai lelaki yang jauh lebih baik daripada anda.

Jadi sebagai lelaki, kalau sudah selalu sangat pasangan anda melahirkan rasa bosan kepada anda, sedar-sedarlah diri kerana mereka sebenarnya bosan dengan sikap anda yang mungkin tidak berubah.

Meletakkan perumpamaan, anda berkahwin selama 15 tahun tetapi selama 15 tahun itu jugalah anda tidak perihatin atau mengucapkan 'selamat hari lahir sayang' bila tiba harijadinya, adakah rasa cinta itu akan wujud? Kalau sekali dua mungkin mereka akan menerimanya, tetapi jika anda masih gitu-gitu macam apek juga, ketahuilah, ia sangat membosankan.

2 – Bertemu dengan insan lain

Salah satu sebab mengapa wanita bosan dengan anda adalah kerana dia sudah bertemu dengan lelaki lain yang lebih baik daripada anda. Ini termasuklah dari segi rupa paras, penampilan, kewangan, pekerjaan dan banyak lagi aspek lain.

Sebelum mendirikan rumahtangga, wanita biasanya akan mencari lelaki yang boleh memberi perlindungan untuk mereka. Mereka mahukan lelaki yang benar-benar boleh menjaga mereka sehingga ke tua. Tetapi kalau dia sudah bertemi orang lain yang jauh lebih baik daripada anda, sudah tentulah anda bukan lagi menjadi pilihannya.

3 – Berasa diri terabai

Tidak semua wanita memandang wang sebagai pakej utama dalam memilih lelaki. Sebaliknya, mereka mahukan lelaki yang boleh menjadi pelindung, mampu memberikan mereka kasih sayang dan perhatian.

Kalau wanita terasa dirinya diabaikan, pasti sukar untuk anda memenangi hatinya semula. Hati wanita, sekali pun dilihat lembut tetapi apabila sudah keras, baling ke dinding pun tidak dapat memecahkannya lagi.

4 – Anda tidak lagi dipercayai

Cinta umpama masa berlalu. Ia tidak akan menoleh ke belakang atau mengundur, sebaliknya akan terus berputar mengikut peredaran masa. Ketika menjalinkan hubungan, mungkin ada di antara sikap anda yang memualkan dirinya.

Mungkin juga sikap anda yang kaki perempuan, kaki tangan atau kaki temberang, membuatkan jiwa wanitanya memberontak. Apabila telah tiba masanya, mungkin timbul rasa bosan tahap gaban, dia tidak akan menoleh ke belakang lagi dan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan anda yang mungkin pada ketika itu baru terhegeh-hegeh hendak berubah. Jadi berhati-hatilah, kerana bila hati wanitanya dilukai, anda juga yang akan terasa lukanya.

Sebenarnya, cinta memerlukan pengertian. Keduanya saling memerlukan, baik lelaki mahupun perempuan. Allah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan. Sudah tentu fitrah ini dipenuhi oleh setiap insan. Namun, apabila kerap dikhianati, tidak diperdulikan, dikecewakan atau seumpamanya, sudah tentu rasa cinta itu akan pudar.

Jadi sebelum anda terus kecewa, berhati-hatilah kerana bila rasa cinta itu hilang, barulah anda menyedari bahawa dia adalah insan yang terbaik buat anda.

Semoga menjadi renungan yang bermanfaat.

~bawanggoreng~

Negara Komunis Lebih Faham Islam Dari UMNO

Posted: 03 Nov 2010 09:17 AM PDT

Di negeri Cina kini, jumlah umat Islam sudah menjangkau 130 juta orang.Ada beberapa masjid di beberapa daerah di sana sentiasa penuh pada setiap solat 5 waktu. Penuhnya seperti solat Jumaat dan belum pernah berlaku di negara kita Malaysia.

Syiar Islam sangat terserlah. Perkembangan nya sangat membanggakan, menakjub dan mengkagumkan. Di sana tidak ada Parti Politik Islam yang berjuang untuk merampas kuasa agar selepas itu boleh menegakkan Islam. Pemerintah Cina tidak pro Islam. Namun Islam tetap membangun dengan teratur dan pesat.

Siapa pejuang Islam di sana? Mereka adalah pendakwah yang berkerja keras dan ikhlas kerana Allah. Pendakwah dan pejuang Islam di sana bekerja keras,bersatu hati, dan bersatu jiwa. Tidak di selitkan dengan kepentingan diri, politik dan habuan dunia. Hasilnya 130 juta umat Islam dan ianya masih kian berkembang.

Berbeza di negara kita, pejuang pejuang Islam hanya gemar bertelagah sesama sendiri dan banyak buat bising dari bekerja. Bisingnya macam lah tong kosong. Masing masing pihak mengaku cara perjuangan mereka sahaja yang betul. Hasilnya mendukacitakan.

Apa yang berlaku di negeri Cina membuktikan kepada kita bahawa kaedah perjuangan yang utama dalam Islam ialah melalui dakwah. Saluran politik adalah sebahagian dari pecahan perjuangan melalui dakwah (tetapi bukan cara politik taghut ideologi barat tu seperti yang di amal oleh pejuang pejuang Islam di negara kita, tetapi yang di maksudkan ialah politik Islam - Politik Dakwah).

Dalam perjuangan melalui dakwah, kerja apa sahaja dan sesiapa sahaja di kira berjuang sekira apa yang dia kerjakan ialah kerana Allah Taala. Seorang doktor kalau dia berusaha dan berkerja dengan niat mahu menjaga kesihatan umat am nya dan umat Islam khas nya maka dia dikira berjuang untuk Allah.

Bahkan seorang nelayan yang menangkap ikan di laut dan petani yang menanam padi untuk beri makan kepada umat adalah pejuang Islam. Buruh, guru, pensyarah, jurutera, saintis, ahli ekonomi, para hafiz, ustaz, ustazah, ahli politik, pemimpin, pengikut, semua adalah pejuang.

(Dengan syarat niat dan perjalanan kerja tidak tersasar dari kehendak Islam). Bahkan kata Nabi melawan hawa nafsu di dalam diri sendiri adalah perjuangan. Inilah sebenarnya rahsia kejayaan umat Islam di Cina.

Maka amat tersasar sekali jika ada pihak mengatakan bahawa sesiapa yang tidak ikut mereka berjuang menegakkan Islam cara mereka, ia itu melalui politik ala ideologi demokrasi pilihanraya taghut itu adalah orang yang tidak berjuang.

Sudah terbukti saperti yang saya ceritakan di atas.Islam berkembang tanpa memperolehi kuasa pemerintahan pun di sana.Dan akan terus berkembang, dan pengembangan nya boleh jadi saperti bah yang tidak dapat di bendung. Tidak mustahil satu hari nanti Islam dengan sendirinya dapat menguasai negeri Cina. Melalui kerja dakwah yang tidak menyakitkan hati pemerintah yang ada sekarang.

Dalam Islam kerja utama adalah perjuangan menegakkan kebenaran bukan perjuangan untuk mendapat kuasa.Kalau mereka ini tunggu dapat kuasa baru nak tegakkan kebenaran. Agaknya kalau 1000 tahun masih tidak dapat kuasa maka selagi itu lah mereka tangguh untuk menegakkan kebenaran.

Lagi pun belum tentu apabila dah dapat kuasa boleh berjaya menegakkan kebenaran.Tetapi menegakkan kebenaran boleh berjaya tanpa dapat kuasa. Ingat, Allah ukur dan terima kejayaan perjuangan berdasarkan kemampuan dan keadaan masing masing.Walaupun perjuangan seseorang itu hanya mampu menegakkan satu hukum Allah.

~amri~

Ku Li Protes Dalam Diam

Posted: 03 Nov 2010 09:09 AM PDT

Jentera Barisan Nasional (BN) di Galas kalau ada masalah pun adalah kerana perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya itu.

Demikian kata Profesor Madya Shahrudin Badarudin, pensyarah sains politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam slot Kerusi Panas di Bernama Radio 24.

Turut serta dalam dialog secara langsung dengan pengacara Radio 24 Bernama itu adalah Profesor Madya Ahmad Nizomudin Sulaiman dari UKM. Menurut Prof Shahrudin, beliau tidak melihat faktor Tengku Razaleigh sangat besar untuk membantu kemenangan calon BN di Galas.

"Bahkan, bagi saya perlantikan Ku Li boleh menyumbangkan masalah. Ini kerana Ku Li sentiasa keluar masuk dalam Umno," kata beliau dalam temubual melalui telefon itu.

Beliau yang baru pulang dari Galas berkata, faktor yang penting dalam menentukan kemenangan pilihan raya Galas adalah calon dan isu yang penting pula adalah isu tanah.

"Kedua-dua parti nampaknya membuat pertimbangan wajar ketika memilih calon-calon mereka kerana faktor ini besar," kata Prof Shahrudin.

Beliau dipercayai merujuk kepada masalah perpecahan yang dihadapi Umno Gua Musang antara penyokong setia Umno dengan penyokong Ku Li yang kebanyakannya dari parti Melayu Semangat 46 yang dikuburkan.

Harakahdaily difahamkan, bekas calon BN di Galas dalam pilihan raya umum 2008, Saufi Deraman bersama dengan ketua pemuda Umno bahagian, Bazlan Baharudin dan ketua wanita, Datuk Wan Hazani Wan Yusof adalah antara pihak yang tidak bersetuju Ku Li dilantik sebagai pengarah pilihan raya.

Mereka dikatakan lagi sedih apabila Abdul Aziz Yusof dilantik sebagai calon BN di situ kerana ia adalah penyokong kuat Ku Li.

Dalam pemilihan Umno yang lepas, penyokong Ku Li iaitu Adun Nenggiri telah menentang Saufi sebagai timbalan ketua Umno bahagian Gua Musang dan mengalahkan Saufi. Padahal, ketika Ku Li menyertai Umno semula dahulu, Saufi telah mengosongkan kerusi ketua bahagian untuk Ku Li dan dia sendiri menjadi timbalan ketua bahagian.

Difahamkan, Saufi bukan sahaja tidak membantu kempen BN dalam pilihan raya kecil ini bahkan membantu PAS dalam gerak kerjanya di Galas. Dengan pengamatan yang dibuat oleh pensyarah politik UiTM ini, kebimbangan Umno sebelum ini dipercayai telah menjadi kenyataan.

Sementara itu, pensyarah itu yakin, sasaran SPR bahawa 80 peratus pengundi akan keluar mengundi di Galas akan boleh dicapai.

"Kerajaan negeri telah memberi cuti pada hari itu, parti-parti yang bertanding juga bekerja keras untuk mengeluarkan pengundi mereka. Jadi saya percaya sasaran itu akan berjaya dicapai," katanya.

Di Batu Sapi pula, Profesor Madya Ahmad Nizomudin juga percaya sasaran SPR untuk mendapat 75 peratus keluar mengundi esok akan tercapai.

"Parti-parti politik yang bertanding akan berusaha keras. Lagipun, pengundi luar kurang. Kalau adapun di Kota Kinabalu yang saya percaya akan pulang. Van atau teksi di sini yang menjadi pengangkutan awam agak cekap. Jadi saya yakin sasaran 75 peratus akan berjaya di capai," kata beliau dalam program Kerusi Panas Bernama Radio 24 tersebut.

~harakah~

Pengundi India ikrar pertahan PAS di Galas

Posted: 03 Nov 2010 09:07 AM PDT

Impian Umno merampas semula Dun Galas dianggap menemui jalan buntu apabila masyarakat bukan Islam kini semakin berani menyatakan sokongan terbuka kepada calon PAS. Malah Umno dan MIC dikatakan hanya mampu mempertahankan tidak sampai suku daripada 185 jumlah pengundi di kalangan kaum India.

Sokongan terbuka dapat dilihat apabila sebahagian besar penduduk India yang tinggal di Taman Bunga Tropika mendirikan pos di tepi jalan menghala ke Kuala Betis.

Pos tersebut didirikan pada hari penamaan calon. Dan setiap malam selepas balik dari kerja mereka berkumpul beramai-ramai. Pos terbabit dilengkapkan dengan lampu kelip-kelip dan spot light.

Sebelum ini, kira-kira 200 penduduk India diraikan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa sempena menyambut Hari Deepavali, 5 November ini. Kehadiran Husam bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Abdul Latif Abdul Rahman disambut penduduk India di taman perumahan tersebut.

Hadir sama Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus dan Pegawai Penerangan Urusetia, Tharuman a/l Arjunan. Pada majlis itu penduduk India yang hadir berikrar mengekalkan kemenangan PAS di Dun berkenaan sebagai hadiah sempena Hari Deepavali.

"Kita akan merayakan kemenangan ini bersama-sama, tidak ada sebab kita perlu menolak kerajaan PAS setelah pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan negeri untuk kami," ujar seorang penduduk, P. Rathakrishnan.

Ketika ditemui beliau mengaku Allahyarham Chek Hashim Sulaima banyak berjasa kepada penduduk di Dun Galas. Seorang lagi penduduk, P Parasuraman mengakui kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat India.

Pada majlis itu juga seramai 140 warga emas diraikan sempena program di ambang Deepavali. Mereka menerima hamper disampaikan Husam. Selain itu mereka turut dijamu BBQ.

Sementara itu di majlis berasingan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Dun Galas begitu unik kerana mempunyai empat bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

Berucap pada ceramah di Padang Bola, Bandar Baharu malam tadi katanya, melalui gabungan empat bangsa itu peluang cerah rakyat Dun Galas bagi mencipta sejarah baru politik negara.

"Moral politik di Galas membawa makna yang besar kepada rakyat di negara ini untuk merubah pentadbiran negara pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya.

Turut hadir pada ceramah tersebut Ketua Menteri Melaka, Lim Guan Eng dan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua.

~harakah~

Mad Deris dituntut mohon maaf kepada Tok Guru

Posted: 03 Nov 2010 09:03 AM PDT

Bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Mohd Nor Deris diminta memohon maaf dalam tempoh 24 jam bermula selepas laporan polis dibuat berikutan tindakannya menghina Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini dengan panggilan syaitan.

Majlis Tindakan Dun (MTD) Galas memohon tokoh agama Umno Kelantan bertindak demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Gua Musang hari ini.

"Sekiranya Ustaz Nor Idris tidak berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil ke atasnya," kata Timbalan Pengarah MTD Dun berkenaan, Drs Mohd Zaki Mat Zin selepas membuat laporan polis terhadap Ustaz Nor.

Menurutnya laporan polis juga dibuat terhadap rakaman VCD yang menghina Tuan Guru Nik Abdul Aziz termasuk rombongan ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad yang disifatkan Nor sebagai syaitan.

Pada kunjungan sebelum ini Menteri Besar bersama 30 ahli rombongan menziarahi keluarga bekas Adun Galas di RPT Sungai Terah. Sementara itu DAP membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 1.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang oleh Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil DAP Dun Galas, Su Keong Siong. Laporan polis itu dibuat berhubung laporan sebuah akhbar harian yang bertajuk 'tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau'.

Menurut Siong laporan akhbar yang dipetik dari kenyataan Ali berunsur fitnah dan berniat jahat dengan tujuan dengki dan benci.

"Lim Kit Siang tidak pernah berada atau menghadiri siri ceramah bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk Penasihat PKR dalam siri ceramah kempen pilihanraya kecil di Galas," ujarnya.

Katanya, kenyataan berkenaan jelas mahu mencetus permusuhan antara kaum dan agama serta bertentanan dengan Akta Hasutan 1978 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

"Kita membuat laporan polis hari ini dan berharap pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kenyataan fitnah Datuk Seri Ali," ujarnya.

Akhbar semalam melaporkan Ali sebagai berkata tindakan Kit Siang adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.

Ali mendakwa kenyataan Kit Siang dibuat pada ceramah yang dihadiri Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim RPT Sungai Terah.

Pada masa yang sama Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAPSY dan Organisasi Wanita DAP turut membuat aduan terhadap Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Putrajaya, Hisamudin Yahya dan penerbitan artikel, Berita Harian.

Menurut Kok Seong, pihaknya membuat laporan polis terhadap Hishamudin kerana membuat laporan polis berhubung laporan palsu Ali.

~harakah~

Tiada ulasan: