Anak Sungai Derhaka |
- Pemuda UMNO bohong, wang ihsan bukan dana kelab kuda
- Yang tak faham 1Malaysia tu.. Nazri dan Muhyiddin - Ibrahim Ali
- Konspirasi Anak-Beranak Dalam PKR?
- Sikap lantang Zaid wajar: Penganalisis
- Hari Ini & Esok : 80 Cabang Saksikan Pertarungan
- TG Nik Aziz tiada hasrat saman I'Da World
- Kes Bunuh Sosilawati : Pasukan Forensik Polis Dan Suspek Dibawa Ke Ladang
- AZMIN ALI!! Sila Ambil Perhatian!
| Pemuda UMNO bohong, wang ihsan bukan dana kelab kuda Posted: 24 Sep 2010 10:44 PM PDT Oleh Oleh Muaz Mustaqim BUTTERWORTH, 25 Sept — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu. Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam sebagai "satu pembohongan." Lim menjelaskan, dana daripada kelab tersebut hanya digunakan untuk membantu bukan Islam yang jumlahnya 10 peratus di kalangan miskin tegar negeri itu. "Dakwaan Reezal adalah usaha Umno mahu mensabotaj program warga emas," kata Lim (gambar) selepas merasmikan program pembersihan pantai antarabangsa di sini hari ini. Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang. Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan. Surat itu, bertarikh 9 Julai 2010, yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob mengesahkan sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri. Reezal berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini. Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan. Akhir minggu lalu Reezal mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian. Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas. Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat minggu lalu adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran. Menurut beliau lagi, kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut. The Malaysian Insider |
| Yang tak faham 1Malaysia tu.. Nazri dan Muhyiddin - Ibrahim Ali Posted: 24 Sep 2010 10:34 PM PDT PASIR MAS, 25 Sept — Sambil menyatakan dirinya bukan rasis, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, maksud sebenarnya konsep 1Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak adalah bahawa semua rakyat berbilang kaum di negara ini mesti memberi kesetian padu kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum menganggap diri mereka sebagai "rakyat Malaysia." Ibrahim Ali diraikan pada sambutan Pesta Tanglung di Kampung Cina, Pasir Mas malam tadi — Gambar oleh Jack Ooi Sehubungan itu Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata berdasarkan konsep tersebut, beliau "setia kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu, kemudian baru rakyat Malaysia." Bulan lalu beliau mendesak Perdana Menteri memperjelaskan konsep 1Malaysia. Gesaan itu diulangi Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali minggu lalu. Ibrahim berkata, apabila rakyat sudah memberikan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong baru mereka akan taat dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. "Bagi saya secara peribadi maksud konsep 1 Malaysia adalah sebagai seorang rakyat saya harus memberikan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong. "Kalau sudah taat kepada Yang di-Pertuan Agong baru kita boleh taat kepada Perlembagaan negara. "Bukan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) yang kata beliau Melayu dulu baru warga Malaysia dan bukan juga seperti Datuk Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang kata beliau warga Malaysia dulu baru Melayu. Saya faham 1 Malaysia tapi mereka tidak," kata beliau selepas merasmikan program Pesta Tanglung di Kampung Cina di sini malam tadi yang disertai sekitar 100 orang. Dalam menjawab tulisan Awang Selamat Mingguan Malaysia Ahad lalu, Nazri berkata. beliau adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru orang Melayu. "Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?" kata beliau. Pendirian itu bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno pada April lalu bahawa beliau orang Melayu terlebih dahulu, baru rakyat Malaysia. Ibrahim berkata setiap rakyat di negara ini mempunyai hak masing-masing tetapi ada had yang tidak sepatutnya dipersoalkan. "Sebagai contoh dalam sebuah keluarga, ada ayah, ibu, anak dan mungkin juga tukang sapu. Kesemua mereka ini mempunyai hak yang ditetapkan. "Seorang isteri tidak mempunyai hak seperti suaminya, begitu juga dengan anak dan tukang sapu. "Jadi kalau tukang sapu mengemas bilik anda, dia mempunyai hak untuk kemas tetapi pada masa dia tidak mempunyai hak langsung untuk tidur di atas tilam anda. Betul atau tidak?" soalnya. Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 setelah menewaskan calon Umno Ahmad Rasdi Mahmed dengan majoriti 8,991 undi. Ketika itu Ibrahim bertanding atas tiket PAS. Parlimen Pasir Mas mempunyai seramai 59,640 pengundi. Ibrahim juga menggesa penduduk di kawasan Pasir Mas supaya tidak terpedaya akan usaha yang dilakukan parti politik yang mahu menjatuhkan imejnya. "Bila saya katakan tentang hak Melayu, mereka (parti politik) kata saya rasis dan perkauman. "Sedangkan apa yang saya perjuangkan adalah apa yang tertulis dalam Perlembagaan Negara. Adakah ini dikatakan rasis?" katanya. Baru-baru ini pemimpin Umno-BN terlibat dalam perang kenyataan dengan Ibrahim berhubung kenyataan pemimpin-pemimpin perikatan itu bahawa BN tidak harus menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan itu kerana bimbang dasar perjuangannya boleh menghakis sokongan dalam pilihan raya umum ke-13. Hari ini Perkasa akan mengadakan Perhimpunan Perdana Perkasa Kelantan di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas pada pukul 3 petang. Program yang bertemakan "Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia" turut akan disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. The Malaysian Insider |
| Konspirasi Anak-Beranak Dalam PKR? Posted: 24 Sep 2010 06:49 PM PDT Oleh ARIFFUDDIN ISHAK PETALING JAYA: Pengumuman Nurul Izzah Anwar untuk turut bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) November ini seolah-oleh mengesahkan wujudnya konspirasi 'politik anak-beranak' dalam parti itu.Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, beliau menjangkakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tawaran jawatan kepada anak sulungnya itu bagi memastikan perancangan untuk memenangkan calon tertentu jadi kenyataan. "Tindakan Nurul Izzah sangat meragukan, dulu kata tak mahu bertanding, tapi sekarang sedia bertanding... dulu kata sokong Zaid (Ibrahim), tapi sekarang ambil sikap berkecuali pula. "Jadi ia menggambarkan bahawa Anwar mungkin telah membuat tawaran jawatan penting dalam parti sekiranya anaknya itu menyokong Azmin (Ali) bagi jawatan Timbalan Presiden," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat. Beliau mengulas pendirian terbaru Nurul Izzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR setelah menerima lapan pencalonan setakat ini. Malah pada masa yang sama Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengumumkan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana calon yang bertanding pada pemilihan parti itu nanti. Sebelum ini Nurul Izzah dilaporkan mengakui wujud perbezaan pendapat dalam keluarganya terutama berhubung perebutan jawatan Timbalan Presiden yang ditandingi dua calon popular iaitu Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Zaid Ibrahim. Mengulas lanjut Saidatul Badru bagaimanapun berkata, Nurul Izzah berhak untuk bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti itu namun tetap meragui keupayaan dan kredibilinya dalam berpolitik. "Memang itu hak setiap ahli, tapi dia itu siapa? Baru setahun jagung dalam politik... belum cukup pengalaman. Lainlah kalau nak bertanding jawatan Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan). "Ini tidak, terus nak lompat ke jawatan yang lebih tinggi... lainlah kalau dia ada 'pakatan' dengan bapanya untuk diberikan jawatan itu," katanya. Selain itu beliau berkata keadaan ini menggambarkan Anwar selaku penasihat menjadikan PKR sebagai parti milik keluarga apabila membuat perancangan meletakkan isteri dan anak memegang jawatan tertinggi dalam parti. "Dia buat parti ini milik peribadi, semuanya dia yang aturkan, maka jadilah parti ini parti anak-beranak," katanya. Dalam pada itu, Saidatul Badru turut menasihatkan agar ahli dan penyokong PKR menilai situasi berkenaan dengan sewajarnya agar tidak tidak terus ditipu untuk kepentingan individu tertentu. "Saya harap penyokong PKR sedar, buka mata...jangan biarkan diri terus ditipu dengan permainan politik Anwar demi kepentingan peribadinya semata-mata," katanya. mStar Online |
| Sikap lantang Zaid wajar: Penganalisis Posted: 24 Sep 2010 06:46 PM PDT SHAH ALAM – Kelantangan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan wajar dan bersesuaian dengan amalan demokrasi yang diperjuangkan dalam PKR.Penganalisis Politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, kritikan dilontarkan Zaid adalah sesuatu yang membina, ianya selaras dengan konsep demokrasi yang diamalkan dalam parti itu. "Dengan suara yang beliau kemukakan juga seiring dengan amalan demokrasi mutlak yang cuba dipamerkan oleh PKR. "Kenapa ada suara yang mengatakan Zaid terlalu lantang, sedangkan apa yang dilakukan beliau mungkin ada benarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Menurutnya, orang baru dalam parti patut diberi ruang untuk bertanding supaya mana-mana jawatan dalaman parti tidak hanya didominasi oleh kelompok reformasi sahaja. "Sepatutnya tidak timbul isu kelantangan tetapi bila wujudnya pihak yang merasakan sokongan politik semakin 'terhakis', mereka menggunakan isu itu dan menganggap bahawa Zaid seolah-olah terlalu lantang mengeluarkan pendapat. "Pemimpin itu juga harus matang dan melihat kepada amalan demokratik serta membiarkan perwakilan menentukan siapa yang layak memegang jawatan berkenaan," katanya. Menurutnya, tindakan itu juga menguji kematangan berpolitik dalam kalangan pemimpin yang bersaing untuk merebut jawatan dalam parti itu walaupun umum mengetahui PKR baru berusia setahun jagung. "Apatah lagi yang baru menang dalam pemilihan parti, barangkali bersedia untuk mengemudi jentera parti dalam pilihan raya itu," katanya. Sinar Harian |
| Hari Ini & Esok : 80 Cabang Saksikan Pertarungan Posted: 24 Sep 2010 06:43 PM PDT Sebanyak 80 Cabang PKR di sembilan negeri akan menyaksikan pertarungan sengit ketika mana kempen sedang berjalan rancak bagi pemilihan pada Sabtu dan Ahad ini.Di antara cabang yang dilaporkan menjadi semakin panas dan menyaksikan pertandingan sengit ialah Kota Raja, Subang dan Kapar di Selangor; Batu dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan; Gopeng, Kampar dan Pasir Salak di Perak serta Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau di Pulau Pinang. Ketua Ketua Cabang Kota Raja menjadi panas berikutan pertarungan tiga penjuru Ahad ini di antara Timbalan Setiausaha PKR Selangor Dr Xavier Jayakumar, Kottapan Sippiah dan Telai Amblam Mariappani. Malahan pemilihan untuk jawatan Ketua Cabang Subang adalah lebih sengit memandangkan lima calon akan bertanding untuk jawatan itu. Mereka ialah Ahli Parlimen kawasan itu Sivarasa Rasiah, Datuk Shawal Salim, Voolaganathan Periasamy serta dua yang lain. Di Wilayah Persekutuan, Cabang Lembah Pantai menjadi tumpuan di mana empat calon akan bertanding, Ahli Parlimen kawasan itu Nurul Izzah Anwar, Johari Musa, Azrul Azmi dan Shahrudin Baharom. Manakala di Cabang Batu pula, menyaksikan pertandingan satu lawan satu, di antara Tian Chua dengan Mohd Nur Kamil. Di Perak, terdapat pertandingan untuk tujuh Cabang Ahad ini. Cabang yang menjadi tumpuan ialah Cabang Gopeng di mana Ahli Parlimen dan juga Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye akan menentang dua pencabar termasuk Mohamad Anuar Zakaria. Cabang Kampar turut menyaksikan perlawanan satu lawan satu di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai Chan Ming Kai dengan Sha'arani Abdul Khalid. Di Pulau Pinang, juga terdapat perlawanan satu lawan satu di antara Adun Batu Uban Raveentharan Subramaniam dengan Lim Boo Chang bagi merebut kerusi Ketua Cabang Bukit Gelugor Ahad ini. Turut menjadi tumpuan ialah pemilihan di Cabang Bayan Baru, di mana Adun Pantai Jerjak Sim Tze Tzin akan berdepan dengan M Ngnana Sagaran berikutan kerusi ketua cabang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Mohd Zahrain Hashim yang melompat parti. Sehingga ini, sebelas negeri selesai membuat pemilihan Cabang PKR 2010 melainkan tiga negeri – Selangor, Sarawak dan Johor – yang dijangka tamat awal Oktober depan. Free Malaysia Today |
| TG Nik Aziz tiada hasrat saman I'Da World Posted: 24 Sep 2010 06:39 PM PDT KOTA BHARU - Kerajaan Negeri belum berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat I'da World Group Sdn Bhd yang menimbulkan kontroversi kerana tindakannya mahu menyumbang RM 4 bilion kepada Kerajaan Negeri sekali gus dikatakan menjejaskan imej kerajaan Pas Kelantan.Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditanya isu tersebut enggan mengulas lanjut dan berkata setakat ini, kenyataan-kenyataan dan tindakan yang diambil sebelum ini sudah memadai. "Setakat ini itu sahaja (tidak dibawa ke mahkamah)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu semalam. Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengakui ada usaha untuk menjatuhkan beliau, namun menafikan isu wang RM4 bilion sebagai usaha untuk menjatuhkan pentadbiran beliau. Beliau mengganggap kemelut itu sebagai biasa dan beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap pihak terbabit. Dalam masa yang sama sebuah akhbar melaporkan Pengerusi Eksekutif I'da World Group terkilan kenyataan Nik Abdul Aziz yang mendakwa tidak tahu kewujudan syarikatnya atau bertemu dengannya. Menurutnya, beliau mempunyai bukti bahawa Nik Abdul Aziz tahu mengenai kehadiran syarikat itu di Kelantan malah pernah mengadakan mesyuarat bersama beliau dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dalam pertemuan berasingan. Dalam pada itu sebuah portal Internet semalam melaporkan Ahmad Yaakob mengakui pernah mengadakan pertemuan peribadi dengan wakil I'Da World Group Sdn. Bhd. di kediamannya di Tumpat, Kelantan baru-baru ini. Sambil mengesahkan pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai perancangan syarikat berkenaan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu membabitkan RM4 bilion, Ahmad bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau meragui keupayaan syarikat Bumiputera itu. Sinar Harian |
| Kes Bunuh Sosilawati : Pasukan Forensik Polis Dan Suspek Dibawa Ke Ladang Posted: 24 Sep 2010 06:31 PM PDT Sabtu September 25, 2010 BANTING: Pasukan forensik polis hari ini melawat lagi ladang ternakan milik salah seorang suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.Ladang yang terletak di Ladang Gadong Tanjung Sepat, Banting, Selangor adalah tempat dipercayai Sosilawati, 47, pemandunya Kamarudin Shansuddin, 44 peguam peribadinya Ahmad Kamil Abd Karim 32 dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad,38 dibunuh dan dibakar selepas dilaporkan hilang pada 30 Ogos lepas. Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. Tinjauan Bernama mendapati sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda dari unit forensik, sebuah Mitsubishi Pajero berwarna biru dan sebuah van yang dipercayai membawa suspek tiba di Ladang Gadong petang tadi dengan diiringi oleh kereta peronda polis. Enam buah kereta di mana dua daripadanya mempunyai logo Jabatan Forensik kelihatan memasuki Ladang Gadong di mana lokasi penyiasatan kes pembunuhan empat individu itu. Sementara itu suspek utama kes pembunuhan tersebut dilihat dibawa ke hadapan sebuah firma guaman di Jalan Kemboja, Off Jalan Sultan Alam Shah Banting. Bagaimanapun, dia tidak masuk ke firma guaman itu tetapi hanya menunjukkan petak meletak kenderaan di hadapan firma tersebut dan anggota forensik mengambil gambar di kawasan berkenaan. Kemudian dia dilihat menaiki salah sebuah daripada enam buah kereta yang beredar dari kawasan firma itu. Sepanjang unit forensik dan suspek-suspek berada di ladang ternakan milik salah seorang suspek itu, polis mengawal ketat tempat berkenaan dan berada kira-kira 600 meter dari kawasan ladang berkenaan. Pihak media tidak dibenarkan melepasi tempat polis berkawal di hadapan sebuah kuil Hindu di Ladang Gadong itu. Pasukan forensik dan anggota polis yang berada di ladang ternakan itu kemudiannya beredar ke arah Banting. Tidak dapat dipastikan berapa jumlah suspek yang dibawa ke lokasi itu tetapi kelihatan empat lelaki berbaju warna oren, dan seorang lagi berbaju ungu di dalam kereta Proton Waja dan meninggalkan Ladang Gadong tersebut. Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima memorandum daripada Manikavasagam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 1.10 tengah hari ini. Dalam kenyataan malam ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata memorandum diterima oleh ASP Hasnul Hadi yang mewakili Ketua Polis Negara. "Antara lain kandungan memorandum ini mencadangkan supaya PDRM menubuhkan satu badan khas menyiasat kes kehilangan Allalkathan Muthuraja, seorang warganegara India sebagaimana yang dilaporkan hilang oleh isterinya Usharani Sethuraman pada 8 Sept 2010," katanya. Bakri berkata di samping memorandum itu, Hasnul juga menerima satu unit telefon bimbit daripada Usharani yang dikatakan mengandungi rakaman percakapan beliau dengan individu-individu di Malaysia. "Ibu pejabat ini menjelaskan bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan diketuai oleh Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bagi menyiasat kes kehilangan suami Usharani yang dipercayai dibunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan secara profesional dan terperinci," katanya. BERNAMA |
| AZMIN ALI!! Sila Ambil Perhatian! Posted: 24 Sep 2010 10:03 AM PDT Artikel ini ditulis bukannya untuk menyerang Azmin Ali biarpun namanya akan disebut berulang kali tetapi sebagai peringatan buat semua pemimpin Pakatan Rakyat khususnya dari PKR terutamanya Azmin Ali sendiri.. Dalam kesibukan kempen Pemilihan 2010 yang berlangsung sekarang, antara susuk tubuh yang kelihatan amat sibuk menjalankan kempen keseluruh Semenanjung dari Utara hingga ke Selatan Tanah air dari Timur hingga ke Barat malah melangkau hingga ke Sabah dan Sarawak ialah Azmin Ali.Kesibukan beliau pasti bertambah setelah Puteri Reformasi Nurul Izzah juga telah mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden itu. Beliau kelihatan begitu bersunguh-sunguh untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang telah dikosongkan oleh Syed Husin Ali, seolah-olah jawatan tersebut menjanjikan kuasa yang sangat besar. Mungkin kerana kesibukan mengejar jawatan tersebut beliau telah terlupa akan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pengundi-pengundi beliau di kawasan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, beliau mungkin terlupa bahawa pengundi – pengundi di kawasan itu mengundi beliau sebagai Ahli Parlimen dan ADUN mereka untuk menyelesaikan masaalah mereka. Beliau seolah-olah terlalu yakin bahawa kerusi Ahli Parlimen Gombak dan juga ADUN Bukit Antarabangsa yang dipegangnya itu akan kekal berada didalam gengamannya selepas PRU13 nanti.. Adakah kerana terlalu sibuk menjalankan kempen bagi merebut jawatan tersebut Azmin Ali telah terlupa akan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dan juga ADUN? Jika beliau terlupa.. pengundi-pengundinya nampaknya tidak melupakan beliau.. Hari ini dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Pemilik Hartanah UKB (PHUKB) melalui Pengerusinya Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman mereka telah memberikan kata dua yang mengatakan Para pembeli rumah Ukay Bistari di Hulu Kelang, projek yang kini terbengkalai, akan mengundi kepada perikatan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang sanggup menyelesaikan masalah mereka sebelum pilihan raya umum ke-13. Menurut Dr Mohamed Rafick "Dalam tindakan terdesak terakhir ini, para pembeli yang kebanyakannya penduduk kawasan Parlimen Ampang dan Gombak kini menawarkan peluang kepada kerajaan negeri dan pusat dalam tender yang unik bagi memberi undi blok kepada kerajaan yang sedia membantu masalah perumahan kami," "Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa kami ada minimum 4,000 undi dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau lagi. Amaran dari mereka amat jelas, dari kenyataan Dr Mohamed Rafick yang mewakili Persatuan Pemilik Hartanah UKB itu, mereka tidak menjanjikan sebarang sokongan lagi pada masa akan datang andaikata Azmin Ali gagal menyelesaikan masaalah mereka.. siapa yang menyelesaikan masaalah mereka pihak itulah yang akan disokong. Mereka akan menyokong sesiapa saja dan dari Perikatan Parti mana sekalipun yang boleh menyelesaikan masaalah mereka atau berkerja untuk mereka.. Tiada sokongan yang ditunjukkan mereka sebagaimana kita melihat beberapa orang Ahli Parlimen dari PKR yang telah menyatakan sokongan mereka kepada Azmin Ali. Mereka juga memperlihatkan bahawa kesetiaan mereka bukannya terletak kepada individu atau parti tetapi kepada pihak yang mampu menangani masaalah mereka.. pihak yang mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik buat mereka. Kenapa agaknya Azmin Ali begitu bersungguh-sungguh untuk merebut jawatan Timbalan Presiden itu sedangkan dikawasan Parlimen dan DUNnya sendiri beliau masih gagal untuk menonjolkan kepimpinannya? Sebagai Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa beliau sepatutnya bersunguh-sunguh berusaha untuk menyelesaikan masaalah pengundi-pengundinya, berkerja bersungguh-sungguh untuk mereka, berlumba-lumba membuat kebaikkan untuk mereka dan bukannya berlumba-lumba untuk mengejar jawatan. Beliau sepatutnya memperkukuhkan sokongan rakyat terhadapnya dikawasan sendiri bukannya sibuk mencari sokongan dari seluruh Negara. Tanpa undi atau sokongan dari 4000 pengundi atau menurut mereka setelah pengesahan pada minggu lalu undi yang terjamin adalah 6000 undi, adakah Azmin Ali akan kekal sebagai Ahli Parlimen dan juga ADUN selepas PRU13 nanti? Adakah tanpa undi dari 6000 pengundi itu Ahli-Ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada beliau boleh mengekalkan Azmin sebagai Ahli Parlimen Gombak dan juga ADUN Bukit Antarabangsa? Sudah tentu jawapannya tidak…. Apakah tanpa jawatan Ahli Parlimen dan juga ADUN itu Azmin akan tetap dihormati oleh Ahli – Ahli Parlimen dari PKR itu? Belum tentu jawabnya… Jadi sekarang Azmin Ali boleh memikirkan apa yang lebih penting buatnya.. mencari sokongan dari Ahli PKR seluruh negara yang tidak mungkin mampu mengekalkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen dan ADUN itu atau mencari jalan penyelesaian buat seluruh pengundinya itu yang akan menentukan siapa beliau selepas PRU13 nanti… Asal jangan yang dikejar tak dapat.. yang dikendong pula berciciran..sudah.. Ingat.. Anda dipilih oleh Rakyat untuk berkhidmat untuk Rakyat dan Rakyat yang meletakkan anda sebagai pemimpin dan Rakyat juga yang akan menjatuhkan anda dari memimpin.. Suara Rakyat Suara Keramat!!! Berita Berkaitan. Ukay Bistari: Selesai masalah kami undi, pembeli beri BN dan PR kata dua Oleh Clara Chooi AMPANG, 24 Sept — Para pembeli rumah Ukay Bistari di Hulu Kelang, projek yang kini terbengkalai, memberi kata dua akan mengundi kepada perikatan - sama ada BN atau Pakatan Rakyat — yang sanggup menyelesaikan masalah mereka sebelum pilihan raya umum ke-13. Kata dua mereka muncul di tengah-tengah usaha keras PR dan BN mahu menambah kedudukan mereka di Dewan Undangan Negeri Selangor. PR mengambil alih kerajaan negeri, yang paling kaya di negara ini, menerusi pilihan raya umum dua tahun lalu. "Dalam tindakan terdesak terakhir ini, para pembeli yang kebanyakannya penduduk kawasan Parlimen Ampang dan Gombak kini menawarkan peluang kepada kerajaan negeri dan pusat dalam tender yang unik bagi memberi undi blok kepada kerajaan yang sedia membantu masalah perumahan kami," kata Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah UKB (PHUKB) Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman dalam emel kepada media hari ini. "Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa (kami ada)n minimum 4,000 undi dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau lagi. Difahamkan tindakan agresif pembeli-pembeli terbabit sudah cukup untuk menjatuhkan wakil PR di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa. Kata dua mereka sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat tidak peduli mengenai politicking yang wujud sekarang, sebaliknya mahu masalah-masalah setempat yang dihadapi diselesaikan. Ia juga memberi amaran kepada PR bahawa penguasaan mana-mana negeri termasuk Selangor bukan sesuatu yang kekal jika masalah seumpama itu tidak diselesaikan. Dr Rafick memberitahu hari ini, kesemua 2,000 ahli PHUKB menyokong rancangannya dan sanggup melakukan apa sahaja bagi membolehken masalah perumahan mereka diselesaikan. "Setakat minggu lalu, kami menerima pengesahan bahawa bank undi yang terjamin adalah seramai 6,000 orang," kata beliau sambil menambah mereka juga sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan rakan-rakan mereka dan jiran masing-masing. "Kami akan bercakap atas satu suara dalam isu ini," kata beliau. Daripada jumlah itu, 68 peratus pengundi adalah dari kawasan Parlimen Ampang, 30 peratus dari Gombak dan baki dari kawasan lain. Beliau mendakwa jika kerajaan PR mengetepikan permintaan mereka, kemungkinan wakil rakyat semasa akan dibuang undi keluar dan digantikan oleh BN. "Berdasarkan paten undi dan keputusan pilihan raya umum lalu, bilangan undi yang kami tawarkan sudah cukup untuk mengubah kedudukan Ahli Parlimen Gombak dan Ampang serta ADUN Bukit Antarabangsa," tegas beliau. Naib Presiden PKR Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa manakala Ketua Wanitanya Zuraida pula Ahli Parlimen Ampang.Bagi membuktikan ikhlas dalam niat mereka, ahli-ahli PHUKB akan berhimpiun di tapak projek pada 3 Oktober untuk menaikkan kain rentang 6.6 meter x 10 meter (20 kaki x 30 kaki) menghala ke arah Jalan Lingkaran Tengah untuk meluahkan pendirian mereka. "Kami sudah penat menjadi mangsa dalam semua perundingan bagi menyelesaikan isu ini, yang terbengkalai sejak 2003," katanya. "Kerajaan negeri Selangor telah campur tangan dan menjadikan keadaan lebih buruk bagi kami. "Kami juga mengadakan perbincangan menerusi kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi sehingga kini tiada masa yang diselesaikan," katanya. Dr Rafick juga melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan negeri Selangor yang lebih banyak fokus ke atas pilihan raya PKR berbanding isu-isu lain yang lebih penting. "Saya sangat kecewa. Dalam kapasiti peribadi, saya mengundi Azmin dalam pilihan raya tetapi nampaknya beliau telah mengecewakan saya," katanya. Azmin akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan pusat PKR bulan depan. "Kami telah memberikan pemaju-pemaju satu peluang. Kami juga sudah bercakap dengan kerajaan Selangor, kementerian. "Adalah jelas, ia memerlukan kekuatan politik untuk menyelesaikan masalah ini. Sebab itu kami tiada pilihan, dan perlu melakukan yang ini," kata Dr Rafick. Menurut laporan kemajuan PHUKB yang dikeluarkan Februari lalu, projek pembangunan perumahan Ukay Bistari bernilai RM200 juta dimulakan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai Damai Bistari Sdn Bhd, yang dimiliki penuh oleh Intelbest Corporation Sdn Bhd. Damai Bistari, menurut Dr Rafick, diuruskan oleh Tan Sri Chan Ah Chye yang merupakan penasihat korporatnya. Chan juga pengarah eksekutif Talam Corporation Bhd, syarikat yang terpaksa memperoleh sokongan kewangan kerajaan negeri Selangor berjumlah RM392 juta untuk diselamatkan daripada hutang. Projek Ukay Bistari melibatkan 1,800 unit rumah kos rendah, apartmen kos sederhana, apartmen servis. rumah-rumah teres, lot-lot kedai dan pejabat. Sejak dilancarkan 98 peratus unit sudah habis dijual tetapi pembangunannya berhadapan dengan masalah ekoran kesukaran kewangan. The Malaysian Insider |
| You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |








Tiada ulasan:
Catat Ulasan