Selasa, 14 September 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


NERAKA PUN TIDAK TERIMA? BETUL KE SHAHRIZAT ?

Posted: 14 Sep 2010 11:00 PM PDT

Neraka Pun Tak Terima Penjenayah Bunuh Sosilawati, 3 Individu - Shahrizat

Oleh SALWA SHA'ARI

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno mahu hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jenayah yang dilakukan sangat kejam dan menyifatkan 'neraka juga tidak dapat menerima penjenayah' seperti itu.

"Kami mendesak supaya keadilan dilaksanakan. Kami meminta pihak polis untuk menyelesaikan siasatan dengan secepat mungkin.

"Mereka yang terlibat hendaklah dibawa ke mahkamah dan kes juga didengar secepat mungkin, diberi keutamaan dan tidak ditangguh.

"Jika disabitkan, mereka mestilah dikenakan hukuman maksimum," katanya.
Majlis tahlil diadakan di rumah Sosilawati pada Selasa. Foto: THE STAR/CHAN TAK KONG

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil di kediaman Sosilawati dekat sini, Selasa.

Shahrizat yang mengenali Sosilawati sejak kira-kira tiga tahun lalu menyifatkan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu sebagai seorang wanita yang sangat positif dan menjadi inspirasi kepada individu lain.

"Beliau (Sosilawati) datang ke kementerian sebagai seorang yang berjaya dan mahu membantu golongan wanita.

"Beliau seorang selebriti yang mempunyai banyak pengikut dan tarikannya adalah sikap yang cekal, sering fokus, rajin bekerja dan mempunyai impian serta tidak mudah mengalah," katanya mengulas penampilan Sosilawati.

Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.

Mereka dilaporkan hilang hampir dua minggu yang lalu selepas dikatakan menuju ke Banting, dekat sini, untuk bertemu seorang peguam bergelar Datuk bagi membincangkan isu pembelian tanah.

Pada Isnin, polis mengesahkan abu mayat mereka telah dibuang ke beberapa sungai berhampiran Tanjung Sepat, Banting. /
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/14/mstar_berita/20100914162813&sec=mstar_berita

PEGUAM KAFIR HARBI YANG CELAKA

Posted: 14 Sep 2010 09:00 PM PDT

Peguam Australia bakar kitab suci

SYDNEY - Seorang peguam di Australia bertindak biadab dengan mengoyakkan halaman kitab al-Quran dan Injil, serta merakam perbuatan terkutuk itu untuk disiarkan di laman YouTube.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang masih belum pulih daripada rancangan paderi dari Florida, Amerika Syarikat, Terry Jones yang menyarankan pembakaran al-Quran pada 11 September lalu sebagai memperingati tragedi 9/11 dan bantahan terhadap pembinaan sebuah masjid berhampiran tapak bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Peguam berkenaan, Alex Stewart yang mengisytiharkan dirinya tidak mempercayai kewujudan Tuhan bertindak biadab mengoyak halaman al-Quran dan Injil, lalu membakarnya serta dirakam dalam klip video sepanjang 12 minit.

Stewart yang ternyata tidak menghormati agama-agama lain membuat kenyataan dalam rakaman di YouTube bahawa dia mahu menguji kitab mana yang terbakar dengan lebih baik.

Klip video itu sudah dibuang oleh pengendali YouTube setelah mendapat bantahan masyarakat pelbagai agama di seluruh dunia sejak ia mula disiarkan di laman berkenaan, Sabtu lalu.

Presiden Persekutuan Islam Australia, Sheik Muhammad Wahid melahirkan rasa kecewa atas tindakan seorang terpelajar yang tidak tahu menghormati sensitiviti penganut agama Islam.

"Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Perbuatan peguam itu boleh mewujudkan ketegangan dan menggugat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai etnik, budaya dan agama di Australia," katanya./Sinar


Guna Ungkapan 'India Mabuk', Polis 'Periksa Alat Sulit' Anggota AMK

Posted: 14 Sep 2010 06:00 PM PDT

Nurshakira Buang

KUALA LUMPUR 14 SEPT - Tujuh anggota polis lelaki didakwa mencabul kehormatan seorang anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dan tiga rakan lain dalam satu sekatan jalan raya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, 7 September lalu.

Mendedahkan perkara itu, Arjunan pada sidang media hari ini, berkata, mereka ditahan sepasukan anggota polis yang dikatakan menggunakan ungkapan 'India Mabuk' sebelum pemeriksaan tubuh dilakukan ke atas mereka secara giliran.

Mencerita detik kejadian lebih lanjut, katanya, beliau dalam perjalanan ke Ipoh, Perak ketika ditahan polis di satu sekatan jalan raya sebelum lesen dan kad pengenalannya diminta dengan cara tidak sopan.

"Seorang anggota polis mengetuk cermin kereta seperti mahu memecahkannya. Saya kata, dia tidak sopan lalu dia (polis) naik berang dan menyelongkar kereta serta ada menyebut untuk membuka seluar dan baju saya," katanya.

Arjunan berkata, seorang anggota polis juga memasukkan tangan dalam poket seluar dan memegang alat sulitnya dan mendakwa perbuatan sama turut dilakukan terhadap tiga individu lain yang turut bersama beliau.

Beliau kesal kerana anggota polis terbabit tidak menyatakan sebab beliau diperiksa dan kenderaannya digeledah tetapi percaya perbuatan sedemikian adalah perkara biasa di kalangan polis.

Katanya, tindakan kurang sopan anggota polis itu ditegur anak yang juga pembantu peribadinya, Kalaimugilan Arjunan, mendorong polis mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengugut untuk membogelkan mereka dengan alasan polis berkuasa berbuat demikian.
.
Kurang senang dengan tindakan itu, Arjunan bersama tiga rakan lain membuat laporan di balai polis Bukit Sentosa pada hari sama.

Mereka juga bercadang menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak mereka mengambil tindakan tegas ke atas tujuh anggota polis itu.
.
Mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, seseorang yang melakukan kesalahan mencabul terhadap seseorang baik perempuan mahupun lelaki, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan./TVSelangor

PEMILIHAN PKR - DATO ZAID MASIH UNGGUL, AZMIN SEMAKIN RAPAT

Posted: 14 Sep 2010 09:31 AM PDT

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

MEDIA massa arus perdana juga kelihatan amat prihatin terhadap pemilihan pimpinan PKR yang diadakan tidak berapa lama lagi, terutamanya akhbar Utusan Meloya. Akhbar ini sedang menanti penuh harapan agar pemilihan di dalam PKR kali ini akan memecah belahkan ahli-ahli dan penyokong parti yang dipimpin oleh musuh ketat Umno iaitu DS Anwar Ibrahim.

Sebagaimana awal dulu saya melahirkan sokongan peribadi saya terhadap calon yang bertanding di dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga Ketua AMK. Saya tidak akan berselindung untuk menyatakan sokongan saya kepada YB Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan Chegu Bard untuk jawatan Ketua AMK. Namun demikian, saya suka untuk melihat selera orang lain terutamanya pengunjung blog saya ini, maka Poll di atas telah dibuka untuk undian anda semua.

Ada beberapa komen dari pengunjung yang mendakwa bahawa keputusan Poll akan diubah di saat akhir agar bertepatan dengan kehendak saya. Terus terang, ikhlas dan jujur saya katakan bahawa saya tidak pernah dan tidak akan berbuat demikian kerana bagi saya kerja menipu seperti ini hanyalah mainan media perdana pengampu Umno sahaja. Saya percaya bahawa keputusan Poll di dalam mana-mana blog tidak boleh digunapakai untuk memenangkan mana-mana pihak, ia hanya sekadar pendapat pengunjung dari berbagai parti dan mungkin boleh digunakan sebagai panduan atau penilaian secara kasar sahaja.

Hari ini, saya ingin mengulas dahulu tentang pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR. Tepat jam 12.44 (15 Sept 2010) malam tadi, saya mencatatkan keputusan Poll semasa bagi jawatan tersebut dengan jumlah pengundi seramai 1,565. Setakat ini Dato Zaid Ibrahim masih kekal mendahului tangga teratas dengan mendapat 40 %, diikuti rapat oleh YB Azmin dengan mendapat 30 % bagi jawatan Timbalan Presiden PKR. Menarik untuk diperhatikan, sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendapat undian 13 %, Mustafa Kamil Ayub 7 % menarik diri dari bertanding, siapakah yang dipilih oleh pengundi-pengundi Tan Sri Khalid dan Mustafa Kamil Ayub? Dr Syed Hussin Ali telah pun mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan yang disandangnya itu dan sehingga kini beliau telah mendapat undian 10 %. Siapakah pula yang akan disokong oleh pengundi-pengundi Dr Syed Hussin selepas ini?

Tidak mustahil dijangkakan sekiranya Mustafa Kamil Ayub dan Tan Sri Khalid turut bertanding, salah seorang di antaranya mungkin mampu membuat kejutan. Mungkin sedikit kontroversi di dalam keghairahan berkempen oleh penyokong-penyokong YB Azmin dan Dato Zaid Ibrahim akan membuatkan pengundi beralih arah kepada Mustafa Kamil atau pun Tan Sri Khalid.

Sebenarnya untuk mencari kelemahan di antara semua calon yang bertanding itu tentunya amat mudah, tetapi keistimewaan setiap calon tersebut lebih banyak dari kelemahan masing-masing. Tidak rugi barang sedikit pun kepada sesiapa yang tewas di dalam pertandingan kali ini kerana mereka yang terpilih itu nanti pastinya mampu membawa PKR ke arah yang lebih baik dan lebih berani berdepan dengan Umno. Dalam hal ini, saya tetap yakin YB Azmin mempunyai senjata yang cukup berkesan berhadapan dengan Umno. /wfauzdin.blogspot.com

PEMILIHAN PKR - AZMIN MAMPU KEKALKAN SEMANGAT REFORMASI?

Posted: 14 Sep 2010 02:00 AM PDT

Azmin Lawan Zaid, Anwar Dalam Dilema


Oleh A Kadir Jasin

LAPORAN media massa mengatakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) tidak mahu namanya diheret ke dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti itu.

Perebutan jawatan parti itu dijangka sengit jika pertempuran yang diuar-uarkan antara Naib Presiden Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Mohd Zaid Ibrahim untuk kerusi Timbalan Presiden terjadi.

Jawatan Timbalan Presiden menjadi rebutan berikutan keputusan penyandang, Dr Syed Husin Ali, tidak mempertahankannya.

Walaupun laporan media massa memetik Zaid sebagai membandingkan situasi beliau dengan cabaran terhadap Allahyarham Abdul Ghafar Baba (Tun) dalam pemilihan Umno tahun 1993, saya rasa ia lebih menyerupai pertandingan antara Musa Hitam (Tun) dengan Tengku Razaliegh Hamzah untuk jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1982.

Dalam pertandingan itu, Musa mendapat "endorsement" Allahyarham Tun Hussein Onn dan disokong oleh bakal Presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih sedikit satu dekad kemudian, Anwar melancarkan cabaran terhadap Abdul Ghafar Baba (Tun) untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Walaupun Presiden Umno waktu itu, Dr Mahathir mahu status-quo dikekalkan, namun Anwar tetap mencabar Abdul Ghafar atas alasan ia adalah kehendak perwakilan bahagian.

Abdul Ghafar akhir mengundurkan diri daripada pertandingan. Apakah Mohd Zaid juga akhirnya menarik diri atau ditolak oleh perwakilan?

Jika perebutan jawatan Azmin-Zaid berlaku seperti diramalkan, Anwar akan menghadapi dilema kerana beliau, sama ada secara tersurat atau tersirat, terpaksa membuat pilihan demi parti dan peribadi.

Jadi tidak hairanlah kalau di permukaannya Anwar tidak mahu dikaitkan dengan pertandingan itu atau mengisytiharkan sikap berkecualinya. Namun semua orang tahu betapa akrab dan intimnya perhubungan antara Anwar dengan Azmin.

Azmin adalah "backroom boy" Anwar yang cukup berpengaruh ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi pada masa yang sama dicemburui oleh banyak pihak kerana dia dituduh terlalu mengongkong dan melindungi Anwar dalam kapasitinya sebagai pembantu khas.

Hubungan simbiotik ini, pada pandangan saya, sukar digugat. Walaupun secara tersurat Anwar tidak mahu memihak atau enggan diseret ke dalam perlawanan Azmin-Zaid, namun secara yang tersirat Azmin adalah pilihannya.

Tetapi Anwar tidak pula boleh sewenang-wenangnya mengatakan "tidak" kepada Zaid kerana bekas Menteri Kabinet Abdullah Ahmad Badawi itu adalah antara tangkapan terbesar PKR selepas pilihan raya umum 2008.

Apatah lagi pada saat PKR sedang mengalami ujian kesetiaan selepas peletakan jawatan beberapa orang Ahli Parlimen, Adun dan kepemimpinan pusatnya baru-baru ini.

Serentak itu, saya juga yakin, Anwar cukup kenal siapa Zaid dalam kerangka politik kontemporari kerana Anwar pernah menjadi ketua Zaid dalam Umno.

Jadi, dalam suasana yang penuh "tipu helah" ini, adalah tidak memeranjatkan apabila Zaid dilaporkan mendakwa bahawa wujud taktik kotor untuk menjejaskan peluang beliau bertanding dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung Oktober dan November ini.

Portal berita Malaysian Insider pada 10 September melaporkan yang sekumpulan 20 Ahli Parlimen PKR serta majoriti Ahli Dewan Undangan PKR Selangor dan Negeri Sembilan telah menyatakan sokongan kepada Azmin untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu dan menolak dakwaan bahawa Azmin menyerang Zaid.

Namun PKR harus diberi pengiktirafan kerana melaksanakan sistem pemilihan langsung yang dijangka memberi peluang kepada lebih kurang 400,000 ahli di 218 cabang pemilihan barisan kepemimpinan.

Jadi soal Zaid atau sesiapapun tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding tidak timbul. Sekarang hak terletak di tangan ahli akar umbi yang mungkin lebih mengenali dan mengiktiraf Azmin sebagai antara pengasas utama gerakan reformasi Anwar.

(Saya minta pembahas TOLONG BERHATI-HATI apabila mengulas mengenai Zaid sebab dia sedang menyaman saya kerana tulisan saya dalam Blog ini. Kes itu sedang dalam proses pertimbangan oleh mahkamah.)

Pada pendapat saya, pemilihan kepemimpinan PKR kali ini akan mempamerkan pergelutan antara kepemimpinan asal parti itu yang diwakili oleh Azmin dengan kelompok pendatang baru yang diwakili oleh muka-muka seperti Zaid, Abdul Khalid Ibrahim dan Chua Jooi Meng.

Kemenangan kumpulan pertama akan mengekalkan semangat reformasi parti itu manakala kemenangan kumpulan kedua akan menjadikan PKR lebih longgar dan kelabu (grey) daripada aspek perjuangan dan prinsip.

http://kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: