Selasa, 12 Oktober 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Bongkar: Laporan Insiden Ahli PKR Cabang Paya Besar Keluar Parti Ialah Satu Lagi Pembohongan UMNO Menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Galas !!

Posted: 12 Oct 2010 02:40 AM PDT

KUANTAN, 12 Okt [6.00 pm] - Puak-puak UMNO Pahang nampaknya semakin terdesak dan ketandusan idea, apabila membuat propaganda kononnya seramai 215 orang ahli PKR Cabang Paya Besar telah bertindak keluar parti dan menyertai UMNO hari ini. Kes berkenaan telah disiarkan dalam Berita Terkini TV3 jam 4.00 petang tadi. Ia telah mengejutkan ramai pihak dan seolah-olah menggambarkan rakyat sudah mula menolak Parti Keadilan itu sendiri. Kami cuba mendapatkan maklumar lanjut berkenaan isu ini dan telah berjaya membongkarkan beberapa penipuan yang telah dilakukan oleh puak-puak UMNO Paya Besar tentang hal berkenaan. Menurut salah seorang pemimpin PKR Pahang yang dihubungi mengatakan bahawa mereka tidak terkejut dengan laporann berkenaan kerana itu sahajalah cara UMNO ingin menagih simpati rakyat kepada mereka. "Sungguh melucukan, wakil kumpulan berkenaan iaitu Abdul Rahim Darus sebenarnya bukanlah ahli PKR.. tetapi ahli UMNO tegas di Lepar Utara. Malah keahlian PKR di ranting itu hanyalah sekitar 115 orang, maka bagaimana mereka melaporkan ada 215 orang keluar parti", katanya. Malah beliau tidak terkejut dengan tindakan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman (foto) itu. "Beliau merupakan pemimpin yang talam dua muka. Selama ini beliau adalah orang yang banyak membocorkan rahsia kerajaan negeri, UMNO dan Felda kepada parti pembangkang. Ketika namanya merudum akibat krisis dengan MB ketika itu, beliau sering berhubung dengan pemimpin PKR untuk memaklumkan tentang banyak perkara termasuk isu Felda. Mungkin Tajuddin kini agak seronok untuk mengampu Dato' Nan dan juga Tengku Razaleigh Hamzah susulan pilihanraya kecil DUN Galas tidak lama lagi. Malah, beliau pernah membawa Ku Li ke Paya Besar satu ketika dulu. Maka itu kita tidak hairan beliau sanggup menipu hal ini", tambah beliau lagi.

[Malah menurut pemimpin terbabit, ketika ditolak oleh MB Adnan Yaakob dulu Tajuddin terpaksa merintih simpati rakan-rakan dari kalangan parti pembangkang. Banyak maklumat sulit telah disalurkan untuk dihebahkan oleh pembangkang. Malah, isu Felda bangkrap yang hangat diperkatakan sekarang ini juga antara rahsia sulit yang telah didedahkan kepada pembangkang. "Pendek kata Tajuddin adalah Spy UMNO yang bertanggungjawab dalam pendedahan tersebut. Kami difahamkan kini hubungannga dengan MB telah kembali pulih, dan beliau juga telah mendapat projek bernilai jutaan ringgit yang ditawarkan oleh Adnan di kawasan Rompin. Maka itu, inilah masanya dia ingin memulihkan kembali imejnya di mata rakyat. Dengan membuat pembohongan kononnya 215 orang ahli PKR sertai UMNO, ia seolah-olah meningkatkan kepercayaan pucuk pimpinan tertinggi parti terhadap dirinya" tambahnya. Kami difahamkan, PKR Pahang tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ini].

Panas: Benarkah Ada 215 Ahli PKR Ranting Lepar Utara Cabang Paya Besar Keluar Parti Dek Kerana Hilang Kepercayaan Terhadap Pucuk Pimpinan !!

Posted: 12 Oct 2010 01:01 AM PDT

KUANTAN, 12 Okt [4.02 pm] - Ini berita yang baru diterima, katanya seramai 215 orang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Paya Besar telah bertindak keluar parti akibat hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti. Menurut sumber, satu majlis penyerahan borang UMNO telah dilakukan kepada Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Tajuddin Sulaiman di Pejabat UMNO dekat sini pagi tadi. Kesemua mereka yang dikatakan keluar parti itu adalah dari Ranting Lepar Utara. Menurut wakil kumpulan terbabit, Abdul Rahim Darus mereka menyertai UMNO kerana hilang kepercayaan kepada pucuk kepimpinan parti. Kami cuba akan cuba menghubungi Ketua Cabang Paya Besar, Hj.Zahari Mamat (foto) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dengan perkara ini. Rakyat diminta bersabar sebelum maklumat sebenar didedahkan. Berita ini pastinya akan disiarkan oleh media secara besar-besaran bagi membuktikan ahli PKR kini sudah mula benci kepada parti gara-gara pemilihan yang sedang berlangsung. Difahamkan laporan ini telah pun disiarkan di media arus perdana online dan Buletin Terkini TV3 petang tadi. Maka, pastinya ia akan jadi tajuk besar dalam Buletin Utama TV3 malam ini. Harapan kita semoga semua pihak dapat bersedia dengan propaganda terbaru yang dimainkan UMNO.

[Nantikan pendedahan eksklusif kami berkenaan perkara ini. Cabang Paya Besar telah dimenangi oleh Hj.Zahari Mamat dalam pemilihan peringkat cabang baru-baru ini. Beliau merupakan orang kanan AJK Bahagian UMNO Paya Besar sebelum bertindak menyertai PKR. Kemasukannya telah memberi tamparan hebat kepada Ketua Bahagian, Tajuddin Sulaiman yang sedang menghadapi krisis dengan MB Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob ketika itu. Tajuddin telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri, apabila kecewa namanya tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Lepar yang diwakilinya sebelum ini. Namun, beliau menang dalam pemilihan Ketua Bahagian, menewaskan Ahli Parlimen Paya Besar, Manan Ismail. Khabarnya kini beliau sibuk mengipas MB Pahang dan mula serasi. Susulan dari itu, ketiga-tiga ADUN di Parlimen Paya Besar mula gusar kedudukan mereka diancam oleh Tajuddin. Umum masih ingat, Ketua Bahagiaan dan semua ADUN terbabit telah dikenakan tindakan displin oleh parti gara-gara terbabit kesalahan dalam pemilihan parti itu. Kemasukan Hj.Zahari dan beberapa orang kanan Tajuddin ke dalam PKR menyebabkan beliau terlalu kecewa dan berjanji akan mengajar mereka. Sebelum ini, Tajuddin dikatakan telah mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa orang pemimpin PKR untuk menyertai parti itu. Namun, dek kerana urat darah dalam tubuhnya berpaksikan merah UMNO, maka akhirnya dia tergamak untuk bersama parti karat itu lagi].

Pengerusi GPMS Kedah, Lukman Moidin Terpaksa Meletak Jawatan Dek Kerana Hilang Kepercayaan Pada NGO Yang Sering Jadi Alat Politik UMNO Itu !

Posted: 11 Oct 2010 11:41 PM PDT

ALOR SETAR 12 Okt [2.03 pm] - Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Lukman Moidin (foto) hari ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta-merta. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Lukman berkata, peletakan jawatannya disebabkan beliau hilang keyakinan terhadap persatuan itu ditambah pula dengan usaha-usaha pihak tertentu yang menggunakan GPMS Kedah untuk agenda kepentingan peribadi secara keterlaluan. "Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tertua dan pernah bertanggungjawab untuk mendaftar semula GPMS Kedah, saya amat kesal apabila kepimpinan GPMS Kedah gagal untuk menghalang usaha-usaha 'nakal' beberapa individu yang menggunakan nama GPMS untuk menjayakan kehendak peribadi yang semakin keterlaluan," katanya. Beliau yang memegang jawatan itu bermula pada 2009 berkata usaha untuk membetulkan keadaan itu juga sukar dan tidak mendapat sokongan kepimpinan GPMS Kedah menyebabkannya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

[Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada Lukman Moidin kerana berani untuk berada di landasan kebenaran. Sememangnya rakyat dan pelajar amat hairan dengan NGO yang bernama GPMS ini. Mereka lebih banyak berpolitik, dipolitikan dan gagal untuk melaksanakan tanggungjawab. Misalnya dalam isu bahasa Melayu untuk subjek Sains dan Matematik yang diperjuangkan oleh rakyat dulu, mana pergi pemimpin GPMS?. semuanya menikus dan tidak berani untuk bersuara biarpun bahasa ibunda kita dihenyak-henyak. Begitu juga dalam isu pelajar Melayu "wajib" mendapat biasiswa jika dilihat kepada perlembagaan. GPMS juga berdiam diri biarpun biasiswa itu kini djadikan pinjaman. Akhirnya Ibrahim Ali (Perkasa) yang memperjuangkan nasib pelajar sebelum ini. GPMS hanya berani menjadi juara isu Namewee (kononnya perkauman) serta isu-isu yang tidak relevan untuk diperjuangkan oleh mereka. Sebab itu kita tidak hairan menjadi tradisi GPMS dimonopoli oleh puak-puak UMNO].

Pemilihan 2010: Ketua PKR Cabang Kuala Krau, Tn Hj.Suhaimi Said Nafi Dia Terlibat Konspirasi Untuk Menjatuhkan Kepimpinan Dato' Fauzi !!

Posted: 11 Oct 2010 04:29 PM PDT

KUANTAN, 12 Okt [10.00 am] - "Saya tidak pernah terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan Dato' Fauzi", kata Ketua Cabang Kuala Krau, Hj.Suhaimi Said (foto). Kenyataan itu dipaparkan dalam laman sosial Facebooknya mutakhir ini. Beliau bertindak demikian bagi menjawab beberapa tuduhan dan fitnah yang kononnya beliau berkomplot untuk menjatuhkan Dato' Fauzi Abdul Rahman dari jawatan (MPN) PKR Pahang. Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri "Saya kecewa dengan tuduhan tersebut yang jelas bertujuan untuk memecah belahkan PKR di negeri ini. Saya dah Dato' Fauzi tiada halangan untuk berkerjasama, malah saya menghormati ketokohan beliau sebagai Pengerusi PKR Negeri. Saya juga banyak terlibat dengan aktiviti secara bersama untuk membantu menaikkan prestasi PKR di Pahang. Maka, mana mungkin saya berhasrat untuk menjatuhkan beliau", tambahnya lagi. Beberapa hari lalu, banyak posting dalan Facebooknya yang mengatakan kemungkinan besar berlaku rombakan kepimpinan negeri andainya Azmin Ali menang jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2010 ini. Individu yang menggunakan username "Tok Gajah" dipercayai telah menghentam beliau secara agreasif. Ini menyebabkan Hj.Suhaimi merasa terkilan dan tidak berpuas hati. Antara posting individu terbabit mengatakanan Hj.Suhaimi akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Negeri, sementara itu Zakaria Abd Hamid (Ketua Cabang Lipis) akan kembali menggalas tanggungjawabnya sebagai Pengerusi PKR Pahang.


Kemesraan terpancar antara Dato' Fauzi dan Hj.Suhaimi dalam foto ini
Malah, individu terbabit juga menyatakan nama-nama seperti Dato' Fauzi, Zaidi Ahmad, Razali Alias, Nizam Hamid, Adnan Md Lazim, Hj.Zahari Mamat, Md.Nor Jaafar dan ramai lagi akan disingkirkan. Kononnya mereka semua adalah penyokong kuat Datuk Zaid Ibrahim. Malah, katanya nama-nama seperti Azan Ismail, Fuziah Salleh, Man Kadir serta ramai lagi termasuk Cikgu Zul (PRM) akan diangkat sebagai pimpinan baru di Pahang. Semua perancangan ini bakal terlaksana sekiranya Azmin Ali memenangi jawatan Timbalan Presiden. Kenyataan inilah yang menyebabkan Hj.Suhaimi melenting dan menanggap semua itu adalah tohmahann liar untuk menghuru-harakan PKR Pahang. Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan individu yang mengeluarkan kenyataan itu adalah "tali barut UMNO BN" yang menyusup ke dalam PKR Pahang atas tujuan untuk memecah belahkan parti itu. Justeru itu, beliau berharap ahli dan pimpinan PKR Pahang tidak terpedaya dengan kenyataan tersebut. "Saya menghormati kepimpinan Dato' Fauzi, malah saya juga lebih mengenali Zaid sejak dulu lagi. Kadang-kadang ada benda yang tidak sehaluan, tapi tidak bermakna kita membenci atau bermusuh", kata Hj.Suhaimi. Beliau turut nasihatkan "Tok Gajah" agar tidak terus cuba memecah belahkan Parti Keadilan Rakyat Pahang.

[Kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Pahang, diminta berhati-hati dengan berbagai usaha yang dilakukan oleh musuh dalam memecahbelahkan parti di negeri itu. Sememangnya disaat bahang pemilihan yang semakin terasa ini, maka lebih banyak tindakan yang bakal meruntuhkan parti itu sebenarnya. Oleh itu, saranan Dato' Fauzi agar semua pihak berwaspada dan anggap pemilihan ini umpana anak beranak dapat dititik beratkan. Semuanya ini adalah satu petanda agar masing-masing tidak terlalu agreasif dalam membuat tindakan. Unsur-unsur negatif seperti kata mengata, caci mencaci, kutuk mengutuk seharusnya dielakkan. Masing-masing perlu menawarkan manofesto untuk disokong oleh ahli untuk memilih. Semoga tidak akan wujud sesuatu yang tidak diingini sepanjang tempoh kempen pemilihan PKR 2010 ini hendaknya].

Pemilihan 2010: PKR Pahang Pelawa Semua Calon Majlis Pimpinan Pusat Untuk Hadir Ke Sesi Majlis Memperkenalkan Calon Dekat Kuantan 23 Okt Ini

Posted: 11 Oct 2010 08:22 AM PDT

KUANTAN, 11 Okt [11.22 pm] - Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Pahang sebulat suara bersetuju untuk mengadakan Majlis Memperkenalkan Calon Pimpinan Pusat pada 23 Oktober ini di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Pahang. Semua calon-calon dari seluruh Malaysia dipelawa hadir untuk memperkenalkan diri masing-masing bermula jam 3.30 petang hingga jam 7.00 petang pada hari tersebut. Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di Raub pada 10 Okt lalu. Mesyuarat juga turut memutuskan untuk memilih Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan) untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden mewakili negeri ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) itu juga turut menyokong pencalonan beberapa orang pemimpin ke jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam pemilihan 2010 ini. Antara calon yang telah dipersetujui ialah Zakaria Abd Hamid (Ketua Cabang Lipis), Hj.Suhaimi Said (Ketua Cabang Kuala Krau), Hj.Abas Awang (Ketua Cabang Bera) dan Nizam Abd Hamid (Ketua Cabang Temerloh). Mesyuarat juga sebulat suara menyokong perlantikan Hj.Zahari Mamat (Ketua Cabang Paya Besar) untuk jawatan Pengerusi Tetap. Mesyuarat juga telah bersetuju untuk . Dalam pada itu Dato' Fauzi, selaku dalam ucapannya menegaskan bahawa pertandingan jawatan penting parti di peringkat pusat adalah antara anak beranak dan sahabat seperjuangan. Justeru itu beliau berharap semua calon-calon yang bertanding tidak terlalu "overboard" dalam berkempen. Sementara itu difahamkan Calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dikatakan bakal bertemu dengan ahli dan kepimpinan PKR Pahang Zon Timur pada 24 Oktober 2010 ini mulai jam 4.00 petang di Rumah Cikgu Zul dekat Kg.Permatang Badak Kuantan.


Sila copy dan sebarkan banner calon pimpinan pusat dari PKR Pahang ini

[Pahang Daily Online menyokong penuh calon-calon yang diketengahkan oleh Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang ini. Kesemua yang dipilih adalah muka lama dan baru yang cukup popular di peringkat negeri dan pusat sebenarnya. Justeru itu, ahli-ahli PKR di seluruh negara diharap dapat memberikan undi dan sokongan sepenuhnya kepada calon-calon ini. Semoga dengan ini juga ia akan memberi kekuatan kepada PKR Pahang untuk lebih aktif lagi di peringkat pusat dalam apa jua aktiviti dan agenda yang bakal dirancang kelak. Semua calon yang dikemukan juga adalah mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang tersendiri dan wajar diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya ahli-ahli PKR].

Tiada ulasan: