Sabtu, 18 September 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Pemilihan PKR: Ahli Parlimen Indera Mahkota YB Azan Ismail Berjaya Pertahankan Jawatan Ketua Cabang Berkenaan Dalam Pemilihan Hari Ini !!

Posted: 18 Sep 2010 04:27 AM PDT

KUANTAN, 18 Sept [7.00 pm] - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (foto), akhirnya berjaya mengekalkan jawatan Ketua Cabang Indera Mahkota dalam pemilihan parti itu hari ini. Beliau menewaskan Razali Alias (Setiausaha Perhubungan PKR Pahang) dengan majoriti sekitar 35 undi dalam kiraan tidak rasmi sekitar jam 6.00 petang tadi. Pemilihan Ketua Cabang itu yang dikatakan panas akhirnya berakhir dengan suasana harmoni biarpun ada berlaku sedikit kekecohan di awal Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) pagi tadi. Kemenangan Azan itu adalah satu keputusan yang sungguh mengejutkan sebenarnya. Apatah lagi, ramai pemerhati politik di negeri ini melihat Azan akan kecundang ditangan Razali. Ia ditambah lagi dengan sokongan akar umbi terhadap Razali yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Keputusan lain turut menyaksikan jawatan Timbalan Ketua Cabang terus kekal kepada "Team Azan" iaitu Ibrahim Sidek (Pak Brahim). Beliau menewaskan Kamarulzaman Mohamed Yusof (Pak Long) dengan majoriti sekitar 40 undi. Sementara itu seorang lagi calon "Team Azam" bagi jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh Lee Chean Chung bila dia menewaskan calon lain dengan majoriti hanya 6 undi sahaja. Lee mendapat 107 undi, manakala lawannya Ravichandran yang merupakan "team Razali" mendapat 101 undi. Sementara itu seorang lagi calon iaitu Kasfian Kasmudin hanya mendapat 17 undi.


Menang, Azan Ismail diapit oleh Lee Chean Chung (kiri) dan Ibrahim (kanan)

Difahamkan pengiraan undi masih dijalankan semasa laporan ini dibuat. Namun begitu, ramai penyokong Razali Alias telah awal-awal lagi meninggalkan perkarangan Pejabat PKR Indera Mahkota, di Jalan Air Putih dekat sini. Mereka kelihatan hampa dan terkejut dengan kekalahan tersebut. Sementara itu Azan Ismail ketika ditemui mengulas bahawa kemenangan itu adalah bukti sokongan terhadapnya masih ada dan tidak seperti yang diwar-warkan selama ini. "Saya menganggap kemenangan ini adalah langkah permulaan ke arah perjuangan yang lebih besar selepas ini iaitu Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijangka tiba tidak lama lagi. Justeru itu, saya berharap agar perpaduan dan perpecahan tidak akan berlaku, dan semua pihak dapat bersama semula untuk membina kekuatan parti bagi mempertahankan kerusi parlimen Indera Mahkota yang diwakilinya", kata Azan. Dalam pada itu, Azan juga bersedia untuk menawarkan jawatan Naib Ketua Cabang dilantik kepada lawannya Razali Alias, bagi mengukuhkan semula parti di cabang itu. "Saya bersedia memberi ruang untuk beliau bersama membina kekuatan parti di cabang ini. Semuanya sudah diputuskan dan kita harus terima keputusan dengan hati yang terbuka", jelas Azan lagi. Sementara itu, Cabang Indera Mahkota turut mencalonkan Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan Badrul Hisham Shahrin (Chegubard) sebagai Ketua AMK dalam pemilihan peringkat pusat Oktober ini.

[Kami ucapkan syabas dan tahniah kepada YB Azan atas kemenangannya itu. Semoga beliau akan lebih berwaspada dan berhati-hati dengan segala tindakan yang akan dilakukannya selepas ini. Kepercayaan yang diberikan oleh pengundi bermakna satu amanah yang wajar diberi perhatian. Elakkan perpecahan dan bersatulah demi perjuangan sebenarnya iaitu menjatuhkan kerajaan UMNO BN itu sebenarnya. Kepada mereka yang kalah, anggaplah ia sebagai semangat untuk meneruskan perjuangan itu. Eratkan kembali hubungan serta lakukan perubahan supaya parti lebih diterima rakyat pada masa akan datang. Apapun keputusan rasmi dibuat malam ini dan akan kami laporkan kemudian. Selamat berjuang buat semua].

Panas: Siapa Ketua Cabang Indera Mahkota Yang Baru Bakal Ditentukan Dalam Pemilihan Hari Ini, Antara Azan Dan Razali Siapa Yang Akan Di Pilih !

Posted: 17 Sep 2010 10:04 AM PDT

KUANTAN, 18 Sept - Seperti yang dijadualkan, pagi ini bermulalah Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Indera Mahkota. Mesyuarat kali ini agak menarik kerana berlakunya pemilihan baru untuk jawatan-jawatan penting bagi meneruskan agenda parti. Ramai pemerhati melihat perebutan jawatan untuk Ketua Cabang itu adalah yang paling "panas dan sensasi" kali ini. Tambahan pula ia membabitkan Setiausaha Perhubungan PKR Pahang, Razali Alias dan penyandangnya Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. Terdapat sumber mengatakan bahawa Razali Alias dijangka menang, berdasarkan kepada sokongan padu ahli yang turut dibantu oleh bekas penyokong kuat Azan sendiri. Selain jawatan utama Ketua Cabang, turut akan dipertandingkan ialah bagi jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua. Bagi Team Razali, kempen mereka dilihat lebih teratur dan strategik sekali. Malah, jawatan Timbalan Ketua yang akan menemukan Kamarulzaman (Pak Long) dengan Ibrahim (Pak Berahim) juga dilihat agak mendebarkan.


Calon Ketua Cabang Indera Mahkota yang dijangka panas
antara Razali Alias (kiri) denganYB Azan Ismail (kanan)


Calon Timbalan Ketua Cabang Indera Mahkota juga panas
antara Pak Long Kamarulzaman (kiri) dan Pak Brahim (kanan)
Sementara itu bagi jawatan Naib Ketua, kini dilihat Team Razali berpeluang cerah untuk menang kerana "proksi Azan" iaitu Ram Ponnusamy (Timbalan Pengerusi PKR III) tiba-tiba menarik diri daripada meneruskan hasrat untuk bertanding. Ini memberi kelebihan kepada Team Razali kerana Ram dilihat berupaya menarik sokongan kaum India terhadap Team Azan. Apapun segalanya boleh terjadi sekarang, tambahan pula Azan juga yakin yang team beliau akan menang biarpun ada banyak spekulasi tentang kekalahan team mereka.

Motif Rumah Terbuka Aidil Fitri Di Pertikaikan


Apa yang menarik dalam pemilihan ini, ialah dua jawatan utama bagi sayap wanita dan pemuda (Angkatan Muda Keadilan) yang menang percuma kini berpihak kepada Razali Alias. Malah, terdapat khabar angin bahawa kedua-dua pemimpin terbabit akan meletakkan jawatan sekiranya Azan memenangi pemilihan Ketua Cabang itu hari ini. Kemungkinan besar perkara itu berlaku memang jelas sekali, tambahan pula Ketua Wanita yang dikenali sebagai Kak Zura dikatakan saban hari sibuk untuk berkempen bagi pihak Razali. Malah, dalam tinjauan krew kami ke mesyuarat terakhir Team Razali di Indera Mahkota malam tadi, kelibat Ketua Wanita juga berada disitu. Namun, Ketua AMK iaitu Sani tidak kelihatan dan gagal dipastikan. Terdapat juga maklumat mengatakan Ketua Wanita telah terkena "ilmu hitam" ketika sibuk berkempen beberapa hari yang lalu. Satu laporan polis akan dibuat oleh beliau Ahad ini berkenaan kejadian itu. Soalnya sekarang, apakah benar ia berlaku atau sebaliknya. Seperti biasa, dalam kempen yang dijalanlan oleh kedua belah pihak ternyata soal peribadi masih mendapat perhatian. Malah berbagai maklumat baru yang telah didedahkan oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini. Cuma, apa yang lebih menarik ialah Team Razali dikatakan bertindak lebih profesional apabila mencetak pamplet yang tertera nama-nama calon dan juga manifesto mereka. Apa yang lebih menarik ialah tindakan Azan yang mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri di lokasi dan masa yang sama dengan MATC dan pemilihan cabang itu hari ini. Apakah ada agenda disebaliknya atau secara kebetulan semata-mata?.

[Kami ucapkan selamat bertanding kepada semua calon-calon berkenaan. Usahlah dijadikan permilihan kali ini sebagai satu perang yang besar buat kedua-dua belah pihak. Perjuangan yang sebenarnya ialah menentang UMNO Barisan Nasional dan bukannya sesama sendiri. Pertandingan yang berlaku adalah lumrah amalan demokrasi itu sendiri sebenarnya. Oleh itu, diharapkan agar kesan pemilihan ini tidak akan mewujudkan jurang perbezaan dan perpecahan antara kedua-dua belah pihak. Teruskan perjuangan dan bersama-sama membina kekuatan untuk memastikan kerusi parlimen Indera Mahkota terus dipertahankan oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Itu agenda yang lebih penting sebenarnya dan amat perlu difahami oleh kesemua pihak. Semoga MATC Indera Mahkota dapat berjalan secara aman, selesa dan tiada unsur-unsur sabotaj yang boleh menimbulkan permasalahan hendaknya].

Al-Fatihah: Pelakon Terkenal, M.Rajoli Meninggal Dunia Di Hospital Ampang Jam 10.45 Malam Tadi!

Posted: 17 Sep 2010 09:16 AM PDT

PETALING JAYA, 18 Sept [12.17 am] - Pelakon veteran terkenal M.Rajoli, 65, (foto) yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor, malam tadi (Jumaat) selepas dimasukkan ke hospital itu petang Khamis lalu. Menurut adik ipar Allahyarham, Mohlis Md. Din, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.45 malam di sisi isterinya Hassimah Mat Din dan anak bongsunya, Mohd. Arif. Allahyarham dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebelum solat Zuhur hari ini. M.Rajoli disahkan menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak tiga tahun lalu dan dijaga sepenuhnya oleh isteri pertamanya, Hassimah.

[Kami ucapkan sekalung takziah kepada keluarga Allahyarham. Sesungguhnya nama M.Rajoli masih tetap segar dalam ingatan kita. Tambahan pula, beliau adalah satu-satunya pelakon di Malaysia yang gemar memegang watak orang alim sama ada dalam filem atau drama lakonannya. Justeru itu, kehilangan beliau merupakan satu kerugian besar buat industri perfileman negara. Apapun, semoga rohnya akan ditempatkan dikalangan orang beriman dan beramal soleh dan mendapat rahmat dari Allah SWT. Amin].

Tiada ulasan: