Selasa, 14 September 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khairy bidas Utusan kerana sokong PERKASA

Posted: 14 Sep 2010 08:03 AM PDT

Regina Lee

Meskipun pemimpin Umno dan BN menjauhkan diri mereka daripada kumpulan pendesak Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), namun akhbar Utusan Malaysia terus menyokongnya.

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

Dalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau "berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya".

"Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu," tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA.

Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.

Umno dicabar tukar jadi Pekembar

Posted: 14 Sep 2010 01:51 AM PDT

Humayun Kabir

PAS mencabar Umno agar menukar singkatan namananya dalam bahasa Inggeris 'United Malay National Organisation' kepada bahasa Melayu iaitu Pertubahan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar).

Menurut timbalan pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tindakan itu bagi memastikan orang Melayu memahami agenda politik Umno.

Katanya, di kawasan pedalaman, kebanyakan orang Melayu tidak faham apa itu Umno kerana ia dalam bahasa Inggeris.

Malah menurut Nizar, ada juga di kalangan ahli Umno sendiri tidak tahu dan memahami singkatan bagi nama Umno itu.

Menteri besar Perak yang disingkirkan itu berhujah jika Umno ikhlas berjuang untuk masyarakat Melayu termasuk mempertahankan bahasa dan budayanya, adalah amat menghairankan bagi mereka mengekalkan nama dalam bahasa penjajah.

"Tidak perlu malu bagi menggantikan nama Inggeris - Umno dengan versi Melayu - Pekembar untuk mencerminkan agenda politik mereka," kata Nizar.

Menurut beliau Umno sebenarnya adalah parti perkauman dan juga hiprokit kerana menggunakan nama Inggeris untuk memperkenalkan budaya dan bahasa Melayu.

Dakwanya setelah mencapai kemerdekaan 53 tahun, Umno tetap merupakan sebuah parti rasis kerana hanya memperjuangkan hak Melayu sedangkan PAS bergelut untuk kepentingan Islam dan juga bukan Islam.

Nizar berucap di sebuah ceramah baru-baru ini di Kampung Batu Enam, Selama di Perak.

Pada ucapannya itu, beliau juga membidas tindakan kerajaan dan mepersoalkan mengapa pembelajaran tulisan Jawi dikeluarkan daripada sistem pendidikan di sekolah-sekolah.

Katanya, akibat tindakan itu, sebahagian besar generasi muda tidak boleh membaca dalam tulisan Jawi dan menyukarkan pembelajaran Al-Quran dan agama kerana kebanyakan bahan berkenaan adalah dalam bahasa Arab yang menggunakan tulisan Jawi.

Demokrasi barat diciplak dari amalan politik Islam

Posted: 14 Sep 2010 01:35 AM PDT

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/EidulFitriPerantau%20083.jpgBULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU - Islam memberikan ruang dan kebebasan yang luas kepada wanita dengan penglibatan wanita dalam politik dimulakan oleh Islam sejak tahun 600, ketika nabi Muhammad SAW mahu mendirikan negara Islam Madinah.

Demokrasi Barat hanya memberikan ruang kepada wanita apabila wanita dibenarkan menyertai pilihanraya pada tahun 1800 di Wyoming, Amerika.

"Apabila nabi (Muhammad) SAW, nak mendirikan negara di Madinah, dibuat bai'ah ikrar setia diantara pemimpin Madinah supaya setia dengan perjuangan (Islam), (ia) melibatkan dua orang wanita,

"ahli sejarah mengatakan, ini penglibatan wanita yang pertama dalam politik, dimulakan oleh Islam, tahun 600 Masehi,

"demokrasi moden di Barat memulakan wanita boleh bertanding pilihanraya, tahun 1800, di bandar Wyoming di Amerika,"ujar Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya prinsip demokrasi kemudiannya diamalkan dalam politik Islam apabila RasuluLlah SAW mentadbir dan menguruskan negara Islam Madinah.

Katanya, bukan sahaja orang Islam yang dilibatkan dalam mentadbir Madinah, bahkan 'masyarakat majmuk' Madinah adalah terdiri dari Ansar, orang yahudi dan juga orang kristian.

"kabilah-kabilah Arab yang memeluk islam. yang bersedia berada di bawah (pemerintahan Islam), dilibatkan sama. hak-hak di beri, dan tidak berganjak dari prinsip negara, prinsip islam,"jelasnya ketika menghuraikan prinsip demokrasi dan Islam, dalam sesi dailog Ijtimak Idulfitri PERANTAU, 12 September lalu.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu, konsep pemilihan mengambil suara terbanyak turut menjadi amalan pemerintahan para khulafa ar-Rayidin.

"bila nabi wafat, para sahabat bermesyuarat (untuk) pilih siapa jadi khalifah. (yang pertama) pilih (Syaidina) Abu Bakar (selepas itu), Abu Bakar mencalonkan (Syaidina) Omar. (pencalonan) calon bukan mesti diterima. bila Ahlul hal wal a'di menerima, jadi (barulah) umar diterima.

"(kemudian) bila Omar luka dalam satu pembunuhan terhadap dia, sebelum mati Omar (ber) kate, ikut suka kamu (untuk memilih pengganti). lalu dicalonkan Usman dengan Ali. Usman dengan Ali untuk jadi khalifah,"ujarnya.

Ketika itulah, menurut Ustaz Abdul Hadi, sahabat terkemuka Abdul Rahman bin Auf menjalankan tugas umpama Surhanjaya Pilihanraya (SPR), untuk meninjau pandangan-pandangan penduduk Madinah, bukan sahaja pandangan pemimpin sahabat, termasuk pergi rumah-ke rumah bagi mendapat pandangan kalangan wanita (muslimat).

"Abdul Rahman bin Auf ditugaskan untuk jadi SPR. suruhanjaya pilihanraya. untuk meninjau pandangan-pandangan penduduk Madinah. bukan sahaja pandangan pemimpin sahabat, termasuklahmengetuk rumah, mengetuk rumah tanya muslimat di rumah,

"apa pandangan kamu, Osman bagaimana? Ali bagaimana? kemusian tanya kabilah arab yang lalu, yang datang, pergi tanya. apa pandangan (adakah) kamu, mereka bersetuju dengan Osman,ini amalan yang dibuat Islam"katanya.

Menurutnya, para ulamak telah menuliskan perkara tersebut dengan terang dan jelas dalam kitab-kitab fekah, antaranya, Al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyat.

Kemudian, katanya, pihak Barat telah mengkaji dan memodenkan demokrasi di sana, apabila kitab-kita itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Jerman dan Perancis. terjemah.

"sehinggalah berlakunya Revolusi Perancis. maka berlakunya perubahan dalam demokrasi. dan demorasi barat diciplak daripada kitab-kitab yang dikarang oleh ulama' islam,"tegasnya.

Polis geledah firma guaman milik peguam bergelar Datuk

Posted: 14 Sep 2010 01:21 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

BANTING — Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam bergelar Datuk di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira pukul 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.

Polis kemudiannya dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai peguam bergelar Datuk itu.

Peguam berumur 41 tahun itu merupakan seorang daripada lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38,dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selepas lebih satu jam berada di firma milik suspek, polis dilihat membawa keluar peralatan seperti CPU dan beberapa dokumen sebelum membawa keluar suspek dari pejabat itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, firma guaman berkenaan merupakan lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek, dan abunya dibuang ke sungai berhampiran.

Firma itu difahamkan menjadi lokasi urus niaga suspek dan mangsa.

Rais: Kekurangan bukti punca SKMM gagal dakwa kes hasutan

Posted: 14 Sep 2010 01:20 AM PDT

BERNAMA

JELEBU — Kekurangan bukti dan ketiadaan pakar forensic komputer antara perkara yang menyebabkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) gagal membawa beberapa kes penghinaan dan hasutan yang berlaku dalam laman web ke mahkamah.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata soal pokok untuk pendakwaan ialah bukti yang kukuh dan mencukupi.

Apabila disiasat, kebanyakan bukti telah dipadamkan dan gagal dikesan, katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Oleh yang demikian, katanya langkah SMKM menubuhkan pasukan khas, antara lain adalah untuk mendalami ilmu forensik komputer yang mampu mendapatkan semula maklumat walaupun maklumat pada cakera keras komputer sudah dipadam.

"Dengan pengetahuan forensik komputer, maka kita lebih mudah untuk berhadapan dengan Facebook, Twitter dan cara mereka menggunakan sesuatu alamat di bawah laman web yang biasa," katanya.

Katanya, kerajaan amat serius untuk menyelamatkan negara ini daripada pelbagai perkembangan negatif yang disebarkan dalam internet seperti penghinaan yang pernah dibuat oleh Wee Meng Chee atau Namewee terhadap lagu Negaraku dan Tenaga Nasional Berhad.

Beliau memaklumkan terdapat 13 kes penghinaan dan hasutan terhadap perkauman di negara ini telah diserahkan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan.

Semalam, Rais berkata SKMM telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat aduan mengenai hasutan berbau perkauman yang banyak terdapat dalam internet serta laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kes Sosilawati: Ladang ternakan ‘mewah’, polis buka sembilan kes lama

Posted: 14 Sep 2010 01:13 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


Anggota polis mencari bahan bukti di dalam sungai berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Polis dilaporkan sedang menyiasat dan membuka semula fail sembilan kes lama — yang mirip modus operandi pembunuhan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pengiring beliau yang disahkan mati kelmarin.

Siasatan awal polis menunjukkan kesemua mereka dibunuh dan kesan mayat dihilangkan menggunakan cara yang sama.

Akhbar The Star hari ini melaporkan, kesemua yang dilaporkan hilang setakat dikaitkan dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan berhubung kes Sosilawati.

Kebanyakan kes lama membabitkan peguam.

Kedua-dua adik-beradik berkenaan dikatakan suspek utama kes empat mangsa terbaru ini yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir meninggalkan Kuala Lumpur 30 Ogos lalu.

Kelmarin, polis berkata pihaknya sedang menyiasat empat kes lama yang dilaporkan tahun lalu termasuk membabitkan seorang warganegara India ekoran pengakuan daripada suspek yang ditahan.

Akhbar The Star memetik Ketua Polis Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Datuk Wira Ayub Yaakob melaporkan, pihaknya akan membuka kes pembunuhan melibatkan seorang peguam R Thinakaran yang mati dibunuh pada 27 Julai 2009, peguam sivil kanan Datuk S.P. Annamalai pada 6 November 2007, peguam Chew Sien Chee, 39, pada 2 Mac 2000, peguam jenayah S. Pathmanathan, 29 pada 19 Oktober 1997 dan Triptipal Singh, 60 pada 15 Oktober 1992.

Akhbar itu juga berkata polis sedang menyiasat laporan orang hilang sepanjang tempoh 36 bulan lalu tetapi kebanyakan aduan dibuat tidak cukup bukti yang kukuh.

Laporan New Straits Times pula melaporkan kesemua empat mangsa terbaru mati selepas mereka dikelar oleh pembunuh mereka.

Sosilawati dikatakan menemui peguam-peguam terbabit untuk mendapatkan semula wang pendahuluan berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang telah gagal.

Sosilawati dijanjikan wang yang mencecah jutaan ringgit itu akan dipulangkan tetapi perlu menemuinya di firma mereka di Banting.

Bagaimanapun peguam adik-beradik berkenaan dikatakan terkejut apabila mendapati Sosilawati datang bersama pegawai bank dan peguam sedangkan mereka menjangkakan Sosilawati hanya akan datang bersama pemandunya.

Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan di firma peguam tetapi disebabkan pejabat tutup mereka bertemu di ladang ternakan yang terdiri daripada kemudahan mewah dan canggih.

Kesemua empat mereka dikatakan dibunuh pada hari yang sama.

Laporan sebelum ini menyebut mereka dipukul sampai mati dan kemudian dibakar.

Sementara itu, Berita Harian menyebut, senjata berbentuk cangkuk diguna untuk membunuh Sosilawati sebelum dibakar.

Akhbar itu melaporkan perkara tersebut didedahkan oleh seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Akhbar yang sama juga melaporkan bahawa 'ladang maut' itu yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah.

Pusat penternakan itu juga mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih termasuk bilik karaoke.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Suaram Kecam Penahanan Fadzullah Di Bawah ISA

Posted: 14 Sep 2010 01:11 AM PDT

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penahanan dua tahun ke atas Mohamad Fadzullah Abdul Razak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Fadzullah, 28, yang ditahan di bawah ISA sejak 15 Julai 2010 telah dipindahkan ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak pada 2 September lalu tanpa pengetahuan keluarga dan peguamnya.

Malah pihak polis telahpun dimaklumkan oleh peguam Fadzullah bahawa mereka mewakilinya.

Beliau didakwa terlibat di dalam jaringan teroris antarabangsa.

"Semua dakwaan terhadap Fadzullah semenjak hari pertama beliau ditangkap tidak pernah dibuktikan di dalam mahkamah.

"Malah kami berasa sangsi dakwaan terhadapnya dapat dibuktikan langsung sekiranya beliau dibicarakan dalam mahkamah.

"Arahan eksekutif penahanan selama dua tahun tanpa bicara adalah pelanggaran keadilan yang amat dahsyat. Fadzullah telah dinafikan hak asasinya iaitu hak kepada perbicaraan yang adil, hak untuk mempertahankan diri dalam mahkamah yang adil, hak untuk diwakili peguam serta hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," kata Koordinator GMI dan Suaram, E Nalini dalam satu kenyataan media semalam.

Kedua-dua badan itu yakin penggunaan Seksyen 8 ISA untuk menahan Fadzullah selama dua tahun telah dirancang sebegitu rupa supaya menghambat usaha peguam beliau mengfailkan writ habeas corpus bagi mencabar penahanan beliau di bawah Seksyen 73(1) ISA.

"Beliau tidak diberi peluang untuk mempersoalkan penanahannya di bawah ISA. Ini adalah taktik lama dan modus operandi yang sama yang digunakan dalam banyak kes untuk memastikan writ habeas corpus hanyalah langkah akademik kerana tahanan telah ditahan di bawah seksyen yang berlainan dan juga oleh cawangan berasingan badan eksekutif," tegas kenyataan itu.

Dalam pada itu, GMI dan Suaram juga memaklumkan Sheikh Abdullah Sheikh Junaidi, 70, yang ditahan di bawah ISA pada 11 Ogos lalu telah dibebaskan pada 25 Ogos.

Beliau telah ditahan bersama-sama dengan seorang rakyat Indonesia, Mustawan Ahbab, 34, dan seorang rakyat tempatan, Samsul Hamidi juga berusia 34 tahun yang kini masih dalam tempoh tahanan 60 hari di bawah Seksyen 73(1) ISA.

"Walaupun kami mengalukan pembebasan beliau, namun kita melihat ini hanya sebagai satu lagi pembebasan selektif dan kita tetap berpegang kepada pendirian bahawa tidak siapa seharusnya di tahun di bawah ISA atau mana-mana undang-undang tanpa hak dibicarakan.

"Adalah jelas lantikan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan akuan kerajaan untuk mmepromosi dan melindungi hak asasi melalui cadangan pindaan kepada ISA hanyalah retorik dan janji kosong kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.

"Rakyat Malaysia menentang ISA, penyiksaan dan lain-lain bentuk pelanggaran hak asasi. Kami mendesak ISA dimansuhkan dan hentikan semua pelanggaran hak asasi manusia," tegas kenyataan itu.

Kejutan Dari Ibrahim Ali Yang Kita Tidak Akan Terkejut

Posted: 14 Sep 2010 01:08 AM PDT

Oleh Wfauzdin NS

Perkasa di bawah Ibrahim Ali MP Pasir Mas akhirnya dimalukan oleh Umno. Umno yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini menolak Perkasa yang juga mengaku menjadi hero orang Melayu.

Kedua-duanya yang menjual nama Melayu ini bersengketa kerana apa? Jawapannya mudah, mereka bersengketa kerana masing-masing sebenarnya tidak ikhlas membela nasib orang-orang Melayu.

Kenyataan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika raja katak Pasir Mas ini mengisytiharkan untuk menubuhkan parti baru?

Mungkin juga beliau akan keluar dari sarang di Pasir Mas dan berhijrah ke tempat lain yang beliau rasa kawasan itu boleh menyelamatkan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen?

Ke mana sekali pun raja katak ini berhijrah, ianya tidak mengubah pandangan orang terhadap Presiden Perkasa ini. Jika Umno sebuah parti yang kuat Melayunya pun menolak Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali, bangsa atau kaum mana yang mahu percaya kepada perjuangan beliau?

Ibrahim Ali mendapat sokongan kuat dari Tun Mahathir iaitu tokoh yang mula-mula memecahkan perpaduan Melayu. Tun Mahathir menganggap rugi besar jika Umno menjauhi Perkasa. Kita tidak nampak pula di mana untungnya Umno jika bersama Perkasa, apatah lagi di bawah Najib dengan konsep 1Malaysianya itu. Perkasa lebih banyak memeningkan Umno daripada memulihkan Umno yang sememangnya sudah pening itu.

PAS awal-awal lagi sudah mengumumkan bahawa di dalam PRU akan datang, PAS tidak lagi mahu bersedekah kepada Ibrahim Ali kerusi Parlimen Pasir Mas. Memang tepat dan bijak keputusan PAS itu kerana bersedekah kepada orang yang sombong dan khianat tidak akan memperolehi pahala.

Ibrahim Ali juga menyebut bahawa Umno juga tidak mungkin (mustahil lebih tepat) untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Pasir Mas. Bahkan, jika Umno terdesak sangat untuk memilih raja katak ini sebagai calon mereka, Umno bakal mendapat malu besar nanti.

Ibrahim Ali menyebut masih banyak lagi kawasan majoriti Melayu yang boleh beliau wakili di dalam pilihan raya nanti. Mungkin Ibrahim menganggap bahawa kawasan majoriti Melayu adalah kawasan selamat buatnya.

Adakah sebelum ini Ibrahim Ali pernah bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu? Dan kawasan mana yang pernah menghilangkan deposit beliau?

Beliau mesti ingat bahawa beliau menang di Parlimen Pasir Mas dahulu bukan kerana Ibrahim Ali Melayu, tetapi kerana pengundi memilih calon yang dipilih oleh parti yang memperjuangkan Islam bukan memperjuangkan Melayu semata-mata. Di Kelantan, sebuah negeri yang hampir 100 peratus Melayu, sekarang mempunyai Adun dari kaum berbangsa Cina.

Apa pun kejutan dari Ibrahim Ali tidak akan menjadi kejutan kepada mereka yang kenal Ibrahim Ali. Ibrahim Ali bukan sahaja menjadi duri dalam daging buat Umno, bahkan ianya menjadi racun kepada semua.

Insan yang satu ketika memuji Tuan Guru Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan orang ini juga satu ketika menghina Datuk Seri Anwar, kemudiannya ingin bersama Datuk Seri Anwar dan kini kembali menyerang Datuk Seri Anwar adalah insan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang sekali pun.

Polis Kurang Komited, Golongan Wanita Semakin Tidak Selamat

Posted: 14 Sep 2010 12:54 AM PDT


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Malaysia, Zuraida Kamaruddin membidas pasukan polis yang dilihat semakin gagal memberi jaminan keselamatan kepada golongan wanita negara ini sehingga menjurus kepada kes pembunuhan yang melibatkan kaum Hawa yang terbaru Datuk Sosilawati Lawiya.

Sambil menyifatkan pembunuhan tragik Sosilawati mempunyai persamaan dengan kematian kejam model Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu, Zuraida menegaskan keadaan ini adalah akibat sikap lepas pandang dan kurang komited pihak polis dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar.

Kata beliau ini menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidak mampuan polis menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita.

"Wanita KEADILAN mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim. Wanita KEADILAN juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini. Perasaan hormat kapada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.

"Sebelum ini negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Shaariibuu beberapa tahun yang lalu. Beliau dibunuh secara kejam dengan letupan bom. Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin.

"Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak menggunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi," kata beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Zuraida berkata Wanita KEADILAN menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga Allayarhamah Sosilawati dan tiga mangsa yang lain.

Wanita KEADILAN juga mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan menaruh harapan agar Ketua Polis Negara yang baru mampu membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Jutawan kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu dibunuh bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Sosilawati, 47, dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mereka dipercayai diculik, dipukul, dibunuh dan kemudiannya dibakar. Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Wanita PKR kutuk pembunuhan kejam ke atas wanita

Posted: 14 Sep 2010 12:52 AM PDT


LOGO PKR 1 FREE MALAYSIA TODAY

PETALING JAYA: Wanita PKR mengucapkan simpati dan takziah kepada keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain atas pembunuhan kejam ke atas mereka beberapa hari lalu.

Berikutan kejadian itu, ketuanya Zuraida Kamaruddin mengecam pembunuhan ke atas jutawan kosmetik dan tiga rakannya ketika lebaran sambil menyifatkan perbuatan terkutuk dan sesuatu yang kejam dan zalim.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mereka didakwa dibunuh dis ebuah ladang kelapa sawit di Banting. Polis telah menahan lapan orang termasuk peguam berpangkat datuk berhubung pembunuhan tersebut.

Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin, berkata tragedi menimpa Sosilawati itu satu lagi episod pencabulan terhadap wanita di negara ini.

Jika sebelum ini negara digemparkan dengan kematian ngeri model terkenal dari Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh kejam dengan letupan bom beberapa tahun lalu, kini episod itu berulang namun skrip dan individu yang terlibat adalah berbeza.

"Perasaan hormat kepada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis. Jika dulu kematian ngeri membabitkan model Altantuya Shaariibuu kini Sosilawati.

"Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Selain Altantuya dan Sosilawati beliau turut merujuk kepada pembunuhan seorang lagi mangsa wanita seperti Mustakhizah pada 14 November 1988.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal memainkan fungsinya bagi menyelesaikan beberapa kes pembunuhan melibatkan wanita tersebut.

"Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi.

"Sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita," katanya.

Zuraidah berharap agar tindakan tegas diambil PDRM serta ketua polis yang baru dilantik, Tan Sri Ismail Omar agar perubahan langsung dapat dibawa agar keamanan dan keselamatan rakyat terus terjamin.

Beliau mahu agar siasatan segera dilakukan agar pelaku jenayah tersebut dihadapkan ke muka pengadilan.

Anwar tidak bertanding jawatan PKR

Posted: 14 Sep 2010 12:49 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Anwar Ibrahim 3 PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti, akhir tahun ini.

PKR akan mengadakan kongres pemilihan pucuk pimpinan utama parti pada 13 November depan.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata demikian dalam blognya hari ini.

Sebelum ada yang mahu beliau bertanding jawatan presiden PKR yang kini dipegang isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Manakala Wan Azizah disaran bertanding timbalan presiden yang dikatakan menarik minat beberapa pemimpin utama parti antaranya Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Anwar berkata, PKR memperkenalkan sistem pemilihan yang demokratik, memberi ruang kepada setiap anggota menentukan calon pilihan mereka.

"Maka di atas pundak setiap anggota dibebankan tanggungjawab untuk memastikan idealisme perjuangan dan tuntutan reformasi terus dipertahankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Prinsip tersebutlah yang kelak menjadi asas pertimbangan, dan bukannya tuntutan luaran atau sogokan. Kaedah etika pemilihan wajib dipatuhi semua," tulisnya.

Anwar berkata, rakan-rakan serta pemimpin di peringkat akar umbi juga melahirkan keprihatinan dan melontarkan beberapa cadangan tambahan buat pertimbangan pimpinan.

Katanya, sesuai ditegaskan bahawa adalah hak anggota memilih berdasarkan prinsip perjuangan parti.

"Saya menginginkan persaingan yang sihat dengan semua calon yang dikemuka mematuhi etika pemilihan sepenuhnya dan tidak mendakwa mendapat restu saya," katanya.

Tidak Pertahan Jawatan, Syed Hussin Tumpu Penulisan

Posted: 14 Sep 2010 12:48 AM PDT


Radzi Razak

DAMANSARA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali mengumumkan tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Bercakap kepada sidang media hari ini, Senator Dewan Negara itu mahu meluangkan lebih masa dan memberi tumpuan kepada bidang penulisan, namun, tetap berjuang bersama parti kerana perjuangan sudah menjadi darah dagingnya.

"Saya ingin melihat orang lebih muda dan aktif menggantikan saya. Saya juga ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri anak dan cucu, ini adalah cinta utama saya," kata beliau.

Syed Husin juga menafikan menerima tekanan atau diminta melakukan sidang media serta tidak mendedahkan mengenai apa tawaran jawatan berbentuk penasihat dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

"Saya sudah berbincang dengan pimpinan parti dan rakan-rakan sebelum mengambil keputusan ini," katanya tanpa menyatakan sokongan kepada mana-mana calon penggantinya.

Beliau berharap penggantinya komited kepada asas perjuangan parti, menghormati displin organisasi parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara berpasukan, menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

"Terserah kepada ahli parti bagi menentukan siapakah yang mereka mahu menjadi pemimpin. Cara pemilihan dengan setiap ahli satu undi adalah cara yang demokratik," katanya sebelum menyatakan PKR satu-satunya parti politik di dunia yang mengamalkan cara ini.

Syed Husin berusia 74 tahun dan sudah berrgelumang dalam dunia politik menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1958, malah menjadi presiden sebelum bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 2003.

Beliau juga pernah merengkok dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan segala keperitan sepanjang penahanan itu terpapar melalui buku berjudul 'Dua Wajah'.

Dihambur Ungkapan 'India Mabuk', Ahli AMK Dicabul Polis

Posted: 14 Sep 2010 12:44 AM PDT

Nurshakira Buang

KUALA LUMPUR - Tujuh anggota polis lelaki didakwa mencabul kehormatan seorang anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dan tiga lelaki lain, dalam satu sekatan jalan raya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, 7 September lalu.

Mendedahkan perkara itu, Arjunan pada sidang media hari ini, berkata, mereka ditahan polis dengan alasan "India selalu mabuk' sebelum pemeriksaan tubuh dilakukan ke atas mereka secara giliran.

"Ketika itulah, mereka mencabul dengan cara meramas kemaluan," katanya yang mengecam keras perbuatan berkenaan kerana menyalah guna kuasa dan semata-mata untuk memalukan mereka.

Mereka sudah membuat laporan di balai polis Bukit Sentosa.

Mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, seseorang yang melakukan kesalahan mencabul terhadap seseorang baik perempuan mahupun lelaki, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. -

Syed Husin: Gandingan Anwar-Azizah Lebih Baik

Posted: 14 Sep 2010 12:43 AM PDT


Radzi Razak

DAMANSARA - Dr Syed Husin Ali berkata cadangan beberapa pihak dalam Parti Keadilan Rakyat yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerajui parti itu sebagai presiden dan Timbalan Presiden harus diberikan pertimbangan wajar.

Syed Husin yang melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti itu berkata cadangan berkenaan bertujuan merapatkan barisan dalam parti dan sekali gus meletkakan asas hala tuju yang lebih jelas untuk menghadapi cabaran masa depan.

"Saya tidak mengesyorkan (cadangan itu tetapi) hanya lebih baik begini," kata beliau merujuk kepada hasrat beberapa negeri berkenaan, pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Husin turut berkata, kombinasi Anwar-Azizah ini membolehkan kepimpinan parti menjadi lebih jelas dan tersusun jika 'apa-apa' terjadi kepada Anwar.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini membayangkan kemungkinan beliau dihumban kembali ke penjara kerana perbicaraan konspirasi fitnah kedua bersabit pertuduhan liwat.

Ini berasaskan kepada beberapa keputusan hakim dan tindakan Peguam Negara yang dilihat tidak bersandarkan kepada prinsip keadilan ataupun kerukunan undang-undang.

Syed Husin akur bahawa Anwar telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti dan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Umum yang lebih mirip kepada tanggungjawab sebagai penasihat.

Keputusan Syed Husin untuk tidak mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dilihat sebagai petanda jelas PKR sedang melalui arus perubahan kepimpinan menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Naib Presiden, Azmin Ali dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilihat bakal bersaing hebat dalam pemilihan November nanti.

Malah, beberapa ADUN dan Ahli Parlimen PKR telahpun menyatakan sokongan terang-terangan kepada Azmin yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Wanita India bongkar ladang maut

Posted: 13 Sep 2010 04:38 PM PDT

USHARANI bersama Muthuraja dan anak mereka yang berusia tiga tahun.

BERITA HARIAN ONLINE

Isteri jejak suami hilang selepas jumpa peguam 18 Januari lalu

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, bimbang suaminya yang hilang sejak 18 Januari lalu turut menerima nasib sama seperti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

"Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suami menelefon dan memberitahu beliau dijemput dua beradik itu. Mereka saling mengenali sejak 10 tahun.

"Dalam perbualan itu, selain bertanyakan khabar anak perempuan kami berusia tiga tahun, beliau juga memberitahu dua peguam terbabit akan membawanya ke ladang milik mereka di Banting.

"Keesokan harinya (19 Januari), saya cuba menghubungi telefon bimbit suami beberapa kali tetapi gagal.

"Saya bimbang keselamatan suami lalu menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang," katanya.

Muthuraja antara empat individu yang hilang sejak setahun lalu selepas berurus niaga dengan peguam bergelar Datuk di Banting.

Usharani berkata, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah.

"Dia meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu, bagaimanapun saya tidak mempedulikannya. Pada 20 Februari, saya menerima satu lagi panggilan daripada seorang yang turut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan meminta RM1 juta untuk tujuan sama. Dia meminta RM500,000 sebagai pendahuluan.

"Saya keliru dengan kedua-dua panggilan itu dan sekali lagi hubungi pejabat pesuruhjaya di Kuala Lumpur untuk mendapat kepastian sama ada suami ditahan polis seperti didakwa, namun tiada jawapan," katanya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia.

"Saya tiba di KLIA pada 8 September lalu dan membuat laporan di Balai Polis Banting. Saya turut memaklumkan suami menyebut beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam di Banting," katanya.

Difahamkan, berdasarkan maklumat Usharani itulah polis menyerbu Ladang Gadong sebelum menemui lokasi Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh dan dibakar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan Usharani, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber polis memberitahu nasib empat mangsa yang hilang belum dapat dipastikan, namun tidak menolak kemungkinan mereka menerima nasib seperti Sosilawati dan rakan.

"Pasukan forensik dan Jabatan Kimia masih meneruskan siasatan termasuk mencari spesimen dan bukti berkaitan empat mangsa itu.

"Suspek dipercayai menjadikan ladang mereka yang lengkap dengan chalet, blok pejabat dan rumah kelab sebagai lokasi bertemu dan memperdayakan mangsa mereka.

"Ia bukan sekadar ladang sawit dan kandang ternakan, tetapi lengkap dengan semua kemudahan. Lokasinya yang terpencil dan dikelilingi tembok setinggi dua meter menyukarkan kegiatan mereka dikesan," katanya.

Senjata cangkuk diguna bunuh Sosilawati

Posted: 13 Sep 2010 04:29 PM PDT

ANGGOTA forensik bersama jam tangan (dalam bulatan) yang ditemui ketika mencari bukti kes bunuh Sosilawati di Sungai Kanchong Laut.

BERITA HARIAN ONLINE

BANTING: Senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter dikatakan digunakan untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Dalam operasi bermula jam 4.30 petang yang turut mendapat bantuan Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin, polis bagaimanapun hanya menjumpai seutas jam tangan dipercayai milik seorang mangsa, manakala cangkuk berkenaan gagal ditemui.

"Pasukan penyelam yang mencari semua bahan bukti itu, termasuk senjata terbabit, menghadapi kesukaran kerana air sungai terlalu keruh dan cetek," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari bahan bukti itu terpaksa dihentikan, kira-kira 7 malam berikutan keadaan gelap.

Kelmarin, polis menemui beberapa spesimen, termasuk tulang dipercayai milik mangsa yang dibuang dalam Sungai Mesuk dan Panchau. Beberapa barang peribadi mangsa turut ditemui daripada beberapa suspek dan di tempat kejadian, termasuk jam tangan Sosilawati.

Pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, terbongkar selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa sejak 30 Ogos lalu.

Sementara itu, tinjauan di firma peguam terbabit di Jalan Sultan Alam Shah di sini, mendapati premis itu ditutup dan diletakkan garisan polis, petang semalam.

Difahamkan, premis itu adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek.

Sumber memberitahu firma guaman itu dipercayai lokasi urus niaga di antara suspek dan mangsa dilakukan sebelum ini, manakala tinjauan di rumah suspek utama di Taman Cempaka di sini mendapati ia tidak berpenghuni dan berkunci.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa dua beradik peguam itu dipercayai tiba di tanah air malam kelmarin selepas sebulan bercuti di India sebaik dimaklumkan mengenai penahanan kedua-dua anak mereka.

Mustapha Maarof Aktif Terbit Drama Selepas Seniman

Posted: 13 Sep 2010 04:27 PM PDT



Datuk Mustapha Maarof menerbitkan drama 13 episod Pak Kaduk... - Foto oleh AZHAR MAHFOF

SEMENJAK kerusi Presiden Persatuan Seniman (Seniman) diambil alih oleh pelakon dan pengarah Harun Salim Bachik Datuk Mustapha Maarof menguruskan syarikat produksinya, Warna Motion Pictures & Marketing Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak tahun 1982.

Biarpun sudah tidak memegang pucuk pimpinan Seniman, pemilik nama sebenar Mustapha Azahari Ma'arof, berusia 70-an itu sentiasa mendoakan perjalanan Seniman berada dalam keadaan baik dan lebih maju dengan idea-idea baru.

Kini, bintang filem era 60-an ini menerbitkan dokumentari dan drama untuk televisyen. Terbaru, dia yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat itu baru menyiapkan drama 13 episod Pak Kaduk… yang akan disiarkan pada November tahun ini.

"Saya menjalani kehidupan yang selesa sekarang dan menumpukan kepada syarikat. Selain menerbitkan drama Pak Kaduk…, saya turut berlakon dalam drama itu sebagai Haji Zainal.

"Ceritanya berkisarkan tentang dunia korporat melibatkan seorang insan yang berjaya tetapi ada yang cuba hendak menjatuhkannya serta terdapat pelbagai konflik lain. Itulah sifat sesetengah peniaga lain.

"Jadi, saya cuba mengajar masyarakat untuk mengikis sifat suka menjatuhkan orang lain dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada," kata Mustapha kepada mStar Online.

Penerima Anugerah Tokoh Perfileman Finas pada tahun ini berkata idea untuk menghasilkan cerita ini datang daripada kawan baiknya, Zainal yang turut bertindak selaku penulis skrip. Menariknya, cerita ini merupakan kisah benar yang berlaku pada hari ini.

Menyelit sedikit cerita Hari Rayanya, bekas suami Seniwati Roseyatimah ini beraya bersama-sama anak-anaknya di Mambau, Negeri Sembilan. Selain itu, dia menziarahi bekas ibu mertuanya, Neng Yatimah di Singapura.

Dalam perkembangan lain, dia juga sedang dalam proses menyiapkan dokumentari video korporat Super Max dan video korporat untuk Kraftangan.

Mustapha berlakon lebih 10 buah filem seperti Matinya Seorang Patriot, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Sumpah Pontianak dan Bawang Putih Bawang Merah.

Kebahagiaan Imuda Sambut Syawal Bersama Isteri

Posted: 13 Sep 2010 04:24 PM PDT



Imuda dan Zabarina pertama kali beraya sebagai suami isteri. - Foto oleh AZHAR MAHFOF

SEPANJANG tujuh tahun menduda, Imuda atau Abdul Rahim Muda, 50, hanya meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dua anaknya, Raihana, 17, dan Mohd Redza, 9, tanpa seorang suri.

Berlainan pula Hari Raya tahun ini, dia lebih merasai kemanisan apabila pertama kali dapat beraya dengan isteri tercinta Zabarina Haja Mushadi Ali, 28, setelah bernikah pada Februari lalu.

Bukan itu sahaja, buat pertama kali dalam hidupnya, dia menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga isterinya yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Lebih menggembirakan Imuda apabila tidak sabar menantikan kelahiran bayi pertamanya dengan Zabarina memandangkan wanita itu sedang hamil lebih dua bulan. Tentang perbelanjaan, tidak salah sekiranya dia berbelanja lebih untuk isterinya itu.

"Saya menyambut Hari Raya di rumah mertua di Batu Uban, Pulau Pinang dan kampung saya di Seberang Prai. Saya ingin mengenali keluarga baru saya dengan lebih akrab.

"Perayaan kali ini terlalu manis untuk saya dan semuanya bagai mimpi kerana sebelum ini saya tiada isteri," katanya sambil tersenyum mesra di samping isteri.

Sekali-sekala, pasangan romantis itu diusik oleh rakan-rakan media dalam temubual itu. Mereka kelihatan bahagia dan malu-malu tetapi agak terbuka ketika diminta kerjasama untuk merakamkan gambar berdua.

Memandangkan kandungan isterinya masih baru, Imuda yang muncul dalam sitkom Angguk-Angguk Geleng-Geleng ini sukar untuk berjauhan dan meninggalkan Zabarina di rumah seorang diri biarpun isterinya bekerja sebagai Penolong Pengurus di Bank Islam sekitar ibu kota.

Sengaja mencelah dan bertanyakan kepada si isteri tentang Imuda, Zabarina mengaku suaminya seorang yang ringkas dan mudah untuk diuruskan.

Ditanya tentang keinginan kedua-duanya, mereka mengimpikan bayi perempuan untuk kelahiran yang pertama ini.

Imuda pernah mendirikan rumah tangga pada 1994 dengan Rozalina Rosli dan bercerai sepuluh tahun kemudian. Pada 23 Disember 2008 bekas isterinya itu meninggal dunia akibat barah payu dara.

Zeti Dipilih Antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia

Posted: 13 Sep 2010 04:23 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Majalah yang beribu pejabat di New York, Global Finance, menamakan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai seorang daripada ketua bank pusat terbaik dunia sepanjang setahun lalu di kalangan lima ketua bank pusat yang lain di lima negara dan Presiden Bank Pusat Eropah Jean-Claude Trichet.

Zeti dan enam ketua bank pusat yang lain itu diberikan gred "A" dalam rencana tahunan terbitan majalah berkenaan yang bertajuk "Central Banker Report Card" bagi kejayaan dalam bidang seperti kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.

Gred berkenaan adalah antara A hingga F, dengan A yang tertinggi manakala F terendah. A menunjukkan prestasi cemerlang dan F pula kegagalan, demikian menurut Global Finance dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua bank pusat yang lain yang menerima gred tertinggi ialah Ketua Bank Pusat Australia Glenn Stevens, Stanley Fischer (Israel), Lee Seong-tae (Korea Selatan), Fai-Nan Perng (Taiwan), Durmus Yilmaz (Turki) dan Trichet (Kesatuan Eropah).

Majalah berkenaan mempunyai pembaca di 163 negara yang terdiri daripada pengamal kewangan syarikat-syarikat multinasional, dan mempunyai pejabat di London dan Milan, selain ibu pejabat di New York.

Polis Tahan Dua Jurukamera, Seorang Pemberita Di Lokasi Pembunuhan Sosilawati

Posted: 13 Sep 2010 04:21 PM PDT

BERNAMA

BANTING: Dua jurukamera video dan seorang pemberita ditahan anggota polis yang berkawal di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, lokasi yang dipercayai menjadi tempat jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dibunuh dan dibakar.

Mereka ialah jurukamera agensi berita Xin Hua Lim Ling Fong, stringer NTV7 Mohd Shahif Ibrahim dan wartawan portal berita Malaysian Insider Yow Hong Chieh.

Ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira 4.15 petang Isnin ketika cuba menyusup masuk ke ladang ayam, tempat di mana kesemua mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Namun mereka hanya berjaya menyusup masuk kira-kira 200 meter dari tempat polis berkawal, iaitu di kawasan pintu masuk jalan ke ladang berkenaan.

Selepas ditahan, mereka diarah menaiki kereta peronda polis sebelum dibebaskan pada 5.43 petang kira-kira 50 meter dari tempat mereka ditahan.

Mohd Shahif berkata ketika ditahan, anggota polis cuma memeriksa kad pengenalan mereka dan memberi amaran agar tidak lagi menceroboh tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, Sosilawati, 47, menjadi mangsa pembunuhan kejam bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32,.

Kegeringan Berpanjangan Tuanku Ismail Petra Perlukan Pengganti:SUK

Posted: 13 Sep 2010 04:19 PM PDT

BERNAMA

KOTA BARU: Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata mengikut peruntukan Perkara 23A,Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.

"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya Isnin berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.

Pada tengah hari Isnin, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Aiseri berkata Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.

"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.

Katanya antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.

"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya.

SKMM Tubuh Pasukan Khas Tangani Hasutan Perkauman Di Internet

Posted: 13 Sep 2010 04:19 PM PDT

BERNAMA

JELEBU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bersama polis untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi internet, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, SKMM telah menerima 533 aduan mengenai salahguna kemudahan internet khususnya rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Dari 533 aduan itu, 26 peratus merupakan aduan mengenai percubaan merosakkan perpaduan kaum di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya di Kuala Klawang di sini malam, Ahad.

"Berdasarkan aduan ini, kerajaan berpendapat sudah tiba masanya untuk membuat tindakan tegas kerana (ada) pihak telah ingkar dengan nasihat kita. Sudah sampai masanya...kalau tidak soal perkauman ini akan sentiasa dipermainkan," katanya.

Rais berkata, kerajaan tidak menyalahkan Facebook atau Twitter kerana medium ini sepatutnya boleh diguna untuk meninggikan tamadun negara, sebaliknya ada pihak cuba meranapkan perpaduan sedia ada.

Kira-kira 7,000 orang menghadiri majlis itu yang diselang seli dengan persembahan nyanyian, tarian serta penyampaian bantuan kepada warga Jelebu yang mengalami kesusahan. -

Tiada ulasan: