pemuda cheh |
- Surat terbuka kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno — Loke Siew Fook
- PAS tidak menipu, Umno lah penipu di Selangor
- Hasil Judi: PAS Mahu Guang Eng Beri Penjelasan Kepada Umat Islam
| Surat terbuka kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno — Loke Siew Fook Posted: 27 Sep 2010 07:17 PM PDT Saya merujuk kepada kenyataan En Reezal (Utusan Malaysia, m/s 7, 27 September 2010) yang terus melakukan fitnah dan tohmahan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana sumber perjudian untuk program pembasmian kemiskinan orang-orang Islam di negeri tersebut. Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menafikan dakwaan tersebut dan memberikan penjelasan mengenai sumber dana yang digunakan untuk program membantu rakyat miskin, namun En Reezal nampaknya tidak berminat untuk mendengar fakta dan terus menggunakan taktik kotor untuk memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat. Saya tidak berasa hairan mengapa En Reezal berbuat sedemikian kerana sememangnya anda dan parti anda telah bankrap idea politik dan ketandusan isu di Pulau Pinang dan terpaksa bergantung kepada senjata fitnah untuk kekal relevan di negeri tersebut. Namun, yang menjadi bahan ketawa kepada rakyat umum ialah cara En Reezal mempermainkan isu ini yang menunjukkan tahap hipokrasi anda pada tahap yang paling tinggi. Apakah En Reezal yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang terdahulu tidak mengetahui bahawa semua bentuk hasil cukai perjudian dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan di bawah Kerajaan Persekutuan? Sekiranya En Reezal dan rakan-rakan anda dalam Pemuda Umno begitu cetek pengetahuannya, biar saya menyalurkan sedikit maklumat kepada anda dan rakan-rakan anda. Soalan saya di Sidang Dewan Rakyat pada 9 Jun 2010 yang lalu berbunyi: Tuan Loke Siew Fook (Rasah) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada hasil cukai perjudian diasingkan daripada Akaun Hasil Disatukan, mekanisme untuk menguruskan hasil judi, kegunaan hasil ini dan berapa peratuskah hasil ini disalurkan untuk menangani masalah sosial akibat daripada masalah perjudian. JAWAPAN: 1. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada Kerajaan. Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 97 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (semakan) 1972 semua hasil atau terimaan yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah dikreditkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah terdiri dari tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil Kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara. 2. Pada masa ini Kerajaan tidak ada memperuntukkan sejumlah peruntukan yang khusus bagi menangani masalah sosial akibat ketagihan judi. Namun Kerajaan pada setiap tahun menyediakan peruntukan dalam bajet tahunan kepada Kementerian-kementerian berkaitan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti social. 3. Selain dari itu Kerajaan juga sedang dalam peringkat kajian untuk mewujudkan satu kod yang khusus dalam Akaun Hasil Disatukan bagi mengakaunkan semua kutipan daripada aktiviti perjudian dan ia akan disalurkan kepada perbelanjaan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Saya yakin En Reezal fasih dalam Bahasa Malaysia dan boleh memahami maksud jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Presiden parti yang diwakili oleh En Reezal. Untuk maklumat En Reezal juga, hasil cukai perjudian yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional adalah berjumlah RM2.3 billion sepanjang tahun 2009. Ini termasuklah cukai daripada kasino di Genting, cukai pertaruhan dari nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan sebagainya. Angka ini juga bukan direka oleh saya tetapi telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek di Dewan Rakyat pada tempoh hari. Untuk rekod, Senator Awang Adek juga merupakan pemimpin daripada parti yang sama dengan En Reezal. Jadi, untuk pengetahuan En Reezal, sebahagian perbelanjaan mengurus negara dan perbelanjaan pembangunan adalah dari sumber hasil perjudian yang dikatakan haram oleh En Reezal. Ini termasuklah elaun dan gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti kesayangan En Reezal! Sama ada ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan pemimpin-pemimpin parti Umno, terpulanglah kepada kebijaksanaan En Reezal untuk membuat kesimpulan! Sekian dimaklumkan, terima kasih. "MALAYSIAN FIRST". Berkhidmat untuk rakyat. * Loke Siew Fook adalah Ketua Pemuda Sosialis DAP dan Ahli Parlimen Rasah. | ||
| PAS tidak menipu, Umno lah penipu di Selangor Posted: 27 Sep 2010 04:11 PM PDT Oleh Roslan SMS Kalau kita biasa hidup senang, hidup bagaikan tikus jatuh ke kepok, tak pernah susah, tiba-tiba jatuh terperosok menyembam bumi, memang sukar menghadapi realiti. Demikianlah keadaan rakan-rakan kita dalam Umno di Selangor. Lebih 50 tahun menongkat langit menyangkakan ia tidak akan runtuh-runtuh, rupanya bila runtuh, hidup terus kacau dan meracau. Mereka menyangkakan seolah perubahan politik yang dibentuk hasil dari kemahuan rakyat ini suatu mimpi ngeri. Ia akan hilang jika mereka terjaga dari tidur. Untuk merampas kembali kuasa mereka tidakss egan dan silu melakukan apa sahaja yang terupaya oleh nafsu serakah. Biar ia bohong, politik murahan, mereka sangkakan rakyat masih di takuk lama. Masih akan tunduk dan patuh pada apa sahaja karenah mereka. Beberapa hari lalu saya menafikan bahawa ada ahli PAS di Kuala Selangor keluar parti tinggalkan PAS masuk Umno. ADUN Umno Jeram Amiruddin Setro menggambarkan pada rakyat bahawa orang PAS sudah hilang keyakinan pada parti dan perjuangan mereka. Buktinya seorang Timbalan Ketua Pemuda cawangan dengan lebih 30 orang ahli keluar parti menyerahkan boring masuk Umno kepada beliau.Bagi beliau itulah pencapaian terbesarnya. Ini suatu permulaan, kalau hari ini 30 esok mungkin 300, lusa 3000 kemudian puluhan ribu akan keluar beramai-ramai dari PAS dan masuk Umno. Lalu akan robohlah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ini. Menurut PAS cawangan berkenaan iaitu cawangan Kuala Parit di Bukit Kuching, Jeram, apa yang di "drama" kan oleh amiruddin itu bohong belaka. Pertama hamba Allah yang dikatakan Timbalan Ketua Pemuda PAS itu bukan ahli PAS pun dan keduanya kesemua 30 orang yang didakwa ahli PAS pun bukan begitu. Pada hari Sabtu lepas di muka S4 akhbar Sinar Harian YB Amiruddin dilaporkan berkata: Ahli PAS keluar parti bukan sandiwara. Mereka mengaku kepada saya, katanya. Dengan kuasa Allah pada keluaran yang sama akhbar berkenaan muka S19, berita Kuala Selangor dilaporkan : PAS sangkal dakwaan 30 ahli sertai Umno. Berita tersebut bukan sekadar melaporkan penafian PAS cawangan, malah dilaporkan dalam Majlis Jamuan Aidilfitri cawangan berkenaan, hamba Allah bernama Sharudin Mohd Nri dan rakan-rakannya 30 orang turut hadir dan Sharudin menafikan ada mengaku menyerang PAS pada Amiruddin. Dalam mukasurat sama disiarkan gambar Sharudin bersama Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor dan pimpina Pemuda PAS Kuala Selangor. Sekarang siapa yang menipu? Itulah kerja Umno di negeri Selangor sebenarnya. Dengan beberapa kerat baki kerusi Dun yang ada pada mereka, apa sahaja mahu digunakan untuk mengaburi mata rakyat serta mencabut keyakinan rakyat pada kerajaan PR Selangor yang mereka kasihi itu. PAS tidak menipu dalam hal ini, yang terbukti Umno yang menipu, ADUN Umno penipu.Saya yakin rakyat Selangor salamanya tidak akan memilih penipu untuk memimpin mereka. Kalau dah terkena lebih 50 tahun, insyallah mereka tidak akan tertipu lagi | ||
| Hasil Judi: PAS Mahu Guang Eng Beri Penjelasan Kepada Umat Islam Posted: 27 Sep 2010 04:00 PM PDT PAS meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi penjelasan sewajarnya kepada umat Islam di negeri itu berhubung dakwaan kerajaan negeri menggunakan wang hasil judi bagi memberi bantuan kepada golongan miskin. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, parti itu tetap berpendirian bahawa wang hasil kutipan judi adalah haram dan ia tidak boleh digunakan bagi membantu penduduk miskin terutamanya umat Islam di negeri itu. "Perkara tersebut, memamg telah diakui oleh Ketua Menteri (Guan Eng) bahawa hasil judi tersebut telah diasingkan dan ia disalurkan untuk membantu masyarakat bukan Islam di negeri itu. Oleh itu, kita berpuas hati dengan penjelasan beliau mengenainya. "Bagaimanapun, ingin kita tegaskan sekali lagi bahawa PAS tidak akan berkompromi sekiranya wang hasil judi diberikan kepada orang Islam di negeri itu. Ini kerana hasil judi tetap haram dan ia tidak boleh diberikan atas alasan apa sekali pun," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, pada Isnin. Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu. Bukan itu sahaja, Reezal turut mengemukakan pendedahan itu dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri berhubung penerimaan sumbangan tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida M. Yaacob bertarikh 9 Julai 2010. Terdahulu, seorang penulis blog memuat-naikkan sebuah artikel di Pisau.net mendakwa wang RM100 yang diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas sebagai penghargaan kepada golongan itu datangnya dari sumber judi. Bagaimanapun, Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sementara itu, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim melabelkan Guan Eng sebagai pemimpin yang suka berbohong kerana beliau hanya memberitahu perkara sebenar selepas Ketua Penerangan Pemuda Umno mengemukakan bukti kepada media mengenai perkara berkenaan. "Ini gaya dia (Guan Eng); pada mulanya dia akan menafikannya, tetapi apabila kita tunjukkan bukti, dia kemudian akan mengakuinya. "Inilah sikap sebenar pemimpin pembangkang, mereka cuba menyembunyikan perkara sebenar kerana takut pada kebenaran. Bila bukti sudah ditunjukkan baru mereka akur kepada hakikat sebenar," ujarnya sinis. |
| You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan