Anak Cucu Nabi Adam |
- 100,000 anak muda tolak menara warisan
- Umno BN mesti ditumbangkan di Sabah
- Undi untuk Pakatan tidak pecah di Batu Sapi
- UMNO Galas Protes Dalam Diam
- Pengundi Islam Batu Sapi Protes UMNO
- 4 November Cuti Peristiwa di Kelantan
- Kedua-dua Calon Sama Padan
- Umno peralat JHEOA
- Pakatan sandar harapan pada Abdullah Ansari
- Ansari Abdullah calon PKR di Batu Sapi
- Datin Linda Tsen Thau Lin calon BN di Batu Sapi
- Abdul Aziz Yusof calon BN di Galas
- Ulamak UMNO ULAr Dalam SeMAK
- Jangan takut gertakan Najib
| 100,000 anak muda tolak menara warisan Posted: 25 Oct 2010 01:06 AM PDT Penentangan terhadap cadangan Perdana Menteri mahu membina bangunan Warisan 100 tingkat nampaknya merata di kalangan Pakatan Rakyat. Kalau sebelum ini anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mencadangkan wang RM5 bilion itu digunakan untuk membangunkan Kampung Baru, pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang berkata, lebih 100,000 anak muda membantah cadangan itu. Apabila DAP membuat kajian dalam laman sosial Facebook mendapati sokongan penuh golongan muda agar Pakatan Rakyat membahas isu di parlimen sehingga Kerajaan Barisan Nasional (BN) akur, kata Lim. "Saya nak umumkan di malam ini keputusan kajian dan Facebook saya jelas anak muda tidak kira bangsa menolak rancangan Najib nak bina bangunan setinggi 100 tingkat itu. Ia adalah pembaziran, " ujarnya di majlis makan malam Tabung DAP di Jalan Raja Uda, Butterworth baru-baru ini. Menurut beliau, anak muda mahukan Najib gunakan wang RM5 bilion yang dicadangkan untuk bangunan tersebut bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, pelajaran, univesiti, lalu lintas, pembersihan tidak ketinggalan pembangunan luar bandar termasuk di kawasan ladang seluruh Malaysia. Semasa sidang parlimen nanti beliau berjanji akan berjuang bagi suara anak muda menentang usaha Najib membina bangunan yang dianggap tidak berfaedah itu. DAP, katanya, mahukan kewangan yang bakal dialirkan ke projek itu diagihkan kepada pembangunan lain yang nyata masih berada ditahap rendah. "Kita akan berjuang sehingga mereka batalkan program berkenaan. Itu janji saya, " ujarnya di hadapan ribuan hadirin. Datuk Seri Najib baru-baru ini mengumumkan, PNB akan membina bangunan Warisan 100 tingkat. Bagaimana selepas diserang dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, beliau berkata, idea pembinaan itu bukan datang dari beliau tetapi dari PNB sendiri. PNB kemudiannya terpaksa menjelaskan, pembinaan bangunan itu tidak akan menggunakan wang pelaburan dari rakyat negara ini. ~harakah~ |
| Umno BN mesti ditumbangkan di Sabah Posted: 25 Oct 2010 01:06 AM PDT Kekejaman dan ketidakadilan dalam urus tadbir tanah di Sabah menjadi satu bukti kukuh mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan. Umno BN yang menjanjikan "Sabah Baru" dan membawa perubahan dalam tempoh 100 hari melalui manifesto yang mereka canangkan pada pilihanraya lalu berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat di negeri ini. Rumah penduduk pribumi dibakar, kampung halaman dimusnahkan dan tanah yang telah diusahakan puluhan tahun dirampas. Inilah menjadi sebab utama Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) berjaya menarik ribuan rakyat Sabah hadir di Dewan Hakka Sandakan, semalam. Program yang dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Sabah telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. "Mengikut Islam, kerajaan adalah pemegang amanah bukan pemilik tanah kerana dalam Islam yang memiliki tanah hanya Allah SWT ," katanya dalam ucapan perasmian. Menurutnya, di dalam Islam, barangsiapa yang meneroka, membuka tanah, sama ada mendirikan rumah kediaman, kedai atau bercucuk tanam, maka wajib kerajaan memberikan geran tanah kepada mereka. Kecuali, katanya kalau ada kepentingan umum seperti mahu dibina jalan raya atau membina hospital dan sebagainya, maka bolehlah ianya diambil dan digantikan dengan yang tanah lain atau nilai yang setimpal. "PAS akan melaksana hukum ini dan meminta parti parti lain dalam Pakatan Rakyat mengikut hukum ini jikalau dapat memerintah negara kelak," ujarnya. AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman pula berkata: Kita berhimpun pada hari ini untuk menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bangun berjuang untuk menuntut hak dan membuktikan komitmen PAS dan Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat Sabah dalam menuntut hak dan keadilan buat semua yang telah teraniaya". Katanya, jkalau majoriti rakyat Sabah berani untuk berjuang, kerajaan yang zalim akan dapat ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Tambahnya lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang menjangkakan himpunan itu tidak akan berjaya dan kononnya hanya akan dihadiri sekitar 200 orang. "Rakyat Sabah buktikan sebaliknya dengan kehadiran memeranjatkan dari seluruh Sabah sebagai tanda sokongan dan perjuangan mereka menentang kerajaan yang zalim," ujarnya. Dari Sandakan hingga ke Nabawan, dari Tawau hingga ke Pensiangan, penduduk pribumi diperlakukan seperti makhluk yang tiada nilai dan status kemanusiaan. Di Sandakan, Kampung BDC yang diasaskan oleh Pertubuhan Islam (USIA) yang dahulunya dipenuhi hutan paya bakau akhirnya berkembang menjadi sebuah penempatan penduduk pribumi dengan keluasan melebihi 100 ekar dengan jumlah penduduk dianggarkan tidak kurang 20,000 orang telah dimusnahkan sekelip mata oleh kerajaan Umno BN pada tahun 2002. Tanah yang telah diusahakan berpuluh tahun sejak tahun 80-an di Ulu Landau dan Cenderamata Merotai Tawau dirampas pada awal tahun ini. Turut dimusnahkan ialah Kg Lupak Meluas, Kg Sundang, Kg Gas, Kg Koyah di Kinabatangan, perkampungan penduduk pribumi di Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Ranau, Kg Labuan dan Kg Wakap di Kota Belud, Kg Bakau dan Kg Telipok di Kota Kinabalu. Ini merupakan sebahagian kes yang pernah berlaku di Sabah. Sehubungan itu, perhimpunan itu telah mencatatkan sejarah yang gemilang dan berjaya membuka mata rakyat Sabah diharap dapat menjadi senjata ampuh dalam menghadapi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November nanti dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang. ~harakah~ |
| Undi untuk Pakatan tidak pecah di Batu Sapi Posted: 25 Oct 2010 01:05 AM PDT PKR yakin, undi untuk Pakatan Rakyat tidak akan pecah di Batu Sapi walaupun Parti Progresif Sabah (SAPP) turut bertanding melawan BN dalam pilihan raya kecil kawasan itu. William Leong, Bendahari PKR dan juga ketua perunding Pakatan untuk penentuan parti yang bertanding di Batu Sapi berkata, pihaknya yakin pengundi Batu Sapi akan memilih PKR dalam pilihan raya ini. "Ramai ingat Batu Sapi kawasan majoriti Cina kerana anggota Parlimen sebelum ini adalah Cina. Sebenarnya Cina hanya 38 peratus sahaja di sini dan 60.1 peratus pengundi adalah beragama Islam. "Oleh itu tidak berbangkit apabila PKR bertanding dan SAPP bertanding, undi Cina akan pecah kerana sasaran kita berbeza," kata William kepada Harakahdaily ketika ditemui dalam majlis dialog dengan penduduk Bandar Tasik Puteri yang menuntut laluan ke lebuhraya semalam. (Gambar: William bersalam dengan penduduk Bandar Tasik Puteri yang berkumpul Sabtu lepas) Wlliam telah mengetuai pasukan perunding dari Pakatan Rakyat untuk berbincang dengan SAAP bagi menentukan parti dan calon yang hendak bertanding melawan BN di Batu Sapi. Menurut William, SAPP berkeras mahu bertanding di Batu Sapi dan mahu menjadi parti alternatif kepada BN di Sabah. Sebelum ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan undi untuk Pakatan Rakyat tidak akan berpecah di Batu Sapi kerana SAPP tidak bertindak sebagai pembangkang samada di Sabah atau peringkat nasional. Parti itu, kata Anwar, lebih bersifat bebas. SAPP telah menamakan presiden mereka, Datuk Yong Teck Lee sebagai calon di Batu Sapi. Pakatan Rakyat pula telah menamakan ketua bahagian PKR Tuaran yang juga seorang peguam, Ansari Abdullah sebagai calon mereka. BN pula telah menamakan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bekas anggota Parlimen kawasan itu, sebagai calon di Batu Sapi. Edmund meninggal ekoran kemalangan jalan raya baru-baru ini. Beliau menjadi anggota Parlimen kawasan itu sejak 2004 selepas menang tanpa bertanding. Dalam pilihanraya umum 2008, Edmund menang dengan mengalahkan calon Bebas ekoran kegagalan PKR meletakkan calon di stu. PAS turut berminat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini ekoran 60.1 peratus pengundinya beragama Islam, namun memberikan sokongan kepada calon PKR selepas Pakatan memutuskan calon PKR yang akan bertanding di situ. ~harakah~ |
| Posted: 25 Oct 2010 01:02 AM PDT Di Gua Musang, penentangan secara senyap mula berjalan di kalangan Umno Gua Musang yang semakin bimbang dengan beberapa tindakan penyokong Ku Li dari kalangan bekas Semangat 46 itu. Bantahan ini dibuat ekoran pemilihan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof atau lebih dikenali dengan nama Aziz Limau (kerana berasal dari Limau Kasturi) sebagai calon BN. Dalam pemilihan bahagian tahun lepas, bekas Ketua Bahagian Umno Saufi Deraman yang memberikan laluan kepada Ku Li untuk menjadi ketua bahagian selepas menyertai semula Umno, dikalahkan oleh orang kuat Ku Li dalam pertandingan merebut timbalan ketua bahagian. Namun begitu, penyokong asal Umno ini kekal menguasai Wanita dan Pemuda Umno Bahagian. Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Wan Hazani Wan Yusof dan Bazlan Baharudin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang. Kedua-duanya penyokong Umno negeri dan pusat serta tidak bersama Ku Li. Di samping kedua-duanya, ada 11 AJK Bahagian yang menjadi penyokong mereka. Pendek kata, terdapat garisan yang jelas dalam Umno Gua Musang antara penyokong Ku Li dan penyokong Umno. "Kami nak Saufi Deraman bekas Adun kami bertanding sekali lagi. Lagipun dia yang bertungkus lumus berjuang untuk Umno sebelum ini ketika Ku Li memimpin Semangat 46. Tapi selepas Ku Li dipilih sebagai pengarah, orang dia juga jadi calon, " kata seorang ahli Umno yang ditemui di bandar Gua Musang. Beliau merujuk tindakan Saufi, yang ketika itu menjadi ketua bahagian, memberikan laluan untuk Ku Li menjadi Ketua Umno bahagian Gua Musang apabila Ku Li kembali semula ke dalam Umno. Pada asalnya, Saufi sebagai ketua bahagian dilantik sebagai timbalan ketua bahagian. Namun dalam mesyuarat agung yang lalu, orang Ku Li telah melawan beliau dan seterusnya mengalah Saufi untuk jawatan timbalan ketua bahagian. Luka itu berdarah sejak pilihan raya umum 2008 lagi apabila Saufi menjadi satu-satu pemimpin Umno Gua Musang yang kalah dalam pilihan raya tersebut. Mereka syak Saufi ditikam dari belakang oleh penyokong Ku Li. Saufi kalah kepada Chek Hashim Sulaima dari PAS. Che Hashim meninggal baru-baru ini menyebabkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 4 November nanti. "Kalau Saufi tidak diterimapun, Datuk Hazani kito atau Bazlan pun boleh jadi calon," kata pemimpin Umno berkenaan. Dr Zul kalahkan Ku Li di Galas Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang. Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang. Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang. Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus). ~harakah~ |
| Pengundi Islam Batu Sapi Protes UMNO Posted: 25 Oct 2010 12:58 AM PDT Ketika penyokong BN yang mewakili 60.1 peratus pengundi Bumiputra Islam di Batu Sapi membuat bantahan secara terbuka terhadap BN kerana memilih calon bukan di kalangan mereka, penyokong Umno di Galas memprotes dalam diam pemilihan orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di situ.Di Sandakan, 500 ahli PBS dari bahagian Sekong membantah pencalonan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bakas anggota Parlimen, sebagai calon BN di Batu Sapi. Mereka datang dengan beberapa buah bas yang penuh dengan bendera dan banner mendesak agar calon di kalangan Bumiputra Islam dipilih sebagai calon. Ini kerana, Batu Sapi mempunyai 60.1 peratus pengundi di kalangan Bumiputra Islam. Mereka mendakwa, mendiang Edmund tidak pernah memperdulikan mereka sejak dipilih sebagai wakil rakyat Batu Sapi pada tahun 2004 lalu. "Bagaimana mungkin seorang perempuan pula mahu masuk ke kawasan kampung air kami kalau sebelum ini lelaki pun tidak menjenguh kami," kata salah seorang dari mereka yang membuat bantahan itu. Terdapat 26,000 pengundi di Batu Sapi dengan pecahan pengundi Melayu 32 peratus, Cina 38 peratus India 0.5 peratus, Bumiputera Islam Sabah 26 peratus, Bumiputera Sarawak 0.5 peratus dan lain-lain 2.6 peratus. ~harakah~ |
| 4 November Cuti Peristiwa di Kelantan Posted: 24 Oct 2010 05:58 PM PDT Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 November sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil DUN Galas. Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama hari ini. Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini. ~MK~ |
| Posted: 24 Oct 2010 05:55 PM PDT Pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang. BN memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi menteri kewangan.Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno. Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu. PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku yang dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 4 November itu.Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang. Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang. Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh. Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi. Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu. ~Bernama~ |
| Posted: 24 Oct 2010 05:54 PM PDT Umno kini hanya bergantung sepenuhnya kepada kaum Orang Asal bagi merealisasikan hasrat merampas Dun Galas pada pilihan raya kecil 4 November ini. Keadaan itu terbukti apabila Umno dikatakan memperalatkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi mengawal hampir kesemua perkampungan masyarakat terbabit yang terletak di pedalaman Gua Musang. Penasihat Jentera Pilihan raya Kecil Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, perbuatan Umno memperalatkan JHEOA amat memalukan kerana ia berlaku pada kempen pilihan raya. "Ini amat memalukan kerana sebelum ini JHEAO dikatakan hanya datang sekali sekala sahaja ke kawasan penempatan Orang Asal," katanya ketika ditemui semasa mengikuti lawatan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed ke beberapa penempatan di Hau, 60 kilometer dari bandar Gua Musang, semalam. Turut dilawati kampung rombongan calon PAS iaitu Galang, Gertas, Ladoi dan Eching. Ikut sama pada lawatan itu Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas, Abdul Fatah Haron. Kelihatan juga di kawasan itu pos tentera lengkap dengan kenderaan termasuk trak. Wan Abdul Rahim yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, hampir 20 pegawai dan kakitangan JHEOA difahamkan berada di Pos Hau sejak dua minggu lepas. "Tindakan mereka tersebut kemungkinan untuk mengumpul dan menjalankan kempen bagi menawan hati Orang Asal. "Ini satu tindakan yang boleh menghina masyarakat tersebut kerana sebelum ini seorang pemimpin masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut, Pandak Panjang meminta semua parti politik tidak menjadikan penempatan mereka sebagai medan pertembungan parti yang bertanding. "Namun apa yang kita lihat hari ini kesemua rumah penduduk di situ telah dipasang dua bendera iaitu bendera BN dan Umno. Ini menunjukkan mereka tidak mengendahkan larangan tersebut," ujar beliau kesal. Beliau juga berkata kedatangan rombongan PAS hanya sekadar untuk memperkenalkan calon dan bertanya khabar serta tidak membawa sehelai pun bendera parti atau risalah kempen. Katanya, PAS akur dengan hasrat masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut supaya tidak diperalatkan oleh mana-mana parti politik. Mengenai penyalahgunaan kuasa oleh BN dalam siri kempen di Galas, Wan Abdul Rahim berkata ia satu penyelewengan yang sering berlaku di mana-mana sahaja pilihanraya kecil diadakan. "Mereka bukan sahaja menggunakan jentera kerajaan, malah pelbagai lagi penyelewengan seperti perbelanjaan dan khidmat kakitangan jabatan semata-mata untuk kepentingan Umno. "Saya tidak terkejut dengan penggunaan jentera kerajaan oleh BN kerana sebelum ini di Manek Urai di mana lebih 20 jabatan kerajaan persekutuan diperalatkan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutan," katanya. Beliau juga menyelar tindakan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan pusat tanpa segan silu sanggup membawa bendera Umno dan BN ditampal di rumah dan musalla di penempatan Orang Asal. ~harakah~ |
| Pakatan sandar harapan pada Abdullah Ansari Posted: 24 Oct 2010 05:52 PM PDT Pakatan Rakyat mengumumkan pemilihan ketua cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini. Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berusia 56 tahun itu adalah seorang peguam lulusan Universiti Malaya.Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pencalonan Ansari itu di satu majlis di Dewan Persatuan Hakka Sandakan petang semalam. Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; naib presiden PKR, Azmin Ali; pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh dan pengerusi DAP Sabah, Hiew King Cheu. Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang tidak dapat hadir hari ini kerana tidak sihat. Kira-kira 2,000 menghadiri majlis tersebut sambil melaungkan "reformasi" selepas pengumuman itu dibuat. Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perpecahan undi di kalangan pembangkang apabila Parti Maju Sabah (SAPP) turut bertanding, Anwar memberitahu Bernama bahawa soal itu tidak timbul kerana SAPP tidak pernah menyifatkan diri mereka, termasuk di Parlimen, sebagai pembangkang. Katanya SAPP adalah parti bebas yang boleh menyokong mana-mana pihak dan sehubungan itu undi mungkin berpecah di kalangan calon bebas. Ansari pula mengakui pilihan raya kecil di Batu Sapi kali ini adalah sengit namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12. Pengerusi DAP negeri Ir Hiew King Cheu juga mengakui pilihan raya kecil berkenaan adalah sengit. BN hari ini mengumumkan pemilihan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan. Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 November ~MK~ |
| Ansari Abdullah calon PKR di Batu Sapi Posted: 24 Oct 2010 05:51 PM PDT Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan peguam, Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.Pengumuman itu dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam di Dewan Hakka, Jalan Utara, dekat sini. Turut bersama di majlis pengisytiharan calon itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara itu, Barisan Nasional mengumumkan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Datin Linda Tsen yang juga Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura sebagai calon parti itu. PRK yang akan berlangsung 4 November ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Parti maju Sabah (SAPP) membuat keputusan untuk meletakkan calon. |
| Datin Linda Tsen Thau Lin calon BN di Batu Sapi Posted: 24 Oct 2010 05:50 PM PDT BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini. Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi. Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan. pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian Edmund, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November. Edward memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,708 undi, dengan menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing. Edward memperolehi 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi. Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos - dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Muslim, 689 bukan bumiputera-Muslim (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus). ~MK~ |
| Abdul Aziz Yusof calon BN di Galas Posted: 24 Oct 2010 05:49 PM PDT Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, diumumkan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang semalam.Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini. Ketika membuat pengumuman itu, Muhyiddin berkata Abdul Aziz berpengalaman berkhidmat kepada rakyat sebagai pegawai kerajaan. Berikutan pengumuman itu, Abdul Aziz akan melepaskan jawatannya sebagau pengurus pejabat operasi RPT Kesedar Sungai Terah, kata Muhyiddin. Katanya, Abdul Aziz merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda. Muhyiddin mengumumkan nama calon BN itu di Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati. Menurut Muhyiddin, calon BN itu juga merupakan simbol keikhlasan kepemimpinan BN yang mampu dan berupaya memberikan kemajuan yang diingini penduduk Galas. "Kita ada keupayaan sumber yang jauh lebih besar," katanya lagi. Katanya lagi Abdul Aziz diputuskan sebagai calon oleh presiden parti Datuk Seri Najib Razak selepas membuat rundingan dengan ketua jentera pilihan raya Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua perhubungan negerinya Datuk Seri Mustapa Mohamad. Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan Mustapa hadir di majlis pengumuman calon BN itu. Dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin juga berkata calon BN itu mampu menghadapi calon PAS walaupun hanya berkelulusan SPM. Calon PAS, Dr Zulkefli merupakan seorang pengamal perubatan dan mempunyai klinik di Chiku 3, Gua Musang. Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini. PAS telah menamakan calonnya - Dr Zulkefli Mohamad - sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil berkenaan. Dr Zulkefli adalah pemangku yang dipertua PAS Gua Musang. ~MK~ |
| Posted: 24 Oct 2010 05:48 PM PDT "Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam. "Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri," katanya ketika dihubungi tadi. Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut. "Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya? "Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu? "Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat," katanya. Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat. Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur. "IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo," tambahnya. Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu. Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam. Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu. "Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya. "Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam," katanya. ~harakah~ |
| Posted: 24 Oct 2010 05:45 PM PDT Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, biarlah Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap ikut rentaknya sendiri sebelum bersara sebagai Perdana Menteri yang keenam apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya."Biarkan Najib bercakap ikut rentak sendiri kononnya mahu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dengan nyawa dan badannya. Ini menunjukan dia dah bimbang, cuma takut nak khabarkan," ujarnya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tabung DAP di Raja Uda, malam tadi. Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, jika rakyat mahukan pembaharuan dalam pentadbiran, mereka perlu berani ke hadapan mengundi Pakatan Rakyat untuk ke pusat pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah. Katanya, kemegahan seorang Perdana Menteri harus dikikis seandainya mahu menjiwai rakyat jelata, bukan menambah parah kewangan negara dengan memperelokan penginapan rumah sehingga RM65 juta. "Rakyat sudah muak dengan kelakuan Perdana Menteri sama ada yang lepas atau pun yang kini sedang memerintah negara. Habis wang rakyat digunakan untuk kepentingan diri dan keluarga," tegas beliau. Sekarang ini, kata Anwar, bukan isu pengubahsuaian rumah Perdana Menteri sahaja hangat diperkatakan malahan tanah perkuburan baru sebelah Makam Negara yang menempatkan 250 orang Islam dan kenamaan bukan Islam menelan belanja RM70 juta. ~harakah~ |
| You are subscribed to email updates from Anak Cucu Nabi Adam To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |









Tiada ulasan:
Catat Ulasan