Khamis, 30 September 2010

.

.


Menghurai Kata

Posted: 29 Sep 2010 04:59 PM PDT

Siapa Pengarah Pilihan Raya Pas di Galas?

TAMPAKNYA Umno telah mendahului Pas untuk menghadapi pilihan raya kecil Galas. Belum apa-apa Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya. Bila masa pula Tengku Razaleigh kembali menjadi penting bagi Umno. Bila masa pula nama Tengku Razalegih tercokol dalam kepala Muhyiddin? Tut tut Tengku Razaleigh dihubungi untuk menerima perlantikan secara terhormat itu dan diberitakan telah bersetuju.

Biarlah saya tidak mahu mengulas panjang sebab dalam posting sebelum ini saya telah menyentuh mengenai kedudukan Tengku Razaleigh dalam pilihan raya berkenaan. Pada saya keadaan Tengku Razaleigh macam kereta mati dalam gear untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Dengan sikap dan pendirian beliau bersama kerajaan negeri mengenai isu royalti sebelum ini menyebabkan beliau sukar untuk 'bergerak' kalau benar beliau menjadi pengarah.

Tetapi di sini apa yang hendak saya fokus ialah kepada Pas. Kalau Tengku Razaliegh menjadi Pengarahnya, siapakah pula di pihak Pas? Apakah ianya langsung akan diberikan kepada Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri, (JPN) Abdul Fatah Haron ataupun diperingkat pusat kepada Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man? Sebelum ini Pas mengganti-gantikan pengarah pilihan rayanya di kalangan pemimpin tertinggi Pas.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa pernah menjadi pengarah pilihan raya. Jika tidak silap semasa berlaku pilihan raya kecil Hulu Selangor, Nasharudin diberi tanggungjawab selaku pilihan raya di pihak Pas. Sallahddin Ayub juga pernah diberi tanggungjawab menjadi pilihan raya semasa di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Begitu juga Mahfuz Omar juga pernah merasa sebagai pengarah semasa pilihan raya kecil Parlimen Pasir Panjang Perak. Manakala Mustapa Ali menjadi pengarah pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Jadi semua orang-orang penting Pas sudah menjadi pengarah dan menunjuk bakat dan kebolehan masing-masing. Memang cara Pas menyerahkan tugas itu elok kerana ia merupakan latihan untuk menambahkan pengalaman kepada para pemimpinnya. Mereka itu kelak akan menjadi orang penting Pas suatu masa nanti.

Tetapi bagaimana untuk pilihan raya kecil di Galas kali ini. Saya rasa Pas perlu merombak status quo yang ada hari ini. Pas harus memulakan di Galas dan menguji akan perubahan ini. Umum tahu pengarah pilihan raya kecil Manik Urai diserahkan kepada Fatah Haron atas kapasitinya sebagai Pengarah JPN. Ia dibantu oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai penasihat setia. Memang kena kalau pengarah utama diambil dari kalangan pemimpin Kelantan sendiri.

Pas menang di Manik Urai tetapi dengan majoriti tipis 65 undi. Banyak kepincangan semasa pilihan raya berkenaan yang menjadi sebutan dan kenangan. Sejak awal lagi ia dimulai dengan rasa konfident yang tinggi, ego dan penuh sentimen yang mana akhirnya memakan diri sendiri. Pengarah telah merasakan pilihan raya itu haknya dan dia berkuasa penuh sehingga menghalang pemimpin luar untuk memasuki Manik Urai. Belum pernah berlaku di mana-mana pilihan raya pemimpin luar Pas dihalang masuk ke Kelantan. Sikap ataupun keputusan diambil pengarah pilihan raya itu sesuatu yang luar biasa dan penuh prejudis.

Kata Wan Abdul Rahim pilihan raya Manik Urai adalah pilihan raya lokal, bukan nasional. Itulah alasan yang diberikan. Gara-gara itu menyebabkan pemimpin luar terasa malu dan terhina dengan arahan berkenaan.

Ternyata pendekatan dan tektik digunakan Fatah dan Wan Abdul Rahim itu tidak berhasil. Ia memakan diri sendiri. Beliau juga masih bermain dengan cara psywar cara lama untuk mempengaruhi pengundi. Isu-isu yang dimainakn juga tidak begitu membuka selara. Hanya isu royalti minyak yang dicetuskan oleh Husam Musa (foto) saja dianggap dapat membuka mata pengundi.

Sebenarnya cara Fatah dan Abdul Rahim sudah out of date - lapok. Pemikiran dan strategi mereka juga tidak konteporari. Tektik dan strategi yang mereka gunakan mungkin sesuai dan berkesan untuk tahun 60-an dan 70an tetapi bukan di alaf baru ini. Di zaman pengundi sudah celik minda dan celik IT, tektik dan strategi begitu sudah tidak boleh dipakai lagi. Di sinilah kelemahan bilik gerakan Pas yang diketuai Fatah gagal mengesani dan menganalisa keadaan pengundi.

Hari ini pengundi mudah mahukan hujah dan fakta. Mereka mahu mendengar jawaban dan bidasan bermutu oleh pemimpin terhadap pihak lawan. Mereka mahukan idea dan mahu menilai idea. Kalau pemimpin tidak dapat mengemukakan idea baru, tidak kreatif mereka akan ditolak. Seseorang pengarah harus mendahuui masa, arif dan bijak untuk mempersonakan orang ramai serta mematahkan hujah pihak lawan dengan fakta.

Retorik atau lawak jenaka dalam mematah hujah sudah tidak memberi kesan lagi. Jenaka dan seloka Abu Nawas juga sudah tidak memberi impak besar. Tetapi cara itulah nampaknya digunakan Fatah setiap kali membuat kenyataan atas kedudukan sebagai Pengarah Pilihan Raya Kelantan. Lagipun kalau Fatah menjadi pengarah ia boleh menimbulkan masalah dengan Pas. Fatah dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf. Keadaan ini boleh menganggu jentera pilihan raya Pas dari kalangan Muslimat kerana Zailah adalah ketua muslimat Kelantan.

Benarlah apa yang disunggung oleh sdr Sabree Shafii di dalam blognya yang meminta Pas menilai semula keberkesanan Fatah dan Wan Abdul Rahim sebagai pengarah pilihan raya. Saya rasa pandangan Sabree itu ikhlas demi melihat Pas menang cemerlang dalam pilihan raya itu nanti. Kalau beliau mahu lihat Pas tewas sudah tentu beliau akan memuja dan memuji kehebatan Fatah!

Dalam pada itu saya melihat Pas Kelantan memiliki sosok yang boleh dilantik menjadi pengarah untuk pilihan raya Galas kali ini. Ada dua tokoh yang saya nampak boleh diberi kepercayaan dalam hal ini dan mereka berkelayakan. Mereka ialah Takiyuddin Hassan dan Husam Musa. Kebetulan pula mereka sebaya dan dianggap sebagai pemimpin yang akan meneruskan perjuangan Pas di masa depan.

Ada beberapa keistimewaan kepada mereka. Dari segi kelulusan dan pengalaman melayakkan mereka. Mereka adalah pemimpin tertinggi Pas Kelantan. Takiyuddin pernah memeganf jawatan Ketua Penerangan dan Setiausaha Badan Perhubungan. Sementara Husam adalah Timbalan II Pesuruhjaya. Sejauh mana kemampuan mereka perhatikan kepada gerak kerja mereka dan kenyataan yang mereka keluarkan berdasarkan fakta dan hujah yang kemas. Mereka bukan jenis beretorik. Kerja mereka juga ada sistem, ada analisa, ada rumusan dan kesimpulannya.

Saya rasa Pas boleh mencuba untuk memberi kepercayaan kepada mereka menguruskan pilihan raya di Galas kali ini. Sesuai dengan kedudukan Husam sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan diberi tanggungjawab untuk menguruskan logistik peringkat negeri manakala Takiyuddin menguruskan logistik peringkat pusat sesuai dengan kedudukannya sebagai Penolong Setiausaha. Dalam erti kata lain mereka harus duduk sebilik.

Walaupun tokoh-tokoh seprerti ini sudah berkemampuan dan mempunyai ketrampilan dalam mengendali pilihan raya tetapi Pas nampaknya belum pernah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka. Justeru elok kalau di Galas ini tanggungjawab mempertahankan kerusi berkenaan digalaskan ke atas bahu mereka.

Dalam masa sama Fatah, Wan Abdul Rahim atau Abdul Halim Abdul Rahman (kumpulan Tiga Abdul) kalau tidak mahu rehat tetapi boleh diberikan tugas hanya sebagai penampal poster sahaja dan bukan berada di bilik gerakan. Dengan pengalaman lama mereka sudah pasti mereka akan mampu untuk menampal poster walaupun di atas puncak pokok balak di Galas. [wm.kl.8:20 30/09/10]

Selepas Subuh

Posted: 29 Sep 2010 04:10 PM PDT

Cadangan Takiyuddin Perlu Disokong

ADA 'kuliha'nya juga cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan (foto) supaya kerusi Galas yang kosong kini diserahkan saja kepada Pas. Umno tidak payah bertanding. Katanya Takyuddin kalau benar Umno yang melaungkan soal perpaduan kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada Pas sebagai bukti keikhlasannya.

Kalau cadangan itu menjadi realiti ia boleh mengurangkan pergeseran antara kedua buah parti tersebut. Saya nampak cadangan itu ikhlas dan postif. Ia bukan bermakna Pas takut menghadapi pilihan raya berkenaan. Dan jika Umno sedia bermain politik secara profesional ia juga tidak merugikan parti berkenaan, malahan akan dilihat sebagai bijak.

Sebelum ini pun Umno pernah tidak bertanding di pilihan raya kecil Dun Penanti di Pulau Pinang. Umno menggunakan alasan kerana kerusi itu bukan kosong kerana kematian tetapi disengajakan disebabkan PKR ingin menguji kedudukannya. Walhal apa yang berlaku kekosongan kerusi Penanti itu apabila Adunnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Dr Mansor Othman menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Walaupun kerusi Galas kosong kerana kematian wakilnya, Che Hashdim Sulaima Isnin lalu, tidak jadi masalah kalau Umno mengambil sikap positif. Banyak faedah dan untungnya kalau Umno sedia memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Pas. Pertama ia boleh mengendurkan ketegangan antara Pas dengan Umno seperti mana kata Takiyuddin. Kedua ia boleh menyelamatkan banyak wang rakyat dan juga kerajaan. Ketiga sikap politik terbuka dan jilah itu boleh menguatkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Selalunya dalam pilihan raya kecil kedua parti akan mengeluarkan wang yang banyak. Tenaga dan masa juga banyak dihabiskan di sepanjang berkempen. Kerajaan (SPR) juga terpaksa menggunakan wang yang banyak. Bukan itu saja kerajaan harus membayar elaun polis, tentera dan pegawai-pegawai lain yang terlibat menjaga keselamatan di sepanjang pilihan raya berkenaan.

Sekiranya tiada pilihan raya perbelanjaan ini semua boleh dijimatkan dan tidak akan berlaku pembaziran.

Bukan itu saja, sudah sampai masanya parti politik negara ini bersikap profesional dan waras. Tidak mengikut perasaan dan hawa nafsu. Di pihak Umno khasnya perlu menyedari walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi menunjukkan kekuatan di Kelantan, tetapi kemenangan itu tidak membawa apa-apa erti. Kedudukan Pas di DUN Kelantan begitu selesa waktu ini. Lainlah kalau kerusi itu milik Umno, ia perlu dipertahankan demi menjaga maruahnya.

Dalam hal ini begitu juga dengan Pas. Sekiranya berlaku kematian di kerusi Umno, Pas hendaklah memberi laluan mudah kepada Umno. Biarlah Umno memiliki semula kerusi itu tanpa tentangan Pas. Sama seperti kedudukan Pas hari ini kalau Umno terus memiliki kerusinya ia tidak menjejaskan kedudukan Pas selaku kerajaan.

Saya rasa persefahaman politik sebegini disukai ramai orang. Ketegangan yang berlaku semasa pilihan raya kecil kadang membawa kepada hal-hal jenayah sesuatu nyang dikesalkan dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Mungkin Umno akan berkata kalau pun mereka memberi laluan, pilihan raya tetap juga akan diadakan. Sudah pasti akan ada mereka yang teringin gambar mereka diletak dipokok kayu akan bertanding sebagai calon bebas. Tidak mengapa kalau itu berlaku. Calon bebas apalah sangat yang ada kepada mereka.

Hari ini kemunculan calon bebas tidak dipadang sebelah mata pun oleh pengundi negara ini. Rakyat hanya memilih dua parti saja, sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Betapa bebas cuba mempamerkan dan mengatakan mereka ada agenda - membela itu dan membela ini orang akan tetap menganggap ianya sebagai pengacau. Apa lagi mereka yang menjadi calon bebas itu wibawa dan syaksiahnya boleh dipersoalkan.

Duhai parti politik Pas dan Umno mulailah sesuatu yang baik itu dalam pilihan raya kecil Galas ini. Ia memang sukar untuk dimulakan begitulah fitrah alam ini. Tetapi setelah ia dimulakan selepas itu ia akan jadi perkara biasa. Lakukanlah perubahan ke atas senerio politik kita. [wm.kl.7:10 am 30/09/10]

Susupan Petang

Posted: 29 Sep 2010 04:13 AM PDT

Kalau Adun Kulim Dirasuah RM5 Juta Berapa Pula Rasuah Ahli Parlimen?

MENURUT Raja Petra Kamaruddin dari kertas siasatan oleh SPRM terhadap Adun Kulim, Lim Soo Nee didapati Adun berkenaan mengesahkan dia ditawarkan RM5 juta agar meninggalkan parti. Tawaran itu dibuat oleh bekas MB Kedah Mahadzir Khalid.

Kertas siasatan SPRM itu adalah sumber yang sah dan tidak boleh dipertikaikan. Sekiranya kertas itu benar seperti mana didedahkan ini bermakna memang ada usur rasuah berlaku di Kedah. Kalau dakwaan Adun berkenaan bohong dia boleh dikenakan tindakan.

Persoalan yang bermain di kepala hari ini, kalau Adun dirasuah sebanyak RM5 juta, berapa pula nilai rasuah yang diterima oleh Ahli Parlimen? Di negeri Utara itu ada ahli parlimen yang belut dan meninggalkan parti. Apakah ahli parlimen berkenaan telah menerima rasuah yang menyebabkan beliau sedia mengkhinati parti? Ataupun tindakan beliau itu ikhlas bukan kerana menerima sebarang upahan?

Rasanya penjenguk sekalian dapat menilai hakikat ini sebaik mungkin. Sifir atau fromula yang boleh diberikan begini; seseorang itu tergila nak jadi wakil rakyat kerana hendakkan kedudukan. Di samping itu mahukan elaun kalau parlimen sekitar RM7 ribu hingga RM13 sebulah dan kalau Adun sekitar RM3 ribu hingga RM5 ribu sebulan.

Jadi kalau ada orang tawar RM5 juta atau memberi satu 'kelegaan' yang sangat didambakan kenapa beliau tidak perlu mengambilnya? Bukankah dengan wang itu dia boleh hidup senang, beli ubat kencing manis ataupun melawat Eropah dua kali setahun. Beli motosikal besar dan mengendung si janda yang asal Temerloh Pahang. (Up nak tahu cerita lanjut sila hubungan MP Indra Mahkota, Azan Ismail dan lawyer Md Radzi Mustafa).

Tentu sekali dia mahu. Jadi dakwaan Anwar Ibrahim sebelum ini kononnya ada wakil rakyat yang lompat parti kerana dibayar jutaan ringgit adalah benar bukan gurauan. Pendedahan dibuat Raja Petra itu adalah bukti jelas. Dan kalau perlu isu ini perlu dibongkar seluas-luasnya. [wm.kl. 7:15 pm 29/09/10]

Tiada ulasan: