Kelab Greenboc |
- Syarikat Anpalagan Bertukar Tangan, Jayanthi Diminta Buat Laporan Polis Berasingan
- Tuanguru Nik Aziz Ke Singapura Ziarah Keluarga Lee Kuan Yew
- Kesilapan Soalan Bahasa Melayu, PMR
- 4 Nov 2010 - Hari Mengundi Galas, 26 Okt - Penamaan Calon
- Suspek Buat Laporan Polis Dakwa Dihalang Dapatkan Representasi
- Zaid Mendahului Dalam Undian Di Blog Penyokong Azmin
- "Saya Hanya Ikut Arahan Pihak Atasan", Itu Saja Yang Dia Tahu Dalam Perbicaraan Mohd Sabu
- Kisah Benar: PKR Jangan Mudah Menempelak Media Alternatif...
- UMNO Kebas Pungutan Wang Ihsan Di Pulau Pinang?
- Si Sepet Dan Si Buta: Wartawan TMI Yang Kena Siasat
- Perlu Jadi Lembu 2 Tahun Sebelum Bertanding?
- Nyatakan Kebenaran Walaupun Pahit
| Syarikat Anpalagan Bertukar Tangan, Jayanthi Diminta Buat Laporan Polis Berasingan Posted: 06 Oct 2010 12:44 AM PDT Jayanthy Diminta Buat Laporan Polis Berhubung Penyelewengan Syarikat SuaminyaSHAH ALAM: Isteri kepada ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak Ogos tahun lepas, S.Anpalagan, Rabu hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor bagi mendapatkan pandangan berhubung kes penyelewengan dalam syarikat milik suaminya itu. S.Jayanthy, 34, yang memakai baju berwarna merah jambu dan seluar hitam ditemani Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam tiba di pejabat itu kira-kira pukul 11.55 pagi dan keluar semula sejam kemudian. Manikavasagam berkata Jayanthy hadir atas arahan polis Bukit Aman berhubung dakwaan berlakunya penipuan dalam syarikat milik Anpalagan termasuk jawatan pengarah syarikat yang bertukar tangan tanpa sebarang makluman pada Disember tahun lepas, kira-kira empat bulan selepas kehilangan mangsa. "Hasil pertemuan dengan seorang pegawai (polis) tadi, Jayanthy diminta untuk mendapatkan lebih banyak maklumat termasuk dokumen-dokumen penting serta membuat satu laporan polis berasingan mengenai penyelewengan dan penipuan syarikat milik suaminya," katanya kepada pemberita di sini. Sehubungan itu, Manikavasagam berkata pihaknya akan membantu Jayanthy mengumpul semua dokumen yang diperlukan dalam masa seminggu sebelum satu laporan polis dibuat. Beliau berkata Jayanthy telah melantik seorang pembantu khas bagi semua urusan termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen syarikat milik suaminya itu. Sementara itu, Jayanthy yang ditemui berkata dia akan berusaha mendapatkan segala dokumen yang diperlukan dalam kadar segera. Sabtu lepas, Jayanty melahirkan rasa bimbang apabila masih tidak mengetahui nasib suaminya, Anpalagan, 43, yang tidak pulang ke rumah setelah menemui seorang rakannya di Bukit Sentosa, Rawang. Jayanthy yang membuat laporan polis di Balai Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Ogos 2009 berkata rakan Anpalagan ada memberitahu bahawa suaminya memaklumkan dia hendak ke Banting. Bagaimanapun, kereta Mercedez Benz bernombor AGJ 32 milik suaminya dikesan berada di Nur Lembah Pangson Eko Resort, Hulu Langat menerusi sistem kedudukan global (GPS) tetapi resort berkenaan memaklumkan suaminya tidak mendaftar masuk. Isnin lepas, Jayanthy menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi meminta polis menyegerakan siasatan kes kehilangan suaminya itu. - BERNAMA |
| Tuanguru Nik Aziz Ke Singapura Ziarah Keluarga Lee Kuan Yew Posted: 05 Oct 2010 11:45 PM PDT Nik Aziz ziarah keluarga Lee Kuan YewSINGAPURA, 6 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam diterima sebagai tetamu kehormat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Beliau ke negara republik itu bagi memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Kuan Yew berikutan kematian isterinya, mendiang Kwa Geok Choo. Deligasi Tuan Guru Nik Aziz yang juga Musryidul Am PAS tersebut turut disertai Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan dua setiausahanya yang lain. Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 10.20 pagi semalam, disambut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Ahmad Faisal Muhamad. Mereka kemudianya ditempatkan sementara di bilik rehat di VIP Complex sebelum dibawa menziarah mendiang Kwa di Sri Temasek, kediaman rasmi Lee di Istana di sini. Gambar kanan: Tuan Guru bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.)Kunjungan ke Istana kemudiannya disambut anak kepada mendiang Kwa, Lee Hsien Loong yang juga Perdana Menteri republik ini sekarang. Nik Aziz dibawa menziarah mendiang Kwa sebelum diberi peluang bertemu dan berbual-bual dengan Hsien Loong yang sentiasa berada di sisi mendiang ibunya sejak lawatan dibuka kepada umum semalam. Semalam juga adalah hari terakhir untuk rakyat negara itu memberi penghormatan sebelum jenazah mendiang dibawa ke Mandai Crematorium hari ini untuk upacara terakhir. Kwa, 89, meninggal dunia di rumahnya pada petang Sabtu lalu. Ketika ditemui selepas lawatan itu, Nik Aziz berkata beliau mengharapkan ahli keluarga sabar menerima ketentuan tersebut. "Saya hadir untuk ucap takziah kepada keluarga Kuan Yew. Jangan bersedih sangat dan saya yakin mereka sabar terima ketentuan ini," katanya ketika ditanya beberapa wartawan tempatan dan antarabangsa. Menurutnya lagi, penganut Islam mempercayai bahawa hidup dan mati adalah kepunyaan Allah, dan dia berkuasa ke atas hamba-Nya. "Semasa kita hidup ini kita kena isi betul-betul untuk keredhaan Allah sebab kita mati akan jumpa Dia (Allah). Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lawatan tersebut juga adalah sebagai kunjungan balas terhadap lawatan Kuan Yew ke Kota Bharu awal tahun ini. Nik Aziz bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan Lee Kuan Yew sendiri semalam ekoran masalah kesihatan bekas perdana menteri Singapura itu dengan ditambah pula dengan suasana kematian isterinya. Kuan Yew kini sedang mendapat rawatan ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah, baru-baru ini. Difahamkan, pihak hospital juga tidak membenarkan Kuan Yew menerima kunjungan tetamu buat sementara waktu. "Lee Kuan Yew datang melawat Kelantan awal tahun ini, dan ini adalah kunjungan balas saya. "Walaupun tidak dapat bertemu, saya harap beliau berada dalam keadaan sihat," katanya. -harakahdaily |
| Kesilapan Soalan Bahasa Melayu, PMR Posted: 05 Oct 2010 10:30 PM PDT Saya ingin membuat pemakluman dan komen bahawa terdapat kepincangan dalam Kertas 1 ,Bahasa Melayu dalam Ujian Penilaian Menengah Rendah hari ini ( 5 Okt 2010).1) Pertama, soalan nombor 20 yang berikut: Sungguh amat terindah pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. (TIADA JAWAPAN yang tepat). Sepatutnya ada jawapan "Indah sungguh atau Sungguh indah". A. Amat terindah B. Sungguh amat indah C. Amat sungguh terindah D. Sungguh amat terindah Jawapan A salah kerana imbuhan 'ter' adalah bersalahan. Jawapan B, C dan D itu tidak boleh diterima kerana 'kata sifat super' berulang-ulang. Perkataan 'amat' menunjukkan 'sifat bersangatan' (superlative) dan perkataan 'amat' juga menunjukkan 'sifat bersangatan' yang sama. (Namun , kalau ingin diterima ; boleh dirujuk jawapan "B"). 2) Kedua, soalan nombor 23: Semua jawapan adalah bersalahan dari segi etika penggunaan tata bahasa, khasnya dalam peperiksaan penting ini. Perkataan 'banyak orang' yang digunakan dalam semua jawapan adalah salah, yang mana sepatutnya di ganti dengan 'ramai orang'. ( Namun dari segi maksud ; sememangnya jawapan "'A"' paling hampir untuk memenuhi kehendak soalan). 3) Ketiga, soalan nombor 27: Tidak ada jawapan. i-Yang berkaca mata itu bijak berpantun dan bersyair (ayat ini salah kerana penggunaan perkataan 'yang' di awal ayat). ii-Buku-buku teks yang dibawanya itu penuh hingga satu beg. (ayat ini membawa maksud buku teks itu yang penuh, bukan beg itu yang penuh). iii- Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan adik tengah hari tadi. (ayat ini sepatutnya: Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan oleh adik tengah hari tadi). iv-Penggunaan pengangkutan awam ke tempat kerja mampu mnengelakkan kesesakan lalu lintas. (ayat ini betul ). Jawapan yang disediakan kepada calon peperiksaan : A. I dan IV B. II dan III C. I, III dan IV sahaja D. II, III dan IV sahaja. Komen: Kalau pun ada jawapan, sepatutnya disediakan jawapan - iii dan iv , ( seandainya jawapam {iii} ini ingin diterima oleh panel pemeriksa) - iv sahaja , sedangkan pilihan jawapan ini tidak diberikan/disediakan. Sekian, ini komen saya demi kebaikan semua. Secara peribadi saya amat menghargai jika pihak kementerian sudi menilai semula soalan-soalan tersebut demi keadilan kepada semua pelajar PMR yang mana mencengkam emosi mereka serta berlaku pembaziran masa ketika menjawabnya. Sekian, terima kasih. -Ibni Khalid Jurait |
| 4 Nov 2010 - Hari Mengundi Galas, 26 Okt - Penamaan Calon Posted: 05 Oct 2010 09:01 PM PDT DUN Galas: 26 Oktober penamaan calon, 4 November mengundiKUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, manakala 4 November sebagai hari mengundi. Pengumuman tarikh pilihan raya kecil itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Galas, di sini, pagi ini. Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus, 27 September lalu. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi. Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh. -BH |
| Suspek Buat Laporan Polis Dakwa Dihalang Dapatkan Representasi Posted: 05 Oct 2010 08:30 PM PDT Suspek utama dalam kes Sosilawati buat laporan polisKUALA LUMPUR, 5 Okt – Suspek utama dan adik lelakinya yang ditahan polis sejak 11 Sept berhubung dakwaan kaitan mereka dengan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, membuat laporan polis di balai polis Teluk Panglima Garang semalam. "Datuk" berusia 41 tahun itu dan adiknya berusia 38 tahun membuat laporan pada kira-kira 5 petang berhubung dakwaan mereka dinafikan hak representasi yang sah dan lawatan oleh anggota keluarga. Adik beradik itu yang juga peguam kini ditahan polis Selangor sejak Sabtu lepas, mendakwa bahawa rayuan awal mereka untuk mendapatkan representasi sah dinafikan ketika dalam tahanan polis Kuala Lumpur. Dalam laporan itu, mereka juga mendakwa ketika dalam tahunan polis di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur selama hampir tiga minggu, mereka dipaksa menandatangani satu dokumen. Mereka juga mendakwa mereka disoalsiasat berterusan oleh pegawai polis menyebabkan mereka rasa "teruk tertekan dan diseksa". Mereka menyatakan bahawa mereka ingin menemui peguam sebelum tarikh tamat perintah reman mereka pada Khamis (7 Okt). Dalam pada itu, peguam Ravi Neeko menggesa polis mendakwa suspek termasuk anak guamnya jika mereka mempunyai "banyak" bukti sebagaimana mereka dakwa. Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dilaporkan hilang sejak 30 Ogos selepas mereka dikatakan ke Banting atas urusan jual beli tanah. Pada 13 Sept, pengarah CID Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan bahawa keempat-empat mangsa itu telah dipukul hingga mati dan mayat mereka dibakar dan abunya ditabur ke sebatang sungai dekat Ladang Gadong, Banting, Selangor. Beliau juga mengesahkan polis menangkap enam yang lain dipercayai pekerja bagi peguam itu berhubung pembunuhan tersebut. – Bernama Ulasan GB Sekalipun mereka suspek pembunuh itu, sesiapa pun dengan apa kesalahan pun wajar tidak dinafikan representasi. Tindakan polis menghalang representasi, pemaksaan menandatangani apa-apa dokumen dan interrogasi melampau akan hanya mengundang masalah dan melambatkan lagi kes ini untuk diselesaikan. |
| Zaid Mendahului Dalam Undian Di Blog Penyokong Azmin Posted: 05 Oct 2010 07:15 PM PDT Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR semakin hangat. Setakat ini calon yang memperolehi pencalonan terbanyak, Azmin Ali dilihat semakin menggila dan agresif untuk mendapatkan jawatan berkenaan, manakala Zaid Ibrahim dan lain-lain calon kelihat tenang dan bersahaja. Keududukan setakat ini ialah: Azmin Ali 102, Zaid Ibrahim 38, Mustafa kamil Ayub 17, Tian Chua 5, Khalid Ibrahim 4.Apa yang menarik perhatian saya ialah bancian di sebuah blog penyokong kuat Azmin, iatu wfauzdin.blogspot di mana daripada jumlah 2243 orang yang menyertai undian itu, 39% memilih Zaid Ibrahim meninggalkan Azmin yang memperolehi 33%, Khalid Ibrahim 12%, Mustafa 8%. Soalan bertanya "Dikatakan Tokoh Ini Adalah Calon Jawatan Timbalan Presiden PKR. Siapakah Pilihan Anda?" Azmin semenjak sebelum pencalonan lagi telah mula menggerakkan kempennya dengan wayang beberapa orang ADUN dan MP membuat kenyataan memberi sokongan kepada pencalonannya. Malah ada YB-YB yang menampakkan kesengetan yang teramat sangat apabila menyerang pula batang tubuh bakal calon lawan dengan mempertikaikan kesetiaannya dan menuduhnya sebagai musuh dalam selimut (trojan horse). Tetap sandiwara tersebut tercalar apabila beberapa orang YB pula bangun menafikan keterlibatan mereka di dalam agenda sokongan pencalonan Azmin itu. Azmin pula dilihat menerima sokongan kuat dari Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Dr. Syed Husin Ali apabila kedua-dua pimpinan itu menampakkan "ketidak-neutral"an mereka berdua apabila melakukan serangan terbuka terhadap Zaid Ibrahim. Sementara itu, media PKR seperti Suara-Keadilan dan TVSelangor juga menampakkan kecenderungan yang amat sangat menyokong Azmin dan menekan Zaid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden. Sesuatu yang begitu janggal apabila media-media parti tidak dapat berkecuali di dalam saingan merebut jawatan di dalam PKR. Penyokong Azmin juga telah menyerang portal media alternatif Free Malaysia Today yang disifatkan oleh mereka menyamai Utusan Malaysia. GB telah mengulas di Kisah Benar: PKR Jangan Mudah Menempelak Media Alternatif.. Di blog wfauzdin itu juga terdapat bancian terhadap pemilihan Ketua AMK dimana Badrul Hisyam (Ce'gu Bard) mendahulu pesaing-pesaingnya dengan 79% daripada 1626 yang menyertai undian berkenaan. |
| "Saya Hanya Ikut Arahan Pihak Atasan", Itu Saja Yang Dia Tahu Dalam Perbicaraan Mohd Sabu Posted: 05 Oct 2010 05:30 PM PDT Perbicaraan Mohamad Sabu ditangguh 29, 30 NovSEBERANG PRAI, 5 Okt: Perbicaraan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan sembilan yang lain setelah ditangguhkan untuk beberapa kali sebelum ini sekali lagi telah ditangguhkan selepas perbicaraan yang berjalan bermula pada jam 10.00 pagi tadi di Mahkamah Majistret Jawi, Seberang Perai Selatan. Majistret Mohd Izham Ali yang mendengar kes perbicaraan tersebut telah menangguhkan kes tersebut pada 29 dan 30 November yang akan datang. Perbicaraan yang melibatkan ramai dari pendokong PAS itu telah tiba sejak awal pagi bersama-sama dengan Mohamad Sabu. Namun begitu selepas perbicaraan berjalan selama hampir dua jam, ia telah ditangguhkan kepada tarikh tersebut. Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap Mohamad Sabu. Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007. Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan. Dalam perbicaraan yang diadakan tadi, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir. Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh. Apa yang menariknya semasa sesi perbicaraan tersebut, apabila Hanipa menyoal balas saksi pendakwa dalam perbicaraan tadi telah beberapa kali memohon kepastian sama ada ada atau tidak waran tangkap diterima secara bertulis dan diserahkan kepada Mohamad Sabu semasa tangkapan hendak dilakukan. Saksi pendakwa yang berpangkat ASP itu beberapa kali menyatakan bahawa beliau hanya menurut arahan pihak atasan secara lisan dan tidak ada waran tangkap secara bertulis yang diserahkan kepada tertuduh. Hanipa untuk beberapa kali mengulangi soalan yang sama kepada saksi pendakwa apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana kuasa sekalipun sedangkan tertuduh tidak dibekalkan secara hitam putih waran tangkap untuk diserahkan kepadanya. Namun begitu saksi pendakwa tetap menyatakan beliau hanya menurut arahan pihak atasan walaupun bertindak tanpa waran tangkap yang perlu diserahkan kepada tertuduh. Antara beberapa soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa. Hanipa: Tertuduh (Mohamad Sabu) tidak ditunjukkan surat waran tangkap, apakah beliau boleh ditangkap begitu sahaja. Saksi pendakwa: Saya hanya mengikut arahan pihak atasan. Hanipa: Apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana pihak sekalipun. Saksi pendakwa: Saya hanya menerima arahan. Hanipa: Jika terima arahan apakah tangkapan ini tidak bercanggah dengan undang-undang. Kenapa tidak minta waran tangkap. Saksi pendakwa: Saya terima arahan ketua sahaja. Hanipa: Antara arahan ketua dan undang-undang mana yang perlu dipatuhi? Saksi pendakwa: Undang-undang. -harakahdaily |
| Kisah Benar: PKR Jangan Mudah Menempelak Media Alternatif... Posted: 05 Oct 2010 03:20 PM PDT FMT Dianggap Bersuara Seperti Utusan MalaysiaSHAH ALAM 5 Okt - Tindakan portal berita FreeMalaysiaToday (FMT) yang dilihat cuba melaga-laga serta memburuk-burukkan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diibaratkan sebagai 'gunting dalam lipatan' dan 'api dalam sekam'. Peribahasa ini dikaitkan dengan FMT apabila portal berita itu menyerang pimpinan utama KEADILAN iaitu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa bulan lalu. Ini terbukti dengan paparan artikel, berita dan ulasan yang menghentam kepimpinan Anwar serta pimpinan kanan parti antaranya berhubung isu KEADILAN Sabah dan lebih nyata lagi ketika kempen Pemilihan 2010 yang berlangsung sekarang. Antara tajuk artikel yang dimuatkan di dalam portal tersebut yang dianggap anti-Anwar dan KEADILAN adalah seperti 'Mahathir kicked Anwar out of UMNO, yes, but who will now kick UMNO out of Anwar?', 'Why Anwar will not enter the fray in PKR polls', 'PKR election mess fault of Anwar-Azmin', 'Anwar is a liar, says Muhyiddin' serta 'PKR to kick our Zaid?' Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa menyifatkan sikap FMT itu menunjukkan ia seolah-olah berniat memporak-perandakan KEADILAN dengan serangan terhadap parti serta barisan kepimpinannya. "Kita sebagai anggota parti berasa kesal dan kurang senang dengan agenda mereka ini. Mereka nampaknya amat senang mengkritik segala isu dalaman parti khususnya terhadap Anwar sebagai Ketua Umum. "Kalau kita tengok fokus FMT adalah menyerang Anwar bertubi-tubi dan tidak ubah seperti 'gunting dalam lipatan' atau dalam peribahasa lain, 'api dalam sekam'," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan. Menurutnya lagi, perkara sebegini seharusnya tidak berlaku dan wajar dihentikan jika benar-benar portal itu bebas seperti mana slogannya 'free and independent' atau bebas dan berkecuali. FMT katanya lagi, harus menghentikan tindakan mereka yang dianggap seperti ingin mewujudkan polemik dan ketidakstabilan dalam KEADILAN. Sebelum itu, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali turut menyelar FMT yang disifatkan berlagak seperti lidah fitnah Umno, Utusan Malaysia walaupun ia dilihat sebagai pro-Pakatan Rakyat. Dr Syed Husin di dalam twitternya berkata FMT 'sama naik dengan Utusan burukkan KEADILAN. Mereka percaya dengan apa yang mereka goreng tetapi yang masak lain.' Fariz turut bersetuju dengan pandangan Dr Syed Husin sambil berkata FMT bertindak bukan sahaja seperti Utusan malah mirip sikap pemimpin Umno yang menyerang KEADILAN tanpa asas, fakta dan secara tidak bertanggungjawab. -pkr2010 Ulasan GB Itulah perangai kita. Bila orang tegur dan kritik kita, terus diutusanmelayukan. Sedangkan selama ini FMT salah satu media yang diburu dan dikerumuni oleh warga siber untuk mendapatkan maklumat terkini seperti Harakahdaily, Malaysiakini, The Malaysian Insider, Merdeka Review, Suara-Keadilan dan TV-Selangor. Ada yang begitu fobia bila pimpinan dan parti dikritik. Kalau boleh mereka mahu semua media mesti mengampu, mesti hanya beri yang wangi-wangi di dalam beritanya terhadap PKR dan pimpinan. Kita perlu rasional, kita perlu berfikiran terbuka, kita perlu berlapang dada dengan kritikan. Tempoh untuk kita bersenang-lenang dengan laporan-laporan manis dan enak dari alam siber sudah masuk ke fasa peningkatannya dimana kini media siber akan menguji, sudah setakat manakah kemapanan dan keutuhan kita yang bernama Pakatan Rakyat ini untuk menggantikan Barisan Nasional di Putrajaya. Jangan sentiasa mengharapkan yang muluk-muluk saja dari media alternatif tapi mengabaikan kritikan. Jika demikian kita adalah "si manja" yang bacul dan pondan. Sekarang ini seperti GB katakan tadi, fasa untuk kita berharapkan berita-berita indah dari media alternati sudah masuk ke fasa kedua. Iaitu media alternatif juga akan menjadi bahan penguji kekuatan kita. Anwar diserang, PKR dibelasah, pimpinan dipersoalkan. GB katakan memang sewajar begitu. Itu hukum kebenaran dan hukum alam. Tanah tidak sentiasa gembur untuk tanaman, ada masa ia keras berdentum tanpa siraman air dan baja. Langit pula tak sentiasa cerah, isteri sendiri pun tak boleh sentiasa ditiduri setiap malam! Ada masa lampu merah. Kena terima kebenaran itu. Lucah? Tak apa, biar GB kisahkan supaya bebal bertongkol di atas kepala itu dapat dimusnahkan. Bukan sahaja FMT, lihat sahaja Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin. Apa katanya? Mengapa kini beliau seperti meletakkan kata dua untuk PKR? Malah Top 5 Blogs Penyokong Pakatan Rakyat, sekurang-kurangnya 3 daripadanya tidak berpihak kepada Azmin, yang dikatakan calon favorite Timbalan Presiden. Apakah blog RPK dan Top 5 Blog PR ini juga akan disamakan dengan Utusan hanya semata-mata tidak menyajikan berita muluk-muluk lagi untuk pimpinan PKR? Anwar dikritik kerana Anwar dilihat sudah berpihak. Petikan daripada kenyataan media Anwar: "Perjalanan proses pemilihan telah memperlihatkan beberapa kenyataan yang amat pedas dan kasar diluahkan oleh sesetengah pemimpin yang dilihat tidak secucuk dengan kedudukan dalam parti yang mereka kejar." Ia jelas ditujukan kepada Zaid, kerana Zaid telah mengkritik pedas Presiden PKR. GB juga tidak suka perkataan itu lahir dari kenyataan media Penasihat PKR. Kritikan betapa pedas sekalipun tidak sehebat kritikan seorang sahabat yang menghunus pedang di leher Umar Al-Khattab yang berkata, "jika Umar silap aku akan betulkan Umar dengan pedang ini." Umar tidak mebantah sebaliknya Umar berkata, "Bersyukurlah Umar kerana ada umat Mohd yang akan membetulkan dirinya dengan mata pedang!" Anwar perlu muhasabah. Sebagai pemimpin tertinggi, bukan sahaja PKR, tetapi Pakatan Rakyat sepatutnya menampakkan ciri-ciri keunggulan kepimpinan. Masa untuk pujian-pujian dengan ucapan retorik sudah belalu. Ini zaman digital, ini era global, ini masa rakyat menilai "mutu" kepimpinan, zaman "walk the talk" bukan "talk the talk" lagi. Kalau dulu orang boleh dipegunkan dengan ucapan memukau dan aura hebat seorang orator, kini tidak lagi. Zaman ceramah-ceramah sudah berlalu. Kalau adapun, kemenangan dalam pilihanraya tak lagi didasarkan kepada bilangan yang ramai di dalam ceramah, tetapi berdasarkan kepada apa yang kita lakukan secara konkrit untuk rakyat. Pemenuhan janji kepada rakyat - seperti yang diutarakan oleh Raja Petra. Bukan sahaja FMT, Raja Petra dan blogger-blogger yang berkecil hati dengan Anwar, malah beberapa pimpinan PR juga merasakan demikian. Anwar dilihat telah mengenepikan peranan orang yang banyak membantunya. Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang, semasa perasmian Ijtima Tarbawi baru-baru ini melahirkan isi hatinya secara ikhlas yang beliau dan PAS dipinggirkan di dalam Pakatan Rakyat. Walhal PAS dengan petugasnya paling banyak membantu kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat, tak kira apa parti dan bangsa sekalipun. "Presiden PAS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan. Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan. Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan. "Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang," tegasnya." - laporan harakahdaily. Begitu rajuknya Ustaz Abd Hadi. Bagi yang membaca dengan matahati jelas ia satu penempelakan terhadap Anwar yang menjadi pemimpin tertinggi PR. Maka dengan sebab itu, agak GB, kerana merasa terpinggirlah, timbul gagasan bukan-bukan seperti UG dan sebagainya dari Presiden PAS itu yang kemudian menjadi tugas GB dan sekalian blogger PAS pula untuk mempertahankan PR sepertimana kewujudannya pada awal pembentukan. Tetapi kritikan Presiden PAS itu, bagi GB ada kewajarannya dan Anwar perlu sedar diri. Dan mesej yang dibawakan oleh Zaid hampir menyerupai kritikan-kritikan tadi. Kalau terus nak pinggirkan sesiapa pun kerana PKR rasa dah cukup kuat, teruskanlah. Kalau PKR nak boikot media alternatif termasuk blog GB ni sekali silakan. Blogger akan juga meneruskan kerja mereka seperti biasa. Tiada siapa juga boleh tentukan halatuju dan corak pemberitaan FMT itu. Maaysiakini dan Malaysian Insider pun satu hari akan mengikuti jejaklangkah FMT itu. Dah sememang begitu keadaan Hukum Kebenaran. Malah Utusan pun, yang bersalah bukan wartawannya tetapi adalah sang editornya. Mari kita baca luahan ini: "Hata Wahari seterusnya mendedahkan bagaimana editor yang menentukan berita muka depan, menonjolkan (highlight) fakta-fakta yang terpilih, dan apa yang ditonjolkan itu bukan ditentukan oleh wartawan. Beliau memberi contoh, "Misalnya dalam kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim, ada fakta tentang apa yang dikatakan oleh Saiful, bukan wartawan yang tulis (maksud: bukan ditentukan wartawan). Itu semua fakta-fakta yang di-highlight (ditonjolkan) oleh editor. Editor yang berkuasa membuat penetapan bagi tajuk di muka depan."- MR Sewaktu zaman reformasi meletus pada 1998 dahulu yang banyak membantu GB mendapatkan berita-berita terkini adalah wartawan-wartawan akhbar pencacai inilah. Masa itu tiada harakahdaily, tiada malaysiakini, malaysian insider, FMT malah blog pun tiada. GB masih ingat seorang wartawan Utusan menghubungi GB, "ni berita baru, siarkan dalam Laman Reformasi, kami tak boleh siarkan di Utusan". Dan Laman Reformasi menjadi media paling top masa itu di alam siber ini, dengan catatan sejuta pembaca setiap malam. Untuk membantu Anwar. Untuk menggerakkan massa. Untuk reformasi. Untuk kebenaran dan keadilan (slogan yang GB pinjam daripada motto ABIM dijadikan motto Laman reformasi ketika itu). Setelah berbulan2 menyendiri mengendalikan LR, GB jatuh sakit akhirnya, dan tiada seorang pun datang menziarahi GB kecuali ibu yang sudah amat tua menjadi peneman waktu itu. Ini bukan hal mengungkit tetapi kisah sebenar untuk batang tubuh orang-orang yang sekarang ini ada yang dah mendakwa hanya dirinya reformis sebenar dengan menafikan peranan orang lain. Bahawa Allah tidak pernah tidur. Dan GB bersyukur kerana sentiasa berada dibawah lindunganNya selama ini walaupun tiada seorang di atas dunia ini memperdulikan GB. Dan GB akan tetap teruskan perjuangan suci menegakkan kebenaran dan keadilan ini sekalipun terpaksa menegur malah "memancung" para penghalangnya. |
| UMNO Kebas Pungutan Wang Ihsan Di Pulau Pinang? Posted: 05 Oct 2010 06:16 AM PDT Mengikut laporan berita online Malaysiainsider hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengumumkan pada sidang media, Umno setakat ini belum lagi memulangkan satu sen pun dari duit ehsan yang dikutipnya dari warga tua.Pemimpin Umno, Reezal Merican telah mendakwa duit ehsan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga tua Pulau Pinang adalah haram kerana duit itu adalah dari sumbangan dari kelab lumba kuda di Pulau Pinang. Namun, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa duit yang diberikan kepada warga tua adalah dari duit sumbangan judi tetapi dari duit kerajaan yang berjaya dijimatkannya. Umno mula menganjurkan 'program mengembalikan duit haram' dari penerima-penerima wang ehsan tersebut. Dalam setiap program yang yang dianjurkan Umno, kelihatan warga tua sedang mengembalikan duit yang dikatakan haram itu. Menurut TV3/4, Umno akan mengembalikan semua wang yang dikutip oleh mereka kepada kerajaan negeri. Tetapi, KM, Lim Guan Eng menafikan setakat ini ada menerima apa-apa wang dari Umno Pulau Pinang. "Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak munasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas," kata Lim. – harakahdaily Setakat ini dikatakan lebih dari 100 orang telah mengembalikan duit ehsan itu. Ini bermakna kutipan mereka sudah mencecah lebih dari RM 10,000. Siapakah yang sedang memegang duit ini? Reezal Merican Naina Merican? Apakah duit ini akhirnya akan dikembalikan ke khazanah kerajaan negeri? Kita tidak tahu sebenarnya berapa ramaikah warga tua yang sudah mengembalikan duit mereka. Akaun berkaitan wang yang dikembalikan oleh warga tua yang disimpan oleh Umno tidak boleh dipercayai kerana Umno kita percaya tidak beramanah. Siapakah akhirnya yang akan menikmati semua kutipan dari warga tua ini? Wang yang dikutip dari sumbangan orang ramai kepada tabung Tsunami suatu masa dulu, juga dikatakan tidak diagihkan dengan betul kepada mangsa bencana alam tersebut oleh Umno/BN. Ada mangsa yang mendakwa mereka tidak menerima apa-apa bantuan dari tabung Tsunami! Wang untuk mangsa bencana alam pun mereka 'gasak'. Jadi, apakah duit ehsan yang dikembalikan oleh warga tua akan selamat kembali kepangkuan khazanah negeri Pulau Pinang? Lebih dari 100,000 warga tua telah menerima duit ehsan dari kerajaan negeri, namun 100 orang lebih sahaja yang telah mengembalikan duit tersebut. oleh decapucino Ulasan GB Dalam hal ini GB kata LIm Guan Eng bersalah. Sebabnya tiada laporan polis dibuat. Dari awal lagi GB sudah berpesan di SINI. Petikan: Pertama, laporan polis perlu dibuat supaya wang-wang yang dipulangkan itu benar-benar dikembalikan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM4,000. Dan di SINI. Petikan: Kerajaan negeri berhak untuk tuntut RM4 ribu yang kononnya dikatakan dipungut semula dari warga emas tersebut. Kalau pun betul wang itu pungutan dari warga emas, memang wajar YB Penaga itu perlu menyerahkan semula kepada Kerajaan Negeri. Jika tidak YB Penaga itu boleh ditahan dan ditangkap kerana menipu warga emas berkenaan dengan melarikan wang ihsan itu. Kalau wang itu bukan wang ihsan tetapi milik YB Penaga sendiri tetapi cuma dilakonkan saja, dia sepatutnya ditahan juga kerana menipu. Degil! |
| Si Sepet Dan Si Buta: Wartawan TMI Yang Kena Siasat Posted: 05 Oct 2010 05:00 AM PDT Polis siasat laporan Timbalan Pengarah BTN Wilayah PersekutuanKUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat laporan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin berhubung dakwaan laman portal berita 'Malaysian Insider' yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini. Hamim, membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Sentul jam 12.30 tengah hari, semalam, tetapi beliau enggan mengulas kandungan laporannya. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan akan memanggil saksi lain jika ada, secepat mungkin. "Kita juga akan menyiasat jika ada akta lain yang boleh disabitkan seperti Akta Hasutan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini. Minggu lalu, Pergerakan Puteri UMNO juga telah membuat laporan polis berhubung perkara yang sama di IPD Sentul. Bagaimanapun, beliau berkata tindakan akan dibuat setelah siasatan dan laporan penuh disiapkan. Sebelum ini, laman portal berita itu melaporkan bahawa pegawai kanan BTN itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada sesi tertutup dengan Pergerakan Puteri UMNO pada 27 September lalu. Berikutan laporan itu, Kabinet telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil. - BERNAMA Ulasan GB Dah betul GB cakap semalam. Bahawa Hamim Hussin yang keluarkan kenyataan si sepet dan di botol akan terlepas, yang kena ialah wartawan Malaysian Insider. Semalam GB ulas di sini. Petikan: Tindakan melengah-lengahkan hukuman keatas Hamim Husin oleh Ketua Setiausaha Negara berhubung isu kenyataan 'rasisnya' rupa-rupanya ada rahsia yang disembunyikan. Rahsianya ialah supaya Hamim membuat laporan polis untuk menafikan kenyataan itu pernah dibuatnya. Dan kemudian yang akan disoalsiasat dan ditahan ialah wartawan The Malaysia Insider. Hamim akan terlepas! Begitu rupanya cara bagaimana kerajaan UMNO BN membela penjawat awamnya yang rasis. Mampukah sandiwara "Si Sepet Dan Si Botol" menggugat kedudukan sandiwara "Pulangkan", "I'da World" & "Pulangkan II"? Sama-sam kita nantikan. |
| Perlu Jadi Lembu 2 Tahun Sebelum Bertanding? Posted: 05 Oct 2010 03:30 AM PDT Ramai menolak saranan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mencadangkan kepada parti supaya mengadakan sistem iaitu mengutamakan kesetiaan sebelum boleh bertanding.Katanya, dua tahun pertama setelah menyertai PKR adalah untuk melihat dan menguji kesetiaan. "Selepas dua tahun barulah mereka bertanding jawatan parti, mungkin cara ini lebih baik kepada parti," katanya ketika ditemui selepas berucap merasmikan mesyuarat PKR cabang Gombak semalam yang dihadiri kira-kira 100 orang. Seorang pengunjung blog GB menghubungi GB menyatakan bahawa adalah tidak wajar untuk Azmin melakukan demikian kerana setiap orang berhak, sebagai ahli berdaftar, untuk menyertai pertandingan mana-mana jawatan hatta Presiden sekalipun. Ada juga seorang pengunjung blog GB menamakan dirinya "mz" meminta GB mengulas mengenai "Trojan Horse" di dalam PKR. Meraikan demokrasi dalam parti politik bermaksud bahawa semua orang boleh menawarkan diri untuk merebut apa-apa jawatan dalam parti. Sama ada mereka akan mendapat pencalonan dan sokongan itu soal lain. Yang penting, demokrasi membenarkan pertandingan, malah menggalakkannya. Apakah seseorang itu perlu dilembukan selama dua tahun sebelum dibenarkan bertanding di dalam PKR? GB memikirkan hal yang demikian kerana belum pernah berlaku dan tidak sepatutnya ada had atau tempoh keahlian di dalam mana-mana pertubuhan politik atau bukan politik untuk melayakkan seseorang ahli bertanding mana-mana jawatan di dalam parti. Persoalan kini apa ukuran kesetiaan? Jangkamasa berapa tahun? Kesetiaan adalah nisbi, yang tidak boleh tentu seseorng itu benar-benar setia. Tiada ada pekakasan di atas dunia walau canggih macamana teknologinya boleh mengukur kesetiaan. Ia hanya helah Azmin untuk memfitnah calon lawannya, Zaid Ibrahim yang kononnya dikatakan belum setia kepada PKR. Yang ada ialah alat untuk mengesan seseorang itu berkata benar atau dusta bernama fMRI. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetic atau lebih dikenali sebagai fMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan gerak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan. Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar yang boleh dikesan melalui kaedah fMRI. Kita pernah lihat di dalam PAS sendiri pernah berlaku hal yang serupa. Misalnya TG Nik Aziz sendiri pernah ditipu. Ditipu oleh Ibrahim Ali. Walaupun Ibrahim bukan ahli PAS, tetapi Ibrahim dibenarkan bertanding di atas tiket PAS. Menang. Kemudian apa jadi? Ibrahim kencingkan PAS. Tetapi untuk orang sebegini sedikit pun TG Nik Aziz tidak pedulikan. Kerana TG Nik Aziz tahu bahawa Ibrahim telah menipu dan Ibrhaim akan terima balasannya nanti akibat penipuan yang dilakukan. Malah Ibrahim hanya dapat menikmati "kemenangan"nya dalam waktu yang sementara. Beliau sendiri berhempas pulas dengan "Perkasa"nya untuk melonjakkan namanya memperkudakan UMNO pula. Tetapi jika disuruh bertanding semula di Pasir Mas sekarang ini, Ibrahim belum pasti mahu melakukannya atau jika bertanding pun di pilihanraya akan datang, Ibrahim belum pasti menang. Hukum kebenaran pun mengambil tempatnya. Selepas ini jangan harap PAS akan mempercayai Ibrahim. Jika Zaid dikatakan malah dituduh sebagai Trojan Horse yang masuk untuk merosakkan PKR, itu sudah keterlaluan. Kerana perlu ada bukti kukuh. Sekadar diwawancara oleh Utusan dan mengkritik pemimpin parti belum boleh dijadikan ukuran bahawa Zaid khianat. Tinggi mana makam anda untuk melakukan firasat sedemikian, berbanding TG Nik Aziz sendiri yang belum boleh menerka niat si durjana yang bernama Ibrahim Ali itu? Kes Zulkifli Nordin umpamanya, sekalipun pernah bersama Anwar, pernah menjadi peguam Anwar, lebih dua tahun mengenali Anwar, tetapi pengkhianatan tetap juga berlaku. Beliau meninggalkan PKR dan mendedahkan apa yang diketahuinya tentang Anwar kepada Najib. Jika diuji dengan alat fMRI seperti yang GB tulis di atas sekalipun, pada waktu pengujian itu, Zulkifli belum lagi berdusta. Ada banyak lagi PKR perlu lakukan untuk meningkatkan kesetiaan ahli. Jika di dalam PAS ada program "tarbiah", maka PKR perlu turut mempunyai program ala sedemikian bagi mewujudkan ahli-ahli yang yang tetap hatinya bersama PKR walau apa pun terjadi. Setelah dua tahun di pentas politik tanahair, apa aktiviti dan program yang dilakukan oleh PKR sebenarnya? Malah pemilihan PKR pada kali ini juga memperlihatkan kekecohan. Bagaimana menanganinya? Mengapa tiada pelan bertindak lebih awal untuk mengawal? Mengapa tidak menubuhkan skuad seperti Unit Amal yang dilakukan PAS? Di dalam setiap kali pilihanraya umum atau kecil, jentera berkempen dan bekerja dari kalangan PKR juga kurang. Biar GB berterus terang, di dalam kempen-kempen, PKR terlalu bergantung dan mengharapkan petugas daripada PAS. Tanpa mereka, PKR telah lama kecundang. Bagusnya PAS, mereka amat jujur dan ikhlas di dalam setiakawan. Bukan saja PKR, DAP bertanding pun, PAS turun padang walaupun dituduh oleh musuh politiknya, UMNO, PAS bersekongkol dengan mereka yang makan babi. Sedangkan puluhan tahun mereka bersekongkol dengan MCA dan MIC tak pernah pula mereka teringatkan hal itu. Justeru bagi GB, PKR perlu perkukuhkan parti, bukan dengan cara menyekat demokrasi. Maaf cakap, PKR terlalu banyak politiking, sama macam UMNO. PKR perlu menyusun aktiviti-aktiviti parti. GB tersangat ingin membantu, tetapi dari luar parti kerana GB dah menjadi ahli parti komponen PR. Ketua de fakto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dibebankan dengan hal-hal parti dengan berlebihan. Beri beliau peluang sepenuhnya menguruskan hal peribadinya di mahkamah. Jika nak pakai juga idea Azmin, silakan. Selamat melembukan ahli-ahli baru parti dua tahun yang menyertai PKR. |
| Nyatakan Kebenaran Walaupun Pahit Posted: 05 Oct 2010 01:50 AM PDT Oleh Fadiah Nadwa binti Fikri Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penangkapan dan penahanan seorang kartunis tanahair, Zunar di bawah Akta Hasutan 1948. Umumnya, perkataan hasutan membawa sebuah konotasi berbentuk negatif, di mana perkataan hasutan merujuk kepada perbuatan mengajak atau mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah dan berniat jahat. Seorang kartunis adalah seorang pelukis yang menggunakan seni lukisan kartun yang dihasilkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat. Hasil karya seni seorang kartunis ini dikenali sebagai "satira". Satira mengikut definisi Kamus Oxford bermaksud "penggunaan janaka, ironi, atau sindiran yang bertujuan untuk mengkritik sesuatu kebodohan atau kejahatan terutamanya dalam konteks politik dan isu-isu semasa." Satira telah menjadi medium penyampaian sesuatu mesej berbentuk politik dalam proses mengetengahkan sesuatu maklumat yang berkait rapat dengan konflik poltik yang melanda sesebuah masayarakat. Seni satira merupakan salah satu bentuk manifestasi prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Sejagat. Satira politik Satira politik secara khususnya dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan isu-isu penting berkenaan kepincangan sistem politik yang seringkali cuba ditenggelamkan pihak pemerintah dalam usaha menyembunyikan hakikat sebenar sesuatu isu atau sesuatu fakta yang menjurus kepada kebenaran yang terselindung di sebalik pembohongan. Satira politik seringkali memaparkan episod-episod hangat sesuatu isu politik yang dicemari penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi dan pembohongan secara terang-terangan yang bisa dirujuk dengan fakta yang tidak pernah berdusta. Satira politik yang dihasilkan seseorang kartunis untuk paparan masyarakat bukan sahaja bertujuan untuk meraikan prinsip kebebasan bersuara seseorang individu, tetapi ia juga dipaparkan kepada masyarakat untuk mencuit nurani dan daya pemikiran masyarakat untuk memikirkan secara mendalam kepincangan politik yang menular dalam pemerintahan negara, dan bagaimana ia mampu memberi kesan buruk kepada negara dan kehidupan masyarakat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela. Proses yang berakar umbi daripada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini amat penting dalam melahirkan masyarakat yang peduli dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Melalui proses ini, nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kebaikan diberikan tempat yang tertinggi dalam senarai tanggungjawab yang wajib diperjuangkan oleh setiap rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran. Perjuangan dalam memartabatkan kemuliaan manusia dan perjuangan untuk membina masyarakat madani adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran dalam apa cara jua sekalipun di mana kebenaran tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa pembelaan. Dengan kesedaran yang dizahirkan melalui penggunapakaian prinsip kebebasan bersuara, kebenaran dapat ditegakkan di mana ia tidak mampu lagi untuk disembunyikan di mana rakyat akan menjadi hakim yang mengadili pembohongan dan cubaan untuk menyembunyikan sesuatu kebenaran oleh pihak pemerintah. Oleh yang demikian, cubaan-cubaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi seperti Akta Hasutan oleh pihak pemerintah adalah satu tindakan bacul dan primitif yang jelas bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat. Penangkapan Zunar Penangkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis yang lantang mengkritk kepincangan sistem politik pemerintah dan sistem kehakiman negara menunjukkan betapa terdesaknya kerajaan Malaysia dalam cubaan menutup penyalahgunaan kuasa dan kebatilan pemerintahan mereka yang jelas lagi nyata. Tindakan tidak bertamadun pihak kerajaan ini jelas dilakukan dengan tujuan untuk membisukan suara-suara keramat rakyat yang berani bangun untuk menyatakan kebenaran yang cuba diselindungi pembohongan demi pembohongan. Isu-isu yang dipaparkan melalui kartun-kartun Zunar bukanlah suatu imaginasi kosong atau cerita rekaan semata-mata yang sengaja diada-adakan tanpa sebarang basis, tetapi kartun-kartun tersebut sarat dengan fakta-fakta dan persoalan-persoalan sah berikutan episod-episod pelik tapi benar ceritera politik Malaysia. Ugutan, penangkapan dan penahanan oleh pihak berkuasa tidak akan bisa menghentikan pencarian dan penyebaran fakta-fakta yang tidak pernah bisu dalam usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan pembohongan. Realitinya, tindakan berterusan pihak kerajaan mengugut, menangkap dan menahan rakyat yang berpegang kepada prisip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di bawah Akta Hasutan jelas membuktikan bahawa Akta Hasutan ini dijadikan alat kepentingan politik pihak kerajaan dalam usaha menutup kebenaran yang bisa memakan diri pihak pemerintah jika tidak dikekang. Dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi untuk menghalang usaha-usaha rakyat untuk menyampaikan sesuatu fakta dan kebenaran, ia jelas menunjukkan bahawa pada pandangan kerajaan, usaha menyampaikan kebenaran ini adalah sesuatu yang berbentuk hasutan dan berniat jahat. Betapa ironinya realiti ini dari kacamata pemeritah? Sedangkan ahli-ahli falsafah dunia sejak sekian lama telah berjuang dalam penulisan dan lakaran sejarah agar kebenaran dan keadilan dijadikan matlamat tertinggi yang wajib didukung sesebuah masyarakat dalam usaha memartabatkan ketamadunan manusia. Kepahitan kebenaran Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit. Kepahitan yang jelas tergambar dalam sistem pemerintahan yang korup, sistem kehakiman yang tidak berpaksikan keadilan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat kebanyakan, bukanlah isu-isu yang asing bagi kita. Isu-isu ini jika dibiarkan tanpa diketengahkan oleh rakyat yang peduli soal keadilan akan menular dan lama-kelamaan akan menghakis nilai-nilai keadilan dan kebenaran yang sekian lama dicabar dan dicabuli pihak berkuasa. Oleh yang demkian, masa depan kemuliaan tamadun manusia bergantung kepada kita, rakyat yang tidak jemu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan penindasan dengan mempertahankan prinsip kebebasan bersuara tanpa intimidasi dan ugutan. Usaha-usaha untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini wajib ditentang sekeras-kerasnya kerana tindakan ini jelas mencabul proses pencarian sebuah kebenaran. Ini dapat dilihat daripada reaksi penagkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis politik yang kritikal dalam menyampaikan isu-isu politik semasa tanah air kepada masyarakat umum, di mana masyarakat sivil dari segenap pelusuk dunia bangun menentang tindakan primitif kerajaan ini. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Committee to Protect Journalists (CPJ), Pakistan Press Foundation (PPF) dan Reporter without Borders (Paris-RSF) mengecam tindakan kerajaan yang menangkap dan menahan Zunar di bawah Akta Hasutan. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini menegaskan bahawa tindakan kerajaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan tindakan ini jelas digunakan untuk mengekang kritikan terhadap kepincangan sistem poltik yang sekian mencengkam rakyat dan negara Malaysia. Ugutan yang sering digunakan di bawah topeng Akta Hasutan ini perlu diberhentikan di mana Akta Hasutan yang bertindak sebagai alat politik pihak pemerintah ini perlu dimansuhkan agar hasrat sebenar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara dapat direalisasikan. Usaha ini penting dalam membentuk masyarakat yang lebih demokratik dan lebih matang dalam menilai suasana politik semasa dalam usaha memperbetulkan kepincangan yang membelenggu negara Malaysia yang dicintai berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran. Katakanlah kebenaran, walaupun ia pahit! -MR *Fadiah Nadwa Binti Fikri, ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Majlis Peguam Kuala Lumpur. |
| You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |












.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan