Khamis, 2 September 2010

Briged Al-Akhdor LR2

Briged Al-Akhdor LR2


SAMBUTAN KEMERDEKAAN: PERAK HAMBAR & LESU

Posted: 02 Sep 2010 09:04 AM PDT


23 Ramadhan 1431 H
Oleh: DR RAJA AHMAD AL-HISS

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat sedih upacara Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke – 53 pada tahun ini peringkat Negeri Perak yang telah diadakan di Stadium Perak, Ipoh hambar dan lesu tanpa kehadiran rakyat bagi menyambutnya bersama-sama pada tahun ini dengan terciptanya sejarah buruk yang amat memalukan.

Suasana ini dapat dilihat kekosongan seluruh sudut Stadium Perak yang memburukkan suasana sambutan pada kali ini. DPPN Pk tidak tahu di mana punca sebenarnya permasalahan ini, tetapi kerajaan negeri mesti melihat keadaan tersebut secara serius. Bulan Ramadhan bukanlah halangan untuk rakyat menzahirkan semangat patriotisma walaupun berpuasa.

Sejarah seperti ini tidak sepatutnya berulang kerana ianya amat memalukan kita yang sudah mencapai kemerdekaan yang ke – 53.

Sepatutnya kerajaan negeri mengkaji dahulu permasalahan tersebut dan pada awal lagi kempen sambutan pada tahun ini juga lesu. Inilah punca sebenarnya rakyat tidak menyambut seranan kerajaan negeri terutamanya tahun ini.

Kerajaan negeri sepatutnya memperbanyakkan kempen dan informasi sambutan Kemerdekaan di peringkat negeri.

DPPN Pk juga dimaklumkan banyak NGO-NGO serta badan-badan induk tidak dilibatkan dalam majlis sambutan Kemerdekaan peringkat negeri.

DPPN Pk yang sentiasa membuka pintu kerjasama dalam isu-isu dan perkara kepentingan negara juga tidak dijemput untuk majlis tersebut berbanding sewaktu Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak memerintah dahulu seluruh NGO, hattan parti politik dijemput untuk menjayakan sambutan Kemerdekaan.

DPPN Pk meminta kerajaan negeri memulihkan kembali suasana yang memburukkan nama Negeri Perak dan berharap suasana seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

DPPN Pk menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Perak agar mengembalikan semangat kemerdekaan sebenar bagi seorang rakyat yang merdeka jiwanya!

Apa rasional Najib tarik subsidi, beri bonus

Posted: 01 Sep 2010 02:41 PM PDT




SHAH ALAM, 1 Sept: Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM934.65 juta dengan memberi RM500 bonus kepada setiap kakitangan kerajaan wajar dipersoal secara rasional.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, langkah Najib itu seakan tidak selari dengan langkah rasionalisasi subsidi dengan menarik semula subsidi lima komoditi asasi yang bernilai RM750 juta demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

"Bukan saya tidak setuju dengan pemberian ini, saya sokong rakyat diberi bonus, tetapi apa rasional Najib menarik RM750 juta subsidi dan berbelanja RM900 juta untuk bonus," ujarnya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, petang ini.

Bagaimanapun, beliau menyokong kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana layak menerima bonus tersebut.

Baginya, tindakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu seakan suatu tindakan bermotif politik ekoran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian elaun RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Apakah pemberian itu semata-mata kerana Pulau Pinang bagi bonus, maka dia pun bagi," ujarnya yang juga anggota Lajnah Politik PAS Pusat.

Beliau turut mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya tampil menjelaskan langkah terbaru Najib itu.

Ini kerana, katanya, Khairy merupakan antara pemimpin Umno yang dilihat menonjol menjelaskan tentang rasionalisasi subsidi sebagai alternatif terbaik menangani perbelanjaan defisit yang dialami kerajaan pusat sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya, langkah Najib itu sebenarnya berbeza dengan langkah kerajaan Pulau Pinang dan Selangor memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri masing-masing.

"Pulau Pinang dapat bagi bonus, Selangor dapat bagi bonus disebabkan pengurusan kerajaan yang baik serta perbelanjaan yang berjimat cermat.

"Tetapi, kerajaan federasi (pusat) sendiri pun dah mengaku defisit dengan rasuah dan pembaziran dalam perbelanjaan, dia kata subsidi tidak efisyen, tiba-tiba dia bagi pula," beliau menambah.


Dzulfikar Mashoor
harakahdaily

Tiada ulasan: