Sabtu, 18 September 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


TAHNIAH, YB AZAN ISMAIL DAN TENTUKAN KEMENANGAN YB FUZIAH SALLEH

Posted: 18 Sep 2010 06:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

Ahli Parlimen Indera Mahkota, merangkap Ketua Cabang di kawasan itu, YB Azan Ismail diberitakan memenangi kerusi Ketua Cabang PKR Indera Makota. Laporan dari Pahang Daily menyebut YB Azan berjaya menewaskan Sdr Razali Ismail dengan majoriti sekitar 35 undi yang masih belum disahkan semasa tulisan ini dibuat.

Cabang Indera Mahkota juga turut mencalonkan YB Azmin untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. YB Azan Ismail adalah pemimpin PKR Pahang yang suatu ketika pernah disebut di antara MP PKR yang akan melompat meninggalkan PKR. Namun ternyata berita itu palsu malah YB Azan diberi tugasan yang penting di dalam PKR setelah Pengerusi PKR Pahang diserahkan kepada Dato Fauzi. Di dalam Parlimen, YB Azan tidak pernah duduk diam dan beliau di antara MP Pembangkang yang lantang menimbukan beberapa isu besar.

Saya percaya, sikap beliau yang `Low Profile', tidak ego, mesra dengan semua menjadikan beliau tetap diberi kepercayaan untuk menerajui Cabang PKR Indera Mahkota. Saya masih ingat sewaktu saya hadir di dalam Majlis Perasmian Pejabat PKR Pahang yang baru di mana dirasmikan oleh DS Anwar, saya melihat sendiri bagaimana YB Azan begitu mesra dengan semua yang hadir. Beliau menghampiri hampir kesemua tetamu yang datang tidak kira peringkat mana sekali pun untuk berjabat tangan. Saya tidak pergi menemuinya, tetapi beliau sendiri datang menghulurkan tangan dengan senyuman walau pun beliau tidak mengenali saya. Begitu juga dengan tetamu-tetamu yang lain samada tua atau muda.

YB Azan juga tidak terlalu `protokol' atau dilihat seperti golongan `elit' di dalam mana-mana program yang dihadirinya. Sifat beliau ini sama juga seperti YB Fuziah Salleh Ahli Parlimen Kuantan. Saya juga berharap YB Fuziah Salleh akan dapat dipilih menduduki kerusi Naib Presiden kali ini. Beliau seorang pemimpin yang sentiasa bekerja kuat dan gigih sehinggakan pernah MB Pahang memuji peranan yang dimainkan oleh YB Fuziah Salleh selaku Wakil Rakyat di Pahang.

Inilah wajah atau sifat pemimpin yang perlu diperakui oleh semua ahli parti. Mereka tidak pernah merasakan diri mereka hebat atau ternama dengan kedudukan mereka sekarang. Mereka akur bahawa kerusi MP yang diwakilinya itu adalah amanah rakyat. Saya amat gembira apabila dikatakan pemilihan Cabang PKR Indera Mahkota berjalan dengan aman dan teratur. Semua calon yang bertanding serta penyokong masing-masing menerima keputusan pemilihan itu kerana pemilihan pemimpin di dalam PKR jauh lebih baik dan telus dari pemilihan dalam Umno.

Tahniah YB Azan, tahniah kepada semua ahli PKR Indera Mahkota dan selamat berjaya buat YB Fuziah Salleh./wfauzdin.blogspot.com

TIMB PRESIDEN PKR - AZMIN 13 , MUSTAFA KAMIL 6, ZAID 5 PENCALONAN

Posted: 18 Sep 2010 10:09 AM PDT

Timbalan presiden: Azmin pecut tinggalkan Zaid

Daripada 18 cabang yang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing, Naib Presiden PKR Azmin Ali kini terus memecut laju meninggalkan pencabar utamanya Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut pemimpin-pemimpin cabang yang dihubungi Malaysiakini, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak setakat ini mendapat 13 pencalonan - sembilan hari ini dan empat semalam.

Manakala pesaing terdekatnya Zaid Ibrahim yang juga penyelaras Pakatan Rakyat setakat ini mendapat lima pencalonan - dua cabang hari ini manakala tiga semalam.

Di samping kedua-dua tokoh heavyweight ini, seorang lagi naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub pula hari ini mula memasuki gelanggang apabila mendapat enam pencalonan.

Lima daripadanya diperoleh daripada Perak di mana beliau merupakan pengerusi perhubungannya. Ini bermakna, Mustafa Kamil kini memintas Zaid yang semalam mengekor rapat Azmin

Selain mereka, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh dan Pengarah Strategik Tian Chua pula masih belum layak kerana hanya mendapat satu pencalonan, masing-masing di Genting Highland dan Pokok Sena.

Malaysiakini juga difahamkam Azmin turut mendapat pencalonan daripada Lipis, Sandakan, Kulim dan Bandar Baharu.

Sumber-sumber yang rapat dengan Azmin pula memaklumkan bahawa bekas setiausaha Anwar itu sudah mendapat sebanyak 18 pencalonan. Bagaimanapun setakat ini, kedua-dua maklumat itu belum dapat disahkan.

Berikut senarai cabang yang membuat pencalonan untuk jawatan berkenaan:

Azmin
Indera Mahkota, Raub, Tanah Merah Arau, Libaran, Silam, Kudat, Larut, Parit Buntar, Pasir Mas, Rantau Panjang, Langkawi dan Kubang Pasu.

Mustafa Kamil
Grik, Lenggong, Bagan Serai, Taiping, Sungai Siput dan Kuala Kedah.

Zaid
Jerantut, Padang Rengas, Kota Bharu, Tumpat dan Alor Setar.

Sumber: Malaysiakini

KES SOSILAWATI - PEKIDA HENTAM MAJLIS PEGUAM , TAPI SOKONG POLIS

Posted: 18 Sep 2010 05:00 AM PDT

Kes Sosilawati: Pekida berkabung, bakar kain rentang

Kira-kira 120 anggota Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) hadir ke rumah Noorhisham Mohamad yang mati dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya pada 30 Ogos lalu bagi menyertai bacaan Yaasin dan tahlil kepada arwah.

Majlis itu diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang pada jam 12.00 tengah hari diketuai oleh Pengerusi hal ehwal khas Pekida Shahril Abdul Aziz.

180910 pekida tahlil noorhisham sosilawatiNoorhisham - seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Shahril menyalahkan majlis peguam yang didakwanya "gagal membersihkan peguam-peguam yang bermasalah".

"Sepatutnya Majlis Peguam mengambil langkah-langkah yang lebih tepat dengan mengasingkan peguam-peguam bermasalah dengan membuat penyataan terbuka di dalam media ataupun memperkenalkan kad kuasa yang mesti diperbaharui setiap tahun sebelum peguam-peguam mahu menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Justeru, Shahril mencadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat majlis berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan seorang peguam merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam itu.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Roslan Dahaman dan Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (PERWARIS) Rahimuddin Md Harun.

180910 pekida burn bar council banner sosilawatiSejurus selepas tamat sidang media itu, kelihatan beberapa orang yang hadir membakar (kiri) kain rentang bertulis "Presiden majlis peguam mesti letak jawatan" tanda tidak puas hati mereka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kecekapan polis menyiasat kes itu dengan segera, Shahril juga mengingatkan supaya isu pembunuhan itu tidak dipolitikkan.

"Kami juga mengingatkan dan mempersetankan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini serta merendah-rendahkan kewibawaaan serta martabat PDRM...," katanya.

Sebelum itu, pertubuhan itu juga membuat kutipan wang bagi membantu meringankan beban keluarga Noorhisham.

Kelihatan beberapa anggota keluarga pegawai bank itu agak tenang dan menyertai majlis bacaan tahlil di halaman rumah keluarga si mati./Malaysiakini

MENYANGGAH TULISAN MSO YANG NASIHAT DATO ZAID KELUAR PARTI

Posted: 18 Sep 2010 12:00 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

Seorang Penulis ternama, MSO atau Mohd Sayuti Omar di dalam tulisannya mula terpengaruh dengan cerita yang dibawa oleh Dato Zaid yang bakal bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR. Saya tidak kisah jika Penulis berkenaan menyokong Dato Zaid, tetapi percaya kepada semua dakwaan Dato Zaid yang sedang berkempen itu tentulah tidak bijak buat seorang Penulis Politik terkenal.

Tambahan pula, MSO dikatakan seorang Penulis Politik yang pro PR tetapi di dalam tulisannya beliau seperti menghasut agar Dato Zaid tinggalkan PKR jika tidak yakin dengan PKR lagi. Beliau juga turut menggambarkan betapa PKR kini sama seperti Umno. Di mana yang samanya PKR dengan Umno? Adakah kerana percaya bulat-bulat dakwaan Dato Zaid Ibrahim yang mendakwa kununnya beliau terpinggir, dakwaan ada kumpulan yang membuat fitnah ke atasnya walaupun sehingga kini Dato Zaid tidak melaporkan hal tersebut kepada badan disiplin yang bertanggungjawab di dalam PKR maka MSO percaya dengan Dato Zaid?

Saya masih ingat, sewaktu pemilihan pucuk pimpinan di dalam Muktamar PAS dahulu pun MSO dilihat bermain penulisan secara begini juga apabila beliau condong kepada beberapa pemimpin di dalam PAS. Kini, MSO jelas memihak kepada Dato Zaid seolah-olah Dato Zaid benar-benar teraniaya. Adakah MSO ini sebenarnya penyokong PR atau sekadar Penulis yang mempunyai matlamat atau tujuan tertentu?

Seorang lagi calon yang bakal bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu YB Azmin juga teruk dibelasah oleh Dato Zaid. Malahan Presiden PKR juga dicop oleh Dato Zaid sebagai `boneka' sahaja di dalam PKR. DS Anwar juga disindir oleh Dato Zaid apabila Dato Zaid menyebut jawatan Ketua Umum PKR itu tiada dalam Perlembagaan dan tidak boleh ditandingi. Apa erti ini semua? Dato Zaid baru sedarkah organisasi yang ada di dalam PKR ini? Semua orang maklum jawatan Ketua Umum PKR bukan jawatan kekal, sebaliknya hanya satu jawatan sementara untuk DS Anwar yang sekarang ini bergelut dengan fitnah liwat II ke atas beliau. Satu kaedah atau strategi parti untuk sementara waktu demi kebaikan PKR juga. Masakan Dato Zaid tidak tahu ini semua sebelum menyertai PKR? Mengapa ini semua timbul disaat beliau ingin bertanding merebut jawatan?

Seandainya benar DS Wan Azizah dianggap `boneka' sahaja di dalam PKR, mengapa Dato Zaid tidak berani bertanding menentang DS Wan Azizah untuk tidak menjadi `boneka'?. Jika Presiden pun sudah jadi `boneka' , apatah lagi Timbalan Presiden. Tetapi Dato Zaid berminat bertanding untuk merebut jawatan itu.

Saya `salute' YB Azmin yang tidak mencari helah atau modal yang diada-adakan untuk memburukkan calon lain. Memang kita akui, sebagai sebuah parti yang ahli-ahlinya bukan `Malaikat', tentulah ada beberapa pihak yang berkempen agak keterlaluan. Soalnya, adakah ini yang diatur oleh calon itu sendiri atau tidak? Dato Zaid, walaupun dikatakan tiada kumpulan yang bergerak untuk berkempen, tetapi suara beliau lebih lantang dari YB Azmin di dalam kempennya. Salahkah wujudnya kumpulan yang menyokong seseorang calon asalkan tidak melanggar etika kempen? Ini juga wujud di dalam PAS parti yang sentiasa berdisiplin di dalam pemilihan pucuk pimpinannya. Lihat, PAS tiada masalah kerana akhirnya yang menang diterima. /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: