Jumaat, 1 Oktober 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Apahal DAP Perak?

Posted: 01 Oct 2010 07:16 PM PDT

Pergeseran dalam barisan kepimpinan DAP Perak telah mencetuskan khabar angin yang timbalan pengerusinya, M Kulasegaran akan meletak jawatannya di negeri itu.

Dalam Twitternya, ahli parlimen Ipoh Barat dan timbalan pengerusi DAP kebangsan itu, menegaskan bahawa beliau akan mengumumkan "apa yang kurang" dalam kepimpinan Perak hari ini.

Tulisannya dalam bahasa Inggeris itu bermaksud: "Baru saja tamat
mesyuarat kepimpinan DAP di Ipoh. Hari yang sedih kerana saya akan mengumumkan "apa yang kurang" dalam kepimpinan DAP Perak kepimpinan hari ini".

Kulasegaran membayangkan kemungkinan melepaskan jawatan di peringkat negeri, tetapi menegaskan beliau masih ahli parti itu.

Menurutnya, beliau tidak berniat untuk meninggalkan DAP tetapi menimbang kemungkinan meletak jawatan di peringkat negeri.

"Cukuplah. Dalam sidang akhbar esok, saya akan menjelaskan semua, " tulis Kulasegeran dalam Twitternya pada jam 12.45 pagi - beberapa jam selepas Twitter awal.
'
Bagaimanapun, menurut satu sumber, Kulasegaran nampaknya telah mengubah fikirannya selepas dipujuk oleh beberapa pemimpin pusat DAP.

Bagaimanapun, beliau dijangka meneruskan hasratnya untuk mengadakan sidang akhbar itu pada jam 10.30 pagi ini di ibupejabat DAP Perak untuk memperjelaskan apa yang berlaku semalam.

Reezal Merican “hipokrit” dan “juga buta perlembagaan”

Posted: 01 Oct 2010 07:01 PM PDT

Loke Siew Fook mendakwa Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican "hipokrit" dan "juga buta perlembagaan" apabila merumuskan ketua Pemuda DAP itu tidak boleh mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam isu wang ihsan.

"Saya berasa amat lucu dengan maklum balas Reezal kerana ini menunjukkan beliau tidak mampu menjawab hujah saya bahawa kerajaan persekutuan Barisan Nasional telah menggunakan sumber hasil perjudian sejak merdeka lagi," kata Loke.

Pemimpin DAP Sosialis itu menambah, Reezal bukan sahaja buta maklumat dan hipokrit, malah menyifatkan beliau juga seorang yang buta perlembagaan.

Loke merujuk laporan dalam The Malaysian Insider semalam yang memetik Reezal, pemimpin Pemuda Umno dari Pulau Pinang, yang mendakwa beliau tidak mempunyai hak untuk bersuara dalam isu tersebut kerana ini adalah isu Pulau Pinang, malah bukan anak Pulau Pinang.

Oleh itu, Ahli Parlimen Rasah ini menyoal bukankah hak bersuara setiap warganegara Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Bukankah Pulau Pinang sebahagian daripada Persekutuan Malaysia?" katanya.
"Jadi, mengapa sebagai warganegara Malaysia saya dinafikan hak saya oleh Reezal untuk bersuara tentang sesuatu isu yang bangkit di sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia?" soal Loke lagi.

Sehubungan itu Loke berkata, beliau mahu Reezal menggunakan masanya sebaik-baik untuk memahami Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu daripada terus membuat tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Kalau mengikut logik Reezal bahawa seseorang yang bukan anak Pulau Pinang tidak berhak bersuara tentang hal ehwal Pulau Pinang, saya ingin bertanya kepada Reezal sama ada beliau juga mencadangkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak ada hak untuk member komen tentang isu wang ihsan kerajaan Pulalu Pinang kerana Muhyiddin juga bukan anak Pulau Pinang dan berasal dari Johor," katanya.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider semalam, Reezal (gambar kanan) menyifatkan Loke tidak mempunyai hak untuk bersuara dan campur tangan dalam isu wang ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipersoalkan pihaknya.

"Beliau (Loke) tiada hak untuk bercakap soal ini (wang ihsan), beliau orang luar bukan rakyat Pulau Pinang.

"Lagipun ini hal rumah tangga rakyat Pulau Pinang, jadi biar rakyat dan Ketua Menteri (Lim Guang Eng) sahaja yang terlibat," kata Reezal kepada The Malaysian Insider.

Isu ini dilihat sebagai serangan terbaru Umno-BN terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tambahnya, sebagai anak kelahiran Pulau Pinang beliau mempunyai hak untuk membawa rintihan rakyat di negeri itu.

"Saya bercakap sebagai seorang rakyat Pulau Pinang dan apa yang saya cuba bawa ini adalah rintihan rakyat," katanya mengulas kenyataan Loke terdahulu, yang mengatakan bahawa beliau buta maklumat dan hipokrit apabila mempersoalkan skim wang ihsan dengan mendakwa ia bersumberkan hasil judi.

Loke berkata buat masa ini sebahagian hasil kerajaan persekutuan juga adalah hasil judi dan ia bukan perkara baru.

Kata beliau, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada kerajaan.

Dalam ulasannya, Loke menambah, Pemuda DAP akan terus bersuara untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat dan membongkar sikap hipokrit pemimpin-pemimpin Umno termasuk Reezal.

Beliau juga menegaskan pemimpin Umno Pulau Pinang sepatutnya insaf dengan "kebodohan" mereka untuk terus membangkitkan isu wang ihsan kerajaan Pulau Pinang untuk fakir miskin kerana daripada 100,000 warga emas yang telah menerima wang sagu hati RM100 daripada kerajaan negeri, Umno hanya mampu mendapat 40 warga emas untuk memulangkan wang tersebut.

"Itu hanya 0.04 peratus daripada mereka yang memberi keyakinan kepada kerajaan Pulau Pinang," kata beliau sambil menambah, 40 orang tersebut juga disyaki diperdaya oleh Umno Pulau Pinang.

"Untuk makluman Reezal juga, saya rakyat Malaysia dahulu dan rakyat Negeri Sembilan kemudian.

"Mungkin beliau rakyat Pulau Pinang terlebih dahulu, rakyat Malaysia kemudian? Kegagalan "Satu Malaysia" lagi!" kata Loke.

Mengapa Yb Azmin Menjadi Mangsa Fitnah?

Posted: 01 Oct 2010 06:55 PM PDT

FITNAH mula disebarkan di penghujung kempen pemilihan jawatan utama di dalam PKR. YB Azmin terus menjadi sasaran melalui fitnah yang tidak masuk akal apatah lagi datangnya dari seorang `pengkhianat' yang pernah ingin `berbogel' untuk berdemontrasi di awal pemerintahan Kerajaan PR di Selangor. Apakah pengkhianat seperti ini boleh dipercayai?.

Semalam YB Azmin menafikan dakwaan yang menyebut beliau melakukan konspirasi untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor. Malahan, Tan Sri Khalid juga menolak dakwaan dan fitnah tersebut. Agenda untuk melaga-lagakan YB Azmin dan Tan Sri Khalid nampaknya diperhebatkan menjelang pemilihan kali ini. Namun, semua ahli PKR yang diberi kuasa memilih nampaknya tidak sebodoh yang disangka. Kewibawaan YB Azmin yang sentiasa komited dengan perjuangan di dalam PKR tidak lagi boleh dinafikan.

Mana mungkin YB Azmin menjadi terlalu bodoh untuk melakukan konspirasi sedemikian rupa semata-mata untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid. Ramai yang mendakwa YB Azmin adalah `anak emas' DS Anwar Ibrahim, dan jika itu dakwaan mereka maka perlu apa YB Azmin bersusah payah `mengupah' lelaki yang suka `berbogel' itu untuk menjalankan konspirasi terhadap Tan Sri Khalid? Bukankah lebih senang YB Azmin mendapatkan kerusi MB Selangor dengan hanya memujuk DS Anwar sahaja? Masakan DS Anwar tergamak menolak permintaan YB Azmin itu jika benar YB Azmin adalah `anak emas' beliau.

Fitnah seterusnya ada yang menyebut bahawa DS Wan Azizah amat tidak menyukai YB Azmin untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Begitu juga dengan YB Nurul Izzah. Ini semua dakwaan tidak berasas sama sekali. Jika DS Wan Azizah atau YB Nurul Izzah tidak menyokong YB Azmin, itu adalah perkara biasa di dalam amalan demokrasi tetapi menyebut bahawa DS Wan Azizah dan YB Nurul Izzah `membenci' atau anti YB Azmin itu adalah fitnah jahat. Tiada sebab untuk Presiden dan anaknya itu membenci YB Azmin.

Saya kagum dengan YB Azmin yang masih `steady' dengan semua fitnah jahat ini. YB Azmin tidak pernah memperlekeh Presiden ataupun Timbalan Presiden apatah lagi Ketua Umum PKR. Beliau tidak menggelar Presiden dengan gelaran `boneka' dan beliau juga tidak menghina Timbalan Presiden sekarang dengan gelaran `nyanyuk'. Beliau tahu menghormati Ketua Umum dan tidak melabelkan Ketua Umum sama seperti 1ahli biasa' parti walaupun beliau sedar jawatan Ketua Umum tiada di dalam Perlembagaan atau Organisasi Parti.

Mungkin ada yang menganggap saya taksub dengan YB Azmin. Pada saya, seperti juga kepada yang lain sekiranya terdapat tuduhan maka siasatan rapi mesti dijalankan. Bukti mesti kukuh bukan hanya sekadar mendengar cakap dari orang yang suka `berbogel' itu. Jika ada cd rakaman, siasat segera. Sesiapa pun boleh merakam suara dan menyebut nama si Polan dan si Polan tetapi adakah itu benar? Mengapa waktu pemilihan sekarang baru timbul? Lakukan siasatan dan jika terbukti YB Azmin melakukan kerja jahat itu, maka YB Azmin harus diambil tindakan malahan boleh dipecat. Tetapi, jika tidak benar maka pembawa cerita fitnah itu pula haruslah juga dikenakan tindakan.

Selagi YB Azmin tidak dibuktikan bersalah, maka beliau adalah pemimpin yang paling layak untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Kelayakan beliau sememangnya telah diuji sejak awal lagi dan komitmen beliau terhadap perjuangan PKR tiada siapa boleh nafikan. Sememangnya musuh-musuh PKR amat bimbang jika YB Azmin berada di saf kepimpinan kerana beliau banyak mewarisi sifat kepimpinan dan ketokohan seperti DS Anwar walau pun sedikit.




Oleh: WFAUZDIN NS

Pakatan Rakyat Sedia Berdepan BN Sarawak

Posted: 01 Oct 2010 06:53 PM PDT

Jentera Pilihan Raya Pakatan Rakyat Sarawak bersiap-sedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri itu bakal diadakan ketika pemilihan nasional Parti Keadilan Rakyat November depan.

Desas-desus bertiup kencang bahawa Ketua Menteri Taib Mahmud mahu memastikan PKR tidak berupaya memberi tumpuan penuh kepada pilihanraya negeri kerana sibuk dengan pemilihan parti.

"Pemilihan PKR pada 29 Oktober sehingga 21 November ini, dilihat masa sesuai oleh Taib untuk menumpulkan saingan parti itu jika pilihanraya negeri diadakan pada masa sama," kata seorang sumber yang rapat dengan kerajaan negeri Sarawak.

Adun Padungan Dominuque Ng menerangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan mengadakan persidangan pada awal November depan dan kerjasama kukuh antara PKR, PAS, DAP dan SNAP telahpun terjalin sejak penubuhan Pakatan Rakyat Sarawak beberapa bulan lalu.

"Mereka (ADUN) telah diberi notis ada persidangan DUN dari 1- 10 November, tapi selepas itu tiada siapa tahu.

"Yang penting kita telah buat persiapan untuk pilihan raya pada bila-bila masa.

"Jentera semua kawasan kita sudah gerakkan, cuma satu dua kita cari calon, kebanyakan sudah ada," kata beliau ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Dominique juga membidas kenyataan Taib bahawa Barisan Nasional akan mendapat kemenangan dengan 'majoriti selesa' atas sokongan kaum bumiputera kerana rakyat Sarawak telahpun menunjukkan minat untuk berubah terutamanya selepas Pilihan Raya Kecil Sibu dimenangi wakil Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng.

"Jangan cakap awal, belum cuba belum tahu, sekarang keadaan Sarawak telah banyak berubah.

"Yang dia cakap di kalangan bumiputra, ramai yang dah berubah dan yang lebih kita risaukan ialah penduduk luar bandar.

"Pilihan raya kali ini ialah peluang keemasan kita (PR) menawan Sarawak kerana kita boleh dapat sokongan dari semua kaum," kata beliau

Mahasiswa lawan Auku, rakyat perlu buka mata

Posted: 01 Oct 2010 05:59 AM PDT

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan bahawa saman pemula empat mahasiswa UKM untuk mencabar Auku baru-baru ini ditolak, saya sudah menjangkakan keputusan itu.

Saman itu diketuai oleh saudara Hilman Idham bersama tiga rakannya yang lain, mahasiswa jurusan Sains Politik, UKM. Sewaktu mula-mula membuat keputusan untuk mencabar kerajaan, saya pernah memberitahu Hilman bahawa untuk mencapai kemenangan agak samar.

Saya kenal benar dengan Hilman. Beliau adalah Presiden Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang turut bersama-sama kami GAMIS dan SMM dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan masyarakat.

Dalam hujah Hakim mahkamah itu, beliau berkata larangan yang terkandung dalam Seksyen 15(5)(a) itu bertujuan mencegah kekacauan yang berpotensi berlaku di universiti, yang juga boleh disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Aziah berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili UKM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa larangan yang dikenakan itu adalah penting atau wajar untuk memelihara disiplin pelajar, yang merupakan sebahagian daripada akhlak orang ramai dan yang wajib dipatuhi oleh pelajar.

Beliau juga bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar bahawa semua hal berkaitan disiplin dan tingkah laku pelajar terletak di bawah bidang kuasa universiti tempat mereka belajar dan tidak pernah wujud sebarang tindakan bersifat menindas terhadap mana-mana pelajar.

Seharusnya kenyataan ini mudah dibaca bagi rakan-rakan aktivis mahasiswa dan masyarakat yang mengikuti perjuangan kami menentang AUKU.

Undang-undang 'tarik tali'

Saya bukanlah pakar dalam undang-undang mahupun perlembagaan dalam membicarakan soal akta ini. Namun, berdasarkan pengalaman menyertai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dahulu, satu dua perkara saya boleh lontarkan.

Dalam perlembagaan Malaysia, secara umum diketahui bahawa warganegara Malaysia berhak untuk berpolitik, mengundi, dan menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang dirasakan wajar baginya. Itu adalah kebebasan yang diberi perlembagaan.

Walaupun begitu, dalam AUKU, mahasiswa tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini kerana mereka adalah pelajar universiti. Akta itu dalam pindaan pada 2008 saya petik ada menyebutkan :

(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap:

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawahperenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

Justeru itu, seorang mahasiswa akan terikat dengan akta universiti (AUKU) walaupun diberi jaminan kebebasan oleh perlembagaan sebagai warganegara.

Undang-undang inilah yang disebut sebagai 'tarik tali' dan pada hari ini empat rakan saya itu sedang mencabar kerajaan bagi membuktikan kesahihan dan keabsahan salah satu undang-undang tersebut. Paling penting ia memberi pendidikan kepada masyarakat betapa dilema yang dihadapi mahasiswa kini.

Bukan mansuh semua

Seperkara yang tidak difahami kerajaan terutamanya menteri KPT sendiri adalah berkenaan hasrat mahasiswa yang ingin memansuhkan akta ini.

Ketika menghantar memorandum berkenaan autonomi universiti kepada Dato' Seri Khaled Nordin di UKM dahulu, beliau pernah berkata : "Kalau mansuh AUKU, tutuplah semua universiti..".

Saya yakin beliau tidak sedangkal itu. Bagi kami akta yang perlu dimansuhkan hanyalah yang berkaitan dengan hak bersuara dan berpersatuan, hak kebebasan akademik, hak autonomi universiti dan menyertai politik sebagaimana warganegara yang lain. Itu sahaja.

Bukannya memansuh akta yang melibatkan tubuh sebuah universiti, perlantikan Naib Canselor, akta kakitangan universiti dan macam-macam lagi. Itu serahkan kepada pihak yang lebih mengetahui.

Ini termasuklah isu yang menjadi perbincangan hangat berkenaan kewajaran mahasiswa berpolitik baru-baru ini, turut melibatkan akta ini.

Apa-apa pun, selagi mana mahkamah masih belum dipengaruhi kuasa luar seperti mana yang berlaku kepada lima mahasiswa UM berkenaan isu 'Puaka UM", peluang UKM4 untuk mencabar akta ini masih ada. Selamat berjaya mahasiswa!

Disediakan oleh,

Mohd Aizat Mohd Salleh

Setiausaha Agung

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

"Taukeh Judi Kembalikan Duit Judi"

Posted: 01 Oct 2010 05:43 AM PDT

Maka dengan bersungguh-sungguh pimpinan UMNO Pulau Pinang ingin meraih sokongan orang Melayu dengan mengajurkan upucara menerima pemulangan wang sumbangan RM 100 kerajaan negeri dari warga emas.

Berita tersebut mendapat liputan yang meluas dari media elektronik dan disiarkan diberita jam 8.00 malam tadi. Dikatakan 40 orang memulangkan wang halal yang diharamkan oleh UMNO itu.

Agak sesuai saya namakan lakonan dan sandiwara itu sebagai "taukeh judi mengembalikan wang judi".

Akhbar Sinar Harian pula melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (gambar), kesal dengan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang didakwa nya tidak pernah jujur dengan rakyat Pulau Pinang, tetapi sebaliknya sering menyembunyikan fakta sebenar.

Azhar nampaknya sudah sangat jijik dengan wang judi sehingga menyerang Kerajaan Negeri yang didakwanya mengunakan wang judi untuk wang ihsan RM100 atau program membasmi miskin tegar.

Namun secara jujur Ketua menteri Pulau Pinang mengaku guna duit judi daripada kelab lumba kuda, tetapi hanya untuk bukan Islam.

Guang Eng menjelaskan "Kerajaan negeri mengasingkan dana yang diterima daripada kelab lumba kuda, terdapat juga masyarakat bukan Islam yang miskin tetapi untuk umat Islam, ia tiada kaitan dengan sumber judi," katanya dalam laman sosial twitter.

Tetapi sudah lebih 50 tahun BN memerintah Pulau pinang dan Malaysia, ternyata mereka gagal membezakna dan mengasingkan wang judi dengan wang halal.

Namun begitu tindakan UMNO mendapak tempelak dari kenyataan dari bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri "Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."

Katanya lagi , bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.

Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.

Sebagai makluman wang kutipan dari hasil judi bagi negara Malaysia dalam tempoh setahun berjumlah RM 2.3 billion.

Dalam kenyataan berasingan Dr Mohd Asri menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

Saya menyokong kenyataan Ketua Penenrangan PAS Pusat bahawa Umno merupakan 'bapa judi' sebenar, Umno sepatutnya membersihkan dahulu 'najis' itu di peringkat pusat, termasuk tidak membiarkan orang Melayu menjadi lembaga pengarah syarikat judi.

Demikianlah siri sandiwara pemimpin UMNO yang semakin "nazak" dari persada politik tanah air. Saya yakin UMNO akan ditolak oleh orang Melayu sendiri berkat kejujuran Kerajaan Pulau Pinang untuk menolong warga miskin yang sekian lama dipinggirkan dan diabaikan oleh UMNO dan BN.




Oleh Drs. Khalil Idham Lim

Anwar Kini Menjelajah Dunia Terangkan Isu Fitnah Liwat

Posted: 01 Oct 2010 04:16 AM PDT

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam kempen global bagi mendapatkan sokongan antarabangsa berhubung perbicaraan kes liwatnya yang didakwa tidak mempunyai asas dan bermotifkan politik.

Bercakap di Berlin, semalam selepas pertemuannya dengan ahli parlimen dan aktivis politik Jerman, Anwar berkata beliau menggunakan peluang tempoh pembebasan singkatnya sekarang ini untuk menerangkan kepada dunia berhubung kesnya itu yang dianggap wabak rasuah di Malaysia dan sistem perundangan yang berat sebelah.

"Kerajaan berkata kes ini tidak ada kaitan dengan mereka, tetapi fakta yang dikemukakan menunjukkan sebaliknya," katanya.

Anwar kini menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya yang mungkin bakal mengugat kerjaya politiknya jika dihumbankan semula ke penjara. Sebelum ini, bekas timbalan perdana menteri itu telah menjalani penjara enam tahun atas pertuduhan liwat yang lain.

Anwar yang berjaya menambahkan bilangan kerusi PKR dan parti pembangkang yang lain pada pilihan raya umum 2008, kini menimbulkan kebimbangan kepada BN mengenai kemungkinan gabungan itu ditumbangkan setelah memerintah negara sejak mencapai kemerdekaan.

Anwar berkata dakwaan terbaru yang dibuat oleh seorang pembantunya itu adalah usaha kerajaan persekutuan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menambahkan tekanan tekanan politik ke atasnya.

Homoseksual - atau hubungan sejenis, termasuk meliwat adalah satu jenayah di Malaysia. Jika terbukti salah, ketua pembangkang itu boleh dihumban ke penjara sehingga 20 tahun dan dilarang menyertai politik.

Anwar dan penyokongnya berjumpa dengan ahli parlimen dan pegawai kerajaan di Brussels dan akan berlepas ke London, Barcelona, New York dan Jakarta sebelum perbicaraannya bersambung pada 14 Oktober ini.

Anwar menerima sokongan meluas di kalangan ahli parlimen Jerman ketika di Berlin, meskipun beliau tidak mengadakan mesyuarat rasmi dengan kerajaan.

Pejabat Kementerian Luar Jerman juga tidak memberikan sebarang respon ketika diminta maklumat mengenai lawatan Anwar ke negara itu.

Adun Umno diminta pulangkan gaji wang 'haram'

Posted: 30 Sep 2010 08:32 PM PDT

Seramai 11 ADUN Umno di Pulau Pinang dicabar memulangkan wang gaji mereka kerana kemungkinan wang berkenaan datangnya dari sumber judi.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang membuat cabaran itu juga menggesa Umno mengarahkan semua staf dan kakitangan akhbar Utusan Malaysia milik parti itu untuk memulangkan semua gaji mereka.
Tindakan itu supaya kakitangan Islamnya tidak 'termakan wang haram'. Sekretariat itu mendakwa ada unsur-unsur perjudian dalam penghasilan gaji mereka, menerusi iklan-iklan empat nombor ekor di akhbar itu.

"(Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat juga) mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah pengaruh mereka supaya memulangkan semua pendapatan gaji semula kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih daripada percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak," kata mereka ketika membacakan kenyataan media.

Menurut setiausaha PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid (gambar kiri), - Umno kini tertekan dengan keupayaan Pakatan dalam perbelanjaan berhemah kerajaan negeri yang berjaya mempunyai wang berlebihan dan memperuntukkan dana RM20 juta untuk program menghargai sumbangan warga emas.

Katanya, tertekan dengan keupayaan itu, Umno memfitnah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

"(Justeru) cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada Umno membuktikan diri mereka adalah 'pembela Melayu yang sebenar', seperti yang selalu mereka war-warkan.
Warga emas ditipu

"Kami juga menyeru agar Umno benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di televisyen dan di dada-dada akhbar," kata Syed Mikael pada persidangan akhbar di Prai, semalam.

Turut menadatangani kenyataan bersama ini adalah Setiausaha Pemuda DAP, Pulau Pinang, Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Pulau Pinang, Mohd Nor Harun.

Dua hari lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang diberikan itu selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Ia berikutan pendedahan oleh pemimpin Umno yang mendakwa bahawa wang berkenaan diperolehi daripada sumber perjudian.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kumpulan warga emas berkenaan telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim (gambar kanan)yang juga setiausaha perhubungan Umno Pulau Pinang.

"Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul.

"Ini bukti jelas, bahawa Umno sanggup buat apa saja, hingga sanggup menidakkan hak rakyat, semata-mata mahukan populariti politik murahan!" kata Syed Mikael.

Ng pula menganggap Umno merampas hak warga emas beragama Islam apabila mendalangi usaha dengan 'memperbodohkan' mereka dengan menyebarkan propaganda tidak bersandar fakta.

Diaturkan Umno

"Kesian mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi jelas, Umno cuba merampas apa yang sepatutnya mereka dapat," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana syarikat menghulur sumbangan baik badan korporat mahupun kelab lumba kuda tetapi dana itu diasing mengikut kategori.

"Bantuan ini terletak di bawah pegawai kewangan negeri. Mereka boleh mengasingkan sumbangan tanpa ada masalah", katanya yang kesal kerana warga emas disogok maklumat tidak tepat dan percaya ia didalangi pimpinan Umno.

"Itu majlis yang diaturkan Umno. Tak adalah, mana boleh warga emas yang minta majlis macam itu. Ini memang didalangi mereka. Siapa yang membangkitkan isu ini terlebih dahulu? Umnolah," katanya lagi.

"Kalau Umno cakap semua wang termasuk RM100 haram, maka, gaji yang diterima ADUN Umno juga haram. Jadi, pulangkan duit gaji, jangan ambil," kata beliau yang juga ADUN Komtar itu.

Tiada ulasan: