D'Perbatasan |
- Program DAP di surau tak terjejas
- Saham Realmild 70% Atas Nama Dr Mahathir
- Mampukah KPN baru bebas dari cengkaman Umno
- Nie Ching bakal buka butik selendang?
- Saleh Man teruskan khidmat untuk rakyat
- Negeri Pakatan Rakyat Lebih Hebat
- BN Usah Bermimpi Nak Tawan Pulau Pinang
- Kita pun buka aurat di masjid!
- MP Serdang Teo dilarang masuki ruang solat masjid
- Umno makin takut selepas Kelantan saman Petronas
| Program DAP di surau tak terjejas Posted: 02 Sep 2010 07:23 AM PDT Timbalan setiausaha DAP Teo Nie Ching berkata, walaupun beliau mendapat amaran daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung lawatannya ke surau Al-Huda di Kajang, program semua wakil rakyat parti itu tidak terjejas sama sekali.Ahli parlimen Serdang itu berkata, ini kerana surat Mais yang diterimanya semalan hanya melarang orang bukan Islam memasuki dewan solat surau dan masjid sahaja. "Bagi kami (wakil rakyat DAP), perkara ini bukan isu. Kami masih boleh hadir di perkarangan masjid," kata Teo. "Bagaimapun, kami akan lebih berhati-hati pergi ke masjid dan surau untuk menjalankan program, berbuka puasa bersama umat Islam dan menyampaikan sumbangan." Sebelum ini, ekoran dilaporkan memasuki ruang solat Surau Al-Huda dan memberikan 'tazkirah' di dalamnya, Teo semalam 'dianugerahi' surat amaran daripada Mais yang melarangnya memasuki ruang solat di Selangor tanpa kebenaran. Memberikan reaksi spontan dalam laman Twitter, Teo bertanya kembali: "How about tourists?" (Bagaimana dengan pelancong?) Beliau juga secara berseloroh menulis: "Terima kasih kepada Utusan Malaysia (yang melaporkan). Setakat ini saya terima empat helai selendang daripada pelbagai orang. Saya fikir tak lama lagi saya boleh buka butik selendang." ![]() Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Teo - ahli parlimen termuda DAP - berkata walaupun selepas mendapat surat amaran itu semalam, masih terdapat surau yang masih menjemputnya hadir berbuka puasa bersama-sama. "Esok malam saya dijemput ke sebuah surau di Bangi," katanya yang akan mengaku akan hadir ke majlis itu seperti biasa. Menjawab soalan tentang selendang-selendang yang diterimanya, Teo memberitahu, beliau menerima kesemuanya melalui serahan tangan dalam program yang dihadirinya. "Mereka kata, YB, pakailah selendang ini, nanti Utusan buat isu lagi," jelas Teo. Menurutnya lagi, kesemua selendang itu diberikan oleh umat Islam yang bersimpati terhadapnya. |
| Saham Realmild 70% Atas Nama Dr Mahathir Posted: 02 Sep 2010 07:21 AM PDT Sekian lama juak Umno memfitnah saya kononnya punyai kepentingan menguasai syarikat gergasi MRCB melalui Realmild. Maka pada tahun 1999, dalam perakuan di mahkamah tinggi KL, saya mengesahkan bahawa pemegang saham terbesar Realmild; 70 peratus adalah atas nama Dr Mahathir sendiri. Dan saya tidak punyai sebarang kepentingan dalam syarikat tersebut.Hanya setelah pendedahan tersebut, Dr Mahathir segera meminta Datuk Seri Abdul Rahman Maidin mengambil alih saham tersebut, dan ketika itu baru disebut sebagai milik Umno. Maka ia mengesahkan perakuan saya sebelumnya. Hal sedemikian terbongkar semula dalam keterangan Abdul Rahman Maidin dan Datuk Nazri Abdullah dalam prosiding mahkamah dalam kes saman Datuk Khalid Ahmad terhadap Datuk Abdul Rahman Maidin. Saya bersyukur kehazrat Allah kerana fitnah terhadap saya yang sekian lama menjerat pemikiran sebahagian pendukung Umno kini terbongkar. ANWAR IBRAHIM |
| Mampukah KPN baru bebas dari cengkaman Umno Posted: 02 Sep 2010 04:21 AM PDT Biarpun masih terlalu awal untuk menilai, PAS tetap melahirkan kebimbangan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Tan Sri Ismail Omar. Kebimbangan yang maksudkan adalah berhubung kemampuan Ismail membebaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dirinya sendiri dari cengkaman dan penguasaan politik Umno BN. "Mampukah Tan Sri Ismail Omar membebaskan diri dia dan PDRM dari kongkongan Umno BN? "Kebimbangan saya, kerajaan Umno BN akan turut memperalat beliau walaupun saya percaya beliau seorang yang sangat punya prinsip dan integriti yang tinggi," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily. Menurutnya lagi, realiti yang berlaku pada waktu ini jelas memperlihatkan penguasaan Umno BN ke atas PDRM melalui kuasa menteri dalam negeri. Biarpun Ketua Polis Negara diganti individu baru, namun katanya cara dan tindakan PDRM tetap akan sama kerana mereka masih di bawah telunjuk pemimpin Umno BN. "Nama sahaja Polis Diraja Malaysia yang sepatutnya di bawah Yang di-Pertuan Agong, tapi hakikatnya dikuasai politik Umno BN," katanya. Sementara itu, beliau juga secara sinis mempersoal tindakan kerajaan Umno BN yang tidak menyambung kontrak Musa. Menurutnya, khidmat Musa sewajarnya diteruskan kerana beliau telah banyak berjasa kepada Umno BN sepanjang berkhidmat. "Sepatutnya, dengan jasa begitu besar melindungi politik Umno BN, Tan Sri Musa Hassan wajar dikekalkan sebagai ketua polis negara seumur hidup," katanya. |
| Nie Ching bakal buka butik selendang? Posted: 02 Sep 2010 04:19 AM PDT Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching bakal membuka butik selendang selepas ini kerana sejak berita beliau memasuki surau tanpa memakai tudung disiarkan oleh Utusan Malaysia, hari-hari beliau menerima hadiah selendang."Terima kasih kepada Utusan, saya dah terima empat selendang dari pihak yang berbeza...tak lama lagi saya boleh buka butik selendang," tulis Nie Ching dalam twitternya hari ini. Nie Ching menjadi popular sejak kebelakangan ini apabila pelbagai cerita negatif disiarkan oleh media pro Umno terhadap beliau sejak beliau memberikan ucapan ringkas di Surau Nurul Huda, Serdang. Utusan telah melaporkan (gambar), Nie Ching telah memberikan tazkirah Ramadhan di surau itu. Ekoran itu, dalam satu kenyataannya, Nie Ching berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut dan memberikan ucapan ringkas adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik. "Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik. "Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan," katanya. Namun begitu, pelbagai pihak lain mempertahankan tindakan Nie Ching masuk ke surau itu dan menyifatkan tindakan itu tidak salah dari sisi Islam. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz, bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainol Abidin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Mohd Nor Manuty menyokong tindakan Nie Ching. Nie Ching juga bertemu sendiri dengan Nik Aziz bagi bertanya pandangan beliau terhadap masalah yang dihadapinya itu.(Gambar: Nie Ching (tengah) dalam satu sidang medianya) "Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah. "Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid. "Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan kepada media. |
| Saleh Man teruskan khidmat untuk rakyat Posted: 02 Sep 2010 04:17 AM PDT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man menyambung semula tugasnya berkhidmat kepada rakyat setelah sebulan berehat kerana mengalami sakit di bahagian usus. Beliau yang dimasukan ke Hospital Bukit Mertajam awal bulan lepas dan terbaru dimasukkan semula ke wad di Hospital Seberang Jaya untuk rawatan susulan kini kelihatan lebih sihat dan cergas terutamanya mengatur program bantuan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk di Dun yang diwakilinya. Terbaru beliau menyerahkan bantuan hasil kutipan beberapa individu kepada 30 keluarga miskin di Kampung Pengkalan Tambang. Bantuan berupa beras dan bekalan makanan seharian itu turut dibahagikan kepada beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Kota, Kampung Bukit Jelutong, Sungai Sintuk dan Tanjung Putus.Selain beliau turut hadir dalam program ringkas itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pengkalan Tambang, Shabudin Darus dan aktivis masyarakat, Mohd Rodzi Saad. Semasa ucapanya, Saleh menegaskan, kerajaan negeri begitu prihatin membantu masyarakat yang daif dan memerlukan simpati. Oleh itu, untuk menjamin pemberian sama rata yang diberikan itu rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India wajar bersatu padu dan menjauhkan persengketaan yang dibangkitkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. "Kehidupan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat lebih sempurna berbanding semasa di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana ada antara golongan yang susah tidak memperolehi bantuan sebaliknya orang tertentu yang kadang-kadang memiliki kesempurnaan diberikan," katanya. |
| Negeri Pakatan Rakyat Lebih Hebat Posted: 01 Sep 2010 08:16 PM PDT
UNDILAH PAKATAN RAKYAT !! |
| BN Usah Bermimpi Nak Tawan Pulau Pinang Posted: 01 Sep 2010 08:08 PM PDT Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya 'jangan bermimpi' untuk merampas Pulau Pinang daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ekoran kedudukan parti itu kini disifatkan sangat kukuh di negeri itu. Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, walaupun pelbagai tuduhan dan 'serangan' yang dibuat UMNO dan BN terhadap parti itu namun tidak menggugat kedudukan mereka, malah semakin stabil dengan segala usaha bagi memajukan negeri itu. "Kalau kita lihat pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedikit 'diganggu' pihak lawan, namun ia masih stabil kerana pentadbiran yang diguna pakai sangat disenangi rakyat kerana Selangor sangat diingini oleh BN untuk menakluk semula sebab itu mereka sanggup buat apa saja untuk dapatkan semula Selangor. Pulau Pinang mereka sudah tahu mereka 'tidak boleh makan'," katanya. Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Lawatan Delegasi Kerajaan Wilayah Anhui dan Program Pemadanan Perniagaan: Meneroka Pasaran Antarabangsa China, semalam. Menurutnya, BN kerap mengatakan PR tidak stabil selain tidak kukuh namun apa yang terjadi adalah sebaliknya kerana pergolakan yang berlaku sekarang bukannya di dalam PR namun pada BN. "PR kukuh walaupun diserang 'musuh' dalaman dan luaran yang mana 'musuh' dalaman semuanya sudah habis iaitu tiada lagi yang ingin lompat parti atau sebagainya, proses pencerahan juga semuanya sudah selesai dan yang tinggal semuanya yang betul-betul setia pada pegangan parti. "Saya akui, walaupun ada baki-baki 'musuh' ini, namun mereka sudah tidak bermaya dan peluang sangat cerah untuk PKR bertapak di sini kerana mereka yang tidak bermaya ini tidak berpeluang lagi untuk menimbulkan masalah dalam parti selain tiada lagi isu lompat parti atau keluar parti kerana ini isu sudah lapuk," katanya. Dalam perkembangan lain, Mansor berkata program Pemadanan Perniagaan: Meneroka Pasaran Antarabangsa China itu diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam pelbagai bidang mengenai peluang pemasaran di China. |
| Kita pun buka aurat di masjid! Posted: 01 Sep 2010 08:06 PM PDT Terus terang saya tidak kenal, malah tidak pernah mendengar pun nama Teo Nie Ching sebelum ini. Rupa-rupanya dia seorang wanita bertubuh langsing, boleh tahan juga wajahnya, dan bergelar Yang Berhormat. Beliau ialah Ahli Parlimen DAP kawasan Serdang. Sehari dua ini namanya naik, dan sekelip mata beliau dikenali bukan sahaja di Parlimen yang diwakili, malah di seluruh negara. Beliau disebut bukan sahaja oleh rakyat biasa di kawasannya, tetapi juga oleh para pemimpin kerajaan dan pembangkang, termasuk Perdana Menteri. Kalau tidak kerana YB berkenaan masuk surau Al-Husna, Kajang, mungkin tidak ramai orang mengenalinya. Niatnya ke surau itu tentu sekali baik, iaitu untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat. Biasalah wakil rakyat menyampaikan sumbangan menjelang hari raya. Kesilapan beliau ialah masuk ke dalam surau, dengan tidak menutup aurat. Beliau berkebaya, nampak sopan, tetapi mendedahkan rambutnya. Agaknya wakil rakyat Cina itu tidak tahu bahawa rambut juga dikira aurat, dan perlu ditutup. Untuk memburukkan lagi keadaan, Teo dibenarkan pula berdiri di ruang solat utama, dan memberi ucapan ringkas. Itulah kontroversi terbaru yang sempat menghangatkan suasana puasa dan hari raya kita. Kata sesetengah ulama orang kafir tidak boleh masuk tempat solat Islam, lebih-lebih lagi di ruang utama, dan tidak menutup aurat pula. Ada yang menganggap ini sebagai mencemar kesucian rumah ibadat orang Islam. Ada pula ulama kata tidak salah orang kafir masuk ke masjid atau surau. Mereka kata zaman Rasulullah dulu orang kafir Quraisy bukan sahaja dibenarkan masuk masjid, malah diberi makan dan boleh tidur di situ. Kalau mereka tidak menutup aurat pun tidak salah sebab yang diwajibkan menutup aurat adalah orang Islam. Biarlah bijak pandai agama menentukan mana yang salah dan mana yang betul. Kalau itu sesungguhnya satu kesalahan, maka patut sekalilah YB berkenaan dikenakan tindakan yang wajar mengikut undang-undang yang ada. Dan ini sepatutnya dijadikan panduan untuk YB-YB bukan Islam yang lain. Sepatah kata pepatah, masuk kandang kambing, mengembek. Saya lebih tertarik untuk bercakap mengenai rambut wakil rakyat itu yang didedahkan ketika masuk surau. Sebab ada NGO Islam yang nampaknya marah betul Teo membuka kepalanya ketika berdiri di ruang solat utama. Mereka kata ini satu penghinaan, dan kesucian telah dicemari. Apakah betul begitu? Kalau betul rasanya ini bukan kali pertama terjadi, dan pasti Teo bukan orang pertama mencemar kesucian tempat ibadat kita. Sebenarnya dalam hal tutup kepala, masjid dan surau kita sudah sekian lama dicemari dan tidak dihormati. Dan, mencemari bukan orang kafir tetapi oleh orang Islam sendiri. Saya kerap menyaksikan orang kita kahwin di masjid, termasuk di beberapa masjid terkenal di Kuala Lumpur. Di sinilah saya melihat di hadapan mata, orang kita tidak sedikit pun menghormati tatatertib di rumah Allah itu. Mereka yang datang, terutama wanita, ternyata tidak prihatin – mungkin juga mereka tidak mengetahui hukum agama, sama seperti orang bukan Islam. Bukan salah menjadikan masjid atau surau tempat bernikah. Malah itu mungkin lebih baik sebab mengikat kasih sayang dua insan di rumah Allah. Apa yang salah ialah apabila yang hadir pada majlis tersebut tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh agama. Ramai yang tidak menutup rambut, betul-betul sama seperti Teo masuk surau Al-Huda. Walaupun di kebanyakan masjid ada peringatan bertulis supaya mereka yang masuk menutup aurat, pada majlis pernikahan amaran itu seperti tidak dipedulikan, dan para pegawai masjid pun tidak berbuat apa-apa apabila ada yang masuk ke dewan solat utama dalam keadaan mendedahkan. Satu hujung minggu beberapa hari sebelum puasa saya menghadiri upacara akad nikah di sebuah masjid besar di Kuala Lumpur. Mempelai adalah dari keluarga berada dan bergelar. Ada sekitar 50 orang hadir pada majlis tersebut, sebahagian besarnya wanita. Ramai mendedahkan rambut, tidak bertudung walau sedikit pun. Malah ada seorang dua macam megah menayangkan rambut yang telah diwarnakan. Mungkin besar belanjanya mendandan rambut di salun terkenal, sebab itu rasa membazir pula sekiranya yang diset mahal itu tidak ditontonkan kepada umum. Ramai juga hadir hanya menutup sebahagian kepala. Berselendang, tetapi rambut bahagian hadapan dibiarkan terjurai di atas dahi. Apakah pada hemat mereka bahagian hadapan rambut yang berambu-rambu itu tidak termasuk aurat? Atau, mereka sengaja memperlekeh masjid? Ada juga hadir bukan sahaja mendedahkan rambut, malah berpakaian mendedahkan lengan, dan apabila duduk bersimpuh kelihatan jelas betis yang putih melepak. Memang saya berdosa masuk masjid dengan mata liar begitu! Tetapi kalau tidak didedahkan, mungkin tidak ada orang akan tengok. Saya sama sekali tidak menyokong YB wanita DAP masuk ke surau dengan rambut terbuka. Maka, tidak bersetuju jugalah saya pada wanita Islam sendiri yang masuk ke masjid berkeadaan seperti wakil rakyat kafir itu. Oleh - Abd Jalil Ali |
| MP Serdang Teo dilarang masuki ruang solat masjid Posted: 01 Sep 2010 08:03 PM PDT Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor. Teo berkata surat amaran yang diterima melalui faks menjelaskan sekiranya mahu memasuki ruang solat beliau perlu mendapatkan kebenaran Mais terlebih dahulu. "Ya, saya sudah terima surat amaran itu pada pukul 1.30 tengah hari (semalam). "Dalam surat itu mengatakan bahawa saya dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tanpa kebenaran Mais terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau akan mengambil peringatan daripada surat tersebut dan akan merujuk kepada Mais terlebih dahulu sebelum ke masjid dan surau. "Sudah tentu saya akan ambil peringatan, ini adalah titah Sultan Selangor. "Apa lagi yang saya boleh buat? "Saya kena patuh kepada titah Sultan Selangor kerana dalam surat itu Mais kata ia adalah titah daripada Sultan Selangor," katanya lagi. Teo sebelum ini dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu. Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut. Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo. Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. |
| Umno makin takut selepas Kelantan saman Petronas Posted: 01 Sep 2010 07:55 PM PDT PAS dapat merasai ketakutan pemimpin Umno BN selepas Kerajaan Kelantan nekad menyaman Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu.Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ketakutan itu terserlah dalam kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat Peguam Negara. Katanya, nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN sementara nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di mahkamah. "Atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberikan nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily . Di samping itu, soalnya lagi, apa pula indikator nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. "Kenapa ada nasihat yang 'double standard' dalam agenda pentadbiran Peguam Negara. Apakah perundangan yang ditafsir oleh Peguam Negara sekarang dan dulu tidak sama?" "Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan akta berkenaan dengan cara yang berbeza?" tanya beliau lagi. Yang pasti, katanya peraturan perjanjian dan akta itu tidak pernah berubah tetapi yang berubah adalah kerajaan yang memerintah. Menurutnya, asalkan PAS memerintah sahaja, wang royalti bertukar jadi wang ehsan dan itulah yang ada dalam kamus Umno BN. "Bila Kerajaan BN tumbang di Dun negeri, muncul pula kerajaan haram bernama Jabatan Pembangunan Persekutuan. Mana pula akta dan peraturan yang mereka guna untuk wujudkan jabatan ini," ujarnya. Justeru, tegasnya PAS kini yakin yang isu saman royalti itu akan dimenangi oleh Kerajaan Kelantan yang diperintah PAS. Saman itu juga, tambahnya membuka mata rakyat dan menyampaikan kepada masyarakat dunia bahawa di Malaysia terdapat Kerajaan Persekutuan yang menzalimi rakyatnya lantaran dendam dan tidak tahan malu selepas tewas dalam pilihan raya. |
| You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |








.jpg)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan