Isnin, 25 Oktober 2010

SharpShooter

SharpShooter


Wan Azizah desak Najib tarik balik.

Posted: 24 Oct 2010 07:49 PM PDT

Parti Keadilan Rakyat mendesak Najib menarik balik kenyataannya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO dua hari lalu yang menunjukkan seolah-olah UMNO sanggup buat apa sahaja untuk pertahankan kuasa sebagai pemerintah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Keadilan mahu Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan memberi jaminan jika perubahan kerajaan Persekutuan berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan kuasa secara terhormat.

Beliau berkata, kenyataan Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO itu jelas mengundang persepsi negatif dalam kalangan rakyat kerana ia seakan-akan menunjukkan UMNO sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa.

"Kenyataan Najib itu bertentangan dengan semangat Demokrasi Berparlimen yang mendasari sistem pemerintahan negara sejak merdeka hingga kini.

"Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui kerajaan Persekutuan dalam PRU akan datang, UMNO dan BN wajib menerima keputusan tersebut secara matang dan rasional atas semangat demokrasi dan keluhuran Perlembagaan," katanya.

Katanya, hanya rakyat yang berhak menentukan parti mana harus diberi mandat untuk memerintah negara ini.

Pada ucapan dasar Presiden, Najib meminta ahli UMNO pertahan Putrajaya daripada sebarang cubaan merampasnya.

Antara lain, beliau berkata: 'Walau berkecai tulang dan badan, walau berkecai jasad dari nyawa, walau apa pun terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan'.

Sharpshooter - Mengapa Najib tiba-tiba bersungguh-sungguh mahu pertahankan Putrajaya? Ini adalah petanda jelas laporan dari risikan tentera dan polis serta badan-badan bebas yang menjalankan tinjauan rakyat memberi signal jelas kepada Najib bahawa Najib adalah PM terakhir Malaysia dari UMNO.

Namun begitu pakatan rakyat tidak harus dibuai dengan mimpi indah kerana bukan mudah menawan Putrajaya biarpun laporan memihak kepada Pakatan Rakyat.

Apa ertinya jika kita bercakap soal membantu rakyat tetapi hakikatnya masih ada lagi masalah besar rakyat yang kita abaikan. Jangan sia-siakan harapan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Masalah rakyat wajib diutamakan.

Bercakap mudah, menabur janji mudah, alangkah indahnya jika masalah rakyat juga dipermudahkan. Ingatlah kuasa rakyat kuasa keramat.

Semoga yang terlepas pandang, segera diperbaiki, yang bermasalah segera diatasi, yang rumit segera ditangani. InsyaAllah rakyat akan bersama Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Mampukah semua calon Pakatan Rakyat menang

Posted: 24 Oct 2010 05:53 PM PDT

Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) mengangkat tangan calon parti itu bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, Ansari Abdullah (tengah). Turut sama (dari kiri) Pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Cheu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Keadilan Azmin Ali.
KUALA LUMPUR, 24 Okt — Empat parti politik utama selesai mengumumkan nama bakal calon masing-masing termasuk seorang wanita untuk bersaing pada pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Buat pertama kali, pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menyaksikan seorang calon wanita diturunkan oleh parti politik utama.

Barisan Nasional (BN) meletakan sandaran pada Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, merupakan balu kepada penyandang kerusi itu yang meninggal dunia awal bulan ini.

Datuk Edmund Chong Ket Wah iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Pengumuman Tsen dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah pada sidang akhbar di Hotel Sanbay, Sandakan 3 petang tadi.

Semalam, SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi dan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan Selasa ini dan pengundian 4 November.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan Tsen.

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka, Sandakan.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang Keadilan Tuaran.

Beliau mengakui pilihan raya kecil Batu Sapi kali ini adalah sengit, namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Calon BN kerusi Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin dipeluk penyokongnya pada majlis pengumuman calon di Sandakan hari ini.
Pengumuman juga menyaksikan bagi pilihan raya kawasan DUN Galas.

Selepas tiga hari, hari ini BN menamakan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff akan membawa cabaran perikatan tersebut.

Aziz menganggap pemilihannya sebagai calon BN pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

"Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

"Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua," katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang kira-kira 3 petang tadi.

Aziz, dari Kampung Bertam Baru, Gua Musang dan juga bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

"Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih," katanya. Beliau berkata pilihan raya kecil itu perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mengubah negeri Kelantan untuk masa depan yang lebih baik.

Aziz akan berhadapan dengan saingan Dr Zulkefli Mohamad dari PAS, calon yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004 dan 2008.

Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff diisytihar sebagai calon BN bagi kerusi DUN Galas hari ini.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh sebelum ini.

Hadi memberitahu, kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.

Selain calon parti-parti utama, kedua-dua pilihan raya kecil ini dijangka akan menyaksikan cabaran calon Bebas.

Hari ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan 4 November iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran kepada Bernama di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Sharpshooter - Semoga semua calon Pakatan Rakyat akan menang dalam pertandingan sengit kali ini. Sharpshooter akan bertolak dari Bangi ke Galas petang ini bersama Chegubard.

Bukan mudah kali ini untuk Pakatan Rakyat menang di Galas lebih-lebih lagi di Batu Sapi. SAPP mempertaruhkan Presidennya manakala Keadilan pula meletakkan Bekas Pengerusi Keadilan Sabah, Ansari Abdullah kawan baik Azmin Ali.

Sebelum itu, berita melaporkan bahawa Keadilan memberi laluan kepada SAPP. Ini adalah satu langkah yang bijak sebenarnya jika kita mahu menawan Putrajaya. Beritanya di sini.

Namun begitu akhirnya Keadilan meletakkan calon di Batu Sapi. Bila keputusan telah dibuat oleh parti, maka kita akur dan akan terus berkempen memenangkan calon Pakatan Rakyat di Batu Sapi.

Pecah kaca pecah gelas,
Batu Sapi dekat Sandakan,
Tiada beban batu digalas.
Semoga b-end dapat dikalahkan.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: