Isnin, 4 Oktober 2010

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Isu BTN: Nazri "Flip Flop"

Posted: 04 Oct 2010 03:30 PM PDT

Datuk Nazri Aziz jarang-jarang dilihat bersikap "flip flop" sejak belakangan ini. Pandangannya terhadap sesuatu isu biasanya konsisten walaupun pandangan itu jelas bertentangan dengan pandangan pemimpin UMNO yang lain terutamanya apabila isu itu bersangkutan dengan perkauman dan masyarakat bukan bumiputera secara amnya. Ketegasannya membela semangat 1Malaysia yang digagaskan oleh bosnya (sekarang) telah mencetuskan pertelingkahannya dengan Tun M. Begitu juga sewaktu Tun Abdullah berkuasa, beliau dilihat begitu tegas membela idea dan gagasan yang dicipta oleh bosnya itu.

Apabila bercakap tentang pertelingkahannya dengan Tun M, maka sudah tentu ada kalangan anda yang teringat akan perbalahan mereka berdua berkaitan dengan BTN. Ironi bukan? Apabila menyebut tentang pertelingkahan sudah tentu ada yang menyokong, ada pula yang menentang. Namun, semalam Nazri Aziz seperti diberitakan The Malaysian Insider:
...mempertahankan peranan Biro Tata Negara (BTN) dengan mendakwa bahawa modul kursus agensi kerajaan itu tidak menggalakkan sebarang bentuk sintimen perkauman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kenyataan "rasis" yang didakwa dibuat oleh penolong pengarah BTN  Hamim Husain tidak menggambarkan kedudukan sebenar kandungan kursus yang dikendalikan oleh agensi itu.

"Tiada modul di BTN yang menggalakkan (sentimen) perkauman. Kita perlu melihat apa isunya di sini.

"Dalam kes ini, modulnya bukan isu, tetapi personal," kata Nazri dalam respons berhubung soalan sama ada kursus BTN harus dirombak ekoran perkembangan minggu lalu...

Wow, Nazri Aziz kali ini menyokong BTN yang ditentangnya dahulu sehingga mewujudkan perang mulut antara beliau dengan Tun M! Blog ini ada mengulas ringkas dan menyiarkan serba ringkas tentang hal itu. Saya petik salah satu kiriman yang disiarkan dalam blog ini, yang berbunyi:
Dua orang tokoh UMNO ini dari dulu lagi sudah sering berkelahi, sampai Tun M kerap kali menyindir Nazri Aziz dan begitu juga sebaliknya. Sedih orang tua itu apabila Nazri kata macam-macam terhadap dia. Maklumlah, dia ini dahulukan ahli Kabinetnya. Itu dahulu, masa ada kuasa. Sekarang lain, dia ada bos lain. Hendak buat macam mana, itulah politik, itulah kelangsungan politik. Hari ini akrab, esok lusa bermasam muka. Kali ini, kedua-dua tokoh UMNO ini bergaduh fasal BTN, seorang cakap macam ini, seorang lagi cakap macam ini, hasilnya:
Datuk Seri Nazri Aziz called Tun Dr Mahathir Mohamad a "bloody racist" for defending the Biro Tata Negara (BTN) courses, and reasserted the Cabinet's earlier decision to overhaul the programme.

He also slammed Umno's Utusan Malaysia newspaper, saying its "denial syndrome" was making him laugh.

The minister in the prime minister's department also repeated his stand "everybody knows what the BTN is," so there was nothing to hide. Lanjut baca di sini

Kiriman lain yang berkaitan dengan hal ini, saya petik dari Khutubkanah Duniacacamarba:
Petikan akhbar di bawah bolehlah dikatakan kenyataan balas atau dengan kata-kata lain "serangan balas" Tun Dr. Mahathir terhadap kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz yang menggelarkan dirinya sebagai "bloody racist" baru-baru ini. Dalam kenyataan terdahulu, DS Nazri menyanggah kenyataan Tun M agar modul BTN tidak dirombak dengan mengatakan bahawa "semua orang tahu apa itu BTN". Ada macam-macam lagi hujah yang diberinya, termasuklah agar BTN selari dengan slogan 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh PMnya ketika mula memegang jawatan itu dahulu. Lanjut baca di sini. Tun Mahathir pula mempertahankan modul BTN kerana menurut bekas Pengarah BTN, Datuk Johari Abdul, kini ahli PKR, mendedahkan bahawa Dr. M telah mengubah modul BTN menjadi agensi yang bersifat "super racist". Logiknya, kalau beliau yang mengubah BTN yang kini dilanda kontoversi, maka sudah tentu beliau juga akan mempertahankannya apabila diserang oleh pelbagai pihak....lanjut di sini.

Nazri Aziz yang pernah mengungkap frasa "semua orang tahu apa itu BTN" kini muncul dalam berita dengan tajuk "Nazri pertahan modul BTN, nafi galakkan perkauman". Kalau bukan "flip flop", kita mahu gelar apa? Selain itu, peribahasa Melayu ada menyebut "bagai menjilat ludah sendiri". Berdasarkan Kamus Dewan, peribahasa ini bermaksud sudah dihinakan dimuliakan kembali, sudah dicela dipuji kembali. Indah sungguh peribahasa orang dulu-dulu walaupun maksudnya tidaklah begitu indah jika terkena pada hidung sendiri.      


* Ironinya, berita di Astro Awani menyatakan bahawa Nazri turut mengecam tindakan biadap Azmin terhadap Tun M.

Hujah Mudah Orang Melayu Islam Perlu Tinggalkan UMCO

Posted: 04 Oct 2010 05:15 AM PDT

Perlu diperjelaskan? Memadailah jika anda memahami petikan kata-kata TGNA di bawah ini. Jika memahaminya, apa lagi alasan yang anda mahukan? Jika tidak memahaminya, tolong baca kenyataan tersebut berulang kali! Saya petik:

[SK] SHAH ALAM 2 Okt - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata beliau sanggup mencadangkan agar PAS dibubarkan sekiranya Umno benar-benar mengikuti lamdasan Islam.

"Sudah berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin Umno agar tinggalkan perjuangan kebangsaan dan terimalah perjuangan Islam. Kalau hari ini Umno berbuat demikian, maka hari ini juga saya sanggup bubar PAS untuk sama-sama berjuang Islam dengan Umno.

"Namun sampai sekarang mereka tidak sanggup mengubah dasar parti Umno itu kepada dasar Islam! Di manakah duduknya roh Islam dalam Umno? Saya tanyakan persoalan ini untuk dijawab oleh seluruh umat Malaysia," soal Nik Abdul Aziz dalam blognya semalam.

Kata Nik Abdul Aziz, Umno adalah punca utama umat Islam di negara ini keliru apabila mengamalkan politik perkauman sempit dengan melaungkan 'Hidup Melayu' tetapi pada masa yang sama menolak hukum Islam (Hudud).

Menteri Besar berkata Umno mengaku memperjuangkan Islam tetapi pada masa yang sama menolak undang-undang jenayah dalam Islam.

Nik Abdul Aziz menegaskan beliau sudah berkali-kali mengajak parti itu agar mengubah dasar tetapi Umno terus berkeras dengan semangat kebangsaan  (perjuangan untuk bela Melayu) malahan berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan 'hidup Melayu.'

Berhubung dengan dasar Perlembagaan Negara, beliau menjelaskan pernah ada kenyataan dari pihak Majlis Peguam Muslim, betapa di dalam Perlembagaan itu tidak pun dinyatakan sebarang peruntukan yang mengesahkan negara kita adalah sekular.

Malah, seorang pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di negara ini.

"Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini? Sedangkan di sisi Perlembagaan Negara ia tiada halangan untuk memakai Islam, kerana ia adalah hak mutlak umat Islam. Maka tiadalah sekular sebagaimana didakwa.

"Soalnya, ada pula pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan amalan sekular dengan menolak dasar Islam dalam keadaan tertentu, dan menerima Islam di mana ia menguntungkan Umno.

Justeru katanya, memang selayaknya Umno dikalahkan dalam pilihan raya demi untuk diberi pula peluang kepada pihak lain berkuasa barulah Perlembagaan dapat diperjelaskan mengikut maksud sebenarnya.

"Dalam hal ini, orang Umno patut malu kepada orang India (yang belum Islam) seperti Balasundram dari Dewan Himpunan Penyokong Pas yang sedia menganjurkan seminar bagi memperjelaskan keadilan Islam kepada pihak yang belum memahami hakikat adilnya hukum Islam!.

"Apakah selama ini, pihak Umno tidak terfikir untuk membuat perkara yang sama kepada rakan-rakan dalam BN?," soal beliau lagi. - Fazli Othman

Lepas baca, kliklah sekali:

Perbezaan antara Perlembagaan Malaysia dengan Perlembagaan Amerika Syarikat!

Posted: 04 Oct 2010 03:00 AM PDT


Saya baca fasal pindaan yang telah dibuat terhadap Perlembagaan Malaysia di Tukar Tiub (TT). Sindiran TT itu dipetik daripada laporan The Malaysian Insider. Dalam laporan itu, Majlis Peguam Negara menyatakan bahawa Parlimen telah meminda Perlembagaan lebih 40 kali dalam masa 53 tahun yang lalu dengan lebih kurang 650 pindaan individu. Wow!

TT ada menyebut tentang jumlah pindaan Perlembagaan di AS. Saya selidik sumber lain. Menurut laman Answers.com, Perlembagaan AS telah dipinda sebanyak 27 kali dalam tempoh masa 210 tahun. Hah!

Bandingkan 40 kali, 650 kali dalam tempoh 53 tahun dengan 27 kali dalam tempoh 210 tahun!

Antara pindaan yang harus dikenang oleh orang Melayu (+"orang Melayu" yang terlebih Melayunya)  termasuklah pindaan yang menghakis kuasa raja-raja Melayu sekitar tahun 1993 yang lalu. Selama 53 tahun, UMCO dan sekutunya telah mengubah pelbagai isi Perlembagaan sama ada untuk kepentingan mereka ataupun untuk kepentingan umum.

Khusus untuk Ahli UMCO: Hukum Menerima Sumber Wang yang Tidak Jelas

Posted: 04 Oct 2010 01:00 AM PDT


Selain ahli UMCO yang jahil, artikel ini juga khusus untuk pakcik dan mak cik yang termakan dakyah ahli UMCO yang mempergunakan mereka untuk tujuan politik. Saya petik:

[Zaharuddin] Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut 'pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM


Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan 'hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn 'Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang
ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL


Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan 'derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda  yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN


* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Najib Mahu ROMBAK KABINET Bulan Ini?

Posted: 03 Oct 2010 07:45 PM PDT

Saya baca spekulasi ini di blog Ibrahim Yahya (Dunia Tiger). Saya panjangkan spekulasi itu di sini. Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Perkara belum pasti. Takkan saya mahu komen sama ada  Khairy bakal dilantik sebagai  menteri atau tidak? Adakah Ezam bakal dilantik menjadi Menteri? Begitu juga hal-hal yang lain.

Namun, jika benar rombakan dibuat, maka sudah pasti hal itu ada kaitannya dengan PRU 13. Najib mahu dilihat sebagai PM yang berpegang pada kata-katanya (prestasi kementerian, menteri, dll), walaupun hakikatnya banyak perkara yang boleh dipertikaikan.

Selain itu, rombakan ini juga memberikan impak kepada penentuan tarikh PRU 13. Logiknya, takkan Najib akan tergesa-gesa mengadakan PRU 13 dalam jangka masa terdekat jika beliau merombak Kabinetnya pada bulan ini?

Tunggu dan lihat!

Sila baca. Saya petik:

[DT] Rombakan Kabinet bulan ini? Inilah antara bahan perbualan ketika musim raya baru-baru ini terutama jika ada orang politik yang menimbulkannya. DIY juga tidak terlepas daripada pertanyaan itu dan jawapan ringkas ialah, "Perdana Menteri yang akan menentukan perkara itu."

Hakikatnya, PM adalah individu yang membuat keputusan untuk merombak Kabinetnya. Alasan? Sudah pasti beliau mempunyai pelbagai faktor yang menentukan perubahan dalam Kabinet. Itupun jika perlu. Antaranya ialah prestasi Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik selama ini. Adakah mereka mencapai KPI yang ditetapkan? Apakah segala arahan PM selama ini dilaksanakan dengan baik dan memberi outcome yang boleh dibanggakan?

Prestasi ini penting untuk memastikan prestasi kerajaan berada di tahap yang meyakinkan rakyat. Sudah tentu rakyat mahu tahu slogan yang diperkenalkan oleh PM itu benar-benar mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Jika rakyat tidak diutamakan sudah tentu ia menjejaskan hasrat sebenar PM untuk memastikan nasib rakyat terbela. Rakyat perlu dibantu dalam segala bentuk terutama mereka yang memerlukan. Mereka yang memerlukan bekalan elektrik dan air. Rakyat memerlukan pekerjaan untuk meneruskan hidup mereka. Rakyat perlukan keselamatan dan keselesaaan hidup terutama di kawasan luar bandar.

Pencapaian? Rakyat mahu melihat kerajaan berjaya memastikan segala dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Menteri Kabinet yang dilantik perlu menjalankan tugas mereka dengan cekap dan sebaik mungkin. Tiada kompromi kepada pencapaian terbaik kerana tanpa output dan outcome, rakyat akan terus ketinggalan....

Demo Wang Ehsan: Berapa Senkah Labu-labu Ini Diupah?

Posted: 03 Oct 2010 06:30 PM PDT







Saya petik:


[HD] KEPALA BATAS: "Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya," itulah reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap serangan Umno yang kian serabut dengan wang pemberian warga emas RM100 dan wang pengurusan jenazah warga emas sebanyak RM1,000.

Ujarnya, jika ada warga emas yang mahu memulangkan pemberian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, mereka boleh berbuat demikian dengan mengutus surat mengatakan mereka tidak mahu menerima terus pemberian yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun.

"Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak manasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas," katanya.

Namun begitu, ujarnya kerajaan negeri tidak hairan dengan desakan Umno Kepala Batas dan yang terbaru di Bayan Baru kononnya mereka bersama dengan penduduk miskin menentang usaha murni kerajaan negeri berjiwa rakyat yang berusaha meningkatkan martabat bangsa, agama dan sosioekonomi menerusi penjimatan yang dilakukan.

"Sebelum ini Umno tidak pernah berikan sesen pun wang kerajaan kepada rakyat miskin yang mereka tahu golongan miskin diperkotakkatikan semasa pilihan raya tidak kira kecil ataupun umum," tambahnya ketika ditemui selepas meraikan sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Kepala Batas di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam petang tadi.

Katanya, Umno nampak serius melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri kononnya pemberian wang warga emas dan pengurusan jenazah daripada hasil judi sedangkan pemimpin mereka sendiri bergelumang dengan hasil judi.

Malahan, kata beliau ada antaranya terlibat menjadi jawatankuasa organisasi berhubung dengan perjudian.

"Jika macam itu bagaimana pendapatan mereka untuk diberi makan keluarga," katanya.

Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus sendiri telah menjelaskan sebelum ini bahawa wang sumbangan syarikat judi lumba kuda diasingkan untuk masyarakat bukan Islam dalam Rakan Anti Kemiskinan (RAK) bukan wang warga emas atau pengurusan jenazah.

"Saya pun tahu judi haram untuk orang Islam, maka kita asingkan tabungan itu, wang RM100 dan RM1,000 itu diambil dari wang penjimatan kerajaan," jelasnya.

Apa pun, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Putih, tekanan yang dibuat oleh Umno BN itu membuatkan semua jentera kerajaan dan parti melaksanakan kerja dengan lebih efisyen.

Bukan sahaja jentera, ujarnya bahkan semua Exco dan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat bertungkus lumus merangka program untuk memperjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.

Kerana Beberapa Ribu, Bekas Majistret Dikenakan Hukuman Penjara 6 Tahun, Denda RM40 Ribu, Hilang Jawatan & Maruah!

Posted: 03 Oct 2010 05:37 PM PDT


Saya petik:
[HM] KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM40,000 terhadap seorang majistret yang didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan RM8,000 sebagai dorongan meringankan hukuman terhadap pesalah yang terbabit dengan kes dadah pada 11 Oktober tahun lalu.

Hakim Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Ramlan, 28, selepas pihak pembelaan diwakili, Datuk Sukri Mohamad, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Beliau dalam penghakimannya berhujah rakaman perbualan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Bharu antara saksi pendakwaan ke-11, Md Shani Ishak dan keenam, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Kamarul Ahmad Kamardin, adalah bukti kukuh dalam kes berkenaan.

Dalam hujah beliau, tertuduh gagal membuktikan dia dianiaya selain mendapati Kamarul sebagai rakan sejenayahnya.

"Rakaman perbualan itu satu bukti kukuh malah mana-mana orang yang mendengarnya akan faham kecuali orang lain yang ingin menafikan kebenarannya.

"Tertuduh juga gagal menafikan suara dalam rakaman itu adalah miliknya selain gagal membuktikan dia dianiaya," hujahnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Firdaus didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira jam 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani bagi tujuan sama di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Berikutan itu, Sabariah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi setiap pertuduhan itu yang berjalan serentak selain denda RM15,000 dan RM25,000 untuk setiap pertuduhan.

Beliau mengarahkan hukuman dan denda terbabit berkuatkuasa dari tarikh hukuman berkenaan dijatuhkan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, Mohd Josiendra Abu Senin dan Mohd Ahsan Latif.

Terdahulu, Sukri memohon mahkamah mempertimbangkan beberapa faktor termasuk kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.

"Tertuduh penyara tunggal dalam keluarganya dan menanggung adik yang bersekolah. Ibunya membuat kuih dan dia turut menyara nenek uzur yang menjalani rawatan berkala di hospital," katanya. - Siti Fatimah Hassan

Tiada ulasan: