Ahad, 10 Oktober 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


PRK Galas : BN dijangka calonkan Ku Li

Posted: 10 Oct 2010 10:24 PM PDT

Umno bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat khas malam esok dan dijangka mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Ketika mengesahkan mesyuarat itu akan berlangsung esok, ketua Pemuda Umno bahagian itu, Bazlan Baharuddin berkata, ianya akan turut membincang persediaan menghadapi pilihan raya kecil itu.


"Dalam mesyuarat khas itu, mungkin ada cadangan untuk mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian dan ahli parlimen Gua Musang, telah bersetuju menjadi pengarah pilihan raya kecil itu.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646
undi.

Menurut Bazlan, mesyuarat khas itu akan berlangsung di pejabat Umno bahagian mulai jam 8.30 malam esok.

Beliau berkata, rata-rata penduduk Gua Musang, khususnya di Galas, menyokong sekiranya Tengku Razaleigh bertanding sebagai calon 4 November ini.

"Mereka mengalu-alukan Tengku Razaleigh sebagai calon di Galas.

"Bagi masyarakat Orang Asli, kami percaya 90 peratus akan menyokong beliau," tambahnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, katanya, 70 peratus Orang Asli menyokong BN.

"Tetapi jika Tengku Razaleigh yang bertanding di Galas kali ini, kita yakin semakin ramai Orang Asli akan menyokong BN," tambahnya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya kecil Galas 4 November.

Sepuluh peratus daripadanya terdiri daripada pengundi Orang Asli yang dianggarkan berjumlah kira-kira 2,000 orang.

Kira-kira 65 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, 22 peratus (Cina) dan 2 peratus lagi pengundi India. - mkini

Senarai 12 mangsa kemalangan lebuhraya

Posted: 10 Oct 2010 10:08 PM PDT

Meratapi kehilangan keluarga

Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Polis melaporkan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar.

Mangsa tersebut ialah

pemandu bas ekspres R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar;

penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim;

Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas;

Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar;

Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan

Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di Melaka.

Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah

Pau Khan Tual, 21;

Kam Khaw Tual, 28; dan

Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).

Pemandu van Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat,

Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan

Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki).
- BERNAMA

Melaka hulur sumbangan pada mangsa kemalangan lebuh raya

Posted: 10 Oct 2010 07:54 PM PDT

MELAKA, 11 Okt — Kerajaan Melaka mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di KM 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat sini, petang semalam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) berkata kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM1,000 bagi menguruskan pengkebumian setiap jenazah manakala mangsa yang cedera parah juga diberi RM1,000 dan cedera ringan sebanyak RM500.

"Kepada semua keluarga yang terlibat saya harap mereka bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mangsa kemalangan itu di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.

Turut menziarahi mangsa, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.

Dalam kemalangan ngeri jam 6.40 petang semalam, seramai 12 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan 11 yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Mohd Ali akan mencadangkan kepada kerajaan supaya had laju bas ekspres dihadkan tidak melebihi 90 km sejam, sebagai langkah membendung kemalangan seumpama itu.

Suasana sedih dan tangisan anggota keluarga menyelubungi suasana bilik mayat hospital Melaka sebaik jenazah 12 mangsa kemalangan itu tiba pukul 12 tengah malam tadi.

Mohd Ali berada di bilik mayat itu sehingga pukul 4.30 pagi tadi bagi mententeramkan anggota keluarga yang begitu sedih selepas dipanggil untuk membuat pengecaman jenazah terbabit.

Sebuah balai polis bergerak diwujudkan berhampiran bilik mayat itu bagi memudahkan anggota keluarga terbabit berurusan.

Setakat ini, kawasan bilik mayat itu dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa yang menunggu untuk membawa pulang jenazah bagi dikebumikan di kampung masing-masing hari ini.

Bedah siasat dan pengecaman mangsa yang terbunuh dijangka selesai pagi ini. — Bernama

Haramjadah umNO tipu warga emas - Kutipan 'wang haram' tidak dikembalikan kepada kerajaan negeri P.Pinang

Posted: 10 Oct 2010 07:17 PM PDT

Sehingga kini tidak ada satu sen pun wang yang dikatakan diserahkan oleh warga emas di negeri itu kepada Umno diserahkan kepada kerajaan negeri, kata Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang Ustaz Salleh Man.

Langkah ini, bagi beliau menunjukkan Umno cuba menipu warga emas di negeri itu dengan membuat provokasi kepada mereka kononnya wang itu haram lalu di serahkan kepada Umno.

"Seperti yang diakui oleh Ketua Menteri, sehingga hari ini satu sen pun wang tersebut belum diserahkan oleh Umno kepada kerajaan negeri. Kalau wang itu haram, serahlah kepada kerajaan negeri," kata beliau dalam ceramahnya dekat Kuala Nerus malam semalam.

Salleh mendakwa, UMNO tidak sudah-sudah memainkan sentimen perkauman dan agama di Pulau Pinang agar orang Melayu bangkit menentang Kerajaan Pakatan Rakyat.

Padahal selama ini, apa yang dilakukan oleh Umno Pulau Pinang ketika bersama-sama Barisan Nasional yang dipimpin Gerakan memerintah negeri itu, soal Salleh.

"Adakah kerana menerima laba dan kemewahan mereka lupa nasib orang Melayu dan Islam, tapi bila Pakatan Rakyat memerintah mereka baru tersedar selama ini orang Melayu telah dipinggirkan," tanyanya.

Akhirnya, kata beliau, kerajaan Pakatan Rakyat dipersalahkan akibat kesilapan UMNO
selama ini.

Menurut Salleh yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, di bawah kepimpinan PR nasib orang Melayu mula terbela di negeri itu.

"Peruntukan sekolah agama rakyat telah disalurkan oleh kerajaan negeri, wang ehsan untuk wargamas diberikan, tabung khairat kematian dan pelbagai kemudahan lagi diberikan kerajaan Pakatan kepada rakyat," katanya.

Kejayaan Kerajaan PR ini sebenarnya melahirkan rasa cemburu dan khianat Umno, katanya.

"Mereka telah dan akan melakukan pelbagai helah dan kerja jahat untuk memburukan imej Ketua Menteri dan kerajaan PR," cerita Salleh dalam ceramahnya itu. - Harakahdaily

Bekas tentera dibayar RM100 sertai perhimpunan sokong Najib

Posted: 10 Oct 2010 06:47 PM PDT

KOTA BHARU, 11 Okt: Anggota-anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dikatakan diperalat bagi memberi gambaran kononnya mereka bersama kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ini dibuktikan apabila PBTM menganjurkan perhimpunan 15,000 bekas anggota tentera bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil petang semalam.

Perhimpunan itu difahamkan diadakan bertujuan menzahirkan penghargaan terhadap Najib yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun.

Seorang ahli PBTM yang enggan dikenali berkata, persatuan itu yang diterajui Datuk Mohamad Ghani cuba menzahirkan bekas tentera menikmati pelbagai kebajikan semasa Kementerian Pertahanan di bawah Najib.

"Saya juga menerima surat jemputan hadir pada perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

"Turut dijemput isteri setiap bekas tentera dan anak-anak yang berusia 21 tahun ke atas," katanya di sini kelmarin.

Akhbar melaporkan pelepasan rombongan seramai 1,500 anggota PBTM Cawangan Kelantan bagi menyertai perhimpunan bersama perdana menteri diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, kelmarin.

Difahamkan anggota tentera dan keluarga mereka menaiki 32 bas yang disediakan khas secara percuma.

Rombongan berkenaan dilaporkan diketuai Mejar (B) Mohd Ali Nawang.

Anggota persatuan terbabit mendakwa setiap peserta dan keluarga yang menyertai rombongan berkenaan diberi duit poket sebanyak RM100.

Sedangkan menurutnya, perhimpunan tersebut tidak lebih sebagai strategi politik pemimpin yang menerajui PBTM sekarang bagi mengekalkan kedudukan dan kepentingan mereka.

Malah katanya, ia juga kemungkinan besar ada kaitan menjelang kempen pilihan raya kecil Galas.

"Sedangkan hakikat sebenar sepanjang Najib menerajui Kementerian Pertahanan tidak banyak kemudahan yang dinikmati anggota tentera.

"Cuba bayangkan sekarang pencen bekas tentera berada di bawah garis kemiskinan. Bagi mereka pencen dengan pangkat di bawah sarjan hanya mendapat RM720 sebulan.

"Jumlah pencen sebanyak itu menyebabkan ramai bekas tentera berada di bawah garis kemiskinan tegar, sedangkan ketika berkhidmat tenaga mereka dikerah sebegitu rupa," ujarnya.

Seorang lagi bekas tentera tanpa berselindung mendakwa ramai bekas tentera tidak suka kepada Najib ketika menerajui Kementerian Pertahanan.

Menurutnya juga, anggota tentera banyak menikmati kebajikan ketika Tan Sri Tengku Ahmad Riathauddeen menjadi Menteri Pertahanan.

Katanya, ketika itu pasukan tentera lebih dihormati kerana tidak diperalatkan ketika kempen pilihan raya seperti berlaku sekarang.

"Ini dapat dibuktikan pada kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai tahun lepas pasukan tentera dikerah membina jambatan sementara di sebuah kampung di Dun berkenaan," katanya. - HarakahDaily
MS: Kerja-kerja yang biasa kita dengar kalau ada pemimpin umNO buat program. Mesti kena upah makcik pakcik dikampong-kampong untuk turut serta. Kali ini dipergunakan pula bekas tentera untuk kononnya menunjukkan sokongan pada Najib.
Aku suka pada kenyataan seorang bekas tentera yang mengatakan ramai anggota tentera tidak suka pada Najib ... hahahahaha

Pemilihan PKR : Khalid sah bertanding jawatan no 2 PKR

Posted: 10 Oct 2010 09:56 AM PDT

SHAH ALAM, 10 Okt — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini - pemimpin ketiga mengesahkan pendirian turun gelanggang kerusi nombor dua.

Dua yang lain telah pun mengesahkan keputusan bertanding ialah Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang masing-masing merupakan naib presiden PKR.

Turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk Zaid Ibrahim, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zaid yang disebut-sebut akan bertanding kerusi ini, minggu lalu menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Nurul Izzah jika bersedia bersaing jawatan timbalan presiden.

Kesemua mereka yang dicalonkan mempunyai masa sehingga 16 Oktober ini untuk mengesahkan penerimaan pencalonan.

"Saya, Abdul Khalid Ibrahim, hari ini dengan rasminnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung November ini," kata beliau pada sidang media di kediamannya hari ini.

Kata Khalid, ramai yang mungkin tertanya mengapa beliau mahu masuk bertanding dalam pemilihan yang telah banyak menerima persepsi negatif dalam laporan media dan dalam parti sendiri.

"Saya melihat apa yang berlaku menampakkan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini menambah, seperti yang beliau katakan minggu lalu, perkembangan ini tidak sihat untuk parti dan perlu diperbetulkan.

"Sebagai salah seorang pemimpin parti dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini.

"Dan, kerana inilah, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti.

Bagaimanapun, kata Khalid, beliau mahu memastikan keputusannya memberi kesan positif kepada parti.

"Untuk ini, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai kesan tawaran bertanding kepada pentadbiran dan perpaduan parti," kata beliau.

Bekas pengerusi PKR Selangor ini menambah, jawatankuasa itu terdiri daripada Syed Shahir Syed Mohamud, Irene Fernandez, Tian Chua dan Dr Muhamad Nur Manuty dan mereka ini bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

Tempat beliau sebagai pengerusi negeri telah digantikan dengan Azmin.

"Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini.

"Jika Jawatankuasa ini berpendapat tawaran saya baik untuk parti, saya telah pun menggariskan lima teras perjuangan bertemakan "Memperkasakan Reformasi"," katanya.

Khalid turut gelanggang pemilihan dengan lima teras iaitu setia kepada perjuangan, meneruskan agenda perubahan, merakyatkan ekonomi, menolak politik pecah perintah dan kesepaduan parti.

Syed Shahir yang juga ketua cabang Kelana Jaya berperanan sebagai pengurus operasi kempen Khalid.

"Saya percaya beliau boleh menolong kempen saya berjalan dengan sistematik, bersih, professional dan adil.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah hadir untuk memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk memastikan parti Keadilan terus berjuang di landasan yang betul," katanya lagi.

Kata Khalid, lima teras itu akan mencorakkan pentadbiran inklusif dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti.

"Ini adalah pemilihan terakhir sebelum pilihan raya umum, jadi kita perlu pilih pemimpin yang berkualiti dan memperkukuhkan kepimpinan parti.

"Hanya dengan ini laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya akan menjadi realiti. Jadi PKR perlu mencorakkan laluan ke sana," kata Khalid.

Khalid juga mencadangkan supaya 30 peratus pemimpin wanita dikemukakan untuk kepimpinan parti.

Tokoh korporat yang memulakan tugas dalam PKR sebagai bendahari agung itu juga kecewa dengan sikap sesetangah pemimpin yang sudah melupakan maksud sebenar reformasi dan dilihat mula menjatuhkan antara satu sama lain.

"Sudah ada pemimpin kita lupa akan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan reformasi.

"Saya dapati pemimpin mula menjatuhkan antara satu sama lain hanya kerana mahu memimpin. Mana perjuangan sebenar kita yang selama ini memperjuangkan reformasi?

"Kenapa sanggup membunuh antara satu sama lain? Bukankah kita ini keluarga?" katanya.

Khalid berkata, perjuangan PKR bukan untuk satu tempoh yang singkat tetapi untuk jangka masa yang panjang.

"Kita bukan mahu berpolitik untuk satu hari, bukan untuk satu tahun tetapi kita mahu mengubah politik Malaysia yang sudah berusia 50 tahun.

"PKR adalah parti reformasi yang tidak takut dan berani untuk menghadapi apa jua keadaan.

"Jadi saya sahut cabaran harapan reformasi, saya mesti menentukan kejayaan parti, parti ini mesti berjaya. Parti ini mempunyai harapan dan mula disanjung rakyat, jadi kita perlu teruskan reformasi ini," katanya. - TMI

Tiada ulasan: