shalehudin |
- Lim Chong Eu masuk ICU
- Wahai Fathul Bari
- Amaran banjir kilat di Pulau Pinang minggu depan
- Mai tengok A Kadir Jasin kata apa
- Sejarah yang merapu
- Setiap rakyat tanggung RM14,000 hutang negara
- Eeee... memang kaki tipu
- Batu Sapi @ Batu Api
- Perrghh... Pulau Pinang terrrrrbaik...
| Posted: 27 Oct 2010 08:36 AM PDT Tun Dr Lim Chong Eu Dimasukkan Ke ICU, Hospital Pulau Pinang GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas diserang angin ahmar Selasa. Bekas Presiden Gerakan berusia 91 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 11 pagi. Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, ketika dihubungi Bernama, , mengesahkan kesihatan Chong Eu tidak begitu baik. "Sejak kebelakangan ini, beliau memang tidak berapa sihat," katanya. Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang melawat Chong Eu, enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai kesihatan tokoh politik itu. Chong Eu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990 dan menerajui parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971. Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972. Chong Eu dilahirkan di sini dan mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum mendapat Biasiswa Ratu pada 1937 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan d Universiti Edinburgh, Scotland. Beliau mendapat ijazah perubatan dan pembedahan pada 1944 dab aktif dalam perkhidmatan awam termasuk dilantik ke majlis perundangan negeri pada 1949. Dalam politik, beliau pernah menjawat beberapa jawatan kanan dalam MCA sebelum menjadi presiden Gerakan. |
| Posted: 27 Oct 2010 07:30 AM PDT Festival Menghancurkan nama Islam Oleh : Mohamed Hanipa Maidin Mengapa Pas menentang Festival Busana Islam di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu ? Adakah Pas menentang Busana Islam ? Saya sempat mengunjungi sesawang di www.islamicfashionfestival.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang festival busana Islam yang menjadi isu panas sekarang ini. Di dalam website tersebut ada disenaraikan nama-nama anggota Lembaga Stail Festival Busana Islam yang dinaungi Dato Sri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Anggota-anggota Lembaga tersebut merangkumi individu-individu dari Malaysia, Indonesia dan Dubai. Saya tidak pasti sama ada semua anggota lembaga itu adalah Islam. Antara anggota itu adalah Ibu Sonia Lee. Jika diandaikan kesemua anggota lembaga tersebut adalah Islam khususnya anggota-anggota wanita, saya tidak nampak mana-mana anggota itu yang menutup aurat secara sempurna. Daripada Datin Sri Rosmah sebagai penaung semua anggota wanita tidak menutup rambut mereka. Antara anggota wanita Malaysia yang menganggotai lembaga tersebut adalah YAM Tengku Aishah, Puan Sri Faridah dan Datin Nina Juren. Suami penyanyi Siti Norhaliza iaitu Dato Sri Khaled Mohd Jewa juga adalah anggota Lembaga tersebut. Saya tidak pasti sama ada Lembaga ini ada merujuk kepada para cendiakawan Islam bagi mendapatkan pandangan sama ada festival yang mereka anjurkan selari dengan Islam. Apabila tiada seorang ahli wanita lembaga tersebut menutup aurat saya tidak pasti apakah pandangan Lembaga tersebut tentang isu penutupan aurat yang merupakan sebahagian dari ajaran Islam. Adakah Lembaga tersebut berpendirian menutup aurat bagi wanita adalah tidak wajib oleh itu berfesyen tanpa menutup aurat tidak menjadi satu masalah ? Jika Lembaga tersebut berpendapat menutup aurat adalah wajib mengapakah festival busana Islam yang diadakan di Monte Carlo ( pusat perjudian yang terkenal ) pada 9 Ogos yang lalu membiarkan peragawati-peragawati fesyen menggayakan pakaian yang tidak menutup aurat dan mereka juga dibenarkan menggoyang-goyangkan badan mereka seperti mana dalam pentunjukkan fesyen yang tidak dibuat atas nama Islam. Bagi tujuan penulisan artikel ini saya sempat melihat berita CNN ( di dalam youtube ) tentang petunjukkan fesyen tersebut. Saya hanya boleh mengatakan apa yang diperagakan tidak boleh sama sekali dikatakan sebagai festival busana Islam. Sudah menjadi trend kini golongan Islam yang berfikiran dan berfahaman sekular menggunakan label Islam bagi menjustifikasikan program yang mereka anjurkan. Festival Busana Islam ini satu contoh yang jelas. Di dalam website mereka , penganjur mengatakan tujuan mereka menganjurkan festival busana Islam adalah bagi membetulkan tanggapan orang-orang barat tentang Islam. Kata penganjur Islam sering dikaitkan dengan pengganas maka salah satu cara untuk membetulkan tanggapan tersebut adalah dengan menunjukkan kepada orang-orang barat bahawa Islam juga menghargai kecantikan dan dunia fesyen , maka timbullah idea menganjurkan festival busana Islam tersebut. Bagi kita sebarang usaha untuk membetulkan persepsi barat tentang Islam adalah satu niat yang murni. Bagaimanapun niat yang murni sahaja tidak mencukupi. Ia juga harus bergerak di dalam landasan yang betul Dalam hal ini umat Islam tidak perlu apologetik ( bersifat mengalah ) hanya semata-mata ingin menjaga hati orang-orang barat. Umat Islam perlu sedar pertembungan nilai antara barat dan Islam memang wujud. Oleh itu sebarang usaha untuk cuba mengenepikan pertembungan tersebut adalah usaha sia-sia. Dunia fesyen barat adalah berteraskan falsafah hedonism dan alam glamour. Hedonisme dan glamour adalah permainan nafsu. Memandangkan barat mempromosikan kebebasan mutlak dalam dunia fesyen maka tiada sebarang sekatan dibenarkan bagi mengawal dunia fesyen di sana. Bertolak dari falsafah ini sebarang pakaian yang direka di sana tidak akan mengambil kira soal maruah dan harga diri wanita. Tiada istilah menutup aurat dan berpakaian sopan dalam kamus dunia fesyen barat. Melihat kepada petunjukkan fesyen busana Islam di Monte Carlo tiada apa yang dapat dibezakan dengan petunjukkan fesyen –fesyen lain. Bezanya di Monte Carlo ada istilah Islam. Itu sahaja. Jika di dunia fesyen barat peragawati tidak menutup aurat , di Monte Carlo pun apa bezanya. Jika di barat peragawati yang menggayakan koleksi pakaian terbaru sibuk menggoyangkan segala-galanya bagi menarik hati pengunjung , di Monte Carlo juga pengunjung melihat perkara yang serupa dalam festival busana Islam !!! Seorang ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan pembangkang mengecam tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.Fathul Bari berkata, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu. Cukuplah mengampu wahai Ustaz muda !! Awak sedarkah Rosmah adalah orang penting yang bertungkus lumus menjayakan festival busana Islam! Kalau awak tak sedar mari kami tunjukkan apa yang disebut di websitewww.islamicfashionfestival.com.my. Dinyatakan " Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor as the founding patron, has helped establish the fashion festival as a landmark event in the history of global fashion ( Terjemahan " Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor selaku penaung awal telah membantu menjayakan festival fesyen sebagai satu upacara unggul di dalam sejarah dunia fesyen di peringkat global ) Wahai Fathul Bari sepatutnya awak mengucapkan terimakasih pada pemuda Pas yang menjalankan tanggungjawab menegur kemungkaran setelah semua ulama Umno diam membisu dan membatu tidak berani menegur isteri Perdan Menteri. Jika awak minta Pas menasihati dan tidak mengecam , baiklah sekarang ini dengan nama Allah kami menasihati awak sebagai orang yang tahu hukum agama silalah tinggalkan Umno kerana dengan menyokong Umno awak pada hakikatnya merestui segala kezaliman dan kemungkaran yang Umno lakukan. Kalau Ah Chong dan Mutusamy pun mahu menyokong kepimpinan ulama dalam Pas , awak tidak malukah masih mahu bersekongkol dengan Umno !! |
| Amaran banjir kilat di Pulau Pinang minggu depan Posted: 27 Oct 2010 05:35 AM PDT GEORGE TOWN, 27 Okt – Orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan tebing sungai diminta mengambil langkah berjaga-jaga serta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat pada Isnin dan Selasa depan. Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata negeri itu dijangka menerima hujan lebat selama dua hari berturut-turut iaitu pada 1 dan 2 November, dan keadaan hujan dijangka membawa kesan banjir kilat di kawasan rendah. "Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran di tahap kuning ekoran hujan lebat tanpa henti akan berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak Utara, Kedah dan Perlis selama dua hari, iaitu pada 1 dan 2 November ini ekoran perubahan monsun," katanya kepada Bernama hari ini. Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir, diminta memastikan kelancaran saliran air di longkang dan parit di tempat masing-masing. "Orang ramai yang memerlukan bantuan untuk membersihkan longkang atau parit di kawasan perumahan, boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang menerusi talian 04-2637 637 atau Majlis Perbandaran Seberang Perai 04-5497 700", katanya. – Bernama |
| Mai tengok A Kadir Jasin kata apa Posted: 27 Oct 2010 03:30 AM PDT Menggalas Galas dan Batu Sapi — A Kadir Jasin 26 OKT — Bukan mudah bagi BN menggalas Galas dan mengangkat Batu Sapi. Kerusi DUN Galas, Kelantan milik PAS manakala kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah walaupun disandang BN, namun menghadapi pertandingan sengit tiga penjuru. Di Galas, BN (Umno) berdepan dengan PAS. PAS akan disokong oleh DAP dan PKR. BN mengemukakan setiausaha bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, manakala PASmenawarkan seorang ahli profesional, Dr Dr Zulkefli Mohamad, 45 tahun. Pada pilihan raya umum 2008, calon PAS Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan undi sebanyak 646. Beliau mendapat 4,399 undi berbanding Mohamad Saufi 3,753. Sebanyak 80.89 peratus keluar mengundi. Di Batu Sapi, BN yang meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin, 54 dari PBS akan ditentang oleh bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mewakili Parti Progresif Sabah (SAPP) dan peguam Ansari Abdullah mewakili PKR. Hakikat bahawa Batu Sapi sangat penting kepada BN dan PKR diserlahkan oleh kehadiran Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Setelah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada awal 2009 dan Sibu (Sarawak) Mei lalu, BN tidak mampu kalah di Batu Sapi. Kekalahan di Batu Sapi akan menjadi petanda buruk kepada kemampuan BN mempertahankan kesepaduan sokongan di Sabah. Pada PRU 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu. Kerusi tunggal pembangkang dimenangi DAP. Dalam PRU 2008, mendiang Ir Edmund Chong Ket Wah dari BN (PBS) mengalahkan calon bebas Dr Chung Kwon Wing (bebas) dengan majority 3,708. Beliau mendapat 9,479 undi manakala Dr Chung mendapat 5,771. Hanya 63.6 peratus keluar mengundi dan undi yang ditolak agak banyak –730 – membayangkan wujud unsur protes. Faktor Ku Li Di Galas Dalam keadaan biasa, pilihan raya kecil Galas tidaklah menjanjikan apa-apa di luar jangkaan. Tetapi keadaan menjadi tidak biasa, walaupun bukan luar biasa, apabila BN melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah PRK itu. Seperti kita maklum, Ku Li adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan Galas adakah salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan itu. Dua lagi adalah Paloh dan Nenggiri yang dimenangi BN. Pada PRU 2004, Galas dimenangi BN. Ada pendapat mengatakan pelantikan Ku Li adalah tepat kerana Gua Musang adalah "empayar" beliau dan beliau berupa pemuka Umno yang paling kanan dan, boleh jadi juga, paling popular di Kelantan sekarang kerana pendiriannya mengenai isu royalti petroleum negeri itu. Malah ada yang berpendapat, jika BN berjaya merampas kembali Galas atau setidak-tidaknya mengurangkan majoriti PAS, imej Ku Li akan mendapat anjakan dan sesuai dijadikan ketua de facto Umno Kelantan bagi menghadapi PRU akan datang. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau luar biasa, malah berupa salah satu formula yang berkemungkinan membawa kejayaan kepada BN/Umno. Untuk itu, kita perlu berbalik kepada sejarah. Pada tahun 1977, Ku Li menjadi wajah Umno dalam krisis kepemimpinan BN Kelantan yang tercetus akibat perselisihan antara Presiden PAS, Allahyarham Asri Muda dan Menteri Besar, Allahyarham Mohamad Nasir, yang juga dari PAS. Apabila perkelahian itu mencetuskan tunjuk perasaan di Kota Baru dan persidangan DUN diganggu oleh penunjuk perasaan, darurat diisytiharkan, pemerintahan Kelantan diambil alih oleh kerajaan pusat dan seorang Pengarah Kerajaan dilantik mentadbir Kelantan. Dalam tempoh itulah, Allahyarham Tun Hussein Onn, memberi mandate kepada Ku Li menerajui pembangunan Kelantan sebagai ketua de facto Umno/BN. Ku Li memperkenalkan Rancangan Pembangunan Kelantan dan dalam tempoh itulah pembangunan Kelantan, khasnya daripada aspek infrastruktur ekonomi dan sosial, paling rancak. Pada akhir tahun 1977 PAS disingkirkan daripada BN dan dalam PRU 1978 BN menewaskan PAS dan memerintah Kelantan sehingga tahun 1990 dengan Ku Li sebagai ketua de factonya. Pada PRU 1990, Ku Li membantu PAS merampas semula Kelantan daripada BN melalui parti barunya, Parti Melayu Semangat 46. Beliau menubuhkan pakatan pilihan raya dengan PAS, Barisan Jemaah Islamiah se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) yang diberi nama Angkatan Perpaduan Ummah (Apu). APU menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN Kelantan — 24 PAS dan 15 Semangat 46. Tetapi jiwa Ku Li adalah jiwa Umno. Apabila perselisihan beliau dengan Dr Mahathir Mohamad reda dan pengaruh Semangat 46 semakin merosot, pada bulan Mei 1996, Ku Li mengumumkan kepada 200,000 ahli parti itu yang beliau akan membubarkan Semangat 46. Parti itu dibubarkan dalam bulan Oktober dan majoriti ahlinya menyertai Umno semula. Dalam PRU 2008, hanya dua orang pemuka BN Kelantan masih berdiri. Salah seorang daripadanya adalah Ku Li dan seorang lagi, Mustapha Mohamed aka Tok Pa. Yang lain hanyut. Bagi saya, dua orang inilah yang masih menjanjikan harapan bagi BN kembali menguasai Kelantan. Belum Ada Formula Berkesan BN Tawan Kelantan Setelah pelbagai formula dilaksanakan dan berbagai watak dilantik mengetuai Umno Kelantan, BN terus gagal menakluki semula negeri itu. Hatta pada tahun kemuncak kejayaan BN iaitu dalam PRU 2004, BN masih gagal menjatuhkan PAS. Siapa tahu, mungkin dengan memberi peranan lebih besar kepada Ku Li, BN mampu bermimpi dengan lebih realistik untuk memperbaiki prestasinya di negeri itu, bermula dengan Galas. Tetapi kalau Umno dan BN terus menggunakan pendekatan "carpet bombing" dengan menggula-gulakan pengundi, harapannya untuk menang mungkin tidak secerah yang diuar-uarkan. Kesombongan, tunjuk kuat dan tunjuk kuasa semakin tidak berkesan sebagai strategi pilihan raya. Ahli dan penyokong Umno sendiri semakin mengakui kesederhanaan dan keakraban pemuka-pemuka PAS. Mereka sentiasa di padang bersama rakyat jelata berbanding pembesar Umno yang semakin elitis dan eksklusif walaupun Presiden Umno sendiri, Mohd Najib Abdul Razak, kini menjadikan keterangkuman (inclusiveness) dan keadilan sosial mantera beliau. Buat masa ini, ramalan memberikan BN dan PAS peluang yang sama rata untuk memenangi Galas. Tetapi di segi kelulusan, nampaknya calon PAS menyerlah. Inilah yang nampaknya memberi PAS kelebihan sejak sedekad dua ini. PAS mampu mengemukakan ramai calon profesional dan berwibawa, sedangkan Umno masih terperangkap dalam sistem mafia dan warlords di mana kepemimpinan yang sedia ada sangsi, curiga dan takut dengan kemasukan ahli muda dan golongan profesional. Selagi amalan menyekat kemasukan ahli muda dan golongan professional ini berterusan, selagi itulah kepemimpinan muda akan tersisih dan memberi peluang mudah kepada PAS untuk mendapat suntikan darah muda. Namun bagi PRK Galas, PAS pastinya bimbang situasi Manik Urai di mana BN hampir-hampir merampas kerusi DUN itu Julai lalu akan berulang. Apatah lagi ia menang di Galas dengan kelebihan undi yang lebih kecil berbanding Manik Urai. Bagi BN, kalau trend Manik Urai berterusan, harapannya menang adalah baik. Silap-Silap Sapi Terlepas Batu Hilang Situasi di Batu Sapi dikatakan lebih membimbangkan bagi BN kerana bukan sahaja akan berlaku perlawanan tiga penjuru, tetapi juga kerana BN akan berdepan yang calon yang pada PRU lalu adalah rakan akrab. BN meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin, 54, mewakili BN, bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mewakili Parti Progresif Sabah (SAPP) dan peguam Ansari Abdullah mewakili PKR. Dalam PRU 2008, SAPP adalah parti komponen BN Sabah. Ia keluar BN dalam bulan September 2008 ketika khabar angin bertiup kencang mengatakan Anwar Ibrahim akan melakukan rampasan kuasa Parlimen menjelang Hari Malaysia pada 16 September. Kesimpulan Bagi BN, keputusan pengundian PRK Galas dan Batu Sapi pada 4 November ini adalah penerusan ujian penerimaan pengundi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Mohd Najib dan dasar-dasar serta rancangan yang ditajanya sejak mengambil alih pemerintahan negara 18 bulan lalu. Sejak PRU 2008, sebanyak 11 PRK telah diadakan, sembilan daripadanya dalam era Mohd Najib. Daripada jumlah itu, empat disandang BN. Selebihnya adalah kerusi parti-parti lawan. Daripada empat kerusi yang disandangnya BN itu, ia hanya berjaya mempertahankan dua, kalah satu dan berjaya merampas sebuah kerusi lawan. Ini bermakna BN mengalami defisit satu kerusi. BN berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada PKR tetapi kalah Kuala Terengganu kepada PAS dan Sibu kepada DAP. Jadi, merampas Galas dan mempertahankan Batu Sapi adalah sangat utama dan mendesak bagi BN. Selain isu maruah, dua PRK ini menjadi barometer kepada iklim politik semasa yang akan mempengaruhi penentuan bila PRU akan datang akan diadakan. Bagi DAP, PKR dan PAS pula, dua PRK ini menguji persepsi dan penerimaan pengundi terhadap gagasan longgar mereka dan reaksi kepada perkembangan terbaru yang melanda kepemimpinan mereka. Perkembangan di sekitar perbicaraan liwat 2 Anwar, perebutan sengit jawatan dalam pemilihan PKR, pergolakan dalaman DAP dan perselisihan faham antara PAS dan DAP mengenai Negara Islam, Hukum Hudud dan sekularisme pasti akan diperalatkan oleh BN. Manakala bagi BN, ujian terbesar ialah sama ada pengundi bukan Melayu yakin terhadap dasar berlembut dan bertolak ansur Mohd Najib serta pemulihan parti-parti komponen yang mewakili Cina dan India. Apa pun, kita tunggu dan lihat. — kadirjasin.blogspot.com |
| Posted: 27 Oct 2010 02:00 AM PDT Wajib lulus Sejarah, sejarah yang merapu Oleh Keropok Lekor Apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa subjek Sejarah akan dijadikan subjek teras serta wajib lulus, maka ramailah yang memberi komen menyokong saranan berkenaan. Komen tidak menyokong tentunya tidak akan disiarkan di media kerajaan. Rakyat hanya mampu mendengar dari sebelah pihak sahaja. Tentunya penilaian yang lebih adil tentang isu berkenaan tidak dapat dibuat. Ada penyokong yang menyatakan saranan ini akan menyebabkan pelajar lebih memberikan penumpuan kepada subjek berkenaan. Ada yang mengaitkan subjek ini dengan kontrak sosial serta tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan susur galur perkembangan Malaysia dan Kesultanan Melaka. Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, tentunya kita tidak akan menolak perkara ini bulat-bulat. Kita sangat memahami kepentingan sejarah sebagai landasan untuk kita bergerak maju ke hadapan. Alangkah baiknya jika berita yang diterima, wajib lulus subjek Pendidikan Islam SPM 2010. Bagi yang bukan Islam, mereka wajib lulus subjek keagamaan dan moral yang mereka ambil. Lebih molek lagi, wajib mendapat kepujian sebagai syarat memperolehi Sijil SPM. Sebagai orang biasa, tentunya kita dapat membezakan antara kesan tidak menguasai sejarah negara dengan kesan tidak menguasai agama, yang mana lebih buruk ? Walaupun kita memperjuangkan sejarah, jangan pula kita mendiamkan kepentingan beragama. Jika subjek agama betul-betul dihayati tentunya isu kontrak sosial akan selesai kerana panduan yang disediakan oleh Islam adalah cukup lengkap. Banyak masalah-masalah moral peringkat nasional seperti rogol, bunuh, curi, rasuah boleh dikurangkan. Adakah isu keruntuhan moral kurang penting berbanding isu kontrak sosial. Mungkin kerajaan beranggapan sudah memadai dengan pembinaan sekolah-sekolah agama rakyat, masjid dan surau yang merata-rata, kelas fardu ain, majlis Khatam Quran Mega, Majlis Musabaqah Peringkat Antarabangsa, Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan lain-lain lagi yang telah dianjurkan. Mungkin ada yang beranggapan bahawa wajib lulus subjek Agama tidaklah penting berbanding subjek Sejarah. Adakah kita tidak bimbang dengan mengetahui Sejarah, anak-anak kita akan mengetahui bahawa Melaka itu ditempa bersama Islam, Terengganu, Kelantan memang tidak asing lagi dengan peranan ulama silamnya juga Pengaruh Islam di Kedah serta negeri-negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tidakkah kita bimbang, nanti anak-anak kita akan tahu bahawa seluruh Nusantara terpahat sejarahnya bersama kedatangan Islam. Mungkin juga isu subjek Sejarah ini hanya ditimbulkan bagi menyelamatkan survival politik kumpulan tertentu sahaja. Perubahan ini sebenarnya lebih diperlukan untuk subjek lain seperti Pendidikan Islam berbanding Sejarah. Jangan pula kita memahat satu lagi sejarah yang merapu pada tahun 2013 nanti. Keropok Lekor, Terengganu. |
| Setiap rakyat tanggung RM14,000 hutang negara Posted: 27 Oct 2010 12:30 AM PDT Hutang negara: Setiap rakyat tanggung RM14,000 Harakahdaily KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS merasa kesal terhadap pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun. Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan. "Ini bermakna setiap rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. PAS, katanya menganggap bahawa hutang yang meningkat dengan mendadak kerana ketirisan dan rasuah. Menurutnya, pendedahan Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun RM10 bilion. Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah. Begitu juga dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah disediakan sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad. Idris berkata, semuanya adalah contoh yang menunjukkan kegagalan kerajaan Umno BN yang akan digalas oleh rakyat Malaysia akibat kecuaian kerajaan pada hari ini menguruskan pentadbiran negara. "Apakah ini merupakah sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara ini?" soalnya. Tambahnya, pemimpin Umno di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah Umno dan BN, selain daripada BN maka tidak mampu untuk memerintah. "Tidak hairanlah kepada kita apabila negeri yang diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa memikul bebanan hutang yang perlu dilangsaikan. "Kerajaan baru perlu melunaskan hutang kerana kita ambil alih kerajaan, bukan ambil alih parti," ujarnya. Beliau menambah, pengalaman PAS di Kelantan terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM740 juta selama 12 tahun mereka memerintah Kelantan, begitu juga hutang kerajaan Kedah sebanyak RM2.3 bilion selama 51 tahun Umno BN memerintah. Katanya, kebijaksanaan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menguruskan kewangan dan cuba berusaha membayar balik hutang amat dikagumi oleh pegawai kerajaan Pusat. "Apakah rakyat mahu membiarkan keadaan ini terus berlaku dan anak cucu kita yang akan menanggung derita pada masa akan datang?" tanya beliau. Menurutnya, pemimpin Umno BN hanya pandai berbelanja dengan boros dan tidak serius untuk menentang rasuah dan membetulkan kepincangan. Mereka, katanya lagi akan mengorek lombong-lombong yang masih ada, seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan sebagainya. "PAS menyeru rakyat supaya cukuplah memberi mandat kepada Umno BN yang mengkhianat rakyat dan masa depan anak cucu kita," katanya. |
| Posted: 26 Oct 2010 09:51 PM PDT EEE TERBONGENG nota: untuk tipu orang melayu di pulau pinang eee telah membuat sakeping surat tipu surat ini cuba menunjukkan duit bantuan negeri pulau pinang ini haram sayangnya eee ini tak berapa pandai menggunakan bahasa melayu - ini kerana eee menggunakan bahasa pundek warkrak dengan kaum keluarga dirumah perhatikan betul betul surat ini banyak ejaaan bahasa melayu yang salah termasuk MEMBASIMI adalah dinasehat agar para eee agar pergi berjumpa dengan dwwasan bahasa dan minta dibuat kelas bahasa melayu tambahan untuk pelajar eee dan panggil program ini eee-elek melayu kah kah kah sumber: Bro TT |
| Posted: 26 Oct 2010 07:00 PM PDT Sekali sekala merenung sejarah pilihanraya di Sabah sejak dulu kala membuatkan hati kecil kita menelah bahawa parti lawan selain dari BN akan diratah, paling kuat mereka mereka ni takkan hilang wang pertaruhan. Tapi itu dulu, dikala rakyat masih dibelenggu oleh kebangsawanan penjajah dan terbawa bawa sehingga dijajah pula oleh BN sejak sekian lama. Tapi kini, senario politik sudah berbeza. Kini rakyat Sabah, khasnya di Parlimen Batu Sapi akan diuji sekali lagi. Kali ini pikiran rakyat Sabah sekali lagi akan dipaksa memilih antara menentang penjajahan BN yang sekian lama menekan minda rakyat ataupun beralih angin, memilih untuk membina suasana politik baru bersama Pakatan Rakyat. Seperti yang semua sedia maklum, pertandingan 3 penjuru sudah tak dapat dielakkan lagi di Batu Sapi setelah SAPP yang sedang membina kembali kekuatan sendiri setelah bercerai talak satu dengan BN turut sama bersaing antara dengan PKR dan penyandang kerusi yang lalu iaitu BN / UMNO. BN / UMNO wajar sangat untuk merasa risau. Rakyat Sabah bukan seperti dahulu lagi. Salah perhitungan di Batu Sapi buruk padahnya. Kekalahan di pilihanraya kecil ini bermakna sudah boleh mengucapkan selamat tinggal awal sebelum Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Ini bukan cakap cakap kosong kerana andaian ini sudah popular sejak PRU ke 12 yang lalu lagi. Sekali lagi, seluruh Malaysia akan menumpukan perhatian pada pilihanraya Batu Sapi ini kerana keputusan ini bakal mencorakkan nasib BN / UMNO di Sabah nanti. Sama sama kita nantikan Batu Sapi bakal menjadi Batu Api yang bakal membakar keseluruhan jentera BN di Sabah. Apakah rakyat Sabah, khasnya di Batu Sapi bersedia untuk membuat kejutan dengan mengatakan TIDAK pada BN / UMNO atau mengejutkan PKR dan SAPP dengan menghilangkan wang pertaruhan mereka dalam pilihanraya kecil nanti. |
| Perrghh... Pulau Pinang terrrrrbaik... Posted: 26 Oct 2010 05:00 PM PDT Pulau Pinang catat hasil paling tinggi Regina Lee Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan hasil pendapatan paling tinggi buat dua kali berturut-turut - ia berjaya memungut RM1.1 bilion dalam dana terkumpul bagi seluruh tahun 2009. Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, Pulau Pinang adalah negeri tunggal Pakatan Rakyat yang menerima penarafan 'baik'berhubung kedudukan kewangannya - mereka juga mengumpul 29.1 peratus dalam pendapatan sebenar, membawa jumlah keseluruhan kepada RM376.51 juta. Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memecahkan rekod apabila dana terkumpulnya mencecah RM1.025 bilion seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini. Di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN, dana terkumpul Pulau Pinang adalah RM847.45 juta bagi 2007. Dana terkumpul itu adalah kombinasi pendapatan akaun, pinjaman dan juga dana saham amanah. Pungutan hasil juga naik dengan ketara daripada RM296 juta pada 2007 kepada RM371 juta pada 2008. Hasil bagi 2009 pula adalah pada RM376 juta. Laporan Audit itu juga mendedahkan bahawa Dana Amanah Perumahan Bumiputera telah buat kali pertama ditubuhkan dengan RM12.65 juta disalurkan untuk tujuan berkenaan. Tiga agensi negeri menerima penarafan 'sangat baik' berbanding hanya dua pada 2008. Agensi berkenaan adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, jabatan kewangan negeri dan pejabat daerah bahagian barat daya. Selangor ketinggalan Dua lagi negeri yang dikuasai oleh Pakatan - Kedah dan Kelantan, mencatatkan peningkatan dalam dana terkumpulnya pada 2009 berbanding tahun sebelum itu. Kelantan mencatatkan pertumbuhan besar 252 peratus kepada RM97.23 juta berbanding RM27.58 juta pada tahun 2008. Hasil di Selangor pula, pada masa yang sama jatuh 7.3 peratus kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.42 bilion pada 2008. Pada RM1.32 bilion, ia juga adalah jauh lebih rendah daripada dana terkumpul RM1.39 bilion yang diperolehi semasa pentadbiran BN pada 2007. Pentadbiran negeri Kedah pula menunjukkan peningkatan 5.1 peratus dana terkumpulnya kepada RM265.52 juta bagi tahun 2009. Perlis diklasifikasi kurang memuaskan Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga mendedahkan Perlis sebagai satu-satunya negeri yang diklasifikasikan sebagai kurang memuaskan dari segi sistem penyampaian, terutama selepas gagal memastikan semua agensi negeri diaudit sebelum tarikh tamat 30 April. Berdasarkan laporan itu, hanya tiga agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit sebelum tarikh tutup, manakala baki enam lagi dilaporkan gagal. Sementara itu, Bernama melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2009 menyatakan lapan projek pembinaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak disiapkan melewati tempoh kontrak, sementara satu projek terbengkalai. Perak juga ada masalah Lapan projek itu kelewatan antara 144 hingga 629 hari. Projek-projek itu ialah Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar. "Semakan mendapati empat daripada lapan projek telah disiapkan setelah mendapat Perakuan Kelewatan dan Lanjutan Masa (PLKM) dan tempoh masa berdenda antara RM60,000 hingga RM214,220. "Manakala tiga projek telah siap setelah diberikan PLKM dan satu lagi projek iaitu Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar masih belum disiapkan dan dalam tempoh masa berdenda. "Kelulusan PLKM kedua tanpa sebab telah diberikan kepada kontraktor untuk pembinaan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar," kata laporan itu. Laporan itu berkata punca kelewatan menyiapkan projek disebabkan oleh kelewatan kerja-kerja ujian tanah, kelewatan pihak kontraktor menerima arahan perubahan kerja, perubahan skop kerja dan kerja-kerja tambahan. Menurut laporan itu, kelewatan telah menyebabkan kos projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkat sejumlah RM168,152 atau 3.5 peratus daripada RM4.91 juta kepada RM5.08 juta. "Kos projek Bangunan Kompleks Pejabat MPTI meningkat sejumlah RM2.21 juta atau 39.9 peratus daripada RM5.54 juta kepada RM7.75 juta. Manakala kos projek Bangunan Kompleks Perniagaan dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta atau 33.9 peratus kerana penamatan kontraktor pertama," menurut laporan itu. Dalam pada itu, projek Pembinaan Dewan Serba Guna Padang Bandaran Kuala Kangsar bernilai RM6.7 juta yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sebagai agensi pelaksana dan dibina oleh Serata Johor Sdn Bhd terbengkalai dan tidak disiapkan mengikut jadual asal kontrak. Peruntukan membiayai pembinaan diterima daripada kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan berjumlah RM10 juta dan berdasarkan kontrak, tempoh projek selama 52 minggu itu bermula Mac 2008 dan dijangka siap Jun tahun lepas. "Berdasarkan laporan kemajuan kerja, pelaksanaan kerja telah mencapai 63 peratus siap. Surat penamatan dikeluarkan terhadap kontraktor pada 30 Jun 2009 kerana tiada kerja dilakukan semenjak 25 Mei 2009," kata laporan itu. Menurut laporan itu juga prestasi pelaksanaan projek adalah lemah kerana kurang pemantauan oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya terhadap perunding dan kontraktor. Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan kerajaan negeri Perak dan PBT membuat pemantauan terhadap projek pembinaan secara berterusan supaya siap mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos serta menyenaraihitamkan kontraktor berkenaan. |
| You are subscribed to email updates from shalehudin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
.jpg)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan