Rabu, 22 September 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Setiap Kita Adalah Pemimpin

Posted: 22 Sep 2010 07:02 PM PDT

Teladan kisah Umar abd. Aziz

Posted: 22 Sep 2010 06:54 PM PDT

"Aku berlindung kepada Allah daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri" (Umar bin Abdul Aziz r.a.)

Betapa indah dan makmur sesebuah negera bila terdapat beberapa pemimpin seperti Umar bin Abdul Aziz r.a. Pada masanya, Umar bukan hanya sempat menjawat sebagai seorang gabernur Madinah, tetapi juga khalifah. Banyak hal yang dirindukan rakyatnya dari perilakunya.

Misalnya, Umar bin Abdul Aziz sentiasa hidup sederhana, baik ketika masih menjadi rakyat, maupun ketika sudah menjadi gubernur dan khalifah. Harta negara selalu dipisahkan dari harta pribadinya. Bahkan, lampu minyak pun selalu dipisahkan antara yang diperuntukkan untuk kepentingan negara dan untuk kepentingan pribadinya.

Suatu hari, anaknya datang menghadapnya untuk membicarakan sesuatu. Begitu diketahui yang ingin dibicarakan tentang masalah pribadi, ia langsung mematikan lampu yang dihidupkan dari wang negara atau wang rakyat. wang rakyat tidak boleh digunakan sedikitpun, kecuali untuk kepentingan rakyat. Begitulah Khalifah Umar, yang senantiasa merasa takut kepada Allah dalam hidupnya, baik dalam ucapan maupun dalam perbuatan.

Sekarang ini, jarang ada pemimpin yang demikian. Harta milik pejabat, seperti kenderaan rasmi , kerap digunakan untuk kepentingan pribadi, meskipun itu sudah jelas dilarang.

Semuga sekelumit kisah ringkas Khalifah Umar Abdul Aziz di atas menjadi teladan yang berguna kepada kita semua.


Oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Umno-Bn akan membina sebuah kasino di Sabah ?

Posted: 22 Sep 2010 06:47 PM PDT

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada kerajaan Umno-BN akan membina sebuah kasino di Sabah sebagai sebahagian daripada ETP (Program Transformasi Ekonomi).

Kasino itu dikatakan sebahagian projek pelancongan hijau di Karambunai yang turut membabitkan pembinaan pusat rekreasi air atas tapak 500 ekar, menurut portal Malaysian Insider. Projek itu dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami mahukan pentadbiran Najib untuk bersikap telus dan menyatakan samada ia memang bercadang atau telah pun memberikan kelulusan untuk membina sebuah kasino di Sabah," Anwar dipetik sebagai berkata.

"Ada tanda-tanda bahawa kelulusan untuk membina kasino akan diberikan atas alasan untuk memastikan projek hijau itu berwibawa dan menguntungkan. Perdana Menteri harus memberi pengesahan atau penafian yang tegas atas isu ini," tambah Anwar.

Cadangan pembinaan kasino itu didedahkan setelah kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi sukan kepada sebuah syarikat milik jutawan Vincent Tan. Namun setelah dikritik oleh Pakatan Rakyat dan orang ramai, termasuk masyarakat bukan Islam, Najib menarik balik kelulusan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada pembinaan kasino baru di Sabah, jika diluluskan, akan membabitkan syarikat milik Vincent Tan sebagai 'pampasan' kepada ahli perniagaan itu atas kehilangan lesen judi sukan berkenaan.

"Baru dua bulan isu lesen judi sukan reda, muncul pula berita mengatakan kerajaan mahu membina sebuah kasino. Bagaimanakah ia akan menguntungkan pembayar cukai?," kata Anwar.

"Rakyat berhak untuk mengetahui hala tuju negara ini di bawah pimpinan Najib. Nampaknya apa yang sedang dilakukan oleh pentadbiran Najib ialah untuk mempopularkan judi," kata Anwar. (tvS)




Dari TV Selangor

Generasi Reformasi PKR anjur kempen jelajah negara, bermula malam ini

Posted: 22 Sep 2010 06:45 PM PDT

Generasi Reformasi yang turun gelanggang pemilihan PKR kali ini akan bertemu ahli-ahli dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di peringkat akar umbi melalui program Roadshow Generasi Reformasi (RGF) di setiap negeri mulai malam ini.

Ia susulan debat sulung antara bakal calon jawatan ketua AMK yang diadakan di Taiping hujung minggu lalun.

Rafizi Ramli yang menawarkan diri dan sudah pun layak bertanding jawatan ketua AMK berkata, pendekatan ini diambil bagi menyuburkan amalan demokrasi seraya diterima oleh kesemua anggota parti.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota Keadilan, pihak media dan orang ramai yang memberikan pelbagai reaksi positif sejak pengumuman kami menawarkan diri untuk jawatan-jawatan tertinggi Angkatan Muda Keadilan Pusat pada 1 September lalu.

"Generasi Reformasi akan turun berjumpa ahli-ahli dan pimpinan AMK di peringkat akar umbi di setiap negeri melalui program Roadshow Generasi Reformasi," katanya.

Program RGF pertama akan diadakan di Kelab Darul Ehsan, Ampang dekat sini pada pukul 8.30 malam.

"Selain bertemu anggota dan menjawab pertanyaan, barisan Generasi Reformasi juga akan membentangkan manifesto dan pelan rancangan menyuntik dinanisme AMK sepanjang program-program ini di seluruh Malaysia," katanya.

Katanya, bagi menjamin proses pemilihan ini berlaku dengan adil dan tidak menindas mana-mana pihak, Generasi Reformasi memilih untuk menganjurkan sendiri keseluruhan program ini tanpa melibatkan mana-mana premis atau kemudahan parti.

"Jentera kami juga akan menghubungi secara peribadi seberapa ramai anggota AMK di setiap kawasan yang kami akan kunjungi untuk memastikan seramai mungkin anggota AMK turut serta dalam proses pemilihan bersejarah ini.

"Oleh itu, kami mengambil kesempatan ini untuk menjemput mana-mana anggota AMK yang ingin atau telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan pusat untuk menggunakan kemudahan program ini dan bertemu dengan anggota-anggota akar umbi, sebagai sebahagian dari usaha kita menyuburkan demokrasi," katanya.

Selepas Kelab Darul Ehsan, Gerakan Reformasi akan bertemu anggotanya di Ipoh pada 26 September dan Kuantan (28 September).

Kemudia ia akan menyusur ke Shah Alam (29 September), Bandar Hilir (1 Oktober), Kota Kinabalu I (2 Oktober) dan keesokannya akan ke Kota Kinabalu II.

Sementara pada 5 Oktober mereka akan berhimpun di Subang, dan seterusnya di Negeri Sembilan (6 Oktober), Kuala Lumpur (13 Oktober) dan Johor (14 Oktober).

Selain itu, dua sesi pertemuan akan bermula pada 16 hingga 17 Oktober di Sarawak dan menyusur semula ke negeri Selangor pada 18 Oktober.

Pertemuan di peringkat akar umbi ini kemudiannya diadakan di Perak pada 19 Oktober dan pada 20 Oktober RGF akan berada di Kuala Lumpur semula.

Lain-lain tarikh pertemuan ialah pada 22 Oktober di Kedah, Pulau Pinang (23 Oktober), Terengganu (29 Oktober) dan Kelantan (30 Oktober).

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh anggota AMK hadir supaya calon-calon yang menawarkan diri boleh dinilai dari segi kemampuan karisma masing-masing.

Malah katanya, sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut berhubung RGF tersebut boleh diajukan kepada Saifullah Zulkifli yang juga merupakan calon AMK Pusat di talian 013-3005461.

Memikirkan pemilihan Parti Keadilan Rakyat

Posted: 22 Sep 2010 07:02 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan tidak lama lagi. Khabarnya, tokoh tertinggi, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mempertahankan kedudukannya sebagai presiden. Timbalannya yang telah berasa tua, Dr Syed Husin Ali, akan berundur daripada tempat itu.

Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding bagi mengambil tempat yang dikosongkan oleh Syed Husin. Khabarnya masih ada calon lain yang akan turut bertanding.


Sesiapa yang mengikuti perkembangan PKR pasti tahu bahawa parti itu mengalami perkembangannya yang tersendiri. Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (sering juga disebut ketua de facto) tidak akan merebut jawatan presiden. Ini membezakan parti ini daripada parti-parti lain, kerana sungguhpun Anwar tidak bertanding, dia akan selalu 'menang'. Kita telah melihat pergerakan hebat tokoh ini, bahawa tanpa menjadi ketua yang langsung, dia berjaya menentukan arah PKR. Anwar amat istimewa dalam PKR, dan saya jangka keistimewaan ini tidak mungkin dinikmati orang lain dalam jangka masa 20 tahun akan datang.

Sesetengah orang menyukai PKR kerana kelainan Anwar. Walau bagaimanapun, Bahagian atau Cabang Arau mencadangkan agar Anwar merebut jawatan presiden. Ini laporan Sunday Star 19 September 2010, "�Datuk Seri Anwar Ibrahim received a nomination from the Arau branch for the post." Maksud the post dalam konteks itu ialah jawatan presiden.

Ketika saya menulis makalah ini, saya tidak tahu mengapakah Cabang Arau berbeza. Paling mungkin dan munasabah, ahli-ahli Cabang Arau mengingini demokrasi tulen, iaitu mereka berhasrat agar PKR ditadbirkan secara biasa, bukan secara yang melebih-lebihkan penasihat atau ketua de facto. Jika itu ialah hasrat Cabang Arau, semua ahli PKR wajarlah menerima baik.

Hasrat untuk melihat demokrasi berjalan secara semolek-moleknya dalam PKR tergambar juga melalui tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan. Beliau tidak mahu orang melihat Azmin Ali sebagai segala-galanya dalam PKR. Mungkin bagi Zaid, keistimewaan kedudukan Anwar sudah cukup, malah sudah lebih, maka janganlah kedudukan Azmin pun menuju ke arah keistimewaan sedemikian. Sesebuah parti politik zaman moden tidak wajar meletakkan seseorang di tempat yang menyamai amalan feudalisme.

Tanpa hasrat menyebelahi Zaid, saya berpendapat tokoh itu mempunyai kelebihan. Azmin ada keistimewaan sebagai pemimpin istimewa, terutama beliau telah lama bersatu-padu dengan Anwar, sehingga kelihatan tidak terpisahkan, biarpun langit bertangkup dengan bumi. Zaid tidak demikian. Beliau bergantung pada kekuatan peribadinya sendiri, seorang tokoh yang faham betul sistem politik sekular. Beliau telah memaparkan ketegasannya meninggalkan jawatan menteri, dan kemudian memilih parti pembangkang. Ini istimewa, walaupun rahsianya rahsia biasa, iaitu rahsia yang bukan rahsia.

Bagi orang miskin, ketegasan Zaid meninggalkan jawatan menteri cukup menghairankan, tetapi bagi jutawan, tindakan demikian samalah dengan seseorang membuang beberapa biji kacang. Beliau membuang kacang kerana meminati gajus. Bagi sesiapa yang memiliki wang kurang seringgit sejuta, Zaid ialah pemimpin bernilai sederhana, tidak begitu mundur, dan tidak juga begitu maju. Zaid meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional, menyeberang ke pihak pembangkang kerana (beberapa kali disebutkan) beliau yakin pembangkang memiliki demokrasi tulen. Zaid berhak berfikir begitu, walaupun hakikat dalam diri ketua-ketua parti tidaklah demikian.

Jika Zaid tidak bertanding sekarang, bilakah masanya beliau akan bertanding? Sesiapa yang berusia melebihi 55 tahun, masa dan usia amat difikirkan. Kita janganlah percaya bahawa Zaid menyertai PKR hanya untuk menolong parti, tanpa memikirkan segi untuk ditolong parti. Kita tahu Azmin, sama seperti Anwar sendiri, berada dalam keuntungan, kerana mereka menolong dan ditolong parti. Kita juga tahu, sejumlah besar ahli parti ialah orang-orang yang bersedia menolong parti, biarpun tidak ditolong parti. Mereka bersedia bekerja tanpa bayaran, kerana mereka menyangka parti ialah sesuatu yang amat baik untuk rakyat. Fikiran demikian tentulah berbeza daripada pemikiran pemimpin, kerana pemimpin memikirkan peningkatan dan pengekalan kuasa. Semua ini tersirat dalam pelbagai teori politik.

Orang yang paling layak memimpin PKR, malah memimpin Pakatan Rakyat, tentulah Anwar Ibrahim. Walaupun stailnya amat berbeza, beliau tahu menguasai sejumlah manusia yang dipimpinnya, kerana beliau banyak belajar daripada Tun Dr Mahathir Mohammad. Ketika mereka berdua mentadbir negara, kita dapati pertentangan daripada musuh-musuh – dalam dan luar – tidak pernah kuat. Kita dapati pola yang memberikan keistimewaan kepada Anwar adalah berasaskan ilmu daripada Mahathir, dan ilmu itu dipegangnya hingga kini.

Untuk memahami hal ini, kita hendaklah mempelajari konsep dan pelaksanaan intertekstualiti. Anwar mulai aktif dalam UMNO pada awal dekad 1980-an disebabkan rasa kagumnya kepada kehebatan Mahathir. Sejumlah besar orang Melayu berasa senang hati, gembira dan bersyukur, kerana dua pemimpin yang sukar dicari dalam masa satu atau dua dekad, tiba-tiba bersatu padu dalam sebuah parti politik.

Kita telah melihat negara berada dalam keadaan sejahtera ketika kedua-dua tokoh itu berbaik-baik. Itu telah menjadi sejarah. Apa yang sedang kita lihat kini, Anwar berada di atas yang lain selaku penasihat dan ketua de facto, satu kedudukan yang tidak pernah dinikmati Mahathir. Ini menunjukkan Anwar telah memperlihatkan kebolehannya menambahkan segi yang tidak diajarkan Mahathir. Mahathir tidak pernah mengambil tempat begitu, biarpun beliau juga berjaya menjadikan dirinya pemimpin yang tidak ditandingi, hinggalah pada 1987.

Sekarang kita mendapati Anwar berada di kedudukan yang mengatasi presiden. Kata-kata beliau didengari secara sepenuhnya, tanda bahawa beliau di atas presiden. Jika beliau mengenang zaman bahagianya dalam UMNO, beliau pasti terbayang akan kedudukan Dr Mahathir yang tidak ditandingi atas alasan yang lain. Saya yakin, di samping beliau berasa tidak menyenangi Dr Mahathir kerana wujudnya alasan politik biasa, beliau pasti berasa terhutang budi kerana Dr Mahathir memberikan ilmu tinggi kepadanya dalam hal begini.

Sama ada ahli PKR, ahli UMNO, juga ahli parti-parti lain – seterusnya ahli politik tidak berparti – semuanya sedang menunggu tarikh pemilihan pemimpin baru PKR. Pada masa ini, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali terlihat sebagai saling rival, iaitu masing-masing sedang mencari penyokong. Namun, dalam diri mereka, tiada kebimbangan apa-apa, kita yakin, kerana mereka bukanlah daripada kalangan kurang seringgit sejuta, apatah lagi dari kalangan orang miskin yang kurang seribu ringgit sebulan. Mereka berdua, menyamai tokoh-tokoh UMNO dan Barisan Nasional, adalah tokoh-tokoh yang sedang mengejar keselesaan yang berganda-ganda. Oleh itu, pertandingan mereka ialah pertandingan yang tidak begitu berbeza berbanding pertandingan yang membabitkan Nicol David atau Lee Chong Wei.

Oleh sebab pertandingan dalam politik moden hanyalah seumpama pertandingan sukan, maka eloklah kita mengikutinya dengan jiwa yang tenang. Jika terasa muncul rasa marah, atau tidak senang, eloklah orang Islam mendapatkan ayat al-Qur'an yang sesuai untuk menyembuhkan penyakit hati yang berbahaya. Ingatlah, dalam keseluruhan ruang kehidupan yang amat bermakna, politik amat kecil.

Usharani tiba di Malaysia bersama bukti

Posted: 22 Sep 2010 06:33 AM PDT

Isteri ahli perniagaan India yang hilang tiba di Malaysia pagi ini untuk membantu siasatan tetapi beliau membawa bersamanya bukti yang boleh mendatangkan kesusahan kepada polis.

S Usharani, 24, membawa rakaman perbualan telefon di antara beliau dan seorang lelaki yang didakwa sebagai pegawai polis Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen PKR Kapar Manikavasagam, "pegawai polis" itu menelefon Usharani di Chennai dan menuntut sebanyak RM1 juta untuk pembebasan suaminya.

Muthuraja, pembiaya panggung wayang, dikatakan mempunyai hubungan dengan suspek-suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati Lowiya dan tiga yang lain. Beliau dilaporkan hilang Januari tahun ini selepas menemui peguam dua beradik itu.

Manikavasagam memberitahu FMT hari ini bahawa apabila beliau menemani Usharani ke ibu pejabat polis daerah Kuala Langat, pihak polis meminta bukti rakaman itu tetapi beliau enggan memberi kepada mereka.

"Saya tetap tidak mempercayai mereka. Jadi saya mahu memberi rakaman ini kepada pihak media terlebih dahulu sebelum memberinya kepada polis," katanya, menambah beliau akan melakukannya pada sidang media esok.

7. Mengenai perbualan telefon, Manikavasagam berkata, ia dalam bahasa
Tamil dan "pegawai polis" itu menyebut namanya sebagai
"ASP Suresh".
Ditanya adakah ini menunjukkan bahawa suspek-suspek utama itu (peguam-peguam yang hidup mewah), mempunyai hubungan dengan polis, beliau menjawab, "sudah tentu, kemungkinan mereka turut terlibat."

"Malahan firma peguam suspek (di Banting) terletak betul-betul di hadapan di seberang jalan dengan ibu pejabat polis daerah itu," tambah beliau.

Isteri melawat tempat kejadian

Manikavasagam berkata polis memberitahu Usharani bahawa mereka yakin suaminya telah dibunuh dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302.

Usharani dibawa ke Ladang Gadong di mana pembunuhan itu berlaku dan juga ke sungai di mana tulang-tulang manusia yang tidak dikenali ditemui.

Meskipun demikian, Manikavasagam berkata Usharani enggan mempercayai suaminya telah mati.

"Usharani kelihatan tenang apabila bercakap dengan polis tapi menangis di tempat kejadian. Beliau sungguh sedih tapi berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada polis dalam usaha mencari suaminya," tambah beliau.

Sementara itu, pihak polis meminta salah seorang anggota keluarga Muthuraja datang ke Malaysia untuk memberi bukti DNA bagi mempercepatkan penyiasatan.

Ditanya kenapa Usharani meminta pertolongannya, Manikavasagam menerangkan bahawa beliau telah diperkenalkan oleh rakan-rakan di India.

"Ramai orang di India mengenali saya melalui tugas saya," jelas beliau. "Orang ini secara kebetulan merupakan salah seorang daripada mereka dan memberinya (Usharani) nombor saya. Beliau (Usharani) menelefon saya meminta tolong dan saya setuju."

Manikavasagam memuji pihak polis kerana berjaya menjalankan tugas dengan baik dan menekankan bahawa ini berhubung dengan keadilan untuk para mangsa dan bukan hanya untuk Muthuraja.

Usharani, yang menginap di sini bersama saudaranya, akan berada di Malaysia selama seminggu untuk membantu siasatan.

Surcaj Air Untuk Pengguna Domestik

Posted: 22 Sep 2010 02:31 AM PDT

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya memperkenalkan tarif penjimatan air untuk pengguna domestik, bukan kadar kenaikan domestik bermula 1 November 2010, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kadar yang dikenakan ialah 20 peratus lebih tinggi daripada kos penggunaan lebihan air yang bertujuan menghadkan penggunaan air kepada 233 liter sehari berbanding sekarang 286 liter sehari.

Bagi mengurangkan kepada tahap itu, mana-mana pengguna menggunakan lebih daripada 233 liter sehari mereka akan dikenakan bayaran secaj tambahan 24 sen satu meter padu.

"Untuk mencapai sasaran 233 liter sehari, maka Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Kerajaan Negeri relah memohon klepada kabinet untuk mengenakan secaj yang sepatutnya bermula 1 Oktober tetapi memandangkan bayaran bulan dua bulan sekali ia akan berkuatkuasa pada 1 November 2010," ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya tengah hari tadi.

Menurutnya, terdapat tiga tujuan utama berbuat demikian, pertamanya adalah untuk menghukum golongan yang membazir air kerana terdapat 30 peratus pengguna air di negeri ini suka melakukan pembaziran air paip yang disediakan oleh kerajaan.

Selain itu, katanya tarif penjimatan juga bermatlamat memastikan rakyat Pulau Pinang tidak menyalahgunakan subsidi air domestik yang mereka nikmati sekarang.

Ia juga, ujarnya untuk mempromosikan budaya penjimatan air di negeri ini di samping membantu penjimatan PBA, kerajaan negeri serta pelaburan asing tanpa membina lebih banyak empangan air.

PBA telah memberikan subsidi sebanyak RM41 juta terhadap penjualan air paip kepada pengguna domestik kurang daripada harga pengeluaran di mana 400 ribu pengguna menikmati subsidi air tesebut.

"Pengguna domestik jangan bimbang tentang kenaikan kerana kerajaan negeri tidak bertindak menaikkannya sebaliknya masih menikmati subsidi seperti biasa," jelas beliau.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama dan mempunyai kadar domestik yang paling rendah mengenakan secaj penjimatan air di Malaysia bagi mengelak daripada kenaikan tarif air.

Dasar penjimatan air yang baru itu, kata beliau pastinya tidak menyenangkan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan kenaikan tarif air.

Menurutnya, memandangkan dasar kerajaan untuk membantu rakyat, maka satu pendekatan diambil untuk menghukum mereka yang membazirkan air bukan pengguna air.

"Kerajaan berharap pengguna di Pulau Pinang tidak membazirkan air tetapi menggunakan air dengan berhemah. Kadar penggunaan 233 liter sehari pun begitu banyak berbanding saranan yang dikeluarkan oleh Purata Kebanggsaan 205 liter sahaja. Lebih tinggi daripada syor oleh Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahukan 160 liter air sehari," tambahnya.

“Terima Kasih Perkasa…”

Posted: 22 Sep 2010 01:21 AM PDT

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam reaksi awal hari ini, menyindir Perkasa yang menjawab pelawaan debat daripadanya dengan membuat laporan polis.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberi keterangan di balai polis Dang Wangi di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan ditemani peguam, Latheefa Koya.

"Terima kasih Perkasa, balas jemputan saya dengan membuat laporan polis," katanya.

Beliau dipanggil berikutan laporan yang dibuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Perkasa berhubung kenyataan media mengenai jemputan beliau untuk berdebat mengenai kedudukan istimewa orang Melayu.

Dua pertubuhan itu pada 2 September lalu berbuat demikian berikutan kenyataan Nurul Izzah berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Nurul Izzah mengajak Perkasa berdebat isu kedudukan istimewa orang Melayu yang dibangkitkan dalam artikelnya berjudul 'The ultimate Malaysian debate: Malaysia or Malaysaja?' tetapi ditolak.




Dari TV Selangor

Tanah KTMB Bernilai RM400 Juta Dijual Pada Harga RM50 Juta

Posted: 21 Sep 2010 09:50 PM PDT

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bernilai RM400 juta kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan harga yang jauh yang lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata adakah rakyat Malaysia ditipu lagi berhubung perjualan yang membabitkan tapak seluas 8 hektar milik KTMB yang terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar.

"Tanah ini, yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan perkhidmatan kereta api.

"KTMB sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan. Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam.

"Mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Namun katanya, kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan jika sekiranya tapak tersebut dibangunkan semula, adakah unit-unit pembangunan itu akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun. Ini memandangkan tanah itu diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80 peratus,

"Bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan Bumiputera?

"Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?.

"Adakah rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?," soalnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangannya kerana tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti apa yang berlaku di dalam skandal Pelabuhan Bebas Cukai Port Klang (PKFZ) yang membabitkan berbilion ringgit dana rakyat.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyenaraikan beberapa bentuk manipulasi keuntungan yang dikenali sebagai ketirisan ekonomi dan menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura.

1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.

2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.

3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon persendirian dalam kes PKFZ.

4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit yang sudah siap untuk golongan Bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.

5) Pemilik Bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.

6) Untungnya akan mengalir ke tangan persendirian dan bukannya institusi Bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali.

7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela Bumiputera, untuk menegakkan benang basah.

"Ianya merupakan satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.

"Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, ini kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," tegas beliau.

Tambahnya, pada sesi parlimen Oktober depan, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar ini.

PAS Mungkin Ikut Jejak Langkah KEADILAN Gunapakai Sistem Undi Terus

Posted: 21 Sep 2010 09:44 PM PDT

Melihat kepada keberanian pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membuat perubahan drastik dengan memberi hak memilih secara langsung kepada ahlinya dalam Pemilihan 2010 kali ini, PAS juga akan menimbang menggunakan pendekatan sistem pemilihan undi yang sama bagi pemilihan parti akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata sistem ini tidak pernah dicadangkan dan dibincangkan dalam PAS kerana ia amat berpuas hati dengan kaedah yang digunakan sehingga kini iaitu sistem delegasi yang juga diguna pakai oleh hampir kesemua parti politik di negara ini.

"Setakat ini kita (PAS) belum bincangkan sejauh mana sistem ini boleh diguna pakai di dalam pemilihan PAS kerana sistem undi terus merupakan satu proses yang rumit dan sukar dilaksanakan dengan baik.

"Selama ini itulah yang dijangkakan oleh PAS, dan sejauh mana PKR berjaya melaksanakannya akan mempengaruhi pendirian PAS pada masa akan datang," jelas beliau kepada Suara Keadilan.

Katanya lagi PAS akan mengkaji keberkesanan sistem undi terus berdasarkan kepada kejayaan dan kelemahgan yanng dihadapi oleh KEADILAN sebelum, semasa dan selepas pemilihan serta reaksi ahli secara keseluruhannya berkenaan sistem undi terus.

"Sistem undi terus ada kebaikan dan keburukannya, dan ini merupakan satu perkara yang boleh dibincang dan boleh dinilaikan dengan melihat kepada pencapaian PKR," jelas Khalid.

PAS mengadakan Muktamar Tahunan ke-55 dan juga pemilihan parti dari 5 hingga 7 Jun 2009 di Stadium Malawati, Shah Alam.




Oleh Frederick Luccas

Pemilih Baru Tak Boleh Mengundi!!!

Posted: 21 Sep 2010 09:30 PM PDT

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menganggap kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Morat Pora, semalam tidak masuk akal.

Anggapan itu berhubung ketetapan terbaru SPR, iaitu pengundi yang baru mendaftar tahun ini tidak layak mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) diadakan pada tahun depan.

"Kenyataan itu adalah tidak masuk akal memandangkan proses pendaftaran pemilih baru oleh SPR itu memerlukan empat fasa dalam setahun," ujarnya pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut bekas Ketua Strategik PKR itu; suku pertama adalah dari bulan Januari hingga Mac; suku kedua (April hingga Jun); suku ketiga (Julai hingga September); dan suku tahun keempat (Oktober hingga Disember).

"Ertinya, yang mendaftar pada bulan Januari hingga Mac tahun ini, nama mereka itu telah dipamerkan pada suku kedua tahun ini.

"Apabila dipamerkan, diteliti serta melalui proses bantahan dan sebagainya, maka sepatutnya pada suku ketiga patut nama mereka sudah ada dalam daftar pemilih induk, maknanya mereka boleh ambil bahagian sebagai pengundi baru," ujarnya.

Disebabkan itu, beliau menyuarakan rasa curiga dengan ketetapan terbaru yang dibuat Morat itu kononnya proses pengesahan satu-satu daftar pemilih memakan masa lebih empat hingga lima bulan.

Katanya lagi, masalah mengemaskini daftar pemilih adalah masalah pengurusan SPR disebabkan tidak mengikut jadual memproses daftar pemilih baru seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Maka, masalah SPR itu, menurut beliau tidak wajar sehingga menghalang hak pengundi baru, khususnya di kalangan pengundi muda untuk menentukan kepemimpinan negara terbaik pada tahun depan.

"Kenyataan terbaru ini sudah tentu tidak mampu memadam persepsi rakyat, pertama SPR dilihat sebagai sebuah badan yang berpihak pada Umno BN.

"Kedua, SPR nampaknya mengukuhkan apa yang kita percaya selama ini bahawa pengundi baru, khususnya pengundi muda nampak seakan tidak berpihak kepada parti-parti pemerintah pada pilihan raya nanti."

Lanjutan itu, beliau menggesa SPR supaya tidak mengulangi kesilapan sebagaimana yang pernah berlaku pada PRU10.

"Pada pilihan raya Umum (tahun) 1999 dulu, perkara ini pernah berlaku di mana lebih 700 ribu pengundi baru tidak dapat mengambil bahagian pada zaman reformasi ketika itu akibat kelembaban pengurusan SPR dalam menguruskan pendaftaran pemilih baru," beliau menambah.

Tegasnya lagi, jangan disebabkan mahu memuaskan kepentingan politik parti-parti pemerintah, SPR sanggup bersikap tidak adil dan demokratik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mencadangkan kepada ahli parlimen pembangkang dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat supaya segera mengatur pertemuan dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung ketetapan terbaru itu.

Minyak naik lagi!

Posted: 21 Sep 2010 09:23 PM PDT

Siapa perasan? Siapa yang sedar? Mungkin taukey minyak tahu. Sibuk sangat kita dok bace kisah Datuk Sosilawti kena bunuh, kena songlap duit berjuta, rupanya kerajaan BN dalam senyap menaikkan harga minyak masa dekat raya baru-baru ini. Kerajaan BN dah macam penyamun tarbus. Rakyat sedang sibuk berposa. Sedang sibuk menguruskan persiapan raya. Sedang memandu untuk pulang berhari-raya… alih-alih tup! Dinaikkan minyak.

Takde sepatah haram pun berita dalam surat khabar ke? Pengumuman di Media TV akhbar ke? Yang ada pengumuman Hari Raya lepas tu dok pusing sampai hancur cerita pembunuhan kejam Datuk Sosilawati. Tapi tahukah kita Kerajaan BN ini menjadi pencekik darah secara senyap. Para pemimpin membuat keputusan dan tindakan dalam selimut seolah-olah Negara ini mak bapak dia yang punya. Apa peduli dia kepada kesusahan rakyat.

Bagi Umno apa dia kisah harga minyak naik ke tidak. Penulis sendiri pun dok isi minyak tak perasan. Itupun setelah sahabat memberitahunya dan ditunjukkan resit pembayaran minyak samada diesel dan petrol sudah dirembat oleh Kerajaan BN kenaikan 0.5 sen setiap satu liter. Bagi penyokong UMNO mungkin tak kisah. 5 Sen pun bising ke? Tetapi berapa banyak penggunaan minyak sehari di Malaysia? Jika merujuk Statistical Review of World Energy yang dikeluarkan oleh British Petroleum, penggunaan minyak di Malaysia juga menunjukkan peningkatan sehingga 499 ribu tong sehari pada tahun 2006. Sekarang 2010 sudah pasti dah lebih. Letaklah 500ribu tong sehari X 159 X 5 sen ( 1 tong = 158.987 liter). Hah RM 3975000!

Tapi siapa yang sedar? NGO PROTES yang selalu protes harga minyak naik pun tak sedar. Apatah lagi penyokong UMNO.Bagi pendokong UMNO memang bersyukur dengan segala tindakan pemimpinnya mungkin sujud syukur kot. Nak cari macammana pemimpin bijak seperti pemimpin UMNO-BN yang memerintah kini. Kalau tanya pemimpin UMNO pasti jawapannya: "RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik." Hah... nasib ko le Labuuu....

Bagi rakyat ada dua pilihan sahaja. Samada lingkupkan kerajaan UMNO-BN dalam pilihanraya ke-13 nanti dan kita sama-sama martabatkan kerajaan PR di Putrajaya atau pilihan kedua buat seperti pakcik ni. Diam aje. Tak menyusahkan orang. Biarlah UMNO memerintah sampai kiamat!






Oleh Ustaz Saiful Bahri

Terowong atau Terlopong ?

Posted: 21 Sep 2010 09:14 PM PDT

Terowong dasar laut antara Malaysia-Singapura adalah antara pilihan yang sedang diteliti kedua-dua negara, bagi merealisasikan Perkhidmatan Pengangkutan Transit Aliran Deras (RTS) antara Johor Bahru dan Woodlands (Singapura), seperti mana yang dipersetujui dalam pertemuan Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata walaupun ia membabitkan kos yang tinggi, namun ia adalah pilihan yang lebih mesra alam.

p/s:

Lebih tinggi kos yang dibabitkan, maka lebih untunglah 'alibaba'nya.

Pada kadar kebiasaannya, 'ali baba' yang dimaksudkan adalah merujuk kepada orang melayu yang mendapat tender lalu mencagarkannya kepada bangsa lain, seperti menjual maruah bangsa. Konsep ini juga dikenali sebagai konsep ketuanan melayu umnoputra.

Tetapi dalam konteks berita gembera seperti di atas, 'ali baba'nya sedikit berbeza. Tender yang bakal diperolehi oleh rakyat Malaysia, manfaat sepenuhnya diperolehi oleh ketuanan Singapura.

Manfaat sebenar untuk rakyat Malaysia dan rakyat negeri Johor khususnya hanya akan dapat dirasai sekiranya jambatan bengkok direalisasikan dengan Selat Tebrau kembali bercantuman. Itulah manfaat sebenar yang juga simbul kemenangan rakyat (setelah kalah di pedra branca).

Musibah demi musibah sentiasa akan melanda rakyat Malaysia terutamanya jika ia melibatkan negara sekecil Singapura. Kerajaan Malaysia pimpinan Najib akan sentiasa tunduk kepada Singapura selagi Najib menjadi PM. Adakah kerana Najib dikatakan pernah bertemu seorang model Monggolia di Singapura, dan ada rakaman CCTV menjadi bukti? Tidaklah saya ketahuan.

Berbalik kepada kisah pembinaan terowong dasar laut. Samada anda percaya atau tidak, pembinaan terowong dasar laut bagi laluan lokomotif transit aliran deras (RTS) walaupun separuhnya dibiayai oleh kerajaan Singapura, ia tidak lain dan tidak bukan hanya akan menjadi satu alasan supaya tambak johor tidak lagi relevan untuk dirobohkan.

Ini kerana apabila terbinanya terowong pintar yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, maka sebengkok mana pun jambatan bengkok yang diusulkan, ia akan dilihat satu pembaziran kerana pembinaan terowong pintar pasti akan melibatkan jumlah perbelanjaan lebih sepuluh kali ganda berbanding sebuah jambatan.

Kos-kos perbelanjaan yang melibatkan dasar laut secara logiknya bersifat sangat tinggi. Ini termasuklah umpamanya pembinaan kabel letrik dasar laut yang bersumberkan empangan Bakun di Sarawak. Kos pembinaan kabel dasar laut merentasi Laut China Selatan itu perbelanjaannya seperti membina beberapa buah stesen janakuasa letrik di sekitar semenanjung Malaysia yang mampu menampung jumlah letrik yang sama seperti sumber melalui kabel yang merentasi laut dalam. Akhirnya pembinaan kabel letrik dasar laut itu dilihat sangat tidak relevan walaupun empangan Bakun boleh membekalkan kuasa letrik kepada 3 kali borneo. Ia satu pembaziran, namun lebih menyedihkan, ia merupakan satu pembaziran yang terancang.

Begitu juga dengan cadangan pembinaan terowong JB-Singapura, ia pembaziran terancang. Sama juga seperti sebuah bank di Indonesia yang dibeli jauh di bawah harga sebenar oleh bank GLC Malaysia iaitu Maybank, dikenalpasti sebagai pembaziran terancang. Jika kerajaan rugi, menteri kita untung berjuta, jadi apa yang nak mereka hairankan ?

Oleh demikian, saya menyeru semua rakyat Malaysia agar memberi sokongan sepenuhnya dalam kempen 'Selamatkan Malaysia' dari perampok-perampok durjana yang bertopengkan pemimpin bangsa! Kita juga harus selamatkan Malaysia daripada dipimpin oleh suspek pembunuhan kejam ala Datuk Sosilawati kerana ia sama sekali menjejaskan segala rundingan dua-hala negara terutamanya melibatkan negara Singapura. Rundingan yang akhirnya tidak menyebelahi negara kerana telurnya pemimpin kita kemas digenggam dan dipicit-picit sekiranya tidak mendengar kata. Inilah antara faktor utama mengapa kempen 'Selamatkan Malaysia' harus disambut dengan hati terbuka.

Ayuh, bangkitlah menyahut sebuah revolusi !! Janganlah biarkan diri anda dan keluarga anda diperbodohkan lagi, setelah keturuan kita dibodohkan oleh penjajah. Legasi mereka yang berbincang sebuah kemerdekaan boneka, harus ditentang habis habisan !!

Bangkitlah anak muda, bangkit lah dari lena yang dicandu semangat nasionalisma!!!




Dari EDYES @ edyesdotcom

Rosmah Pembazir Wang Rakyat !!

Posted: 21 Sep 2010 08:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan bahawa sidang kemuncak "First Ladies" bakal diadakan bermula 11 Oktober hingga 13 Oktober ini.

Menurutnya, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Beliau berkata, lebih daripada 20 wanita pertama dari seluruh dunia dijangka hadir untuk mewujudkan satu platform baru dalam meningkatkan kesedaran dunia global bagi menceburi bidang pelaburan, pembangunan, kebajikan dan pendidikan.

Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses Kuala Lumpur.

p/s:
Putrajaya International Convention Centre atau dalam singkatannya PICC adalah satu kemegahan yang melengkapkan Putrajaya sebagai sebuah bandaraya pengurusan pemerintahan pintar negara. Tetapi malangnya ia tidak langsung menarik perhatian 'wanita ulung' negara untuk mengadakan konvensyen yang melibatkan wanita ulung seluruh dunia.

Memilih hotel Palace of The Golden Horses, iaitu satu-satunya hotel bertaraf 6 bintang di negara ini sebagai venue untuk meraikan 20 'wanita pertama' adalah suatu pembaziran yang harus ditentang sekeras-kerasnya. Apa jua yang dibelanjakan sepanjang 3 hari sidang kemuncak itu adalah wang rakyat yang sepatutnya disalurkan dengan lebih berhemah memandangkan Malaysia berada di landasan bankrapsi menurut Idris Jala.

Berapakah jumlah wang rakyat yang bakal dihabiskan bagi memberi laluan kepada Rosmah dalam program anjuran di bawah tajaannya? Atau adakah wang yang digunakan untuk konvensyen ini dikeluarkan dari poket persendirian Perdana Menteri?

Mungkin separuh daripada perbelanjaan sepanjang 3 hari konvensyen ini dibiayai oleh syarikat swasta dengan maksud sama, sponsor. Mungkin juga program ini ditaja sepenuhnya oleh konglomerat tertentu dan tidak menggunakan wang rakyat. Saya tidak punya info tentang bajet-bajet yang diperuntukkan dalam penganjuran sidang kemuncak 'wanita pertama' ini.

Tetapi harus diingat, setiap sponsorship tetap akan digalas ganti dengan pengurangan cukai setara dengan jumlah sponsor yang dikeluarkan. Oleh demikian, wang yang sepatutnya untuk kegunaan rakyat tetap berkurangan dalam jumlah yang sama dalam konteks pengecualian cukai terhadap sponsorship konglomerat atau syarikat swasta terbabit. Ia sepertimana yang berlaku dalam penajaan pasukan F1 lotus racing team sepertimana dijelaskan di entri 'Adakah kerajaan tidak taja pasukan F1 Malaysia ?'

Berbalik kepada cerita konvensyen Rosmah, walaupun saya berpendapat bahawa konvensyen yang melibatkan 'first lady' dari segenap dunia ini tidak banyak memberi manfaat yang menyeluruh ke atas rakyat Malaysia, namun jika ia menjadi satu keperluan global yang membolehkan negara ini lebih dihormati, saya menyeru agar sebarang bentuk penjimatan wang rakyat wajar diberi perhatian. Justeru itu, saya mencadangankan Putrajaya International Convention Centre sebagai venue yang paling sesuai, yakni bersesuaian dari segi penjimatan wang ringgit dan juga secara tidak langsung meletakkan bandaraya pusat pemerintahan negara yang serba pintar di mata dunia. PICC juga milik anak syarikat kerajaan iaitu Perbadanan Putrajaya.

Walaupun saya adalah blogger yang pro-pembangkang, saya cuba untuk berfikiran rasional demi aspek-aspek kepenglibatan Malaysia dalam program-program bertaraf dunia. Adalah begitu menghairankan, mengapa tidak isteri kepada Perdana Menteri Malaysia memilih untuk lebih berjimat demi wang rakyat yang bakal digunakan untuk program sidang kemuncak 'first lady' yang akan dilangsungkan pada 11-13 Oktober nanti. Kerajaan sering melaungkan kempen beli barangan buatan Malaysia, mengapa tidak konsep yang sama digunakan iaitu memilih pusat konvensyen milik kerajaan Malaysia?

Apa yang amat saya sesalkan ialah, Malaysia mempunyai infrastruktur terbaik bertaraf dunia seperti PICC dan tidak kurang hebatnya KLICC yang terletak bersebelahan dengan menara berkembar Petronas yang sememangnya dibina untuk konvensyen antarabangsa. Tetapi mengapa memilih hotel termahal seperi Palace of The Golden Horses? Adakah ini satu cubaan untuk Rosmah menunjukkan kuasanya dalam arena pemerintahan negara? Tergamakkah kita membiarkan pembaziran terancang ini berlaku di hadapan mata sedangkan ada rakyat kita di Johor yang hanya sekeluarganya makan dedak untuk terus hidup?

Sebagai sebuah negara yang berada di ambang bankrapsi (sekiranya tidak berhemah dalam perbelanjaan negara), kerajaan sepatutnya mendahulukan program-program yang bersifat memperkasakan rakyat merentasi kaum (bukan PERKASAkan rakyat yakni proses perkauman sempit) sepertimana yang dicanang dalam slogan 1Malaysia 'rakyat didahulukan'. Ini sedikit sebanyak membuktikan betapa slogan 1Malaysia adalah retorik semata-mata.

Dengan berita seumpama ini, saya akan memperkukuhkan semangat untuk meneruskan kempen 'Selamatkan Malaysia' dari sebuah kerajaan yang meletakkan beban rakyat sebagai tilam empuk mereka !

Bottom line, janganlah sesekali persiakan kuasa rakyat yang telah diperuntukkan dalam kaedah demokrasi. Selamatkanlah negara ini melalui hak anda sebagai pengundi dan jalankanlah peranan sebagai pejuang yang merebut kemerdekaan melalui undi yang dibuang dalam perhitungan PRU-13 kelak.

Setiap seorang dari anda yang mengambil bahagian dalam misi 'Selamatkan Malaysia' adalah pejuang dalam menumbangkan sebuah kerajaan legasi penjajah. Revolusi 308 yang tercetus dari kebangkitan rakyat hanya akan bermula ketika tumbangnya kerajaan Barisan Nasional. Tidak boleh tidak, Lawan Tetap Lawan!!

Siap sedialah untuk menjadi sebahagian dari revolusi ini.

REFORMASI adalah sebahagian dari sebuah REVOLUSI !!







Dari EDYES @ edyesdotcom

Tiada ulasan: