Selasa, 19 Oktober 2010

.

.


Catatan Khas

Posted: 18 Oct 2010 09:43 PM PDT

Menanti Cheng Ho Ke Kelantan

KATA orang bakat dan kercerdikan anugerah Allah semula jadi. Secara fitrah semua manusia tidak kira warna kulit dan agama berhak memiliki kebijaksanaan itu kerana semuanya diberikan akal untuk menjanakan kebijaksanaan untuk hidup. Terpulang dan terserah kepada sejauh mana kerajinan seseorang itu menggunakan akal fikiran mereka.

Tetapi sayangnya tidak semua manusia bernasib baik untuk menggunakan kecanggihan komponen itu berharga (akal) sehingga ia boleh menoleh ke belakang dan merungkai jauh ke depan. Orang boleh melihat jauh ke depan mereka memiliki seribu jalan untuk berjaya dan memberi keuntungan kepada semua ummah.

Di sinilah pula dikatakan orang cerdik hanya terpilih saja. Orang cerdik banyak tetapi tidak banyak yang boleh memanfaatkan akalnya. Kurang kreativiti dan malas. Di sinilah memerlukan kreativiti seseorang hamba apa lagi yang bernama pemimpin.

Tidak terlampau kalau dikatakan, apa yang pernah dilafazkan oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pengerusi Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Husam Musa seorang yang cerdik, kreatif dan rajin. Beliau dilahirkan bukan saja untuk Kelantan tetapi untuk Malaysia.

Sekali dengar kata-kata Nik Aziz itu semacam sinikal politik yang berat sebelah. Tetapi kalau dilihat kepada kerja ataupun tindak tanduk (kreativiti) Husam menjelaskan beliau seorang yang menepati apa yang diperkatakan Nik Aziz itu.

Husam sendiri tentu tidak merasai apa yang di'polot'kan kepadanya itu. Namun bagi musuh Pas mereka yang sejuk hati dan melihat Husam sebagai mahkluk lemah yang ada kuasa diam-diam mengakuinya. Saya sendiri dalam beberapa prejudis kepadanya (Husam) sebelum ini namun istiqamah mengenai kelebihan dan kecemerlangan beliau ini. Bahawa beliau suka tidak suka adalah aset kepada Pas Kelantan.

Justeru dengan membuang rasa jengkil dan muak berunsur sentimen melampau atas beberapa pembawaan semul ajadi Husam, semua orang khasnya orang Pas di Kelantan perlu mendokong Husam, memberi semangat atau pun setidaknya tidak menganggui kerja-kerjanya untuk membawa perubahan ke Kelantan dalam membantu Menteri Besar. Biarlah dia berbuat sesuatu kebaikan secara senyap kalaupun tidak mahu menzahirkan sokongan kepadanya.

Misalnya usaha terbaru Exco Kanan berkenaan untuk membawa "Cheng Ho" ke Kelantan pada 21 hingga 28 Nover ini dalam satu Exco "Perdagangan dan Persahabat" Cheng Ho satu lagi kejayaan dan pandangan jauh Husam dalam memanfaatkan kebijiaksanaan dan kehebatan Laksamana Cheng Ho. Cerita Cheng Ho ini sudah lama, tetapi hanya hari ini ditangan Husam baru ia diketengahkan dan bakal merungkai minda umum khasnya rakyat Kelantan. Bahawa baru akan dapat merasai Cheng Ho ada perkongsian hidup dan mati dengan orang Melayu khasnya Kelantan.

Sewaktu saya kembali ke Kelantan beberapa minggu lalu saya sudah mendengar akan projek ini. Saya tidak tahu apakah intipatinya ataupun maksud membawa Cheng Ho itu, tetapi sudah ada suara yang menyindir akan usaha berkenaan tanpa melihatnya dengan mata hati ataupun cuba menyelongkari apakah manfaatnya dalam hubungan Cheng Ho dari sudut perdagangan dan perkembangan Islam.

Saya rasa pandangan itu dari mata juling yang melihat kerana ianya dilakukan Husam. Pandangan demikian pada saya tidak betul. Sesuatu yang baik harus disokong tanpa mengira siapa yang membawa atau mencetusnya. Begitu juga sesutau yang huduh itu perlu dikritik tanpa melihat siapa melakukannya hatta tok alim. Bukan bermakna kita tidak senang dengannya dalam hal-hal tertentu maka keseluruhan apa yang dilaksanakan itu harus ditolak atau dipersendakannya.

Sikap begitu tidak baik dan merugikan semua pihak.

Seperti mana dijelaskan dalam satu kenyataan berhubung perkara itu, ekspo itu demi mengembali nostaglia kehebatan laksama Cina itu dan juga perkembangan Islam di rantau ini dibawah Cina termasuk ke Kelantan. Ia tentulah cuba memecahkan kejayaan hebat Cheng Ho dalam membawa dagangan ke rantau sini bersama dengan pengembangan Islam.

Sudah tentu dengan ada ekpo berkenaan rakyat Kelantan akan mengenali orang Cina dan bagaimana mereka membantu dalam membawa syiar Islam di negara ini. Kita tahu bahawa orang Cina lebih dahulu memeluk Islam berbanding orang Melayu. Selebih dari itu dapat mengenali budaya dan tamadun mereka dalam perdagangan.

Selama ini kita melihat orang Cina – Cina benua adalah Cina semata-mata dalam pemahaman yang disuntik sebelum ini yang penuh prejudis dan persepsi buruk. Kita melihat Cina berdagang dan budaya mereka yang kontras dengan budaya dan agama kita yang datang hendak menakluki kita semata-mata. Tetapi tanpa disedari bahawa bukan semua Cina demikian dan budaya yang ingin dibawa ke sini ialah budaya Cina yang berakidah Islam.

Idea membawa Chengo Ho ke Kelantan ini bukan mudah dan kecil, ia memerlukan komitmen dan kesungguhan. Khabarnya satu rombongan disertai beberapa orang wakil rakyat terlibat dalam menjayakan expo ini dan mereka telah pun mengunjungi China beberapa minggu lalu. Turut sama ialah Adun Pulai Chondong, Zulkefli Mamat yang juga bertindak sebagai Pengarah Expo. Ikut sama ialah Adun Limbongan Drs Zanuddin Awang Hamat dan beberapa anggota yang lain.

Ekoran itu akan menyusul satu lagi rombongan ke Cina tidak lama lagi. Khabarnya kali ia akan disertai sama oleh Exco Kerajaan Tenmpatan, Kebudayaan dan Pelancongan, Takiyyuddin Hassan. Sudah tentu dengan penyertaan aktif pengerusi jawatan kerajaan berkenaan ia akan memeriah dan memantapkan lagi expo berkenaan. Sudah tentu juga ekspo itu akan dapat memaknakan lagi Kota Bharu Bandaraya Islam. (KBBRI)

Expo yang diadakan sempena dengan genap 20 tahu pentadbiran Tok Guru itu hendaklah dilihat sebagai satu kejayaan bersama di Kelantan. Ia bukan milik seseorang tetapi semua anggota kerajaan dan juga penyokong Pas. Saya yakin kalau semua peringkat bersatu dengan ikhlas menjuayakan expo berkenaan yang akan membawa keberkatan dan kesuksesan.

Sudah tentu kalau wujud persefahaman, maufakat dan keikhlasan dalam berkerja, Kelantan bukan saja kekal setakat Nik Aziz masih ada tetapi selepas ini juga akan kekal walaupun siapa mengambil teraju Kelantan.

Kerana seperti mana roh Cheng Ho yang dibawa ke Kelantan itu roh Tok Guru juga akan bersama rakyat Kelantan yang rindu dan cintakan Islam, kalaupun beliau sudah meninggalkan tampuk pentadbiran. Syaratnya semua sepakat dan ikhlas dan buang sifat dengki khianat ataupun beprangsangka jahat di antara satu sama lain. [wm.kl. 11:00 am 18/10/10]



Sebuka Mata

Posted: 18 Oct 2010 05:19 PM PDT

Biarlah Mahathir Terus Mengeluarkan Air Biasanya

JALON (bukan nama sebenar) seorang budak jahat dari kampung berhampiran kampung saya. Dia bukan saja jahat, nakal, tetapi pembohong, degil dan suka bergaduh dengan sesiapa saja. Pantang bermain dengannya akan berlakulah pergaduhan. Bohongnya 10 kali ganda pembohongan Zulkefli Nordin.

Jahatnya Tuhan saja yang tahu dan tidak ada di kampung lain. Dia boleh berak dalam daun keladi dan melontarkan najis ke arah Imam yang sedang sembayang. Salahnya sikit saja sebab imam menegurnya agar kembali ke masjid seperti budak-budak lain. Ajakan Imam kepada agama itu dianggap sebagai berfikiran sempit.

Dia juga keras kepala dan tidak menerima pandangan orang lain. Selamanya dia merasakan dirinya saja yang betul, orang lain salah dan tidak mencapai tahap pemikiran termasuk kejahatan dimilikinya. Sampai ke akhirnya (mati) dia berada dalam keadaan begitu dan kejatahatannya menjadi lagenda seperti mana kejahatan dan kezaliman Firaun di Mesir.

Hari ini cerita Jalon menjadi sebutan. Ia dijadikan bidalan dan perumpamaan, kalau nak merujuk kepada sesuatu kejahatan, orang akan kata, kamu jahat macam Jalon. Kalau ada budak degil, orang akan kata degil macam Jalon. Begitu juga kalau ada budak suka bergaduh dan bergasak dengan orang dan merasakan dia hebat, orang akan kata macam Jalon.

Mengingat watak Jalon ini saya teringat kepada watak bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah merasa besalah atas perbuatan politiknya dan apa lagi untuk menginsafinya. Baik sebelum jadi PM semasa jadi PM dan selepas tak jadi PM dia tetap seperti dia. Mahathir seorang yang konsisten sifat, fiil dan juga perwatakannya. Tidak ada penghijarahan akhlak dalam hidupnya. Takah-takah 40, 60 atau 70 tidak berlaku dalam kitaran hidupnya.

Mahathir tidak pernah mengubah cara dia berfikirnya dalam politik. Cara berfikir begitu sudah melekat dan menjadi darah dagingnya. Dia melihat hanya dirinya saja yang betul. Kalau dia sudah tidak suka kepada seseorang dia akan benci selamanya. Sejuring kebaikan orang itu tidak akan diingat dan dikenang lagi. Inilah kedegilan dan kekerasan yang membatu dalam dirinya.
Tiga manusia yang menjadi sasaran Mahathir kerana dendam kesumatnya tidak pernah ada tara dalam hal ini. Pertama Tengku Razaleigh Hamzah kedua, Anwar Ibrahim dan ketiga Abdullah Ahmad Badawi. Bagi beliau saya lihat ketiga orang ini adalah musuh yang dianggap mengekorai perjalanannya sampai ke liang lahad.

Dendam dan bencinya kepada Tengku Razaleigh tidak pernah habis. Tidak ada yang baik padanya bagi Tengku Razaleigh walaupun Tengku Razaleigh melakukan apa saja kebaikan bersama dengannya. Puncanya ialah kerana Tengku Razaleigh menentanngya dalam tahun 1987 kerana tidak dapat menerima dasar dan pendekatan beliau sebagai PM. Penentangan yang membawa dia hampir tewas itu menjadikan ia berdendam terus. Wajah Tengku Razaleigh adalah wajah pembunuh kerjayanya.

(Sebenarnya ada sebab lain lagi menjadikan dia berdendam, nanti diceritakan lain kali).

Kerana perangai busuk itu, saat orang kini memuji Tengku Razaleigh atas kesediaan untuk menerima tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya kecil Galas, Mahathir diam membisu. Tanpa asa apa-apa ulasan dan kata-kata semangat darinya. Mengapa? Jawabnya kerana dendam. Seperti dia tidak sedia untuk memuji Tengku Razaleigh takut pujian mengutungkan Tengku Razaleigh di Gua Musang.

Mungkin juga Mahathir menyedari penerimaan Tengku Razaleigh itu sebagai permulaan untuk mencetus semula usaha memulihkan Umno secara holistik yang dirosakkan oleh beliau selama 22 tahun lalu.
Demikian juga terhadap Anwar Ibrahim. Serangan beliau tidak pernah reda ke atas Anwar. Kalaulah serangan itu persis memukul Anwar dengan kayu dan batu, sudah lama jasad Anwar tenggelam dalam tanah. Bagi Mahathir beliau melihat Anwar sehuduh makhluk atas muka bumi ini. Walaupun Anwar memaafi atas apa juga kesalahannya yang membawa Anwar dan keluarganya merana namun tidak pernah didengari Mahathir. Dendam dan marahnya mengatasi pertimbangan lain, terhadap Anwar. Semacam Mahathir tidak perikamanusiaan dan petunjuk agama dalam menentang Anwar.

Masih seperti Jalon tidak pernah mengakui kesilapannya. Beliau masih beranggapan tindakan mendakwa Anwar lebih 10 tahun lalu tepat dan berasaskan fakta dan bukti katanya. Dia juga menolak yang pendakwaan itu satu konspirasi. Inilah Mahathir bercakap seolah-olah 28 juta rakyat Malaysia semuanya buta, bisu dan pekak untuk memahami dan menilai sandiwara politik jahat politik beliau dalam mempertahankan kuasa dan kedudukannya.

Katanya mana boleh untuk melakukan konspirasi, ia bukan mudah sebab melibatkan orang ramai. Katanya dia tidak pernah panggil hakim untuk makan atau datang ke rumah. Tetapi Allah itu maha menunjuki kebenaran, dalam beliau menafi itu beliau ada pula menyebut kcuali Ketua Hakim Negara. Kalau sudah Ketua Hakim Negara dipanggil, tidak payah lagi panggil hakim-hakim kecil, sebab Ketua Hakim Negara akan mengrahkan hakim-hakim lain seperti mana kehendak perdana menteri itu.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana Mahathir menguasai dan berkuasa ke atas hakim. Di zamanya lima hakim Mahkamah Tinggi termasuk Ketua Hakim Negara dipecat. Apakah ini sudah dilupai oleh Mahathir. Kejahatan melampau dan rasa bangga diri melampau menyebabkan kejahtaan tidak tertampan di kolam mata dan orang yang taksub kepadanya pula melihat sebagai satu jasa besar yang harus diasappujakan.

Orang mengatakan Malaysia beruntung mendapat insan seperti Mahathir. Tetapi saya merasakan negara kerugian besar kerana menerimanya sebagai pemimpin selama 22 tahun.

Apakah Mahathir lupa dengan tindakan beliau ke atas Anwar menyebabkan negara menjadi huruhara. Setiap kali beliau melakukan tindakan sadis Umno dan negara huruhara. Tahun 1987 bila beliau mematikan Umno menyebabkan wujud Semangat 46 dan Umno berpecah. Implikasi dari dendam itu Kelantan jatuh ke tangan Pas sampai kini sukar untuk diambil alih.

1987 beliau pecat dan sumbat Anwar ke dalam penjara bukankah menghuruharakan Umno dan negara. Akibat dari itu BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 di parlimen dan empat buat negeri. Siapakah yang menjadi punca dan angkara? Bukan Mat Maslan kecuali Mahathir.

Mahathir tidak pernah mencermin dirinya dan tetap merasakan hebat. Kelemahan BN dan Umno itu tetap diletakkan atas bahu orang lain. Dia telah menyalahkan 100 % kepada Abdullah Badawi yang katanya mengsia-siakan mandat besar diberikan rakyat 2004. Fahamkah kita yang dikatakan Mahathir itu. Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana Abdullah telah melepaskan singa yang dikandangkan olehnya. Walhal cara Abdullah melepaskan Anwar itu adalah tindakan kemanusiaan yang mulia terhadap satu kekejaman dilakukan oleh seorang Jalon bernama Mahathir.

Kerana itu beliau terus mengkritik Abdullah. Baginya tidak ada satu juring pun kerja dan pengorbanan Abdullah baik dan berguna. Malam siang kadang-kadang dalam tidur beliau melutu dan mencerca Abdullah Badawi. Itulah di Jalon Dr Mahathir Mohamad.

Sebenarnya orang seperti Mahathir ini memang dilahirkan Allah untuk menjadi batu pengasah kepada kita. Anggalah dia sebagai batu yang akan menajamkan pemikiran kita dan mengenalikan kita dengan mentara keTuhanan. Biarlah dia terus berkata-kata selagi mahunya.
Makin banyak dia mengeluarkan kata-kata maka rakyat akan lebih mengetahui dia dan mengenali peribadinya. Mahathir kini umpama ular sawa yang akan mengeluarkan semua air bisa dan racunnya sebelum dia membungkus diri dan terjun ke dalam lubang. Biarkanlah dia mengkritik dan mencerca, kerana sifat mazmumah itu adalah penawar dan pil kesihatan untuk di Jalon ini, tiada pilihan lain hanya itu saja. [wm.kl.8:00 am 19/10/10]

Susupan Tengah Malam

Posted: 18 Oct 2010 10:02 AM PDT

Karim Ghani Keluar Umno, Mungkin Sertai Pakatan?

SEMALAM Umno Sabah dikejutkan dengan pengumuman bekas Ketua Penerangan Umno Sabah, Abdul Karim Ghani yang telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan serta merta. Surat perletakan itu sudah dihantar ke ibu pejabat Umno Sabah dan Kuala Lumpur.

Mungkin Karim waktu ini hanya melukut di tepi gantang saja dalam arena politik Sabah tetapi penglibatannya dalam perjuangan politik Sabah 30 tahun lalu bukan kecil anak.

Beliaulah antara pelopor yang telah membawa Umno masuk ke Sabah kerana ingin menyelamatkan agama Islam di negeri berkenaan yang ketika itu diancaman pengaruh Kristinasi yang hebat pada masa Sabah di bawah naungan PBS.

Karim adalah tokoh sezaman dengan bapa kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapa Haron dan boleh dianggap Datu Mustapa sebagai idolanya.

Dengan tindakan Karim itu ia memberi kesan kepada Umno Sabah apa lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Golongan veteran dan mereka yang berjiwa Sabahan pasti akan bersama beliau.

Beberapa hari sebelum itu beliau ke Kuala Lunmpur dan sempat bertemu saya dan beberapa rakannya yang lain. Biasalah kalau ke sini beliau akan mencari teman-teman penulis yang dikenal sejak lama dulu untuk berbual dan makan.

Beliau seorang yang humble dan tidak pernah sombong dan senantiasa mengenang dan merai kawan baik ketika di Kuala Lumpur atau kami ke Sabah. Malam itu antara penulis yang dipanggil ialah saya, Syed Abdullah dan Yahaya Ismail. Sdr Zabidi Saidi rakannya semasa Zabidi di Sabah telah dipanggil malam sebelumnya.

Malam itu Karim tidak mencerita lanjut apa yang akan berlaku. Cuma beliau ada membayangkan sesuatu kejutan akan berlaku. "Tunggulah 18 Oktober saya akan membuat pengumuman penting di Kota Kinabalu," begitulah ujarnya. Dan ternyata hari ini beliau mengambil langkah nekad meninggalkan Umno atas alasan parti itu gagal untuk mengambil langkah objektif untuk memaju dan membela masyarakat Sabah. Ada juga mengatakan tindakan itu kerana Umno telah meminggirkan orang lama dalam Usno yang menyertai Umno.

Sebenarnya saya sudah dapat mengagak tindakannya itu. Lama sebelum ini semasa bertemu di Kota Kinabalu kira-kira dua setengah tahun lalu beliau sudah membayangkan rasa tidak puas hati terhadap Umno dalam membangunkan Sabah. Menurutnya penghijarahan Umno ke Sabah bukan membawa harapan tetapi memusnahkan Sabah. Hatinya ketika sudah tawar terhadap Umno di mana ketika Abdullah Badawi melawat Sabah beliau tidak pun ke aiport menyambut Abdullah.

Beliau membayangkan rasa putus asa kepada Umno yang telah menjanjikan macam-macam untuk kepentingan rakyat Sabah yang sanggup mengorbankan Usno. Pengorbanan yang mahal itu dirasakan tidak berbaloi.

Bagi Karim janji Umno itu hanya manis dibibir mulut saja dan dirasai sebagai perangkap semata-mata untuk kepentingan individu tertentu yang berjaya memperalatkan pemimpin Umno Sabah waktu ini.

Apabila beliau mengumumkan keluar Umno serta merta maka jelas, apa lagi menjelang 24 jam Perhimpunan Agung Umno beliau sudah tidak dapat lagi menahan rasa pedih dan kesal kepada Umno. Apakah tindakan beliau selepas ini. Katanya beliau dan rakan-rakan seangkatan dengannya sedang berusaha untuk menghidupkan semula Usno untuk dijadikan wadah perjuangan.

Orang seperti Karim yang tidak boleh duduk diam pasti akan berusaha apa saja untuk meneruskan sisa-sia usianya dalam perjuangan. Semasa dalam Usno dulu beliau merupakan Naib Presiden yang sangat berpengaruh.

Apakah sekiranya usaha menghidupkan Usno gagal Karim dan ribuan penyokongnya akan bertindak menyertai PKR atau Pas? Pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November depan akan memberi petunjuk ke mana arah jalan masa depan Karim dalam politik. Sebagai pejuang Karim tidak akan boleh duduk diam pasti beliau akan merayau ke Batu Sapi. Apa lagi khabarnya 30% pengundi di Batu Sapi orang Melayu yang rata-rata asalnya dari Usno. [wm.kl. 1:10 am 19/10/10]

Laporan Lewat

Posted: 18 Oct 2010 05:15 AM PDT

Ibrahim Ali Selamat Jalani Pembedahan

[kemaskini] BARU sekejap tadi ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub mengirimkan SMS kepada saya menyatakan beliau juga berdoa untuk kesihatan Ibrahim. Katanya; "Saya sekeluarga mendoakan semoga Allah s.w.t. anugerahkan keselamatan dan kesejahteraan pada Dato' Hem dan cepat sembuh."

Sallahuddin adalah wakil rakyat dan pemimpin tertinggi Pas pertama yang turut menyatakan simpati dan berdoa untuk kesejahteraan Inchek Ibrahim. Sikap dan keprihatinan sebeginilah yang kita mahu dan menjadi amalan kita semua.

AHLI Parlimen bebas Pasir Mas Ibrahim Ali sudah selamat menjalani pembedahan jantung kira-kira jam 5:00 petang tadi. Beliau dibawa masuk ke bilik pembedahan (OT) jam 11:00 pagi. Ketika ini beliau ditransit di wad CCU, Ampang Puteri, Selangor. Bagaimana pun beliau masih belum sedar sepenuhnya kerana obat bius dan dijangka akan sedar sepenuhnya menjelang jam 10:00 malam ini.

Menurut rakan baik Ibrahim sdr Zainal Abdul Rashid yang memaklumkan menerusi SMS, ramai sanak saudara, kawan dan kenalan beliau berhimpun di luar hospital menanti perkembangan pembedahan itu. Masing-masing sugul dan berdoa agar pembedahan itu selamat, mereka baru beredar selepas mengetahui pembedahan selesai dan selamat dijalankan.

"Alhamdulilah MSO pembedahan Datuk Him selamat dan terima kasih kepada MSO yang turut mendoakan dalam blog dan FB," kata Zainal yang dikenali dengan panggilan manja Abe.

Dalam pada itu sejak saya postingkan mengenai pembedahan Ibrahim ramai penjenguk yang turut menyatakan simpati dan turut berdoa untuk beliau. Masing-masing berharap Ibrahim akan sembuh dan meneruskan perjuangan beliau menerusi Persaka.

"Kita mahu orang seperti Tok Him kerana di dalam buruknya ada baiknya khasnya untuk orang Melayu," kata seorang penjenguk. Dalam pada itu beliau berharap semoga apa yang dilalui Ibrahim hari ini akan memberi ruang untuk beliau melakukan mahasabah diri.

Dalam itu ada juga komen-komen liar dan nakal yang saya kira datangnya dari mereka yang terlalu marahkan Ibrahim dan tidak dapat menilai dan membezakan situasi Ibrahim kini dengan lagaknya di atas pentas selama ini.

InsyaAllah saya bercadang akan mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan pembedahan Ibrahim itu sebaik saja beliau dibenarkan keluar dari hospital sebagai menandakan penghormatan saya ke atas beliau sebagai seorang perjuangan rakyat meskipun ada banyak perbezaan teknik perjuangan antara saya dengan beliau. [wm.kl. 8:20 pm 18/10/10]

Tiada ulasan: