Sabtu, 2 Oktober 2010

.

.


Susupan Petang

Posted: 02 Oct 2010 12:32 AM PDT

Menghadiri Rumah Terbuka Hassan Ali

TAHUN ini tidak banyak saya menerima undangan menghadiri rumah terbuka orang politik. Hanya beberapa tokoh saja. Antaranya Mohamad Azmin Ali, Zaid Ibrahim, Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Halimah Ali dan Dr Hassan Ali. Kecuali Zaid Ibrahim, Azmin, Mohd Hatta, Dr Halimah tidak pernah melupai saya. Setiap tahun saya menerima undangan mereka.

Sebelum Zohor tadi saya baru balik dari rumah terbuka Hassan Ali di Taman Tun Dr Ismail bersama sdr Rsudhan Mustapa anak-anaknya dan juga isteri dan dua orang saya.

Rumah terbuka pemimpin lain tidak kesempatan saya menghadirinya. Kebetulan sewaktu berlangsung rumah terbuka Mohamad Azmin Ali, Dr Halimah dan Mohd Hatta Ramli saya berada di luar negara. Manakala rumah terbuka Zaid Ibrahim hari ini, saya terpaksa lepaskan kerana menghadiri rumah terbuka Hassan Ali. Tidak larat untuk ke rumahnya. Kesemua jemputan mereka itu saya menerima langsung dari SMS mereka.

Saya sengaja mengagahkan diri menghadiri rumah terbuka Exco Selangor itu. Lagipun saya menjadikan rumah terbuka beliau itu sebagai mewakili rumah terbuka pemimpin-pemimpin Pas lain.

Kata orang rumah terbuka bebas untuk pergi tanpa ada jemputan rasmi. Tetapi ada juga sesetengah orang politik tidak begitu gemar untuk menerima tetamu tanpa diundang. Apa lagi tetamu seperti saya (penulis dan bloger) bimbang kalau-kalau dicatat dan dinukilkan sesuatu yang tidak enak di sepanjang rumah terbuka berkenaan.

Dan saya sendiri tidak akan memurahkan diri untuk menghadiri mana-mana rumah pemimpin baik parti mana sekalipun. Kalau hanya melihat bennar jemputan di tiang lampu tanpa ada jemputan khusus saya takkan hadir. Bukan apa untuk tidak menganggu tuan rumah dan tetamunya.

Baik rumah terbuka menteri, rumah terbuka Anwar Ibrahim atau rumah terbuka Nik Abdul Aziz Nik Mat maupun rumah Abdul Hadi Awang (yang tidak pernah saya menghadirinya) kalau yang mengajaknya bukan orang dalam, tidak 'berani' saya untuk hadirnya.


Hassan Ali menyambut tetamunya Mufti Selangor yang turut meraikan rumah terbukanya.

Razali Ismail berbaju biru bersama isteri dan orang kuatnya paling kanan.

Turut hadir Sasterawan Negara, Tan Sri Annuar Redhuan bersama isteri. Saya tumpang sekaki bergambar kenangan.

Orang kuat DAP Selangor Ronnie Liu juga turut hadir. Kelihatan sama setiausaha politik Presiden Pas, Dr Samsuri Ahmad Mokhtar (paling kiri).

Sebahgain ribuan orang ramai di rumah terbuka Hassan Ali terdiri dari segenap lapisan masyarakat.

Rumah terbuka Hassan Ali tadi boleh dikira meriah juga. Sewaktu saya sampai orang ramai sudah berpusu-pusu. Kereta menuju ke rumahnya penuh sesak. Kereta terpaksa di parking jauh dan setengah kilometer juga kena menapak ke rumahnya. Melihat susana dan kemeriah itu semacam Hassan Ali MB Selangor pula. Jelas kehadiran itu menunjukkan beliau Exco yang popular dan digemari rakyat.

Ketika saya sampai jam 2:30 petang Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din baru berangkat pulang. Tak sempat untuk bertemu mata dengannya. Begitu juga dengan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sudah pulang. Azmin tentu sibuk kerana esok cabangnya Gombak akan mengadakan persidangan. Yang ada ketika itu ialah Ronnie Liu kelihatan duduk semeja dengan Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang, Dr Samsuri Ahmad Mokhar. Bekas setiausaha politik Abdul Hadi yang kini Ketua Penerangan Pas Selangor Roslan Datuk Ahmad Shahir juga hadir.

Orang yang selama ini saya cari-cari juga muncul di rumah terbuka Hassan Ali itu. Dia ialah Mohd Fauzi bekas setiausaha akhbar Menteri Besar Kelantan. Selepas dipecat dari jawatan itu beliau menghilang entah ke mana. Baru hari ini saya dapat tahu beliau menginap di Makkah selama lima tahun dan selama di sana beliau menyiapkan tesis Phd. Sudah siap, katanya.

Turut sama hadir ialah rakan laman Hassan dalam bidang motivasi, Fadzilah Kamsah. Dan semasa saya hendak balik orang kuat air Selangor Razali Ismail tiba bersama isteri mudanya. Dan semasa permisi hendak balik, muncul pula Mufti Selangor, Datuk Tahyes Taib.

Hassan mengadakan sidang akhbar selepas itu namun saya tidak dapat mengikutnya kerana masih ada satu lagi rumah terbuka di kawasan kediaman. kepada Dr Hassan, isteri dan keluarga diucapkan selamat Idiifitri. [wm.kl.4:00 pm 02/10/10]

Ulasan Galas

Posted: 02 Oct 2010 12:09 AM PDT

Tengku Razaleigh Akan Diperangkap Kali Ketiga?

TUAN tubuh masih belum mengesahkan apakah beliau menerima atau tidak tawaran BN untuk menjadi Pengarah pilihan raya kecil Galas. Beliau masih diluar negara dan diberitakan akan pulang ke tanah air pada 9 September ini. Cuma media sudah mengwar-warkan kononnya beliau, (Tengku Razaleigh Hamzah) sedia untuk menggalas tanggungjawab itu.

Kenyataan Muhyiddin Yassin itu yang mengatakan beliau telah bercakap sendiri dengan Tengku Razaleigh, dikuatkan dengan kenyataan orang kanannya, Adun Nenggeri, Mat Yusuf Abdul Ghani yang memberi tahu sebuah portal berita kononnya bosnya itu sudah menerima jawatan itu.

Sejauh manakah Yusuf mempunyai autoriti untuk mengesahkan kenyataan Muhyiddin itu bagi pihak Tengku Razaleigh.

Selagi pengakuan terima tanggungjawab itu tidak keluar dari mulut Tengku Razaleigh sendiri ia tidak boleh dipercayai. Kerja dilakukan kini bolehlah dianggap kerja memancing dan mengumpan Tengku Razaleigh semata-mata. Kalau Tengku Razaleigh kelabu mata mungkin kailnya akan mengena.

Tengku Razaleigh memang layak dan sesuai menjadi pengarah pilihan raya kecil Galas. Dialah paling berwibawa kerana sudah lama menjadi ahli parlimen Gua Musang. Sebab itu BN beriya mahukan dia. Sebab itulah Muhyiddin tiba-tiba memuja dan memuji Tengku Razaleigh Hamzah tidak semena-mena.

Muhyiddin bukan saja menawarkan Razaleigh sebagai pengarah, bahkan calonnya sekali. Benar kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub, Muhyiddin lari dari tanggungjawabnya apabila menghulurkan jawatan itu kepada Tengku Razaleigh. Apakah itu bukan pengecut? Selalunya kalau ada pilihan raya maka timbalan presidenlah menjadi pengarahnya.Mungkin Muhyiddin masih menghidu jebat kemaluan semasa di Manik Urai dulu.

Muhyiddin mungkin sudah serit dengan beberapa pilihan raya sebelum ini. Kemenangan BN di Hulu Selangor tidak memberi kepuasan kepadanya kerana beliau sendiri tahu rahsia kemenangan itu tidak berapa halal. Manakala kekalahan di pilihan raya kecil Manik Urai pula menjadi Muhyiddin tahu sejauh mana ledakan rakyat Kelantan kepada Umno. Jadi beliau tidak mahu lemas dalam lubuk sama dalam satu masa.

'Tok Empat Umno Kelantan', Mustapa Mohamed nampaknya tidak berkata apa-apa dengan cadangan Muhyiddin itu. Mungkin Muhyiddin langsung tidak menanyai dirinya. Apakah Mustapa sudah mulai sedar yang Umno Kuala Lumpur sudah tawar hati benar kepadanya?

Begitu pun Muhyiddin kena ingat, Tengku Razaleigh bukan pelahap nak jadi MB Kelantan. Dia nak jadi PM. Dia tidak perlu bertanding kerusi Dun. Dia mahu bertanding kerusi presiden Umno. Sebenarnya kalau Muhyiddin ikhlas menghormati Tengku Razaleigh, menyanjungi Tengku Razaleigh dia tidak berikan kerusi Galas, tetapi kerusi Perdana Menteri. Muhyiddin seharusnya berusaha memberi laluan kepada Razaleigh kalau beliau sudah tidak yakin dan tahu sejauh mana kredibiliti Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Semacam ada juga iras-iras yang Muhyiddin mahu menggunakan Tengku Razaleigh agar menjatuh Najib demi menyelamatkan kedudukannya. Apakah cadangan itu satu konspirasai yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad?

Justeru dalam tilikan saya bukan mudah Tengku Razaleigh hendak buat keputusan. Dia mungkin menghormati tawaran Muhydidin itu. Tetapi dia kena fikir. Dalam hal ini Tengku Razaleigh tidak boleh memikirkan maruah Umno Kelantan, tetapi beliau kena fikir kedudukan dan maruah sendiri dulu. Itu lebih penting.

Kalau Umno menang dalam pilihan raya itu ia tidak memberi banyak kelebihan kepadanya. Kedudukannya dalam politik Umno tidak berubah. Cita-citanya juga tidak akan tergamit. Beberapa hari saja selepas kemenangan Umno akan lupa peranan dan jasa Tengku Razaleigh memenangkan kerusi Galas itu. Umno akan mendabit dada kemenangan itu adalah hasil gembleng tenaga yang mantap sesama mereka. Lepas itu Tengku Razaleigh hanya akan terkulat-kulat macam cicak mabuk kapur.

Tetapi kalau kalah Umno akan persalahkan kepada Tengku Razaleigh. Umum akan melihat Tengku Razaleigh juga sudah hilang pengaruh dan taring. Dalam hal ini Umno sengaja nak menguji pengaruh Tengku Razalegih dalam pada itu kalau menang mendapat untung. Kalau BN kalah, Tengku Razaleigh akan dipersalahkan. Kehinaan yang besar akan diperolehi anak raja itu.

Penerimaan Tengku Razaleigh itu juga boleh merosakan reputasinya dengan Pakatan Rakyat khasnya Pas dan PKR. Ura-ura kononnya beliau akan mengganti atau diharap mengganti tempat Anwar Ibrahim juga akan termusnah. Sudah tentu Pas dan PKR akan melihat Tengku Razaleih bukan kawan tetapi lawan mereka. Demikian juga hasrat nak wujudkan kuasa ketiga bagi penentukan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti akan rosak.

Saya tidak fikir kalau Tengku Razaleigh akan jadi sejinak itu. Pun begitu sukar juga nak tolak sebab dia orang politik apa lagi anak raja, mudah dipuja dia pujuk. Asalkan ada orang memikul tandunya ke hulu ke hilir ia akan ikut saja. Anak raja memang suka ketawa dari atas tandu.

Tengku Razakeigh perlu menoleh ke belakang dan mengenang sejarah jatuh bangunnya dalam politik serta apa yang Umno sudah perlakukan kepadanya. Tengku Razaleigh kena ingat kegemilangannya dan pengaruhnya di Gua Musang sudah mengecut sesuai dengan usianya. Hakikat ini boleh dilihat kepada sejarah pencapaiannya dalam pilihan raya di kerusi Parlimen Gua Musa sejak tahun 1974 hingga 2008.

Sebanyak sembilan kali Tengku Razaleig menyertai pilihan raya itu. Kesemua pilihan raya itu beliau menang. Tetapi kemenangannya naik turun. Ini dapat dilihat kepada majoriti yang diraihnya. Yang jelas selepas beliau kembali semula ke dalam Umno takala membubarkan Semangat 46, (1995) pengaruhnya terus menurun. Sokongan juga merosot. Dalam pilihan 1999 beliau menang dengan majoriti 2,923. Itupun kerana lawannya orang baru dalam Pas, iaitu Razak Abbas. Sudah pasti kalau Pas meletakkan calon lebih berwibawa Tengku Razaleigh mungkin kalah dalam pilihan raya 1999.

Pilihan raya 2004 majoriti Tengku Razaleigh naik kembali, tetapi ia tidak melebih 10,000. Majoriti tertinggi dicatatnya ialah dalam pilihan raya 1990 ketika bergabung dengan Pas di mana majoritinya 13,246 undi.

Majoriti Tengku Razaleigh dalam pilihan raya 2008 terus merosot di mana dalam pilihan raya itu beliau meraih majoriti 4,394 undi saja.

Putaran atau pasang surut pengaruh dan kekuatan ini perlu direnung oleh Tengku Razaleigh. Beliau tidak boleh syok dengan masa lalu. Beliau juga kena faham keadaan politik hari ini yang jauh berbeza. Jumlah pengundi muda juga sudah mengatasi pengundi tua yang mana sebelum ini menjadi penyokong kuatnya. Begitu juga sikap pengundi Cina sudah banyak berubah. Demikian juga Orang Asli yang selama ini menjadi rakyat marhaennya, tetapi kini sudah ada yang tahu membezakan warna bendera parti.

Dan apa yang saya bimbangkan sekiranya Tengku Razaleigh terpesona dengan pujian dan tepokkan Umno terhadapnya kini ianya sebuah perangkap terakhir untuk menghancurkan kerjaya politiknya. Pada saya kalau takdir calon BN kalah manakala Tengku Razaleigh menjadi pengarahnya kekalahan itu akan disandarkan kepadanya, walaupun apa yang dipikulnya hanya tanggungjawab demi cintanya kepada Umno namun beliau tetap menerima risikonya.

Catatan pencapaian Tengku Razaleigh dalam pilihan raya Gua Musang dari tahun 1974 hingga 2008.

1. 1974 – Menang tanpa bertanding
2. 1978 – 4,562 lwn Khaidir Khatib (Pas)
3. 1982 – 5,763 lwn Pak Chu Hji Hassan Tok Wali (Pas).
4. 1986 – 7,319 lwn Wan Rahim Abdullah (Pas).
5. 1990 – 13,246 Wan Ismail Wan Ibrahim (BN).
6. 1995 – 8,980 lwn Nik Ismail Wan Idris (Akim).
7. 1999 – 2,923 lwn Razak Abbas (Pas).
8. 2004 – 6,548 lwn Zulkefli Mohamad (Pas).
9. 2008 – 4,394 lwn Zulkefli Mohamad.
[wm.kl. 8:00 pm 01/10/10]

Cerita Hari Sabtu

Posted: 01 Oct 2010 08:06 PM PDT

Khalid Ibrahim Tidak Mudah Diperdayakan

SAYA sungguh seronok mendengar jawaban balas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim terhadap sesiapa saja mengkritik beliau atau cuba melaga-lagakan beliau dengan seseorang. Sekali lihat cara berpolitik Khalid macam orang bodoh, tetapi sebenarnya itulah sikap ataupun tindakan politik yang bijak.

Khalid seorang yang tenang dan seperti dungu tidak mudah melatah dan mempercayai cerita-cerita orang. Hatta jerat yang dipsang di depan rumahnya boleh lupa begitu saja. Kerana sikap lembu kenyang itulah menyebabkan Khalid terselamat dari beberapa percubaan untuk menghuruhara kerajaanya.

Bayangkan bagaimana beliau tenang dan senyum saja menerima 'pemecatan' beliau sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang diganti dengan Mohamad Azmin Ali. Tidak ada apa-apa protes terhadap perubahan itu walaupun ia dibuat menjelang pemilihan kepimpinan PKR. Tidak ada rajuk atau pun kekeduhan hati yang ditunjukkan pada umum. Mungkin hatinya terguris tetapi Khalid tidak pernah mempamerkan kepada ahli parti. Itulah orang yang cerdik dan bijak.

Kalau berlaku ke atas orang lain, tentu menjadi masalah. Mungkin PKR Selangor sudah dilanda ribut taufan.

Apa katanya mengenai pertukaran jawatan itu. Dia menyifatkan pertukaran itu sebagai biasa dan wajar dalam politik. Dengan pertukaran itu membolehkan beliau menumpukan kepada mentadbir negeri manakala Azmin pula menyusun PKR. Tidak ada sedikpun nampak yang beliau gusar. Keikhlasan Khalid menerima pertukaran itu menyebabkan sesiapa yang niat hendak ambil kesempatan melagakan dia dengan Azmin tidak menjadi.

Yang kecewa orang yang ada agenda cuba menimbulkan ketegangan itu tetapi bukan Khalid dan Azmin.

Begitu juga pendedahan terbaru oleh bekas ahli MPT PKR kononnya ada perbualan telefon seseorang dengan seseorang yang lain mengenai rancangan nak jatuh Khalid Ibrahim. Rancangan itu dikaitkan dengan Azmin Ali. Khalid biasa saja mengulas pendedahan bekas ahli MPT itu. Kata Khalid dia tidak percaya kepada pendedahan itu. Tamat cerita!

Bila Khalid tidak percaya maka terngangalah orang yang mendedahkan rahsia itu. Harapanya untuk melihat Khalid menjadi kerbau dan Azmin menjadi lembu dan berlaga dalam gelanggang sampai robek kandang tidak menjadi. Mungkin mereka yang mendedahkan itu untuk melihat keduanya bergaduh. Bila Azmin dan Khalid bergaduh ibarat kata berkecailah PKR Selangor.

Apa yang diharapkan bila PKR Selangor berkecai dan bergolok maka senanglah untuk Umno masuk jarum dan merampas balik negeri Selangor. Itu tujuannya. Ertinya mereka yang mendedahkan itu kononnya atas nama untuk tegak demokrasi dalam PKR sebenarnya membawa agenda musuh bagi meruntuh PKR. Jika diperhatikan orang yang mendedah perkara itu ada hubung kait dengan bekas orang kuat PKR maka jelas ia bekerja untuk kepentingan Umno. Bukan itu itu namanya pengkhianatan?

Azmin dan terutamanya Khalid dapat membaca kilau dalam kilat ini. Tanpa disedri segala macam kerenah dan rancangan itu menyerlahkan kecanggihan Khalid sebagai MB. Orang seperti Khalidlah layak menajdi MB dalam keadaan partinya senantiasa dihimpit dan dikekang oleh musuh. Beliau tidak gelabah, tidak mudah percaya kepada ocahan musuh dan bersikap menganlisa sedalamnya apa yang berlaku.

Kepada mereka yang ada agenda busuk terhadap PKR Selangor insaf dan jika anda benar-benar ingin tegakkan demokrasi dalam parti itu cuba tegakan dulu keadilan dalam dri sendiri. Tiliklah kepada diri sendiri sebelum hendak menunding jari mengatakan orang lain buruk dan busuk.

Janganlah mereka-reka cerita yang bukan-bukan. Sikap dan perangai yang ada kepada Khalid usahkan cerita bohong kalau cerita benar yang tidak memberi faedah pun akan dibuang begitu saja. [wm.kl. 11:00 am 02/10/10]

Tiada ulasan: